Sabtu, 17 Mac 2012

BILA HIBURAN DIUTAMAKAN...LALAI...HINGGA LUPA MATI...DAN LUPA SERTA TAK PENDULI LAGI HUKUM HAKAM AGAMA...PIHAK BERWAJIB DIAM SERIBU BAHASA

Najib timbang 3 Jun tarikh PRU13?
Wartawan Sinar Harian
16 Mac 2012
Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei atau Jun ini, lapor Bloomberg hari ini.

Dengan memetik empat sumber yang tidak mahu namanya didedahkan, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bercakap di hadapan sekitar 4,000 orang kakitangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, khususnya dari Jabatan Penerangan, yang akan membantu menyelia perjalanan pilihan raya yang akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah satu tarikh yang disyorkan ialah 3 Jun, demikian menurut tiga pegawai dipetik laporan portal Bloomberg.

"Kesemua petanda menuju ke arah pilihan raya pada akhir Mei atau awal Jun ini," kata Ong Kian Ming, penganalisis politik dari UCSI.

"Ia adalah masa yang sesuai bagi Najib," katanya.

Kian Ming juga berkata, "jika beliau menunggu lebih lama, skandal-skandal lain akan muncul."

Sehubungan itu katanya, jika keadaan sedemikian wujud, ia sudah pasti akan menjejaskan segala 'suasana mesra' BN yang wujud sekarang, yang antara lain disumbangkan  oleh pengagihan bantuan dijanjikan dalam Bajet 2012.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online awal minggu ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada pandangan beliau tempoh yang sesuai yang ada sebelum sesi Parlimen Julai ini ialah dua minggu pertama Mei dan dua minggu kedua Jun.

Penemuan kajian Merdeka Center yang dikeluarkan minggu lalu menyebut populariti Najib telah mengalami peningkatan semula berbanding kedudukan Ogos lalu.

Kajian terbaru firma itu menunjukkan kadar populariti beliau meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus Ogos lalu, selepas ia mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kedudukan tahun 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.

Di sebalik peningkatan populariti itu, Najib juga dilihat telah menyelesaikan dua isu besar iaitu skim gaji Saraan Baru Perkhidmatan Awam dan projek Pusat Fidlot Kebangsaan.

Mandat semasa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya akan berakhir pada April 2013.
'Negara berkebajikan banyak bantu Kelantan'
NURUL NADIA MOHD KAAMARUZAMAN
17 Mac 2012
nik aziz 16mac
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pendekatan beliau memperjuangkan dasar 'negara berkebajikan' sepanjang dua dekad  lalu telah membawa impak besar dalam membantu rakyat Kelantan walaupun ia nampak kecil.
Beliau yang menyandang jawatan Menteri Besar bermula 1990 berkata, sejak mengetuai Kerajaan Kelantan beliau tidak pernah mengambil pemberian elaun-elaun kerajaan, sebaliknya sanggup hidup bersederhana bersama rakyat.
"Saya tidak pernah menggunakan wang kerajaan. Saya tak tinggal di rumah yang disediakan oleh kerajaan.
"Selama ini juga saya tidak ambil elaun yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai contoh sebulan dapat RM5,000. Cuba bayangkan kalau setahun," katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pas di sini, malam tadi.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada majlis malam tadi telah mengetengahkan dasar negara kebajikan pihaknya ketika menyampaikan ucapan dasar pada muktamar Jun lalu.
Pas juga menjadikan konsep negara berkebajikan sebagai tema manifestonya pada Pilihan Raya Umum 2008.
Mengulas pendekatan kepimpinan Kerajaan Negeri, Nik Abdul Aziz juga berkata, elaun sambutan Aidilfitri dan Aidiladha yang diberikan kerajaan iaitu sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 tidak pernah diambilnya.
Jelasnya, tindakan tidak mengambil elaun yang diberi oleh kerajaan telah menjimatkan banyak duit rakyat.
"Jika pemimpin ada sikap begini, rakyat miskin tidak akan jadi bangsat sebab mereka akan dapat bahagian mereka atas keperihatinan kita yang memimpin.
"Kita perlu memimpin berlandaskan dengan cara Islam sebab Islam itu sebuah badan kebajikan yang menolong orang," katanya.
Tambah Nik Abdul Aziz, konsep mengharamkan riba di Kelantan juga membebaskan negeri itu daripada premis judi.
 
Pekerja swasta mati dipercayai ditikam suami

17 Mac 2012
KUALA LUMPUR  - Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan serta luka di tangan dipercayai dibunuh suaminya di ruang tamu rumah di Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian 6.41 petang, wanita berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat daripada kesan tikaman.
"Mangsa merupakan seorang pekerja swasta yang tinggal di pangsapuri berkenaan dalam tiga ke empat bulan lepas telah dibunuh di dalam rumah itu dan polis tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh suami mangsa.
"Ketika polis tiba di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu suami mangsa berada berhampiran tubuh isterinya yang sudah tidak bernyawa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
"Kita jumpa sebilah pisau di dalam sebuah bilik di sebelah ruang tamu rumah sementara siasatan yang dilakukan ke atas mayat wanita terbabit pula mendapati kesan luka di bahagian tangannya itu kerana mempertahankan dirinya semasa kejadian.
Mohan berkata polis masih menyiasat punca sebenar kejadian bagaimanapun tidak menolak ia berpunca daripada perselisihan faham suami isteri.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama
Polis AS tahan Clooney di Kedutaan Sudan

17 Mac 2012
coolney_new
WASHINGTON - Bintang filem Hollywood, George Clooney ditahan atas kesalahan keingkaran sivil ketika mengadakan demonstrasi di luar Kedutaan Sudan di sini, semalam.
Pelakon itu mengambil bahagian dalam protes mengingatkan dunia mengenai krisis kemanusiaan di sempadan antara Sudan dan Sudan Selatan.
Bapanya, Nick juga ditahan ketika demonstrasi itu.
George Clooney, seorang aktivis, telah beberapa kali mengadakan kunjungan ke rantau itu.
Dia bersama bapanya dan juga beberapa aktivis dibawa dari lokasi protes dengan tangan digari selepas mengingkari amaran polis agar meninggalkan kawasan kedutaan.
Turut ditahan ialah Martin Luther King III, anak pemimpin hak asasi sivil; Ahli Kongres Jim McGovern dan Jim Moran, masing-masing dari Massachusetts dan Virginia.
Penahanan pelakon itu dibuat sehari selepas dia mengadakan pertemuan dengan Presiden Barack Obama di White House untuk membincangkan situasi di Sudan.
'Jangan sampai adat susahkan urusan kahwin'
norhasram Mohamad
16 Mac 2012
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang Melayu tidak terlalu memberi tumpuan pada soal adat dan budaya sehingga menyusahkan urusan perkahwinan termasuk "terpaksa berhutang."

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, urusan perkahwinan sepatutnya dipermudahkan dan tidak wajar membiarkan diri dibebani pelbagai 'gangguan' budaya Melayu.
“Soal nikah kahwin dalam Islam adalah perkara yang amat digalakkan dan boleh disempurnakan walaupun hanya dengan mas kahwin 'cincin besi'.
“Malangnya, pengaruh masyarakat yang mahukan keindahan budaya Melayu ditonjolkan yang menjurus kepada kemewahan dan pembaziran menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut,” katanya.
Nik Abdul Aziz berkata, bakal pengantin dan keluarga sepatutnya hanya memikirkan belanja mas kahwin dan jamuan untuk tetamu sahaja.
Budaya Melayu yang mahu ditonjolkan katanya, menunjukkan banyak duit tapi pada hakikatnya banyak antara masyarakat yang terpaksa berhutang.
"Kita lihat banyak pameran perhiasan, pintu gerbang perkahwinan yang sengaja dibuat-buat sedangkan ia memakan banyak belanja," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika tidak kena caranya, si suami mungkin terpaksa mengambil semula mas kahwin dan berhutang dengan isteri kerana mahu melangsaikan pinjaman persiapan majlis perkahwinan.
"Padahal mas kahwin itu seratus peratus milik isteri, tetapi akhirnya habis di tangan suami dek kerana hutang yang banyak," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz menyelar pihak yang mendakwa Kelantan sebagai negeri termiskin di negara ini.
Katanya, sindiran sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana Kelantan juga negeri dalam persekutuan Malaysia yang sepatutnya dilayan serupa dengan negeri-negeri lain.
"Kalau kita berkereta ke sempadan Terengganu di Bukit Yong, Pasir Puteh, kita dapat lihat dengan jelas perbezaan keadaan jalan antara dua negeri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana duit yang dibelanjakan kerajaan persekutuan bukannya milik 'mak bapak' mereka.
"Sebab tu saya tidak akan halalkan sedikitpun harta Kelantan seperti royalti minyak yang dinafikan sekian lama, saya tidak akan halal sesenpun dan mengajak semua rakyat menuntutnya di hadapan Allah di akhirat nanti," katanya.
Bapa Dirang diusir ke Filipina, tak terlibat kes bunuh
MOHD FIRDAUS YON
16 Mac 2012
Siasatan kes bunuh Dirang siap waktu terdekat
JOHOR BAHRU - Polis Johor hari ini mengesahkan bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan sudah diberikan supaya bapa kanak-kanak itu diusir ke negara asal.

"Ayah Nurul tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kes ini. Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan Timbalan Pendakwa Raya adalah supaya dia diusir ke negara asal dan pihak imigresen akan lakukan.
"Dia (bapa Dirang) berasal daripada Filipina dan tidak mempunyai apa-apa dokumen diri sejak sekian lama," kata beliau kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Bapa kandung Nurul Nadirah, Utoh ditahan polis bagi membantu siasatan kes kanak-kanak terbabit di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini pada 8 Mac lalu.
Dia sebelum ini ditahan reman hingga Isnin ini mengikut Seksyen 15 (1)(D) Akta Imigresen.
Nurul Nadhirah, 5, ataupun dikenali sebagai Dirang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu. Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Berikutan kehilangan mangsa, polis menahan tiga orang jiran mangsa yang merupakan penagih dadah dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan menunjukkan penjenayah yang disyaki membunuh dan membakar Dirang sudah pun dicekup dan kini ada dalam tahanan polis.

"Kini yang tinggal adalah tiga suspek warganegara tempatan berusia 30-an. Mempunyai rekod terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau hasil siasatan dilakukan. Polis akan memohon perintah tahanan reman ke atas dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan yang ditahan sebelum ini, di Mahkamah Majistret di sini esok," katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, seorang lelaki ditahan di Machang, Kelantan berhubung isu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan untuk mendapatkan wang tebusan.

"Tangkapan sudah dibuat di Kelantan seperti mana yang kita tahu ibu Dirang, Roselyn Alan ada menerima SMS daripada individu yang meminta wang daripadanya.

"Seorang lelaki dicekup polis dan tiga telefon bimbit dimiliki dirampas. Salah satu daripada tiga telefon bimbit ini digunakan untuk menghantar SMS terbabit," katanya.
Adun terkejut keretanya dipecah
GOKINA MORGANAN
16 Mac 2012
cermin pecah
GEORGETOWN - Adun Pulau Betong, Muhammad Farid Saad kerugian lebih  RM2,000 selepas keretanya yang diletakkan tepi jalan berdekatan Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, dipecahkan petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang, beliau yang baru selesai menunaikan solat Jumaat, terkejut apabila mendapati cermin hadapan bahagian pemandu dan penumpang belakang kereta miliknya pecah.

Menurutnya, beliau singgah di masjid itu menunaikan solat Jumaat  sebelum mengambil anak perempuannya yang menghadiri kursus di  Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas.

"Sebaik tiba di kereta, saya terkejut apabila melihat serpihan cermin kereta bertaburan. Cermin tingkap tempat belakang di sebelah kanan turut dipecahkan.

"Saya dapati satu beg yang mengandungi komputer bimbit bernilai lebih RM2,000 dan semua dokumen serta gambar penting  dicuri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, barang lain seperti kotak yang mempunyai topi dan baju 1Malaysia tidak diambil.

Muhammad Farid membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau.
'Umat Islam lalai dengan hiburan melampau'
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
16 Mac 2012
Ahmad Mahad Adam
ARAU - Munculnya pusat hiburan dan karaoke yang tumbuh bagaikan cendawan di Perlis menjadi antara punca umat Islam lalai dan kurang mengamalkan ajaran agama.

Imam Masjid Negeri, Ahmad Mahad Adam berkata, sehingga kini, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 300 premis pusat hiburan dan karaoke dibuka di Perlis dan kebanyakannya turut menawarkan perkara ke arah maksiat seperti minuman keras dan dadah.

Menurutnya, kesan besar kewujudan pusat itu membawa kepada pembaziran masa, kerosakan akhlak, gejala sosial, pendedahan aurat, pergaulan bebas lelaki dan wanita yang menjadi punca penzinaan serta masjid dan surau tidak diimarahkan.

"Dalam surah Al-An'am ayat 32, ALLAH SWT mengingatkan kita semua tentang hakikat sebenar kehidupan di dunia ini dengan dunia diibaratkan sebagai tipu daya sia-sia dan hiburan melalaikan.

"Tetapi kebanyakan umat Islam sekarang ini seolah-olah tidak mempedulikan peringatan ALLAH SWT ini serta terjebak dengan budaya hiburan kafir yang melampau dan melalaikan," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat semalam.

Dalam khutbahnya, Ahmad menegaskan kebanyakan ulama Ahli Sunnah Waljamaah sepakat mengeluarkan fatwa haram terhadap nyanyian dan muzik yang melalaikan dan sia-sia berlandaskan dalil Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Beliau berkata, Islam meletakkan batasan agama ketika mencari hiburan agar manusia tidak lalai dan alpa daripada mengingati ALLAH SWT.

"Orang Islam seringkali diperingatkan segala kenikmatan di dunia hanyalah sementara. Justeru gunakan kenikmatan itu untuk mencari keredhaan dan rahmat ALLAH SWT," katanya.

Ahmad turut memberi peringatan kepada pihak yang mengeluar dan meluluskan lesen pusat hiburan dan karaoke bahawa mereka akan disoal pada hari akhirat kelak.

"Hal ini disebabkan mereka bersekongkol dan bersubahat dengan mereka yang berkaraoke serta berhibur secara melampau.

"Justeru, mimbar menyeru kepada semua terlibat dengan hiburan yang melampau insaf dan bertaubat atas perbuatan maksiat itu. Marilah kita semua kembali mencari hiburan yang mententeramkan jiwa serta berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW," katanya.
Nadzmi Salleh berundur dari Proton

16 Mac 2012
Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh meletakkan jawayan sebagai Pengerusi dan Pengarah Proton Holdings Bhd, berkuatkuasa serta merta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pembuat kereta nasional itu berkata, peletakan jawatannya adalah sebahagian daripada syarat yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli (SSPA) antara Khazanah Nasional Bhd dengan DRB-Hicom Bhd.

"Kami ingin menegaskan bahawa peletakan jawatan Nadzmi sebagai pengerusi lembaga pengarah Proton dan jawatan-jawatan lain oleh sebab jawatannya sebagai pengarah, adalah sebahagian daripada terma-terma SSPA itu," kata Proton.

Nadzmi, 57, yang dicalonkan oleh Khazanah, telah dilantik sebagai Pengerusi Proton pada 1 Jan, 2009 dan juga sebagai pengerusi lembaga pengarah anak-anak syarikat dalam kumpulan syarikat Proton.

Sebelum ini beliau berkhidmat dengan syarikat kereta nasional itu sebagai Pengarah Urusannya dari 1993 hingga 1996.

Pada 16 Jan, DRB-Hicom menandatangani SSPA dengan Khazanah untuk membeli 42.74 peratus modal saham terbitan dan berbayar Proton dengan harga RM1.291  bilion.

Sebelum perjanjian itu, Nadzmi telah membayangkan hasratnya untuk membeli kepentingan milik cabang pelaburan kerajaan itu dalam Proton. - Bernama

Tiada ulasan: