Khamis, 15 Mac 2012

YANG MEREKA HENDAK PUJIAN DAN SANJUNGAN..BUKAN BONGKAR KEBURUKAN MEREKA...NAK LARI MANA MEREKA...SEMUA AKAN ALLAH BALAS DAN HUKUM...MASA HANYA ALLAH YANG TAHU...AKHIRAT MEMANGLAH...JAHAT AKAN DIBALAS JAHAT DAN KEBURUKAN JUA

Kenapa media Umno serang saya - Kadir

Nazri Abdullah, 15 Mac 2012
SERDANG, 15 Mac: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, segala kritikannya terhadap kerajaan Umno BN bukan kerana kecewa tidak diberi jawatan, sebaliknya mahu membetulkan apa yang tidak betul dilakukan pemimpin negara.

Menurutnya, pandangan yang diutarakannya jika dikaji secara terperinci, ianya adalah sesuatu yang baik untuk melengkapkan transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malang katanya, media arus perdana yang dikuasai Umno telah memutar belit kenyataannya dan menyerangnya secara berterusan.

"Saya tidak ada sebarang kekecewaan dalam hidup saya, lebih-lebih lagi sekarang ini, saya bahagia.

"Pandangan saya ini sebagai orang lama dalam Umno. 56 tahun dari hidup saya, saya beri kepada Umno. Buat apa ahli Umno duk bedai (bedal) orang Umno (macam saya)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di sini.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pilihan raya umum.

Dalam isu agenda Bumiputera pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputera di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, jika beliau mahukan jawatan mahupun projek, itu bukan sesuatu yang sukar kerana yakin pimpinan parti akan membantunya atas menghargai khidmatnya yang lama.

"Saya tak pernah jumpa mereka nak mintak jawatan atau projek.

"Kalau saya nak jawatan, di kemuncak karier saya sebagai menteri, saya berhenti buat apa, munasabah ke," soalnya.

Nafi beli undi

Dalam pada itu, bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi itu juga turut kesal kerana dituduh membeli undi dari pengundi di kawasan parlimennya di Kulim Bandar Baharu.

Sambil menyifatkannya sebagai fitnah, beliau juga menafikan pernah mendakwa penduduk di parlimen itu perlu dibeli untuk mendapat undi.

"Saya sensitif jika ini dikaitkan dengan kawasan parlimen yang saya wakili selama 30 tahun. Bukan sahaja ahli Umno malah seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik ibarat manusia intan permata dan tersangat mulia.

"Kami di Kulim Bandar Baharu tidak pernah dan tidak perlu membayar wang untuk membeli undi sama ada semasa pemilihan parti ataupun pilihan raya umum," tegasnya bersungguh.

Berita berkaitan:
MP Bayan Baru macam gila - Tan Sri Kadir
Kesian Umno sudah menyimpang jauh - Kadir
P'raya selepas kerja JK Parlimen selesai - Kadir

Soalan jawab lisan ahli Parlimen PAS 15 Mac

Harakahdaily, 15 Mac 2012
Berikut adalah soalan-soalan bagi jawab lisan ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini, 15 Mac 2012.
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan sumbangan besar kepada Negara dari Kajian Kutub.

Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan perancangan pihak Kerajaan untuk membangunkan dan memperbaiki imej Pasar Chow Kit dan kawasan di sekelilingnya.

Dr. Mujahid bin Haji Yusof Rawa [Parit Buntar] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan berapakah kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan dalam menjayakan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan yang diadakan di Parit Buntar, Perak pada 13 hingga 16 Januari 2012 yang lalu.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik jenayah rogol yang berlaku di Malaysia dari tahun 2003 hingga 2011.

Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan kedudukan terkini nasib anak-anak luar nikah di seluruh negara kerana angkanya yang semakin meningkat dan apakah jalan penyelesaiannya.

Letak jawatan belum tamatkan isu NFCorp

Rizal Tahir, 15 Mac 2012
KOTA BHARU, 15 Mac: Perletakan jawatan Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bukan bererti isu skandal National Feedloat Corporation (NFC) sudah berakhir.

Perletakan jawatan itu juga disifatkan sebagai mengabui mata rakyat dan pembangkang bahawa beliau akur dengan kehendak rakyat sehingga sanggup melepaskan jawatan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, berkata Shahrizat dan suaminya belum menerima hukuman sebenar dan setimpal dari apa yang berlaku.

“Apa lagi Shahrizat sebenarnya telah tamat tempoh penggal pertama sebagai Anggota Dewan Negara jadi ianya tiada langsung kaitan dengan perletakan jawatan sebagai menteri atau senator,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes Datuk Seri Shahrizat yang melepaskan jawatannya baru-baru ini yang dipercayai ada kaitan dengan isu skandal NFC.

“Pihak kerajaan perlu menangani perkara itu dengan bijak bagi membaik pulih imej negara,”ujarnya.

Sambungnya, rakyat perlu tahu Shahrizat sebenarnya bukan letak jawatan, sebaliknya perlantikannya sebagai senator telah tamat pada 8 April ini serta tidak disambung lagi.

“Jadi tidak wujud lagi letak jawatan, rakyat kena faham itu,”ujarnya.

Air di Malaysia diguna untuk kayakan individu

Harakahdaily, 15 Mac 2012




(Khalid berucap dalam Forum Air Sedunia di Marseille)
MARSEILLE, Perancis, 15 Mac: Menteri Besar Selangor memberitahu Forum Air Sedunia kali keenam hari ini bahawa penswastaan perkhidmatan air di Malaysia gagal kerana telah disalahgunakan untuk memanfaatkan golongan rentier menggunakan kos yang ditanggung pengguna.

Bercakap pada sesi Pihak Berkuasa Tempatan dan Serantau sempena Forum Air Sedunia kali keenam di Marseille, Perancis, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,walaupun terdapat kes kejayaan penswastaan air di peringkat antarabangsa, namun keadaan sedemikian tidak berlaku di Malaysia.

"Ini adalah contoh klasik kegagalan percubaan menswastakan kemudahan awam yang diburukkan dengan dua faktor iaitu pertembungan antara politik dan perniagaan di mana keuntungan kepada individu diutamakan di samping konflik kepentingan politik," kata Menteri Besar.

Beliau menegaskan teori penswastaan tidak salah kerana antara lain bertujuan menggurangkan beban kerajaan dan meningkatkan kecekapan sekali gus menambahkan daya saing,

"Namun di Selangor, syarikat konsesi swasta yang dipilih untuk merawat dan menyalurkan air kepada pengguna tidak mahir dan tidak berpengalaman dalam industri perkhidmatan air. Tanpa suntikan kewangan, syarikat-syarikat ini mula berkompromi dengan kualiti air dan penyampaian perkhidmatan air, memaksa tarif air yang tinggi kepada pengguna," katanya.

"Separuh daripada 13 negeri berdepan kewangan defisit dalam operasi air yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion. Melantik pihak luar untuk menguruskan perkhidmatan industri air bukan saja mengurangkan kecekapan malah soal pembiayaan tidak ditangani sebaiknya," katanya yang menambah,  kelemahan syarat perjanjian konsesi juga antara punca kegagalan penswastaan air.

"Perjanjian ini sepatutnya memasukkan  fasal secara spesifik dan terperinci mengenai denda kepada konsesi yang gagal mematuhi syarat. Dalam kes kita, penjanjian konsesi sangat lemah. Apabila syarikat konsesi berdepan masalah kewangan, Kerajaan Pusat akan menanggung hutang-hutang ini,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian antara negeri dan syarikat swasta sepatutnya mengandungi klausa yang melindungi kedua-dua pihak selain butiran terperinci bahawa perbelanjaan modal oleh kerajaan dengan peraturan jelas serta telus berhubung pemberian kontrak untuk projek-projek utama.

“Jelas penswastaan perkhidmatan air di Malaysia banyak silapnya. Persoalan dihadapi kerajaan negeri adalah sama ada penswastaan berkesan dan jika ya, bagaimana melakukannya? Di Malaysia, perkhidmatan air digunakan oleh golongan rentier, pelopor penswastaan tempatan dan pembuat dasar politik menggunakan hubungan yang sedia ada.

Beliau berkata, jalan penyelesaian ialah dengan merawat air secara holistik dan Kerajaan Negeri telah berusaha melakukannya seperti termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digubal untuk menggabungkan industri air di mana pembubaran penswastaan merupakan satu kemungkinannya.

Walaupun akta ini diluluskan peringkat persekutuan, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional keberatan melaksanakannya ekoran kemenangan mengejut Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

"Apabila tiba masa Kerajaan Negeri membeli saham syarikat konsesi (seperti yang ditetapkan dalam akta), Kerajaan Pusat bertindak balas dengan menunjukkan sikap bermusuhan," katanya.

Menteri Besar menjelaskan Kerajaan Negeri telah membuat tawaran rasmi melalui tiga kali rundingan, tetapi syarikat konsesi menuntut pampasan tinggi  bagi penjualan saham serta ekuti dan keadaan ini tiada perubahan sehingga kini.

Beliau menekankan bahawa kepentingan politik menjadi faktor penghalang kepada perubahan ini. Kerajaan Pusat mendesak kerajaan negeri  segera membeli syarikat konsesi air sebagai cara penyelesaian holistik, tetapi pada masa sama melanjutkan tempoh pajakan kepada syarikat konsesi ini.

"Walaupun atas nama Persekutuan, kuasa kerajaan negeri telah dinafikan sejak sekian lama. Ini kerana Kerajaan Persekutuan di Malaysia mengawal polisi utama dan ini menambah kesukaran kepada kami sebagai sebuah kerajaan negeri untuk membuat keputusan terhadap sumber yang menjadi milik kami," katanya.

Menteri Besar antara tujuh ketua negeri yang dijemput menyampaikan ucapan pada sesi itu yang bertemakan 'Towards Better Water Governance' yang dihoskan Region United (FOGAR) sempena Forum Air Sedunia.

PAS Alor Setar lupakan krisis, tumpu pilihan raya

Harakah, 15 Mac 2012
ALOR SETAR, 15 Mac: PAS Kawasan Alor Setar bersetuju untuk melupakan semua isu yang berkaitan dengan krisis pelantikan Exco yang berlaku baru-baru ini dan menganggapnya sudah selesai.

Mereka akan menumpukan kepada kerja memperkasakan jentera parti dalam kawasan Alor Setar di semua peringkat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketetapan itu dipersetujui dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan bagi membincangkan isu tersebut ekoran Yang Dipertua PAS kawasan Alor Setar, Dr Ismail Salleh (gambar) terbabit dalam konflik pelantikan Exco baru-baru ini.

Hal tersebut diberitahu oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Zulkifli Yahaya selepas mesyuarat yang diadakan itu.

“Mesyuarat juga memutuskan untuk memberi kepercayaan kepada Dr Ismail Salleh serta kepimpinan yang ada untuk terus memimpin PAS Kawasan Alor Setar.

“Sebarang permasalahan yang melibatkan kepimpinan PAS Kawasan Alor Setar jika ada selepas ini, hendaklah dirujukkan kepada parti bagi dita ngani secara berjemaah serta memberi walak sepenuhnya terhadap sebarang keputusan yang diputuskan oleh PAS Pusat,” ujar nya.

Kontroversi tercetus dalam PAS Kawasan Alor Setar sebelum ini apabila, mesyuarat jawatankuasa
PAS Kawasan memutuskan supaya Dr Ismail mesti menerima pelantikan semula jawatan Exco.

Isu tersebut bagaimanapun berakhir setelah mendapat campur tangan dari PAS Pusat...Harakah Cetak.
Ini kali pertama Kerajaan Negeri membangkitkan isu air di peringkat antarabanga selepas lebih dua tahun berunding untuk mengambil alih industri perkhidmatan air. Menteri Besar dijangka berucap mengenai isu yang sama ketika berada di London pada Jumaat ini.

Layanan buruk, memo Bangkit belum diserah

Salmiyah Harun, 15 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mac: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merancang akan mengadakan Himpunan Bangkit 123 (2.0) di Sabah dalam waktu terdekat bagi menyerahkan memorandum membantah penyerahan tanah kepada Felda Global Venture Holding Sdn Bhd (FGVH).

Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat Razman Zakaria berkata, peserta Himpunan Bangkit 123 yang diadakan pada 12 Mac lalu mendapat layanan buruk daripada wakil Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Ekoran itu, Razman yang mewakili himpunan tersebut enggan menyerahkan memorandum bantahan kepada setiausaha sebagai wakil  kepada Ketua Menteri Sabah.

"Ketua Menteri layan kita bukan seperti wakil Ngo, kalau tidak mahu jemput kita ke pejabatnya sekurang-kurangnya ke lobi bangunan pun kami tidak kisah. Ini tidak, minta kita serahkan memorandum di jalan raya. Kami kecewa," katanya ketika mengunjungi Harakahdaily.

Katanya, kira-kira 500 peserta yang berarak pada hari itu di mana kesemuanya adalah rakyat Sabah melahirkan kekecewaan apabila mereka menerima layanan buruk daripada seorang ketua menteri yang disanjungi selama ini.

Menurut Razman, kerajaan negeri harus berpendirian tegas dalam membela warga Felda yang selama ini sangat setia kepada kerajaan BN.

"Kini menjadi tanggungjawab Ketua Menteri memainkan peranan sebaiknya dalam usaha melindungi tanah milik bumiputera Sabah yang saban hari mengerah keringat dan air mata untuk memiliki tanah itu," katanya.

Sehari sebelum himpunan itu berlangsung, Pengerusi Anak Mazlan Aliman telah ditahan pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari memasuki negeri Sabah.

Walaupun tanpa kehadiran Mazlan pada hari itu, Razman bersyukur, Anak berjaya menubuhkan cawangan di Felda Gugusan Sahabat sebagai platform menggerakan rakyat negeri itu menuntut hak mereka.

Himpunan Bangkit 123 digerakkan oleh Ngo Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dengan gabungan beberapa NGO yang dinaungi oleh Anak.

Kebangkitan luar biasa rakyat Sabah sebagai bantahan terhadap 106,735 hektar tanah negeri itu yang sepatutnya dibahagikan kepada rakyatnya sebaliknya akan diserahkan kepada FGVH.

Ladang kelapa sawit yang dikendalikan oleh Felda Plantation Sdn Bhd seluas 360,067 hektar di seluruh negara akan dipajakkan kepada FGVH selama 99 tahun berdasarkan Perjanjian Pajakan Tanah yang dimeterai Januari 2012.

FGVH pula sedang berusaha memujuk kerajaan negeri-negeri untuk menyerahkan tanah tersebut, bagaimanapun negeri Kelantan, Selangor, dan Kedah telah menyatakan pendirian tidak akan menyerahkan tanah kepada FGVH.

Wasatiyyah Najib tak sama dengan cara Rasulullah

Salmiyah Harun, 15 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mac: Konsep wasatiyyah yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya menjadi gagasan kerajaan disifatkan sebagai kosmetik semata-mata.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) berkata, kaedah wasatiyyah yang diperkenalkan oleh Najib adalah wasatiyyah ciptaannya sendiri.

Katanya, Perdana Menteri tidak boleh menggunakan perkataan wasatiyyah ketika mengemukakan dasar-dasar dalam negara kerana ia terikat dengan dasar Islam.

"Kaedah wasatiyyah yang sebenar adalah daripada agama Islam itu sendiri, jadi semua prinsip atau pendekatan yang diguna pakai bercanggah dengan Islam tidak dikira sebagai wasatiyyah.

"Jadi PM kena faham bila sebut wasatiyyah mesti rujuk apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, wasatiyyah adalah kaedah yang digunakan Rasulullah yang diterjemahkan oleh baginda di Mekah dan Madinah.

Tegasnya, wasatiyyah yang pernah dilaksanakan oleh masyarakat sehingga kiamat mesti berpaksi pada kaedah yang ditetapkan dalam Islam.

Wasatiyyah yang ditetapkan dalam Islam, katanya terdapat perkara yang boleh dibincangkan dan ada perkara tidak boleh dirunding iaitu yang membabitkan dasar-dasar Islam.

"Jadi kalau kita lihat dua kaedah ini yang dibawa oleh Rasulullah, perkara ini tidak wujud langsung dalam pentadbiran Umno BN hari ini, barangkali ada hanya segelintir sahaja," katanya.

Misalnya, kata beliau, wasatiyyah yang diamalkan oleh Rasulullah membabitkan peraturan, perundangan negara atau dasar yang diamalkan dalam negara.

Justeru katanya, dasar Islam adalah dasar wasatiyyah yang memberi keadilan kepada semua kaum dan agama, jadi apa yang berlaku dalam negara pada hari ini memperlihatkan dasar ini ditolak oleh Umno dengan mengambil dasar lain.

Terdahulu, Najib dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 12 Mac, menegaskan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada Gagasan 1Malaysia.

Ekoran itu, kerajaan telah mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala kerusi  wasatiyyah diwujudkan di Universiti Malaya yang akan menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia.

Nik Aziz produk istimewa Kelantan - Aziz Desa

Salmah Mat Husain, 15 Mac 2012
KOTA BHARU, 15 Mac: Ketua Pegawai Operasi Kelantan Trade Cantre (KTC) Aziz Desa menyifatkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz  Nik Mat adalah produk istimewa di negeri itu.

Katanya, kerana keistimewaan yang ada pada Tuan Guru, masyarakat di negara ini termasuk luar negara datang khusus ke negeri Tadahan Wahyu itu semata-mata untuk bertemu dengan Tuan Guru dari dekat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ceramah keibubapaan ‘Zuriat Kita Tanggungjawab Kita’ anjuran Kelantan Trade Centre (KTC) dan Buraqoil, di sini malam tadi.

Aziz Desa, personaliti TV adalah bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika Kedah diperintah oleh BN sebelum ini.

Pada masa yang sama beliau berkata, hasrat kerajaan Kelantan untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) seramai 6 juta orang akan berjaya.

Jelasnya, ini kerana pelbagai keunikan yang tersendiri dapat dinikmati oleh pelancong termasuk mengikuti kuliah seorang Menteri Besar di Dataran Ilmu, Kota Bharu.

“KTC akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat itu dan insyaallah, esok seramai 40 orang rombongan para guru dari Kedah akan menginap di sini dalam rangka lawatan mereka selama dua hari,” ujarnya.

Mesin judi gergasi curi perhatian pengunjung

Harakahdaily, 15 Mac 2012
KLANG, 15 Mac: Sebuah mesin judi gergasi antara barang yang disita dalam satu operasi yang dilakukan Jabatan Penguatkuasa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) sekitar Klang Utara di sini, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa, Shahrul Hazri Abd Majid berkata, tiga premis diserbu dan 54 komputer disita termasuk sebuah mesin judi gergasi yang mencuri perhatian pengunjung di situ.

Menurutnya, tiga lokasi berkenaan ialah di Klang Utara, Bandar Baru Klang dan Kampung Jawa serta pada masa yang sama pihaknya juga mengadakan pemeriksaan ke atas premis-premis yang lain.

“Kesemua barangan ini disita mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pusat Siber 2007 kerana beroperasi tanpa lesen dan kesemua pengunjung yang ada juga telah diambil keterangan diri untuk direkodkan.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan dan membanteras aktiviti perjudian haram seperti ini,” katanya.

Shahrul berkata, operasi yang diadakan itu adalalah hasil risikan dan maklumat orang ramai yang peka dengan keadaan persekitaran tempat tinggal mereka terutama gejala yang boleh merosakkan generasi muda itu.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan pusat perjudian haram dan mereka bolehlah menghubungi 1800 88 23826,03-33714404 atau pesanan khidmat ringkas (SMS) ke 012 2303781 untuk membolehkan pihaknya membuat siasatan, risikan seterusnya mengambil tindakan ke atas premis-premis berkenaan.

Tiada ulasan: