Khamis, 15 Mac 2012

BILA TIDAK AMANAH MENJADI PRINSIP HIDUP...ATAU HIDUP DENGAN TAK AMANAH TAK KISAH...YANG PENTING HIDUP MEWAH....

Dialog Berhad jadi anak emas baru Petronas?

Muhammad Faizal, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mempersoalkan kenapakah sebuah syarikat bernama Dialog Berhad menjadi anak emas kepada pengurusan tertinggi Petronas sehinggakan mendapat projek berjumlah RM60 bilion.

"Perdana Menteri dalam janji awalnya ketika mengambil alih pentadbiran negara telah menyatakan bahawa “...the era where the government knows the best is over.” Namun begitu, hal yang berlaku adalah sebaliknya," jelasnya ketika berbahas dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada masa yang sama, beliau mendesak kerajaan agar kerajaan memberi penjelasan jujur berhubung projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor yang mana Najib telah mengumumkan projek bernilai USD20 bilion (RM60 bilion) itu secara tergesa-gesa di awal pagi.

"Mekanisme untuk menjamin ketelusan faedah jangka panjang dan prinsip value for money dalam proses penganugerahan kontrak ini. Daripada sumber kuat dalaman Petronas dan juga daripada masyarakat industri oil and gas, projek yang bernilai USD 20 bilion ini akan dianugerahkan kepada Dialog Berhad.

"Sekiranya maklumat ini benar, apakah hubungan Dialog Berhad dengan pengurusan tertinggi Petronas?" soalnya.

Tambahnya lagi, Dialog Berhad sekarang dilihat sebagai anak emas kepada pengurusan tertinggi Petronas, tetapi apakah Petronas telah menjalankan kajian sepenuhnya dan juga risiko pengurusan memandangkan projek ini mempunyai nilai yang besar.

"Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, apakah Petronas telah jalankan kajian sepenuhnya dan juga risiko pengurusan memandangkan projek ini bernilai besar, malah bagi projek rapid dan apakah dasar tender terbuka akan dilaksanakan oleh Petronas.

"Saya juga ingin mengetahui status pengambilan tanah untuk projek RAPID yang melibatkan 7 buah kampung dan lebih 900 keluarga. Apakah nilai pampasan yang dibayar kepada penduduk-penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah tersebut," sambungnya lagi.

Pada Oktober 2011, Dialog Berhad telah dianugerahkan kontrak Tanjung Langsat Storage Tank Terminal Facilities di Johor dengan nilai hampir RM400 juta.
Dialog Berhad diberikan pegangan saham sebanyak 40 peratus sedangkan MISC hanya diberikan 33.3 peratus dan China Aviation Oil (Singapore) diberikan 26 peratus.

Menurut beliau lagi, Petronas juga telah menganugerahkan Risk Service Contract bagi Balai Pembangunan Balai Cluster Marginal Field kepada Konsortium yang terdiri daripada Dialog Berhad, Petronas Carigali dan Australia ROC Oil.

"Saya ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, mengapa Dialog Berhad mendapat kontrak bagi Balai Cluster Marginal Field yang bernilai USD 1 Bilion sedangkan Balai Cluster tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja-kerja carigali minyak.

"Dalam konsortium ini, Dialog Berhad diberikan saham sebanyak 32 peratus, Petronas Carigali 20 peratus dan Australia ROC Oil 48 peratus.

Azmin turut mempersoalkan mengapa Petronas membenarkan Dialog Berhad menjadi pemegang saham yang lebih besar daripada Petronas carigali sedangkan Petronas Carigali mempunyai memiliki keupayaan teknologi, kewangan serta pengalaman carigali di 32 buah negara selain daripada Malaysia.
Apakah kriteria pemilihan rakan kongsi dalam konsortium ini selain daripada teknologi dan keupayaan yang dimiliki oleh Petronas carigali dan Australia ROC Oil, soalnya.

Bila tidak amanah, zakat pun diseleweng

Hazayani Zakaria, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Apabila kerajaan menganggap kuasa yang dimiliki mereka sebagai peluang melakukan apa sahaja dan bukan amanah yang perlu dijaga, maka akan berlakulah segala kepincangan dalam pentadbiran negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar setelah dipilih rakyat melalui pilihan raya.

"Tanggungjawab menjadi kerajaan adalah amanah. Bila diberi peluang menjadi kerajaan bukan bermakna boleh melakukan apa sahaja.

"Apabila ada sikap mahu melakukan apa sahaja, berlakulah kecelaruan dan penyelewengan.

"Konsep memilih pemimpin juga adalah amanah terbesar. Rakyat yang menyertai pilihan raya pun menjalankan amanah," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan yang tidak menjaga amanah yang diberi menyebabkan wang rakyat termasuk zakat diseleweng untuk kepentingan mereka.

"Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan.

"Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran.

"Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan," katanya.

Tambahnya, sikap kerajaan yang mengambil kesempatan di atas kuasa yang ada juga menyebabkan kebajikan rakyat diiketepikan.

"Ini  termasuklah duit KWSP, Tabung Haji disonglap, diambil di tengah jalan.

"Ini kerana kerajaan menganggap menjadi pemimpin adalah peluang, bukan untuk menunaikan amanah termasuk tabung haji sebagai contoh.

"Tabung haji pada awalnya ditubuhkan untuk memberi khidmat untuk orang menunaikan haji. Tapi jadi perniagaan. Khidmat tabung haji tak banyak, lebih besar untuk mengaut keuntungan," katanya.

Menyentuh mengenai pilihan raya  pula, beliau berkata penggunaan dakwat kekal sahaja belum menjamin pilihan raya yang bersih.

Katanya, selagi elemen-elemen lain tidak diperbaiki, pilihan raya tidak akan memenuhi prinsip demokrasi.

"Penggunaan dakwat kekal sahaja tidak menjamin pilihan raya yang adil. Selagi ada undi pos, pengundi yang meragukan, media yang tidak adil, selagi itulah pilihan raya tidak boleh dianggap bersih," katanya.

Soalan wakil rakyat PAS di Parlimen 14 Mac

Harakahdaily, 14 Mac 2012
Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta PERDANA MENTERI menyatakan prestasi semasa pelaburan FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) di dalam dan luar negara serta sejauh manakah kajian mendalam yang dibuat mengenai buruk baik penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

Dr. Mujahid bin Haji Yusof Rawa
[ Parit Buntar ] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan berapakah jumlah pelaburan asing (RM) dari Taiwan ke Pulau Pinang dari 2008 hingga sekarang serta senaraikan pelabur-pelabur tersebut.

Datuk Taib Azamudden bin Md Taib
[ Baling ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan sejauh manakah impak pemberian Baucar Buku 1Malaysia terhadap mengurangkan beban semasa mahasiswa.

Tuan Haji Che Uda bin Che Nik
[ Sik ] minta PERDANA MENTERI menyatakan mengenai Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sedang di semak semula, adakah golongan pendidikan (Guru) diberi keanggotaan yang cukup dalam Jawatankuasa Semakan Semula, ini kerana kakitangan Kementerian Pelajaran mewakili separuh dari jumlah Kakitangan Awam yang ada di negara ini. Adakah Kerajaan memikirkan perlu untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja untuk menyusun semula Skim Perkhidmatan Pendidikan (Guru) yang berkecamuk itu.

Datuk Kamarudin Bin Jaffar
[ Tumpat ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah royalti atau lain-lain bayaran dan namakan negeri-negeri yang menerima bayaran tersebut daripada PETRONAS pada tahun 2011.

Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli
[ Kuala Krai ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan sama ada Program Meningkatkan Bekalan Daging yang dilaksanakan oleh NFC Sdn. Bhd. dikategorikan sebagai berjaya atau gagal mencapaiobjektifnya.

Datuk Seri Abdul Hadi bin Awang
[ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan hasil menyeluruh pelaksanaan pendekatanIslam Hadhari oleh Kerajaan dan apakah hala tuju pendekatan tersebut di masa hadapan setelah diwujudkan beberapa institusi berkaitanseperti Institusi Islam Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM).

Datuk Haji Wan Abd Rahim bin Wan Abdullah
[ Kota Bharu ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan status terkini pembinaan Jambatan ke-2 Sultan Yahya Petra Kota Bharu.

Guru Kafa diperalat Umno Kota Bharu?

Harakahdaily, 14 Mac 2012

KOTA BHARU, 14 Mac: Ramai guru yang berjawatan kontrak dan sementara di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) merungut memanjang apabila mendakwa mereka menjadi mangsa kepada pemimpin politik.

Antaranya guru-guru Kelas Al Quran, Jawi dan Fardhu Ain (Kafa) secara berterusan menjadi mangsa ‘kerahan’, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Tahun lepas mereka dipaksa memindahkan tempat mengundi ke Dun Bunut Payong juga atas arahan orang politik yang berkepentingan.

Lebih menghairankan mereka ada juga arahan datang daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Keluarga guru Kafa terbabit ketika ditemui menjelaskan anak mereka sering diperalatkan hadir pada program anjuran Umno sama ada diadakan di bangunan Umno atau tempat-tempat lain.

“Malam ini ada arahan supaya guru-guru Kafa hadir di bangunan Umno di sini. Khabarnya arahan tersebut ada kaitan dengan pegawai di PPD,” katanya di sini.

Malah ketika roadshow bekas ahli PAS yang dipecat, Datuk Dr Hassan Ali di Taman Guru Febuari lalu, guru-guru Kafa yang mengajar di sekitar Kota Bharu diarah secara lisan hadir pada program berkenaan.

Perkara itu turut diakui beberapa guru yang mengajar di kawasan parlimen Kota Bharu apabila mendakwa arahan dibuat PPD supaya hadir pada program berkenaan.

Mereka mempersoalkan mengapa guru-guru Kafa kebelakangan ini dijadikan seumpama ‘bola’ oleh pemimpin Umno bagi kepentingan politik kumpulan terbabit.

Sumber lain mendakwa pegawai PPD Kota Bharu disebut-sebut bakal dicalon mewakili BN di Dun Bunut Payong pada pilihan raya umum ini.

“Umno memperalatkan guru-guru Kafa kerana program yang diadakan bersama masyarakat tidak mendapat sambutan. Jadi guru-guru Kafa dikerah bagi menampakkan ramai yang datang,” kata keluarga guru Kafa berkenaan.

Dalam perkembangan lain di Lundang semalam pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) difaham dihimpunkan pada satu program ‘brainwash’ bagi mendengar ceramah politik disampaikan pegawai dari BTN.

Kata sumber, program tersebut dirasmikan ahli lembaga pengarah Kada, Datuk Hanafi Mamat yang juga Ketua Umno Pasir Mas.

“Program tersebut menjadi medan politik memburukkan kerajaan negeri dan PAS dilempar penceramah jemputan dan pemimpin Umno terbabit.

“Mereka menunjukkan gambar Menteri Besar hadir pada program di Wat Siam sebelum ini dan mengaitkan kerajaan negeri membantu penganut agama berkenaan,” ujar sumber itu.

Peguam kaji dokumen Umno jual tanah kerajaan

Nazli Ibrahim, Selangorku, 14 Mac 2012
SHAH ALAM, 14 Mac: Peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar) sedang meneliti dokumen berkaitan penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor oleh Umno Bahagian Tanjung Karang kepada sebuah syarikat.

“Hendak memberi pandangan daripada segi perundangan tanpa kita melihat dokumen itu susah juga untuk membuat keputusan.

“Saya tidak pasti daripada segi perundangan samada boleh ataupun tidak tanah ini diberikan kepada parti politik,apa yang saya tahu,ia mesti diberi kepada pemegang amanah, jika pindah milik tanah kepada parti politik daripada segi undang-undang tidak boleh.” kata beliau yang juga bekas calon Parlimen Tanjung Karang ketika PRU 2008 lalu.

Umno Tanjung Karang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Hanipa yang dihubungi TVSelangor menjelaskan adalah menjadi kesalahan jika pihak yang membuat keputusan pemberian tanah jika ada kepentingan dalam penjualan tanah itu yang bertentangan dengan undang-undang.

"Jika contohnya si A hendak memberi tanah kepada si B. Tiba-tiba si A ini ada kepentingan dalam tanah yang hendak dapat ini maknanya di sini ada kepentingan pecah amanah dan rasuah serta sebagainya,” katanya.


Bagi tanah kepada Umno

Sebelum ini,menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman, PAS Tanjung Karang ketika ini sedang mengumpulkan fakta kes terbabit sebelum menyerahkan kepada pihak guaman yang dilantik untuk tindakan selanjutnya.

“Sekarang PAS Tanjung Karang sedang kumpulkan fakta berkaitan kes ini.

“Kebanyakkan fakta kami dah perolehi, cuma tinggal beberapa perkara yang masih diteliti sebelum kami bawa kepada pihak guaman untuk tindakan selanjutnya buat laporan SPRM,” beritahu beliau.

Terdahulu, TVS dan Selangor Kini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor ketika di bawah pentadbiran BN telah menganugerahkan sebidang tanah milik kerajaan negeri kepada Umno bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun pada sekitar 2007, tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional telah dijual oleh Umno Tanjung Karang kepada dua buah syarikat swasta, Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada harga yang tidak diketahui.

Carian yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang memiliki kepentingan di salah satu syarikat terbabit.

Syarikat tersebut turut membuat permohonan untuk mendirikan hotel di atas tanah seluas 4,370 meter persegi yang turut terdapat sebuah gimnasium yang telah dikosongkan.

Tiada ulasan: