Selasa, 10 September 2013

DIYAT HAK KELUARGA MEREKA MEMUTUSKAN MALAH BOLEH WARIS MEMAAFKANNYA....JIKA HUKUM ALLAH LEMAH...SEDANGKAN LEMAH TIADA DALAM SIFAT2 ALLAH.

Fikirkan hala tuju PAS, bukan isu

Abd Shukur Harun, 10 Sep 2013
Ketika PAS Kawasan seluruh negara sedang rancak mengadakan mesyuarat agung dan disusuli oleh mesyuarat Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat peringkat negeri, menjelang Muktamar Tahunan PAS November nanti, pelbagai isu telah ditimbulkan oleh pelbagai pihak.

Terutamanya media massa, politikus Umno dan pihak yang menyokongnya yang sentiasa mencari salah PAS untuk menyerangnya. Ini biasa berlaku setiap menjelang Muktamar PAS.

Kini, isu yang hangat diperkatakan ialah isu Syiah iaitu ada pihak dengan segala prejudisnya menuduh PAS terlibat dengan Syiah, sedangkan Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abd Hadi Awang dan pemimpin PAS yang lain telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya dan menafikannya.

Bagaimanapun, isu ini terus diperhangatkan atas kepentingan tertentu dengan melabelkan Timbalan Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu kononnya sebagai ‘orang Syiah’, padahal beliau telah menafikannya berulang kali.

Kemudian ditimbulkan pula isu sampingan – melaga-lagakan golongan ulama dan profesional - menjelang Muktamar PAS dan beberapa isu lain yang saling bermunculan yakni dijangka akan semakin rancak ditimbulkan semakin dekat Muktamar.

Bagi pendukung PAS yang setia, mereka sangat faham bagaimana musuh PAS memanipulasi isu ini setiap kali muktamar untuk memecahbelahkan PAS.

Oleh itu, mereka tidak perlu melayannya, menjelang Muktamar tahu lalu – sebelum PRU ke-13, masyarakat dihangatkan dengan isu supaya PAS menarik diri dari Pakatan Rakyat dengan melaga-lagakan PAS dengan DAP, namun pendukung PAS yang amat setia tidak terpengaruh dengan hasutan ini, yakni akhirnya PAS terus bersama Pakatan menghadapi PRU tersebut.

Kini musuh politik PAS bangun kembali dan berusaha menimbulkan isu-isu yang disebutkan tadi dan tidak mustahil akan berusaha lagi merekacipta isu untuk memecahbelahkan PAS. Tetapi kita yakin, usaha musuh politik PAS ini akan terus gagal, sama seperti kegagalan mereka pada masa lalu, justeru pengalaman dan ilmu yang ada pada pendukung PAS mampu mempertahankan keutuhan parti.

Mengenai isu Syiah, Presiden PAS telah mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan agenda Barat yang hendak melemahkan Islam dengan masalah mazhab Sunni-Syiah. Beliau menyifatkan isu kontroversi ini perkara lama yang sengaja ditimbulkan kembali.

Justeru, katanya, secara sedar tetapi bodoh atau jahil, isu perbalahan mazhab tersebut telah melekakan umat Islam mengenai kebangkitan Islam di seluruh dunia. Kata beliau, kerana asyik dengan pertikaian mazhab hingga umat Islam sendiri lupa musuh sebenarnya iaitu Israel serta kuasa-kuasa besar dunia. Untuk itu, Presiden PAS menyeru supaya
umat Islam memahami bacaan politik antarabangsa yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dunia termasuk Israel.

Orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini, katanya, masih lagi berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah. Oleh itu, saya percaya isu Syiah ini tidak akan ‘menggegarkan’ Muktamar PAS November ini. Tetapi jika timbul juga, maka memang sangat malanglah.

Yang penting diberi fokas dalam Muktamar nanti ialah hala tuju PAS akan datang, melakarkan road-map parti dalam menghadapi politik baru negara ini iaitu PAS, sebagai parti politik Islam kontemporari, mesti menyediakan dirinya benar-benar kukuh dan berperanan penting dalam politik arus perdana Malaysia.

Ia tidak boleh lagi dilihat hanya ‘berlegar’ dalam kelompok atau lingkungan partinya saja, tetapi ia mesti menyerlah di mana-mana, mengambil bahagian  penting dalam semua situasi, justeru sebagai parti dan gerakan Islam, ia menjadi ‘pengimbang’ atau dalam bahasa yang mudah difaham sebagai pengadil dalam semua pergolakan dan keadaan. Ini sesuai dengan sifat Islam sebagai agama wasatiyah, pengimbang dan penyaksi kepada manusia dan Rasul menyaksikannya, seperti yang disebut di dalam al-Quran Surah Al-Baqarah, 143.

Oleh itu para muktamirin perlu menyediakan gagasan dan idea besar ke arah itu, tidak perlu lagi mengulang-ngulang retorik dan slogan serta frasa lama. Atau membangkitkan isu yang bersifat remeh-temeh atau kritikan dalaman yang hanya ‘mencederakan’ sesama pendukung parti. Lebih-lebih lagi, seperti biasa, ada puluhan wakil media massa – dalam dan luar negara – yang membuat laporan Muktamar di samping para tetamu.

Mungkin ada hujah mengatakan bahawa bila lagi hendak mengkritik atau mengemukakan pandangan kalau bukan di Muktanar. Pada pendapat saya, itu memang benar bahawa kritikan atau teguran serta pandangan berbeza itu boleh saja dilakukan, tetapi pandangan dan teguran itu jangan sampai ke tahap dilihat sebagai tidak releven, tidak faham isu, malah bodoh. Maknanya, kritikan atau pandangan berbeza mestilah didukung dengan fakta, kemunasabahan atau logik akal serta dibawa dalam lingkungan akhlak Islam.

Sementara itu, saya percaya dalam Muktamar kali ini, akan timbul perihal kekalahan PAS di Kedah, kekalahan hingga 15 kerusi PAS di Kelantan, peningkatan prestasi PAS Terengganu yang sangat menjanjikan, kemenangan 15 kerusi PAS di Selangor, kemenangan beberapa kerusi PAS di Johor, sebuah kerusi PAS di Melaka, prestasi PAS Perak yang dan lain-lain akan dibahaskan dalam suasana yang tenang dan matang.

Juga perlu dibahaskan dalam Muktamar itu mengenai usaha PAS untuk menawan kerusi Melayu lebih banyak di luar bandar, di samping mengekalkan sokongan yang ada. Dalam masa yang sama mengeratkan kerjasama dengan semua parti dalam Pakatan rakyat dan berusaha memperkukuhkan lagi Tahaluf-Siyasi.

Kesimpulannya, Muktamar PAS kali ini mesti menghantar isyarat jelas bahawa PAS  sebagai parti politik Islam mampu berdiri gagah (Walking Tall) menghadapi cabaran yang ada betapapun kompeksnya. Ia bukan lagi parti yang berlegar di lingkungannya saja, tetapi ia parti yang hadir dan berperanan dalam arus perdana politik Malaysia. Untuk itu paduan antara ulama, profesional, veteran, tokoh aktivis dan pelbagai golongan lagi amat perlu.

Diyat, relevankah lagi?

Mohammad Faizal Che Yusof, 10 Sep 2013
Antara kesalahan membunuh yang diiktiraf dalam Kanun Keseksaan termasuklah membunuh tanpa niat atau menyebabkan kematian yang tidak termasuk sebagai membunuh. Peruntukan-peruntukan di bawah seksyen 304 (b) dan 304A sering digunapakai bagi mendakwa mereka yang bertindak hingga menyebabkan kematian tanpa niat.

Pada kebiasaannya, situasi di atas berlaku dalam kes-kes kemalangan jalan raya, dan salah tembak rakan seperburuan. Kadangkala ia sukar untuk diterima akal logik khususnya dalam kes-kes salah tembak rakan seperburuan. Namun itulah yang boleh terjadi.

Jika dalam kes-kes kemalangan seperti kemalangan jalan raya, ia tidak begitu sukar kerana mudah difahami lebih-lebih lagi keluarga simati. Dalam kes salah tembak rakan seperburuan, ia begitu menyentuh hati dan emosi keluarga simati. Sukar untuk terima hakikat bagaimana seorang rakan yang rapat dan akrab boleh tersalah tembak rakannya sendiri.

Dalam kes-kes sebeginilah elok kita ikhtiar mencari ruang untuk mengamalkan apa yang ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah. Secara perundangan konvensional, mereka yang melakukan kesalahan membunuh tanpa niat akan dikenakan hukuman penjara atau denda. Setakat mana seriusnya hukuman yang dijatuhkan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor.

Antara faktor tersebut termasuklah tindakan-tindakan keluarga simati yang memberi tekanan kepada pihak pendakwaan bahkan kepada mahkamah. Makin berat hukuman dikenakan, pada mereka itu adalah lebih baik.

Walhal, apabila sipelaku dipenjara atau didenda, ia sebenarnya tidak membantu langsung keluarga simati. Apatah lagi bila simati adalah tonggak keluarga yang menyediakan nafkah dan keperluan asasi keluarga.

Di sinilah Islam melalui undang-undang Qisas menyediakan satu jalan keluar yang sebenarnya boleh diamalkan. Mengapa tidak kita membiasakan amalan “Diyat”? diyat ialah sejumlah bayaran tertentu yang perlu diberikan oleh sipelaku kepada waris atau keluarga simati sebagai ganti rugi disebabkan tindakan salah dan cuai yang telah dilakukan.

Islam memberi hak kepada keluarga simati untuk memberi keampunan kepada sipelaku atau tertuduh sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 178:

“Sesiapa yang dapat memperoleh sebahagian keampunan daripada saudaranya (waris kepada mangsa yang dibunuh), maka hendaklah diikuti dengan cara yang baik (iaitu menuntut ganti rugi dengan tidak melampaui batas).Dan tunaikanlah bayaran diyat itu dengan ihsan. Yang demikian itu adalah suatu keringanan/kemudahan yang diberikan oleh Allah SWT. Serta satu rahmat daripada Tuhan kamu ( makna rahmat adalah kasihan belas daripada Allah SWT kepada sekelian hamba-Nya). Sesiapa yang melampaui batas selepas daripada itu,maka baginya azab yang pedih.”

Dalam amalan hari ini, tentunya dua keluarga akan hilang punca apabila kedua-duanya iaitu simati dan tertuduh merupakan tonggak keluarga. Selain keluarga simati yang hilang tempat bergantung, keluarga tertuduh turut terjejas bilamana hukuman yang dijatuhkan mungkin saja mengakibatkan tertuduh dibuang kerja atau hilang mata pencarian.

Dengan mengamalkan diyat, keluarga simati yang memberi kemaafan kepada tertuduh tetap akan terbela dengan bayaran Diyat yang diterima. Demikian juga tertuduh yang berkewajipan membayar diyat akan terus berkerja sekaligus boleh menyara keluarganya.

Dalam suasana hari ini, apabila undang-undang negara tidak berteraskan Islam, apakah yang boleh kita lakukan? Untuk diyat diamalkan, di sinilah kita memerlukan kebijaksanaan para pengamal undang-undang yang terlibat. Yang perlu dilakukan, keluarga simati boleh mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk memaafkan tertuduh, agar tertuduh tidak dikenakan hukuman yang boleh menjejaskan mata pencariannya.

Seterusnya satu tindakan sivil perlu dimulakan yakni dalam prosiding ini satu penghakiman persetujuan boleh direkodkan bagi membolehkan tertuduh membuat bayaran tertentu kepada keluarga simati. Sebagaimana yang saya sebutkan, kebijaksanaan mereka yang terlibat dalam memberi nasihat dan pandangan amatlah perlu bagi menjayakan syariat Diyat.

Demikianlah benarnya aapa yang difirmakan Allah SWT bahawa Qisas menjamin kelangsungan hidup, sebagaimana, al-Baqarah ayat 179:

“Dan dalam kisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.”


Kesediaan keluarga simati memaafkan dan kesediaan sipelaku membayar Diyat sesungguhnya menyerlahkan kesentosaan hidup bermasyarakat apabila syariat Allah dituruti. Semoga kebijaksaan pendokong Islam dalam meletakkan kalimah Tauhid pada tempatnya berada di mana-mana.

4 Dzulkaedah 1434H.

Kerana 20 sen, harga ikan, sayur dan rumah juga naik

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 10 Sep 2013

Kerana 20sen.. Harga ikan naik, harga sayur naik dan harga rumah juga akan naik...

Kerana bijaknya Najib dalam mentadbir ekonomi negara defisit fiskal negara melebar kepada RM14.9 bilion pada tahun ini.

Untuk mengurangkan defisit itu beliau telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen bagi setiap liter..

Meskipun nilainya kelihatan kecil namun impaknya adalah besar.. setelah berbagai-bagai laporan tentang kenaikkan harga barang akibat tindakan Najib itu.. Menyusul pula laporan yang mengatakan harga sayur akan naik, harga ikan akan naik dan harga rumah tidak dapat dielakkan dari dinaikkan...

Baca lagi

Selangor segerakan projek tebatan banjir

Selangorku, 10 Sep 2013


SHAH ALAM: Projek tebatan banjir akan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang baru-baru ini.

Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, projek ini akan dilaksanakan segera di kawasan yang telah dikenal pasti iaitu di Sungai Rasah dan sekitarnya.

“Antara cadangan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) ialah supaya ditinggikan tebing di sekitar kawasan terbabit bagi menghalang air daripada melimpah keluar ke jalan dan tol berdekatan,” kata Yunus dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, aliran longkang dan perparitan yang sempit sebelum bercantum telah menyebabkan cerutan (bottleneck) mengakibatkan air melimpah ke dalam sungai.

“Kerajaan Negeri turut mengenal pasti beberapa tempat yang sering mengalami banjir kilat kerana masalah perparitan yang tidak terurus dengan baik, tersumbat dan sebagainya seperti di Kampung Padang Jawa untuk dinaik taraf kepada lebih baik lagi,” katanya.

Kerajaan Negeri juga akan melakukan tindakan segera di kawasan persimpangan Jalan Batu Tiga Lama dan Jalan Sungai Rasah dengan membesarkan longkang dan perparitan kerana kerap berlaku banjir lumpur.

Beliau menambah pihaknya dan sekumpulan pegawai dari JPS turut melakukan tinjauan ke kawasan tersebut sehari sebelum banjir berlaku.

“Kerajaan Negeri akan melakukan pemantauan di kawasan-kawasan yang turut diklasifikasikan sebagai kawasan berpotensi untuk mengalami banjir kilat supaya dapat dilakukan pencegahan awal sebelum berlaku malapetaka yang lebih besar.

Yunus tidak menolak kemungkinan taburan hujan yang agak luarbiasa yang menyebabkan berlakunya banjir kilat.

“Kerjasama daripada penduduk setempat dan seluruh rakyat Selangor diperlukan supaya tidak menjadikan longkang dan perparitan sebagai tempat pembuangan sampah segera sehingga menyebabkannya ‘tersekat dan sebu’,” katanya.


Ikhwan hargai PAS beri penerangan kepada rakyat

Abu Marwan, 10 Sep 2013


KUALA LUMPUR: Jurucakap Ikhwan Muslimin Mesir, Dr. Ahmed Fahmy telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Turut serta adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad.

Beliau dalam lawatan singkat ke Malaysia telah menjadi tetamu kepada PAS dalam sidang meja bulat 'Krisis Mesir' yang telah diadakan di Kuala lumpur pada minggu lepas.

Dr. Ahmed Fahmi yang juga merupakan pakar jantung yang terkenal di seluruh rantau Arab telah menerangkan tentang perkembangan krisis yang sedang berlaku di Mesir kepada Tuan Guru Abdul Hadi serta implikasi kudeta tentera yang berlaku di sana.

Beliau juga telah menceritakan secara terperinci tentang pembunuhan beramai-ramai yang telah dilakukan oleh rejim tentera dan polis di Dataran Rabaa dan Dataran Nahdah yang telah mengorbankan lebih 3,000 orang awam termasuk ibu-ibu dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Begitu juga dengan siri tangkapan terhadap kepimpinan Ikhwan Muslimin termasuk Mursyid Am Ikhwan, Dr. Mohamed Al-Badie'.

Beliau juga melahirkan setinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pimpinan PAS yang telah bertungkus lumus memberi maklumat kepada rakyat Malaysia bagi membela dan mempertahankan kerajaan yang sah yang dipimpin oleh Presiden Mohamed Morsi yang telah diguling secara kejam oleh rejim tentera yang didalangi oleh kuasa-kuasa besar barat.

Sementara itu, Tuan Guru Abdul Hadi melahirkan rasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Mesir yang sanggup mempertaruhkan segala-galanya termasuk nyawa bagi mempertahankan sebuah kerajaan yang sah yang telah dipilih oleh rakyat secara demokratik.

Beliau menegaskan, PAS akan sentiasa memberi sokongon padu kepada rakyat Mesir bagi mengembalikan keadilan dan demokrasi yang kini berhadapan dengan kezaliman rejim junta tentera yang telah melakukan pelbagai pelangaraan hak asasi kemanusiaan.

Dr. Ahmed fahmy juga telah memohon agar seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kemenangan kuasa rakyat di Mesir bagi kembali kepada pentadbiran yang dipilih secara demokratik oleh rakyat.

Beliau juga dijangka berkunjung ke Jakarta dan beberapa buah negara lagi.

Mana Janji

Hana al-Amin, 09 Sep 2013
Kami orang kampung
yang sentiasa dibohong
yang tiada pelajaran
dan tiada harta
yang ada sebuah pondok kecil
ditanah tumpang
yang bila-bila masa
tuan tanah datang
dengan notis lelongan

Mana janji
rumah mampu milik
untuk orang macam kami
tiada tanah dan bumi lain
untuk anak berteduh dan bermain
kami hidup dan mati disini
bergantung tulang empat kerat
selagi ada kudrat
menyarai anak isteri
yang sentiasa setia
mengharungi pancaroba

Kami tinggal didesa
tanpa menoleh pilihanraya
kami tak risau
kerana tiada kereta
atau motosikal
tiada perlu petrol atau diesel
untuk sebuah basikal
hari-hari bergatih bergilir
menyantuni anak bersiar
tiada cita-cita – cuti-cuti Malaysia
hanya keliling kampong seputar

Kami orang kampong
yang termenung bila dilapur
barang naik melambong
yang risaunya barang dapur
ingatkan hari mendatang
yang muram jadi benderang
hidup akan berubah
barang menjadi murah
rezeki akan bertambah
tetapi sekarang makin parah
dikatakan keparahan tukaran ringgit
keekonomian dunia global yang sakit
kerana  tiada pelajaran
kami dibohongi lagi
tapi tahu berkira bulan ini
tambang bas sekolah naik lagi
kerana minyak telah mahal
tetapi sebelum  ini ada janji
harga petrol diesel tak akan naik
mereka yang berjanji
masa sibuk nak dapat undi
kami tak faham subsidi
kerana telaga minyak
milik kita sendiri
tak pernah rugi
tapi minyak naik lagi
mana janji.........

Hana al-Amin
792013 tumpat.

Hilangnya sifat amanah sedikit demi sedikit

., 09 Sep 2013

Hadis:

Huzaifah Ibnu Yaman r.a berkata: Rasulullah SAW menceritakan kepada kami dua buah hadis, aku telah melihat salah satunya dan aku menunggu yang satu lagi. Nabi menceritakan kepada kami bahawasanya amanah itu turun ke dalam pangkal (akar) jiwa (hati) manusia, kemudian mereka pun mengetahui sebahagian al-Quran, sesudah itu mereka mengetahui sebahagian sunah. Dan nabi menceritakan kepada kami tentang pencabutan amanah. Sabdanya yang bermaksud: Seorang lelaki tidur lalu dalam keadaan tidur, dicabut amanah dalam hatinya, maka tinggal bekas amanah seperti kesan sesuatu warna yang menyalahi warna asal, warna yang agak hitam. Kemudian ia tidur lagi lalu dicabut lagi amanah, maka tinggallah bekasannya yang merupakan kembung-kembung di tangan lantaran banyak bekerja dengan menggunakan kapak seperti bara api yang engkau guling-gulingkan di atas kaki mu lalu kembunglah kaki itu dan engkau pun melihatnya sudah bengkak dan penuh dengan air, padahal tidak ada apa-apa di dalamnya. Kerana manusia berjual beli tetapi hampir-hampir tidak ada seorang pun yang amanah lalu seseorang pun berkata Sesungguhnya dalam golongan bani fulan ada seorang yang boleh dipercayai dan dikatakan kepada orang itu: Alangkah tinggi akalnya, alangkah bijak bestarinya dan alangkah hebat ketabahannya. Padahal tidak ada di dalam hatinya sedikit pun keimanan walaupun seberat biji sawi. Dan sesungguhnya telah datang kepada ku suatu masa (telah berlalu suatu masa). Aku yang pada masa itu tidak peduli siapakah di antara kamu aku berjual beli dengannya. Demi Allah sungguh jika ia Muslim, nescaya keislamannya akan menolaknya kepada ku dan jika ia Nasrani, nescaya pengurus urusannya akan kembalikan kepadanya. Sedangkan pada hari ini aku tidak lagi berjual beli melainkan dengan si anu dan si anu. (al-Bukhari 81:35, Muslim 1:62)

Huraian hadis:

Amanah hilang dari hati manusia sedikit demi sedikit.

Pada awalnya ia hanya meninggalkan titik hitam dan semakin lama titik hitam tersebut menjadi semakin jelas hingga menggelapkan hati sekali gus menghilangkan sirnanya. Malah dikatakan amanah itu adalah nilai keimanan itu sendiri.

Dahulu, jika dalam melakukan urusan jual beli seseorang yang Muslim bersifat amanah kerana agamanya yang menuntut ia bersifat demikian.

Seorang Nasrani pula bersifat amanah kerana pengurusnya menyuruh ia bersifat demikian. Namun pada masa kini, amanah seakan hilang.

Tidak ada sesiapapun yang layak diberi kepercayaan penuh sama ada Muslim mahupun kafir.

Semua ini disebabkan keimanan manusia yang semakin rapuh dan luntur, mudah digoda dan tergoda oleh habuan dunia.

Hilang amanah hingga sanggup menerima rasuah, menipu dan menyelewengkan harta.

Justeru sebagai manusia yang beriman hendaklah kita sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikekalkan dengan sifat amanah dan mempunyai keimanan yang teguh dan mantap.

Petroringgit: Antara transparensi dan rasionalisasi

Syahir Sulaiman, 09 Sep 2013
Pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel pada 2 September 2013, adalah sebahagian daripada senarai jangkaan implikasi ekonomi pasca PRU13 yang tercatat dalam artikel terdahulu berjudul ‘PRU13: Najibnomic Terus Berkuasa’ bertarikh 9 Mei 2013, genap empat bulan selepas ia ditulis.
Menyorot kembali implikasi kesinambungan dasar Najibnomic pasca PRU 13; dengan BN menguasai 60% kerusi, PR memenangi 52% undi; ketidakseimbangan penguasaan kerusi dan undi ini bakal melatari lanskap pembentukan dasar, polisi dan program pihak kerajaan, khususnya dalam usaha mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat dan memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara.

Beberapa permasalahan ekonomi sudah dan bakal terhasil sepanjang tempoh enam bulan pasca PRU13, natijah daripada kelangsungan pendekatan urus tadbir ekonomi negara dan khazanah petroringgit, antaranya proses timbal-balik dana politik sepanjang tempoh kempen PRU12 dengan agihan kontrak kerajaan serta perlantikan jawatan kabinet dan syarikat GLC (political funding payback); rasionalisasi subsidi, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan, dan impak inflasi (subsidy, GST and inflation); pertumbuhan KDNK, defisit dan hutang negara (GDP growth, deficit and federal debt); serta bebanan kos sara hidup dan hutang isi rumah yang kian membimbangkan (cost of living, household debt).

Putrajaya dan Petroringgit

Petronas merupakan pembayar cukai tunggal terbesar di Malaysia, dan kebergantungan negara pada sumber minyak dan gas adalah sangat tinggi dan tidak mampan. Mengikut rekod, Petronas telah menyumbang secara langsung lebih RM700 bilion kepada kerajaan (dalam bentuk royalti, dividen, cukai keuntungan dan duti eksport) sejak penubuhannya pada 1974, malah untuk lima tahun sehingga 2012, Petronas menyumbangkan secara purata RM60 bilion setahun kepada negara, bersamaan hampir 40% daripada keseluruhan pendapatan kerajaan, malah agihan dividen 61% kepada kerajaan pada akhir 2011 adalah tinggi berbanding purata dividen sektor industri minyak dan gas sekitar 38%, ditambah dengan nilai perolehan yang dilepaskan (forgone revenue) melebihi RM155 bilion sejak pengenalan subsidi harga gas di Malaysia pada 1997 (kebanyakannya disalur kepada sektor penjanakuasa bebas).

Berhadapan dengan kadar rezab minyak dan gas yang makin menyusut, Petronas dilihat tidak mampu lagi memberikan sumbangan tetap kepada kerajaan setiap tahun, dan telah menyatakan hasratnya untuk mengubah polisi agihan dividen daripada pembayaran tetap RM30 bilion setahun tanpa mengira tahap keuntungan syarikat kepada bayaran dividen 30% daripada keuntungan tahunan, di samping mendesak kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi gas kepada sektor penjana bebas yang akan memberi kesan pada kadar tariff elektrik pengguna.

Rasionalisasi dan Transparensi

Berbalik pada pengumuman rasionalisasi subsidi (baca: pengurangan subsidi) petrol dan diesel oleh pihak kerajaan pada awal September, empat bulan selepas pilihanraya dan sebulan sebelum pembentangan bajet 2014, umum dapat meramalkan ianya bakal memberi kesan terhadap bebanan sara hidup rakyat, dan dilihat sebagai jalan pintas untuk kerajaan mengurangkan kadar defisit negara, dengan memindahkan beban tanggungan subsidi petrol dan beberapa barangan keperluan asasi lain kepada rakyat, tanpa mengemukakan langkah yang konkrit untuk mempelbagaikan dan meningkatkan pendapatan negara serta menghentikan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Tindakan penurunan subsidi yang mengakibatkan kenaikan kos bahan api pengguna dibuat dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global dan serantau, penyusutan nilai ringgit berbanding matawang asing (samada Dolar Amerika bagi pelabur mahupun Riyal Saudi untuk jemaah haji), jangkaan pertumbuhan KDNK negara yang lebih rendah akibat kemerosotan nilai eksport negara, peningkatan hutang isi rumah yang disumbang oleh harga rumah dan kos sara hidup yang tinggi, di samping kerisauan pelabur dan agensi penarafan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang kerajaan yang meningkat, menuntut pihak kerajaan untuk mengambil langkah drastik bagi memulihkan keyakinan pelabur dan mempersiapkan negara bagi menghadapi sebarang risiko kelembapan ekonomi.

Kesan kepada rakyat dan pengguna dapat dilihat daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara keseluruhannya, impak daripada inflasi tolakan-kos (cost push inflation) yang menyebabkan pihak peniaga terpaksa menaikkan harga barangan bagi menampung kesan kenaikan kos, dan memindahkan beban tersebut kepada pengguna. Oleh kerana penggunaan petrol dan diesel bersifat tidak anjal (inelastic demand), adalah sukar untuk rakyat mengubah cara hidup apabila berhadapan dengan situasi kenaikan harga kerana pilihan yang ada untuk kelangsungan hidup adalah terhad.

Polemik yang berbangkit daripada rasionalisasi ini adalah terhadap tahap transparensi dana petroringgit. Malaysia mengambil pendekatan ‘memilik-negarakan’ sumber minyak dan gas dengan penguatkuasaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974) dengan memberikan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia kepada Petronas (Seksyen 2), tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya perlu (Seksyen 3). Sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang diberikan padanya, Petronas hendaklah membuat pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang berkenaan (Seksyen 4), dan adalah menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya (Seksyen 5).

Dengan menghormati hasrat dan tujuan asal penggubalan akta ini, penulis berpendapat sudah tiba masanya untuk akta ini dikaji semula dan pelaksanaannya diperhalusi dengan teliti bagi merungkai persoalan berkaitan transparensi sumber minyak dan gas negara, sebagaimana disarankan oleh beberapa individu dan NGO berkaitan. Antara rekomendasi yang diberi adalah dengan meminda kebertanggungjawaban Petronas secara mutlak di bawah Perdana Menteri kepada institusi tertinggi rakyat iaitu Parlimen, menjamin ketelusan dalam pembayaran royalti kepada negeri-negeri, khususnya Kelantan, dan memastikan perbelanjaan dan pendapatan Petronas diurus secara profesional dan berintegriti tinggi.

Sebagaimana rezab minyak dan gas negara kian menyusut dan tidak berganti (depleting resources), begitulah juga kedudukan rezab petroringgit kepada negara. Di sebalik rasionalisasi yang diberi, ia menuntut kepada transparensi yang tinggi.

*Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

SERIUS : NASA TEMUI TROMPET SANGKALALA MALAIKAT ISFARIL (Gambar)



Peristiwa mengerikan yang akan terjadi pertama kali pada hari kiamat adalah ditiupnya sangkakala (ash-shur) oleh malaikat Israfil atas perintah Allah.

Makna ash-shur secara etimologi (bahasa) adalah al-qarn (tanduk). Sedangkan menurut istilah syariat, yang dimaksud adalah sangkakala yang sangat besar yang malaikat Israfil telah memasukkannya ke dalam mulutnya (siap untuk meniupnya), dan dia sedang menunggu bila dia diperintahkan untuk meniupnya. (Syarh Lum’atul Itiqad karya Ibnu Utsaimin, hal. 114)
Makna ini disebutkan dalam hadits shahih dari Abdullah bin ‘Amr, dia berkata:
Seorang badui bertanya: “Wahai Rasulullah, apa itu ash-shur?” Rasulullah menjawab: “Tanduk yang akan ditiup.” (HR. Ahmad, Tirmidzi dan Abu Dawud. Hadits ini disebutkan dalam Al Jami Ash Shahih 6/113-114, karya Asy Syaikh Muqbil)
Ilmuwan NASA ‘Menemukan’ Terompet Sangkakala Malaikat Israfil
Wilkinson Microwave Anisotropy Probe (WMAP) adalah alat yang merupakan sebahagian dari program atau misi NASA untuk melihat Kosmologi (studi tentang sifat alam semesta) secara keseluruhan. Projek ini melakukan observasi terhadap alam semesta untuk mencari bentuk sebenar alam semesta. Tekaani yang umum selama ini mengatakan bahwa alam semesta berbentuk bulat-bundar atau tekaan lain menyebutkan bentuknya mendatar.
Dengan menggunakan WMAP, mereka mendapatkan sebuah kesimpulan yang sangat mengejutkan, kerana hasil penelitian tersebut menemukan bahawa alam semesta ini berbentuk seperti trompet.
Pada bahagian hujung belakang ‘trompet’ alam semesta itu merupakan alam semesta yang tidak boleh diamati (unobservable), sedangkan bahagian depan, di mana bumi dan seluruh sistem suria berada merupakan alam semesta yang masih mungkin untuk diamati (observable).
“Dan ditiuplah sangkakala, Maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu putusannya masing-masing.” (Az Zumar: 68)
“Kami biarkan mereka di hari itu bercampur aduk antara satu dengan yang lain, kemudian ditiup lagi sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka itu semuanya.” (Al Kahfi: 99)
“Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkakala, maka terkejutlah segala yang di langit dan segala yang di bumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri. (An Naml: 87)
“Dan ditiuplah sangkakala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.” (Yasin: 51)
Banyak ulama tafsir mengatakan bahawa tiupan trompet sangkakala di ayat-ayat tadi selalu diertikan sebagai peristiwa di hari kiamat. Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir Al Wasith menghuraikan bahawa tiupan trompet di hari kiamat itu tiga kali. Pertama, tiupan yang menggentarkan, lalu kedua yang mematikan seketika seluruh makhluk. Tiupan ketiga tanda mulainya hari kiamat, di mana semua dibangkitkan dan dikumpulkan.
Kalau kita cermati, Al Quran menyebutkan bahwa tiupan itu selalu “di dalam” terompet, “Wanufikha fi-shshuuri”. Mengapa terompet? Mengapa di dalam (Fi)?
Tim WMAP mengamati pola titik-titik panas dan dingin radiasi microwave kosmik, yang menggambarkan bentuk alam semesta 380.000 tahun setelah Big Bang. Projek WMAP dari NASA membuat peta titik-titik tadi secara menyeluruh, hasilnya ialah pola itu cenderung memudar, yakni tidak ada titik panas dan dingin yang tampak melebihi jarak rentang 60 darjah. Ini menunjukkan bahawa ketika mengembang, alam semesta terjulur panjang. Sempit di depan dan kemudian makin lebar seperti corong. Mirip bentuk terompet berada di pertengahan. Hal ini tentunya menyangkal teori asal selama ini yang menyatakan bahawa bentuk alam semesta seperti bola (bulat) yang mengembang ke segala arah.
Tim WMAP yakin bahawa alam semesta bukanlah berbentuk bola, tetapi berbentuk trompet. Alam semesta bukan meluas tak terbatas, tetapi dibatasi oleh hujung terompet. Jadi, alam semesta ada awal dan akhirnya. Hanya Allah yang tidak berawal dan berakhir, “Huwal awwalu wal akhiru”.
“Sesungguhnya telah datang kepada kalian cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari keadaan gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (Al Maidah: 15-16)
“Itulah Kitab yang tidak ada keraguan di dalamnya, sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al Baqarah: 2)
“Sesungguhnya Al Quran itu adalah kitab yang mulia. Yang tidak datang kepadanya kebatilan baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.” (Fusshilat: 41-42)
Maha Benar Allah atas segala Firman-Nya

Tiada ulasan: