Rabu, 11 September 2013

JANGAN JADI WARTAWAN MENGADU DOMBA....TAK CIUM SYURGA MAKSUD HADIS

Saya cakap lain mereka tulis lain - TG Nik Aziz

Aslani M, 11 Sep 2013
KOTA BHARU: “Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.

“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksi terbarunya.

Beliau ditemui hari ini ketika menghadiri persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Baru-baru ini akhbar arus perdana cuba memberi gambaran Mursyidul Am mahu ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden PAS.

Laporan tersebut dilihat banyak pihak seperti ada agenda tertentu bagi melaga-laganya kepemimpinan dalam PAS dengan mengasingkan golongan profesional dan ulama.

Polemik tersebut seperti sengaja diuar-uarkan memandangkan muktamar tahunan PAS dijangka berlangsung pada akhir November hadapan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, ulama adalah mereka yang boleh bercakap dengan dalil al Quran dan Hadis biar pun bertali leher atau memakai songkok.

“Percakapan dia berdasar kepada al Quran dan Hadis. Ada pihak sekarang sengaja hendak pelaga-lagakan ulama dan professional. Mereka ini orang yang berfikiran kebangsaan.

“Ini bukan cara memberi ilmu kepada rakyat tentang gerakan Islam. Kita bangun berucap bukan pandai-pandai kita sendiri. Orang pertama yang membuat ucapan ialah Nabi Muhammad saw.

“Jadi bila berucap kita sambung apa yang diberitahu Nabi Muhammad saw dengan membawa dalil al Quran dan Hadis. Ini barulah kita benar-benar jadi pendokong gerakan Islam, bukan sekadar ahli PAS sahaja,” ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, mana-mana pemimpin PAS berucap hendaklah diikat dengan nas al Quran, Hadis dan Sirah.

Felcra perlu fokus getah, kelapa sawit bukan hartanah

Anis Nazri, 11 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Felcra Bhd diingatkan untuk memberi penumpuan kepada bidang getah dan kelapa sawit bersesuaian dengan matlamat penubuhan agensi itu pada 1964.

Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Felcra (BAPA), Razman Zakaria, Felcra perlu kembali kepada objektif penubuhan agensi itu, lebih-lebih lagi objektifnya untuk membangunkan dan menaik taraf kehidupan peneroka masih tidak tercapai sepanjang pelaksanaan.

"Sehingga kini, kegagalan utama Felcra apabila tidak dapat membantu peneroka yang juga tuan tanah mendapat hasil yang jauh lebih kecil dengan keluasan tanah yang diusahakan secara sendiri atau pihak lain.

"Malah, perjanjian yang ada antara Felcra dan tuan tanah juga dilihat seolah-olah tuan tanah akan terus bergantung kepada Felcra dengan bebanan hutang yang tidak pernah selesai," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Mengulas kegagalan Felcra itu, Razman berkata antara sebab kegagalan itu berlaku apabila Felcra tidak memfokuskan kepada objektif penubuhannya, sebaliknya mula berminat menceburi bidang hartanah.

Katanya, penglibatan Felcra ke bidang hartanah menyebabkan munculnya kecelaruan di agensi itu apabila terpaksa memberi tumpuan kepada bidang-bidang lain.

"Justeru, kami mengharapkan Felcra memberi fokus kepada bidang getah dan kelapa sawit terlebih dahulu. Selesai segala isu dan masalah membabitkan peneroka, barulah boleh fikir yang lain," kata beliau.

Pada 2011, Felcra mula menceburi bidang hartanah apabila mula mengusahakan 242,811 hektar tanah pertanian di seluruh negara yang dikatakan sebagai satu wawasan untuk hala tuju lebih proaktif dan dinamik yang bertujuan membawa perubahan kepada 90,000 peserta Felcra.

Penyertaan dalam bidang hartanah itu akan dilaksanakan oleh Felcra Properties Sdn. Bhd. yang akan memulakan dua projek, perumahan dan kompleks pejabat.

Selain itu, Felcra juga dijangka akan menyenaraikan anak syarikat bukan berasaskan getah dan kelapa sawit ke Bursa Malaysia dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Sebaliknya, syarikat itu dijangka mengetengahkan anak syarikatnya berasaskan hartanah untuk disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia.

Felcra yang diumumkan penubuhannya oleh Tun Abdul Razak Hussien meletakkan objektifnya sejajar dengan hasrat Dasar Ekonomi Baru untuk mengurang dan menghapuskan taraf ekonomi semua kaum.

Felcra juga diamanahkan untuk mencapai matlamat seperti mewujudkan peluang pekerjaan, memperbaiki taraf ekonomi penduduk-penduduk di luiar bandar dan seterusnya mengurangkan jurang perbezaan pendapatan di kalangan rakyat melalui pemulihan dan penyatuan tanah, serta meninggikan lagi daya pengeluaran, terutamanya dalam sektor pertanian.

Orang politik dalam kongsi gelap sudah didedah 10 tahun lalu

Abdul Aziz Mustafa, 11 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Adakah polis masih tidak dapat membanteras pengaruh kongsi gelap dalam politik selepas lebih sepuluh tahun perkara itu menjadi isu besar, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Lebih sepuluh tahun lalu, hakikat bahawa MCA dipengaruhi kongsi gelap didedahkan sendiri oleh Ketua Pemuda parti itu ketika itu, (Datuk Seri) Ong Tee Keat.

"Sekarang, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) beritahu kita bahawa ahli politik geng kongsi gelap telah dikenal pasti.

"Itu bermakna gejala tersebut masih bermaharajalela sehingga hari ini, sudah lebih sepuluh tahun," katanya.

Mahfuz mempersoalkan kegagalan kerajaan BN membanteras masalah kongsi gelap  yang kini mengancam keselamatan negara.

"Zahid selalu berkata, pemansuhan Akta Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah taktik pembangkang dan menyukarkan kerja polis untuk membanteras jenayah dan penjenayah.

"Isu ahli politik geng kongsi gelap pula berlanjutan sejak lebih dari sepuluh tahun lalu. Persoalannya, adakah ia disebabkan pemansuhan EO.

"Adakah EO dimansuhkan sejak lebih sepuluh tahun lalu sehingga masalah ahli politik geng kongsi gelap masih berleluasa?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berharap, isu ahli politik geng kongsi gelap dapat menyedarkan Zahid bahawa isu sebenar bukan pemansuhan EO.

"Isu sebenar adalah seperti yang dibangkitkan Ketua Pemuda Umno (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) sendiri iaitu memberikan tumpuan seharusnya kepada usaha meningkatkan kemampuan dan kecekapan anggota keselamatan terutama pihak polis dalam menangani kadar jenayah," kata beliau.

Pada tahun 2001, Tee Keat mendedahkan bahawa MCA dipengaruhi oleh kongsi gelap.

Selepas pendedahan itu, tersiar gambar Presiden MCA ketika itu, Tan Sri Ong Ka Ting berjabat tangan dengan ketua gangster yang terkenal dengan panggilan Jackie Chan.

Mukhriz macam tidak beradab

Subky Latif, 11 Sep 2013
Demi berpolitik dan menunjukkan ada kuasa, Dato’ Mukhriz yang baru menjadi Menteri Besar itu boleh bertindak apa saja bagi menidakkan langkah yang diambil oleh Menteri Besar Tan Sri Azizan Razak dulu.

Ketika beliau menemui Tan Sri Azizan di hospital sebaik mengambil alih kuasa, semasa Azizan masih boleh bercakap lagi, pesannya pada Mukhriz, usahakan apa jua kiranya menyambung pengurusan kolej Insaniyah yang kurang dana itu.

Tanpa bantuan kerajaan pusat, Tan Sri Azizan berjaya membangunkan kampus baru Insaniyah yang tersergam di Kuala Ketil dan dapat membangunkan fakulti perubatan untuk pelajar dalam dan luar negeri dengan modul menerapkan unsur rawatam Islam. Apabila mereka menjadi doktor nanti mereka ada pengetahuan tentang adab dan rawatan Islam.

Terserahlah kepada kerajaan baru menentukan tindakan selanjutnya.

Maka Mukhriz pun menggunakan kebijaksanaannya memindahkan kampus Insaniayah ke kampus lama dan berusaha menjual kampus Kuala Ketil itu kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk membidanya.

Dia mulanya tidak bersedia mengambil tanggungjawab atas apa yang dirancang oleh pentadbiran dulu dan mahu manyambung usaha kerajaan yang mengasaskan institusi itu sebelum itu.

Yang dialami oleh pelajar yang terpaksa pindah ke kampus lama, adalah natijah yang terpaksa ditanggung apabila berubahan kuasa berlaku. Orang politik Maciavelli boleh menghalalkan apa saja  dan boleh mengharamkan apa saja. Ia boleh tidakkan apa  saja oleh pentadbiran lalu.

Tetapi sebagai orang Melayu yang mengaku menjunjung Raja, baik Melayu lama mahupun Melayu baru yang pernah diwawaskan oleh ayahndanya, sayugialah memelihara adab-adab Melayu beraja itu.

Mukhriz boleh persetankan apa yang Azizan buat tetapi Mukhriz tidak boleh perkecilkan apa yang raja pernah cemar.

Azizan tidak mempolitikkan apabila memberi penghormatan ke bawah Duli Yang Dipertuan selaku Sulltan Kedah untuk merasmikan kampus baru di Kuala Ketil itu. Sebagai orang politik Azizan boleh mengambil faedah politik merasmikan sendiri kampus itu. Tetapi adab orang Melayu Islam yang memuliakan raja dan raja itu pula adalah ketua agama Islam di negeri, maka Yang Dipertuan Agong telah mencemar duli melakukan perasmian kampus itu.

Dan adalah tanggungjawab mulia Raja menunaikan tugas itu. Insaniyah dan kampusnya bukan hak Azizan dan kerajaan partinya lagi tetapi ia adalah kepunyaan Sultan, rakyat dan kerajaan baik parti mana saja yang memerintah.

Mukhriz boleh benci Azizan dan boleh benci PAS, tetapi Mukhriz mesti beradab kepada Raja. Tidak sampai setahun Seri Paduka mencemar duli merasmikan kampus itu, kampus itu hendak dijual. Maka kehadiran Raja dulu tidak memberi apa-apa erti. Sekalipun kehadiran baginda dulu sebagai Sultan Kedah, tetapi baginda adalah Yanag Dipertuan Agong.

Untuk melaksanakan tanggungjawab itu, baginda telah meninggalkan lain-lain tugas Yang Dipertuan Agong.

Tidaklah dikira terlepas pandang Mukhriz itu memperkecil kehadiran Raja dulu sebagai menderhaka, tetapi ia cuma anak bekas Perdana Menteri yang tidak beradab.

Mungkin yang Azizan atur dulu berpolitik tetapi apabila Raja perkenan turun padang ia bukan politik lagi. Azizan barang dijauhkan Allah tidak memperalatkan Raja menetapkan baginda merasmikannya.

Sepatutnya seorang Menteri Besar beraja, dia jaga adab. Sebenci mana dia pada Aizan dan Pakatan Rakyat, dia patut jaga acara rasmi yang Raja perkenan tidak dibakul sampah. Jika ada tidak kena pada kehadiran Raja, dia mesti cari jalan supaya kehadiran Raja itu dilihat mulia.

Mukhriz perlu jaga juga nama baik bapanya, supaya jangan orang kata anak Perdana Menteri pun tak tahu adab.

MP PAS sokong bina SJKC di Cyberjaya

Harakahdaily, 11 Sep 2013

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menyokong penuh pembinaan sebuah sekolah Cina di Cyberjaya.

Menurutnya, ia memandangkan terdapat permintaan tinggi termasuk oleh pelajar Melayu untuk belajar di sekolah tersebut.

Beliau mengulas pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Union di Cyberjaya di sini.

Pembinaan lebih banyak sekolah Cina turut dimuatkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Adalah dianggarkan kira-kira 60,000 pelajar bukan Cina sedang belajar di Sekolah Rendah Cina.

Sebagai contoh, Sekolah paling dekat dengan Cyberjaya iaitu SJKC Dengkil mencatat 10% pelajar-pelajar Melayu daripada lebih 500 pelajar di sekolah itu.

Difahamkan, kepentingan bahasa Mandarin telah menggalakkan keluarga Melayu lebih ramai menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Cina, dan juga mendaftar di Sekolah Persendirian Cina.

Ketetapan Allah SWT, kenapa marah?

., 11 Sep 2013



1. Apabila saya post satu subjek sebagaimana print skrin yang saya lampirkan di bawah, ramai juga yang marah kepada saya kerana memberi jawapan sedemikian kepada akak yang bertanya. Kenapa ustaz tidak beri jalan penyelesaian membantu muslimah yang memerlukan?

[ermm, sebetulnya akak itu sendiri pun tidak puas hati dengan jawapan saya. ustaz ni, orang cakap betul-betul, dia jawab begitu pulak, kata akak itu... dan selayaknya lah saya telah memberi pandangan serta jalan penyelesaian kepada akak tersebut...]

2. Benar, semua perkara adalah di atas ketetapan Allah swt. Namun ia tidak terhenti di atas hujjah itu. Justeru Islam datang dengan satu syariat yang sangat sempurna dengan meletakkan peraturan dan manhaj perlaksanaan bersama ketetapan dan ketentuan Allah swt dalam semua perkara yang telah berlaku dan akan berlaku.

3. Demikianlah apabila ditanya mengenai kenaikan harga barang, harga minyak dan sebagainya. Jawapannya tentu sahaja tidak terhenti dengan seruan supaya bersabar kerana ini semua adalah ketetapan Allah swt. Sebaliknya mestilah dilihat jua kepada penyelesaian dan tindakan untuk mengatasinya.

4. Sebagai contoh, miskin dan kemiskinan adalah ketetapan Allah. Ya benar! Ia adalah ketentuan Allah swt. Namun ia juga tertakluk kepada syariat dan manhaj hidup yang telah diwahyukan, sebagaimana Allah swt telah mewajibkan zakat dan menyenaraikan faqir miskin sebagai asnaf yang layak menerima zakat tersebut di mana ia adalah salah satu penyelesaian untuk mengatasi isu kemiskinan, sedang pada masa yang sama , orang-orang miskin juga tetap diharamkan mencuri. Bahkan Islam mengajar ummatnya berdikari dan keluar dari kelompok kemiskinan.

5. Ertinya salah jika kita hanya berpada dan berhenti dengan hujjah bahawa kemiskinan adalah ketetapan Allah swt sedang Islam telah mengatur program serta agenda yang komprehensif untuk keluar dari bahana kemiskinan yang tentu sahaja menyusahkan ummat malah mampu mengancam akhlak dan aqidah jika ia dibiarkan berleluasa.

6. Begitu juga dengan isu kenaikan harga barang. Sementara ia berada di dalam ketentuan Allah swt. namun Islam melarang perbuatan monopoli, pembaziran, penindasan dan penipuan dalam sistem ekonomi serta memberatkan timbangan termasuk menaikan harga sewenang-wenang yang memberi kesan buruk kepada pengguna.

7. Sebahagian langkah penyelesaian ialah kerajaan boleh TIDAK menaikkan harga minyak, kerana kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos pengangkutan dan ianya akan membentuk aliran modal tinggi sebelum sampai kepada peruncit. Aliran kos bermula dari pembekal bahan mentah, pengilang, pemborong, pengedar dan peruncit. Akhirnya peruncit akan meningkatkan harga barang jualan mereka. Ini membebankan pengguna sedang ianya boleh dielakkan dari berlaku.

8. Kerajaan pula hanya memantau peruncit agar tidak menaikkan harga barang sekalipun harga minyak telah dinaikkan. Sekali lagi peruncit juga termasuk dalam kelompok golongan tertindas selepas pengguna kiranya mereka terpaksa diambil tindakan kerana menaikkan harga barang. Begitu juga mereka tetap tertindas jika tidak menaikkan harga barang sedang mereka terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi sebelum memindahkan produk ke tangan pengguna. Pengedar, pemborong dan pengilang sering lepas dari pemerhatian dan pemantauan kerajaan.

9. Negara kita kaya dengan sumber rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt. ianya adalah untuk seluruh penghuni negara ini. Sumber itu bukan hak kerajaan atau parti pemerintah. Pemerintah hanyalah pengurus, penyelia, pengelola dan penyelaras untuk mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat secara bistari. "Pembiayaan wajib" hasil kekayaan dan anugerah rezeki Allah swt kepada negara ini mesti sampai kepada rakyat. Maka harga minyak tidak perlu dinaikkan dengan alasan melaraskan semula subsidi kerana subsidi itu selayaknya menjadi pembiayaan wajib yang mesti disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat.

10. Sementara mengimbang antara perolehan kasar negara dengan perbelanjaan agar ekonomi negara diletak dalam keadaan stabil dan meyakinkan ialah dengan menampal semua sistem pengurusan dan penyelenggaraan ekonomi negara termasuk dana awam agar tidak tiris. Justeru yang tiris itulah membuatkan imbangan ekonomi tidak stabil. Begitulah juga dengan pembaziran dan pemborosan yang terhasil dari sikap tamak haloba, ianya mesti dibanteras. jangan hanya mengejar nama dan kemasyhuran, akhirnya kantung negara gersang.

Tapi kalau anda juga menjawab dan berhujjah bahawa ketirisan, pembaziran dan penyalahgunaan dana awam itu sebagai ketetapan Allah swt, maka anda memang layak dipulas telinga oleh rakyat!

Tiada ulasan: