Rabu, 21 Mac 2012

KES BAHAYA ...BANYAK DICERITAKAN DALAM AKHBAR....BILA NAK SELESAI..BERBALIKLAH PADA HUKUM ALLAH

Gempar: Gadis diculik, kanak-kanak dibunuh

Harakahdaily, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak serta gadis Malaysia baru-baru ini.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, kejadian culik dan bunuh Nurul Nadirah Abdullah baru-baru ini serta kes culik seorang gadis Malaysia berusia 14 tahun yang cuba dibawa lari ke Thailand untuk dijadikan pelacur sememangnya amat menggemparkan negara.

Katanya, kejadian yang menimpa gadis itu menunjukkan seriusnya isu jenayah culik di negara ini.

“Ia menimbulkan keresahan dan kebimbangan bahawa kadar keselamatan rakyat di negara ini berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, nyawa dan maruah anak-anak gadis malah sesiapa sahaja boleh melayang kerana adanya sindiket yang berleluasa.

Tambahnya, apa yang berlaku ke atas gadis tersebut menimbulkan suatu persepsi bahawa jenayah yang berlaku di negara ini hampir sama dengan jenayah di negara-negara yang mempunyai kumpulan ‘gangster’ dan mafia terbesar di dunia.

“Kumpulan mafia ini mampu membunuh sesiapa sahaja yang menggugat gerakan mereka termasuk melakukan aktiviti penculikan, pelacuran dan pembunuhan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya DPPM mempersoalkan mengapa kejadian itu boleh berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Apakah ini menunjukkan kegagalan penerapan nilai agama oleh kerajaan sehingga gagal mendidik generasi yang bertaqwa dan patuh kepada perintah agama?

“Mungkinkah juga ia berpunca dari lemahnya sistem keselamatan negara ini sehinggakan penjenayah dari negara asing dengan mudah meloloskan diri dan melakukan jenayah sepuas hati di negara ini serta mampu menyeludup keluar rakyat negara ini keluar negara tanpa dikesan?” soalnya.

Dengan kejadian itu, ujar beliau DPPM mendesak kerajaan agar mengetatkan kawalan di sempadan negara ini bagi mengelakkan rakyat asing masuk ke negara ini sewenang-wenangnya serta rakyat negara ini dibawa lari keluar negara.

Selain itu, ujarnya lagi kerajaan perlu mengkaji balik dasar mengambil warga asing sebagai pekerja di negara ini.

Menurutnya, dengan jumlah pekerja asing yang begini ramai di negara ini, tidak mustahil lebih banyak jenayah akan berlaku.

“Pekerja asing yang membanjiri negara juga berjaya menukar landskap sesebuah kawasan dan bandar di negara ini seolah-olah menjadi hak milik mereka sehingga menimbulkan ketakutan warga tempatan,” katanya.

Mereka juga, tambah beliau membawa masuk pengaruh budaya mereka sehingga merosakkan budaya masyarakat negara ini.

Oleh itu, kata Riduan DPPM menuntut agar kawalan keselamatan di dalam negara ini dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Pihak keselamatan perlu melakukan rondaan dan pemantauan yang kerap serta menambah bilangan pasukan keselamatan di merata tempat dalam negara ini bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat di negara ini berharap tidak ada lagi kes penculikan kanak-kanak dan gadis tempatan untuk dijadikan mangsa sindiket pelacuran negara lain.

Kerajaan negeri tingkat ekonomi di Hulu Selangor

Muhammad Faizal, 20 Mac 2012
SHAH ALAM, 20 Mac: Kerajaan Negeri Selangor hari ini menjelaskan akan memberi tumpuan kepada sektor perindustrian, perkhidmatan dan projek berskala besar di daerah Hulu Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim (gambar), Lingkaran Pembangunan Hulu Selangor yang melibatkan kawasan Tanjung Malim dan Slim River telah dikenal pasti sebagai zon pembangunan campuran dan industri.

Ianya melibatkan pembangunan di Kalupang, Batang Kali, Ulu Yam Baru, Kerling dan Sungai Choh.

"Pembangunan ini menyebabkan berlaku tranformasi pembangunan guna tanah yang beralih daripada pertanian kepada perbandaran.

"Wujud beberapa pusat pertumbuhan baru seperti Bandar Baru Bukit Beruntung-Bukit Sentosa, Bandar Baru Lembah Beringin dan Bandar Baru Sungai Buaya," jelasnya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negeri Selangor.

Tambahnya lagi, Bandar Kuala Kubu Bharu yang terletak di Koridor Serendah Batang Kali-Kuala Kubu Bharu-Tanjung Malim menjadi pusat daerah, manakala Batang Kali dan Ulu Yam Baru menjadi pusat perkhidmatan utama.

"Kawasan Serendah, Hulu Selangor telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai Selangor Automotive Belt. Kebanyakan syarikat-syarikat pembuatan barangan peralatan kenderaan beroperasi di Serendah dan sekitar Hulu Selangor yang merupakan vendor kepada Perodua, Nissan dan Proton.

"Kerajaan negeri melalui SSIC (Selangor State Investment Centre ) Berhad sedang giat mempromosikan kawasan-kawasan industri yang masih ada di kawasan tersebut kepada pelabur-pelabur yang berpotensi," jelas Teresa Kok.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali mengenai cadangan kerajaan bagi kawasan fokus supaya dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri bagi tahun 2012.

Selain itu, kerajaan negeri juga turut meluluskan pemberimilikan tanah secara pajakan kepada syarikat Tan Chong Motor untuk mereka membuat penambahan pelaburan dan pembesaran kilang mereka dan menjadikan kilang di Serendah sebagai kilang utama bagi pemasangan kenderaan jenis Nissan.

"Bagi menggalakkan pertumbuhan sektor perindustrian, infrastruktur kawasan-kawasan industri sentiasa dipertingkatkan agar pelabur berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan," jelas beliau lagi.

Utusan Melayu bakal dijual?

Mohd Sayuti Omar, 20 Mac 2012
Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd penerbit akhbar Utusan Malayisa, Kosmo dan beberapa buah majalah bakal kehilangan aset terpenting apabila percetakan akhbar berkenaan akan menjadi entiti berasingan apabila ianya dimiliki oleh seorang orang korporat.

Urusan penjualan mesen cetak berkenaan yang terletak di Bangi, Selangor dan beberapa tempat lain itu sedang dalam proses perundingan. Penjualan itu dipercayai kerana syarikat penerbitan akhbar yang sahamnya dimiliki Umno sedang mengalami kerugian teruk yang tidak tertanggung lagi ekoran kemerosotan jualan akhbar itu.

Jualan akhbar Utusan Malaysia pada hari ini sekitar 120,000 naskah sehari lebih rendah dari akhbar harian bersaiz tabloid lain. Angka itu jauh rendah berbanding dengan akhbar bersaiz sama yang menjangkau 180,000 edaran sehari.

Kemerosotan itu dipercayai kerana akhbar itu tidak adil dalam penyiarannya dan terlalu mempamirkan dia sebagai akhbar Umno. Laporan cerita-cerita sex juga menyebabkan ia makin dipulau oleh pembaca.

Ekoran penjulan itu Utusan Malaysia selepas ini akan mencetak akhbar itu dengan percetakan berkenaan atas sifat upah.

Dalam pada itu ahli korport berkenaan yang juga pernah menjadi menteri kabinet sedang merunding untuk memiliki Dawama - percetakan milik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang swastakan dan kini bermasalah.

Dikatakan juga, ahli korporat yang dulu berniaga garam di Langkawi akan cuba memiliki Percetakan Nasional miliki kerajaan yang kini merupakan percetakan yang mengerjakan bahan cetakan negara.

Ahli korporat itu berangan-angan untuk menjadi gergasi percetakan di negara ini dengan memonopolikan beberapa percetakan terkemuka.

Ada kemungkin beliau juga akan berusaha untuk mendapat beberapa percetakan syarikat pengeluar akhbar lain untuk diletak di bawah satu bumbung.

Sekiranya usaha ini berlaku bermakna Utusan Melayu yang menjadi kebanggan orang Melayu Umno khasnya akan kehilangan identiti dan penjualan mesin cetak itu sesuatu yang memalukan terutamanya pemegang sahamnya terdiri kalangan ahli Umno.

Ada juga sumber lain memberi tahu usaha pembelian mesin cetak milik Utusan Melayu itu sebagai persiapan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangka selepas pilihan raya umum ini. Sekiranya UBN tumbang sudah pasti kedudukan Utusan Melayu tidak menentu dan kemungkinan akan ditutup terus.

Agenda pembelian itu sebagai menyelamatkan aset Utusan itulah alasan yang diberikan. Dari sini memberi gambaran bahawa dalam kepala pembeli mesin cetak itu UBN sudah pasti kalah dan tumbang. - http://msomelayu.blogspot.com/

Artikel di atas adalah pandangan penulis dan bukannya pendirian Harakahdaily. Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap sebarang risiko daripada penyiaran artikel berkenaan.

Pulau Pinang minta Najib beri layanan setimpal

Harakahdaily, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Perdana Menteri hari ini meminta agar memberikan layanan setimpal dengan menambahkan peruntukan dari RM2.88 bilion kepada lebih RM7.2 bilion di bawah RMK10.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri kesal hanya RM2.88 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 259 program dan projek bagi RMK10 berbanding dengan RM6.54 bilion bagi melaksanakan 993 projek di bawah RMK9.

“Memandangkan bahawa RMK10 telah ditambah sebanyak 10 peratus berbanding RMK9, maka jumlah peruntukan untuk Pulau Pinang juga harus ditambah 10 peratus daripada RM6.54 bilion di bawah RMK9 kepada RM7.2 bilion di bawah RMK10,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kegagalan Kerajaan Persekutuan berbuat demikian akan dilihat sebagai tindakan terus meminggirkan rakyat Pulau Pinang atau diskriminasi terhadap negeri itu hanya kerana rakyat negeri ini telah memilih secara demokrasi Pakatan Rakyat untuk memerintah Pulau Pinang.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bagan menambah, Kerajaaan Persekutuan harus ingat bahawa Pulau Pinang memberikan sumbangan signifikan dalam pembayaran cukai dan duti kepada Kerajaan Persekutuan.

Tambahan pula, ujarnya Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan ke Malaysia dan Pulau Pinang.

Ini, jelasnya ketara dibuktikan dengan pencapaian cemerlang Pulau Pinang menjadi jaguh pelaburan di Malaysia secara dua tahun berturut-turut dengan RM12.24 bilion dalam tahun 2010 dan RM9.1bilion dalam tahun 2011.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan terus mengambil pendekatan diskriminasi yang tidak matang ini, ia hanya memakan tuan kerana yang rugi bukan sahaja Pulau Pinang tetapi juga Malaysia, bak kata pepatah Melayu ‘marahkan seekor nyamuk habis kelambu dibakar’,” ujarnya.

Beliau pernah mengemukakan soalan bertulis kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat.

Tuan Lim Guan Eng (Bagan) minta Perdana Menteri menyatakan jumlah peruntukan yang diberikan kepada Pulau Pinang di bawah RMK-10 berbanding dengan RMK-9 dan sila nyatakan secara terperinci projek-projek, khususnya kos projek jalan demi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perparitan/ longkang untuk mengatasi banjir kilat.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM2.88 bilion bagi melaksanakan sebanyak 259 program/projek bagi rolling plan pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi Negeri Pulau Pinang. Sementara itu, dalam Rancangan Malaysian Kesembilan (RMK-9)bagi tahun 2006-2010, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM6.54bilion bagi melaksanakan sebanyak 993 program/projek.

Untuk makluman Ahli Yang berhormat juga, daripada jumlah tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM873.43juta bagi melaksanakan 50 projek pembinaan jalan dan jambatan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Manakala itu, sebagai langkah untuk mengatasi masalah banjir kilat, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM234.96 juta bagi melaksanakan 30 projek untuk mengatasi masalah banjir kilat dalam tempoh RM-9 hingga rolling plan pertama RMK-10.



Skandal NFC: Zunar keluar buku '1 Moolaysia'

Harakahdaily, 20 Mac 2012




(Buku terbaru Zunar...1 Moolaysia.)

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaq mengumumkan penerbitan buku barunya bertajuk '1 MOOLAYSIA'.

Buku koleksi kartun ini adalah yang kelima dan terbaru dari Zunar yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Buku-buku sebelum ini ialah 'Even My Pen Has a Stand' (2011), 'Cartoon-O-Phobia' (2010), '1 Funny Malaysia' (2009) dan 'Cartoons On Tun…' (2005).

1 Funny Malaysia diharam kerajaan atas alasan kandungannya "menggugat keselamatan awam", manakala Cartoon-O-Phobia disiasat di bawah Akta Hasutan dan beliau juga telah ditangkap di bawah akta yang sama.

Pada 15 Februari lepas, Zunar mengadakan pameran solo bertema “To Fight Through Cartoons” selama sebulan di London.

Pada Julai tahun lepas, Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa (CRNI) memberi anugerah "Courage in Editorial Cartooning"(Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial) kepada Zunar.

Pada Oktober tahun lepas, beliau turut dipilih menyertai program tiga bulan "Seni dan Penapisan" anjuran Yayasan BilbaoArte Sepanyol.

"Judul '1 MOOLAYSIA' dipilih kerana isu lembu yang hangat diperkatakan di Malaysia sekarang ini," kata Zunar dalam kenyataannya.

'1 MOOLAYSIA' menampilkan karya-karya yang disiarkan oleh laman web Malaysiakini dari Julai 2011 hingga Mac 2012 dan termasuk juga karya dari laman web antarabangsa, Cartoonmovement. Terdapat juga beberapa kartun yang belum disiar.

Buku ini mengenengahkan isu-isu yang gagal disentuh oleh kartunis-kartunis politik Malaysia seperti PM dan isterinya yang suka shopping, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, Altantuya, Scorpene, penyelewengan National Feedlot Corporation (NFL), rasisma, rasuah, penyalahgunaan dana awam, isu hak asasi, demonstrasi Bersih, kehakiman, polis dan isu-isu politik Malaysia secara umum.

Turut disiar adalah kartun mengenai Wanita Pertama yang membeli-belah sakan di Perth, isu skandal lembu, isu hakim dibaling kasut, isu 901 dan isu "air mata buaya" PM.

"Tekanan kerajaan menyebabkan saya menghadapi kesulitan untuk mencetak dan menjual buku-buku secara terbuka kerana banyak kilang dan pekedai menerima ugutan yang melibatkan penggantungan lesen jika terus mencetak atau menjual buku-buku saya.
"Manakala di mahkamah, saya telah kalah dalam kes mahkamah mencabar pengharaman buku 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun melalui satu "penghakiman lucu" kerana hakim tidak mengambil kira hujah asas yang dikemuka peguam saya," kata Zunar dalam kenyataan itu.

Zunar kemudiannya telah memfail satu lagi kes mencabar kerajaan dan polis kerana tangkapan tidak sah pada September 2010 sebelum pelancaran Cartoon-O-Phobia, dan perbicaraan telah bermula dan akan bersambung pada 5 dan 6 April depan.

Apa juga keputusan mahkamah tidak akan melemahkan semangat beliau untuk terus berkarya.

"Saya akan melukis hingga ke titisan dakwat terakhir." Kerana itu, saya berharap sokongan dari pembaca dan peminat agar dapat membeli "1 Moolaysia" bagi membantu saya menghasilkan lebih banyak karya-karya kartun politik dalam rangka 'Berjuang Melalui Kartun'," katanya.

Beliau mengajak semua rakyat Malaysia untuk tidak berdiam diri sebaliknya melakukan yang termampu dalam membongkar pekung dan kezaliman penguasa rakus.

Paling kurang yang dapat anda lakukan ialah dengan cara berjenaka. "Jika anda tidak mampu lawan mereka, ketawakan mereka!, katanya.

"1 Moolaysia" dijual dengan harga RM25.00 senaskah dan ia boleh ditempah/dibeli secara online melalui website beliau melalui link ini http://zunarcartoonist.com/

Acara penjualan langsung akan diadakan di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 24 dan 25 Mac depan dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Pelancaran akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada jam 2 petang 25 Mac di tempat yang sama.

Tiada ulasan: