Selasa, 20 Mac 2012

SERAGAM AKTA GUAMAN SYARIE...SERTA KUASA MAHKMAH...ATAU HINGGA DAPAT LEBIH BERKUASA DARI MAHKAMAH SIVIL....TAK GUNA JUGA JIKA TAK IKUT HUKUM ALLAH SERTA TIDAK BERPANDU HUKUM@KAEDAH SYARAK YANG TEPAT MENGIKUT KEHENDAK QURAN DAN HADIS....DAH ORANG KUAT@LAMA PUN BOLEH KELUAR SUDAH PERJUANGAN ASAL KITA DAH TERSASAR JAUH...SERTA DAH TAK SESUAI PADA ZAMAN NI..KERANA MANUSIA SUKA BERAGAMA DAN SUKA PADA KEADILAN SERTA BENCI KEPADA KEMUNGKARAN@KEJAHATAN....

Kadir Sheikh Fadzir isytihar keluar Umno

Harakahdaily, 19 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) mengisytiharkan keluar Umno hari ini.

“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau memaklum mula menjadi ahli Umno dan memegang jawatan dalam parti itu sejak tahun 1956 sehingga sekarang iaitu selama 56 tahun.

Beliau pernah menjadi Exco Pemuda Umno selama 10 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah dan sebagainya.

“Saya juga menjadi Ahli Pentadbiran Kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku Setiausaha Politik, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri.

“Pada minggu sudah saya telah meletakkan jawatan selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, jawatan yang akhir dalam Umno yang saya menjawat,” ujarnya.

Tindakan beliau mengkritik kepimpinan Umno dan kerajaan hari ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin utama parti itu.

Kritikan beliau selaku Timbalan Presiden Amanah terhadap Umno termasuk mendedahkan pembelian undi semasa pilihan raya umum jelas menimbulkan kemarahan beberapa pemimpin utama Umno.

Tiada rizab Melayu tergadai di Kelantan

Aslani M, 19 Mac 2012

Pembangunan di Lembah Sireh.

KOTA BHARU, 19 Mac: Akhir tahun lepas akhbar Umno dalam beberapa siri laporan khas mendakwa masalah air di Kelantan kritikal, namun sehingga ke hari ini penduduk masih mampu melakukan aktiviti harian tanpa sebarang masalah.

Malah didakwa juga air tercemar dengan virus E.coli, malangnya belum ada laporan penduduk dirawat di hospital ekoran masalah tersebut.

Dan hari ini pula akhbar terbabit dalam siri laporan khas terbaru mendakwa tanah rizab Melayu di Kelantan tergadai.

Bagi ramai pemerhati politik, mesej segala laporan itu cukup jelas bagi menghodoh Kelantan sebelum ‘visel’ pilihan raya umum ke-13 ditiup Perdana Menteri.

Beberapa pegawai kerajaan negeri menjelaskan tidak ada tanah rizab Melayu yang tergadai di Kelantan dan bagi mereka laporan akhbar tersebut tersasar jauh.

Kata mereka di Kelantan ada dua kategori tanah iaitu tanah rizab Melayu dan bukan rizab Melayu.

Katanya, tanah rizab Melayu meliputi kira-kira 95 peratus keluasan bumi Kelantan.

“Tanah bukan rizab Melayu pula biasa terdapat di kawasan bandar dan penempatan yang mempunyai agak ramai penduduk bukan Melayu termasuk Kota Bharu, Kuala Krai, Tumpat, Bachok dan Gua Musang.

“Tanah bukan rizab Melayu boleh diduduki penduduk bukan Melayu apabila mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya di sini.

Tanah bukan rizab Melayu di Kota Bharu terdapat di beberapa lokasi termasuk Seksyen 5, Seksyen 7, Seksyen 9 dan Seksyen 11.

Kata mereka juga tanah-tanah yang dimajukan dengan kerjasama syarikat swasta merupakan tanah kerajaan yang diberi milik kepada agensi-agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Selain itu Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Perbadanan Bandar Baru Tunjung, Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Katanya, tanah-tanah tersebut kebiasaan dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta secara pajakan dalam tempoh tertentu misalnya 66 tahun.

“Tanah tersebut tidak diberi milik kekal kepada pemaju terlibat. Selain itu projek pembangunan yang dilaksanakan berdasar pegangan ekuiti kebiasaannya 30 peratus agensi kerajaan dan 70 peratus pemaju,” ujar mereka.

Misalnya pembangunan KB Mall di Jalan Hamzah di atas tanah milik PKINK diberi secara pajakan kepada sebuah syarikat. Selain itu PKINK turut mendapat bangunan KB Bazar.

Begitu juga projek pembangunan lain termasuk di Lembah Sireh diberi secara pajakan kepada sebuah syarikat di atas bekas tanah pertanian.

Tanah tersebut sebahagian besarnya telah ditebus guna sehingga menjadi bandar baru seperti sekarang.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, tanah-tanah yang dibangunkan ladang kelapa sawit dengan kerjasama syarikat swasta adalah milik kekal Ladang Rakyat.

Katanya, syarikat swasta hanya diberi izin mengusaha hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah tersebut dalam tempoh tertentu.

“Tanah-tanah tersebut adalah milik Ladang Rakyat dan tidak timbul sama sekali tanah berkenaan diserah kepada syarikat swasta,” katanya.

(Ikuti laporan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

FGVH: PAS beri 3 hari kepada Ahmad Maslan

Hazayani Zakaria, 19 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 19 Mac: PAS memberi tempoh tiga hari kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk mengemukakan jawapan  terperinci berhubung  prestasi semasa pelaburan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di dalam dan luar negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Ahmad minggu lalu yang disifatkan terlalu umum.

"Saya beri tempoh tiga hari kepada Ahmad Maslan untuk detailkan prestasi pelaburan FGVH di luar negara.

"Beliau cuma nyatakan pada 2009 hingga 2010, keuntungan FGVH berjumlah RM203 juta di dalam negara dan 366 juta di luar negara. Saya minta angka rasmi secara detail," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, PAS menunggu jawapan daripada Ahmad dan sekiranya Ahmad gagal berbuat demikian, PAS akan mendedahkan maklumat yang sebenar.

"Kita meragui jawapan beliau kerana PAS mempunyai maklumat mengenai angka-angka yang sebenar," katanya.

Sebelum ini, pelaburan-pelaburan yang dijalankan anak-anak syarikat FGVH seperti Felda Iffco Sdn Bhd, Felda Global Technologies melalui Twin Rivers Technolgies US (TRT) mencatatkan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

Isu Zionis: Jawapan kepada Mahmud Zuhdi

Mohd Nasaie Ismail, 19 Mac 2012
Susulan kenyataan Profesor Mahmud Zuhdi dalam akhbar Sinar Harian hari ini yang mengulas jawapan Presiden PAS ketika menjawab persoalan hadirin dalam majlis makan malam Dewan Muslimat PAS di Shah Alam tempoh hari, suka untuk saya jelaskan beberapa perkara.

Pertama, kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tersebut selari dengan pendirian rasmi Dr Yusuf Al Qardhawi, Pengerusi Persatuan Ulama Dunia, bahawa kita menentang Israel bukan kerana mereka Yahudi, tetapi kerana mereka menjajah tanah umat Islam Palestin dan fahaman zionis mereka. Penubuhan negara haram Israel bukan sahaja melibatkan Yahudi tetapi juga adanya konspirasi melibatkan Kristian Evangelis. Bermakna Zionis itu bukan melibatkan kesemua Yahudi, tetapi sebahagian Yahudi dan segelintir Kristian mazhab Evangelis.

Kedua, di kalangan penganut Yahudi salah satu cabang dalam mazhab ortodok sendiri menentang Zionisme dan dianggap sesat daripada agama Yahudi yang sebenar. Mereka menganggap penubuhan Negara Israel diatas tanah umat Islam Palestin ibarat menggali kubur besar kepada orang Yahudi sendiri. Yahudi sebegini terlibat sama dalam banyak muktamar pembebasan Palestin yang diadakan di Beirut, Istanbul, London dan Tehran. Malah ada diantara mereka dipenjarakan oleh rejim Zionis Israel kerana menentang penubuhan negara tersebut.

Saya keliru kenyataan Prof Mahmud Zuhdi menyatakan bahawa Yahudi zaman Rasulullah berbeza dengan Yahudi hari ini kerana mereka berakhlak mulia. Sedangkan Yahudi di zaman Rasulullah pun ramai yang jahat dan menyeleweng daripada kitab taurat. Namun ada yang bermuamalah dengan Nabi. Tauladan Nabi ini akan terus berlaku sepanjang zaman.

Begitu juga hari ini, wujud Yahudi berfahaman Zionis yang zalim menjajah dan membunuh umat Islam dan wujud juga Yahudi yang menolak dan menentang penubuhan penjajahan dan kezaliman tersebut. Mereka banyak tinggal di Amerika dan Eropah. Malah di zaman ini ada diantara mereka memeluk Islam dan menjadi pendakwah terkenal seperti Muhamad Asad daripada Austria dan Mariam Jamilah daripada Amerika.

Prof Mahmud Zuhdi juga mengatakan bahawa jawapan Hadi tergelincir daripada landasan Islam dan bertujuan politik untuk menjaga hati pemimpin tertentu yang menyokong Yahudi Zionis adalah tuduhan yang berat. Mungkin beliau tidak membaca kenyataan rasmi Presiden PAS dan disambut oleh Mursyidul Am PAS secara tegas bahawa PAS menolak kewujudan negara haram Israel.

Malah Presiden PAS juga tegas menyatakan jika kesemua negara Arab bersetuju pembahagian wilayah Palestin dan Israel, kita tetap menentangnya kerana Palestin bukan milik Arab, tetapi milik umat Islam.

Oleh itu, tidak timbul soal Presiden PAS memberi jawapan politik untuk menjaga hati sesiapa tetapi berasaskan fakta, sejarah dan hukum di dalam agama Islam.

Penulis ialah Setiausaha Akhbar Presiden PAS.

Akidah Yahudi lebih bahaya

Nik Abdul Aziz Nik Mat, 19 Mac 2012
Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut.

Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu.

Jutseru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT.

Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis.
Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi.

Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga.

Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW.

Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi?

Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.

Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.

Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel.

Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia.

Agak mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa:

".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi?

Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.

Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.

Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (
7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting.

Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah).

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin 'selamat', tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT.

Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam?

Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam?

Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT.

Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?


Salam hormat.


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh: 26 Rabiul Akhir bersamaan 19 Mac 2012

Segerakan penyeragaman Akta Guaman Syarie

Salmiyah Harun, 19 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 19 Mac: Kelembapan kerajaan melaksanakan penyeragaman Akta Guaman Syarie bukan sahaja menghantui para peguam tetapi turut menyusahkan masyarakat.

Ahli Parlimen Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) berkata, sebanyak 13 undang-undang berkaitan  syariah di seluruh negara yang mana ia telah menjadi bebanan kepada para peguam syarie.

Katanya, peguam syarie kena daftar di banyak tempat jika mahu mengendalikan satu-satu kes berkaitan.

"Misalnya jika peguam itu mengamal di Selangor dia perlu daftar semula jika dia kendalikan kes di negeri lain," katanya semasa mengemukakan soalan tambahan dalam sidang Dewan Rakyat, pagi ini.

Dalam soalan tambahannya, Nasharudin berkata, akta itu sudah menjadi keperluan terdesak kepada rakyat negara ini dengan itu kerajaan wajar membuat penyeragaman.

Malah, katanya perkara itu sudah mendapat perhatian Perdana Menteri dan berjanji untuk melakukan sesuatu kepada akta ini pada Ogos lepas.

Tambahnya, penyelarasan Akta Guaman ini perlu disegerakan untuk mengangkat martabat undang-undang syariah dan peguam syarie.

Menjawab soalan tambahan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya menyedari masalah itu dan penyeragaman tidak dapat dilaksanakan akan menimbulkan kekangan.

Tiada ulasan: