Rabu, 28 Mac 2012

JENIS BANYAK SONGEH NI BANYAK...BERLAGAKLAH...MENGURATLAH...TUNJUK KUASALAH...TAK GUNA BUDI BICARA..DAN BERHEMAH..TAPI ADA JUGA SANGAT BAIK DAN SOPAN...TAHNIAH BAGI ORANG YANG BEGINI

Tender terbuka: MBSA jimat RM15 juta

Abdul Aziz Mustafa, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menjimatkan sebanyak RM15 juta setahun hasil pemberian kontrak melalui tender terbuka, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (gambar).

Ketika menyanggah tuduhan dari Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Khalid berkata kontrak melalui tender terbuka itu berjaya dilaksanakan setelah kontrak Alam Flora Sdn Bhd diberhentikan.

Sebelum itu, kata Khalid, Bung Moktar telah mengeluarkan tuduhan bahawa kontrak angkat sampah di MBSA telah dilakukan dengan cara yang tidak telus dan mengamalkan kronisme dan sebagainya.

"Saya hendak bagi tahu kepada Yang Berhormat Kinabatangan, semua kontrak itu telah diserahkan melalui proses tender yang terbuka dan dengan izin the result speak for itself iaitu natijah yang telah tercapai pihak MBSA telah dapat mencapai penjimatan sebanyak RM15 juta setahun," kata Khalid.

Beliau yakin, selepas ini kontraktor-kontraktor yang baru itu akan menstabilkan operasi mereka dan perkhidmatan yang semakin baik akan dapat dilihat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga menyangkal pelbagai tuduhan berkaitan isu pasir di Selangor.

"Begitu juga dalam soal isu pasir, telah ditimbulkan bermacam-macam-macam tuduhan adanya penyelewengan dan sebagainya tetapi sekali lagi saya rasa natijah itu adalah bukti dengan sendirinya akan kebaikan pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri Selangor di mana pendapatan daripada royalti pasir pada zaman Barisan Nasional (BN) adalah hanya sebanyak RM4 juta setahun tetapi di bawah Pakatan Rakyat tahun lepas kerajaan telah menerima royalti sebanyak RM16 juta dan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Semesta Sdn. Bhd. telah mencatat keuntungan sebanyak RM26 juta.

"RM16 juta campur dengan RM26 juta bermakna RM42 juta berbanding dengan hanya RM4 juta yang telah tercapai semasa zaman pemerintahan BN.

"Ini adalah bukti, tidak payahlah hendak buat tuduhan-tuduhan dan sebagainya," kata Khalid.

Khalid menyifatkan pelbagai tuduhan tidak berasas itu berpunca dari keadaan yang begitu mendesak bagi BN kerana mereka tidak mempunyai satu isu untuk hendak menyerang Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Menyentuh isu keselamatan rakyat dalam ucapannya itu, Khalid berkata walaupun indeks keselamatan nampaknya baik tetapi "tiap-tiap hari ada kanak-kanak yang kena curi".

"Lalu saya pun tidak fahamlah apa yang dimasukkan di dalam indeks dan apa yang berlaku di dalam dunia yang nyata.

"Kes Nurin, kes Sharlini dan lain-lain yang terbaru iaitu Nurul Nadirah ataupun Dirang yang mana dijumpai sudah dibunuh dan dibakar," katanya.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu amat menyedihkan.

"Begitu juga dengan kes penculikan di Shah Alam Seksyen 8, Nazatul Fardhiana telah dijumpai di Bangkok dua bulan selepas itu yang mana dia dapat lepaskan diri daripada orang-orang yang
menculiknya, kena tangkap, balik dipukul, selepas itu dia lepaskan diri.

"Sekali lagi kena tangkap, sekali lagi dipukul sekali lagi. Selepas itu berjaya melepaskan diri dan bertemu dengan polis di Bangkok dan Alhamdulillah sekarang ini sedang berada di Shah Alam.

"Akan tetapi malangnya hari kita terima berita dia pulang ke Shah Alam, hari itu juga kita dapat berita tentang kes Siti Nor Fatihah iaitu seorang gadis 15 tahun di Kuantan diculik pada 3 petang di kawasan kedai," kata Khalid.

Beliau menyifatkan itulah indeks keselamatan yang ada di negara Malaysia "yang amat malang".

Indeks keselamatan itulah, menurut Khalid, yang "mungkin boleh hantar potongan laporan pihak yang membuat kajian itu kepada ibu bapa mereka yang telah diculik, yang telah hilang dan sebagainya".

Proses bicara pengundi pos di Ketereh tercemar?

Harakahdaily, 28 Mac 2012
KETEREH, 28 Mac: Perbicaraan bantahan pengundi pos di Pejabat Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam semalam mencetus tidak puas hati pembantah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan borang A yang difotostep (salinan).

Pada perbicaraan hari pertama (kelmarin) pembantah mengesan tandatangan pemohon pengundi pos tidak sama dengan borang yang ada pada SPR.

Keadaan itu menyebabkan pengadil yang terdiri daripada Pengarah SPR Kelantan, Mohamad Mahmood dan dua lagi pegawai kanan SPR menerima bantahan dibuat.

“Bagaimanapun disebabkan tandatangan borang A yang ada pada pemohon tidak sama dengan borang dimiliki SPR menyebabkan taktik baru pula dikesan dengan menampilkan borang A yang difotostep semalam.

“Saya hairan bagaimana pengadil boleh menerima pakai borang yang hanya difotostep. Kemungkinannya taktik itu dibuat bagi mengelak pembantah dapat mengesan tandatangan yang berbeza.

“Malah semalam juga perbicaraan empat isteri anggota tentera yang tidak membawa borang asal ditunda seketika, tetapi tidak lama kemudian tiba-tiba SPR memberitahu bantahan ditolak,” kata Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood (gambar).

Menurutnya ditemui juga ada anggota tentera yang dikesan sudah bersara turut disenarai sebagai pengundi pos di Dun Kok Lanas.

Kata beliau 10 bekas tentera tersebut selepas disemak di kem tempat bertugas didapati sudah menamatkan perkhidmatan, namun muncul pula sebagai pengundi pos baru.

Pada perbicaraan semalam juga 10 isteri anggota tentera hanya memiliki borang A yang difotostep. Ekoran itu menyebabkan perbicaraan kes berkenaan ditunda.

Turut ditemui pembantah ada isteri anggota tentera yang bertugas di negeri lain termasuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan juga disenarai sebagai pengundi pos di Kem Desa Pahlawan.

Ada juga kes ditemui anggota tentera yang mengaku berpindah ke negeri lain disenarai sebagai pengundi pos baru.

Malah lebih meragukan apabila ditemui seorang pengundi bernama Rosli Abdul Rashid didapati mempunyai tempat mengundi di dua lokasi berlainan iaitu di Kem Desa Pahlawan dan Pangkal Kalong.

Nik Mahadi berkata, pada perbicaraan tiga hari itu ditemui 17 bekas anggota tentera yang sudah bersara disenarai sebagai pengundi pos baru.

“Saya amat berharap SPR menyelidik terlebih dahulu permohonan pengundi pos kerana sudah terbukti ada tentera yang sudah bersara disenarai semula sebagai pengundi pos.

“Begitu juga pengundi pos di kalangan isteri anggota tentera hendaklah dibuat secara telus kerana banyak kes mereka tidak pernah memohon mengundi pos.

“Persoalannya siapa yang memohon bagi pihaknya kalau bukan sindiket yang ada kaitan dengan parti pemerintah,” katanya.

Bas TUDM

Isteri anggota tentera yang hadir pada perbicaraan hari ini dilihat datang dengan bas milik Tentera Udara Malaysia yang berpangkalan di Gong Kedak, Jertih.

Malah ramai suami (anggota tentera) mengasuh anak kecil ketika isteri memasuki bilik perbicaraan.

Difahamkan ada pihak yang membiayai kedatangan mereka biar pun tidak kelihatan wakil Umno berada di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Perbicaraan senarai pengundi pos bagi suku keempat itu membabitkan seramai 129 pemilih termasuk tiga pengundi awam.

Bersih 2.0 lancar Jom 100% keluar mengundi

Harakahdaily, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Bersih 2.0 akan melancarkan kempen ‘Jom 100 Untuk 100% Keluar Mengundi Pada Pilihan raya ke-13’ di utara Semenanjung pada 6 April di Kompleks Hijau Kuning, Alor Star.

Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Dr Toh Kin Woon berkata, sebelum itu beberapa roadshow akan diadakan iaitu di Sungai Petani dan Alor Setar pada 30 Mac, Kulim, Bukit Mertajam dan Pulau Pinang (31 Mac) dan Seberang Selatan dan Daerah Kerian, Perak (1 April).

“Kami juga mengalu-alukan sebarang cadangan untuk membuat roadshow di negeri Perlis dan di tempat lain di bahagian zon utara Semenanjung Malaysia.

“Kami menyeru semua parti politik, organisasi, serta individu agar turut menyokong aktiviti-aktiviti Bersih2.0 ini dengan mengambil bahagian dalam roadshow kami,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pakaian kuning digalakkan.

Bagi mereka yang berminat, sila hubungi ahli sekretariat Suaram cawangan Negeri Pulau Pinang, Ong Jing Cheng 012-7583779 demi bersama-sama menjayakan kempen JOM 100 di peringkat bahagian zon utara Semenanjung Malaysia.

Suaram cawangan Pulau Pinang merupakan sekretariat bagi kempen JOM 100 di zon utara Semenanjung Malaysia.

PR tak puas hati JK Parlimen perbaharui p'raya

Hazayani Zakaria, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat tetap tidak berpuas hati dengan kerajaan yang didakwa tidak mengambil kira cadangan jawatankuasa khas parlimen (PSC) mengenai pembaharuan pilihan raya.
Ini kererana penipuan dalam daftar pemilih masih berlaku meskipun anggota PSC mengemukakan cadangan mengenai pembersihan daftar pemilih.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga ini juga tiada jaminan segala cadangan pembaharuan pilihan raya yang dibuat jawatankuasa tersebut akan digunakan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat masih melahirkan bantahan keras kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sehingga sekarang belum dapat membersihkan senarai daftar pemilih walaupun pilihan raya umum semakin hampir.

"Nyata jawatankuasa ini hanya diberi ruang memanggil SPR kemudian ada ahli jawatnkuasa yang kemukakan bukti, kemudian SPR betulkan.

"Lebih serius tiada sebarang jaminan daripada kerajaan berkenaan perkara ini (senarai daftar pemilih) bahawa mereka akan laksana cadangan ini sebelum pilihan raya akan datang.

"Jadi Pakatan Rakyat  akan tingkatkan kempen untuk dedahkan maklumat mengenai penipuan daftar pemilih," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini. (Gambar atas: Foto Suara Keadilan)

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh.

Kerana salam di kedai kopi, dituduh lompat parti

Salmiyah Harun, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Hanya kerana bersalam dengan Ketua Pemuda Umno, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) dituduh mahu melompat parti.

Salleh yang kebetulan berjumpa dengan pemuda Umno itu ketika sedang menjamu selera di sebuah kedai mi udang di Sungai Dua.

"Ketua Pemuda Umno datang jumpa saya, bagitahu abang iparnya sudah meninggal dunia, dan memang saya kenal sebab duduk satu kampung," ujarnya ketika menghubungi Harakahdaily.

Beliau baru pulang dari Mekah dan tidak mengetahui kematian abang ipar Pemuda Umno berkenaan.

Semasa menghubungi Harakahdaily, kedengaran beliau ceria dan bergelak tawa sebaik sahaja diajukan dakwaan itu.

Kebetulan pula, menurut beliau, pemuda dan wanita serta puteri Umno pun menjamu selera di kedai yang sama.

"Mungkin mereka yang ambil gambar saya bersalam dengan pemuda Umno sudah membuat persepsi saya keluar PAS. Ingat senang-senang ke nak lompat parti? Tuduhan tak kena orang," katanya.

Salleh yang menganggap tuduhan itu sangat terdesak dan mempamerkan ketidakcerdikan orang yang melaporkan tanpa bersandarkan kepada sumber yang tepat.

"Saya minta, rakyat Pulau Pinang jangaan terpengaruh dengan dakyah Umno. Mereka tidak ada modal. Saya dan PAS Pulau Pinang berdiri teguh dengan Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Lim Guan Eng," katanya yang meminta pihak berkenaan tarik balik kenyataan itu.

Salleh Man menafikan spekulasi bahawa beliau merancang untuk melompat atau meninggalkan parti kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan itu dibuat oleh "budak Umno" yang menangkap gambarnya bersama Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said dan penyelaras BN Permatang Pauh, Rahim Man.

Saleh berkata, mereka hanya bersalaman dan tidak banyak bercakap sebelum beliau beredar selepas mendapati sekumpulan anggota Puteri Umno mengadakan pertemuan di situ.

Sebelum ini, terdapat dakwaan di blog yang tidak dikenali berhubung spekulasi melompat parti itu dengan menyandarkan kepada gambar pertemuan itu.

Tiada isu berat sebelah Speaker Selangor

Harakahdaily, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat pembangkang di negeri itu cuba meraih populariti murahan dengan cubaan untuk mensensasikan berita keluar dewan.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, ini kerana mereka ingin menutup kelemahan dan salah laku semasa memerintah negeri Selangor seperti mana yang telah didedahkan di dalam sidang Dun Selangor.

Sehubungan itu, katanya Pemuda PAS negeri menyelar tindakan tidak matang dan kebudak-budakan Adun pembangkang dari Barisan Nasional yang bertindak keluar dewan hanya disebabkan membantah tindakan Speaker Dewan Selangor, Datuk Teng Chang Kim yang telah menghantar SMS kepada Exco Kerajaan Selangor supaya dapat mengambil kesempatan pada sesi penggulungan perbahasan untuk menonjolkan kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan tidak ada isu berat sebelah sebenarnya permintaan Datuk Speaker tentang perkara ini kerana ianya permintaan supaya memperkatakan kejayaan pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dan bukannya meminta untuk melakukan pembohongan dan fitnah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya pihak pembangkang tidak berpuas hati maka bolehlah berhujah balas dengan fakta yang lebih jelas dan bukannya mengambil tindakan ‘tidak cerdik’ untuk meninggalkan dewan.

Pelanggan kesal pegawai BSN yang banyak 'songeh'

Salmiyah Harun, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Tertekan dengan karenah pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) yang banyak 'songeh' lagi menyusahkan, salah seorang pelanggan bank itu akhirnya terpanggil untuk mengadu dengan Harakahdaily.

Dalam surat yang diemelkan kepada Harakahdaily, pelanggan BSN yang dikenali sebagai Nadia Natrah Sabli menceritakan bagaimana beliau dipermainkan dan diperlekehkan oleh pegawai bank di bahagian Kawalan Kredit BSN.


Selain Harakahdaily, dia juga mengadu kepada media lain di samping pihak-pihak yang dirasakan beliau dapat membantu.

Nadia, 27, menghadapi masalah hutang kad kredit yang kini mencecah RM6,149.06, bagaimanapun beliau berusaha untuk melangsaikan hutangnya itu dengan membuat permohonan agar faedah yang dicaj dapat dikurangkan.

Beliau memohon untuk menjelaskan hutang kad kreditnya sebanyak RM3,800,  kerana masalah kewangan yang dihadapinya. Had kad kreditnya hanya RM3,000.

Malangnya, usaha beliau itu menghadapi masalah kerana pihak BSN tidak mahu menunjukkan kerjasama baik.

Dalam pertemuan dengan pihak bank, pegawai berkenaan memberikan diskaun sebanyak RM600 daripada baki semasa di mana Nadia perlu menjelaskan RM5,500, namun Nadia masih tidak mampu menjelaskan.

"Saya teliti dan ambil kira jumlah penggunaan, caj guaman dan jumlah faedah sehingga kad kredit dihentikan amaun sebenar hanya RM3,800 sahaja," luahnya dalam surat tersebut.

Atas sifat tanggungjawabnya, Nadia masih berusaha untuk melangsaikan hutangnya dan sekali lagi Nadia merayu dan menegaskan beliau tidak mampu akhirnya pegawai berkenaan memperlekehkan beliau dengan mencadangkan beliau meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya rasa terhina dengan kata-kata seorang pegawai di sebuah bank yang cukup dikenali," tambahnya.

Tidak cukup dengan itu, pegawai BSN itu pula menakut-nakutkannya dan memberitahu beliau akan ditangkap kemudian dipenjarakan dan rumah pula akan disita.

"Beliau seolah-olah menakutkan dan mengugut Saya. Walaupun begitu saya masih merayu supaya dikurangkan jumlah pembayaran tetapi beliau terus memperlekehkan saya dengan menyuruh saya memberi lima sebab mengapa jumlah perlu dikurangkan," luah Nadia.

Paling mengecewakan Nadia, pegawai terbabit mengatakan BSN adalah bank kerajaan dan kerajaan tidak boleh menanggung kerugian.

Nadia cuba merayu untuk berbincang dengan pegawai atasan  tetapi beliau tidak dibenarkan sama sekali, kerana pegawai itu tidak mahu memberi kerjasama dan bertoleransi dengan beliau.

Berbeza dengan bank-bank lain seperti Hong Leong Bank (Eon Bank Kredit Kad), di mana Nadia juga pernah berhutang kad kredit yang jauh lebih besar jumlahnya iaitu RM9,500.

Tetapi, Nadia berjaya menjelaskan kesemua hutang kad kredit Hong Leong Bank dengan hanya membayar sejumlah RM3,800.

"Pihak Hong Leong lebih mudah berurusan dan membantu serta memberikan kerjasama dengan saya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Jika BSN adalah bank kerajaan, mengapa Nadia sebagai rakyat negara ini diperlakukan sedemikian? Bukankah kerajaan selalu melaungkan slogan 'rakyat didahulukan!', bagi Nadia jika ia bank kerajaan sepatutnya tolong rakyat bukan peras ugut rakyat.

Anak nafi SMS tawar bagi duit kepada pelajar

Harakahdaily, 28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menafikan khidmat pesanan ringkas SMS yang sedang tersebar kononnya mereka menawarkan bantuan kewangan kepada pelajar cemerlang.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ianya sengaja dibuat oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangan Anak yang semakin lantang sejak akhir-akhir ini.

"Saya yakin sebaran SMS palsu ini dibuat dengan maksud mensabotaj dan menjatuhkan nama baik saya," katanya yang juga AJK PAS Pusat kepada Harakahdaily.

SMS palsu itu antara lain berbunyi "ANAK, sebuah NGO prihatin berhasrat membantu pelajar cemerlang dlm bentuk wang ringgit. Boleh hubungi saya MAZLAN ALIMAN di 0137130103 atau 0137430757".

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mengabaikan dan tidak tertipu dengan kandungan SMS palsu yang disebarkan tersebut.

Hapus PTPTN: Sedia pelan pelaksanaan bukan janji sahaja

Mohd Yusof Hadhari Bin Saidon, 28 Mac 2012
Ramai yang sudah mula membicarakan soal kebajikan pelajar iaitu menyentuh soal pinjaman PTPTN. Konsep meminjam, selepas meminjam wajib membayarnya.

Dahulunya kita mendengar khabar, akibat hutang dari pemberian pinjaman PTPTN dikatakan sudah tidak tertanggung, sudah ada timbulnya cadangan pemberian pinjaman perbelanjaan PTPTN akan dihapuskan.

Ini semua dilakukan adalah disebabkan untuk mengurangkan perbelanjaan yang semakin melambung tinggi dan tidak sepadan dengan “perolehan” PTPTN yang sepatutnya dibayar semua oleh peminjam. Pada tahun 2011 sahaja sudah 1.87 juta penuntut membuat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan RM41.6 bilion.

Mendengar berita berkenaan hapus hutang PTPTN oleh Pakatan Rakyat jika diberi mandat memerintah Putrajaya sememangnya tawaran yang sangat hebat buat anak muda khususnya mahasiswa.

Pengumuman ini dibuat sendiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan digantikan dengan pendidikan percuma.

Realiti kehidupan Mahasiswa

Sememangnya kita semua akui, ramai yang masih belum mendapat pekerjaan atau belum berstatus bekerja tetap terpaksa menjelaskan kembali hutang PTPTN, sehinggakan pelbagai tindakan dikenakan kepada mereka termasuk tindakan undang-undang. Dan mungkin ini juga penyebab ramai yang bimbang untuk berkahwin pada usia muda, kerana banyaknya beban hutang yang di tanggung termasuk kemudahan seperti kenderaan, kediaman dan lainnya.

Bercakap berkenaan realiti mahasiswa di Malaysia,  kebanyakkan mereka lebih memilih untuk meminjam PTPTN di sebabkan bukan semua mahasiswa dapat JPA/MARA. Kita juga yakin dan pasti bukan semua mahasiswa yang ada di Malaysia ialah anak-anak ahli politik atau menteri yang boleh hantar anak-anak belajar ke mana-mana universiti luar negara dan juga bukan semua yang dapat belajar di universiti datang daripada keluarga yang di kategorikan sebagai golongan “mampu”.

Janji Pakatan Rakyat

Pada jun 2011 kita pernah mendengar  tuntutan rakyat supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan dan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian dalam negara diberikan keutamaan untuk menerima biasiswa atau pendidikan secara percuma yang di bawa oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP).

DPPWP juga pernah menuntut agar JPA mendedahkan jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap pelajar yang melanjutkan  pengajian di dalam negara berbanding yang pergi ke luar negara. Jika melihat kepada jumlah peruntukan, ramai yang mengakui bahawa dengan kos setiap pelajar yang ditaja keluar negara, Kerajaan mampu untuk menaja 4 orang pelajar belajar di dalam Negara.

Saya sebagai mahasiswa menyambut baik usaha yang di lakukan Pakatan Rakyat bagi menunjukan komitmen mereka peduli masalah kebajikan pelajar. Jika benar ianya dapat di lakukan, pastinya lebih banyak faedah yang lainnya seperti harga tol, harga minyak, cukai dan sebagainya akan di tangani dengan mudah.

Respon Kerajaan


Melihat kepada respon yang diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan janji Pakatan Rakyat untuk memansuhkan PTPTN adalah mustahil untuk dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, pelbagai janji pembangkang sekiranya dilaksanakan juga akan menyebabkan negara muflis dan menjadi lebih teruk daripada apa yang berlaku di Greece dan Kerajaan tidak akan menabur pelbagai janji yang tidak mampu ditunaikan seperti yang dilakukan pembangkang.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, jika Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di hapuskan serta merta, RM40 bilion akan hilang dan tidak akan ada lagi peruntukan untuk masa hadapan.

Bagi saya kerajaan juga pernah berjanji untuk mansuhkan ISA. Tetapi sehingga kini masih menjadi tanda tanya pada rakyat bila akan mansuh? Begitu juga dengan janji untuk meminda AUKU. Adakah ianya tidak termasuk dalam “Kerajaan tidak akan menabur pelbagai janji yang tidak mampu ditunaikan”.

Saya kira kebanyakan ahli politik mula sedar akan perubahan suasana politik khususnya penerimaan politik kepada anak muda. Sekarang bukan lagi zaman “politik janji”, tetapi zaman politik fakta dan bukti. Anak muda sudah lama membandingkan prestasi kepimpinan Pakatan Rakyat serta Kerajaan Umno/Bn.

Bagi saya jika ada idea yang memanfaatkan rakyat, tidak salah kalau dibangkitkan tetapi mestilah memberitahu kepada rakyat bagaimana mereka mahu melaksanakannya. Kemungkinan anak muda khususnya mahasiswa yakin dengan janji yang di buat oleh Pakatan Rakyat untuk hapuskan PTPTN dengan melihat prestasi yang baik dalam urus tadbir empat buah negeri.

Tetapi saya cukup yakin bukan majoriti anak muda hanya akan yakin dengan janji tanpa fakta dan bukti. Saya setuju jika hapus PTPTN tidak dimasukan di dalam Buku Jingga begitu juga dengan hapus Auku, kerana ianya hanya melibatkan mahasiswa bukan rakyat umum. Tetapi jangan ingat orang ramai mudah terpengaruh dengan janji yang dibuat dan tidak peduli bagaimana mereka hendak melaksanakannya.

Adalah lebih baik Pakatan Rakyat turun bertemu anak muda bagi membincangkan soal cadangan perlaksanaan. Mungkin dengan memanfaatkan keuntungan Petronas, yang melebihi RM90 bilion setahun. Atau jika debat antara Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri dapat di laksanakan mungkin boleh di masukkan isu PTPTN sebagai isu penting perbahasan debat.

Ada dua isu penting yang melibatkan janji Pakatan Rakyat kepada mahasiswa iaitu menghapuskan PTPTN dan juga Auku. Anak muda masih menunggu plan perancangan untuk hapuskan PTPTN dan juga Auku, di harapkan Pakatan Rakyat dapat meyakinkan anak muda dengan mengeluarkan fakta dan cara perlaksanaanya jika Pakatan Rakyat dapat menawan Putrajaya kelak.

Ianya sangat penting bagi menepis tuduhan kerajaan berkenaan Negara akan bankrupt dan memastikan anak muda benar-benar yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat untuk mengurus tadbir Negara Malaysia kelak dan membawa Negara kearah yang lebih sejahtera.
-------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah mantan Ketua Penerangan Gamis yang juga aktivis mahasiswa.


Tiada ulasan: