Selasa, 10 September 2013

RASUAH TAK DIBENARKAN OLEH ALLAH...KEDUA2 MASUK NERAKA...NEGARA AKAN ROSAK JIKA AMALAN RASUAH TAK BENTERAS

Kelantan peruntuk RM7 juta tambah kapasiti air

Rizal Tahir, 09 Sep 2013
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM7 juta bagi menambah kapasiti air daripada 64 juta kepada 75 juta liter sehari pada Oktober ini membabitkan tiga kawasan iaitu Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad, berkata dengan pertambahan kapasiti air hampir 10 juta liter, secara tidak langsung akan menyelesaikan masalah air yang berlaku di beberapa tempat.

“Walaupun ianya tidak begitu mendapat aduan yang ketara oleh rakyat berhubung masaalah air, namun kerajaan negeri melalui AKSB peringkat jajahan akan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin.

“Ketiadaan air biasanya berlaku akibat tekanan air yang rendah, jadi dengan pertambahan peralatan dan sebagainya akan menyelesaikan masaalah kekurangan air,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas mendengar taklimat sempena lawatan ke Loji Rawatan Air AKSB peringkat jajahan.

Berhubung program lawatan ke setiap jajahan pula, katanya ia dirancang  untuk menyeselesaikan masalah air di peringkat jajahan.

Menurutnya, kerana itu antara yang terlibat dalam perjumpaan itu adalah wakil rakyat, ahli parlimen, pengurus-pengurus kanan AKSB negeri, Pengurus Kanan AKSB Peringkat Jajahan.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, Adun Meranti, Datuk Mohd Nasruddin Daud, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok),  Abdul Rasul Mohamed (Bukit Tuku) dan Mohd Rozi Muhmmad (Tendong).

Ambil langkah segera tangani kejatuhan ringgit

Anis Nazri, 09 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi menstabilkan nilai mata wang Malaysia dengan campur tangan dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan inflasi.

Pakar ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaccob, berkata BNM boleh mengambil langkah untuk campur tangan dalam pasaran mata wang antarabangsa dengan membeli mata wang negara.

"Jika BNM campur tangan dalam pasaran mata wang antarabangsa, nilai mata wang kita boleh distabilkan. Sayangnya, BNM tidak berbuat apa-apa. Dan ia masih belum terlambat untuk melakukannya," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Mengulas kejatuhan nilai mata wang negara, Dr. Rosli berkata negara terpaksa membayar beban hutang dengan kadar yang lebih tinggi, khususnya jika kerajaan berhutang ke luar negara.

Katanya, walaupun hutang negara tidak bertambah, ekoran kejatuhan nilai mata wang akan menyebabkan kerajaan membayar lebih tinggi kadar pinjaman, sekaligus menyebabkan beban hutang meningkat.

Malah, kata bekas Timbalan Pengarah BNM itu, kejatuhan nilai mata wang turut memberi kesan kepada industri import, di mana Malaysia banyak bergantung ke atas industri terbabit.

"Kita banyak bergantung dengan import, khasnya makanan dan automotif. Apabila nilai jatuh, nilai import akan meningkat yang boleh menyebabkan inflasi. Apabila harga import meningkat, barangan import tersebut akan meningkat sekaligus kuasa membeli rakyat rendah kerana terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal," jelas beliau lagi.

Nilai ringgit jatuh melebihi tujuh peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap dollar dan merupakan rekod terburuk di kalangan negara Asia lain.

Bank Negara juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 ini kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan enam peratus sebelum ini.

Teguran Ku Li bukti kepimpinan Umno sarat rasuah

Hazayani Zakaria, 09 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kecaman veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terhadap pemerintahan Kerajaan Umno BN kerana gagal membendung gejala rasuah dalam pentadbiran negara menggambarkan rasuah sudah berakar umbi dalam parti itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, selagi masalah rasuah dalam kerajaan tidak dapat diselesaikan, rakyat akan terus menanggung bebannya.

"Semua orang tahu Umno korup. Veteran-veteran Umno seperti Tan Sri Muhammad Taib, Datuk Tamrin Ghafar yang menyertai PAS memang mengakui betapa busuknya Umno dengan rasuah.

"Bagaimana kita boleh laksanakan pemerintahan untuk rakyat jika pemimpin negara masih bergelumang dengan soal rasuah kerana rasuah ini berkait rapat dengan moral pemimpin," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tengku Razaleigh kelmarin bahawa amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi kerajaan dan melibatkan jumlah wang yang banyak.

Amalan rasuah kata bekas Menteri Kewangan itu, menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban khasnya dalam kenaikan harga RON 95, RON97 dan Diesel.

Menurut Mazlan juga, kenaikan harga minyak yang menyebabkan kesan berantai tidak akan berlaku jika pemimpin Umno BN benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat, bukan mengutamakan poket mereka semata-mata.

"Setiap kali berlaku kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kerajaan akan nasihatkan rakyat supaya berjimat-cermat, berhemah tapi duit terus masuk ke poket mereka dengan rasuah dan sebagainya," tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

Tambah beliau lagi, formula memastikan pemerintahan negara memberikan kebaikan kepada rakyat adalah dengan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada orang yang berintegriti dan bermoral tinggi.

"Formulanya, kepimpinan harus diuruskan oleh orang yang ahli, orang yang mementingkan integriti, bermoral dan PAS sememangnya mengamalkan pemerintahan yang berintegriti," katanya.

Ansar Baitul Maqdis mengaku serang menteri

Harakahdaily, 09 Sep 2013

MESIR: Kumpulan bersenjata Ansar Baitul Maqdis yang didakwa dari kelompok Al-Qaeda telah mengaku bertanggungjawab dalam serangan bom terhadap Menteri Dalam Negeri Sementara Mesir Muhammad Ibrahim.

Pengakuan itu dinyatakan kumpulan yang berpengkalan di Sinai tersebut dalam kenyataan di internet yang turut menjanjikan lebih banyak serangan sebagai membalas dendam tindakan keras tentera ke atas gerakan Islam di Mesir.

"Tuhan mengizinkan kami menumpaskan sistem keselamatan di kementerian dalam negeri ... melalui operasi berani mati yang dijalankan salah satu singa-singa Mesir yang membuatkan penjahat menteri dalam negeri itu melihat kematian dengan matanya sendiri, dan yang lebih dahsyat bakal menyusul," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan tersebut segaligus menjawab tomahan pihak tertentu yang menuding jari kepada kumpulan Ikhwan Muslimin sebagai bertanggungjawab dalam insiden tersebut.

Pihak kerajaan sementara kini sedang berusaha mengaikan semua insiden keganasan yang berlaku di Mesir sejak rampasan kuasa dengan Ikhwan Muslimin.

Tuduhan yang dilihat sebagai 'rekaan' oleh banyak pihak, sedang dikenakan kepada pimpinan Ikhwan yang ditangkap termasuk Mursyidul Am Dr Mohamed Badie.

Sementara itu, serangan pada siang Khamis yang lalu berlaku apabila pengebom berani mati berkereta meletupkan dirinya bersebelahan konvoi Mohamed Ibrahim ketika beliau meninggalkan rumahnya di Kaherah.

Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam serangan itu termasuk seorang pejalan kaki, namun Mohamed Ibrahim selamat kerana berada di dalam kenderaan kalis peluru.

Serangan itu turut mencederakan 20 yang lain.

Dalam kenyataan mereka juga, kumpulan tersebut mengancam akan ada serangan lain terhadap Ibrahim dan jeneral tentera Abdul Fattah El-Sisi.

Kelompok ini menyalahkan kedua pemimpin tersebut atas pembunuhan ratusan penyokong Presiden Muhammad Morsi yang digulingkan oleh tentera yang merampas kuasa pada 3 Julai lalu.

“Kami bersumpah kepada Allah untuk membalas orang-orang yang membunuh umat Islam dan menyerang kehormatan mereka, yang paling utama adalah jeneral As-Sisi dan Muhammad Ibrahim,” kata pernyataan itu.

“Kami menyerukan kepada semua umat Islam di Mesir untuk menjauhkan diri dari semua kem tentera dan kementerian dalam negeri untuk menyelamatkan nyawa mereka,” tambah pernyataan tersebut.

Berjaya Air: Inilah 'bahana' Kelantan dipimpin ulama

Harakahdaily, 09 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Disebabkan tahap 'kemiskinan' rakyat dan 'kemunduran' negeri Kelantan yang tinggi, satu syarikat penerbangan (Berjaya Air) membuat keputusan 'terpaksa' membuka laluan penerbangan baru syarikatnya melibatkan penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menerusi facebooknya, hasil tinjauan mendapati Berjaya Air akan menawarkan penerbangan pergi dan balik antara Kota Bharu-Subang sebanyak dua kali sehari (pertambahan trafik penerbangan 4 kali sehari).

Penerbangan Subang-KB ditawarkan pada jam 8.10 am dan 4.00 pm manakala penerbangan KB-Subang ditawarkan pada jam 9.45 am dan 5.35 pm setiap hari, tujuh hari seminggu.

Penerbangan rasmi pertama dijadualkan akan bermula pada 17 November 2013 dari Lapangan Terbang Subang ke Kota Bharu.

Katanya, walaupun Berjaya Air sedar bahawa telah terdapat 4 syarikat penerbangan yang telah lama beroperasi melibatkan KB-KL atau KB-Subang pada masakini, namun mungkin melihatkan faktor 'kegagalan' syarikat-syarikat terbabit di Kelantan menyebabkan mereka tertarik minat yang sama untuk mencapai 'kegagalan' di Kelantan.

Ini, ujarnya bagi menyahut seruan ramai pimpinan negara mahupun media utama negara yang banyak memaparkan betapa 'mundurnya' dan 'miskinnya' rakyat di negeri Serambi Mekah di bawah kepimpinan ulama itu.

“Di atas kesedaran itulah akan bertapaknya syarikat penerbangan ke-5 di negeri Kelantan pada tahun ini,” ujar beliau.

Ini juga, ujar Ahli Parlimen Temerloh itu sebagai bukti utama yang mengukuhkan lagi kenyataan betapa 'mundurnya' dan 'ketiadaan pembangunan' di negeri Kelantan.

“Inilah 'bahananya' apabila rakyat Kelantan terus mengekalkan kepimpinan ulamak di negeri mereka itu.

“Nah, ambik rakyat Kelantan!” ujarnya lagi.

Petroringgit: Antara transparensi dan rasionalisasi

Syahir Sulaiman, 09 Sep 2013
Pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel pada 2 September 2013, adalah sebahagian daripada senarai jangkaan implikasi ekonomi pasca PRU13 yang tercatat dalam artikel terdahulu berjudul ‘PRU13: Najibnomic Terus Berkuasa’ bertarikh 9 Mei 2013, genap empat bulan selepas ia ditulis.

Menyorot kembali implikasi kesinambungan dasar Najibnomic pasca PRU 13; dengan BN menguasai 60% kerusi, PR memenangi 52% undi; ketidakseimbangan penguasaan kerusi dan undi ini bakal melatari lanskap pembentukan dasar, polisi dan program pihak kerajaan, khususnya dalam usaha mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat dan memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara.

Beberapa permasalahan ekonomi sudah dan bakal terhasil sepanjang tempoh enam bulan pasca PRU13, natijah daripada kelangsungan pendekatan urus tadbir ekonomi negara dan khazanah petroringgit, antaranya proses timbal-balik dana politik sepanjang tempoh kempen PRU12 dengan agihan kontrak kerajaan serta perlantikan jawatan kabinet dan syarikat GLC (political funding payback); rasionalisasi subsidi, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan, dan impak inflasi (subsidy, GST and inflation); pertumbuhan KDNK, defisit dan hutang negara (GDP growth, deficit and federal debt); serta bebanan kos sara hidup dan hutang isi rumah yang kian membimbangkan (cost of living, household debt).

Putrajaya dan Petroringgit

Petronas merupakan pembayar cukai tunggal terbesar di Malaysia, dan kebergantungan negara pada sumber minyak dan gas adalah sangat tinggi dan tidak mampan. Mengikut rekod, Petronas telah menyumbang secara langsung lebih RM700 bilion kepada kerajaan (dalam bentuk royalti, dividen, cukai keuntungan dan duti eksport) sejak penubuhannya pada 1974, malah untuk lima tahun sehingga 2012, Petronas menyumbangkan secara purata RM60 bilion setahun kepada negara, bersamaan hampir 40% daripada keseluruhan pendapatan kerajaan, malah agihan dividen 61% kepada kerajaan pada akhir 2011 adalah tinggi berbanding purata dividen sektor industri minyak dan gas sekitar 38%, ditambah dengan nilai perolehan yang dilepaskan (forgone revenue) melebihi RM155 bilion sejak pengenalan subsidi harga gas di Malaysia pada 1997 (kebanyakannya disalur kepada sektor penjanakuasa bebas).

Berhadapan dengan kadar rezab minyak dan gas yang makin menyusut, Petronas dilihat tidak mampu lagi memberikan sumbangan tetap kepada kerajaan setiap tahun, dan telah menyatakan hasratnya untuk mengubah polisi agihan dividen daripada pembayaran tetap RM30 bilion setahun tanpa mengira tahap keuntungan syarikat kepada bayaran dividen 30% daripada keuntungan tahunan, di samping mendesak kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi gas kepada sektor penjana bebas yang akan memberi kesan pada kadar tariff elektrik pengguna.

Rasionalisasi dan Transparensi

Berbalik pada pengumuman rasionalisasi subsidi (baca: pengurangan subsidi) petrol dan diesel oleh pihak kerajaan pada awal September, empat bulan selepas pilihanraya dan sebulan sebelum pembentangan bajet 2014, umum dapat meramalkan ianya bakal memberi kesan terhadap bebanan sara hidup rakyat, dan dilihat sebagai jalan pintas untuk kerajaan mengurangkan kadar defisit negara, dengan memindahkan beban tanggungan subsidi petrol dan beberapa barangan keperluan asasi lain kepada rakyat, tanpa mengemukakan langkah yang konkrit untuk mempelbagaikan dan meningkatkan pendapatan negara serta menghentikan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Tindakan penurunan subsidi yang mengakibatkan kenaikan kos bahan api pengguna dibuat dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global dan serantau, penyusutan nilai ringgit berbanding matawang asing (samada Dolar Amerika bagi pelabur mahupun Riyal Saudi untuk jemaah haji), jangkaan pertumbuhan KDNK negara yang lebih rendah akibat kemerosotan nilai eksport negara, peningkatan hutang isi rumah yang disumbang oleh harga rumah dan kos sara hidup yang tinggi, di samping kerisauan pelabur dan agensi penarafan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang kerajaan yang meningkat, menuntut pihak kerajaan untuk mengambil langkah drastik bagi memulihkan keyakinan pelabur dan mempersiapkan negara bagi menghadapi sebarang risiko kelembapan ekonomi.

Kesan kepada rakyat dan pengguna dapat dilihat daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara keseluruhannya, impak daripada inflasi tolakan-kos (cost push inflation) yang menyebabkan pihak peniaga terpaksa menaikkan harga barangan bagi menampung kesan kenaikan kos, dan memindahkan beban tersebut kepada pengguna. Oleh kerana penggunaan petrol dan diesel bersifat tidak anjal (inelastic demand), adalah sukar untuk rakyat mengubah cara hidup apabila berhadapan dengan situasi kenaikan harga kerana pilihan yang ada untuk kelangsungan hidup adalah terhad.

Polemik yang berbangkit daripada rasionalisasi ini adalah terhadap tahap transparensi dana petroringgit. Malaysia mengambil pendekatan ‘memilik-negarakan’ sumber minyak dan gas dengan penguatkuasaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974) dengan memberikan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia kepada Petronas (Seksyen 2), tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya perlu (Seksyen 3). Sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang diberikan padanya, Petronas hendaklah membuat pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang berkenaan (Seksyen 4), dan adalah menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya (Seksyen 5).

Dengan menghormati hasrat dan tujuan asal penggubalan akta ini, penulis berpendapat sudah tiba masanya untuk akta ini dikaji semula dan pelaksanaannya diperhalusi dengan teliti bagi merungkai persoalan berkaitan transparensi sumber minyak dan gas negara, sebagaimana disarankan oleh beberapa individu dan NGO berkaitan. Antara rekomendasi yang diberi adalah dengan meminda kebertanggungjawaban Petronas secara mutlak di bawah Perdana Menteri kepada institusi tertinggi rakyat iaitu Parlimen, menjamin ketelusan dalam pembayaran royalti kepada negeri-negeri, khususnya Kelantan, dan memastikan perbelanjaan dan pendapatan Petronas diurus secara profesional dan berintegriti tinggi.

Sebagaimana rezab minyak dan gas negara kian menyusut dan tidak berganti (depleting resources), begitulah juga kedudukan rezab petroringgit kepada negara. Di sebalik rasionalisasi yang diberi, ia menuntut kepada transparensi yang tinggi.

*Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: