Ahad, 8 September 2013

YANG BOLEH ANGKUH NI....ALLAH SAJA....ALLAH BOLEH HANCURKAN AMERIKA DAN MANA2 NEGERI DIDUNIA NI...DENGAN SEKELIP MATA SAJA

Syria: NGO serah memo, kedutaan Amerika angkuh

Muhammad Faizal, 06 Sep 2013


KUALA LUMPUR: PAS mengecam tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya yang telah membuat keputusan untuk menyerang Syria dengan menyifatkan campurtangan ketenteraan bukan penyelesaian kepada krisis dan kesengsaraan yang berlaku di negara itu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut sama dalam himpunan aman 'Jangan Serang Syria' di hadapan kedutaan Amerika menjelaskan, kuasa barat tersebut tidak boleh menggunakan alasan serangan senjata kimia bagi menghalalkan campurtangan mereka.

Katanya, campurtangan ketenteraan yang dilakukan oleh Amerika dan sekutunya di negara-negara seperti Afganistan, Iraq dan Libya, hanya membawa lebih banyak bencana pertumpahan darah serta meninggalkan perderitaan kepada jutaan rakyat.

"Kita mengecam keputusan Amerika dan sekutunya yang akan menyerang Syria dengan alasan pemerintahan negara itu menggunakan senjata kimia.

"Itu bukan satu alasan yang munasah, sebelum ini kita tengok campurtangan Amerika dan sekutunya dibeberapa buah negara, apa yang berlaku bukannya dapat menyelesaikan masalah tetapi rakyat negara itu terus menanggung penderitaan," jelas beliau.

Mohamad yang sebelum itu bersama empat orang wakil telah memasuki pejabat kedutaan bagi menyerahkan memorandum berhubung dengan bantahan keputusan Amerika.

Beliau turut mengulas berhubung sikap angkuh Amerika ketika menerima memorandum tersebut dengan menyifatkan mereka merasakan merupakan kuasa besar dunia.

"Sebentar tadi kita telah menyerah satu memorandum kepada pihak kedutaan tetapi apa yang kita perolehi adalah layan sombong dan angkuh mereka ketika menerima memorandum tersebut.

"Mereka merasakan Amerika merupakan kuasa besar dunia yang boleh bertindak sebagai kuasa pengaman dunia jika berlaku sesuatu pada negara-negara lain," jelasnya.

Tambah beliau lagi, Amerika dan sekutunya cuba memintas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Syria dan mengulangi apa yang dilakukan oleh mereka ke atas Iraq sebelum ini.

Tegas beliau, campurtangan kuasa-kuasa barat di Syria tidak akan menyelesaikan krisis kemanusian tetapi akan membawa lebih banyak kematian serta malapetaka untuk tempoh jangka masa yang panjang.

Lebih kurang seratus orang hadir pada himpunan aman tersebut yang terdiri dari Parti Sosialis Malaysia dan juga Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

Himpunan yang bermula selepas solat Jumaat itu berakhir pada jam 3 petang.

Zahrain jadi duta, pejuang setia Umno dapat apa?

Harakahdaily, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim dilaporkan akan dilantik sebagai duta ke Indonesia.

Perkara ini juga sudah pun disahkan oleh Menteri Luar, Anifah Aman petang semalam.

Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib.

Bagi penulis blog Shahbudin Husin, walaupun Zahrain menafikan perlantikannya sebagai ganjaran kerana meninggalkan Anwar dan menyokong kepimpinan Najib, tetapi rata-rata kalangan dalam Umno percaya tiada ada sebab atau merit lain yang boleh dijadikan sandaran kepada pelantikannya itu melainkan sebagai ‘upah’ atas pengorbanannya itu.

“Selain itu, perlantikannya sebagai duta ke Indonesia juga dikhabarkan untuk mengekang pengaruh Anwar di negara tersebut memandangkan Ketua Pembangkang itu dipercayai mempunyai pengaruh serta simpati yang besar di kalangan tokoh-tokoh politik di negara tersebut,” tulis beliau di dalam blognya semalam.

Baca di sini

Kerajaan digesa fail rayuan kes buku Irshad Manji

Harakahdaily, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memfaikan rayuan terhadap keputusan mahkamah kelmarin yang membatalkan pengharaman sebuah buku yang didakwa mempersenda dan menghina agama Islam.

Gesaan itu disuarakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malysia (Mapim) ekoran keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang membatalkan pengharaman buku "Allah , Freedom and Love" yang diterjemah kepada bahasa Melayu iaitu "Allah, Kebebasan dan Cinta" karangan seorang warga Kanada, Irshad Manji.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof berkata bahawa buku yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu itu tidak boleh diharamkan pengedarannya kerana edaran dalam Bahasa Inggeris sebelum ini tidak diharamkan.

Beliau turut mempersoal kenapa buku itu diharamkan selepas ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan diterbit oleh ZI Publication Sdn Bhd.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata isunya bukan sekadar kerana ia diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu, tetapi ialah isu isi kandungan buku itu yang jelas menjadi sebab KDN mengharamkannya kerana mengandungi isi  mempromosi amalan hidup songsong dikalangan masyarakat.

"Malah pengarangnya Irshad Manji adalah seorang penyokong kuat kepada Israel dan seorang yang mengamalkan seks songsang.

"Kami mendesak Peguam Negara dengan segera menfailkan rayuan terhadap keputusan itu kerana keputusan Mahkamah Tinggi itu meletakkan prisiden yang bahaya terhadap kemungkinan pelbagai pihak lain yang ghairah menyerang kesucian Islam dengan pandangan liberal sekular Barat," katanya dalam satu kenyataan.

Buku tersebut sebelum ini mencetus kontroversi ekoran Irshad Manji didakwa mempromosi gaya hidup dan pemikiran yang bertentangan dengan Islam sehingga ianya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mei tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu mesti dicabar supaya buku ini seperti buku-buku lain yang menyentuh sensitiviti umat Islam serta memelihara keharmonian antara rakyat beragam agama di negara ini tidak berleluasa.

"Kami dengan ini mengesa Peguam Negara bertindak segera supaya rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi agar pengharaman buku itu  diedar dikalangan masyarakat oleh KDN dapat dikekalkan," katanya.

Kos hidup naik, k’jaan tak boleh fikir, tanya Dr Agus

Harakahdaily, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol, BR1M yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka?

Ini kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian.

“Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?” tanya penganalisis politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menerusi facebooknya.

Berikut ialah tulisan penuh beliau.

Mulai 3 September 2013, harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 20 sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen. PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara."

Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak tertangguh. Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan. Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat.

Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata?

Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.

Untuk pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.

Itu belum lagi kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.

Melihat kepada data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia.

Saya juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."

Saya tidak faham kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?

Oleh sebab itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!

Kerajaan abaikan pelajar produk PTS?

Dr Nazrul Izzuan Mohamad Idris, 06 Sep 2013
Dulu sekitar pertengahan dan penghujung tahun 90-an, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan  satu siri ujian yang dikenali sebagai  Penilaian Tahap Satu (PTS).

Siri ujian ini adalah siri ujian IQ bagi menilai kepintaran dan kemampuan pelajar Malaysia ketika itu. Ujian ini dijalankan kepada pelajar darjah 3 di sekolah kebangsaan. Bagi yang berjaya dan lulus ujian PTS ini, mereka diberikan kelebihan untuk masuk ke darjah 5 terus pada sesi akademik seterusnya tanpa perlu mengikuti pelajaran di darjah 4.

Mereka perlu belajar sendiri silibus darjah 4 dan mempunyai masa hanya 2 tahun sahaja untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pendek kata, mereka yang lulus ujian IQ ini boleh ‘lompat’ kelas dari darjah 3 ke darjah 5. Konsep soalan-soalan yang dikemukakan dalam PTS ini lebih kepada soalan menguji IQ, kepintaran pelajar menerusi soalan berkonsepkan ujian minda, kebolehan menilai dan membaca ‘pattern’ susunan nombor dan lain-lain.

Saya adalah salah seorang yang menduduki PTS tersebut pada tahun 1998. Alhamdulillah, hari ini tahun 2013 , 15 tahun telah berlalu dan saya akhirnya menjadi seorang doktor perubatan. Ada rakan seangkatan yang memilih untuk sama-sama menggapai peluang dengan memasuki terus darjah 5 masa itu berjaya di bidang masing-masing. Ada yang dalam proses untuk menjadi akauntan bertauliah, peguam dan juga saintis.

Ada juga yang memilih untuk bersama rakan-rakan lain di darjah 4, memilih untuk tidak ‘lompat’ kelas juga berjaya di bidang masing-masing.

Cuma yang menjadi persoalan saya dan juga rakan-rakan ketika kami berbual menceritakan kisah lama tatkala ketika bercuti musim semester, projek PTS ini seolah-olah projek tergendala di pertengahan jalan.

Apakah objektif kerajaan melalui Kementerian Pendidikan ketika itu menjalankan ujian saringan memilih pelajar tertentu untuk dijalankan penilaian / ujian  PTS ini? PTS ini berjalan selama beberapa generasi termasuk generasi adik saya (beliau juga lulus PTS dan sekarang melanjutkan pelajaran di Australia) dan kemudian dihentikan sebagaimana kerajaan juga mahu memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sepatutnya sebagai salah satu usaha untuk membangunkan negara dan mentransformasikan Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020, ‘review’ terhadap projek PTS ini perlu dijalankan dari masa ke semasa.

Seharusnya pelajar yang lulus dan berjaya ujian PTS ini diberikan keistimewaan dalam menyumbang kepada negara, diberikan kuota khas istimewa yang tertentu, diserapkan ke dalam ‘think tank’ agensi kerajaan, GLC, membantu membuat dasar dan polisi, penasihat kepada majlis dan badan-badan tertentu dalam negara malah tidak keterlaluan jika kami diberikan peruntukan / elaun khas dan diberikan keistimewaan dalam kenaikan pangkat, jawatan dan ‘horonary title’.

Saya percaya ramai pelajar yang dulunya lulus dan berjaya PTS kini menjadi insan yang berjaya dalam bidang profesional sepeti peguam, doktor, saintis, akauntan, jurutera, pakar ekonomi dan banyak lagi. Salah satu usaha untuk mengekang ‘brain drain’ adalah dengan mengiktiraf dan menberikan peluang kepada kami, produk hasil projek PTS ini untuk menyumbang pada negara. Amat  rugi sekiranya kerajaan membiarkan golongan bijak pandai ini dibazirkan bakat dan kepintaran mereka begitu sahaja malah lebih teruk lagi mereka terus berkhidmat di luar negara yang lebih mengiktiraf dan menghargai potensi yang ada pada mereka.

Pelajar pintar dan genius ini patut diberikan lebih peranan dalam jawatan penting dan struktur tinggi hierarki negara. Negara yang maju adalah negara yang banyak membuat penyelidikan dan membangunkan harta intelek dan memperkembangkan produk sendiri. Salah satu cara untuk Malaysia ke arah ini boleh dicapai melalui penglibatan pelajar genius  produk PTS ini. Saya berharap kerajaan memberi perhatian terhadap hal ini.

Habuan jadi duta selepas serang Anwar

Salmiyah Harun, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan pelantikan Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim sebagai duta ke Indonesia adalah ganjaran dan bayaran balik atas jasa pengkianatan yang dilakukan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

Katanya, itulah yang menjadi budaya di dalam Umno BN hari ini bukan memberi jawatan atas dasar kelayakan tetapi berdasarkan politik semata-mata.

Malah katanya, pelantikan ini memberi gambaran sebenar kepada negara luar kerana mereka sendiri akan menilai perkhidmatan berdasarkan penghantaran duta ke luar negara.

"Duta yang dilantik mestilah berintegriti bukan memberi ganjaran politik, ini kerana imej yang ditunjukkan adalah imej yang tidak baik," katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya adakah Zahrain layak dilantik sebagai duta, Khalid berkata, Zahrain tidak nampak ada kemampuan itu memandangkan di dalam Parlimen pun beliau kurang menyerlah dari segi idea pembangunan negara.

Melainkan, tambahnya Zahrain hanya lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja di dalam parlimen.

"Kalau mesej itu sahaja yang nampak ia tidak ada benda yang boleh dibanggakan sepatutnya membawa idea-idea yang bernas untuk Malaysia," katanya.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman mengesahkan Zahrain Hashim dilantik sebagai duta ke Indonesia.

Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib.

Umno pandang serong terhadap Ikhwan Muslimin - Anwar

Harakahdaily, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno BN mempunyai perasangka buruk terhadap gerakan islam Ikhwan Muslimin.

Anwar mendedahkan, sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau pernah dinasihatkan oleh perisikan supaya tidak bertemu wakil gerakan Islam itu yang datang ke Malaysia ketika itu.

Bagaimanapun beliau tidak mengendahkan 'nasihat' itu, namun sekadar menukar tempat pertemuan.

“Bila Mursyidul Am Ikhwan di Malaysia, Muhammad Mahdi’ Akif, saya dinasihati perisikan supaya tidak bertemu (mereka) kerana mereka kononnya ekstrimis Islam, radikal dan sebagainya.

“Saya terpaksa berbincang dengan Abdul Hamid Abu Suleyman dengan bertemu di pejabatnya.

"Saya, Timbalan Perdana Menteri ketika itu datang ke pejabat Hamid untuk makan tengah hari,” katanya dipetik Selangorku.

Anwar mendedahkan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan buku ‘Di sebalik Ikhwan Muslimin: Hakikat tentang Pergerakan Politik Terkuat Dunia’ petang semalam.

Menurut Anwar yang juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika Tun Dr Mahathir bercuti di luar negara tiga bulan, maklumat-maklumat serong tentang Ikhwan itu diterima Umno sehingga mereka tidak menjalinkan kerjasama dengan gerakan Islam itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menggalakkan wakil Ikhwan Muslimin bertemu dengan Umno bagi menerangkan kedudukan sebenar berlaku di Mesir ketika ini.

Sarawak perlu 100,000 unit rumah mampu milik

Harakahdaily, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menggesa kerajaan BN membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri itu memandangkan Sarawak mempunyai keluasan tanah yang luas sedangkan ramai rakyatnya masih tidak mempunyai rumah.

Dalam kenyataan medianya, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee (gambar) berkata, harga rumah di Sarawak adalah antara yang termahal di Malaysia sedangkan ramai penduduk tempatan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki rumah sendiri kecuali mereka yang terpaksa membeli rumah kos rendah yang kecil dan kurang berkualiti.

Jelasnya, BN telah berjanji untuk membina sejuta rumah mampu milik termasuk 500,000 unit di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang digerak oleh sektor awam dan swasta.

"Menurut laporan akhbar tempatan baru-baru ini, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertekad membantu negeri Sarawak memenuhi keperluan perumahan mampu milik untuk rakyatnya dalam perancangan untuk lima tahun akan datang," ujar beliau.

Kerajaan BN negeri, jelas beliau berjanji untuk membina 50,000 unit rumah dengan kerjasama JPN, Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selain agensi negeri yang berkaitan.

Sambil mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri itu, beliau bagaimanapun mahu jumlah unit rumah itu ditambah kepada 100,000 unit bagi menampung keperluan penduduk tempatan Sarawak yang masih belum memiliki rumah sendiri.

"Syarat untuk memiliki rumah mampu milik juga perlu dipinda dari umur 21-50 tahun kepada 21-55 tahun dengan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM5000 ke bawah.

"Harga rumah mampu milik juga perlu dikaji semula sekurang-kurangnya dari RM200,000 ke bawah dengan konsep rumah mesra seperti skim perumahan rakyat di zaman Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub (1970-1981) memerintah Sarawak dulu, di mana rakyat diberi se-lot sebuah rumah," katanya.

Tiada ulasan: