Isnin, 19 Mac 2012

HIDAYAH NI DARI ALLAH..BERUNTUNGLAH ORANG DAPAT HIDAYAH...DULU NAFI SEKARANG MENGAKU..BERBELIT2...APA JENIS MANUSIA....

Tangguh PRK: UM bunuh demokrasi kampus?

Dema, 18 Mac 2012
Gerakan Demokratik Mahasiswa & Belia Malaysia (DEMA) mendesak pihak pentadbiran Universiti Malaya memberi penjelasan atas penangguhan pilihan raya kampus (PRK) ke semester hadapan, iaitu semester pertama, sesi 2012/2013.


DEMA berasa kecewa terhadap penangguhan pilihanraya kampus ke semester 1, Sesi 2012/2013. Menurut laman rasmi facebook Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya pada 16 Mac 2012, pihak pentadbiran UM telah mengadakan pelantikan ‘Executive Caretaker’ dengan alasan mengganti Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) untuk menguruskan hal ehwal berkaitan kebajikan pelajar. Hal ini berikutan dengan tempoh perkhidmatan Majlis Perwakilan Pelajar UM yang telah tamat pada 21 Februari 2012.

MPP dan Parlimen adalah sama, ia perlu dibubarkan apabila tamatnya tempoh perkhidmatan untuk memilih wakil mahasiswa/i untuk sidang depan.

Pihak pentadbiran universiti tidak memberikan penjelasan yang kukuh atas kelewatan pilihan raya kampus yang sepatutnya diadakan pada semester ini, iaitu semester kedua sesi 2011/2012.

Selain daripada Universiti Malaya, universiti tempatan yang lain, seperti UUM, UPM, USM dan lain-lain sekarang masih tidak memberi pengumuman tarikh pilihan raya kampus. Maka, DEMA menyokong pemansuhan Auku dengan menggantikan akta yang melindungi demokrasi kampus, termasuklah golongan mahasiswa berhak memutuskan tarikh pilihan raya kampus serta dalam urusan pilihan raya kampus.

Kedua, pihak pentadbiran UM telah membunuh demokrasi kampus. MPP adalah dipilih melalui undian majoriti pelajar tetapi pihak pentadbiran UM melantik Executive Caretaker atas pilihan sendiri.

Situasi ini telah membuktikan HEP menolak kebebasan suara mahasiswa kerana caretaker tersebut dipilih tanpa perbincangan dengan pelajar dan ahli MPPUM.

Pemilihan caretaker ini tidak menunjukkan ketelusan dan kami juga mengesyaki pihak pentadbiran UM hanya melantik pelajar Pro-Aspirasi sebagai Executive Caretaker yang menggantikan MPPUM.

Oleh itu, kami berharap pihak pentadbiran UM dapat mengumumkan kaedah pemilihan dan kelayakan caretaker.

Ketiga, pihak pentadbiran universiti telah memberi situasi yang mengelirukan kepada pelajar semester 4 yang ingin bertanding dalam pilihan raya kampus ini.

Tempoh perkhidmatan MPP adalah 1 tahun, jika pelajar semester 5 menjadi MPP, pelajar tersebut akan tamat pengajiannya sebelum tamat tempoh perkhidmatan MPP.

Jadi, adakah pelajar semester 5 sesi 2012/2013 dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kampus? Masalah ini tidak akan berlaku jika pilihan raya kampus tidak ditangguhkan.

Pihak pentadbiran perlu memberi penjelasan dan memastikan hak pelajar semester 5 sesi 2012/2013 untuk bertanding dalam pilihanraya kampus. DEMA berharap pilihanraya kampus tidak patut ditangguhkan kerana situasi ini bukan shaja mengelirukan tetapi juga mencabul suara mahasiswa.

Akhir kata, DEMA berharap pihak pentadbiran universiti mengadakan perbincangan dengan mahasiswa sebelum membuat segala keputusan yang berkaitan dengan isu mahasiswa supaya suara mereka dapat didengar serta dihormati.

Jadi, kami mendesak pihak pentadbiran universiti memberi sebab yang kukuh atas penangguhan pilihanraya kampus dan membuat perbincangan dengan mahasiswa secepat mungkin.

Tuan Ibrahim Islamkan pemuda Tionghua

Muhammad Faeez, 18 Mac 2012

TELUK INTAN, 18 Mac: "Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah," demikian maksud kalimah syahadah yang telah dilafazkan oleh Yong Yuk Thien, 26, seorang pemuda Tionghua yang berasal dari Sabah.

Majlis itu dipimpin oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas menyampaikan Kuliah Manghrib sempena Konvoi Penerangan PAS Pusat ke Perak yang diadakan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan di Kampung Padang Tembak dekat sini, semalam.

Selepas selesai mengucap dua kalimah syahadah, Tuan Ibrahim telah memberikan penerangan berkenaan tanggungjawab seorang muslim.

“Seorang saudara baru masih boleh lagi berhubungan dengan ahli keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa, menghadiri perayaan yang bukan bersifat keagamaan seperti Tahun Baru Cina, majlis perkahwinan dan sebagainya,” jelas beliau kepada pemuda tersebut.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berharap, pihak PAS Kawasan Teluk Intan dapat mengambil tanggungjawab memastikan Yong mendalami ilmu agama serta mengambil tahu sebarang perkara berkaitannya.

Yong ketika ditemua berkata, beliau banyak membaca buku tentang agama Islam di samping mendapat pemahaman dan bimbingan daripada kakak dan bapa saudara beliau yang sudah memeluk Islam.

Beliau yang bakal melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej di Kuala Lumpur pada Mei depan berharap akan menjadi seorang muslim yang baik kelak.

Program Konvoi Penerangan PAS Pusat ke Negeri Perak  membariskan pimpinan utama PAS termasuklah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Pelajari ilmu secara 'tafaqquh' - Presiden PAS

Salmiyah Harun, 18 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 18 Mac:
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan umat Islam perlu mempelajari ilmu secara 'tafaqquh' iaitu belajar dan mendalami Islam sebaik-baiknya.

"Kita bukan sahaja mengajar atau mengaji tetapi faham Islam itu sebenar-benarnya,"katanya dalam ucaptama majlis Istiadat Konvokesyen Intitut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah (Ilham) kali ke-11.

Ini kerana, katanya, umat Islam dituntut memberi peringatan kepada semua supaya mereka berwaspada terhadap ajaran-ajaran sesat, termasuk dalam konsep cara hidup.

"Mempelajari Islam bukan untuk diri sendiri sekadar tahu sahaja, tetapi untuk disampaikan kepada segenap umat kerana ia sudah menjadi tanggungjawab menyampaikan ilmu," katanya.

Malah tegasnya, Allah memilih manusia bertugas di atas muka bumi ini kerana manusia mempunyai fitrah dan naluri untuk menjadi khalifah.

Bagaimanapun katanya, kejahilan umat Islam hari ini hanya menangani dua pendekatan yang menjadi pemandu umat manusia iaitu agama dan ideologi yang berkait cara hidup, politik, ekonomi dan sosial.

"Mereka lupa 'di sana' ada petunjuk Allah yang dinamakan Ad Din yang dibawa oleh Nabi dan Rasul. Bermula Adam a.s ditutup dengan Muhammad SAW," katanya.

Berucap di depan 146 graduan Ilham, Abdul Hadi berkata, pendidikan dan pentarbiyahan merupakan medium penting untuk melahirkan generasi pendakwah yang bergerak di atas landasan ilmu dan sensitif dengan persekitaran.

Justeru katanya, setiap ahli lebih-lebih lagi pimpinan mesti meletakkan aspek tarbiyah sebagai asas utama dalam apa situasi dan tempat kerana tarbiyah adalah sebahagian daripada tunjang kekuatan jamaah.

"Diharap graduan Ilham mampu menjadi pendokong dan petugas gerakan Islam yang sanggup menghadapi tribulasi perjuangan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat Idris Ahmad mencadangkan semua peringkat perlu memastikan ahli-ahli kawasan mereka diwajibkan menyertai program Ilham.

"Seboleh-bolehnya biarlah setiap tahun
sekurang-kurangnya dua orang setiap kawasan ditaja oleh PAS kawasan terutama mereka yang tidak sempat mempelajari Islam secara formal," katanya.

Pengarah Ilham Pusat Dr Asiah Ali berkata, tarbiyah adalah nadi  kepada PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang bukan terhad kepada usrah, tamrin, seminar dan pengisian ilmu sahaja.

Bahkan katanya ketika memberi ucapan, tarbiyah perlu untuk melahirkan pendokong gerakan Islam PAS yang mampu menjadi 'role model' kepada masyarakat.

Petua hadapi serangan kebendaan Umno, BN

Aslani M, 18 Mac 2012

KOTA BHARU, 18 Mac: Adilkah bagi seorang menteri apabila membandingkan antara bantuan kerajaan persekutuan dan negeri. Sedangkan segala hasil daripada mana-mana negeri dilonggok di Putrajaya.

Cukai langsung atau tidak langsung semuanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat. Negeri hanya ada bidang kuasa berkaitan tanah, sumber air, hasil hutan dan cukai di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Namun bagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, soal rasionaliti tidak diambil kira, biar pun perbezaan jumlah hasil di antara pusat dan negeri seumpama langit dan bumi.

Maka tidak hairanlah Datuk Seri Mustapa Mohamed menyebut kerajaan pusat membelanjakan sebanyak RM84.5 juta bagi membantu penduduk miskin di Kelantan tahun lepas, disalur melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Lalu dibandingnya pula dengan kerajaan PAS Kelantan hanya memperntukan sebanyak RM7.4 juta bagi tujuan sama.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Ya’kub berkata, kenyataan menteri terbabit sebenarnya memperlihatkan pemimpin Umno tidak cuba belajar memahami konsep federalisme.

“Apabila kita membandingkan bantuan yang dihulur kerajaan pusat dan bantuan negeri, seolah-olah kita mahu melihat apa yang disumbang seorang bapa dan seorang anak.

“Seorang bapa yang mempunyai segala kuasa dan kedudukan tidak adil apabila dibanding pula dengan anak berpendapatan rendah dan tiada kedudukan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dilaporkan mendakwa kerajaan Persekutuan menyalur bantuan membantu penduduk miskin hampir 90 peratus berbanding hanya 10 peratus disumbang kerajaan PAS Kelantan.

Abdullah yang juga Adun Air Lanas berkata, kalau hendak dibuat perbandingan bajet diperuntukan persekutuan, perlu dilakukan perbandingan dengan negara lain yang mempunyai Keluaran Negara Kasar hampir serupa.

Beri duit ambil

Sementara itu di majlis berasingan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi petua lama bagi menghadapi serangan material kerajaan BN menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

“Kalau mereka beri duit kita ambil, kalau beri gula kita kacau dan kalau mereka beri kain kita pakai.

“Tetapi kena ingat apabila hari mengundi nanti hendaklah pilih calon PAS, kalau di tempat PAS tidak bertanding pilih PKR, dan kalau tiada calon PKR kena undi calon DAP,” katanya pada program Pemuda Penggerak Ummah di Kampung Jambu, di sini, baru-baru ini.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Peti Undi PAS Kampung Jambu.

Menjelang PRU-13 kerajaan BN mengumpankan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 kepada isu rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Lebuh raya: Pulangkan RM976.7 juta kepada rakyat

Mohd Rafizi Ramli, 18 Mac 2012
Saya mengikuti dengan rapat penjualan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya oleh Maju Holdings Sdn Bhd kepada EP Manufacturing Berhad dalam urusniaga yang dilaporkan bernilai RM1.7 bilion.


Ini menimbulkan keraguan serta merta memandangkan pembinaan lebuhraya tersebut menggunakan dana awam yang besar melalui geran kerajaan bernilai RM976.7 juta. Kos keseluruhan lebuhraya tersebut dianggarkan bernilai RM1.32 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh rakyat melalui geran RM976.7 juta yang diberikan kerajaan kepada Maju Holdings Sdn Bhd. Selain geran tersebut, saya menganggarkan suntikan dana yang dibuat oleh Maju Holdings Sdn Bhd hanyalah sekitar RM60 juta (iaitu 4.5% dari kos keseluruhan) kerana ia turut meminjam RM370 juta dari institusi kewangan.

Oleh yang demikian, penjualan berjumlah RM1.7 bilion ini akan memberi durian runtuh kepada Maju Holdings Sdn Bhd sekiranya geran oleh kerajaan berjumlah RM976.6 juta tidak dikembalikan. Jika ini berlaku, selepas membayar hutang institusi kewangan berjumlah RM370 juta, bermakna Maju Holdings Sdn Bhd bakal membuat keuntungan berjumlah sekitar RM1.33 bilion sedangkan modal pelaburannya dianggarkan RM60 juta sahaja.

Saya mendesak Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mengesahkan sama ada Maju Holdings Sdn Bhd akan mengembalikan dana rakyat sejumlah RM976.7 juta itu, kerana jika tidak ia menimbulkan lebih banyak persoalan yang akan terus menaikkan kemarahan rakyat.

Jika keuntungan RM1.33 bilion itu disimpan oleh Maju Holdings Sdn Bhd, apakah perjanjian di antara Perdana Menteri dengan pemilik Maju Holdings Sdn Bhd yang diketahui umum penyokong kuat UMNO? Adakah wujud persefahaman agar keuntungan atas angin yang merampas dana rakyat itu akan disalurkan kembali kepada UMNO sebagai dana pilihanraya?

Sejak akhir-akhir ini, keghairahan Perdana Menteri meluluskan urusniaga melibatkan kroni UMNO/Barisan Nasional bernilai berbilion ringgit menguatkan syak wasangka rakyat bahawa harga yang tinggi yang dikenakan kroni merugikan rakyat. Tambahan pula, urusniaga dalam serba kerahsiaan dan tiadanya ketelusan boleh menguatkan lagi wasangka rakyat itu.

Penjualan konsesi lebuhraya ini adalah urusniaga yang kedua dalam masa sebulan yang membelakangkan kepentingan rakyat, selepas pembelian aset dan perniagaan Ananda Krishnan oleh dana 1MDB yang dikawal sepenuhnya Perdana Menteri berjumlah RM8 bilion, walaupun 1MDB tidak pernah ada sebarang pengalaman di dalam industri penjanaan tenaga.

Jumlah dana rakyat yang terlibat sebanyak RM976.6 juta itu adalah empat kali ganda lebih tinggi dari dana yang membabitkan NFC. Perdana Menteri mungkin berfikiran beliau boleh mendiamkan diri mengenai NFC, tetapi sudah tentu jumlah dana rakyat sebesar RM976.6 juta ini memerlukan jawapan dari beliau memandangkan urusniaga tersebut tidak boleh berlaku tanpa kelulusan beliau sendiri sebagai Menteri Kewangan.

Mohd Rafizi Ramli ialah Pengarah Strategi PKR
(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Deklarasi: PAS Wilayah lancar tuntutan warga kota

Hazayani Zakaria, 18 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 18 Mac: PAS Wilayah Persekutuan hari ini melancarkan Deklarasi Tuntutan Warga Kota ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan Persekutuan.

Deklarasi tersebut mengandungi sebelas tuntutan antaranya meminta kerajaan mengekalkan status kampung warisan yang dimiliki atau yang didiami oleh orang Melayu, Cina, dan India di Kuala Lumpur dan menyediakan skim sewa-beli rumah PPR kepada mereka yang layak serta menyediakan dana secukupnya bagi pembiayaan untuk membolehkan mereka memiliki rumah di ibu kota.

Pelancarannya dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa sempena Konvoi Lajnah Penerangan PAS ke Wilayah Persekutuan.

Majlis pelancarannya turuy disaksikan kira-kira seratus peserta Jelajah Warisan iaitu ekspidisi untuk mengenali warisan-warisan negara yang bakal lenyap.

Bercakap pada sidang media selepas pelancaran, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad berkata, Wilayah Persekutuan hanya bersebelahan dengan Selangor tetapi penduduknya tidak dapat menikmati manfaat seperti penduduk Selangor.

Sebagai contoh katanya, pemberian air paip percuma sebanyak 20m padu kepada warga kota seperti yang dilakukan Kerajaan Selangor.

"Kita megadakan deklarasi ini supaya penduduk di Wilayah Persekutuan turut mendapat nikmat seperti di Selangor.

"Terlalu banyak masalah kebajikan di Wilayah Persekutuan tidak dapat diselesaikan khususnya masalah perumahan dan warga emas," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan menyerahkan deklarasi tersebut secara rasmi ke pejabat DBKL jam 10 pagi esok.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS Pusat menyokong penuh deklarasi tersebut termasuk perjuangan penduduk kampung warisan mempertahankan tanah mereka.

"Di Wilayah ini setiap masa kita dengar penduduk terima surat daripada pihak pemaju untuk mengosongkan tanah untuk dilakukan pembangunan.

"Penduduk berhadapan dengan cabaran pembangunan yang pesat jadi kita mahukan kerajaan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nuridah Salleh, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ketua Penerangan Muslimat Wilayah, Salbiah Wahab.

Berikut merupakan sebelas tuntutan warga kota:

1. Menyediakan kemudahan air paip sebanyak 20m padu secara percuma kepada semua warga kota.

2. Memberikan sumbangan RM200 kepada semua bayi rakyat Malaysia yang dilahirkan di Kuala Lumpur /ibu atau bapa penduduk Kuala Lumpur.

3. Menyumbangkan RM2,500 kepada setiap warga emas di Kuala Lumpur yang meninggal dunia sebagai sumbangan khairat kematian bagi meringankan beban waris yang tinggal dalam pengurusan jenazah.

4. Menyediakan skim pemberian baucer barangan keperluan harian sebanyak RM100 kepada setiap warga tua di Kuala Lumpur sebagai menghargai usia dan jasa mereka.

5. Memberikan RM1,000 kepada setiap pelajar yang mendapat tawaran ke Intitut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai satu penghargaan kepada mereka sekaligus meringankan  tanggungan keluarga bagi membiayai kos permulaan pembelajaran.

6. Mengekalkan status kampung warisan yang dimiliki atau yang didiami oleh orang Melayu, Cina, dan India di Kuala Lumpur.

7. Menyediakan skim sewa-beli rumah PPR kepada mereka yang layak serta menyediakan

8. Menyediakan tapak pasar basah yang sesuai untuk peniaga barangan keperluan harian di pasar moden Dato Keramat yang baru bagi memastikan para peniaga dapat berniaga dengan selesa dan juga pembeli dapat membeli barangan keperluan mereka yang dijamin mutu dan kebersihannya.

9. Membantu warga kota yang miskin dengan skim penggalakan perniagaan kecil-kecilan dan pengecualian lesen perniagaan untuk tiga tahun pertama bagi mengurangkan kadar kemiskinan di ibu kota.

10. Pengecualian cukai pintu untuk warga kota yang pendapatannya di bawah paras kemiskinan.

11. Kekalkan hak milik tanah Kampung Baru di tangan orang Melayu. Jangan gunakan akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 untuk rampas tanah penduduk atas nama pembangunan.

MAS-AirAsia: Najib, bapa flip-flop negara?

Harakahdaily, 18 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Lapan bulan lepas, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja meluluskan malah mempertahankan habis-habisan penggabungan MAS-AirAsia walaupun dikritik hebat kerana mempunyai elemen anti-persaingan.

Dalam penggabungan tersebut, saham MAS-AirAsia bertukar tangan di mana pemilik AirAsia mengambil 20 peratus ekuiti di MAS dan Khazanah Nasional mengambil 10 peratus saham di AirAsia.

Perjanjian tersebut disebut-sebut sebagai cara terakhir untuk menyelamatkan MAS, namun ia tidak terjadi, malah prestasi syarikat penerbangan negara itu terus menjunam.

“Sehingga sekarang masih tidak kelihatan jalan keluar,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam satu kenyataannya.

Pada awalnya, pengkritik menyatakan bahawa penggabungan MAS-AirAsia bersifat anti-persaingan di bawah peruntukan Akta Persaingan 2011 sama ada menerusi Kerangka Kolaboratif Komprehensif (CCF) atau sebaliknya kerana ia akan menyebabkan pengurangan penerbangan dan peningkatan harga tiket terbang.

Kerugian MAS pada Disember 2011 sebanyak RM2.52 bilion selepas empat bulan penggabungan telah mengejutkan para pemimpin Barisan Nasional dan Najib.

“Kerugian teruk tersebut kata pengkritik dalaman BN membuktikan kegagalan penstrukturan dan misi menyelamatkan MAS dan tekanan diberikan terhadap Najib untuk membatalkan penggabungan tersebut.
"Sekarang spekulasi hangat bahawa Najib sememangnya serius untuk membatalkan penggabungan tersebut yang dimeterai pada Ogos 2011,” kata Pua.

Berdasarkan laporan The Malaysian Insider, Putrajaya sedang menimbangkan satu entiti khas untuk mengambil alih MAS daripada pemegang saham tersebarnya, Khazanah Nasional Berhad dan Tune Air Sdn Bhd jika Najib tunduk kepada tuntutan Kesatuan Pekerja M (Maseu)  untuk membatalkan penggabungan MAS-AirAsia.

“Sikap ambil mudah dan tanpa melakukan penelitian di dalam pentadbiran Najib sebelum apa-apa keputusan sebenarnya adalah lagi mengejutkan daripada kerugian yang ditanggung MAS,” kata Pua.

Pua bertanya samada Najib berfikiran bahawa pengurusan baru yang mula bekerja secara serius semenjak September 2011 mempunyai kuasa sakti untuk membawa MAS ke era keuntungan semula pada masa 3 bulan.

“Realitinya, dari RM1.28 bilion kerugian yang dicatatkan pada suku keempat 2011,  RM1.09 bilion adalah hasil daripada peruntukan kewangan yang dibuat untuk barangan seperti stok lapuk dan kemerosotan fret.

"Peruntukan ini adalah legasi yang ditinggalkan oleh pengurusan lepas, dan mesti ditangani dengan kadar segera. MAS tidak mungkin ada hidup yang baru tanpa menyahkan semua ini daripada akaunnya,” kata Pua.

Sikap Najib yang bertukar arah kurang daripada 8 bulan daripada sesuatu keputusan, kata Pua adalah bersamaan dengan pemilik Liga Perdana Inggeris yang menggaji dan memecat seseorang pengurus hanya kerana satu siri kekalahan, kerana mengganggap pengurus tersebut boleh mengubah nasib pasukannya serta merta dengan pemain dan cara yang sama.

“Hakikatnya ialah MAS telah berada dalam keadaan teruk, yang tidak pernah dipulihkan sehingga kini sejak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menswastakan syarikat penerbangan tersebut kepada Tan Sri Tajuddin Ramli,” kata Pua.

Keputusan tiba-tiba untuk melaksanakan pertukaran saham pada Ogos 2011 dan sekarang secara serius pula untuk membatalkannya sebelum pihak pengurusan dapat melaksanakan apa yang dihajatnya menonjolkan sifat Najib yang suka membuat keputusan terburu-buru.

“Sifat terburu-buru ini memang menjadi ciri-ciri pentadbiran Najib yang terkenal dengan beberapa U-turn dalam polisi beliau, termasuk pemansuhan kuota mengikut kaum dalam Model Ekonomi Baru, U-turn dalam slogan Malaysian First dan janji beliau melaksanakan tender terbuka.

"Akibat daripada ini, ramai pelabur dari dalam dan luar negara telah hilang kepercayaan pada kebolehan beliau dalam melaksanakan reformasi yang boleh mengubah politik dan ekonomi negara.
"Sekarang mereka menganggap Najib sebagai kemungkinan perdana menteri yang paling hebat bertukar fikiran dalam sejarah negara,” sindir Pua.

Berniaga dengan Yahudi Israel, sekongkol Zionis

Harakahdaily, 18 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 18 Mac: Bersependapat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu mengingatkan bahawa berniaga dengan Yahudi biasa adalah berbeza dengan Yahudi dari negara haram Israel, kerana rakyat negara tersebut berfahaman Zionis.


“Muamalah dengan orang Yahudi tak ada masalah. Rakyat di negara haram Israel berfahaman Zionis, maka berniaga dengan Yahudi dari Israel bererti bersekongkol dengan Zionis. Orang Yahudi bukan rakyat negara Israel boleh bermuamalah,” kata Mohamad Sabu pada satu smsnya kepada Harakahdaily.

Dua malam lalu, ketika satu majlis makan malam bersama pemimpin anjuran Dewan Muslimat PAS Pusat, Abdul Hadi menerangkan bahawa Yahudi terbahagi kepada dua, satu Yahudi dan satu Zionis.

“Satu bangsa dan satu lagi kefahaman. Walaupun boleh berniaga dengan Yahudi, tetapi Pas tetap menentang sekeras-kerasnya (aktiviti) berniaga dengan Zionis,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi berkata sedemikian sebagai menjawab soalan  yang diajukan kepada beliau berhubung proses perhubungan antara kerajaan Pas ataupun pakatan pembangkang untuk memisahkan hubungan perniagaan dengan bangsa Yahudi sekiranya menguasai kerajaan persekutuan suatu hari nanti.

Abdul Hadi berkata ia dibolehkan kerana Nabi Muhammad SAW juga pernah berurusan dalam perniagaan dengan bangsa itu ketika berada di Madinah, namun ia hanya terhad kepada kepada kaum Yahudi sahaja dan bukannya dengan mereka yang berfahaman Zionis.

Dalam konflik Israel-Palestine, Abdul Hadi bersama Mohamad dan juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat terdahulu telah sebulat suara menolak formula penyelesaian dua negara dan sebarang pengiktirafan kepada Israel, yang mendapat tanahnya secara kejam dan pembunuhan dan mengusir rakyat Palestine keluar daripada negara mereka.

"Kalau dua negara ini perang tidak akan selesai, kita mahukan negara Palestin yang orang Islam, Yahudi dan Kristian hidup bersama harmoni seperti negara Islam Madinah dahulu," tegas Abdul Hadi.
Kerajaan akui hubungan dagang dengan Israel
ROSALWANI CHE SOH
18 Mac 2012
Kerajaan akui hubungan dagang dengan Israel
KOTA BHARU - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau akan memperjelaskan isu mengenai hubungan perdagangan dengan Israel pada sidang Parlimen dalam masa terdekat.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu akan disambung esok.
Menurutnya, kerajaan tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa negara ini mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, namun sama sekali tidak mengiktiraf negara tersebut yang jelas menindas rakyat Palestin.

“Sebagai sebuah negara Islam, kita tidak iktiraf Israel kerana mereka menindas rakyat Palestin dari segi kepentingan hak rakyat, namun Kerajaan Pusat tidak pernah menyembunyikan yang kita ada jalankan perniagaan dengan mereka.

Kerana dalam perkembangan dunia hari ini amat sukar untuk mengasingkan perdagangan dengan negara luar termasuk Israel,” katanya kepada pemberita selepas majlis seminar panel penasihat peringkat Kelantan di Politeknik Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Makhtar Mustafa serta Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Nordayanah Hassan.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan negara Islam boleh bekerjasama dengan Israel dari segi hubungan dagangan namun tidak menyokong kefahaman Zionis.

Abdul Hadi berkata, bangsa Yahudi pernah menjalankan hubungan perniagaan dengan Nabi Muhammad SAW ketika berada di Madinah. Sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkritik Kerajaan Pusat menjalinkan hubungan dagang dengan Israel dan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Kelantan berkata, hubungan perdagangan dengan Israel melibatkan perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat multinasional.

“Namun dari segi politik kita memang tidak langsung menyokong mereka dan masih menganggap mereka masih sebagai musuh dalam Islam, Insya-Allah saya akan beri penerangan mengenai perkara ini di Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: