Selasa, 10 September 2013

JANGAN APA YANG DIGUBAL HANYA NAK KIRA UNTUNG SENDIRI JE

5 jam TG Nik Aziz di Institut Pemikiran Tok Guru

Harakahdaily, 09 Sep 2013

KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam memulakan tugasnya di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Kota Darul Naim.

Beliau selaku Penasihat dan Murabbi IPTG dilihat memasuki pejabat di aras bawah blok Dewan Undangan Negeri itu kira-kira jam 9 pagi disambut Pengarah IPTG, Dr Che Samsudin Mohamed Noor dan kakitangan lain.

Pengawal Peribadinya, Zakaria Deraman ketika dihubungi Harakahdaily berkata, Tok Guru berada di situ hampir lima jam sebelum pulang ke rumah selepas Zohor.

"Dia lakukan rutin sepertia biasa, sama macam sewaktu di pejabat MB dulu la. Dia solat Dhua, kemudian baca surat khabar dan kemudian meneliti beberapa dokumen dan nota.

"Lepas itu ada sedikit perbincangan dengan pengarah IPTG, dan lepas Zohor kita bawa dia pulang ke rumah untuk beliau berehat" katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatan Tok Guru semakin baik dan boleh dilihat dengan kehadirannya dalam beberapa program sebelum ini.

Ianya termasuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu pagi Jumaat lalu, dan memenuhi jemputan mentahnik anak kecil di majlis aqiqah di rumah bekas Setiausaha Sulit beliau pada hari sama.

"Alhamdulillah, kesihatannya semakin baik dan minggu ini mungkin banyak lagi program yang beliau akan hadiri," katanya.

Semalam adalah kali kedua Tok Guru memasuki pejabatnya. Kali pertama beliau melawat pejabat ini adalah pada 4 september lalu.

IPTG adalah projek yang dicetuskan oleh Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob selepas menggantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai ketua kerajaan negeri.

Ianya dipengerusikan Menteri Besar sendiri dan berperanan sebagai sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.

Selain itu, ianya juga berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan.

Husam Musa angkat sumpah Adun Rabu ini

Rizal Tahir, 09 Sep 2013
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa dijangka mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan pada persidangan khas Dun Kelantan Rabu ini.

Speaker, Ustaz Abdullah Ya’kub berkata, Adun Salor telah mengesahkan kehadiran bagi mengangkat sumpah pada persidangan khas itu bagi membincangkan usul mengenai pergolakan di Mesir dan Syria.

“Dewan telah mendapat maklum daripada Datuk Husam dan beliau akan hadir serta mengangkat sumpah pada persidangan tersebut,” ujarnya di sini.

Pada majlis angkat sumpah pada persidangan pertama penggal ke-13 Jun lalu Husam tidak hadir kerana berada di luar negara.

Abdullah juga berkata, persidangan khas Dun terbabit bertujuan melahirkan rasa simpati kerajaan Kelantan ke atas apa yang terjadi di Syria dan Mesir.

“Menteri Besar akan mengusulkan kepada Dun bagi melahirkan rasa simpati dan sedih ke atas rakyat Syria dan Mesir sekarang.

“Selepas ketetapan diambil Dun Kelantan, kami akan panjangkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya.

Difahamkan juga persidangan Dun bagi membentang Belanjawan Kelantan 2014 dijangka diadakan pada 7 Oktober hadapan.

Dua YDP baru, dua kekal dalam pemilihan di Pahang

Khairil Abdul Rahim, 09 Sep 2013
TEMERLOH: Mesyuarat agung PAS tiga kawasan di Pahang yang telah berlangsung menyaksikan dua Yang Dipertua (YDP) kawasan kekal iaitu Temerloh dan Bera manakala PAS Kawasan Rompin dan Maran mendapat YDP yang baru.

Di Temerloh, tiga jawatan tertinggi dipertandingkan dengan YDP selama dua penggal Md. Jusoh Darus, kekal. Dalam mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang Ustaz Idris Ahmad itu, menyaksikan Hassanuddin Salim mengekalkan timbalan YDP.

Turut dipilih ialah Hassan Omar sebagai NYDP Kawasan yang baru. Mesyuarat berlangsung di Darul Amin, Sungai Gau.

Di Bera, penyandang Sulaiman Mohamad dan Musaniff Abdul Rahman masing-masing kekal bagi jawatan YDP dan Timbalan YDP tanpa bertanding. Manakala Abdul Hasim Ahmad dipilih perwakilan sebagai Naib YDP.

Mesyuarat dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena di Darul Ikhwan, Mengkarak.

Di Rompin Timbalan YDP sesi lalu Mazlan Mohamad Yasin dipilih bagi jawatan YDP, timbalan pula dimenangi muka baru iaitu Wan Khalid manakala Hanafiah kekal sebagai naib.

Mesyuarat dirasmikan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak, Ustaz Zaharudin Muhammad dan berlangsung di Markas PAS Keratong 10.

Di Maran, TYDP sebelum ini Hasnan Haron mengisi jawatan YDP yang dikosongkan oleh Tuan Guru Mohd Baqi Othman. Ramli Abdul Rahman pula dipilih sebagai timbalan manakala Ketua Pemuda sesi lalu Ustaz Khairul Azmi Ismail Al-Hafiz dipilih sebagai naib.

Mesyuarat dijalankan di Dewan Orang Ramai Felda Jengka 4, dirasmikan oleh Datuk Mahfuz Omar.

Sehingga kini, lima PAS Kawasan di Pahang telah bermesyuarat termasuk Lipis pada minggu lalu. Semua kawasan dijangka selesai bermesyuarat penghujung bulan ini.

Pemimpin mewah, pegawai bawahan disuruh berjimat

Harakahdaily, 09 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengingatkan bahawa menyeru kakitangan agensi kerajaan supaya berjimat cermat hendaklah dicontohi terlebih dahulu oleh pemimpin kerajaan di peringkat atasan.

“Tidak ada gunanya seruan kepada pegawai bawahan supaya berjimat cermat dikeluarkan, padahal pegawai di peringkat tertinggi berbelanja mewah,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Justeru, beliau mengalu-alukan pengumuman oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa supaya semua agensi kerajaan mengurangkan perbelanjaan masing-masing.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa dasar berbelanja berjimat cermat dalam perbelanjaan kerajaan hendaklah menjadi dasar yang kekal.

Arahan berjimat cermat sepatutnya menjadi komponen yang integral dalam prosedur berbelanja dalam agensi kerajaan, tidak perlu menunggu sehingga keadaan kewangan menjadi terdesak.

Kami menegaskan seruan berjimat cermat kepada semua agensi kerajaan tidak boleh bermusim atau ketika kewangan kerajaan menghadapi krisis.

Pengumuman oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa supaya semua agensi kerajaan mengurangkan perbelanjaan masing-masing sangat dialu-alukan.

Akan tetapi hal ini sudah beberapa kali diulang  ketika kerajaan berhadapan dengan masalah defisit yang semakin membesar dan hutang negara dan hutang domestik terus meningkat. Malangnya arahan ini hanya menjadi retorik yang tidak mempunyai kesan.

Kami mendapati seolah-olah seruan berjimat ini hanya dilakukan ketika keadaan kewangan terhimpit padahal berjimat adalah prinsip yang sepatutnya kekal menjadi prosedur yang tetap dan berterusan di semua peringkat.

Terlalu banyak tabiat berbelanja oleh agensi kerajaan yang tidak dikawal dengan rapi. Kerap berlaku perbelanjaan berlebihan dikeluarkan kerana ada arahan dari pihak atasan sedangkan pegawai pelaksana tahu bahawa ada perkara yang tidak perlu dibeli atau dibelanja.

Kami tidak faham apakah sebenarnya mekanisme perbelanjaan yang ditetapkan oleh kerajaan. Prosedur yang ditetapkan oleh perbendaharaan sepatutnya sudah cukup untuk mengenalpasti bahawa perbelanjaan membazir di luar prosedur tidak boleh dilakukan.

Malah sistem pengesanan pembaziran juga sepatutnya dapat dikenalpasti lebih awal di semua peringkat agensi kerajaan.

Sebenarnya terlalu banyak pembaziran yang dapat dikesan oleh Audit Negara. Seperti dalam laporan tahunan Audit Negara mendedahkan perbelanjaan banyak agensi kerajaan yang tidak rasional semada dalam pembelian dan juga dalam urusan perbelanjaan keraian kerajaan.

Malah berlaku kemudahan kerajaan disalahguna untuk urusan parti politik dan menghabiskan wang kerajaan untuk menyambut pelbagai acara politik atas nama acara agensi kerajaan.

Kami ingin mengingatkan dasar jimat cermat tidak boleh menjadi retorik kosong hanya untuk menyedapkan telinga rakyat. Padahal amalan bermewahan dalam berbelanja dipelbagai agensi kerajaan sangat ketara.

Kerajaan bertanggungjawab memastikan semua perbelanjaan mengikut prosedur yang ketat dan rapi. Ia meliput perbelanjaan dari sekecil seperti berjimat dalam penggunaan kertas, penggunaan telefon  sehingga soal membawa pegawai ke luar negara.

Kami mendapati menjadi kelaziman acara sambutan dan program rasmi yang dianjur oleh kerajaan sering mewah dan membazir. Tidak logik acara sambutan hanya untuk menerima lawatan seorang menteri terpaksa berbelanja mewah.

Kami menuntut supaya kesederhanaan dijadikan suatu dasar yang rasmi dalam semua acara kerajaan. Mekanisme membanteras ketirisan dalam perbelanjaan hendaklah dikuatkuasakan dengan bersungguh-sungguh.

Kami mengesa supaya kerajaan menilai semula semua rancangan projek mega yang akan menyebabkan hutang kerajaan meningkat. Kajian semula rasional dan keperluan projek-projek tertentu yang hanya bersifat simbolik hendaklah dilaksanakan.

Kami juga mengingatkan bahawa menyeru kakitangan agensi kerajaan supaya berjimat cermat hendaklah dicontohi terlebih dahulu oleh pemimpin kerajaan di peringkat atasan. Tidak ada gunanya seruan kepada pegawai bawahan supaya berjimat cermat dikeluarkan, padahal pegawai di peringkat tertinggi berbelanja mewah.

Kesan berangkai kenaikan minyak mangsakan rakyat

Harakahdaily, 09 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Walaupun para pemimpin kerajaan BN  mendakwa kenaikan harga Ron95 dan diesel sebanyak 20 sen mendatangkan kesan minimum kepada harga barang keperluan harian, namun pandangan ini tidak dikongsi khalayak ahli perniagaan.

Pengarah Urusan Daya Fikir Solutions, Hashim Ahmad Shiyuti membangkitkan 'kesan domino' (kesan berangkai) kenaikan harga minyak terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

Menurut beliau, kesan berangkai kenaikan harga minyak terhadap harga barangan dan perkhidmatan ini lebih membabitkan kos pengangkutan.

"Kenaikan harga petrol Ron95 dan diesel sebanyak RM 0.20 akan memberi kesan kepada harga barangan lain  terutama yang memerlukan pengangkutan dari satu tempat ke tempat yang lain," jelas beliau.

Harga barangan juga, jelas beliau akan meningkat jika kos pengeluaran bertambah.

Pertambahan kos pengeluaran ini akhirnya akan ditanggung pembeli atau pengguna.

"Selain itu harga barangan juga akan meningkat disebabkan ada peniaga yang menangguk di air keruh. Tiada siapa yang dapat memberi jaminan bahawa seluruh peniaga adalah insan yang beretika dan amanah.

"Akan ada mereka yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menaikkan harga walaupun peningkatan petrol tiada kaitan di dalam penghasilan produk atau servis yang dikeluarkan.

"Yang teraniaya ialah pengguna akhir dan mereka yang tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli dengan harga yang tinggi," jelas beliau.

Hashim turut membangkitkan fenomena "peningkatan harga secara global di peringkat lokal" akibat kenaikan harga minyak.

Ini jelasnya berlaku apabila peningkatan harga barangan dan perkhidmatan tidak sejajar dengan pendapatan rakyat mengakibatkan kuasa beli pengguna menurun sekaligus meningkatkan inflasi nasional.

Mengulas lanjut tentang kesan domino hasil kenaikan harga minyak, Hashim berkata, peningkatan harga yang bermula sebanyak 20 sen pada petrol akan dipindahkan kepada peningkatan kos pengangkutan yang melibatkan hampir semua peringkat pengeluaran.

"Peningkatan kos pengeluaran akan memberi kesan kepada margin keuntungan dan semestinya syarikat tidak akan menanggungnya secara sendirian. Sebaliknya, mereka akan memindahkan kos tersebut kepada pelanggan.

"Kombinasi kos-kos di semua peringkat ini semestinya memberi kesan berganda kepada pengguna akhir. Bayangkan, sekiranya kos pengangkutan bagi setiap barangan dinaikkan sebanyak 3 peratus bagi setiap peringkat dan sesuatu proses pengeluaran itu akan mengambil minimum empat peringkat, maka jangkaan nilai berganda adalah sekitar 12 peratus (3% x 4 peringkat = 12%)," jelas lulusan Sarjana Perbankan Islam itu.

Menurut beliau, walaupun rakyat perlu memberi sokongan terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan terutama apabila negara berada di ambang kegawatan ekonomi, namun banyak kaedah lain yang boleh digunakan kerajaan seperti berjimat cermat; menilai subsidi yang diterima syarikat korporat seperti pengeluar tenaga bebas (IPP); dan menaik taraf mutu dan kawalan kewangan negara bagi membanteras pembaziran.

"Pemilihan mangsa pengurangan subsidi nampak sedikit tempang. Masyarakat umum sepatutnya tidak menjadi pilihan utama untuk dikorbankan. Pihak kerajaan perlu mencari alternatif-alternatif lain sebagai perisai sebelum tubuh dan jasad rakyat menjadi pilihan," tegas beliau.

MBSA sasar 100 polis bantuan menjelang 2014

Selangorku, 09 Sep 2013
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri bagi penubuhan Polis Bantuan dengan seramai 100 orang anggota bagi mempertingkatkan tahap keselamatan bandar raya itu menjelang 2014.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata daripada sejumlah itu seramai 30 orang akan ditempatkan menjaga trafik, 30 orang bagi menjaga aset-aset MBSA dan 40 orang akan membuat rondaan keselamatan bersama pihak Polis.

“Penubuhan Polis Bantuan ini kita akan masukkan dalam Belanjawan MBSA untuk 2014 ini agar Shah Alam menjadi bandaraya yang lebih selamat dan selesa.

“Dengan harapan bahawa ini ia dapat mempertingkatkan tahap keselamatan dan kelesaan warganya,” kata Mohd Jaafar semasa Program Zon Bersih MBSA di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 di sini.

Dalam majlis itu, perjanjian persefahaman (MOU) turut ditandatangani antara Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mokhtar Hani mewakili MBSA dan Pengarah Urusan Close Loop, Muhammad Iqbal Baharum untuk memperkasa aktiviti kitar semula di kalangan warga kota Shah Alam.

Kerjasama ini menumpukan usaha bersepadu mendidik masyarakat agar menjadikan kitar semula sebagai amalan seharian.

Menurut Mohd Jaafar, prorgam dikenali “Recycle & Reward” berkehendakan penduduk mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula yang akan dikutip pihak Close Loop dari rumah ke rumah menggunakan guni khas.

“Semua pungutan akan direkodkan melalui sistem data yang dibangunkan pihak Close Loop dan hasil pungutan penduduk akan diberikan mata ganjaran yang boleh ditebus dengan kupon dan baucar untuk membeli belah,” kata beliau.

Program itu dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim yang turut dihadiri Adun Kota Anggerik Dr Yaakob Sapari.

Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada warga MBSA menyertai aktiviti gotong royong bagi memperindahkan kawasan Seksyen 4.

Tiada ulasan: