Selasa, 20 Mac 2012

PATUT LAMA DAH TOLAK...BANYAK YANG DAH KENYANG...BAGILAH ORANG LAIN..DAH NAMPAK SANGAT MAKIN BURUK CARA TADBIRNYA...

Pindah kawasan: MB jemput pengerusi SPR buat penjelasan

Muhammad Faizal, 20 Mac 2012
SHAH ALAM, 20 Mac: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, menjemput Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hadir dalam mesyuarat exco.

Tindakan tersebut diambil bagi meminta Abdul Aziz memberi penjelasan tentang apa yang berlaku berhubung dengan permindahan tempat mengundi beliau dan sekumpulan yang lain-lain yang telah dibuat tanpa kebenaran mereka.

Khalid mengulas tindakan SPR memindahkan beliau serta sekumpulan pengundi di Petaling Jaya Utara di Selangor ke kawasan parlimen baru iaitu Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Tindakan itu dibuat SPR dengan cara menukar keseluruhan mereka ke kawasan pilihan raya baru atas alasan pembetulan kawasan pilihan raya mengikut peta negeri.

"Kita mahu Pengerusi SPR beri penerangan dalam mesyuarat exco tentang apa yang telah berlaku, termasuk mengapa ianya berlaku dan bagaimana nama-nama mereka yang diubah itu.


"Beliau juga mesti menerangkan kepada kita bagaimana SPR menentukan bahawa mereka itu bersetuju atau pun tidak dengan permindahan tersebut," katanya di lobi Dewan Negeri Selangor.

Tambah Khalid, tindakan memanggil SPR untuk penjelasan ini dilakukan secara tertib serta meminta kerjasama sepenuhnya dari pengerusinya.

Sebelum ini, melalui semakan dalam laman web SPR mendapati, tempat mengundi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan sekumpulan pengundi yang lain bertukar tempat tanpa pengetahuannya.

Khalid yang sebelum ini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Parlimen Petaling Jaya Selatan, Selangor ditukar ke Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti Malaya di bawah daerah mengundi Universiti.

Transformasi Najib hanya 'transformasi lipstik'

Harakahdaily, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: PAS menganggap segala pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak mengambil alih kepimpinan negara pada 3 April 2009 yang didakwa 'transformasi' hanya ibarat lipstik dan halwa telinga, yang isinya kosong.

AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata transformasi yang dilaungkan Najib sebenarnya bukan perkara dasar, namun ia hanya bersifat curahan dan umpanan duit semata-mata kepada rakyat untuk menyokong BN.

"Transformasi yang diharapkan seperti memerangi rasuah, menghapuskan amalan pencabulan demokrasi, menghormati hak rakyat memilih kerajaan yang mereka suka tidak berlaku.

"Gangguan ceramah oleh penyokong Umno terus berlaku, hak kebebasan bersuara tidak berlaku. Jadi apa yang ditransformasikan oleh Najib?," soalnya.

Lebih memalukan lagi katanya, ketika Najib bercakap soal transformasi timbul soal perbelanjaan pertunangan anaknya dengan kos RM409,767 dengan kos untuk jamuan VIP seramai 36 orang RM18, 792 yang bernilai RM522 seorang.

"Najib riuh rata kampung dengan pemberian RM500 seorang, untuk 3.74 juta rakyat, sedangkan jamuan VIP satu malam RM522. Begitu juga Najib sambut hari jadi beliau dengan kos RM79,053," katanya lagi.

Selain perbelanjaan mewah itu kata Idris, pengumuman pembatalan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SBPA) juga menunjukkan kegagalan transformasi Najib.

Apatah lagi, SBPA itu terpaksa dibatalkan dalam keadaan dibantah banyak pihak ekoran pengumuman untuk skim itu dibuat dengan perbicangan tidak masak.

"Itupun kerana takut kakitangan awam tolak BN di dalam pilihanraya nanti. Berapa banyak wang negara habis kerana membiayai kajian skim ini," soal Idris lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan, selepas ini akan menyusul pula 'musibah' yang akan menimpa kepada Felda, ekoran penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) yang juga turut ditentang veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan pegawai kanan Felda.

Dalam isu tersebut ujarnya, Najib lebih mengutamakan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berbanding nasib peneroka secara keseluruhan.

Dalam isu peruntukan kepada negeri-negeri pula, beliau mempersoal keikhlasan Najib terhadap Selangor apabila peruntukkan sebanyak RM2.9 bilion, diberi bukan melalui kerajaan negeri.

Sikap meninakkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi itu kata Idris menyerlahkan sikap Najib yang mencabul semangat federalisme.

"Najib yang masih tidak memberi royalti gas kepada Kelantan sebanyak RM186 juta setahun. Beliau tidak bertenaga di dalam menghadapi kes NFC sebanyak RM250 juta. Kerana Datuk Sharizat Jalil pun mempunyai rahsia pemimpin Umno yang lain.

"Transformasi Najib tidak mengubah masalah rasuah. Tahun 2010 CPI Malaysia  4.4,  nombor 56 di belakang  Afrika Selatan yang mendapat markah 4.5," katanya sambil memetik kenyataan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan bahawa amalan menganugerahkan projek mega serta kontrak tanpa tender terbuka atau bidaan kompetitif yang masih berterusan.

Isu gadai tanah seperti cerita kedai kopi

M Faqih , 20 Mac 2012
PASIR MAS, 20 Mac: Bagi ramai pemerhati politik akhbar Umno yang dianggap lambang perjuangan Melayu telah kehilangan identiti sebenar berbanding ketika diasaskan pada 1939.

Ketika itu hasil pengorbanan sekelompok kecil orang Melayu di Singapura, Utusan Melayu dilahir bagi memperjuangkan nasib orang Melayu dalam aspek sosial, ekonomi, pelajaran dan politik.

“Sebaliknya hari ini akhbar Melayu itu menjadi alat propaganda bagi memburukkan negeri orang Melayu yang bukan diterajui Umno,” kata Bendahari PAS Kelantan, Hanifa Ahmad.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah melahirkan rasa hairan bagaimana akhbar terbabit boleh mendakwa tanah rizab Melayu di Kelantan tergadai.

“Ini hanya satu propaganda yang bersifat murahan. Ia pasti muncul setiap kali menjelang pilihan raya.

“Agenda mereka cukup jelas bagi mengelirukan rakyat. Namun sekarang perkembangan media baru rakyat boleh mendapat maklumat dengan cepat dan mudah,” katanya di sini.

Akhbar terbabit dalam siri laporan khas hari ini dan semalam mendakwa banyak tanah rizab Melayu di Kelantan tergadai.

Dalam laporan semalam akhbar itu menyebut status quo tanah rizab Melayu di Kelantan kini menjadi tanda tanya apabila semakin banyak dipajak kepada syarikat bukan bumiputera.

Dan hari ini pula didakwa hampir 60,000 hektar tanah milik Ladang Rakyat dipajak kepada syarikat swasta sehingga menyebabkan penduduk kampung teraniaya.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, tidak ada satu pun tanah yang dibangun agensi kerajaan negeri dengan usahasama pihak swasta diberi milik kepada syarikat.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi menafikan laporan akhbar Umno terbabit dan menjelaskan  Ladang Rakyat tidak pernah memajak tanah kepada mana-mana syarikat swasta.

Katanya, syarikat swasta hanya diberi izin mengusaha hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah tersebut dalam tempoh tertentu.

“Tanah-tanah tersebut adalah milik Ladang Rakyat dan tidak timbul sama sekali tanah berkenaan dipajak kepada syarikat swasta. Laporan berkenaan tidak berasas,” katanya.

Bekas pegawai kanan kerajaan di Kota Darulnaim pula berkata, laporan khas dibuat Utusan hanya sekadar persepsi dan tanggapan tanpa ada fakta yang menyakinkan.

Menurutnya laporan seperti itu lebih mirip kepada cakap-cakap kedai kopi yang tidak mampu membina minda.

Kerajaan ditipu, diperbodoh AirAsia - MP BN

Abdul Aziz Mustafa, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ditipu, diperbodoh dan dipermainkan dalam penggabungan MAS-AirAsia.

"Rupa-rupanya kolaborasi ini telah dimanipulasikan oleh AirAsia itu sendiri," dakwa beliau dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menuduh AirAsia memanipulasi penggabungan itu apabila melantik salah seorang pengasas bersama serta ahli lembaga pengarah penerbangan harga rendah itu, Conor McCarthy, sebagai pengarah urusan MAS selepas berlakunya penggabungan itu.

Bung Moktar juga menuduh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar sebagai "master mind".

"Ini bermakna kerajaan telah ditipu oleh AirAsia - diperbodohkan, dipermainkan melalui Khazanah.

"Oleh sebab itu saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat Ahli Lembaga Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar ini – dia master mind! Dia yang merugikan duit kerajaan, duit rakyat. Kenapa tidak disiasat?" dakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Selain Azman, Bung Moktar juga menuntut supaya disiasat Pengarah Komersil Interim MAS, Shane Nolan; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAS, Rozman Omar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejuruteraan Aerospace MAS, Azhari Mohd Dahlan dan Ketua Komunikasi Strategik MAS, Nor Zalida Ahmad.

Rozman, Azhari dan Nor Zalida kesemuanya dari AirAsia. Nor Zalida pernah dilaporkan sebagai anak saudara kepada Timbalan CEO AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Sama seperti McCarthy, Nolan adalah dari PlaneConsult, iaitu konsultan AirAsia.

Bung Moktar juga mendakwa, MAS mengalami kerugian sebesar RM2 bilion berikutan penggabungan dengan AirAsia itu.

"Saya cukup sedih bagaimana kolaborasi ini apabila MAS rugi dekat RM2 bilion tetapi AirAsia pula untung RM500 juta!" dakwa beliau.

Beliau meminta penggabungan itu dibatalkan serta-merta.

"Saya mahu mintalah kerajaan agar batalkan kolaborasi ini dengan serta-merta sebab MAS menanggung banyak kerugian daripada kesilapan demi kesilapan dan kesilapan inilah yang akan memusnahkan harapan rakyat," katanya.

Beliau juga menuntut Azman diundurkan dari Khazanah.

"Dia yang menjadi dalang yang menghancurkan. Khazanah membuat investment di sana sini dan bukan semua investment menguntungkan, banyak yang rugi. Rugi kerajaan yang tanggung.

"Untung dia kaya raya. Dia dapat bonus. Gaji tidak tahu berapa puluh juta, berapa puluh ribu, elaun dan sebagainya," dakwa Bung Moktar.

Tidak diketahui adakah Azman membuat keputusan bersendirian tanpa restu dan persetujuan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kadir beri signal Umno perlu ditolak pada PRU-13

Hazayani Zakaria, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: PAS menyifatkan pengumuman veteran Umno Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir untuk keluar parti sebagai tamparan hebat kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Kadir itu untuk menebus maruah negara yang digadai oleh BN.

"Saya percaya tindakan Tan Sri Abdul Kadir merupakan satu tamparan kepada Najib yang baru-baru ini berkata rakyat jangan cuba menggadaikan masa depan negara untuk memberikan sokongan kepada pembangkang.

"Saya percaya tindakan Tan Sri Abdul Kadir  ialah satu tindakan menebus maruah negara yang tergadai oleh BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Kadir yang disifatkannya membuat keptusan yang tepat, Mahfuz juga berkata, tindakan kadir itu merupakan satu 'signal' kepada masyarakat untuk menolak Umno.

"Saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana tindakan berani dan ini satu keputusan demi untuk masa depan negara kita.

"Memang sesuai dengan apa yang pernah dikatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bahawa kekalahan Umno dalam pilihan raya akan datang baik untuk negara.

"Tindakan Tan Sri Abdul Kadir ini merupakan proses permulaan untuk memberikan satu signal kepada masyarakat bahawa meninggalkan Umno secara beramai-ramai adalah satu kebaikan untuk negara dan manfaat yang sangat besar kepada negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz juga berkata, PAS bersedia menerima Kadir sekiranya beliau berhasrat menjadi ahli PAS.

"PAS adalah parti yang terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang bersedia untuk membawa perubahan kepada masa depan negara.

Beliau turut berharap lebih ramai ahli Umno khusunya bekas pemimpin parti itu mengikuti jejak langkah Kadir.

PRU13: Najib urus negara macam syarikat sendiri

Harakahdaily, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu mengurus negara kerana tidak faham maslahat rakyat dengan terus merahsiakan tarikh Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dari pengetahuan rakyat.


Bagi PAS WP, mungkin Najib menganggap negara ini kepunyaan beliau seorang sehingga beliau tidak sanggup berkongsikan tarikh pilihanraya kepada umum.

“Beliau tidak sedar bahawa negara ini dikongsi oleh sejumlah 27 juta rakyat Malaysia, sebahagiannya adalah pengundi yang sah dan berdaftar.

“Najib tidak sedar bahawa rakyat Malaysia mempunyai jadual hidup mereka sendiri,” kata Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, kehidupan rakyat bukan seperti kehidupan Perdana Menteri yang serba serbi diuruskan oleh pembantu-pembantu beliau.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh hanya tunggu di depan kaca TV menanti tarikh pembubaran parlimen untuk mengisi jadual mereka.

“Mereka ada keluarga, ada kehidupan, ada kerjaya, peniagaan, pelajaran dan lain-lain lagi.

“Tidakkah Najib mengetahui dengan merahsiakan tarikh pilihanraya menjadikan negara dalam keadaan cacamerba?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Ini, katanya menjadikan jadual hidup rakyat akan bercempera dengan sikap beliau begitu.

“Bayangkan rakyat yang sudah merancang sekian lama dengan jadual mereka yang pelbagai itu, seperti mengadakan kenduri kahwin sanak saudara, yang telah menempah tiket penerbangan menunaikan umrah atau haji, atau ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran, perniagaan dan lain-lain lagi, tiba-tiba terpaksa membatalkannya saat akhir untuk menyertai pilihanraya di negara ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Najib mungkin tidak pernah terfikir berapa kos kerugian rakyat yang terpaksa membatalkan segala aktiviti mereka kerana pilihan raya mengejut.

Malaysia pula, ujar beliau mengamalkan konsep demokrasi berparlimen di mana terdapat parti-parti politik yang berdaftar yang merupakan pelanggan tetap pilihan raya umum di negara ini.

Justeru, katanya setiap parti politik berhak mengetahui tarikh bubar parlimen dan tarikh mengundi untuk persiapan mereka.

PAS WP, ujar beliau menganggap kerahsiaan Najib menandakan suatu pengkhianatan terhadap parti-parti politik yang sah.

“Sudah tentu Najib akan memilih tarikh yang paling sesuai bagi partinya dalam keadaan sedia manakala parti lawan dalam keaadaan tidak bersedia.

“Mungkin juga Najib merasakan beliau sedang menguruskan sebuah syarikat besar milik peribadinya,” katanya.

Tambahnya, Najib tidak faham bahawa beliau diberi amanah oleh rakyat Malaysia untuk menguruskan negara, bukan menguruskan negara seperti mengurus syarikat miliknya sendiri.
Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE MicrosoftInternetExplorer4
MB Selangor panggil pengerusi SPR buat penjelasan

Tiada ulasan: