Sabtu, 17 Mac 2012

DAH JAHAT SANGAT...DAH TAK AMANAH..DOA AJE..BIAR ALLAH HUKUM SETIMPAL DENGAN KEJAHATANNYA...ALLAH MAHA MENGETAHUI BAGAIMANA NAK MENGHUKUM ORANG YANG TAK AMANAH NI...

Menilai kembali pengurusan zakat di Malaysia

Dr Azhari Ariffin, 16 Mac 2012
Dengan memetik ucapan Tuan Guru Presiden PAS, yang disiarkan dalam Harakah, antara lain menyatakan: “Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan."


Bertolak daripada kenyataan di atas, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa noktah serta isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa dalam melaksanakan amanah zakat yang dihukumkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima.

Pertama: Pengurusan Zakat

Pengurusan zakat merangkumi dua aspek penting iaitu kutipan dan agihan. Permasalahan yang timbul ialah sejauh mana sumber perolehan zakat bertepatan dengan ketetapan asal syarak dan adakah mekanisma pengagihannya kepada asnaf selaras dengan nas syarak dan keperluan semasa ummah. Ketidakseimbangan di antara hasil kutipan zakat dan pengagihannya sering berlaku dalam perlaksanaan kedua apsek tersebut.

Kedua: Pelaburan Harta Zakat

Walaupun dalam masalah ini menjadi khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, tetapi isu amanah dan keboleh kepercayaan amat penting menjadi asas. Untuk mengukuhkan lagi jawapan ini, dinukilkan dari Buku Fatwa Zakat Kontemporari, antara lain menyebut: Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak menerima zakat atau sebagai pelaburan di bawah agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak serta adanya jaminan supaya selamat daripada sebarang kerugian.

Ketiga: Peraturan Pengurusan Zakat

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar tentang situasi pungutan dan agihan zakat di negara-negara umat islam. Antara lain katanya:

Mengumpulkan penghasilan zakat yang sedikit tidak cukup untuk menangani kefakiran yang tersebar luas dan masalah-masalah sosial yang lahir akibat kefakiran tersebut.

Kelemahan penghasilan ini berlaku kerana beberapa sebab.  Yang utamanya ialah lemahnya semangat beragama dan kesedaran orang ramai terhadap Islam hasil serangan pemikiran asing yang kufur. Keduanya, kerana rakyat mengelak diri daripada membayar zakat kepada negara disebabkan banyaknya bebanan cukai yang lain . Ketiganya, kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap negara-negara yang memungut zakat disebabkan ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah. Keempatnya, kerana mereka juga mempercayai bahawa kerajaan mereka tidak akan menyalurkan zakat tersebut pada bentuk yang dianjurkan sepertimana berlaku kepada kebanyakan cukai-cukai yang disalah gunakan penyalurannya.

Majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak mempunyai penghasilan yang bernilai yang boleh menjadi sumber zakat. Inilah kesan daripada cara hidup yang dilalui oleh orang Islam pada zaman ini, iaitu cara hidup orang-orang kafir yang dijejaki oleh orang Islam sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya akan diikutinya juga. Cara hidup tersebut ialah berlebih-lebihan dengan kemewahan, penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahannya diimport  dari negara-negara asing, yang melemahkan sumber-sumber dan kekuatan kita, yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama dan keduniaan kita.

Penghasilan zakat yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagiannya untuk kegunaan pejabat, peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi menguruskan kerja mengumpul dan mengagihkan zakat. Ini kerana kerja pentadbiran dan tugas ini adalah sukar. Juga kerana para petugas lebih menitik beratkan kehebatan dan penampilan pengurusan yang menelan harta zakat itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.

Ketika agihan zakat mula tidak terurus di mana kebanyakan orang-orang yang berhak terhalang mendapat zakat, manakala kebanyakan orang yang tidak berhak menerima zakat kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman dan hati yang berpenyakit -sama ada orang-orang yang menjalankan urusan zakat itu atau rakyat- akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak mampu menutup keperluan orang-orang fakir.

Seterusnya  timbullah kebencian masyarakat umum untuk mengeluarkan zakat dan merasakan ianya tidak berfaedah.

Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan masyarakat terhadap peraturan Islam seluruhnya.

Dengan contoh ini, jelaslah kepada kita bahawa kemasukan peraturan asing masa kini dalam sebahagian pengajaran dan hukum-hakam Islam  tidak menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit masyarakat dengan sempurna. Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara kekayaan dengan membelanjakannya untuk perkara yang bermanfaat.

Semoga respons yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita untuk menjadi manusia yang benar-benar menjunjung perintah tuhan.


Artikel di atas oleh penulis dan Panel Penyelidik Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS

PAS bawa isu MAS-AirAsia ke Parlimen

Anis Nazri, 15 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mac: Penggabungan saham antara MAS dan AirAsia perlu ditamatkan segera memandangkan terdapat asas kukuh tekanan ke atas kakitangan MAS itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menegaskan selain kakitangan MAS, integriti MAS itu sendiri turut tertekan dengan kolaborasi tersebut.

Beliau berkata, tekanan yang dirasai MAS itu ekoran aduan dan rungutan Malaysia Airlines System Employees Union (MASEU) yang mendakwa kebanyakan pengurus atasan di kalangan kakitangan AirAsia.

Salahuddin berkata, PAS pada prinsipnya tidak menolak sebarang kolaborasi sekiranya ia mewujudkan 'suasana menang-menang' bagi mewujudkan perkongsian yang bijak.

"Sayangnya, hasil mesyuarat dengan wakil MASEU yang kami terima hari ini, kita nampak kolaborasi ini lebih banyak menguntungkan AirAsia, berbanding MAS," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, berkata pihaknya akan membawa perkara tersebut ke parlimen dengan menjadikannya satu tajuk yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

"Dengan kesempatan yang ada, perkara ini akan dipanjangkan ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Yang Dipertuan Agong kelak. Dan Pakatan Rakyat mengharapkan kerajaan segera campur tangan demi menjaga kepentingan pekerja MAS dan imej syarikat itu sendiri," tegas beliu lagi.

Terdahulu, Salahuddin menerima kunjungan wakil MASEU di parlimen dan menghabiskan masa kira-kira satu jam membincangkan perkara tersebut.

Selain Salahuddin, turut dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar; yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dr. Dzulkefly Ahmad (MP Kuala Selangor), Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud (MP Kota Raja); Khalid Samad (MP Shah Alam); Firdaus Jaafar (MP Jerai); Nasir Zakaria (MP Padang Terap) dan Abdullah Sani (MP Kuala Langat).

Di bawah perjanjian yang diumumkan Ogos tahun lalu, Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham terbesar dalam AirAsia, akan mengambilalih 20.5 peratus saham dalam MAS.

Kazanah Nasional Berhad pula akan memiliki pegangan 10 peratus saham AirAsia dan terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

Kejahatan SPR makin menjadi-jadi

Mohd Sayuti Omar, 15 Mac 2012
Pemindahan tempat mengundi MB Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dari Petaling Jaya ke Lembah Pantai mengesahkan kerja jahat dan tidak bertanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menjalankan amanah dan amanah rakyat.

Perpindahan nama Khalid tanpa pengetahuan itu adalah perbuatan paling jahat dan tidak bertanggungjawab. Tindakan itu membenarkan dakwaan Bersih dan pembangkang selama ini yang SPR adalah komponen ke 14 atau 15 Barisan Nasional.

Pengerusi SPR Abdul Aziz Yusuf akan membuat seribu dalih termasuk soal teknikal berhubung perpindahan nama Khlid itu. Adalah dipercaya perpindahan haram itu untuk sebotaj PKR dan sekaligus menghalang Khlid bertanding di mana-mana kerusi di Selangor.

Niat lebih busuk dari itu ialah untuk menafikan hak Khalid dilantik menjadi MB Selangor sekiranya PKR menguasai Selangor dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Kejadian seperti itu bukan baru dan hanya berlaku ke atas Khalid Ibrahim tetapi menimpa ramai lagi pengundi. Saya dan isteri juga ada pengalaman tersendiri di dalam hal ini. Pada tahun 1993 nama saya dipindah ke kawasan lain tetapi nasib baik saya sempat membuat bantahan. Manakala dalam tahun 1999 nama isteri saya dihantar ke lokasi lain menyebabkan dia terpaksa mengundi jauh dari kawasan asal kami.

Perpindahan saya dan isteri di luar pengetahuan kami dan seingat kami tidak pernah memohon untuk membuat perpindahan ke mana-mana kawasan. Adalah dipercayai kerja pindah memindah secara haram ini dilakukan oleh egen Umno kerana pada masa itu ada pegawai dari ibu pejabat Umno berdekatan kediaman kami datang ke rumah meminta no kad pengenalan atas alasan untuk bancian penduduk.

SPR tidak boleh lari dari tanggungjawab ini dan wajar menerima cacian dan sumpah seranah dari rakyat terutamanya mereka yang terlibat dengan pertukaran itu. Mungkin borang permohonan tukar kawasan mengundi dikemukakan, tetapi SPR seharusnya terlebih dahulu kena mengesahkan apakah ia palsu atau benar.

Mungkin setiap kesalahan seperti ini hukuman sewajarnya perlu dikenakan ke atas pegawai terlibat kerana ia membabitkan hak asasi seseorang dan kerja jahat biadap ini satu pencerobohan hak asasi dan sekaligus merudumkan integriti kepada badan bebas itu.

Sehubungan ini para pemimpin perlu mengemaskini nama masing-masing dalam pendaftaran bagi memastikan nama tidak dilempar ke kawasan lain oleh SPR. Tektik menukar kawasan mengundi ini adalah tektik terbaru SPR dalam membantu UBN bagi menghalang pemimpin bertanding di kawasan asal. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Pemimpin amanah mesti sedia dihukum rakyat

Anis Nazri, 15 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 15 Mac: Pemimpin yang menganggap kerajaan yang diperintahnya sebagai amanah mesti bersedia untuk kalah dan dihukum rakyat, bukan untuk menang semata-mata.

Bagi negara yang mengamalkan demokrasi, kekalahan seseorang pemimpin atau kerajaan diterima dengan terbuka, berbanding pemimpin di negara ini.

Demikian dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di Parlimen.

Menurut Abdul Hadi, terdapat tokoh-tokoh pemimpin politik yang berjiwa besar di banyak negara lain yang sanggup menerima hukuman rakyat, dan kalah pada pilihan raya.

"Di Amerika Syarikat pernah dalam tahun 70-an, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Amerika membatalkan kemenangan seorang Presiden yang terlibat dalam skandal Watergate yang terkenal.

"Presidennya sanggup mengundurkan diri dan tidak mengamuk. Tidak melakukan sesuatu di luar undang-undang. Ini moral yang ditunjukkan oleh mereka. Sepatutnya kita menunjukkan sikap yang sedemikian," tegas beliau.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, hal-hal yang seperti ini tidak wujud di negara ini kerana parti memerintah mahu menang dengan apacara sekalipun.

Bahkan, katanya demokrasi wujud dalam parlimen, di mana bukan sahaja kebebasan diberi kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan,tetapi termasuk 'backbencher' kerajaan sendiri dibenarkan untuk mengkritik kerajaan dan membangkang.

Tambah beliau , ada parlimen yang boleh menjatuhkan kerajaan apabila terdapat di kalangan penyokong-penyokong kerajaan sendiri tidak memberi kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan.

"Mereka tidak diambil tindakan disiplin, bahkan ketua kerajaan berundur dan dipilih kerajaan baru daripada parti yang sama.  Ini menunjukkan bagaimana jiwa besar seseorang pemimpin patut menjadi contoh pemimpin di negara ini," tegas beliau.

Justeru, katanya jika setiap pemimpin yang memerintah negara berpegang kepada konsep amanah, maka tidak akan berlakulah kecelaruan, khianat dan penyelewengan.

Beliau menambah, pemimpin yang diberi peluang menjadi kerajaan bukan bermakna peluang untuk mendapat apa sahaja dan melakukan apa sahaja, sebaliknya berpegang kepada konsep amanah dalam memimpin.

Kritik bantah Syria, pemikiran Zainuddin celaru

Ahmad Afif , 15 Mac 2012
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada penulisan Zainuddin Maidin bertarikh 14 Mac 2012 pada ruangan Forum Utusan Malaysia yang bertajuk 'Tidak perlu tunjuk perasaan anti Presiden Syria'.

PKPIM berpandangan bahawa kenyataan beliau yang mengkritik tindakan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk melancarkan Perhimpunan Aman Membantah Kezaliman dan Pembunuhan di Syria ini adalah satu manifestasi kecelaruan pemikiran dalam meletakkan prioriti terhadap isu kemanusiaan.Titik perbezaan pandangan dalam hal ini bermula daripada persoalan adakah Bashar al-Assad benar-benar zalim ataupun tidak. Kayu ukur yang digunakan oleh beliau dalam merujuk kepada kezaliman ini apabila beliau melakukan perbandingan dengan kezaliman percaturan kuasa besar Barat yang melakukan 'Jenayah Hasutan' luar untuk melakukan proses 'Regime Change' di negara-negara Arab. Beliau melontarkan hujah bahawa 'Jenayah Hasutan' Barat yang dilakukan secara terancang, tersusun dan kejam yang dijuarai oleh Amerika Syarikat dan Israel dengan dukungan negara-negara Barat mensasarkan matlamat akhirnya adalah Iran yang akan menyempurnakan cita-cita mereka untuk menguasai negara-negara ini dan melaksanakan demokrasi acuan Barat kepada dunia Arab.

Keputusan timbang tara yang digunakan dalam hujah beliau menyetujui kemenangan dan keuntungan sebenar akan dimiliki oleh kuasa-kuasa besar ini terutama Israel. Justeru, kesimpulan beliau dalam hal ini, walau tidak dinyatakan, tetapi merujuk secara jelas pandangan beliau bahawa keputusan dan percaturan di peringkat pertubuhan-pertubuhan Islam adalah satu kesilapan yang beliau perkuatkan lagi dengan kenyataan mempersoalkan kewibawaan dari segi intelektual pertubuhan-pertubuhan Islam ini. Ingin kami jelaskan di sini, pertamanya merujuk kepada tidak wajarnya bantahan ini dilakukan semata-mata kerana campur tangan percaturan Barat dalam proses 'Regime Change' ini, maka saya kira itu satu pendirian yang tidak tepat bahkan sebenarnya menampakkan lebih banyak kekeliruan di peringkat beliau dalam meletakkan pertimbangan soal kemanusiaan dan keadilan dalam membincangkan wacana perhubungan antarabangsa.

PKPIM dengan tegas berpendirian bahawa spekulasi campur tangan kuasa luar dalam isu Syria yang sifatnya tidak jelas dalam erti kata perbandingan dengan pembunuhan yang berlaku tidak membolehkan kita membenarkan dan membiarkan kezaliman secara terang-terangan yang dilakukan oleh rejim Bashar al-Assad kepada rakyatnya sendiri. Kezaliman dan penyeksaan terhadap rakyat sendiri yang dilakukan dalam pelbagai bentuk oleh pemimpin sendiri terhadap rakyatnya yang sepatutnya mendapat perlindungan dan pembelaan yang tidak berbelah bahagi daripada pihak pemerintah merupakan satu pengkhianatan yang tiada tara kejahatannya.Tindakan penyelesaian yang diambil oleh rejim Bashar al-Assad dalam menghadapi rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh beliau dan tentera-tentera beliau merupakan satu tindakan melampaui batas kemanusiaan dan etika kepimpinan. Dengan jumlah pembunuhan yang mencatatkan hampir 8,500 orang yang mati, 39,000 orang yang tercedera dan 18,000 orang yang dipenjara dan didera dalam tahanan menunjukkan satu tindakan yang melampaui nilai-nilai kemanusiaan dan merupakan satu penindasan yang zalim daripada pemerintah sendiri kepada rakyat di bawahnya.

PKPIM melihat bahawa amanah kepimpinan dan kepercayaan kepada pimpinan daripada rakyat adalah sesuatu yang tidak lagi dihormati oleh rejim Bashar al-Assad. Tindakan penderaan yang dilakukan oleh tentera-tentera mereka melalui pelbagai bentuk penyiksaan terhadap rakyatnya sendiri melambangkan kehilangan nilai kemanusiaan dan kepercayaan dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin negara sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang besar. Lantaran itu, apakah lagi yang mahu diharapkan kepada pimpinan sebegini dalam membela nasib umat Islam yang lain sekiranya rakyat mereka sendiri ditindas tanpa belas kasihan. Kezaliman dalam bentuk yang nyata dilakukan oleh rejim ini merupakan satu perkara yang harus ditentang oleh setiap umat Islam.

Islam merupakan agama yang membawa keadilan dan kesejahteraan.Hukuman yang dikenakan dalam Islam berlandaskan prinsip fikah yang menjatuhkan hukuman kepada sesuatu yang jelas dan tidak membiarkan spekulasi yang tidak tampak secara jelas menutup tindakan kezaliman yang dilakukan oleh individu. Dalam Islam, melindungi nyawa adalah salah satu matlamat yang diletakkan di tahap tertinggi.Maqasid syariah menggariskan bahawa perlindungan kepada jiwa atau nyawa itu sendiri mengatasi matlamat melindungi akal, harta dan juga keturunan. Dalam isu ini, strategi campur tangan kuasa Barat yang ingin mengusai Syria melalui bantuan kepada pihak pemberontak yang digunakan melalui proksi-proksi mereka di kalangan negara Arab itu sendiri merupakan satu perkara yang tidak boleh kita jadikan sebagai satu hujah untuk menghentikan tindakan umat Islam yang ingin membela nyawa saudara-saudara mereka di sana.Tidak dinafikan berkenaan elemen ini dalam isu Syria, namun, pertimbangan kita sebagai umat Islam seharusnya jelas menyemangati Maqasid Syariah yang melindungi kepentingan nyawa apatah lagi terdapat bukti-bukti jelas pembunuhan dan kezaliman yang dilakukan dari rejim itu sendiri.

Dalam pertembungan dengan percaturan kuasa-kuasa besar, kita masih mempunyai ruang untuk bermain dalam gelanggang pencak.Namun tidak kepada tindakan pembunuhan yang bersifat nyata yang jelas tidak akan dapat dihentikan jika tiada desakan-desakan luar yang menunjukkan rasa prihatin dan marah kepada kemungkaran yang maha besar tersebut.Dalam soal ini kita baru berbicara berkenaan isu pembunuhan, belum lagi mengambil kira tindakan melampau rejim Bashar dan tenteranya dalam mempersendakan umat Islam berfahaman Ahlul Sunnah wal Jamaah.Saya rasa kita semua maklum berkenaan hal ini.Dari sudut moral dan etika tentera yang mencabul rakyatnya sendiri serta pelbagai lagi tindakan-tindakan bersifat kebinatangan yang dilakukan rejim menunjukkan kepada kita bahawa ijtihad yang perlu kita lakukan dalam hal ini yang paling utama adalah memerangi kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan.


Soal untung-rugi yang akan berlaku dalam episod Syria ini bukanlah sesuatu yang mutlak akan memberi kemenangan kepada pihak Barat. Di sinilah pentingnya peranan pemimpin-pemimpin negara umat Islam untuk membantu proses mendapatkan keadilan sebenar kepada rakyat Syria dan mengurangkan impak campur tangan Barat dalam percaturan ini. Namun, semua maklum, ketidakmampuan pemimpin-pemimpin negara Islam yang rata-ratanya terikat dengan kebergantungan material dan kepentingan peribadi yang terpaksa dijaga sehingga melemahkan keperibadian dan watak kepimpinan unggul dan sejati sebagai pemimpin umat Islam.Atas ketidakpercayaan ini, maka gerakan massa yang bertindak melalui pertubuhan-pertubuhan NGO dan rakyat yang tidak berkepentingan terpaksa tampil ke depan memainkan peranan dalam gerakan masyarakat sivil untuk melaksanakan tugas advokasi terhadap kuasa-kuasa besar yang zalim dan mencengkam pemerintahan pemimpin-pemimpin negara Islam.Maka, apa salahnya bagi pertubuhan-pertubuhan ini untuk melaksanakan tugas mereka atas kesedaran dan rasa kebertanggungjawaban terhadap saudara se-Islam mereka di seluruh pelosok duni yang ditindas bukan sahaja dari kuasa luar bahkan pemimpin negara sendiri yang sudah lemah keperibadiannya dan sentuhan kemanusiaannya kepada rakyat yang diperintah.

Perkara ini sepatutnya menjadi satu tamparan besar buat pemimpin-pemimpin negara umat Islam kerana tidak mampu bertindak dalam menunjukkan keprihatinan mereka kepada saudara mereka di negara lain terutamanya dalam isu yang jelas memaparkan kezaliman. Bahkan lebih mendukacitakan, pemimpin negara Islam ini terpaksa tunduk kepada kuasa besar yang akan menggunakan segala mekanisma yang ada. Bukan di peringkat kami tidak memahami kesukaran dan situasi politik antarabangsa yang berlaku, namun kemahuan serta 'political will' pemimpin itu yang rakyat mahukan sekurang-kurangnya sebagai tindakan yang memaparkan keprihatinan pimpinan yang ikhlas dalam soal umat Islam dan keadilan.


Dalam wacana ini, PKPIM tidak berniat untuk menyerang sisi-sisi peribadi mana-mana individu ataupun kumpulan sekalipun kami diserang dengan sisi tersebut melalui kenyataan memperkecilkan kemampuan intelektual pertubuhan Islam. Perbahasan ini hanya ingin membawa kepada persetujuan dalam pembelaan kepada nasib umat Islam melalui tindakan perdebatan yang matang dan bukan menyerang sosok subjek tersebut. Di peringkat PKPIM dan ABIM, sebelum melancarkan himpunan ini, kami sudah melaksanakan beberapa siri wacana yang membincangkan isu Syria ini seawal bulan Januari tahun ini lagi melalui siri wacana mengupas isu Syria dan 'Arab Spring' seperti Forum Lorong Tengah anjuran PKPIM yang panelnya diwakili oleh rakyat Syria yang berada di Malaysia, Nasir Mat Tap dari Akademi Kajian Ketamadunan, Haris Zalkapli selaku penganalisis politik antarabangsa dan juga saudara Jufitri Johar selaku Naib Presiden Antarabangsa ABIM. Diskusi yang memaparkan pelbagai pandangan dari sudut yang berbeza berkenaan isu Syria dan 'Arab Spring' telah dikupaskan secara matang dalam wacana-wacana ilmiah dalam skala bersiri sebelum memutuskan untuk melancarkan perhimpunan aman bagi menyatakan penentangan terhadap kezaliman dan pembunuhan di Syria.


Mewakili gerakan mahasiswa, PKPIM mengharapkan para pimpinan mahupun mantan pimpinan memahami aspirasi dan hasrat kami dan sewajarnya bersifat membantu dan menyenangi peranan pertubuhan Islam dan bukan memperlekehkan dan tidak menghormati pertubuhan-pertubuhan ini melalui penulisan yang masih berpencak dalam gaya politik.Usahlah dalam isu sejagat ini mahu dipolitikkan juga, jika tidak, sampai bila umat Islam akan terus ditindas dan diketawakan. Tidak mustahil sekiranya sebahagian lambang keberjayaan agenda hasutan Barat kepada umat Islam secara terancang, tersusun dan juga zalim jika ada barisan kepemimpinan atau tokoh negara yang terperangkap dalam identiti sebegini. Paling penting dalam isu ini, setiap umat Islam harus mempunyai kerangka pandangan alam Islam (worldview) yang jelas dan betul supaya mampu meletakkan timbang tara aqal yang adil dalam percaturan keputusan dan pandangan dan bukannya bergantung semata-mata kepada timbang tara untung rugi material yang merupakan salah satu indikator kejayaan dalam agenda demokrasi Barat.

Ahmad Afif Ahmad Mohtari Yasim ialah Naib Presiden Antarabangsa PKPIM.

Tiada ulasan: