Selasa, 10 September 2013

MESYUARAT ITU PENTING DALAM JEMAAH YANG DIDAFTAR...HADIR DIMAJLIS ILMU DAN HADIR DALAM USRAH LAGI PENTING

Ambil tindakan kepada Zainuddin, Fuad dan Utusan

Harakahdaily, 09 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah mengarahkan para peguam mengambil tindakan perundangan terhadap Zainuddin Maidin, Fuad Zarkashi dan Utusan Malaysia untuk membersihkan namanya daripada semua pembohongan berkaitan 13 Mei 1969.

Namun, rakyat Malaysia dan perwakilan Umno sendiri perlu bertanya kepada diri mereka apakah mereka hendak membenarkan penyebaran pembohongan dan hasutan berunsur perkauman menjejaskan usaha pembinaan bangsa Malaysia.

Ini semata-mata kerana mereka percaya bahawa ia adalah cara yang paling dapat menjamin undi yang tinggi dan pengaruh meluas dalam pemilihan parti Umno yang bakal menjelang.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Kebelakangan ini media Umno dan media sosial, termasuk facebook, twitter, dan blog, dibanjiri pembohongan dan hasutan berasaskan perkauman. Keadaan ini menimbulkan persoalan:

Apakah penyebaran pembohongan dan hasutan berunsur perkauman, tanpa mengambil kira kesannya terhadap usaha pembinaan bangsa Malaysia, adalah cara yang paling dapat menjamin undi yang tinggi dan pengaruh meluas dalam pemilihan parti UMNO yang bakal menjelang?

Dua hari lalu, akhbar rasmi UMNO Utusan Malaysia telah menerbitkan satu laporan yang memuatkan tuduhan bekas timbalan menteri UMNO Dr. Mohd Fuad Zarkashi yang menyebut bahawa kritikan DAP terhadap filem “Tanda Putera” “semata-mata ingin menyembunyi kebiadapan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang bertindak kencing di depan rumah Menteri Besar Selangor ketika peristiwa 13 Mei 1969.” (Utusan Malaysia 7.9.13 hal.13)

Mengapa seorang bekas menteri UMNO sanggup mengeluarkan kenyataan yang sedemikian palsu, tidak bertanggungjawab, dan penuh pembohongan, serta mengapa pula Utusan Malaysia sanggup menerbitkannya?

Saya tidak berada di Kuala Lumpur sepanjang tempoh terjadinya 13 Mei 1969 dan pengarah filem Tanda Putera Datin Paduka Shuhaimi Baba pula telah menyatakan yang adegan kencing dalam filem tersebut adalah rekaan beliau yang menggunakan “lesen kreatif” untuk mengkhayalkan babak rusuhan kaum 13 Mei 1969!

Ini bukan kejadian terpencil, memandangkan kebelakangan ini telah banyak pembohongan dan dusta disebarkan menerusi media UMNO dan media sosial, termasuk catatan dalam blog bekas menteri penerangan Zainuddin Maidin pada hari Selasa lepas (3 September 2013) yang menuduh saya terlibat mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dengan katanya, “Racun yang mereka semai telah membunuh.”

Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Zainuddin, Fuad, dan Utusan Malaysia untuk membersihkan nama saya daripada semua pembohongan ini. Namun, rakyat Malaysia dan perwakilan UMNO sendiri perlu bertanya kepada diri mereka apakah mereka hendak membenarkan penyebaran pembohongan dan hasutan berunsur perkauman menjejaskan usaha pembinaan bangsa Malaysia semata-mata kerana mereka percaya bahawa ia adalah cara yang paling dapat menjamin undi yang tinggi dan pengaruh meluas dalam pemilihan parti UMNO yang bakal menjelang!

Saya telah berulangkali menyebut bahawa saya tidak berada di Kuala Lumpur semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969 berlaku, tetapi nampaknya hakikat dan kebenaran tidak mempunyai makna di mata para pemimpin dan juru propaganda UMNO yang bersungguh-sungguh hendak menyebarkan pembohongan bahawa saya telah mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei 1969 dengan mereka-reka cerita tentang peranan saya dalam perarakan jalanan pada 11, 12, dan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur serta mereka-reka cerita saya kencing pada tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor.

Enam sebab mengapa saya tidak mungkin terlibat mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei 1969:

Sekurang-kurangnya ada enam perkara yang membuktikan bahawa tidak mungkin saya boleh mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969.

Pertama, saya tidak bertanding untuk mana-mana kerusi di Kuala Lumpur atau Selangor pada pilihanraya umum 1969 yang lalu, sebaliknya saya bertanding untuk kerusi parlimen Bandar Melaka.

Kedua, saya tidak berada di Kuala Lumpur selepas pilihanraya umum 10 Mei 1969, sebaliknya ketika itu saya berkempen di Kota Kinabalu untuk seorang calon bebas bagi kerusi parlimen, kerana pilihanraya umum di Sabah untuk tahun 1969 diadakan selepas pilihanraya di Semenanjung pada 10 Mei 1969.

Ketiga, jika saya yang menyebabkan rusuhan kaum 13 Mei 1969, sudah tentu saya tidak akan berani balik ke Kuala Lumpur dari Sabah, apatahlagi jika benar bahawa saya yang telah melaungkan slogan-slogan anti-Melayu dalam perarakan jalanraya di Kuala Lumpur dan telah kencing pada tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor.

Keempat, jika benar saya yang menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969 dengan melaungkan slogan-slogan anti-Melayu dalam perarakan jalanraya di Kuala Lumpur dan telah kencing pada tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor, sudah tentu dulu lagi saya telah dituduh dan didakwa di mahkamah, kerana pelaku perbuatan jijik sedemikian tidak mungkin dilepaskan begitu saja!

Kelima, jika saya adalah pencetus rusuhan tersebut, tentu saya tidak akan meminta, sejak 44 tahun lalu sehingga sekarang, supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasa kejadian 13 Mei 1969 bagi mengenalpasti sebab dan dalangnya.

Keenam, saya juga tentu tidak akan menulis surat kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dari Pusat Tahanan Muar pada 5 Ogos 1969 untuk meluahkan “kegelisahan tentang masa depan Malaysia” dan mengemukakan tiga cadangan untuk mengukuhkan perpaduan nasional berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Seperti yang saya sebutkan dalam surat saya kepada Tunku:

“Sejak awal lagi selepas kekacauan 13 Mei, DAP telah menawarkan bantuan untuk memulihkan keamanan dan keharmonian.

“Saya sendiri, pada 17 Mei, telah sempat mengemukakan tawaran dan kesanggupan yang sama bagi pihak parti saya dalam sebuah sidang akhbar di Singapura, sebelum saya pulang ke ibu kota Malaysia dari Sabah dan sebelum ditangkap.”

Tiga cadangan yang saya kemukakan itu ialah:

(1) Agar Parlimen bersidang dengan segera untuk (a) membolehkan semua Ahli Parlimen menegaskan sokongan mereka terhadap konsep dan ideal toleransi, persefahaman dan kemajmukan kaum; dan (b) memulihkan keyakinan rakyat terhadap proses demokratik dan menafikan peluang Parti Komunis Malaya untuk menangguk keuntungan politik daripada kekacauan tersebut.

(2) Penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat sebab-sebab terjadinya kekacauan 13 Mei serta menangkap dan menghukum para dalangnya; dan

(3) Penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti semua masalah perkauman di Malaysia dengan tujuan merumuskan penyelesaian jangka panjang.

Kita perlu menimba pengajaran daripada tragedi 13 Mei 1969 agar Malaysia dapat menjadi negara yang lebih bersatu, berjaya, serta makmur, dan bukannya menyelewengkan sejarah dan fakta-fakta tentang peristiwa tragis yang berlaku 44 tahun lalu itu untuk menangguk keuntungan politik demi mendapatkan undi yang lebih tinggi dan meraih pengaruh lebih besar dalam pemilihan parti UMNO yang bakal menjelang.

Jimat: Selesaikah masalah potong elaun menteri?

Muhammad Faizal, 09 Sep 2013
KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin mempersoalkan adakah cadangan memotong elaun menteri mahupun pemimpin Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat sebagai satu langkah terbaik untuk penjimatan ekoran kenaikan harga minyak sebelum ini.

Beliau ketika ditemui Harakahdaily di pejabatnya memberitahu Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah untuk mengambil tindakan tersebut tetapi tidak yakin ia dapat menyelesaikan masalah tersebut.

"Kita tidak ada masalah untuk turut sama memotong elaun, tetapi kita perlu persoalkan adakah ia dapat menyelesaikan masalah penjimatan berhubung dengan kenaikan harga minyak.

"Kerajaan perlu memikirkan satu pendekatan jangka panjang, bukannya berfikir untuk tempoh singkat. Perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut," jelasnya.

Katanya lagi, apabila timbul kenaikan harga barangan akibat kemaikan harga minyak, maka elaun akan dipotong dan adakah apabila ada kenaikan lain selepas ini cadangan yang sama diutarakan.

"Harga minyak naik kita cadangkan potong elaun, tapi saya dengar kertas kerja cadangan menaikkan harga tarif elektrik sudah ada, hanya menunggu kelulusan, adakah kita akan potong elaun lagi.

"Sampai bila kita nak potong elaun, memang kita hendak turut sama merasai penderitaan rakyat tetapi tindakan untuk merasai beban rakyat bukan dengan memotong elaun sebaliknya mencari jalan lain untuk menambah pendapatan negara, bukan cara mengurangkan subsidi dan mengambil dari poket rakyat," sambung beliau.

Lajim yang meminta agar kerajaan lebih peka dalam soal bebanan yang ditanggung rakyat.

Katanya, banyak perbelanjaan sektor ataupun subsidi yang boleh dikurangkan melibatkan syarikat-syarikat besar serta menangani ketirisan dalam projek mega dan bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa.

Jangan masuk PAS untuk cari peluang - Mahfuz

Khairil Abdul Rahim, 09 Sep 2013

Mahfuz menyerahkan cenderamata kepada Tuan Guru Mohd Baqi yang melepaskan jawatan YDP.

MARAN: “Jangan masuk PAS hanya untuk mencari peluang, tetapi carilah peluang untuk membantu perjuangan PAS. Jangan masuk PAS kerana mencari habuan, tetapi carilah habuan untuk membantu PAS,” kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu menyatakan demikian kepada kira-kira 300 perwakilan sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Maran kali Ke-33 semalam di Dewan Orang Ramai Felda Jengka 4, di sini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, walaupun terasa penat selepas tewas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu ataupun tidak berjaya memerintah Putrajaya, namun perjuangan mesti diteruskan.

“Anggaplah PRU ibarat R&R (rawat dan rehat) iaitu tempat persinggahan, bukan perhentian. Kita mesti teruskan perjalanan yang panjang iaitu menuju destinasi mardhatillah,” tegasnya.

Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, walaupun PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) belum berjaya memerintah Putrajaya pada PRU lalu namun dapat lihat keresahan pemimpin Umno dengan keputusan tersebut.

Tambahnya, kejayaan mereka  bukannya daripada sokongan tulen daripada pengundi Melayu tetapi sokongan Melayu hanya kesan dan berdasarkan kepada ketakutan akibat kempen-kempen perkauman oleh Umno.

“Propaganda dan kempen jahat membuatkan rakyat dibayangi rasa  takut akibat disogokkan dengan dengan kempen perkauman melampau kalau PR menang kononnya negara akan terlepas kepada bangsa asing.

“Saya percaya orang Melayu mulai sedar mereka tertipu. Sebab itulah kita dapat lihat Ketua Wira Perkasa yang meminta (Datuk Seri) Najib meletak jawatan Perdana Menteri yang didakwanya gagal. Begitu juga dengan Tun Dr Mahathir yang tidak henti-henti menyerang Najib,” ujarnya.

Katanya, keadaan ini kontradik dengan apa yang berlaku sebelum PRU.

Justeru, Mahfuz mahu mulai sekarang orang Melayu perlu diberi pendidikan politik supaya mereka tidak mudah ditipu dan di sinilah PAS perlu berperanan.

“PAS perlu diperkuatkan bagi menjadi benteng kekuatan umat Islam di rantau ini sehingga agama Allah terus dijunjung dan akhirnya dimartabatkan. Sentiasalah meremajakan PAS supaya terus relevan dan diterima oleh generasi baru,” katanya.

Salahkah bantu pelajar bukan Melayu miskin?

Harakahdaily, 09 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Para pemimpin Umno disaran tidak cepat melatah dengan mengecam saranan untuk memberi peluang mendapatkan pendidikan khususnya bagi pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga miskin.

Ahli Parlimen Raub, Dato' Mohd Ariff Sabri, berkata kecaman melulu beberapa pemimpin Umno terhadap Setiausaha Politik Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud amat dikesali.

Dyana yang sedih terhadap nasib teman bukan Melayu  yang miskin dan gagal melanjutkan pelajaran mencadangkan mereka dibantu.

"Sudahkah mereka ini membaca dan faham apa yang Dyana Sofya maksudkan? Dia hanya menceritakan kesedihannya melihat teman bukan Melayu yang miskin dan tidak dapat melanjutkan pengajian.

"Adakah pemimpin Umno tidak ada perasaan sedih melihat orang miskin? Mungkin kerana tidak ada perasaan sedih inilah, maka hari ini kita lihat ada 10 juta orang Melayu berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah!," ujar Mohd Arif  ketika dihubungi Roketkini.com, hari ini.

Mohd Ariff menambah, orang Melayu mesti menerima kenyataan bahawa bukan semua orang Cina dan bukan Melayu itu kaya dan berkemampuan.

"Jika dilihat dalam kawasan saya, bila masuk ke kampung baru Cina seperti Kampung Baru Sempalit,  Sungai Ruan,  Sungai Lui,  Cheroh,  Sang Lee,  Teras dan Sungai Chetang, kita akan dapat lihat ramai orang Cina yang miskin.  Anak mereka tidak menyambung pelajaran pun. Kepada mereka yang seperti ini,  siapa lagi mereka boleh memohon bantuan dan berharap? Di sinilah peranan kerajaan amat penting,” tegas beliau.

Sebelum ini, Dyana Sofya yang juga graduan jurusan undang-undang UiTM memberi pandangan supaya sebuah institusi seperti UiTM turut diwujudkan untuk bukan Melayu yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran.

Kenyataan Dyana itu disalah tafsir dan mendapat kecaman melulu beberapa pemimpin Umno termasuk Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sehingga menuduh Dyana Sofya sebagai seorang Melayu yang tidak kenal sejarah dan menjadi alat DAP.

Dyana ketika dihubungi Roketkini.com berkata, pandangan beliau itu berpijak kepada realiti dan harus dilihat daripada sudut positif dan matang.

"Alangkah baik jika wujud sebuah institusi yang mempunyai tujuan sebaik UiTM yang membantu pelajar miskin dan tidak berkemampuan dan ia terbuka untuk mereka yang layak tanpa mengira bangsa.

"Kontroversi itu adalah salah faham dan mainan politik semata-mata dan saya tidak pernah kata untuk buka UiTM kepada bukan Bumiputera. Kenapa pemimpin Umno begitu cepat melatah?,” soal Dyana Sofya.

Kajian lengkap projek baru Lebuh Raya Rakyat siap

Aslani M, 09 Sep 2013
KOTA BHARU: Penantian rakyat Kelantan untuk melihat Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bakal menjadi kenyataan selepas mendapat komitmen penuh syarikat dari Emeriah Arab Bersatu.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sebuah konsultan, Ecobound Sdn Bhd dengan kerjasama Emirates House Group sudah menyampaikan kajian lengkap mengenai projek tersebut.

“Kita akan putuskan secara rasmi dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri tidak lama lagi selepas mendapat maklumat awal cadangan projek.

“Selain itu aspek pembiayaan turut dibincang bagi mendapat kerjasama Bank Pembangunan Asia (IDB).

“Berdasar kepada taklimat mereka 5 September lalu perkembangannya cukup positif. Jadi kita berharap ia sebagai suatu kejayaan,” katanya di sini.

Lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu sepanjang 68 km dirancang kerajaan negeri ekoran projek berkenaan dipinggirkan kerajaan pusat sejak 1986.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad memberitahu kerajaan negeri melantik konsultan baru pada 26 Julai lalu bagi menyediakan kertas cadangan projek berkenaan.

Menteri Besar berkata, laporan terperinci daripada Ecobound telah disampaikan kepada kerajaan negeri.

“Projek berkenaan akan diteruskan melalui sistem wakaf. Insya-Allah projek tersebut akan dimulakan semula tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada projek Lebuh Raya Rakyat,” ujarnya.

Pembinaan Lebuh Raya Rakyat telah dimulakan awal tahun ini di tapak Bukit Bakar, Machang. Bagaimanapun kerja-kerja awal tertangguh ekoran syarikat lama menarik diri.

Mesyuarat Agung PAS Bukit Bintang, 26 Sept

Harakahdaily, 09 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Bukit Bintang akan mengadakan Mesyuarat  Agung Tahunannya pada 26 September akan datang, kata Yang Dipertuanya, Mohd Radzi Hashim.

Ketika menghubungi Harakahdaily, Radzi menjemput semua ahli PAS kawasan untuk hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat yang bakal berlangsung di Dewan Seminar Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (Kuizm) bermula jam 9.30 malam.

Mesyuarat agung tersebut, jelas Radzi akan dirasmikan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Mesyuarat agung pemilihan bagi PAS kawasan seluruh negara berlangsung dari 12 Ogos hingga 30 September akan datang setelah semua PAS cawangan selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan dari 25 Mei hingga 15 Julai lalu.

Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama negeri pula akan mengadakan mesyuarat agung bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober manakala muktamar dewan-dewan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan dengan Selangor sebagai tuan rumah.

Tiada ulasan: