Rabu, 21 Mac 2012

BILA KERAJAAN TIDAK ADIL KEPADA NEGERI DIBAWAH GABUNGAN MALAYSIA...ADAKAH NI SATU PERBUATAN BETUL...DARI SEGI SYARAK JELAS MEMANG TAK BOLEH...AKHIRAT MEREKA KENA JAWAB.......

PAS Sarawak sasar 2 kerusi untuk DHPP

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: PAS sudah mengenalpasti calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang akan bertanding di Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

Penasihat DHPP, Dr Mujahid Yusof (gambar) berkata, PAS akan meletakkan sekurang-kurangnya dua calon di Sarawak begitu juga di Sabah.

"Kita mengenalpasti dua kerusi Parlimen dan dua calon DHPP untuk Sarawak sehingga kini. Untuk Sabah pula kita akan kenalpasti tidak lama lagi," kata Mujahid yang ke Sarawak baru-baru ini.

Harakahdaily difahamkan, calon-calon PAS di Sarawak adalah dari kaum Cina dan Iban yang bukan beragama Islam.

Dalam pada itu, Mujahid juga meminta PAS Negeri Sembilan dan Melaka turut memikirkan calon DHPP dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya dapati Johor sudah mengenalpasti calon mereka. Jadi apa salahnya Melaka dan Negeri Sembilan yang turut berada di ambang kebangkitan selatan ini turut memikirkan pendekatan yang sama," kata Mujahid yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan PAS.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS meletakkan calonnya Kamutha Raman bertanding di salah satu kerusi Dun di Johor.

Oleh kerana ketika itu PAS belum membuat keputusan tentang calon bukan Islam, Kamutha bertanding atas tiket PKR.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Johor, Selangor dan Perak memaklumkan, mereka telah menghantar senarai nama calon dari DHPP yang mereka cadangkan.

Menurut Mujahid, Malaka dan Negeri Sembila serta Kedah tidak menghantar nama dari kalangan DHPP kerana mereka tidak mempunyai nama yang sesuai.

"Namun suka saya cadangkan, negeri-negeri merujuk kepada DHPP Pusat untuk mendapatkan nama-nama yang sesuai untuk dicalonkan atas tiket PAS," kata beliau yang juga anggota Parlimen Parit Buntar.

Kalau negara bankrap, tak guna ubah kerajaan lagi

Abdul Aziz Mustafa, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: "Kalau negara sudah bankrap baru rakyat mahu ubah kerajaan, tak boleh buat apa lagi, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

"Sekarang hutang negara berada pada tahap kritikal iaitu hanya dua peratus kurang dari had dibenarkan.

"Kalau nak ubah kerajaan untuk selamatkan negara ini dari bankrap seperti yang menteri kabinet (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri jangkakan, ubah sekarang.

"Kalu negara dah bankrap baru nak ubah kerajaan, tak boleh buat apa lagi," kata beliau.

Mohamad juga mempersoalkan, apa lagi yang mahu dibohongi oleh Najib kepada kepada rakyat.

"Hari ini, timbalan menteri bercakap seolah-olah rakyat bodoh sangat.

"Kononnya tidak perlu bimbang walaupun negara mencapai hutang pada tahap 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu kurang dua peratus dari tahap 55 peratus dari daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibenarkan oleh perlembagaan negara.

"Najib nak bohong apa lagi kepada rakyat? Transformasi apa lagi nak mengaburi mata rakyat sedangkan negara menuju bankrap seperi yang menteri dia sendiri akui dan hutang negara pula semakin menjerut leher rakyat," beliau terus mempersoalkan.

Di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin mendakwa, hutang negara belum berada pada tahap kritikal atau membimbangkan,walaupun ia hanya dua peratus sebelum mencecah had pinjaman yang dibenarkan oleh perlembagaan.

"Ia tidak berada pada tahap yang kritikal pada masa ini. Had kita adalah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita kini cuma berada pada paras 53 peratus.

"Jadi tidak perlu bimbang tentang hal itu," katanya semasa sesi soalan.

Mohamad menyifatkan jawapan itu menghina akal dan intelektualiti rakyat.

Mengulas lanjut mengenai keadaan itu, beliau tertarik dengan istilah cepat tangan yang digunakan oleh blogger Aspan Alias terhadap para pemimpin Umno.

"Istilah cepat tangan itu menuntut rakyat memberikan perhatian kepada perkara penting mengenai ketenatan ekonomi negara kini.

"Keadaan ini berlaku kerana kerajaan murah hati kepada rakyat atau kerana perangai cepat tangan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN)," kata Mohamad.

Dalam tulisannya yang bertajuk "Susah kalau dapat pemimpin yang 'cepat tangan'", Aspan berkata: "Saya selalu berkata yang sikap ini sudah menjadi budaya pimpinan kita. Sifat 'cepat tangan' ini memang sudah menjadi sebati dan amat payah untuk dibuang".

Cara yang terbaik untuk mengelak dari kejadian seperti ini berlaku ialah dengan menolak parti yang dipimpin oleh pemimpin seperti ini, katanya

Aspan yakin, mereka tidak akan memperbaiki diri mereka kerana sikap 'cepat tangan' itu sudah menjadi darah daging didalam diri pemimpin-pemimpin kerajaan yang tidak mempunyai 'accountability' terhadap kesalahan yang mereka lakukan sendiri.

"Tidak boleh nampak wang rakyat yang banyak terus sahaja meleleh air liur untuk membelanjakannya untuk kegunaan peribadi.

"Apa transformasi yang boleh dilakukan oleh pemimpin seperti ini sedangkan diri sendiri tidak mampu untuk ditransformasikan," katanya.

Hilang ketakutan hakim dengan kembali Perkara 121

Abdul Aziz Mustafa, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar bimbang institusi kehakiman masih lagi takut kepada kuasa eksekutif selagi tidak dikembalikan peruntukan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya bimbang akibat daripada perkara pokok ini masih belum dikembalikan kepada institusi kehakiman di dalam negara kita, saya bimbang bahawa masih wujud elemen-elemen ketakutan di kalangan para hakim (kepada kuasa eksekutif)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika berucap di Dewan Rakyat semalam.

Sebelum ini, bekas Ketua Hakim, Tun Mohd Dzaidin Abdulah (gambar atas) berkata, mahkamah-mahkamah Malaysia hari ini telah akur kepada kehendak ahli-ahli politik dalam cabang eksekutif kerajaan dan ia berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim yang bersara itu menegaskan, pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan semasa pentadbiran Dr Mahathir pada tahun 1980-an telah melemahkan sayap badan kehakiman.

Selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui berlakunya perkara itu tetapi mendakwa perkara itu hanya berlaku di zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sahaja.

Mahfuz bagaimanapun menganggap kenyataan Dzaidin itu memperlihatkan bahawa belum ada satu penyelesaian yang sebenar kepada perkara pokok yang ditimbulkan oleh bekas Ketua Hakim negara itu.

"Saya bimbang bahawa elemen ketakutan itu masih wujud sekarang ini.

"Kalau-kalaulah ada elemen ketakutan ini, lebih baik para hakim ini balik jadi hakim pertandingan suara burung tekukur lagi bagus," kata beliau.

Kenyataan bekas Ketua Hakim Negara itu telah menggambarkan sesuatu yang sangat memalukan negara apabila para hakim yang sepatutnya dilihat punya kuasa untuk menjatuhkan hukuman, tiba-tiba boleh takut dan akur kepada tuntutan dan kehendak pemimpin-pemimpin politik kerajaan, kata Mahfuz.

Bagi mengatasi ketakutan itu, beliau menuntut dikembalikan Perkara 121 itu.

"Perkara pokok yang ditimbulkan oleh Tun Dzaiddin itu ialah Perkara 121 yang saya lihat bahawa sehingga hari ini masih belum dikembalikan.

"Perkara 121 yang berkaitan dengan soal kuasa kehakiman yang merupakan satu perkara
yang sangat pokok dalam pemisahan kuasa yang sepatutnya berlaku di dalam negara kita ini," katanya.

Perkara 121 itu juga mesti dikembalikan, kata Mahfuz (gambar) , supaya tidak ada ruang untuk berlakunya penyalahgunaan kuasa eksekutif terhadap institusi kehakiman di dalam negara kita.

Bagi beliau, apa yang telah dilakukan di dalam apa yang didakwa sebagai reformasi institusi kehakiman sebelum ini hanya bersifat kosmetik yang tidak menyelesaikan perkara pokok yang dimaksudkan oleh Dzaiddin.

Dalam ucapannya dasarnya meraikan ulang tahun Tunku Abdul Rahman dan Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS) di Memorial Tunku Abdul Rahman bulan lalu, Dzaidin berkata, akibat pindaan Perkara 121 itu, kuasa kehakiman mahkamah-mahkamah telah dikurangkan dan mereka hanya mempunyai kuasa apabila diberikan Parlimen.

"Parlimen lebih hebat daripada badan kehakiman," katanya.

Beliau menjelaskan situasi itu amat buruk kerana "Parlimen cuba mengarahkan badan kehakiman kerana ia adalah satu-satunya badan yang mempunyai kuasa kehakiman".

Menurut beliau, "pindaan itu pada pandangan saya dalam cara yang landasan sebenar struktur asas perlembagaan persekutuan dari konsep kebebasan badan kehakiman kepada pergantungan badan kehakiman eksekutif untuk kuasa kehakimannya".

Badan kehakiman Malaysia bukan satu alat untuk digunapakai kerajaan untuk apa-apa jenis kepentingan politik, kata Dzaiddin.

"Badan kehakiman sepatutnya bebas sepenuhnya kerana kedua-dua badan eksekutif dan badan perundangan," katanya lagi.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan dakwaan Dzaidin dan Nazri itu tetapi tidak mahu pula mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

Sampai bila pusat mahu diskriminasi Kelantan

Anis Nazri, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata amalan diskriminasi pusat terhadap Kelantan sejak 20 tahun lalu tidak wajar diteruskan.

Sambil mendakwa ianya bercanggah dengan amalan federalisme, beliau menuntut ianya dihentikan segera dan segala hak kerajaan negeri perlu diberikan tanpa sebarang penafian.

"Amalan diskriminasi ini bukan hanya berlaku sejak 20 tahun lalu, tapi dari tahun 1959 lagi ketika PAS mula-mula memerintah Kelantan. Sehingga hari ini, Kelantan masih melaluinya dengan pelbagai cara," dakwa beliau ketika mengambil bahagian Ketika perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang Di-pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dakwa beliau, banyak peruntukan yang sewajarnya disampaikan ke Kelantan, tertangguh ekoran amalan diskriminasi tersebut, termasuk kelewatan memberikan geran.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya sebagai penghinaan terhadap rakyat Kelantan.

"Apabila Perdana Menteri hadir di Sabah, beliau menghina rakyat Kelantan dengan mengatakan tentang kemiskinan Kelantan seolah-olah seorang bapa menghina anak kandungnya di hadapan adik-beradik yang lain," kata beliau.

Tambah Wan Rahim, penghinaan yang dilemparkan Najib tersebut tidak mudah dilupkan dan akan diingati sampai bila-bila.

Menyentuh soal projek ladang rakyat yang dimanipulasikan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, Wan Rahim berkata ladang yang diusahakan 4834 peserta itu merupakan tanah milik Perbadanan Ladang Rakyat.

"Ia tidak ditukar milik atau digadaikan kepada mana-mana pihak seperti yang dimanipulasikan pihak yang tidak bertanggungjawab. Tetapi peserta yang mengusahakannya mendapat habuan sebanyak RM200 sebulan dengan agihan dividen sebanyak RM52.4 juta," tegas beliau.

Malah, katanya projek tersebut meghasilkan kejayaan apabila tanah kerajaan negeri tidak diberikan kepada syarikat swasta, tetapi dimajukan Perbadanan Ladang Rakyat," tegas beliau.

Guam gesa Najib batalkan kolaborasi MAS-AirAsia

Salmiyah Harun, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR 21 Mac: Group of Unions And Associations Of Malaysia Airlines (Guam) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membatalkan pertukaran saham (share-swap) dan perjanjian kolaborasi di antara MAS dan AirAsia.

Perjanjian kolaborasi itu dakwa Guam ianya memihak kepada Air Asia yang akan merosakkan MAS.

Setiausaha Kesatuan Sekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) Ab Malek Ariff berkata, semenjak wujudnya kolaborasi suasana kerja di dalam MAS telah menjadi muram.

"Produktiviti kerja telah menurun kerana para pekerja runsing dan ada di kalangan mereka mengalami penyakit kemurungan kerana menanggung permasalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lobi Parlimen bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Machang Datuk Saifuddin Nasution, selepas menyerahkan Memorandum Keluhan Pekerja-pekerja MAS dan Permasalahan Timbul Akibat Daripada Perjanjian Kolaborasi kepada Pakatan Rakyat.

Ab Malek berkata, faktor utama yang menimbulkan permasalahan di dalam kolaborasi ini adalah Tan Sri Tony Fernandez yang disifatkan seorang anti kesatuan dengan menjalankan taktik-taktik melumpuhkan kesatuan dan para pekerja.

"Kami percaya beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah MAS dan AirAsia untuk mendapatkan sebanyak boleh keuntungan di dalam kolaborasi MAS dan AirAsia.

Tegasnya dengan harapan, Perdana Menteri dapat menggunakan kuasa 'golden share' untuk menghentikan kolaborasi dan pertukaran saham di mana ia akan membunuh MAS secara menyeluruh.

Ab Malek percaya masalah yang berlaku dalam MAS berpunca dari kelemahan dan kesilapan Khazanah.

"Mereka sepatutnya berhati-hati semasa berurusan dengan Tony dan rakan-rakan beliau. Khazanah sepatutnya mengimbau semula sejarah MAS dan AirAsia di mana kedua-dua adalah pesaing ketat," katanya.

Justeru, Guam meminta agar Perdana Menteri mengiktiraf kesatuan dan persatuan bagi mewakili pekerja-pekerja di dalam unit dan anak-anak syarikat dalam MAS.

Guam turut mendesak supaya membatalkan perpindahan pekerja pentadbiran dari Subang ke KLIA yang dijadualkan pada awal April ini kerana didapati ada cukup ruang bagi menempatkan semula pekerja-pekerja yang terbabit dalam perpindahan ini.

Selain itu, Guam berharap agar menempatkan pekerja MAS ke anak-anak syarikat dan unit yang bakal ditubuhkan tanpa sebarang peletakkan jawatan tanpa ada pembuangan pekerja.

"Mewujudkan satu kumpulan lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Malaysia yang bebas dan merdeka dari pengaruh Tony Fernandez, dan menyingkirkan ahli lembaga pengarah MAS yang memihak kepada Tony," tegas Guam.

MASEU adalah salah satu kesatuan daripada lapan kesatuan di bawah Guam yang diwakili seramai 20,600 pekerja.

Tiada ulasan: