Khamis, 22 Mac 2012

MAKA DR HASAN ALI..BOLEH BANTU...KERANA SELAMATKAN AQIDAH..INI PERJUANGAN BELIAU DENGAN NGO YANG BELIAU TUBUHKAN...JANGAN PELUK TUBUH DAH...JANGAN TAK BANTU ATAS ALASAN IA BUKAN MELAYU....IA MASALAH ISLAM DAN AQIDAH...

Mualaf rayu bantuan pertahan akidah anak

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KOTA BHARU, 21 Mac: Usaha seorang saudara baru, Muhammad Riduan Abdullah, 43 menyelamatkan akidah anaknya berdepan dengan kesukaran sekiranya hak ke atas penjagaan anak-anaknya ditolak mahkamah.

(Riduan Abdullah bersama anaknya Ummu Habibah)


Perkara itu bakal diputus Mahkamah Rayuan yang akan bersidang pada 29 Mac ini.
Riduan berkata, berdasar kepada surat Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Mac lalu menyebut kes tersebut telah ditetapkan untuk ditamatkan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 29 Mac ini.
Pada 11 Mac 2010 Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan hak penjagaan terhadap tiga anaknya Ummu Habibah (Prasana Diksa), 4; Abu Bakar (Karan Dinish), 14 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 15 diberi kepada bekas isterinya, M Indira Ghandi, 37.
Sedangkan sebelum itu pada April 2009 Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberikan hak penjagaan tiga anak kepada Riduan atau nama asal K Patmanathan.
Ekoran itu Riduan memfail rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut.
Riduan memeluk Islam pada 11 Mac 2009. Kemudian pada 2 April 2009 beliau mengislamkan ketiga-tiga anaknya. Bagaimanapun bekas isterinya mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam ketiga-tiga anaknya pada 25 Oktober 2009.
Indra juga membuat permohonan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan berkaitan perundangan bagi kes ibu bapa dan anak-anak yang terbabit dalam perkahwinan didaftar mengikut Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Cerai) 1976.
Namun Mahkamah Tinggi menolak permohonan Indra yang juga seorang guru tadika beragama Hindu supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonannya.
Kes berkenaan juga pernah mendapat perhatian umum sehingga ke peringkat kabinet dan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada 2009.
Riduan berkata, anak bongsu kini tinggal bersamanya dibesarkan dalam suasana Islam dan sudah mampu menghafal ayat-ayat suci al Quran, manakala dua lagi bersama bekas isterinya.
Oleh itu beliau berharap mendapat bantuan orang ramai bagi mengumpul dana termasuk membayar kos guaman dan kos lain sehingga menjangkau RM60,000.
Malah katanya sebelum ini beliau membayar pendaftaran rayuan kes berkenaan sebanyak RM3,000.
Katanya juga beliau akan mendapat khidmat peguam lain membawa kesnya memandangkan peguam sebelum ini tidak memfail memorandum seperti dikehendaki mahkamah ekoran tidak dapat menyediakan kos guaman.
Oleh itu orang ramai yang ingin membantu Riduan boleh menghubungi talian 09 744 6736 (peguam Mustapa Kamal Mat Kasam) atau akaun Bank Islam 3018010036250.

PAS buka akaun khas bina surau pulau Shanghai

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: PAS melalui Lajnah Penerangannya telah membuka sebuah akaun bank untuk memungut sumbangan orang ramai bagi membina sebuah surau di pulau Shanghai, Sandakan.


(Gambar fail...Tuan Ibrahim bersama penduduk tempatan dan pemimpin PAS yang lain memacak kayu sebagai tanda pembinaan surau pulau Shanghai 31 Disember 2011 lalu)

Akaun yang dibuka di Bank Islam atas nama Tabung Pembinaan Surau Shanghai dengan nombor 14041010080138 itu mula aktif hari ini bagi menerima sumbangan orang ramai.

Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat dalam akspedisi ke Pulau Shanghai, Sandakan 31 Januari 2012 lalu telah memutuskan bagi membina sebuah surau di pulau tersebut.

Keputusan ini diambil memandangkan pulau ini tidak mempunyai sebarang kemudahan asas samada masjid, surau, dewan orang ramai, kemudahan air bersih dan letrik.

Ternyata pulau ini terus terabai dari arus pembangunan negara dalam keghairahan pemimpin melaungkan negara maju menjelang 2020, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah berkenaan yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

"Sehubungan itu kami merayu kepada para dermawan untuk turut menyumbang bagi menjayakan hasrat pembinaan Surau tersebut.

"Semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik dan mengampuni dosa sebagaimana yang dijanjikan," kata Tuan Ibrahim.

Sasterawan Negara: Tahniah buat Kemala

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada penyair Datuk Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Kemala di atas penerimaan Anugerah Sastera Negara yang ke-11 semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, pemilihan Kemala sebagai Sasterawan Negara dianggap sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan beliau yang besar dalam bidang sastera tanah air.

"Penganugerahan ini mengangkat darjat beliau dan insan sepertinya sebagai golongan yang memperjuangkan kesusasteraan negara.

"Penganugerahan ini membuktikan bidang sastera amat penting dan memberi sumbangan yang besar dalam masyarakat. Pengaruh sastera dalam penulisan, puisi, syair dan karya-karya besar seperti yang dihasilkan oleh Kemala mampu membentuk nilai masyarakat yang positif dan berjiwa murni," katanya.

Malam tadi, penyampaian Anugerah Sastera Negara yang ke-11 kepada Kemala disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah malam tadi.

Kemala dipilih sebagai Sasterawan Negara kerana telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Kemala menerima Warkah Penghormatan Negara berupa wang tunai berjumlah RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

"DPPM mengharapkan kerajaan terus memartabatkan golongan sastera bagi memastikan nilai sastera negara akan terus dijulang oleh generasi akan datang.

"Semoga Kemala diberikan kekuatan dan kesihatan untuk terus berkarya sebagai suatu sumbangan yang besar kepada negara," kata Riduan.

Gadai tanah: Mustapa didesak kemuka bukti

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KOTA BHARU, 21 Mac: Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad didesak mengemukakan bukti terhadap dakwaannya tanah Rizab Melayu di gadai kepada syarikat bukan bumiputra di Kelantan.

(Tajuk sensasi Utusan Malaysia hari ini tetapi tanpa fakta dan retorik sahaja)

"Saya pohon Mustapha agar mendatangkan data dan fakta keluasan tanah Rizab Melayu di Kelantan yang dipajak kepada syarikat bukan bumiputera, janganlah hanya bercakap tanpa fakta sedangkan anda seorang Menteri!" kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Fadhli Shaari dalam kenyataannya.

Sebelum ini, Fadhli dalam kenyataannya berkata, kebanyakan projek yang disebut itu ialah tanah kerajaan yang yang diberi milik kepada agensi-agensi kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Perbadanan Bandar Baru Tunjung, Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Ia kemudiannya dimajukan dengan kerjasama syarikat swasta secara pajakan dalam tempoh tertentu misalnya 66 tahun.

Ia sama sekali tidak diberi milik kekal kepada pemaju terlibat dan dilaksanakan berdasarkan pegangan ekuiti kebiasaannya 30 peratus agensi kerajaan dan 70 peratus pemaju.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi pula berkata, tanah-tanah yang dibangunkan ladang kelapa sawit dengan kerjasama syarikat swasta adalah milik kekal Ladang Rakyat.

Katanya, syarikat swasta hanya diberi izin mengusaha hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah tersebut dalam tempoh tertentu.

“Tanah-tanah tersebut adalah milik Ladang Rakyat dan tidak timbul sama sekali tanah berkenaan diserah kepada syarikat swasta,” katanya.

Menurut Fadhli yang juga Setiausaha Akhbar MB Kelantan, kenyataan Mustapha kali ini merupakan kali berikutnya Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan data.

Padahal, katanya, Datuk Seri Najib Razaklah sendiri yang mencadangkan agar undang-undang tanah dipinda bagi membolehkan tanah rezab Melayu dpinda untuk membolehkan ianya dimajukan.

"Barangkali beliau lupa bahawa kerajaan UMNO dan Barisan Nasionallah yang telah meminda Enakmen Rizab Melayu (ERM) bagi membolehkan tanah rizab Melayu dipajak kepada bukan Melayu untuk dimajukan.

"Sedarkah Mustapha bahawa inilah yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2004 setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-60? Kenyataan tersebut disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Ogos 2004 di dalam bahagian Ekonomi," kata Fadhli (gambar) dalam kenyataannya.

Utusan hari ini menyiarkan kenyataan fitnah dan sensasi dari Mustapha kononnya rakyat Kelantan dianiaya.

Sebelum ini, kata Fadli, rakyat Kelantan masih ingat pada awal Februari lepas, individu inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa RM600 juta telah diberikan secara PERCUMA kepada kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan masalah air.

"Hakikatnya, ia adalah pinjaman yang perlu dibayar," kata Fadhli.

Menurut Fadhli, tindakan terkini yang dilakukan Umno dalam isu ini adalah kenyataan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada 15 Mac 2012 yang lalu yang menyatakan bahawa kerajaan negeri Perlis sedang mengkaji kemungkinan memajak tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan.

Ini boleh dibaca dalam berita bertajuk Perlis Kaji Kemungkinan Pajak Tanah Rizab Melayu.

Fadhli juga meminta Mustapha tidak lupa dengan tindakan kerajaan Malaysia pada hari ini yang sedang berusaha memajak tanah Felda melalui penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Logiknya, apabila ia disenaraikan, ia bebas untuk dibeli oleh sesiapa sahaja dan yang dipertaruhkan ialah aset peneroka! Tidakkah ini yang sebenarnya mengancam kepentingan rakyat?" kata beliau.

Fadhli secara sini berkata, "Bersedia menjadi seorang Menteri Besar Kelantan ialah bersedia untuk dilantik secara rasmi dan beribu pejabat di Kota Darulnaim dan bukannya hanya sekdar bersedia untuk melayakkan diri ditabal di atas Gunung Reng, Jeli."


LAPORAN BERKAITAN

Tanah Rizab Melayu: Menjawab fitnah Umno

Tiada rizab Melayu tergadai di Kelantan

Pujian: Kelantan jangan berada di zon selesa

Nazri Abdullah, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Jentera PAS Kelantan diingatkan agar tidak berasa 'berada di zon selesa' untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 ini biarpun parti itu sudah lima penggal mengusai kerajaan negeri iaitu sejak 1990.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Wan Nik Wan Yusoff (gambar) berkata, jentera juga diminta tidak termakan dengan sebarang khabar indah atau telahan dari mana-mana pihak apatah lagi yang keluar dari mulut musuh, kononnya Kelantan akan terus kekal di bawah penguasaan PAS pada PRU 13 nanti.

Menurutnya, momokan sebegitu tidak ubah seperti 'jerangkap samar' musuh untuk memastikan jentera parti berada di zon selesa sekaligus mempengaruhi gerak kerja persiapan pilihan raya.

"Kita tidak boleh tengok ianya sebagai pujian, apatah lagi kalau keluar dari mulut musuh.

"Tetapi kita perlu lihat ianya sebagai satu cabaran untuk kita buat tindakan lebih terperinci, bukan ambil atas sifat selesa," katanya kepada Harakahdaily

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bekas Menteri Kewangan dan Bendahari Umno Tun Daim Zainuddin semalam yang meramalkan PAS akan tetap kekal menguasai Kelantan pada PRU ke 13 akan datang.

Selain Kelantan, beliau turut meramalkan DAP juga akan kekal memerintah Pulau Pinang untuk penggal kedua.

Bagi Daim, BN hanya akan selesa di tiga negeri sahaja iaitu Melaka, Johor dan Pahang.

Mengulas lanjut Wan Nik berkata, PAS Kelantan perlu berkerja lebih kuat dengan mengambil pengalaman apa yang berlaku pada keputusan PRU 2004.

Ketika itu ujarnya PAS hanya menang majoriti mudah dengan berkelebihan tiga kerusi iaitu 24 berbanding BN, 21.

Kedudukan PAS sekali lagi diuji apabila tewas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada tahun sama sekaligus menjadikan kedudukan bertambah getir dengan PAS 23 dan BN 22.

"Kita perlu keluar dari zon selesa. Ukuran PRU 2008, lonjakan undi berlaku bukan kerana undi penyokong PAS bertambah, tapi sikap pengundi atas pagar yang hampir 30 peratus yang turut mengundi PAS.

"Sikap mereka ini boleh berubah dan kita perlu memberi perhatian khusus kepada golongan ini," katanya sambil menambah bahawa kemenangan dengan lonjakkan mendapat 38 kerusi pada PRU ke 12 itu turut disumbang beberapa isu nasional lain.

Sehubungan itu, beliau memperingatkan jentera agar mendekati golongan yang dikategorikan atas pagar tersebut secara 'sangat cermat' jika mahu melihat PAS terus menerajui kerajaan negeri Serambi Mekah itu.

Tanah rizab Melayu: Pemuda PAS dedah penyelewengan Umno

Harakahdaily, 21 Mac 2012
SHAH ALAM, 21 Mac: Pemuda PAS Selangor akan mendedahkan sepenuhnya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku semasa pemerintahan Umno khasnya penjualan tanah rizab Melayu.

Tindakan ini selaras dengan saranan Sultan Selangor agar tanah rizab Melayu dipertahankan.

Ekoran itu, ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan menyerahkan satu memorandum esok berkenaan dengan salah laku pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk disiasat oleh pihak Kerajaan Negeri.

Memorandum akan diserahkan pada 22 Mac iaitu Khamis ini di Dewan Negeri Selangor jam 1.00 petang.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, semasa upacara pembukaan penggal kelima Dewan Negeri Selangor semalam yang menekankan supaya Kerajaan Negeri Selangor memelihara dan menjaga tanah rizab Melayu di negeri Selangor serta tidak memindahkannya kepada mana-mana individu atau syarikat bukan milik Melayu.

Pemuda PAS Negeri Selangor menganggap saranan titah Baginda Sultan Selangor itu perlu diambil perhatian yang serius oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang supaya hak milik orang Melayu di negeri ini akan dapat dipertahankan.

Selain itu juga, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan juga semoga Kerajaan Negeri melakukan penyiasatan terhadap penjualan-penjualan aset orang Melayu dan tanah rizab orang Melayu yang telah terlepas kepada orang bukan Melayu semasa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersedia untuk membantu menyediakan segala pembuktian yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku semasa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional akan di bawa ke muka pengadilan untuk mendapat hukuman yang sewajarnya. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga akan menyerahkan satu memorandum berkenaan dengan salah laku pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk disiasat oleh pihak Kerajaan Negeri terhadap satu kes yang melibatkan penjualan tanah rizab Melayu kepada orang bukan Melayu pada 22 Mac 2012, Khamis di Dewan Negeri Selangor jam 1.00 petang. Seluruh warga media adalah dijemput hadir untuk membuat liputan.

Himpunan Muslimat PAS Perak 25 Mac ini

Johari Jaafar, 21 Mac 2012
PARIT, 21 Mac: Dewan Muslimat PAS Perak akan mengadakan himpunan besar besaran 25 Mac ini bagi menyuntik semangat mereka untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 ini.

Himpunan Muslimat PAS Perak (INPAK) ini bakal melibatkan seluruh petugas parti dan bakal diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di bandaraya Ipoh.

Demikian diberitahu oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr. Najihatossoleha Ahmad (gambar) dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di sini semalam.

"Kita menjangkakan lebih 800 petugas petugas muslimat yang komited dan mempunya semangat juang yang tinggi akan hadir pada himpunan tesebut untuk mendapat suntikan semangat dari Ketua Dewan Muslimat PAS, bagi menghadapi pilihanraya umum yang kian hampir ini," ujar beliau.

Siti Zailah Yusof selaku Ketua Muslimat PAS Pusat yang juga perasmi himpunan itu pastinya akan meniupkan semangat kepada petugas petugas agar mereka mampu bertindak sebagai petugas yang bersemangat tinggi bagi memenangkan calon PAS dan Pakatan, katanya.

Selain mendapat suntikan semangat dari pimpinan Muslimat Pusat dan negeri, para petugas juga akan mendapat maklumat dari pembentangan  kertas kerja bertajuk `Muslimat Penggerak Negara Berkebajikan' .

Pada himpunan itu juga Skuad Kebajikan Muslimat PAS Perak (ERAT) akan dilancarkan di mana skuad ini menjadi penggerak utama program bertemu dengan masyarakat dalam rangka membantu dan menyelami pahit getir golongam miskin, ibu tunggal, warga emas dan mereka yang memerlukan perhatian dan pembelaan.

Menurut beliau dengan pelancaran skuad ERAT itu nanti Dewan Muslimat peringkat negeri dan kawasan akan dapat  menyebarluaskan program  kemasyarakatan dan kebajikan kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan fahaman politik.

"Saya yakin skuad ERAT mampu berperanan dengan lebih baik mengatasi Skuad Sayang oleh Wanita Umno," ujarnya.

Tidak perlu guna OSA jika Felda buat perkara betul

Hazayani Zakaria, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Presiden Kumpulan Felda Global Ventures Holdings (FGVH), Datuk Sabri Ahmad tidak perlu bimbang dengan 'kebocoran maklumat' syarikat tersebut jika ia menunjukkan prestasi yang baik.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempersoal sikap Sabri yang dilihat seolah-olah bimbang dengan kebocoran beberapa dokumen sulit FGVH ke khalayak umum.

Katanya, kenyataan Ahmad bahawa Felda akan membuat laporan kepada pihak berkuasa berdasarkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) menunjukkan memang ada sesuatu yang tidak kena dengan FGVH.

"Ini satu perkembangan yang tidak sihat. Kalau Datuk Sabri dan Tan Sri Isa mengambil tindakan yang betul dan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia seuatu yang bagus, kenapa perlu bimbang? Mereka seharusnya bersikap terbuka.

"Atau mereka hanya pukul canang bahawa penyenaraian FGVH memang untuk kepentingan peneroka?" kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai FGVH agar tampil membantu Anak agar penyenaraian FGVH dibatalkan.

"Kenyataan Datuk Ahmad itu satu ugutan. Maklumat yang kita dedahkan sebelum ini pun bukan maklumat sulit.

"Jadi saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai FGVH atau sebagainya, tampil berbincang dengan Anak bagi memastikan penyenaraian FGVH tidak akan berlaku," kata Mazlan (Gambar).

Mazlan sebelum ini mendedahkan beberapa dokumen milik Felda dan menunjukkan satu laporan lengkap minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda di lobi Parlimen kepada media, Khamis lalu.

Sementara itu, Mazlan turut memberitahu, permohonan injunksi bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada FGVH akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan esok.

Dewan Ulamak PAS anjur Mahrajan Syria

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat akan mengadakan program Mahrajan Syria bertujuan menyusun deklarasi bertindak bagi menangani isu kezaliman di Syria.
Program tersebut dijadualkan pada 25 Mac ini di Darul Fuqaha, Sungai Merab, Bangi bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengahari.

Menurut pengarah program,  Dr. Azhari Ariffin, program tersebut bakal menampilkan tokoh ulamak Syria, Syeikh Samir Saqqa bagi menceritakan konflik berdarah di Syria.

Seterusnya, kata beliau seorang tokoh akademik dan ulama, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dijemput untuk menyampaikan kertas kerja bertajuk Pendirian Ulama Terhadap Konflik di Syria.

Program tersebut yang bertemakan ‘Antara Kejahilan Ummah, Kelesuan Ulama dan Kerakusan Penguasa’ adalah terbuka kepada masyarakat awam supaya sama-sama dapat menjiwai keperitan umat Islam di Syria berhadapan dengan pemerintah yang menzalimi mereka.

Audit: PAS minta Najib jelaskan salah guna wang

Harakahdaily, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: PAS meminta Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sejauh mana tindakan kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan wang dan kuasa sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Ini ekoran banyak isu yang membabitkan ketirisan wang negara dalam projek kerajaan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff mengemukakan soalan demikian bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan ahli Parlimen PAS, hari ini.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan prospek tanaman getah dan kelapa sawit di pasaran dunia menjelang 2020.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah status jawatan Encik Abidin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Besar FELDA dan kenapakah beliau dipindahkan ke Perpustakaan JPM.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapakah wakil CEUPACS tidak dilibat dalam penyediaan SBPA (Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam) sehingga timbul pelbagai masalah apabila diumumkan.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan tentang banyak isu-isu yang membabitkan ketirisan wang negara dalam projek Kerajaan serta sejauh mana tindakan Kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan wang dan kuasa sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan jenis-jenis tanaman baru yang dijangka akan menjadi penyumbang kepada komoditi negara pada masa depan.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah hasil siasatan dan tindakan susulan pihak PDRM mengenai dua peristiwa serangan kumpulan samseng ke atas majlis ceramah pro Pakatan Rakyat di daerah Klang (Jalan Kebun dan Kg Idaman) dalam bulan Januari dan Februari 2012.

Tiada ulasan: