Sabtu, 17 Mac 2012

KERJA TAK AMANAH MENJEJAS HUKUM PENDAPATAN@GAJI...LEBIH2 BERKERJASAMA UNTUK MENIPU...AKHIRAT JAWAB DAN SUSAH...JANGAN APA BUAT TAPI TAK LAKSANA...MACAM MAIN WAYANG...KONON BERSIH TAPI TAK....ROSAK MORAL@AKHLAK

Air: Selangor perkenal program 'Lapor dan Dapat'

Harakahdaily, 16 Mac 2012
SHAH ALAM, 16 Mac: Penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) mereka bilangan kediaman yang berpenghuni di pembangunan mereka untuk mendapat air percuma.

Demikian kata, Iskandar bin Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor dalam kenyataannya.

Apabila mendapat laporan itu, katanya, kerajaan negeri kemudian akan menyampaikan maklumat itu kepada SYABAS yang akan membuat potongan pada bil meter pukal.

"Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut," kata beliau dalam kenyataan itu.

Iskandar membuat kenyataan itu bagi menjelaskan tindakan kerajaan negeri untuk memberikan air percuma kepada penghuni flat yang tidak mendapat kemudahan itu ekoran berkongsi meter (meter pukal).

Melalui pendekatan ini, penghuni flat juga akan menikmati kemudahan 20 meter padu air percuma dari kerajaan negeri Selangor ini.

Program "LAPOR DAN DAPAT" akan berupaya memperlipat ganda bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat air percuma.

Menurut Iskandar (gambar bawah), potongan yang diberikan oleh SYABAS adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni.

Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk, katanya.

Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB, tambah beliau.

COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan.

Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program "LAPOR DAN DAPAT" akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.

Program ini akan bermula pada 1 April 2012.
Ekoran itu, penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.

Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.

Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh SYABAS tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat.

SPR jangan khianati amanah negara

Harakahdaily, 16 Mac 2012
KUALA TERENGGANU, 16 Mac: Dewan Ulama PAS Pusat mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menjadi pengkhianat terhadap ketelusan dan keadilan proses pilihan raya di negara ini.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, tindakan menukar alamat pengundi secara senyap-senyap tanpa kebenaran pengundi adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh badan yang diamanahkan mengurus pilihan raya.

"Tidak wajar menjadi pengkhianat kepada amanah negara dengan memindahkan tempat mengundi pengundi tanpa permohonan daripada pengundi dan tidak mengikut undang-undang yang diperuntukkan, iaitu Akta Pilihan Raya 1958," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada kes yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga sejumlah 31,294 pengundi yang didakwa dipindahkan tanpa kebenaran.

Dalam semakan di laman web SPR, tempat mengundi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan bukan lagi di Parlimen Petaling Jaya Selatan, Selangor seperti pada PRU 2008 lalu.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti Malaya di bawah daerah mengundi Universiti.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, urusan pilihan raya merupakan amanah terpenting negara kerana ia menentukan parti mana yang akan memerintah.

Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk menguruskan pilihanraya sewajarnya SPR tidak melakukan pecah amanah, kata beliau lagi.

Menurutnya, Dewan Ulama PAS Pusat mahu memperingatkan semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya yang terlibat dengan firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 58 bermaksud: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menunaikan amanah kepada yang berhak".

Begitu juga peringatan Nabi saw kepada pengkhianat amanah seperti hadis baginda yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Hakim:

"Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat itu pasti memiliiki bendera di hari Qiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada urusan awam".

Sijil halal: Pemuda PAS setuju langkah Jakim

Harakahdaily, 16 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mengenakan hukuman penjara dan denda mulai 1 Julai 2012 kepada pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan jabatan itu.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu wajar sebagai usaha mewujudkan kesedaran tinggi kepada pengusaha agar berusaha mendapatkan sijil dan logo halal dengan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

"Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan pengusaha makanan tidak bersikap sambil lewa dengan mengabaikan tahap halal makanan yang dijual mereka.  

"Tindakan ini juga boleh mengembalikan tahap keyakinan umat Islam terhadap produk yang dijual serta premis makanan yang terdapat di negara ini. Dengan cara ini, kebersihan dan tahap halal sesuatu makanan dapat dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya lagi, isu halal dalam makanan yang dihidangkan sama ada berbentuk produk yang dijual dipasaraya-pasaraya ataupun di premis makanan adalah suatu isu yang amat sensitif pada umat Islam.

Umat Islam yang prihatin dan peka tidak sesekali mengizinkan tubuh mereka dimasuki oleh unsur yang haram, terutama dalam soal makanan.

Makanan yang haram akan menjadikan tubuh umat Islam diselaputi dengan perkara yang haram dan seterusnya boleh menyebabkan  generasi negara ini menjadi rosak akhlak dan aqidah mereka, kata Riduan.

"Justeru, amat penting soal halal dalam makanan dititkberatkan dan DPPM merasakan tindakan JAKIM untuk melaksanakan hukuman penjara dan denda kepada pengusaha yang gagal mendapatkan logo halal adalah tindakan yang wajar," tegasnya.

PKR persoal SPR pindah pengundi senyap-senyap

Muhammad Faizal, 16 Mac 2012
PETALING JAYA, 16 Mac: PKR hari ini membidas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa membuat pertukaran tempat mengundi 'secara senyap-senyap' dan tanpa kebenaran.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata ianya bukan sahaja melibatkan kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malah 31,294 pengundi lain yang didapati turut terlibat.

Tindakan tersebut katanya bercanggah mengikut Akta Pilihan Raya 1958 dan kesalahan yang dilakukan SPR itu adalah serius.

"Khalid telah dipindahkan tempat mengundi ke Lembah Pantai sedangkan alamatnya di tempat lain, dan beliau tidak pernah membuat permohonan untuk menukarkan tempat mengundi.

"Apa yang kita persoalkan jika ingin membuat perpindahan tempat mengundi maka ia perlu melakukan persempadanan semula bukannya dibuat sesuka hati," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Dalam kes Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didedahkan sebelum ini, semakan dalam web SPR mendapati tempat mengundinya telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan bukan lagi di Parlimen Petaling Jaya Selatan, Selangor seperti pada PRU 2008 lalu.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti Malaya di bawah daerah mengundi Universiti.

Fuziah memberitahu, untuk melakukan persempadanan semula memerlukan majoriti 2/3 di Parlimen bagi mendapat kelulusan.

"Tanpa majoriti 2/3 di Parlimen SPR tidak boleh sesuka hati membuat perpindahan dan ini merupakan kerja-kerja tersembunyi SPR untuk memenangkan Umno-Barisan Nasional.

"Kita mahukan penjelasan dari SPR berhubung perkara ini kenapa ia dilakukan tanpa kebenaran pengundi, dalam pada itu bagaimanakah SPR ingin memaklumkan kepada pengudi yang seramai itu bahawa mereka telah dipindahkan ke tempat lain," kata Fuziah lagi.

Sehubungan itu juga, beliau menyeru kesemua 31,294 pengundi yang terlibat dengan pertukaran tempat mengundi tanpa kebenaran itu, tampil membuat laporan polis terhadap SPR.

"Saya berharap 31,294 pengundi tampil membuat laporan kepada pihak polis atas tindakan tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada SPR," katanya.

Cukup alamat di negeri berkenaan

Harakahdaily, 16 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mac: Semakan Harakahdaily dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumakan, Tan Sri Khalid Ibrahim tetap boleh bertanding di Selangor jika alamat kad pengenalannya di Selangor.

"Dia tidak semestinya menjadi pengundi berdaftar di Selangor, cukup kalau alamat dalam kad pengenalannya di Selangor," kata pegawai SPR berkenaan.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan, sesaorang yang hendak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri dalam  sesuatu negeri hendaklah berdaftar di negeri berkenaan.

Kesilapan adalah dikesali.

SPR tidak tunai janjinya - anggota PSC

Anis Nazri, 16 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 16 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuktikan badan tersebut tidak menunaikan janjinya apabila bertindak menukar kawasan mengundi membabitkan kawasan Parlimen.

Biarpun ia ekoran pembetulan sempadan kawasan pilihan raya, pertukaran itu hanya boleh melibatkan kawasan yang dilingkungi Parlimen yang sama sebelum ini.

"Jika yang bertukar hanya Dun tetapi masih di Parlimen yang sama, ia tidak menjadi masalah.  Tapi, apabila membabitkan pertukaran Parlimen (dan dalam kes MB Selangor negeri), itu sudah tidak betul," tegas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan SPR berhubung pertukaran kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, dari Parlimen Petaling Jaya Selatan di Selangor ke Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Akibat pertukaran ini, Khalid tidak lagi boleh bertanding dalam DUN Selangor dan menyebabkan beliau tidak lagi boleh menjadi MB Selangor.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi penambahbaikan pilihan raya (PSC), berkata dengan pertukaran tersebut menunjukkan tindakan SPR yang kononnya membekukan pembetulan sempadan pada 2011 itu sebenarnya tidak berlaku.

"Saya tidak tahu di mana silapnya SPR dalam hal ini, tetapi saya berharap SPR berpegang pada janji bagi memastikan badan itu bebas dari mengundang persepsi negatif daripada rakyat, lebih-lebih lagi dalam 'mood' pilihan raya umum yang semakin hampir, " tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sewajarnya pihak SPR memaklumkan kepada pengundi yang terlibat dalam pembetulan sempadan itu bagi mengelakkan sebarang kekecohan.

Katanya, jika pengundi dimaklumkan lebih awal tentang pembetulan kawasan mengundi tersebut, kemungkinan berlaku kekecohan pada hari mengundi kelak dapat dielakkan.

"Bayangkan, jika pengundi tidak membuat semakan awal dan tidak dimaklumkan, apabila hari pengundian baru tahu tempat mengundi yang lain, akan berlaku kekecohan.  Macam Tan Sri ini, dia sendiri buat semakan," tegas beliau.

Kes membabitkan Khalid ini mula dikesan apabila Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi 'pengundi hantu' di Lembah Pantai.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata Khalid telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

Tiada ulasan: