Khamis, 22 Mac 2012

MUNGKIN LEBIH DARI 12...ITU BELUM DIKIRA HUKUM2 ISLAM SERTA PANDANGAN ISLAM...JUGA ADAT2 MELAYU YANG TIDAK BERTENTANG DENGAN SYARAK..DLL

12 kesilapan Datuk Seri Najib

Lim Kit Siang, 22 Mac 2012
1)    Merampas kuasa pemerintahan negeri Perak Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin secara haram dan bertentangan perlembagaan yang beliau sendiri merancang dan melaksanakan dua bulan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

2)    Kegagalan beliau untuk mempertahankan dasar 1Malaysia yang bertujuan mencipta sebuah negara Maaysia di mana semua rakyat mengutamakan identiti sebagai rakyat Malaysia terdahulu dan kaum, agama, kawasan dan status sosio-ekonomi kemudian, apabila Timbalan Perdana Menterinya sendiri Tan Sri Muhyddin Yassin mengumumkan bahawa beliau adalah  Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian.

3)    Politik hipokrisi di mana beliau berdakwah mengenai kemuliaan kesederhanaan di forum-forum antarabangsa sementara mengizinkan kuasa-kuasa ekstrimis perkauman dan agama yang diterajui oleh jubir UMNO, Utusan Malaysia, berleluasa di negara ini sehinggakan masalah polarisasi kaum dan agama menjadi semakin teruk di dalam tempoh 35 bulan beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, di mana retorik politik tentang kebencian kaum dan ketidak toleransi agama yang berlandaskan dusta dan bohong menjadi begitu serius di Malaysia, sehinggakan UMNO nampaknya telah “outsource”kan politik melampau kepada Perkasa.

4)    Ucapan beliau di Perhimpunan Agong UMNO 2010 yang berjanji 'walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa”, demi mempertahankan UMNO di Putrajaya. Adakah Najib bersedia untuk meminta maaf dan menarik balik ugutan ini dengan mengumumkan bahawa selaras dengan tujuan beliau menjadikan Malaysia sebuah “demokrasi paling baik di dunia” , beliau dan para pemimpin UMNO akan secara aman dan tanpa syarat menerima keputusan pilihanraya dalam PRU yang akan datang, termasuk sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di Putrajaya?

5)    Bertambahnya kejadian-kejadian politik keganasan terhadap ahli-ahli parti pembangkang seperti Ahli parlimen kawasan Lembah Pantai, Nuruk Izzah serta para aktivis masyarakat madani yang dilakukan oleh Pemuda UMNO dan ahli-ahli Perkasa serta para penyokong mereka, termasuk tindakan menyerang protestor anti-Lynas di Sudut Berpidato Pulau Pinang yang mengakibatkan dua orang wartawan cedera, sementara pihak politk berdiri di tepi tanpa menjalankan tugas mereka.

6)    Gelaja rasuah yang semakin serius di Malaysia di mana kedudukan kita di Indeks Persepsi Rasuah Transparency International  tahun 2011 terjatuh ke tahap paling teruk iaitu No. 60 dan skor yang paling rendah iaitu 4.3, meletakkan Malaysia pada taraf paling korup sekali dalam tempoh 55 tahun sejarah negara di bawah pimpinan enam orang Perdana Menteri.

7)    Kematian Teoh Beng Hock dan kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap pembunuhnya dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, serta menahan dan mendakwa orang yang bertanggungjawab terhadap kematian Ahmad Sarbani Mohamad di bangunan SPRM, V Kugan di bawah jagaan polis dan lain-lain kes kamatian semasa dalam penahanan pihak berkuasa.

8)    Muncul kembalinya politik Mahathirisma, sedangkan generasi Malaysia masa kini masih terpelenggu oleh skandal-skandal kewangan yang tercetus dalam tempoh 22 tahun Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia, dan baru-baru ini usaha “menyelamatkan” bekas pengerusi MAS, Tajudin Tamli buat kali ketiga yang bernilai RM840 juta menerusi out-of-court settlement dengan Danaharta dan beberapa GLC.

9)    Politk rasuah, kronisma dan naungan yang berterusan sepertimana yang berlaku dalam penganugerahan RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) kepada dua syarikat, Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang ada hubung kait degan peguam UMNO, Datuk Hafarizam Harun dan isteri bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, dan Lebuhraya West Coast bernilai RM7.1 bilion menghubungkan Banting ke Taiping yang diberikan kepada Kumpulan Europlus Bhd selama 60 tahun konsesi.

10)    Keengganan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah pendatang tanpa izin yang berlarutan di Sabah yang menjadikan rakyat Sabah bagai orang asing di tanah bumi sendiri.

11)    Salah urus perhimpunan Bersih 709 yang bertujuan menuntukan pilinraya bersih, bebas dan adil, memburuk-burukkan imej para penganjur dan penyokong Bersih, semhaentara kumpulan pelampau dan ekstrim tidak dikawal atau disekat tetapi dibiarkan mereka menyebar dan mengugut mesej keganasan, mengapi-apikan suasana kebencian kaum dan agama.

12)    Kegagalan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan, kebebasan dan profesionalisam institusi-institusi utama negara, samada pihak kehakiman, polis, kamar Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Suruhanjaya PilihanRaya dan sebagainya. Keengganan Perdana Menteri untuk menubuhkan tribunal untuk menyiasat dakwaan serius yang dibuat oleh bekas pegawai polis peringkat tinggi, termasuk bekas Pengarah CCID Datuk Ramli Yusof dan bekas Pengarah CID KL Datuk Mat Zain mengenai salah guna kuasa, subversif kedaulatan undang-undang dan penyelewengan perjalanan keadilan, yang ditujukan terhadap Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, sampai kepada pemalsuan bukti dalam insiden “mata lebam” Anwar Ibrahim, perbicaraan Anwar dalam tahun 1998, usaha menyelamatkan Tajudin Ramli dari MAS, serta maklumat terkini mengenai “kes lima tahun yang ganjil yang kononnya melibatkan pegawai polis paling berkuasa di negara ini, peguam negara serta seorang ketua penjenayah”, mengaitkan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Datuk Johari Baharum, telah membangkitkan pelbagai persoalan mengenai komitmen Perdana Menteri terhadap kedaulatan undang-undang. Adalah Perdana Menteri akan terus mengelak dari mengambil satu pendirian sungguhpun dakwaan-dakwaan ini amat serius dan mendakwa bahawa  pegawai-pegawai undang-undang dan polis tertinggi di negara ini, iaitu Peguam Negara dan Ketua Polis Negara, merupakan penejenayah hanya baru-baru ini – dan Peguam Negara yang sama masih berada di penjawatannya?

----------------------
Sedutan ucapan Lim Kit Siang di Dewan Rakyat pada 22 Mac 2012

Pemuda PAS persoal pelaburan MAIWP

Anis Nazri, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mempersoalkan pelaburan hartanah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang didakwa merugikan dan menanggung beban hutang cukai.

Pengerusi Task Force Zakat DPPP, Kamaruzzaman Mohamad berkata, pihaknya dimaklumkan MAIWP bertindak membeli tanah lot di Lorong Haji Hussein pada tahun 2009 bagi tujuan pembinaan ibu pejabat majlis itu dengan harga RM11 juta.

Namun, harga asal yang disyorkan Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH) hanya RM10.38 juta, dan projek pembinaan itu masih tergendala sehingga kini.

Lebih malang lagi, Kamaruzzaman mendakwa permohonan MAIWP tidak diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak menepati dasar Perdagangan Pusat Bandar (CCC).

"MAIWP akhirnya terpaksa menyewa di Bangunan Perkim dengan kos RM1.3 juta setahun, selain perlu menanggung kos ubah suai RM5 juta serta kos pembinaan yang semakin meningkat setiap tahun.

"Tanah terbiar itu pula disewakan kepada Syarikat Zasoleis Sdn Bhd dengan kadar sewa RM8,100 sebulan bermula Julai 2010 sebagai parkir awam," katanya pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Selain itu, beliau mendakwa MAIWP turut membeli tanah milik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan harga RM1.5 juta walaupun nilai sebenar tanah itu adalah RM1.3 juta yang dibeli daripada Syarikat Merger Insight (M) Sdn Bhd.

Namun tanah tersebut diceroboh oleh setinggan dan pencerobohan haram sejak tahun 1996 dengan pembinaan bengkel kenderaan, stor kayu, tokong, dan dipenuhi semak-samun.

Ekoran itu, katanya tanah tersebut tidak boleh dikomersialkan dan MAIWP akhirnya terpaksa menanggung cukai tanah dan kompaun daripada DBKL.

"Kita melihat, seolah-olah wujud penyelewengan zakat melibatkan ratusan ribu melalui pembelian hartanah dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran seperti yang disyorkan oleh jurunilai bertauliah," kata beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, Kamaruzzaman menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
menjelaskan bagaimana proses pelaburan pembangunan hartanah itu dikendalikan.

Tuntutan itu turut disuarakan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang turut serta pada sidang media tersebut.

Westports tidak halang pekerja berkesatuan

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: “Pihak pengurusan Westports sentiasa bersikap terbuka dan tidak menghalang pekerja untuk berkesatuan,” kata Pegawai di Jabatan Perhubungan Awam Westports Malaysia Sdn Bhd, Firdaus Abd Rahim.


Beliau menyatakan demikian merujuk kepada artikel bertarikh 21 Mac yang disiarkan di Harakahdaily bertajuk ‘ Diskriminasi: Pekerja Westports Jumpa Pakatan’ mengenai kenyataan Megat Zamri di mana Westports sering berprasangka buruk terhadap kaum pekerja yang berkesatuan.

Ini, katanya kerana di Westports telah wujud satu kesatuan yang menjaga kebajikan pekerjanya semenjak Westports beroperasi pada tahun 1996 dan kesatuan itu dikenali sebagai Kelab Kebajikan dan Sosial Westports atau WJCC.

Sehubungan itu, jelasnya pihak Westports juga telah memberi kebenaran bagi para pekerja untuk memilih kesatuan yang baru atau Kelab Kebajikan dan Sosial Westports (WJCC) yang sedia ada.

Katanya, satu undian secara sulit telah diadakan dengan dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia di mana hasil undian tersebut telah jelas membuktikan pihak pekerja menolak kesatuan baru.

“Pihak WJCC juga telah dalam proses untuk mendaftar sebagai kesatuan yang sah di dalam peringkat akhir,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, kata beliau jelas menunjukkan bahawa pihak Westports tidak mengamalkan dasar anti kesatuan sekerja malah mengikut kehendak keperluan pekerjanya untuk tidak menerima kesatuan yang baru tersebut.

Menurutnya, pemecatan yang telah dibuat terhadap beberapa orang pekerja Westports Malaysia adalah sebenarnya di atas sebab masalah disiplin pekerja itu sendiri, dan bukanlah bersangkut paut dengan penglibatan mereka dengan kesatuan sekerja.

“Kami juga ingin menjelaskan yang pihak Westports tidak memecat kakitangan Westports, Mohd Salleh Hati kerana beliau membacakan doa,” katanya lagi.

Jelasnya, Salleh Hati dipecat kerana melakukan beberapa kesalahan seperti meninggalkan tempat bekerja tanpa kebenaran.

Pihak pengurusan juga, katanya telah memberikan beberapa amaran sebelum ini dan juga telah mengadakan siasatan dalaman ke atas pekerja itu sama seperti organisasi yang lain dan tidak menghalang pekerja dalam menyertai mana-mana program keagamaan.

Beliau menambah, pihak Westports telah menyediakan surau bagi pekerja Westports dan juga menggalakkan pihak surau untuk mengadakan apa-apa aktiviti keagamaan seperti ceramah agama, kelas pengajian dan sebagainya.

“Pihak Westports sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dari pihak pekerja untuk kemajuan bersama,” katanya.

Faekah: Kenapa Noh saman kalau nak rampas Selangor

Muhammad Faizal, 22 Mac 2012
SHAH ALAM, 22 Mac: Kerajaan Negeri Selangor sedia berhadapan dang saman RM10 juta oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berhubung artikel dalam akhbar rasmi Selangor Kini yang didakwa memfitnah dirinya.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin berkata, dengan saman itu juga kerajaan negeri akan membuat pendedahan lanjut di mahkamah.

"Saya melihat ini tindakan yang tepat kerana ia dibawa ke mahkamah dan kita akan terus membuat pendedahan selebihnya di mahkamah nanti," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima notis saman itu di sini hari ini.

Dalam saman itu, Noh menamakan Mohd Ezli Mashut sebagai defenden pertama, Arfa'eza Abdul Aziz kedua, Najib Hashim ketiga, Risudah Salim keempat dan Faekah Husin sebagai defenden kelima.

Manakala Angkatan Edaran Enterprise dan Kerajaan Negeri Selangor masing-masing dinamakan sebagai defenden keenam dan ketujuh.

Saman tersebut dikeluarkan berhubung artikel akhbar Selangor Kini bertarikh 25 November hingga 2 Disember itu telah menyiarkan artikel bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan’, ‘Noh Omar khianat petani’ dan ‘Noh Omar lesap RM110 juta dan khianati petani’ yang disifatkan beliau sebagai fitnah dan menjatuhkan kredibilitinya sebagai Adun.

Saman tesebut telah difailkan melalui Tetuan Hafarizan Wan & Aisha Mubarak.

Mengulas lanjut, Faekah berkata, tindakan Noh menamakan Kerajaan Selangor sebagai salah satu defenden dalam saman itu, bercanggah dengan hasrat BN khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk merampas negeri itu.

Ini kerana, jika Noh mahu menawan Selangor bermakna beliau sedang menyaman kerajaan negeri dia mahu kuasai nanti.

"Jika saya ingin merampas balik Selangor sudah pasti saya tidak akan menyaman kerajaan negeri, tetapi tidak kepada Noh kerana beliau meletakkan kerajaan negeri sebagai defenden ketujuh dalam saman tersebut.

"Saman ini akan kita telitikan dan dalam masa yang sama kita akan memutuskan siapa peguam yang bertindak mewakili kerajaan negeri nanti," katanya.

Kenapa undi pos petugas SPR sampai 240,000?

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli bahawa jumlah pengundi pos SPR seramai 240,000 orang.


Bagi DPPM, jumlah yang dilaporkan itu terlalu ramai dan cukup untuk memberi impak yang besar dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru, Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor mempersoalkan mengapa SPR mendaftarkan seramai 240,000 petugasnya sebagai pengundi pos.

“SPR sepatutnya menghadkan petugasnya sebagai pengundi pos agar tidak mengganggu sebarang keputusan di mana-mana peti undi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini, sudah acap kali undi pos menjadi faktor kemenangan calon dan ia mampu mengubah keputusan pilihanraya.

Baginya, jumlah yang dicatatkan itu belum ditambah dengan pengundi pos yang sedia ada dari kalangan tentera, polis serta pasangan mereka.

Dengan jumlah seramai itu, kata beliau ia akan menambah prejudis rakyat bahawa SPR berniat untuk memastikan kemenangan mudah sebelah pihak seperti mana yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

“Rakyat mengesyaki modus operandi yang sama akan digunakan pada PRU13 kali ini bagi mengelakkan kekalahan satu pihak yang sedang terdesak,” ujarnya lagi.

Oleh itu, tegasnya DPPM mendesak agar SPR segera mengurangkan jumlah petugas SPR sebagai pengundi pos bagi mengelakkan berlakunya pertikaian rakyat.

“DPPM mengingatkan SPR agar berlaku telus dan bersikap adil dalam mengendalikan PRU ke 13.

“Rakyat tidak bersedia untuk ditipu buat sekian kalinya dalam sistem pilihan raya di negara ini,” jelasnya.

Ku Li bertanding tiket PAS...belum bincang

Nazri Abdullah, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: PAS Kelantan belum berbincang kedudukan anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang sedia bertanding sebagai calon bebas jika tidak dicalonkan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Wan Nik Wan Yusoff berkata, setakat ini pihaknya hanya mengambil maklum perkara itu dan sedang melihat perkembangan berhubung perkara itu dari semasa ke semasa.

"Kita belum bincang perkara itu walaupun pandangan di peringkat pimpinan secara peribadi sudah ada. Tapi merumuskan pandangan-pandangan itu belum ada.

"Setakat ini kita ambil maklum segala perkembangan beliau (Ku Li) dan kita akan lihat dari masa ke masa," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan perkembangan setakat ini berhubung Ku Li berikutan desas desus yang mengatakan kemungkinan bekas Menteri Kewangan itu akan bertanding di Gua Musang atas tiket PAS atau bebas pada PRU nanti.


Ini berikutan tindakan Umno yang mula membayangkan penentangan mereka jika pucuk pimpinan parti itu mahu mengekalkan Ku Li di Parlimen Gua Musang dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ada menyatakan bahawa PAS Kelantan sedia membuka sebarang bentuk perbincangan, namun ia bergantung pada keadaan bagi membolehkan Ku Li bertanding atas tiket PAS atau tidak.

Ianya ekoran pendirian Ku Li yang dilihat konsisten khususnya menyokong tindakan Kerajan Negeri Kelantan menuntut bayaran royalti.

Dalam pilihan raya umum 2008, PAS membenarkan Datuk Ibrahim Ali bertanding atas tiket PAS dan menang dalam pilihan raya itu.

Namun sikap Ibrahim sekarang yang sentiasa menyerang PAS menyebabkan peluang untuk orang lain bertanding sekali lagi atas tiket PAS agak terganggu.

Calon luar
Berhubung senarai akhir calon yang bertanding pula, Wan Nik berkata kesemua nama-nama calon telah diserahkan kepada PAS Pusat untuk dinilai dan diputuskan.

Calon-calon itu menurutnya adalah yang dikemukakan oleh PAS peringkat kawasan masing-masing berdasarkan cadangan dari cawangan masing-masing.

"Calon luar atau tidak, tidak berbangkit kerana bergantung kepada kawasan.

"Kalau kawasan setuju dengan calon itu, maka calon itulah yang dikemukakan kepada kita untuk dibawa ke pusat," katanya.

Dalam pilihan raya 2008, PAS meletakkan tiga calon luar Kelantan bertanding di negeri itu dan kesemua mereka menang.

Mereka adalah Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Salahudin Ayub (Kubang Kerian) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai).

Sehingga kini, Salahudin Ayub dikatakan akan bertanding di negeri asalnya, Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

Siapa serah tanah Singapura kepada asing

Rizal Tahir, 22 Mac 2012
KOTA BHARU, 22 Mac: Kerajaan Umno dan BN diminta menjawab isu Singapura yang telah terkeluar dari Malaysia sebenarnya angkara siapa.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, sekiranya ingin mempertikaikan soal bangsa  akibat tanah rizab Melayu digadai, beliau meminta kerajaan menjawab siapa yang menyerahkan Singapura kepada pihak luar.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat exco sebagai mengulas  laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 21 Mac, mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Mustapha mendakwa ramai rakyat teraniaya dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat ghairah mengejar pembangunan walaupun tanpa perancangan teliti hingga memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera dari luar Kelantan.

Katanya, kalau ingin menyentuh soal tanah yang diberikan pada syarikat bukan Melayu sebagaimana yang didakwa akhbar berkenaan, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Jika ingin menyentuh tentang bangsa sebagaimana laporan Utusan Malaysia kita boleh menyoal mereka balik, siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew.

“Singapura bukan lagi dipajak oleh bangsa asing, malah diberikan sampai bila-bilapun, siapa yang memberikannya sehingga terkeluar dari Malaysia,”ujarnya lagi.

Katanya, begitu juga Pulau Redang diberikan kepada Berjaya Group, Genting Hiland, diberikan kepada Lim Goh Tong, separuh Pulau Langkawi pernah menjadi milik Bon Siew Honda.

Tambahnya, malah  Balik Pulau, Pulau Pinang juga turut dijajah oleh bukan Melayu.

Jadi, sekiranya isu rizab tanah Melayu di Kelantan yang didakwa telah dipajak pada syarikat bukan bumiputera hingga menyusahkan rakyat itu, sepatutnya rakyat perlu menilai tentang tanah rizab Melayu di negeri lain yang sebenarnya makin terhakis.

“Itupun kalau Umno ingin mainkan isu bangsa, kita bukan fitnah perkara memang betul berlaku terutama sekali Singapura di mana rakyat Melayu hanya menumpang sahaja di republik itu,”ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri itu juga berkata, isu tanah rizab Melayu yang dikatakan terancam, tidak berbangkit.

Sambungnya, ini kerana tanah rezab Melayu tidak ditukar status walaupun ianya diberi pajakan, jadi ianya masih kekal sebagai tanah rizab Melayu yang langsung tidak berkurangan atau terhakis.

“Lagipun di Kelantan  tanah ini dipajak seperti disewa kepada individu atau syarikat tidak bertukar milik atau status sebagai contoh selama 66 tahun atau 99 tahun.

“Bila cukup tempoh yang telah ditetapkan dalam perjanjian, ianya akan menjadi hak milik kerajaan negeri semula,”ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, apabila kerajaan memberi pajakan pada syarikat atau individu tentu sekali mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Sambungnya, pertama sekali tanah berkenaan tidak boleh dicagar atau dijadikan jaminan kepada bank, jadi tidak timbul lagi soal tanah rizab kena lelong atau sebagainya.

Nik Amar berkata, laporan berkenaan dibuat kerana tindakan politik untuk menghadapi perang pilihanraya semakin hampir.

Sambungnya, jika diperhatikan ada sifat terdesak di kalangan pemimpin Umno untuk mendapat sokongan rakyat di Kelantan.

“Kerana menyedari isu tanah begitu sansifit termasuk isu air, pihak Umno menjadikannya sebagai modal murah sebagai kempen pilihanraya umum apa lagi tidak mempunyai isu lain untuk menghentam kerajaan negeri,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru rakyat di negeri itu supaya tidak termakan dengan propaganda murahan yang dimainkan pihak Umno khususnya melalui akhbar pro mereka Utusan Malaysia.

Beliau meminta mereka merujuk kerajaan negeri untuk mendapatkan fakta.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa gembira kerana akhbar berkenaan mengakui rizab tanah Melayu di negeri itu sebanyak 95 peratus daripada lebih sejuta hektar tanah.

Tiada negeri yang mempunyai rizab Melayu yang lebih tinggi berbanding Kelantan sehingga 95 peratus.

Ini bermakna kerajaan BN selama ini telah gagal mempertahankan tanah rizab Melayu di negeri yang diperintah mereka.

Sambungnya, tindakan undang-undang yang bakal diambil tidak bererti kerajaan negeri tidak boleh dikritik, namun apa yang berlaku adalah fitnah.

“Jika niat politik, mengelirukan rakyat apa lagi berniat menghasut rakyat, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,”ujarnya lagi.

Tiada ulasan: