Rabu, 11 September 2013

MUNGKIN ELOK PILIH YANG ASLI DAN TIDAK MENYERUPAI

Jenayah: Usah jadikan ISA, EO sebagai alasan

Harakahdaily, 11 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan khususnya Polis Di Raja Malaysia (PDRM) perlu mencari satu kaedah berkesan bagi menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, berkata tindakan menyalahkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) tidak akan menyelesaikan masalah.

Bahkan katanya, sebelum ianya dimansuhkan, Malaysia masih juga pada tahap keselamatan yang membimbangkan.

"Justeru, suatu mekanisme dan kaedah membenteras kejadian jenayah yang semakin membarah ini harus diperkenalkan dan dilaksanakan sebaik mungkin.

"DPPWP yakin sekiranya ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin, maka tidak perlulah suatu unit khas ditubuhkan dalam membantu pihak polis dalam membanteras jenayah," katanya.

Menurut beliau, pengumuman pihak polis baru-baru ini berkenaan bilangan kongsi gelap yang dikehendaki sudah cukup menggerunkan rakyat Malaysia.

Ia ditambah lagi dengan pembabitan ahli politik yang berselindung di sebalik kegiatan kongsi gelap ini.

"Ianya secara jelas menggambarkan situasi jenayah di dalam negara kini. Kegiatan kongsi-kongsi gelap ini bukanlah perkara yang wujud dalam tempoh sebulan dua. DPPWP yakin mereka ini telah lama bertapak dan mempunyai rangkaian kegiatan yang cukup meluas.

"Pemansuhan ISA dan EO bukanlah asbab bagi mereka ini mendedahkan diri. Ia adalah bukti bahawa selama ini mereka bebas melakukan aktiviti jenayah tanpa sebarang tindakan walaupun ketika itu ISA dan EO masih berkuatkuasa," katanya.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan lebih mengutamakan penagkapan bersifat politik berbanding tangkapan terhadap penjenayah.

"Apakah pemimpin pembangkang lebih berbahaya dan mengancam keselamatan rakyat berbanding penjenayah?

"Diharapkan kaedah yang baru ini tidak akan menjadikan pemimpin pembangkang sebagai sasaran tangkapan dan siasatan yang utama," katanya.

Tambah baik PDRM sudah lama dinanti

Hazayani Zakaria, 11 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melakukan penambahbaikan terhadap Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat dialu-alukan dan sudah lama dinanti.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, masih belum terlambat untuk KDN dan PDRM melakukan pembaharuan khususnya penambaikan melibatkan sahsiah dan moral anggota polis.

"Kalau betul KDN nak lakukan penambaikan terhadap PDRM, syukur Alhamdulillah.

"Saya menyokong penuh kerana belum terlewat walaupun terlambat. Tapi orang kata biar lambat asalkan buat.

"Saya harap ini bukan cadangan atas kertas sahaja, tapi bena-benar dilaksanakan agar melahirkan generasi polis yang jelas akidahnya, berakhlak dan bermoral tinggi dan berintegriti dalam melaksanakan tugas," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Siti Mariah juga mencadangkan anggota polis diwajibkan mengikuti dan lulus modul berkaitan asas-asas agama sebelum diterima menganggotai anggota PDRM.

"Latihan asas agama mesti dimasukkan dalam modul latihan awal sewaktu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) lagi.

"Mereka mesti diwajibkan lulus ujian dan latihan asas agama sebelum sah menganggotai PDRM.

"Itu bagi polis yang baru dan polis yang dah lama berkhidmat juga perlu lulus modul asas sebagai kriteria kenaikan pangkat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Tambah beliau lagi, aspek sahsiah dan moral harus diberi keutamaan selain disiplin sebagai anggota keselamatan.

"KDN sebagai kementerian yang bertanggungjawab seharusnya sudah lama dulu menitik beratkan soal agama, sahsiah dan akidah anggota polis yang berkhidmat untuk masyarakat.

"Sebab soal sahsiah dan moral tidak diberi keutamaanlah banyak kes rasuah, salah guna kuasa dalam polis," katanya lagi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahbaikan Baka bagi meningkatkan pembentukan sahsiah dan keperibadian diri setiap pegawai serta anggota polis ketika melaksanakan tugas.

Sementara itu, dalam wacana anjuran akhbar Sinar Harian di Shah Alam semalam, tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin mendedahkan, terdapat polis yang kurang pendidikan agama.

Menurutnya, sewaktu melawat pusat latihan dan maktab polis semasa dalam Suruhanjaya Khas Penabahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, beliau mendapati polis menghadapi masalah daripada peringkat latihan lagi termasuk ada yang tida tahu mandi junub dan tidak lancar mengucap.

Insaniah: MB perlu dedah bukti, jangan main politik

Muhammad Faizal, 11 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Kedah bersedia tampil untuk memberi keterangan berhubung isu Insaniah Holding Sdn Bhd (IHSB) jika Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sanggup mendedahkan bukti-bukti penyelewengan yang didakwa beliau sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Muhkriz boleh mendedahkan bukti terhadap dakwaan penyelewengan tersebut dan ia bukannya menjadi satu masalah yang besar kepada PAS Kedah untuk berdepan dengan isu-isu tersebut.

"PAS mendokong sikap ketelusan yang tinggi serta mempunyai tanggungjawab dalam amanah yang diberikan, sebab itu kita dari Pakatan Rakyat khususnya PAS sanggup untuk menghadapi situasi ini.

"Jika benar Mukhriz kata ada unsur-unsur penyelewengan, beliau perlu berani memdedahkan penyelewengan itu dalam apa jua bentuk dan kita sendiri ingin tahu apa bentuk penyelewengan serta siapa yang terlibat," jelasnya.

Mukhriz sebelum ini mendakwa, audit forensik yang dibuat jelas menunjukkan kemelut yang berlaku dalam Insaniah dan IHSB.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak berhajat mengeluarkan kertas putih mengenainya.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS melahirkan rasa hairan berhubung keengganan kerajaan negeri yang tidak berani mengemukakan kertas putih.

Sedangkan katanya, Mukhriz sendiri sebelum ini mengatakan banyak unsur-unsur penyelewengan telah berlaku.

"Tetapi bagi saya jika betul ada bukti penyelewengan perkara ini perlu dibawa untuk tindakan undang-undang dan setiap yang bersalah itu perlu dibuktikan serta dihukum.

"Namun apa yang saya lihat kenyataan Mukhriz itu hanya propaganda politik murahan, dan beliau tidak sepatutnya bercakap tanpa bukti yang kukuh," sambung beliau lagi.

Jelasnya Mahfuz lagi, Muhkriz tidak sepatutnya menyembunyikan penyelewengan tersebut apatah lagi jika cuba melindungi individu-individu yang terlibat.

"Kalau dia tidak berhasrat untuk mendedahkan atau menyediakan apa-apa kertas putih lebih baik dia duduk diam dan jangan mengeluar apa-apa kenyataan tentang Kuin ataupun IHSB.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berpendapat tindakan Mukhriz itu hanyalah untuk menutup kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah menguruskan masalah Kuin dan IHSB.

Katanya, Menteri Besar itu ingin mengalihkan isu kegagalan menyelesaikan masalah tunggakan gaji 268 orang kakitangan IHSB yang sudah memasuki bulan keempat.
Pegawai k'jaan yang keluar IC, kata Mahathir

dikemaskini Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan “pegawai kerajaan” yang memberikan kerakyatan dan mengeluarkan kad pengenalan kepada calon tidak layak.

Beliau yang memberi keterangan di suruhanjaya siasatan diraja berhubung pendatang asing Sabah berkata, amalan seperti itu bukan satu dasar kerajaan semasa beliau menjadi perdana menteri.

Katanya, dasar pada masa itu hanyalah untuk memberikan kerakyatan kepada individu yang tinggal di Sabah “untuk masa yang lama” yang layak untuk mendapatkannya mengikut undang-undang.
Beliau berkata, semuanya diperuntukkan oleh undang-undang, tetapi pelaksanaannya kadang-kadang tidak berkesan.

Malah pada hari ini, katanya, jika diputuskan bahawa mereka sudah terlalu lama berada di sini, maka ia terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan bagi menarik balik kewarganegaraan atau IC mereka.

Dr Mahathir berkata, ia "bukan pendirian kerajaan" bagi penerbitan pantas IC kepada pendatang.

"Jika ia dilakukan, maka seseorang itu tidak melakukan perkara yang betul," katanya.

Ditanya mengenai penahanan dua bekas pengarah JPN di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana didakwa mengeluarkan IC kepada pendatang, Dr Mahathir mendakwa beliau tidak sedar tentang salahlaku mereka.

Katanya, mereka tentunya telah melakukan sesuatu yang salah, dan kerana itu mereka ditahan.

joseph pairin kitingan 010706Beliau juga mempertahankan langkah kerajaan persekutuan tidak
membenarkan Joseph Pairin Kitingan (kiri), Ketua Menteri Sabah dari 1985 hingga 1994, mempengerusikan Majlis Keselamatan Sabah walaupun ketua menteri secara automatik mengetuainya.

Menurut Dr Mahathir, keselamatan adalah perkara persekutuan dan jika terdapat anggota pembangkang yang tidak dipercayai, maka kerajaan persekutuan boleh memastikan dia tidak mempunyai terbabit dalam perkara-perkara persekutuan dan keselamatan'

PBS adalah parti pembangkang dan bukansebahagian daripada BN pada masa itu.
Hishamuddin Rais pertahan Sang Saka Malaya
12:17PM Sep 11 2013
VIDEO | 2:57 minit

Jika anda tertanya-tanya mengapa rekaan bendera Singapura, Indonesia, Umno dan PAS pada tahun 1950-an menggunakan motif merah dan putih, kemungkinan besar ia berpunca dari satu bendera kuno mewakili kepulauan Melayu atau Nusantara.

Menurut aktivis politik Hishamuddin Rais, yang pernah menulis panjang lebar berhubung perkara tersebut sejak sedekad lalu, motif merah dan putih tersebut digelar Sang Saka, yang juga menjadi asas bendera Umno.

NONEBercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini pada minggu lalu, Hishamuddin berkata beliau percaya bahawa atas dasar itulah Sang Saka perlu digunakan sebagai bendera kebangsaan.

"Bendera sedia ada tiada asas sejarah. Ia hasil satu pertandingan di mana orang tersebut mengasaskannya dari Star Spangled Banner Amerika Syarikat,” kata Hishamuddin.

Bendera tersebut direka pada 1950 orang seorang penjawat awam Mohamad Hamzah yang dipilih sebagai bendera Malaya melalui undian umum dalam akhbar The Malay Mail.

Ia kemudiannya dinamakan sebagai Jalur Gemilang pada 1997.

NONEBeberapa sumber mendakwa Mohamad meminjam idea dari bendera Syarikat Hindia Timur, namun seorang sarjana Farish A Noor sebelum ini menimbulkan teori bahawa pereka tersebut mungkin dipengaruhi dengan Amerika Syarikat yang tampil sebagai pemenang Perang Dunia II.

Hishamuddin bersama aktivis siswa Adam Adli dan sasterawan negara Datuk A Samad Said kini disiasat polis kerana berhubung dakwaan mempamer dan berucap mengenai bendera Sang Saka Malaya atau Bendera Rakyat pada majlis sambutan ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka, hujung bulan lalu.

Bendera kontroversi dalam kes tersebut juga menggunakan motif Sang Saka, tetapi dengan 12 bintang di satu sudut.

Pak Samad: Jalur Gemilang harus hormati Sang Saka

Hazayani Zakaria, 11 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Tujuan pertemuan di OldTown White Coffee LRT Bangsar petang tadi pada asalnya hanyalah mahu berbual santai mengenai program bedah buku yang akan diadakan Sabtu ini.

Namun dalam suasana politik sekarang, saya percaya sesiapa pun yang bertemu dengan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said tidak akan melepaskan peluang bertanya tentang kisah beliau ditahan polis pada tengah malam untuk disoal siasat.

Beliau yang biasa dipanggil Pak Samad ditahan di rumahnya di Bangsar jam 12 tengah malam 4 September lalu, bagi membantu siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka pada malam ambang kemerdekaan.

Sebelum bercerita mengenai penahanannya, telinga saya terlebih dahulu didengarkan dengan pendapatnya yang jujur, yang masih tabu bagi sesetengah orang.

"Bagi saya, bendera Sang Saka itu kita harus luhur, kita harus hormati, kita harus jiwai bahawa itu adalah tanda bahawasanya satu ketika dalam sejarah, ada wira yang berjuang untuk kemerdekaan dan bendera itu adalah panjinya.

"Kita tidak boleh menghina panji itu hanya kerana ada Jalur Gemilang. Jalur Gemilang harus hormati Sang Saka sebab Sang Saka yang berjuang melahirkan Jalur Gemilang," ujarnya bagi mengulas kewujudan bendera Sang Saka yang dinafikan kewujudannya.

Pada malam ambang kemerdekaan 30 Ogos lalu, Pak Samad sedang membaca puisi di Dataran Merdeka sambil beberapa orang aktivis mengibarkan bendera Sang Saka, sebelum seorang lelaki tiba-tiba bertindak merampas Sang Saka.

Mengimbau sejarah kemerdekaan negara, lelaki 81 tahun itu berkata, rakyat harus sedar pejuang-pejuang seperti Rashid Maidin, Abdullah Sidi, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Al-Helmy bersungguh-sungguh mahu memerdekakan tanah air dari jajahan British.

"Kita harus hormat orang-orang itu. Mereka telah memberikan nyawanya. Kita harus hormat kerana merekalah mempercepatkan kemerdekaan tanah air," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa bendera Sang Saka yang mewakili parti Komunis, Pak Samad berkata, Sang Saka mewakili semangat dan perjuangan pihak yang turut berjuang memerdekaan negara, sebelum ada pihak yang 'menikmati kemerdekaan', sambil menyifatkan orang yang tidak menghormati bendera Sang Saka sebagai buta sejarah.

"Itu bagi saya ikut sedap mulut sahaja. Orang yang tak tahu sejarah memang buta sejarah, memang begitu sikapnya. Takkan  bendera (Sang Saka) itu timbul begitu sahaja. Tentu ia mewakili satu semangat, perjuangan, pengorbanan, bendera itu simbolik kepada perjuanagan.

"Cuba buktikan bendera itu adalah songsang, negatif, tidak. Dia adalah wakil kepada semangat perjuangan. Walaupun tempatnya sekarang tak sepenting Jalur Gemilang tapi jalur gemilang harus hormat, harus faham bahawa dengan ada Sang Saka ia berkembang menjadi Jalur Gemilang dan kita tidak harus ikut suka-sukaan mengata atau mencemuh.

"Saya fikir orang yang menikmati kemerdekaan yang mencipta Jalur Gemilang. orang yang berjuang untuk kemerdekaan mencipta Sang Saka. Banyak latar sejarahnya yang barangkali kita tidak tahu," jelasnya panjang lebar sebelum menghirup secangkir kopi panas yang dipesan.

Tinggal pesan pada pengawal keselamatan

Walaupun sudah membaca laporan media lain mengenai penafian Pak Samad bahawa beliau menyembunyikan diri dari polis, saya tidak dapat menahan hati yang mahu mendengar perkara itu dari mulut Pak Samad sendiri.

Sambil ketawa mendengar soalan saya, Pak Samad berkata beliau sudah meninggalkan pesan kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahannya sebelum ke Masjid Negara untuk beriktikaf, rutin beliau setiap Selasa dan Khamis.

"Hari yang dia (polis) nak tangkap, saya beritahu dekat guard rumah saya. Saya jangka polis akan datang. Saya bilang dengan guard itu, bilang dengan polis saya hari ini beriktikaf di Masjid Negara dan ada beberapa kumpulan wartawan yang tunggu sama saya sebab mereka pun percaya yang polis akan datang (tapi)dia tidak datang. Kemudian IGP umum saya lari.

"Malam itu memang dia datang dan memang dia datang dengan hormat. Dia kata; Pak, kami mahu mengambil bapak hanya untuk satu setengah jam untuk record (kenyataan) dan kami akan hantar balik. Dia cakap dengan ibu (isteri).

"Saya anjurkan begini;anda pulang dulu, esok jam 10 saya datang tapi dia kata kena malam juga sebab esok kami kena laporkan. "Sekarang kadang-kadang saya jumpa polis atau polis jumpa saya, kadang-kadang dia segan, saya pun segan. Ada yang biasa kalau di KLCC, Pak, tegurnya. Ada yang tahu tapi memalukanlah tindakan itu," ceritanya.

Apabila ditanya pandangannya mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 September, Pak Samad berkata sambutan itu suatu yang baik bagi memperingati Sabah dan Sarawak.

"Bapak fikir itu hak kita untuk sambut, memang kita harus meraikan sebab biasanya kemerdekaan itu kita fikirkan hanya Semenanjung sahaja. Kita lupa Sabah, Sawarak tapi saya fikir seharusnya ada satu (sahaja) hari kemerdekaan sebab kalau ada dua hari kemerdekaan itu membayangkan perpecahan, bukan perdamaian. Kita harus berani untuk membetulkan, pilih hanya satu," ujarnya.

Berkongsi pengertian kemerdekaan bagi dirinya pula, Pak Samad berkata kemerdekaan itu harus selari dengan rasa mahukan perdamaian.

"Kita meraikan kemerdekaan, kita menghormati pejuang-pejuang kemerdekaan dan kita meluhuri persatuan, bukan perceraian dan ia tentu sahaja kita mahu bahawasanya segala apa yang berada di bumi kita ini dinikmati bersama.

"Kita merindukan iklim perdamaian, persatuan. Tidaklah sampai sekarang, sebelum pilihan raya sudah ada Tanda Putera," ujarnya sinis sebelum perbualan kami bertukar kepada hal-hal seputar kesusasteraan dan kehidupan.

Tiada ulasan: