Khamis, 5 September 2013

DI AUSTRALIA TIADA ORANG GAJI...SATU RUMAH TANGGA HANYA SATU ORANG BEKERJA...KECUALI TIADA ANAK ATAU ADA KELUARGA JAGA SEPERTI NENEK@EMAK...BARU KEDUA2 ...IAITU SUAMI ISTERI BOLEH BEKERJA

Subsidi rakyat ditarik, pemimpin hidup mewah

Harakahdaily, 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengambil perhatian kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan menarik subsidi minyak secara mengejut.

Alasannya adalah untuk mengelakkan aktiviti spekulasi harga yang dijangka akan menimbulkan pelbagai isu sampingan yang lain.

Namun, kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, yang menjadikan kejutan rakyat ialah apabila pengumuman itu tidak menjelaskan kenapa ia harus berlaku secara mendadak.

“Jika tujuannya adalah untuk merasionalisasikan aliran perbendaharaan kerajaan bagi menangani bajet defisit, maka bagi kami apabila PM menyatakan bebanan rakyat boleh ditampung melalui menambah kuatum BR1M, bagi kami ini adalah polisi yang salah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, BR1M hanya merupakan ubat ‘tahan sakit’ yang boleh menghilang rasa sakit untuk waktu yang sebentar.

Namun, ujarnya dalam jangka masa panjang ia bukan satu ubat yang mujarab terutama bila pesakit berada dalam keadaan yang kritikal.

“Kami berpandangan rasionalisasi subsidi dengan cara menambahkan BR1M tidak bijak dan bukan pendekatan yang berkesan untuk mengatasi isu kenaikan kos hidup seharian di kalangan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

“Kami mengambil perhatian apabila PM mengumumkan penjadualan semula beberapa projek mega berdasarkan kos barang import yang diguna,” katanya lagi.

Justeru, katanya Mapim berpandangan seharusnya hal ini sudah dipertimbangkan sejak dari awal, menangguh projek yang sedang dibina sebaliknya akan menambahkan kos kerana pemaju tidak akan mahu menanggung beban kos akibat penangguhan.

Tambah beliau, pihaknya menerima hakikat subsidi bukan suatu cara yang boleh bertahan lama kerana wang rakyat yang tidak diurus dengan baik sehingga dihabiskan untuk membayar subsidi yang tinggi adalah tidak produktif untuk jangka masa panjang.

Walau bagaimanapun, katanya jika suatu pentadbiran tidak bijak mengawal ketirisan dan tidak mampu mengawal perbelanjaan yang membazir dan boros, maka penarikan subsidi tidak akan memberi manfaat yang sepatutnya kepada rakyat.

Sebab itu, jelasnya Mapim berpendapat penarikan subsidi jika tidak diimbang dengan peningkatan integriti pengurusan kerajaan, akan mengakibatkan sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pasti akan memberi kesan yang parah kepada rakyat marhaen.

“Kami mendapati rakyat masih tidak berpuashati terhadap uruskelola kewangan negara. Terlalu banyak perbelanjaan yang tidak rasional seperti BR1M, berbelanja untuk hari perayaan dan acara peresmian persidangan dan mesyuarat kerajaan yang melampau oleh hampir semua agensi kerajaan, lawatan keluar negara oleh pemimpin negara  yang mengguna wang awam yang sangat tinggi dan tidak beretika dan pembeliaan alatan kerajaan yang melanggari prosedur sehingga membazir seperti dicatat dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

Semua itu, kata Mohd Azmi dilihat oleh rakyat sebagai ketidakwajaran kerajaan membeban rakyat dengan kenaikan harga minyak.

Katanya, di satu pihak rakyat diminta memahami beban subsidi adalah tidak rasional untuk ekonomi negara, di satu pihak yang lain rakyat melihat pemimpin negara hidup mewah, tidak perlu berbelanja wang sendiri untuk membayar bil bulanan dan tidak perlu risau berfikir berapa wang tunai yang ada untuk mengisi minyak kenderaan.

Najib pada petang 2 September lalu mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter menjadikan harganya RM2.10 daripada RM1.90 berkuatkuasa tengah malam itu.

Bermula tengah malam tadi, petrol RON97 pula dinaikkan harga 15 sen seliter kepada RM2.85 berbanding RM2.70 sebelumnya.

Minyak naik: Pengusaha bas tidak mungkin berdiam diri

Muhammad Faizal, 05 Sep 2013
SHAH ALAM: Penguasa bas berkemungkinan akan menaikkan tambang sebanyak 10 peratus yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini walaupun tempoh kenaikan tersebut sepatutnya berakhir pada 8 September nanti.

Pengendali bas ekpress dan tambahan bagi perayaan Aidilfitri lalu dibenarkan menaikkan kos berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan sehingga 8 Sepetember 2013.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad tidak yakin penguasa bas akan berdiam diri serta mematuhi arahan tersebut kerana mereka terpaksa menanggung kos bahan api akibat kenaikan harga diesel sebanyak 20 sen seliter bermula 3 Sepetember lalu.

"Walaupun tempoh masa kenaikan tambang 10 peratus akan berakhir pada 8 September nanti, saya tidak nampak penguasa bas akan menurunkan harga.

"Kenaikan harga minyak diesel sebanyak 20 sen akan menjadi alasan mereka untuk mengekalkan harga tersebut dan berkemungkinan akan ada desakan untuk menaikkan lagi antara lima hingga sepuluh peratus," jelasnya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) sebelum ini menuntut agar kerajaan meluluskan kenaikan tambang bas kepada 30 peratus bagi menampung kos operasi pada musim perayaan.

Beliau tidak menyalahkan tindakan penguasa bas jika mereka mendesak untuk menaikkan harga tetapi kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dari keputusan menaikkan harga bahan api.
Katanya, kerajaan perlu pastikan hak rakyat terus terbela tanpa ada sebarang tekanan sara hidup melampau akibat pengumuman tersebut.

"Bukan hanya kadar kenaikan harga tambang akan dituntut, selepas ini lebih banyak lagi barang-barang keperluan akan dinaikkan harga.

"Rakyat akan terus hidup dalam tekanan akibat kos-kos barang keperluan yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan," sambung beliau.

Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kecewa dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana terlalu lemah dan menekan hidup rakyat bagi tujuan menambah pendapatan negara sedangkan ketirisan dan rasuah dalam projek mega terus berleluasa.

Rumah: Selangor bakal laksana dasar baru

Muhammad Arif Ismail, 05 Sep 2013
SHAH ALAM: Selangor bakal melaksanakan dasar baru berkaitan dengan jumlah rumah mampu milik yang wajib dibina oleh pemaju hartanah di negeri ini, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad.

Menurutnya, pembentangan draf itu yang diadakan di Hotel De Palma Shah Alam pada 3 September lalu mengambil kira maklum balas dan pandangan pihak berkenaan seperi persatuan pemaju hartanah, pertubuhan profesional dan sebagainya.

Beliau berkata, pembentangan dan dialog bersama peserta termasuk wakil rakyat merupakan sebahagian dari polisi town hall meeting kerajaan negeri iaitu mendengar masalah rakyat terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.

"Selepas mengambil kira semua aspek ini, draf akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa satu bulan dan akan mula dikuatkuasakan pada awal tahun depan," katanya yang juga Adun Cempaka dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.

Iskandar yakin, polisi yang dibentangkan oleh Lembaga Perumahan dan hartanah Selangor (LPHS) itu mempunyai kemampuan untuk memastikan semua kediaman yang dibina mendapat sambutan daripada penduduk sekaligus projek terbengkalai tidak berlaku.

"Dasar baru ini dibuat untuk mengambilkira keperluan rakyat masa kini yang berbeza dan peningkatan kos pembinaan. Dasar ini juga megambilkira mereka yang berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan," jelasnya.

Draf tersebut mengantikan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, 20:20:10 iaitu bagi pembangunan perumahan yang melebihi 10 ekar tanah, pemaju wajib membina 20 peratus rumah kos rendah pada harga RM42,000. 20 peratus rumah kos sederhana rendah yang bernilai RM72,000 dan 10 peratus rumah kos rendah dengan nilai RM100,000.

Antara penambahbaikan polisi itu ialah rumah mampu milik yang wajib dibina ditambah kepada lebih dari tiga kategori, harga jualan turut dipelbagaikan bermula harga RM42,000 hingga RM250,000 dan peratus bagi kategori rumah tidak lagi sama bagi seluruh negeri selangor tetapi berbeza menurut daerah dan mukim.

15 tahun Reformasi, RON95 dan menteri cap ayam

Ahmad Lutfi Othman, 05 Sep 2013
Saya mulanya mahu mengimbau kembali nostalgia 15 tahun lalu: Refomasi. Tragedi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan pada 2 September 1998, yang disusuli penyingkirannya daripada keahlian Umno, telah mengubah lanskap politik tanahair.

Majoriti rakyat, khususnya orang Melayu, yang sebelum itu nampak mudah "dijinakkan" dan kelihatan tidak sukar dilentur pendirian politik, tiba-tiba dengan berani bangun menyatakan sikap walaupun diketahui berbeda dengan elit penguasa. Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya, yang panas dengan tembakan gas pemedih mata dan belantan FRU, menjadi gelanggang bermulanya babak politik baru.

Waktu itu, awalnya, saya sendiri agak kebingungan untuk mentafsirkan, apatah lagi mendefinisikan fenomena yang berlaku. Anwar yang menjadi sasaran kritikan dan belasahan dalam siri tulisan saya semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri, diangkat sebagai ikon istimewa; bukan sekadar simbol penentangan terhadap kediktatoran, kezaliman, korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam masa singkat, hanya dalam tempoh kira-kira 18 hari, yakni sebelum ditangkap pada malam 20 September, Anwar berjaya menyampaikan "pendidikan politik" dengan cukup berkesan kepada audien yang membanjiri kediamannya di Jalan Setiamurni, Bukit Damansara dan yang memeriahkan siri jelajahnya di seluruh negara.

Muncul ramai aktor baru politik, yang selama ini bagai tidak peduli dengan perkembangan siasah, dan mungkin membencinya. Anak-anak muda, lelaki dan wanita, termasuk golongan berpendidikan tinggi dan kelas menengah, bersuara lantang di jalan-jalan raya. Gema "reformasi" seakan berjaya menggoncang Seri Perdana serta membingitkan telinga Dr Mahathir Mohamad.

Zaman rakyat akur apa saja titah pemerintah sudah berlalu. Daleh Dr Mahathir berkaitan kejijikan akhlak untuk memecat Anwar ditolak mentah-mentah. Umum dapat memahami bahawa punca kepada segala konflik dan pertembungan ketika itu adalah KUASA. Kuasa mewajarkan fitnah, penipuan, pembohongan, penindasan dan pengkhianatan. Seorang rakan karib boleh bertukar seteru ketat hanya kerana mempertahankan takhta.

Isu-isu yang sebelumnya dianggap abstrak dan sukar difahami (juga pernah mengecewakan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1995), seperti hak asasi manusia, kewibawaan badan kehakiman, manipulasi jentera kerajaan, kebebasan akhbar, rasuah, keadilan, kronisme, transparensi pengurusan dana awam dan integriti institusi awam, misalnya PDRM dan SPRM (waktu itu BPR), menjadi basahan bibir.

Namun begitu, berbanding dengan rakan sejawatnya, Sukarno di Indonesia, Dr Mahathir tetap dapat bertahan, malah penguasaan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dalam PRU10 pada November 1999 tidak terjejas.

Peningkatan sokongan kepada Barisan Alternatif (menggabungkan PAS, Keadilan, DAP dan PRM) di bandar-bandar besar -- yang selama ini sukar mendapat tempat -- terutama sekitar Lembah Klang memang ketara sekali, tetapi ia belum cukup untuk memenangkan kerusi Parlimen yang ditandingi.

Di kala pengundi Melayu sederap bangun memprotes, sehingga Terengganu tumbang (BN hanya tinggal 4 kerusi berbanding jumlah 32 Dun, manakala sifar di peringkat Parlimen), masyarakat Tionghua dan India menjadi penyelamat kepada BN. Sentimen perkauman dieksploitasi dan menjadi benteng kebal buat Umno-BN (bukan saja 15 tahun lalu, malah masih berbisa sehingga kini, seperti ditunjukkan dalam PRU13, walaupun dalam bentuk berbeda).

Apakah Reformasi yang dicetuskan pada hujung 1998 itu boleh disifatkan belum matang dan telah kecundang di tengah jalan? Seorang rakan berpendapat, Indonesia sememangnya berbeda dengan kemajmukan politik Malaysia untuk diimport 'kejayaan' reformasi mereka. Benarkah kerana Dr Mahathir gagal dijatuhkan, sama ada melalui tekanan demonstrasi ataupun pilihan raya 1999, maka bermakna Reformasi kini hanya terselit dalam lipatan sejarah?

Tiga bulan sebelum Anwar dipecat dan kemudiannya melancarkan Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998, saya menulis dan menerbitkan buku berjudul Layakkah Anwar Ketua Reformasi?: Mencari pemimpin berjiwa rakyat, perangi korupsi, hindari nepotisme, telus dan luhur akhlaknya.

Saya memang dilihat mencurigai keupayaan Anwar untuk menggerakkan perubahan seutuhnya memandangkan prestasi beliau dalam Umno, dan saya dikritik hebat penyokongnya.  Saya dikatakan lebih menanggapi Anwar sebagai mangsa kezaliman yang teraniaya daripada sosok seorang wira atau pejuang keadilan.

Apa pun, dalam diam, saya tetap akur dan memandang tinggi faktor Anwar, yang mampu menggembleng setiap potensi kekuatan (walaupun selama ini "berbeda kutub") untuk bersama-sama merintis perubahan. Dan buku-buku saya, susulan pemecatan Anwar cukup laris di pasaran, sehingga jumlah cetak-rompak lebih tinggi berbanding naskhah tulen!

Ya, riuh-rendah bantahan kepada Umno-BN dan regim Dr Mahathir di lapangan tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi semasa pilihan raya. Ruang memperbaiki diri dimanfaatkan (sekurang-kurangnya untuk mengubah persepsi) dalam tempoh hampir lima tahun, termasuk pengunduran Dr Mahathir menjelang PRU2004. Dan rakyat lebih tersilau dengan paparan imej penggantinya, Mr Clean, Abdullah Ahmad Badawi

"Politik Malaysia selepas 2 September 1998 tidak akan sama lagi dengan sebelumnya." Saya masih ingat kata-kata penyanyi Ito, walaupun dilafazkan sejurus kekalahan besar Barisan Alternatif pada pilihan raya Mac 2004 yang menyaksikan BN di bawah  Abdullah menang lebih 90 peratus jumlah kerusi Parlimen.

Saya tertarik dengan ungkapan Ito itu. Kemenangan luarbiasa Abdullah hanya sementara. Rakyat bersedia untuk memberi peluang kepada pimpinan baru, tetapi penghakiman mereka tetap kritis dan teropong penilaian semakin tajam. Proses pembodohan umat yang direncanakan para strategis Umno-BN tetap berjalan namun minda orang ramai kian terbuka.

Cuma, ada rakan-rakan penyokong Pakatan Rakyat agak keliru dengan situasi selepas PRU13. "Pencapaian kita jauh lebih baik berbanding PRU12 walaupun kalah di Kedah. Pakatan menang hampir semua ibu-ibu negeri. Najib Razak sendiri mengakui BN perlu bertindak proaktif dan melakukan penyesuaian sebelum disokong semula pengundi bandar. Soalnya, mengapa saya lihat ramai pemimpin dan aktivis Pakatan seperti patah semangat, hilang motivasi dan lebih bertembung sesama sendiri," kata seorang daripadanya.

"Kebimbangan saya bukan rakyat jemu dengan Pakatan tapi saya risau dengan komitmen pemimpin Pakatan untuk terus mendekati rakyat. Meningkatkan kesedaran politik orang Melayu, memahami sensitiviti dan minda terkurung mereka, terutama mengenai isu-isu kemelayuan dan keagamaan," tambahnya, separuh curiga.

"Masa depan Pakatan cerah," pintas seorang lagi rakan, "cuma takut kita terlalu mengambil mudah sehingga tidak berusaha melakukan penambahbaikan. Atau terlalu pesimis sehingga hilang semangat untuk bersaing dengan Umno-BN. Pakatan perlu tonjolkan lebih ramai pemimpin muda berketrampilan. Sampai masanya fikirkan generasi selepas Tok Guru Nik Aziz, Anwar Ibrahim, Ustaz Hadi Awang dan Lim Kit Siang."

Opps ... sebenarnya saya mahu menyinggung isu kenaikan harga petrol RON95 dan diesel (di kala rakyat menggelupur diasak kenaikan kos sara hidup), serta peningkatan hutang rasmi kerajaan daripada RM502 bilion kepada RM650 bilion. Padah buruk perbelanjaan boros kerajaan, termasuk yang bocor melalui amalan korupsi tidak terkawal, mahu dipindahkan menjadi bebanan rakyat.

Jaminan penjimatan subsidi untuk kesenangan majoriti rakyat, selain janji-janji kosong mahu meningkatkan efisiensi sistem pengangkutan awam, tidak dapat ditelan lagi. Ikrar untuk menambah bayaran saguhati BR1M dalam Bajet 2014 juga tidak dapat mengurangkan beban rakyat, selain menambahburuk lagi ekonomi negara. Apatah lagi sektor masyarakat yang tidak layak mendapat subsidi BR1M (berpendapatan lebih RM3,000 sebulan) juga terperangkap dalam lingkaran ganas kemiskinan bandar.

Mengenangkan pemilik kenderaan sanggup bergegas beratur panjang untuk mengisi tangki minyak pada malam Selasa lalu, beberapa ketika sebelum harga dinaikkan, saya tertanya-tanya apakah yang tersirat di sebalik "kesungguhan" itu ...

Lebih pelik apabila sang menteri pengguna, Hasan Malek, terus ghairah memperbodohkan rakyat apabila buat lawak-bodoh bahawa kenaikan harga minyak hanya menyebabkan peningkatan harga barangan hanya  sebanyak 0.1 peratus!

Semasa Ramadan lalu, ketika harga ayam naik, menteri sama mencadangkan agar pengguna menukar selera kepada menu selain ayam!

Exco, Adun rai empat pasangan pengantin

Muhammad Arif Ismail, 05 Sep 2013


Sallehen dan Shafie menyampaikan hadiah kepada pengantin.

BANGI: Ahli Dewan Negeri Selangor (Adun) Bangi, Shafie Ngah meraikan empat pasangan pengantin dalam satu majlis walimatulurus yang dianjurkan bersama Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi dan Pertubuhan Kebajikan Prihatian Bangi (Bangi Care), kelmarin.
Beliau berharap supaya kejayaan pelaksanaan program tersebut bakal mengubah persepsi masyarakat terhadap urusan perkahwinan yang memerlukan belanja besar dan membebankan pasangan serta keluarga mereka.

"Pihak Adun juga memberi sedikit sumbangan bagi menjayakan program ini dan kita mensasarkan 15 orang pengantin pada majlis yang bakal diadakan kelak," kata beliau ketika berucap di majlis itu.

Majlis yang julung kali diadakan itu merupakan program perintis di peringkat Dun Bangi bagi menyemarakkan lagi usaha kerajaan negeri memberi insentif sebanyak RM500 kepada belia Selangor yang berkahwin.

Inisitif tersebut diilhamkan oleh Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Serdang bagi memberi peluang kepada pihak pemimpin dan masyarakat sekitar melaksanakan tanggungjawab sosial dengan membantu meringankan beban kos majlis perkahwinan.

Dalam majlis itu seramai empat pasangan mempelai diraikan iaitu Hamizan Abdul Karim dan pasangannya, Norhaslina Zahari; Hazwan Che Muhamad dan, Nabilah Maiyidin; Mohd Nur Fahmi Nur Rajah dan Nur Farhain serta Zulhilmi Ahmad dan Nur Merza Bunguh.

Turut sama meraikan semua pasangan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi yang hadir bersama isterinya dan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.

Inikah muka-muka mampu meremajakan Umno?

http://omakkau.blogspot.com, 05 Sep 2013

INILAH MUKA-MUKA PADA PANDANGAN PEMUDA UMNO YANG MAMPU MEREMAJAKAN UMNO YANG DIAKUI SUDAH TERLALU TUA DAN UZUR!!!




Pemuda Umno akui yang Umno kini sudah terlalu tua dan uzur maka perlu peremajaan bagi memberi Umno imej ada sedikit muda dan tidak terlalu uzur sangat...

Mampukah mereka berempat saja boleh meremajakan UMNO yang kelihatan sudah terlalu tua dan uzur itu?


# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Q&A: Bagaimana cara melaksanakan puasa kafarah?

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 05 Sep 2013
Soalan;

Terima kasih atas penerangan ustaz yang cukup jelas dalam blog ilmu dan ulama (tentang kafarah kerana berjimak siang hari pada bulan Ramadan). Cuma di sini saya ada kemusykilan; Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan berpuasa dua bulan berturut-turut? Bagaimana jika kita sengaja tidak mahu berpuasa dua bulan tersebut dan mengambil jalan mudah untuk memberi makan kepada 60 orang miskin? Adakah dibolehkan? Adakah boleh untuk tidak mengikut turutan kafarah yang diwajibkan tersebut? seperti contoh: kita rasa berat untuk berpuasa dua bulan berturut-turut tanpa sebab yang kukuh, dan dengan mudah kita terus memberikan makan kepada 60 orang miskin.

Jawapan;

1.Maksud berpuasa dua bulan berturut-turut ialah berpuasa dua bulan secara berterusan tanpa selang sehari pun. Hendaklah memakai bulan Islam (Hijrah). Jika puasa dimulai dari hari pertama bulan, tamat kafarah dengan berakhir bulan kedua (bergantung kepada kenampakan hilal bagi kedua-dua bulan tersebut. Maka bilangan hari puasa mungkin 58 hari atau 59 hari atau 60 hari). Jika puasa dimulai dari tengah bulan, kekurangan hari pada bulan pertama hendaklah ditampung dalam bulan ketiga dengan menggenapkannya menjadi 30 hari. Adapun bulan kedua bergantung kepada kenampakan hilal (29 hari atau 30 hari). Jika dibuka sehari hendaklah dimulakan semula puasa dari awal sekalipun yang dibuka itu hari terakhir (iaitu hari ke 59 atau 60).

2.Menurut jumhur ulama (mazhab Hanafi, asy-Syafi‘i dan Hambali); kafarah terbabit bukanlah pilihan akan tetapi ia wajib mengikut urutan, yakni jika seseorang itu mampu melakukan yang pertama (membebaskan hamba) maka itulah yang wajib atasnya. Jika tidak mampu yang pertama, barulah pergi kepada yang kedua (berpuasa dua bulan). Jika tidak mampu yang kedua, barulah pergi kepada yang ketiga (memberi makan 60 orang miskin). Oleh sebab pada zaman ini hamba sudah tidak ada lagi, maka yang tinggal hanyalah dua; puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin ( jika tidak mampu berpuasa).

Namun menurut mazhab Imam Malik, kafarah tersebut ialah pilihan yakni tidak wajib mengikut urutan. Yang wajib adalah melakukan salah satu daripada tiga perkara tersebut.

3.Merujuk kepada soalan; maka berdasarkan pandangan jumhur, selagi mampu berpuasa tidak terus harus pergi kepada memberi makan fakir miskin. Hanya apabila tidak mampu berpuasa barulah boleh berpindah kepada memberi makan. Maksud tidak mampu ialah; dengan berpuasa menyebabkan kepayahan pada diri yang tidak terpikul pada kebiasaannya. Jika dalam tempoh dua bulan seseorang itu mendapati ia hanya mampu untuk berpuasa pada sebahagian harinya sahaja (yakni tidak mampu mencukupkan dua bulan), ia dikira tidak mampu secara keseluruhannya dan boleh terus berpindah kepada memberi makan fakir/miskin.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Q&A: Hukum bekerja/berhias wanita dalam idah

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 04 Sep 2013
Soalan;

Apakah hukum, seorang isteri yang kematian suami, berhias untuk ke tempat kerja? Saya berhias bukan berniat untuk berkahwin lain tetapi berhias untuk diri sendiri. Harap ustaz dapat memberi jawapan pada soalan saya ini.

Jawapan;

Soalan di atas merangkumi dua hukum;
1. Hukum keluar bekerja
2. Hukum berhias

Bagi hukum pertama; dibolehkan wanita yang kematian suami untuk keluar berkerja (atau untuk urusan-urusan lain yang perlu) asalkan ia pulang untuk bermalam di rumah suaminya selama masih dalam idah (4 bulan 10 hari dari tarikh kematian suami, atau hingga melahirkan anak jika ia hamil). Menurut jumhur ulama; diwajibkan ke atas isteri yang kematian suami untuk terus tinggal di rumah suaminya[1], tidak keluar darinya melainkan untuk berkerja –jika ia seorang wanita berkerjaya- atau untuk menguruskan keperluan-keperluannya. Kewajipan itu berterusan hingga tamat idahnya. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW kepada Fari’ah binti Malik RA (seorang wanita sahabat yang baru kematian suami); “Teruslah tinggal di rumahmu –iaitu rumah yang menjadi kediamanmu ketika datangnya berita kematian suamimu- sehingga berakhir idahmu. Berkata Fari’ah RA; Aku beridah di rumah itu sehingga 4 bulan 10 hari” (Musnad Imam Ahmad; 27087. Sunan Abu Daud; 2300. Status hadis; isnadnya hasan).

Bagi hukum kedua; diharamkan ke atas wanita yang kematian suami untuk berhias selama dalam idah itu. Perhiasan yang dilarang merangkumi; perhiasan diri (berinai, bersolek dan sebagainya), perhiasan pada pakaian dan juga barang-barang kemas (cincin/gelang emas atau perak, batu-batu permata dan sebagainya). Dalilnya ialah sabda Nabi SAW; “Wanita yang kematian suami; janganlah ia memakai pakaian yang dicelup dengan mu’asfar (pencelup berwarana kuning) atau misyq (pencelup berwarna merah), jangan ia memakai perhiasan (barang-barang kemas), janganlah ia mewarnai diri (*seperti berinai dan sebagainya), dan jangan ia bercelak” (Musnad Ahmad; 26581. Sunan Abu Daud; 2304. Dari Ummu Salamah RA. Status hadis; isnadnya soheh).

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda; “Janganlah wanita berkabung atas suatu kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari,[2] dan janganlah ia memakai pakaian yang dicelup (bercorak dan berwarna-warni), jangan bercelak dan jangan memakai wangian kecuali setelah bersuci dari haid; dibolehkan sedikit sahaja (untuk menghilangkan bau tidak enak pada faraj)” (Soheh Muslim; 938/66, dari Ummu ‘Atiyah RA).

Menurut ulama; maksud larangan pakaian bercelup itu ialah yang dicelup untuk tujuan menghiasnya, jadi maksud larangan itu ialah; memakai pakaian yang berhias (bercorak dan berwarna warni). Maka wanita dalam idah kematian suami hendaklah memakai pakaian yang biasa-biasa sahaja, berwarna apa sekalipun, asalkan tidak bercorak dan berwarna-warni dan tidak kelihatan tujuan untuk berhias. Tidak ditegah berpakaian elok. Tidak ada nas mewajibkan pakaian berwarna hitam atau yang mensunatkannya.

Tidak ditegah memotong kuku, membersih diri, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, menyisir rambut dan sebagainya kerana tiada dalil melarangnya. Turut tidak dilarang ialah mengemas rumah, menyembur pewangi rumah dan seumpamanya kerana yang dilarang ialah perhiasan dan wangian di badan sahaja.

Kesimpulannya; harus bagi isteri yang kematian suami untuk keluar berkerja semasa dalam idahnya, namun janganlah ia berhias.

[1] Iaitu kediamannya bersama suami ketika berlaku kematian suami. Tidak harus ia diusir keluar dari rumah itu dan begitu juga, tidak harus ia keluar dengan tindakan sendiri. Disyaratkan rumah itu sesuai didiaminya. Jika tidak sesuai didiaminya atau ia khuatir membahayakan dirinya dan anak-anaknya, harus ia keluar dari rumah itu ke rumah lain sekalipun belum tamat eddah. (lihat; Syarah Ibnu Qasim, hlm. 172).

[2] Hukum berkabung (ihdad) di atas kematian suami adalah wajib dengan ijmak ulama. Tempohnya ialah hingga tamat idah iaitu 4 bulan 10 hari bagi yang tidak hamil. Bagi yang hamil pula, hingga melahirkan anak (Tamam al-Minnah, 3/234). Adapun berkabung di atas kematian orang lain, harus sahaja hukumnya (tidak wajib). Tempohnya; tidak lebih tiga hari (Tamam al-Minnah; 3/234. Syarah Abi Qasim, hlm. 172).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Lima dosa yang mengundang lima bencana

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, 05 Sep 2013
Di penghujung usia dunia ini, pada saat akhir zaman, perkara mungkar dan maksiat yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai tanda dan alamat hampir Kiamat telah banyak dilakukan oleh manusia. Yang amat menakutkan, terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa ada beberapa jenis maksiat yang akan disegerakan balasannya semasa di dunia ini lagi.

Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW datang kepada kami (pada suatu hari) kemudian Baginda bersabda:

“Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), maka tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT, semoga kamu tidak melalui zaman itu.

Perkara-perkara itu ialah:

1.Tidak terjadi perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terangan melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Ta’un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.

2.Tidak mereka mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3.Dan tidak mereka menahan zakat harta benda, kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.

4.Dan tidaklah mereka menyalahi janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka.

5.Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Qur’an dan mereka memilih ayat atau hukum yang mereka mahu, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.”

[HR Ibnu Majah, Sahih al-Jami’ as-Soghir: 7978].

Keterangan Hadis di atas menerangkan bahawa:

1.Wabak Taun yang berjangkit dan kolera serta penyakit kelamin yang begitu banyak merebak sekarang seperti Aids, HIV adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.

2.Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan. Lalu terjadilah inflasi, barang naik harga, harga minyak naik, pendapatan tidak mencukupi, banyak pengangguran dan lain-lain kemorosotan ekonomi.

3.Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat. Sesetengah tempat, walaupun hujan turut banyak, tetapi air tidak mencukupi untuk kegunaan, iaitu hujan tidak lagi membawa berkat bahkan membawa bala bencana pula!

4.Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa-apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya kuasa ekonomi daripada tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah SWT, tidak mentaati perintah Allah. Atau bagi negara Islam lain mungkin penjajah atau pelabur asing yang akan menguasai ekonomi dan hasil kekayaan negeri. Rakyat akan merempat di bumi sendiri!

5.Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah SWTdan tidak menjadikan al-Qur’an sebagai undang-undang di dalam kehidupan. Akan berlaku perpecahan dan perbalahan, perperangan dan pembunuhan sesama sendiri berleluasa.

Semoga Allah SWT selamatkan kita semua daripada bala dan kemurkaan-Nya.

Tiada ulasan: