Khamis, 22 Mac 2012

MEDIA2 DIINTERNET...LEBIH TELUS SERTA PANTAS...DAPAT DIBANDINGKAN YANG TULEN DENGAN YANG PALSU...FITNAH..PENIPU DENGAN YANG BENAR...ADA KELEBIHAN ORANG YANG BIJAK TENTANG ICT

Mohamad Sabu nafi pujuk Kadir

Abdul Aziz Mustafa, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menafikan bahawa beliau mendakwa sebagai orang yang memujuk Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir keluar Umno.

"Kadir boleh membuat keputusannya sendiri tanpa dipujuk oleh sesiapa. Memang saya mengunjunginya dan berunding serta berbincang mengenai politik negara dengannya.

"Tetapi bukan saya yang memujuknya keluar Umno. Itu keputusan Kadir sendiri," tegas beliau.

Beliau menafikan laporan hari ini yang mendakwa Mohamad membuat pengakuan bahawa beliaulah yang orang memujuk Kadir membuat keputusan keluar Umno.

Mohamad mengakui beliau ada menyatakan bahawa Kadir adalah salah seorang dari banyak lagi tokoh Umno yang akan keluar dari parti itu.

"Tetapi tidak ada misi memujuk. Berunding memang ada dan itu perkara biasa. Saya hanya berjumpa dan berhubung dengan tokoh-tokoh Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sahaja.

"Ada yang mendakwa kepada saya bahawa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) juga sangat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib.

"Itu yang diberitahu kepada saya dan saya tidak tahu kerana kali terakhir saya jumpa Dr Mahathir ialah ketika dia berlawan dengan Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad badawi) dulu. Selepas itu saya tak pernah jumpa Dr Mahathir," kata Mohamad.

Kadir adalah salah seorang yang ditemuinya.

Mohamad dipetik oleh Berita Harian hari ini sebagai berkata bahawa Kadir yang keluar parti kelmarin hanya salah seorang daripada banyak lagi yang akan menyusul.

"Aku dah berunding dengan dia lama dah. La ni (sekarang) keluar Umno baru hangpa (kamu) tahu.

"Berlambak lagi aku sedang berunding sekarang... tunggu," beliau dipetik oleh akhbar pro-Umno itu sebagai berkata.

Mengulas lanjut kenyataan dalam ceramahnya itu, Mohamad menjelaskan, berunding tidak sama dengan memujuk.

"Kita boleh berunding mengenai masa hadapan negara sambil mendapatkan pandangan tokoh-tokoh Umno berkenaan mengenai kemusnahan yang bakal dihadapi oleh negara jika terus diperintah Umno.

"Pujuk tidak perlu. Mereka ada akal fikiran sendiri. Mereka duduk di dalam Umno dan mereka lebih nampak kehancuran yang akan diakibatkan pemerintahan parti itu," katanya.

Mohamad walaubagaimanapun mengakui, kunjungan hormat serta usaha perundingan dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh Umno berkenaan memang dipertingkatkan lagi.

LAPORAN BERKAITAN

Kadir pun keluar Umno, ahli biasa bila lagi
Kadir Sheikh Fadzir isytihar keluar Umno
Kadir beri signal Umno perlu ditolak pada PRU-13

Himpunan aman rayu bebas Hoslan, Sabtu ini

Anis Nazri, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Satu perhimpunan aman akan diadakan pada 24 Mac ini di Masjid Wilayah, Jalan Duta, sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Himpunan aman yang dianjurkan Jingga 13 itu bagi menuntut kebebasan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Hoslan Hussain yang dihukum penjara setahun kerana menghina mahkamah.

Ketua kordinatornya, Fariz Musa, berkata himpunan itu akan bermula jam 2 petang, selepas solat Zohor dan kemudiannya akan berarak ke Istana Negara.

Tambah beliau, perarakan ke Istana Negara bertujuan merayu keprihatinan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan kepada Hoslan.

Beliau menyatakan demikian ketika sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Himpunan tersebut turut dianjurkan bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mappim).

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaffar, berkata perkara itu akan dibawa ke sidang parlimen sama ada ketika perbahasan atau celahan bagi mendapatkan penjelasan daripada menteri agama.

Selain meminta imam-imam lain di negara ini agar bersikap tegas dan berani dalam menyatakan kebenaran, Firdaus mendesak para imam untuk membuat laporan polis atau tindakan bersesuaian sekiranya mereka juga mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan wang di masjid-masjid mereka.

"Sekiranya ada penyelewengan dana masjid yang ingin didedahkan, kita sedia membantu jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau meminta keluarga imam Hoslan memperbanyakkan sabar di atas ujian yang dihadapi.

Terdahulu, Fariz turut menyerahkan satu salinan memorandum kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diwakilkan Firdaus Jaffar.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Mohamad Nasir Zakaria.

Hoslan dikenakan hukuman penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan Hoslan membaling kasut kepada panel hakim yang menghakimi kes beliau sebelum ini.

Kes membabitkan beliau itu merupakan pendedahan beliau tentang dakwaan berlakunya penyelewengan wang Masjid Ar-Rahimah yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Pendedahan yang dibuat Hoslan menyebabkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menamatkan perkhidmatannya atas dakwaan masalah disiplin dan memintanya mengosongkan kuarters yang diduduki Hoslan.

Kelantan bina jambatan baru RM2.788 juta

Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir, 22 Mac 2012



(Tuan Guru Nik Aziz melawat tapak pembinaan jambatan pagi tadi)
PENGKALAN CHEPA, 22 Mac: Walaupun Kelantan dituduh sebagai sebuah negeri miskin, namun sebuah lagi jambatan baru Lapan Pari yang bernilai RM2.788 juta bakal siap sepenuhnya pada 20 April ini.

Seramai 3,000 penduduk dari Tok Sadang, Pengkalan Chepa dan sekitarnya bakal mendapat manfaatnya apabila jambatan yang mula dibena tahun lalu siap sepenuhnya.

Hari ini, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melakukan lawatan mengejut ke tapak pembinaan jambatan berkenaan.

Turut hadir pada lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Meja (B) Md Anizam Abdul Rahman, Jurutera JKR Kota Bharu, Alias Adam dan Pengarah JKR, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah.

Tuan Guru tiba di tapak pembinaan jambatan itu kira-kira 8.15 pagi tadi untuk melakukan lawatan serta mendengar taklimat kira-kira setengah jam.

Anizam ketika ditemui selepas itu berharap jambatan berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Dengan siapnya jambatan ini, insyaallah ianya akan menyelesaikan kesulitan yang berlaku sewaktu jambatan dalam pembinaan sebelum ini,”ujarnya.

RM9.7 juta baik pulih pangsapuri kos rendah

Muhammad Faizal, 22 Mac 2012
SHAH ALAM, 22 Mac: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan sejumlah RM9.7 juta di bawah program bantuan baikpulih pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah yang dikenali sebagai Skim Ceria (Caring Government for Residence Improvements Aid).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata satu tabung amanah juga telah ditubuhkan pada tahun 2011 bagi tujuan pelaksanaan skim tersebut.

Perlaksanaan skim tersebut juga katanya adalah dengan konsep perkongsian kos antara kerajaan negeri dengan pemilik rumah.

"Bagi pangsapuri kos rendah yang mana kerajaan negeri menanggung sebanyak 80 peratus dan penduduk sebanyak 20 peratus, pangsapuri kos sederhana rendah pula kerajaan negeri 60 peratus manakalan penduduk 40 peratus," katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor.

Skim Ceria katanya dilaksanakan bagi tujuan membaikpulih kerosakan atau kecacatan harta bersama pangsapuri seperti yang ditafsirkan di bawah peruntukan Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) seperti lif, tangki air, bumbung dan sebagainya.

Menurut beliau lagi, aspek keselamatan, kebersihan dan kecerian adalah kriteria utama yang akan dilihat dalam menilai kerosakan atau kecacatan harta bersama yang akan dibaikpulih.

"Perlaksanaan Skim Ceria dibahagikan kepada dua fasa yang mana fasa pertama perlaksanaannya telah melibatkan 17 buah pangsapuri kos rendah dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.2 juta.

"Manakala fasa kedua pula melibatkan 33 pangsapuri kos rendah dan 20 pangsapuri kos sederhana randah dengan implikasi wang hampir RM7.2 juta serta dimanfaatkan hampir 19,000 jumlah unit kediaman," sambung Adun Cempaka itu lagi.

Menurutnya, skim tersebut selaras dengan mendukung dasar Negeri Berkebajikan dan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), dalam memangkin pembangunan komuniti "miskin bandar" selain daripada meringankan beban ekonomi golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.

PAS Wilayah lancar operasi jejak pengundi ragu

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) akan mengadakan operasi menjejak pengundi ragu di seluruh Parlimen di Wilayah Persekutuan.
Ketua penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, ini berikutan pendedahan daripada Ahli Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan pilihan raya telah mendedahkan seramai 79,098 dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mempunyai alamat sama.

Justeru itu, jelasnya PAS WP akan menggerakkan seluruh jentera pilihanraya PAS WP untuk mengumpulkan maklumat jumlah pengundi ragu di Wilayah Persekutuan dan akan mendedahkannya selepas itu.

“Antara tindakan yang akan dilakukan ialah menjejak pengundi-pengundi ini sehingga ke rumah mereka bagi menyiasat dan mendapatkan gambaran sebenar,” katanya.

Tambahnya, tindakan itu bagi memastikan tidak ada pengundi luar atau yang tidak berkaitan dalam parlimen terbabit turun mengundi dalam PRU13 nanti.

“Ia seperti suatu pengkhianatan terhadap pengundi yang sah di parlimen tersebut.

“Ia juga menunjukkan bahawa ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat tidak lagi meletakkan kepercayaan kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih seperti yang diharapkan rakyat selama ini,” ujarnya.

Ternyata, kata beliau imej SPR tidak pulih dengan jumlah daftar pemilih yang masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Menurutnya, PAS WP percaya, rakyat di negara ini mahukan sebuah piliha nraya yang adil, bersih dan telus dijalankan dalam PRU13.

“Biarkan pilihan raya ditentukan sendiri oleh pengundi yang sah di negara ini dan membuat perubahan atas kehendak mereka sendiri, bukan ditentukan oleh pengundi-pengundi ragu yang bertebaran di merata tempat,” katanya.

FGVH: Keputusan mohon injunksi 2 April

Hazayani Zakaria, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menetapkan 2 April depan bagi membuat keputusan berhubung permohonan injunksi bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Mariana Yahya setelah mendengar penghujahan peguam plaintif iaitu lapan pemegang saham KPF dan defendan iaitu KPF sendiri yang berlangsung selama 1 jam setengah.

Plaintif diwakili peguam Haris Abdullah manakala peguam J. Doshi mewakili defendan.

Februari lalu, plaintif memohon injunksi bagi menghalang KPF membincangkan apa-apa perkara yang membabitkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings di Bursa Malaysia.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, pihaknya sangat gembira dengan keputusan tersebut kerana ia menggambarkan mahkamah mendengar tentangan peneroka terhadap penyenaraian FGVH.

"Keputusan hari ini sangat melegakan walaupun bersifat sementara. Sekurang-kurangnya perjuangan peneroka bawa kes ini ke mahkamah didengar," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat itu turut menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa kerajaan akan meneruskan penyenaraian FGVH sebagai menghina mahkamah.

"Kerajaan harus bersabar dan kena tunggu 2 April sebelum membuat sebarang keputusan. Kalau beliau kata akan teruskan penyenaraian walaupun keputusan mahkmah belum ada, ini menghina mahkamah," katanya.

Justeru, Anak menyeru rakyat Malaysia khususnya warga Felda mengadakan solat hajat atau program kerohanian agar keputusan hakim memihak kepada plaintif.

"Saya minta semua warga Felda banyakkan solat hajat dan berdoa supaya keputusan hakim memihak kepada peneroka," katanya.

Panah Pahang: Internet jadi media penentu

Harakahdaily, 22 Mac 2012
Fokus Panah-UBAH Pahang yang panelnya terdiri daripada pimpinan tertinggi PAS Pahang akan berbicara setiap dua minggu sekali khusus mengenai suasana dan isu-isu semasa politik negeri Pahang Darul Makmur.

Ahli-ahli panel terdiri daripada:

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan PJ Pahang 1, Ustaz Yusof Embong
Timbalan PJ Pahang 2, Ustaz Hamzah Jaafar
Timbalan PJ Pahang 3, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan kepada ahli-ahli panel kita, sila emailkan kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini mereka berbicara mengenai topik berikut:

Adakah rakyat Pahang sudah bersedia berubah pada pandangan anda? Beza mood perubahan di kawasan berinternet dengan tidak berinternet dan cara nak tingkatkan mood perubahan rakyat Pahang.

Ustaz Tuan Ibrahim:

Secara umumnya rakyat Pahang dilihat tidak ghairah untuk membuat perubahan, khususnya di kawasan luar bandar dan di kalangan golongan tua. Mereka dilihat masih kekal dengan sokongan kepada UMNO-BN, tetapi keadaan ini agak berbeza di kalangan masyarakat bandar dan pinggir bandar dan di kalangan generasi muda di kawasan Felda dan luar bandar.

Keghairahan untuk berubah dari tinjauan umum adalah daripada kalangan golongan bermaklumat, khususnya orang bukan Melayu dan mereka yang ada membaca dan menganalisa berita daripada sumber alternatif dan yang bersifat intelektual.

Rakyat Pahang umumnya berhadapan dengan isu utama iaitu isu Lynas di kalangan masyarakat intelek dan isu penyenaraian Felda bagi kawasan Felda. Kedua-dua isu ini besar tapi agak teknikal jika dibandingkan dengan isu lembu National Feedlot Corporation.

Namun, secara keseluruhannya pandangan agak berbeza ini dipengaruhi oleh media baru atau media alternatif. Persoalan utama ialah fokus perubahan kepada pengundi sasaran iaitu generasi 40an ke bawah yang membentuk 52 peratus pengundi Malaysia.

Seandainya mood perubahan di kalangan generasi muda dapat ditingkat 7-10 peratus dari pencapaian PRU yang lalu, maka InsyaAllah perubahan akan turut berlaku di Pahang dalam PRU akan datang.

Ustaz Yusof Embong:
Saya yakin pasti akan berlaku perubahan di Pahang terutamanya di kawasan Felda. Isu-isu hangat yang menjejaskan nasib dan masa depan peneroka seperti isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH), tuntutan harga perah sawit yang kini ada kes di mahkamah dan kawasan tanah yang diberi kurang daripada 10 ekar seperti yang berlaku di Panching Selatan.

Masyarakat di pinggir bandar dan bandar mempunyai mood perubahan yang tinggi kerana mereka terdedah kepada konsep good governance yang dicanangkan PAS dan PR. Golongan ini mempunyai akses internet dan boleh membuat perbandingan sendiri antara pentadbiran BN and PR di negeri yang dikuasai masing-masing.

Disebabkan itu, masyarakat di bandar, pinggir bandar terutamanya Kuantan dilihat lebih memihak kepada PR.

Bagi kawasan yang tidak mempunyai internet, PAS perlu tingkatkan usaha untuk menyebarkan maklumat melalui risalah dan ceramah kepada golongan ini kerana mereka hanya bergantung kepada suratkhabar dan TV yang dikuasai media perdana sebagai sumber maklumat.


Ustaz Hamzah Jaafar:


Rakyat Pahang sememangnya mempunyai tahap kesediaan yang tinggi untuk berubah. Keinginan untuk berubah ini pada pandangan saya lebih didorong oleh beberapa faktor :

1.     Perasaan meluat dengan korupsi pemimpin UMNO yang didedahkan sendiri oleh agensi kerajaan seperti laporan audit dan  diperjelaskan lagi tahap seriusnya korupsi itu oleh pihak pembangkang.

2.     Selain daripada itu, penyelewengan dan korupsi pemimpin dan juak-juak UMNO di peringkat bawahan juga turut dapat disaksikan sendiri oleh rakyat di kampung-kampung.

3.     Sikap ingin membuat perubahan juga didorong oleh tawaran PAS dan Pakatan Rakyat terutamanya tawaran menurunkan harga minyak dan menyediakan tapak rumah serta penempatan generasi kedua dan ketiga felda.

Manakala pengaruh internet atau sebaliknya memberi kesan yang berbeza. Di tempat yang ada kemudahan internet sudah tentu mereka mendapat maklumat yang cepat dan tepat. Justeru itu, sokongan mereka yang tinggal di tempat yang ada kemudahan internet kepada PAS / PR lebih tinggi jika dibandingkan dengan tempat yang tidak terdedah dengan kemudahan internet.

Pun begitu, anak-anak muda yang bermaklumat turut mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memberi saham dalam melakukan perubahan politik khususnya dalam PRU ke 13 nanti dengan mempengaruhi keluarga mereka yang berada di luar bandar.


Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi:


Perubahan adalah suatu yang positif. Justeru itu tiada siapa yang enggan melakukan perubahan jika perubahan itu adalah ke arah kebaikan atau ke arah yang lebih baik. Namun gerakan perubahan asasnya bermula dari sebuah kesedaran dan keinsafan.

Perubahan mesti digerakkan kemudian dipimpin ke arah yang betul. Malah perubahan menjadi suatu tuntutan mendesak tatkala berdepan dengan kemungkaran, penindasan dan kezaliman.

Negeri Pahang adalah sebuah negeri yang luas dan saya bahagikan kepada tiga kategori kawasan. Pertama ialah kawasan bandar, kedua kawasan kampung tradisi dan ketiga ialah kawasan tanah rancangan Felda. Sebahagian besarnya adalah kawasan tanah rancangan Felda.

Keupayaan dan kesedian rakyat Pahang untuk berubah banyak bergantung kepada maklumat yang berkesan dan berkemampuan untuk membangkitkan kesedaran politik  dan  keinsafan terhadap masa depan rakyat yang kabur diurus oleh sebuah kerajaan yang korup, tiris  dan  boros.

Pakatan Rakyat sering dibatasi dari segenap arah. Tidak mudah untuk maklumat disampaikan kepada rakyat. Banner di conteng,  poster dikoyak,  ceramah diganggu, aktivis dipukul dan 1001 lagi halangan dan sekatan. Maklumat Pakatan Rakyat banyak bergantung kepada akhbar yang menjadi lidah rasmi parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Rocket.

Memanfaatkan teknologi terkini, Pakatan Rakyat menguasai alam cyber untuk menjadikannya medan saluran maklumat alternatif kepada rakyat. Namun pastinya ia terhad kepada rakyat yang memiliki keupayaan akses internet.

Justeru itu, saya sangat yakin bahawa individu dan masyarakat atau rakyat keseluruhannya yang memiliki upaya untuk akses internet mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan bersedia untuk melakukan perubahan. Lantaran mereka mempunyai maklumat kedua atau ketiga berbanding hanya bergantung kepada media arus perdana yang menyalurkan maklumat sebelah pihak.

Mewujudkan mood perubahan menyeluruh dari kalangan rakyat negeri Pahang ini memerlukan kerja gigih semua peringkat petugas parti samaada pimpinan ataupun anggota biasa melalui gandingan pelbagai kemahiran yang dimiliki untuk memastikan maklumat dan  risalah atau mesej perjuangan sampai kepada setiap pintu rumah dan pintu hati rakyat.

Gabungkan kaedah tradisi seperti ceramah umum, ceramah kelompok dan edaran risalah dengan kaedah kontemporary melalui facebook, twitter, vilog, filem pendek dan sebagainya. Asasnya kita perlukan kreativiti yang tinggi untuk mencipta mood perubahan disamping memiliki kegigihan dan sentuhan berkesan dalam pendekatan.

Saya sangat tidak bersetuju menggunakan pendekatan caci maki dalam ceramah dan cela nista dalam ucapan serta fitnah dan tohmah dalam kenyataan sekalipun terhadap lawan politik kita. Justeru elemen terpenting dalam perjuangan ini ialah kebenaran dan keberkatan.


Ustaz Suhaimi Saad:


Pada dasarnya, saya melihat rakyat Pahang sudah bersedia untuk berubah. Dalam Himpunan Hijau 2.0 baru-baru ini, kita boleh melihat mood perubahan rakyat Pahang itu dengan jelas.

Mendapat maklumat mengenai kepincangan kerajaan dalam pengurusan kewangan dan laporan audit yang menyatakan prestasi Pahang tidak memuaskan juga membantu menyemarakkan lagi semangat berubah rakyat Pahang.

Mood perubahan juga diamati lebih tinggi di kawasan bandar dan pinggir bandar. Di kawasan kampung pula, penghalang kepada gelombang mood perubahan ialah kepayahan untuk maklumat sampai ke kumpulan sasaran, kampung tradisi dan kawasan Felda.

Orang Islam-Melayu di kampung sememangnya bersifat baik, namun malangnya mereka ditipu kerana hanya mempunyai satu saluran infomasi ialah TV media kerajaan.

Di kawasan-kawasan ini, rangkaian internet pula kurang, rangkaian 3G untuk kegunaan smartphone untuk mendapat maklumat tinggi pun tiada. Ini ditambah pula dengan budaya orang-orang generasi tua yang lebih suka berbicara di kedai kopi dan tidak ingin mendekati kemudahan internet.

PAS perlu giatkan lagi penerangan kepada orang muda dan generasi kedua dan ketiga Felda yang pemikiran mereka lebih terbuka kerana terdedah kepada teknologi maklumat yang canggih.

Bagi generasi yang tua, PAS berdepan dengan cabaran yang rumit kerana mereka terasa terhutang budi kepada kerajaan kerana merasakan kehidupan mereka sekarang dah dikira baik jika dibandingkan dengan masa mereka susah dahulu ketika mula-mula menjadi peneroka. Namun begitu, saya yakin dengan penerangan dan maklumat yang cukup, golongan ini turut akan dijangkit mood perubahan demi masa depan generasi kedua dan ketiga mereka yang lebih baik.

Tiada ulasan: