Nilai RM jatuh, apa tindakan kerajaan - Mahfuz
Muhammad Faizal, | 11 Sep 2013 |
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika tindakan tidak diambil ia akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara pada masa akan datang.
"Isu kejatuhan RM ini perlu dipandang serius oleh kerajaan terutamanya Bank Negara dan mereka perlu mengambil langkah segera bagi menstabilkan semula RM.
"Kalau ini tidak diambil ia akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara dan rakyat akan terus berada dalam keadaan tekanan," jelasnya kepada Harakahdaily.
Menurut beliau, kejatuhan RM akan menyebabkan berlakunya inflasi dan kesan yang paling teruk adalah kepada sektor import eksport.
Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, jika urusan tersebut dilakukan dalam mata wang asing menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan yang lebih.
"Tindakan ini akan menjadikan harga barang terus meningkat, kita tidak lagi dapat mengawal harga kerana faktor tersebut bergantung kepada mata wang asing.
"Langkah yang terbaik adalah kerajaan perlu mengikat mata wang Dollar dengan RM sepertimana yang dilakukan sebelum ini, setidak-tidaknya ia dapat menstabilkan RM untuk satu tempoh masa," sambung beliau.
Beliau yang melahirkan kekecewaan apabila sehingga sekarang kerajaan masih lagi berdiam diri dan belum mengambil pelan tindakan bagi menangani situasi tersebut.
"Kita tidak mahu apabila kerajaan mengalami masalah kewangan, sekali lagi hak rakyat dirompak duit diambil dari poket mereka.
"Sampai bila rakyat hendak diperlakukan sedemikian, subsidi adalah hak mereka dan sebagai sebuah kerajaan memotong subsidi bukan satu langkah yang bijak dalam menangani krisis ekonomi," tegas beliau.
Husam angkat sumpah Adun
Harakahdaily, Foto: Rizal Tahir, | 11 Sep 2013 |
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan pada persidangan khas Dun Kelantan yang berlangsung hari ini.
Beliau mengangkat sumpah dihadapan Speaker, Ustaz Abdullah Ya’kub pada permulaan sesi sidang khas pagi ini.
Pada majlis angkat sumpah persidangan pertama penggal ke-13 Dewan Undangan Negeri Kelantan, Jun lalu, Husam tidak hadir kerana berada di luar negara.
Sementara itu persidangan khas hari ini adalah bagi membincangkan usul mengenai pergolakan di Mesir dan Syria.
Ianya juga bertujuan melahirkan rasa simpati kerajaan Kelantan ke atas apa yang terjadi di Syria dan Mesir.
Menteri Besar, Datuk Ustaz Ahmad Yaakob dijangka akan mengusulkan kepada Dun bagi melahirkan rasa simpati dan sedih ke atas rakyat kedua-dua negara terbabit.
Satu ketetapan juga akan diambil dalam persidangan khas ini untuk dipanjangkan kepada peringkat lebih tinggi.
Q&A: Hukum makan daging gajah dan kuda
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 11 Sep 2013 |
Apakah hukum makan daging gajah dan kuda?
Jawapan;
1. Daging gajah
Menurut jumhur ulama (mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali); daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring. Abu Tsa’labah al-Khusyani RA menceritakan; “Nabi SAW telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang bertaring daripada binatang-binatang buas.” (Soheh al-Bukhari; 5530, 5780. Soheh Muslim; 1932).
Maksud bertaring ialah haiwan yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya (an-Nihayah. Al-Majmu’). Di antara contoh yang disebut ulama bagi binatang-binatang jenis ini ialah; anjing, kucing, singa, harimau, serigala, gajah, kera dan seumpamanya (lihat; Nailul-Autar, as-Syaukani; 1/131. Al-Majmu’, an-Nawawi; 9/14. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; perkataan “At’imah”).
Menurut mazhab Maliki; haiwan yang haram dimakan hanyalah yang disebut keharamannya di dalam al-Quran (antaranya surah al-An’am, ayat 145), iaitu; “bangkai, darah dan daging babi”. Binatang yang tidak disebut dalam ayat ini tidaklah haram memakannya. Adapun binatang yang bertaring tadi; makruh memakannya kerana dilarang oleh hadis. Jadi, menurut mazhab Maliki; larangan Nabi SAW dalam hadis tadi adalah larangan makruh, bukan larangan haram (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).
2. Daging kuda
Daging kuda halal memakannya kerana kehalalannya telah sabit daripada hadis Nabi SAW. Asma binti Abu Bakar RA menceritakan; “Kami pernah menyembelih seekor kuda pada zaman Nabi SAW dan memakannya” (Soheh al-Bukhari; 5510, 5519). Jabir bin Abdullah RA menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari memakan daging keldai pada hari Khaibar dan membenarkan kami memakan daging kuda” (Soheh al-Bukhari; 5520. Muslim; 1941).
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
2 pelajar UM dibuang kolej
Harakahdaily, | 11 Sep 2013 |
KUALA LUMPUR: Pro-Mahasiswa (Pro M) Universiti Malaya (UM) menyifatkan tindakan membuang dua mahasiswa dari kolej tanpa diberi peluang membela diri sebagai melanggar hak asasi mahasiswa.
Dua mahasiswa yang menjadi pemudah cara mahasiswa sepanjang Minggu Haluan Siswa (MHS) Amir Aiman dan Safinatunnajah dibuang dari Kolej Kediaman Keempat serta-merta dan dilucutkan jawatan sebagai pemudah cara, Jumaat lalu.
Hukuman itu ekoran kedua-duanya disyaki menyokong dan membantu Pro M sewaktu MHS sepanjang MHS apabila mereka memohon bantuan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Bukhairy Sufian merawat seorang mahasiswi yang histeria.
Bukhairy ketika itu hadir bersama Pengerusi Pro-Mahasiswa UM, Abdul Muqit bin Muhammad dan mereka disyaki dan dibimbangi merancang kejadian histeria bersama dengan dua orang pemudah cara ini.
Akibatnya, kesemua PM di KK4 termasuk Amir Aiman dan juga Safinatunnajah dipanggil oleh Ketua PM KK4, Alia Syamin untuk menyerahkan semua telefon bimbit.
Bagaimanapun hanya telefon bimbit mereka berdua sahaja yang diperiksa termasuklah hak peribadi seperti mesej,email,dan juga facebook telah diceroboh tanpa kebenaran.
Amir Aiman meminta penjelasan sebab telefonnya dirampas namun tiada jawapan yang diberikan. Amir Aiman juga mengesyaki laptopnya telah diceroboh dan kata laluan emelnya telah ditukar.Mereka telah menuduh Amir Aiman dan Safinatunnajah telah bersubahat untuk dengan Pro-Mahasiswa merancang isu histeria.
Petangnya dalam pukul 3 petang, Amir Aiman telah menerima satu surat dari pihak kolej mengatakan beliau telah dilucutkan tugas sebagai Pemudahcara Mahasiswa dan dibuang kolej serta-merta. Sebab yang diberikan oleh pihak kolej ialah Amir Aiman telah membocorkan maklumat sulit kepada pihak luar.
Tidak lama kemudian, Safinatunnajah pula menerima surat yang sama tetapi atas sebab yang berlainan. Safinatunnajah dibuang kolej kerana dituduh membawa masuk orang luar (Bukhairy dan Muqit) ke dalam kolej sedangkan mereka masih lagi mahasiswa UM .
Akibat daripada peristiwa itu, Amir Aiman bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Pantai atas penyalahgunaan kuasa pihak atasan dan menceroboh maklumat peribadi tanpa kebenaran dalam menangani isu ini. Keputusan kolej itu dilihat berat sebelah dan begitu kejam terhadap mahasiswa.
Menurut Abdul Muqit, Pro M Amir Aiman dan Safinatunnajah tidak diberikan hak untuk membela diri dan notis peringatan awal sebelum dibuang kolej kediaman dengan serta-merta.
Sedangkan tegasnya, pihak kolej tiada bukti yang kukuh untuk menyokong hukuman tersebut. Andai sekalipun terdapat bukti, mereka berdua mesti diberikan hak untuk membela diri.
"Bagaimana satu keputusan yang besar dapat dibuat dalam tempoh masa yang begitu singkat?
"Untuk itu, kami di peringkat Pro-Mahasiswa tampil membela Amir Aiman dan Safinatunnajah dan mendesak pihak pentadbiran terutamanya pihak Kolej Kediaman Keempat, TNC HEP, Datuk Rohana dan juga NC, Tan Sri Ghauth Jasmon untuk memohon maaf secara terbuka kepada kedua-dua mahasiswa ini dan menerima mereka semula kedalam kolej kediaman.
"Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka juga tidak masuk akal dan melanggar hak asasi manusia kerana tidak diberi peluang untuk membela diri. Kami juga mendesak supaya siasatan lebih lanjut dijalankan terhadap penyalahgunaan kuasa oleh pihak pentadbiran supaya kes seperti ini tidak berulang lagi," katanya.
Selain itu, beliau berkata wujud diskriminasi dalam pemilihan pemudah cara apabila mahasiswi yang berpurdah tidak layak untuk menjadi pemudah cara atas alasan tidak menepati etika berpakaian yang ditetapkan.
"Ini merupakan alasan yang tidak munasabah sedangkan mahasiswa bebas berpakaian selagi ia masih bersopan dan menepati etika pemakaian yang tidak menjolok mata ketika di dalam UM," katanya.
Selangor anggar RM4 bilion laksana manifesto PRU13
Harakahdaily, | 11 Sep 2013 |
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menganggarkan
sejumlah RM4 bilion akan dibelanjakan bagi melaksanakan tawaran
Manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang dikemukakan pada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) lalu.
Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Iskandar Abdul Samad, anggaran itu meliputi peruntukkan untuk sepenggal bagi skim-skim yang dilaksanakan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
“Pada 2008 kita belum bentuk kerajaan lagi, tetapi untuk 2013 hari ini kita sudah buat kriteria secara terperinci.
“Kita cuba habiskan dialog kita minggu ini dan selepas itu barisan exco akan bermesyuarat pada 18 hingga 20 September di mana kita akan bawakan segala maklum balas dari tuan-tuan dan puan-puan, Insya-Allah," katanya dipetik Selangorku.
Beliau ditemui pada majlis dialog sama bagi peringkat kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Galeri MPAJ malam tadi.
Dialog tersebut diadakan bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 Negeri Selangor sebelum dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun menurut Iskandar, jumlah anggaran itu boleh meningkat sehingga RM6 bilion tertakluk kepada cadangan yang bakal dikemukakan pemimpin masyarakat tempatan dalam yang kini giat diadakan di seluruh negeri.
Negeri Selangor sejak diperintah Pakatan Rakyat pada 2008 telah memperkenalkan pelbagai insentif dan bantuan kepada rakyat negeri itu seperti pemberian 20 meter padu air percuma dan 16 lagi skim di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Ianya termasuk skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mikrokredit, Skim Kesihatan Wanita, Pusat Dialisis Rakyat, Program Tuisyen Rakyat, Skim Bantuan Tadika dan pelbagai lagi.
Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Iskandar Abdul Samad, anggaran itu meliputi peruntukkan untuk sepenggal bagi skim-skim yang dilaksanakan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
“Pada 2008 kita belum bentuk kerajaan lagi, tetapi untuk 2013 hari ini kita sudah buat kriteria secara terperinci.
“Kita cuba habiskan dialog kita minggu ini dan selepas itu barisan exco akan bermesyuarat pada 18 hingga 20 September di mana kita akan bawakan segala maklum balas dari tuan-tuan dan puan-puan, Insya-Allah," katanya dipetik Selangorku.
Beliau ditemui pada majlis dialog sama bagi peringkat kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Galeri MPAJ malam tadi.
Dialog tersebut diadakan bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 Negeri Selangor sebelum dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun menurut Iskandar, jumlah anggaran itu boleh meningkat sehingga RM6 bilion tertakluk kepada cadangan yang bakal dikemukakan pemimpin masyarakat tempatan dalam yang kini giat diadakan di seluruh negeri.
Negeri Selangor sejak diperintah Pakatan Rakyat pada 2008 telah memperkenalkan pelbagai insentif dan bantuan kepada rakyat negeri itu seperti pemberian 20 meter padu air percuma dan 16 lagi skim di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Ianya termasuk skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mikrokredit, Skim Kesihatan Wanita, Pusat Dialisis Rakyat, Program Tuisyen Rakyat, Skim Bantuan Tadika dan pelbagai lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan