Selasa, 20 Mac 2012

KALAU NAK DENGAR CAKAP MEREKA..BAIK TAK PAYAHLAH...BUANG MASA AJE

Pakatan Rakyat tidak akan sertai PSC Lynas

Anis Nazri, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Pakatan Rakyat memutuskan untuk tidak menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji isu Lynas setelah mendakwa jawatankuasa itu tidak memberikan ruang kepada mereka untuk menyatakan pendapat.

Keputusan itu berikutan kekecewaan mereka apabila kerajaan tidak memenuhi syarat yang dicadangkan, iaitu kerajaan perlu mengeluarkan arahan henti kerja, tarik balik permit kerja sementara (TOL) dan hentikan 'import rare earth concentrate'.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang jelas kecewa dengan ucapan penggulungan menteri, berkata beliau mengharapkan penubuhan PSC ini akan menjadi satu platform bebas bagi memahami masalah rakyat.

Malangnya, kata beliau melihat dari perbahasan dan penggulungan menteri, harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

"Kita bersedia untuk terlibat dalam PSC, tetapi melihat kepada apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh bergantung kepada badan itu untuk menjadi satu platform kepada rakyat," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Sebelum itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan setelah kecewa dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika penggulungan perbahasan mengenai penubuhan PSC.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata Pakatan Rakyat terpaksa menolak PSC memandangkan penubuhannya tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat, khususnya rakyat Kuantan.

"Kita memang mahu berkongsi segala maklumat, tapi nampaknya ia tidak menjadi kenyataan.  Memang hari ini merupakan hari yang paling sedih kepada rakyat Malaysia," kata beliau.

Terdahulu, perbahasan tentang penubuhan PSC ini menjadi hangat apabila kebanyakan ahli parlimen kerajaan berucap seolah-olah menyokong projek Lynas, yang dibina di Gebeng, Pahang sebelum sidang berhenti rehat tengahari tadi.

Kemudiannya, selepas dewan kembali bersidang pada sebelah petang, kekecohan terus berlaku apabila ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Nazri.

Ketika ditanya tindakan susulan Pakatan Rakyat ekoran keputusan tersebut, Fuziah berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk bertindak selepas ini.

"Biarlah rakyat yang memutuskannya," kata beliau.

Turut serta pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; dan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat.

DAP sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) atau alat untuk menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat.

“DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Guru tak ada kuasa bentuk disiplin pelajar

Salmiyah Harun, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Disiplin pelajar sekolah semakin merosot hari ini apabila para guru tidak berupaya membentuk disiplin mereka kerana dihadkan oleh Kementerian Pelajaran.

Ahli Parlimen Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) berkata, guru tidak mempunyai kuasa untuk mendenda atau menghukum pelajar walapun mereka melakukan kesalahan.

"Banyak perkara guru tidak boleh tunaikan atau denda pelajar hatta menyuruh mereka berdiri lama dalam bilik darjah, tarik rambut, tarik telinga, cubit, ketuk ketampi, jerkah atau jeling pun tidak boleh,"katanya dalam perbahasan menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, peraturan melarang guru bertindak sedemikian ini dikemukakan oleh kementerian.

Sepatutnya, kata Firdaus, kementerian perlu mendapat pandangan daripada guru-guru bagaimana tindakan yang perlu dilakukan untuk mengawal disiplin pelajar.

"Apa pendekatan baru untuk mengawal disiplin pelajar? Bukannya terus mengeluarkan peraturan itu, akhirnya guru tidak mampu membentuk disiplin anak-anak," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) mengakui disiplin pelajar merosot ekoran kerajaan menukar Kementerian Pendidikan kepada Pelajaran.

"Dahulu kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pendidikan oleh kerana dasar BN ubah jadi Kementerian Pelajaran, akhirnya guru dihadkan mengajar sahajalah,"katanya.

Katanya, perbezaan ini menyebabkan dasar itu berubah jadi guru-guru bukan mendidik tetapi guru-guru mengajar.

Gadai Ladang Rakyat propaganda murahan Umno

Salmiyah Harun, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Dakwaan terhadap Kerajaan Kelantan menggadai Ladang Rakyat kepada tauke bukan Bumiputera disifatkan propaganda murahan Umno BN dan medianya untuk menagih perhatian rakyat negeri itu.

Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) menafikan dakwaan itu sama sekali ketika dalam perbahasan usul menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pemajuan Ladang Rakyat tidak melibatkan pemberian pajakan tanah apatah lagi menjual tanah kepada tauke bukan Bumiputera.

"Umno BN sudah tidak ada isu, dakwaan mereka sekadar untuk mendapat perhatian rakyat Kelantan yang sekian lama ditagih lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya," katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Pusat

Tegasnya, sekatan terhadap urusniaga pindah milik atau pajakan tanah sudah tertera dengan jelas dalam dokumen hak milik tanah Ladang Rakyat.

"Pihak swasta hanya pemaju projek bukan pemajak tanah," katanya lewat petang tadi.

Zailah turut menjelaskan Ladang Rakyat hanya dibangunkan di atas tanah kerajaan tiada milik tanah rakyat terlibat, kecuali yang dibangunkan bersama dengan pemilik Ladang Rakyat berkelompok di Pos Brooke Lojing.

Malah katanya, sebanyak 18 peratus daripada tanah kerajaan yang dikenal pasti telah dikeluarkan daripada kawasan operasi Ladang Rakyat.

"Perkara ini sendiri disahkan oleh pejabat tanah jajahan selepas pemutihan dibuat," katanya.

Pengeluaran kawasan terokaan Orang Asli daripada kawasan Ladang Rakyat antaranya kawasan Orang Asli di Pulat, Tuel, Dakoh, Belatim, Lubuk Bongor, Sokor , Humid, Pasek, Kuala Balah, Relai, Renok dan Kandek di mana kesemuanya adalah 14,046 ekar.

Tambah Zailah, Pesuruhjaya Suhakam Tan Sri Hasmy Agam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak Orang Asli dalam kajiannya mengakui kerajaann Kelantan bukan sahaja proaktif dalam urusan tanah Orang Asli tetapi proaktif Orang Asli.

Zailah percaya, isu ini timbul apabila setelah Umno BN mendapat maklumat daripada sendiket jual tanah di mana sendiket itu mengaku meneroka tanah kerajaan walaupun hakikatnya tidak ada kesan penerokaan.

"Sendiket jual tanah secara haram untuk kepentingan peribadi apabila kerajaan hendak bangunkan tanah, lepas itu heboh dalam media kawasan itu bukan kawasan operasi Ladang Rakyat,"katanya.

Semalam, akhbar pro Umno BN menyebut status quo tanah rizab Melayu di Kelantan kini menjadi tanda tanya apabila semakin banyak dipajak kepada syarikat bukan bumiputera.

Dan hari ini pula didakwa hampir 60,000 hektar tanah milik Ladang Rakyat dipajak kepada syarikat swasta sehingga menyebabkan penduduk kampung teraniaya.

Rahsia tarikh PRU13 bukti Najib bukan PM 1Malaysia

Khairil Abdul Rahim, 20 Mac 2012
TEMERLOH, 20 Mac: PAS Pahang menganggap tindakan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak merahsiakan tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) membuktikan beliau hanya layak menjadi PM untuk Umno, bukan untuk seluruh rakyat Malaysia atau bukan PM 1Malaysia.


Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal berkata, jika benar Najib PM 1 Malaysia, yang mendakwa kononnya rakyat diutamakan, sudah tentu beliau berani untuk mengumumkan tarikh PRU secara telus mulai sekarang.

“Mengetahui tarikh PRU merupakan hak rakyat justeru amat penting untuk membantu dan memudahkan rakyat mengatur jadual kehidupan mereka kerana PRU13 adalah suatu peristiwa penting dan besar untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Kenapa Najib mahu bermain teka-teki menentukan tarikh peristiwa sebesar itu. Sedangkan jika tarikh PRU13 di ketahui awal, bukan sahaja parti politik yang mendapat manfaat malah jutaan rakyat Malaysia dapat menyesuaikan tarikh kenduri perkahwinan, menunaikan umrah, persidangan, seminar, urusan perniagaan, melancong dan sebagainya.

“Apabila jadual dapat diatur maka mudahlah bagi semua rakyat ikut terlibat secara bertanggungjawab di dalam pilihan raya untuk menentukan teraju kepimpinan negara sekali gus arah tuju masa depan negara,” tegasnya.

Justeru, katanya PAS Pahang menggesa jika benar DS Najib mendukung transformasi politik negara, umumkan segera tarikh PRU 13.

Tambahnya, jadikan PRU13 sebagai pilihan raya pasca 54 tahun kemerdekaan, bukan pilihan raya undur 50 tahun ke belakang dengan memberikan hak yang adil dan saksama kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka melalui demokrasi maklumat kepada seluruh rakyat.

Baru-baru ini media melaporkan Najib masih menyembunyikan tarikh PRU 13 meskipun beliau kini begitu agresif turun berkempen ke setiap negeri.

Difahamkan, tidak banyak negara-negara di dunia yang menyembunyikan tarikh PRU seperti Malaysia.

Mengapa Lebuh raya Banting-Taiping naik 100%?

Anis Nazri, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Kerajaan diminta menjelaskan peningkatan lebih 100 peratus yang diperuntukkan kerajaan bagi projek Lebuh raya Banting-Taiping.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika membahaskan Titah Ucapan Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong, mempersoalkan bagaimana boleh berlaku lonjakan kos dari RM3.1 bilion ke RM7.1 bilion.

Menurut Mahfuz, lonjakan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan, selain dilihat tidak munasabah bagi sebuah lebuhraya sepanjang 316 kilometer yang akan menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak.

"Itu belum lagi soal tempoh yang begitu panjang yang diberikan kepada syarikat konsesi terbabit, Kumpulan Europlus Bhd (Europlus) iaitu selama 60 tahun.  Sedangkan, PLUS sendiri, yang 'pantang lalu Umno sapu' itu pun, tempoh konsesinya hanya 30 tahun," kata beliau di Dewan Rakyat, petang tadi.

Katanya dengan peningkatan kos tersebut, kerajaan sepatutnya menjelaskan bagaimana kos tersebut boleh dinaikkan sedemikian rupa.

Europlus sebelum ini mengumumkan menerima surat kelulusan membina lebuhraya itu daripada Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri (JPM), melibatkan pinjaman mudah RM2.24 bilion, subsidi faedah 3 peratus untuk 22 tahun dan Geran RM980 juta untuk pengambilan tanah.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS itu mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong kepada rakyat apabila menyatakan isu Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) telah dirunding bersama Cuepacs.

Hakikatnya, dakwa Mahfuz pihaknya dimaklumkan tiada sebarang rundingan dilakukan di antara kerajaan dengan Ceupacs.

"Jadi, Perdana Menteri telah berbohong kepada rakyat apabila menyatakan sudah membuat rundingan sebanyak tiga kali dengan pelbagai pihak, termasuk Cuepacs.  Sebaliknya, ia tidak berlaku," dakwa beliau.

Jawapan SPAN ‘malukan’ adik Ibrahim Ali

Mohd Nor Yahya, 20 Mac 2012

KOTA BHARU, 20 Mac: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjelaskan peranannya hanya mengawal selia perkhidmatan bekalan air serta pembentungan dan bukan mengambil alih pengurusan bekalan air.

Sedangkan sebelum ini sebuah badan bukan kerajaan Umno, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendesak kerajaan Kelantan menyerah pengurusan air kepada SPAN.

Surat SPAN yang ditandatangani pengerusinya Dato’ Ismail Kasim turut menjelaskan penstrukturan semula pengurusan air terletak di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan bukannya SPAN.

Penjelasan itu tentunya memalukan MTRK yang diketuai adik bekas Ketua Umno Pasir Mas, Azmi Ali. Pada Febuari lalu NGO Umno itu mengadakan demontrasi di Lembah Sireh mendesak kerajaan negeri menyerah pengurusan air kepada SPAN.

Beberapa akhbar pada 20 Febuari lepas melaporkan MTRK mendesak kerajaan PAS Kelantan menyerah pengurusan air kepada SPAN.

Malah Azmi dilaporkan mahu melancar gerakan mengumpul tandatangan sejuta rakyat Kelantan mendesak kerajaan negeri menyerah pengurusan air kepada SPAN.

Surat yang dihantar SPAN kepada MTRK turut diberi salinan kepada AKSB.

SPAN dalam surat tersebut juga menjelaskan PAAB menyediakan sumber pembiayaan untuk kerja pembangunan baru, menaik taraf dan membaik pulih sebagai balasan apabila kerajaan negeri memindah aset Air Kelantan Sdn  Bhd (AKSB) kepada PAAB secara pegangan pajakan.

SPAN turut menjelaskan mekanisme kawal selia SPAN tidak melibatkan pengambilan alih pengurusan syarikat atau operator air.

Pengurus Besar AKSB Ir Hanapi Mahmood berkata, penjelasan SPAN boleh difahami rakyat kerana ada pihak cuba mempolitik isu bekalan air di Kelantan.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Tiada ulasan: