Khamis, 5 September 2013

BILA JANJI TAPI TAK SERUPA BIKIN

Pelajar diancam pencemaran sisa kilang

Harakahdaily, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah 640 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Kiara yang diancam pencemaran sisa buangan kilang di kawasan tersebut.

Pengerusi SAM, S.M. Mohamed Idris berkata, SAM kesal walaupun kejadian itu sudah lama berlaku dan menjejaskan keselesaan serta kesihatan murid-murid di sekolah berkenaan namun hingga kini tidak ada tindakan berkesan yang diambil bagi menanganinya.

"Pencemaran bau busuk dari kolam takungan sisa buangan kilang yang berlaku di kawasan berkenaan telah menyebabkan murid-murid di sekolah tersebut merasa loya, pening kepala, mengalami muntah-muntah dan demam.

"SAM meminta JAS dan MPSPK bukan saja memantau kolam sisa buangan di sini dengan lebih kerap malah kilang-kilang yang terlibat menyalurkan sisa buangan ke dalam kolam di sini juga perlu disiasat dan dikaji jenis bahan buangan yang mereka gunakan," kata dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, mana-mana kilang yang didapati melanggar peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 perlu diambil tindakan tegas agar kejadian serupa tidak berulang.

"SAM bimbang dan percaya jika bau busuk yang mencemarkan udara di kawasan itu mengandungi bahan kimia serta toksik yang tinggi ia boleh mengancam kesihatan murid-murid serta penduduk sekitarnya dengan lebih serius lagi pada masa akan datang," katanya.

Bagi meredakan kebimbangan para ibu bapa dan orang ramai mengenai isu ini, SAM mahu JAS, MPSPK dan Jabatan Kesihatan mendedahkan kepada umum hasil kajian mengenai tahap pencemaran tersebut dan kesannya ke atas alam sekitar serta kesihatan murid-murid sekolah terbabit.

Sehubungan itu, SAM akan menghantar surat rasmi kepada jabatan-jabatan berkaitan dan pihak kerajaan negeri Kedah bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian ini dan tindakan-tindakan yang telah diambil bagi mengatasi masalah itu.

Kenapa kita mesti protes dengan heret motor?

Ustaz Zaharudin Muhammad, 04 Sep 2013
Apa itu fiskal yang menjadi alasan kerajaan menaikkan minyak? Kenapa kita mesti protes dengan heret motor?
Apabila kita membaca alasan kerajaan menaikkan harga harga minyak disebabkan penarikan subsidi, kerajaan memberikan alasan pengukuhan fiskal dan untuk keluar dari defisit fiskal (bajet seimbang/balance budget).

Apa itu Fiskal? Fiskal (Latin: Fiscus) asalnya ialah nama seorang individu pemegang kewangan pertama di zaman Rom. Fiskal digunakan untuk menjelaskan bentuk pendapatan kerajaan dari sumber masyarakat yang diistilah sebagai pendapatan negara. Pendapatan negara ini digunakan sebagai pengeluaran melalui program-program / projek-projek / peruntukan-peruntukan untuk menghasilkan pencapaian terhadap pendapatan nasional, produksi dan perekonomian. Polisi Fiskal adalah kaedah yang digunakan sebagai pengangkat (menaikkan) dan pengimbang (mengimbang) ekonomi negara.

Dalam sistem ekonomi kapitalis, pada asalnya polisi fiskal kerajaan dianggap sebagai ‘gangguan’ atau campur tangan kerajaan dalam pasaran yang tidak begitu diingini oleh para pemodal. Oleh sebab itu, kerajaan berfahaman kapitalis seperti US cuba sedaya upaya mengurangkan campur tangan kerajaan dalam ekonomi sesebuah negara. Namun hakikatnya, terutama selepas berlakunya krisis ekonomi, para kapitalis terpaksa akur bahawa mereka memerlukan juga peranan kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi.

Dengan kata lain, Fiskal Polisi menentukan berapa kerajaan perlu kutip duit, bagaimana dan seumpamanya. Dengan kutipan itu, ke mana ia akan dibelanjakan selepas ini.

Apa itu defisit fiskal? Defisit fiskal bermaksud, perbelanjaan kerajaan lebih besar berbanding dengan pendapatan yang diperolehi. Contohnya, pendapatan negara tahunan RM5 billion tetapi kerajaan berbelanja RM6 billion. Bajet seimbang (balance budget) ialah, pendapatan negara sama atau lebih besar daripada perbelanjaanya.

Ini bermaksud, kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan subsidi untuk minyak petrol RON95 bagi menambahkan wang kerajaan, seterusnya mengurangkan defisit fiskal.

Itu penjelasan Najib dan kerajaan di dalam penjelasan akhbar-akhbar utama negara.

Tapi bagi saya, itu bukan penjelasan, itu adalah alasan umum. Sama seperti jika anda bertanya kepada pengurus kedai serbaneka milik anda: kenapa pengurus menggunakan wang yang banyak membeli barangan kedai? Jika pengurus jawab: "sebab saya beli barang mahal dan banyak bagi keuntungan kedai". Maka itu bukan penjelasan. Itu alasan umum. Maka anda sebagai tuan kedai, anda perlu mendapatkan penjelasan kenapa pengurus membeli jam dengan harga mahal, kenapa membeli stok jam yang banyak sedangkan stok barangan lain juga diperlukan kedai. Jawapan kepada persoalan ini barulah dinamakan penjelasan.

Begitu juga dalam isu ini, jika kerajaan hanya menyebut untuk menstabilkan fiskal, itu terlalu umum. Contoh penjelasan yang saya dan rakyat perlukan ialah, kenapa defisit fiskal berlaku, kenapa perlu diutamakan penarikan subsidi minyak? Tak de ke subsidi lain yang boleh ditarik seperti subsidi untuk pengimport korporat? Dan lebih penting kenapa sekarang selepas PRU?

Penjelasan yang saya masih tercari-cari, kenapa ditarik subsidi petrol RON95 dan bukan subsidi lain? Kenapa sekarang selepas PRU? Apa langkah kerajaan selain menarik subsidi RON95 bagi mencapai balance budget? Apakah perbelanjaan besar kerajaan dan ketirisan yang memberikan impak besar kepada defisit fiskal dijadikan diutamakan bagi mencapai balance budget?

Jika penarikan subsidi minyak RON95 selepas PRU adalah bertujuan pengimbangan Fiskal, persoalannya adakah perbelanjaan kerajaan 1 tahun sebelum ini terlalu besar sehingga tanpa notis terus dinaikkan minyak RON95? Jika besar, adakah disebabkan oleh:

1. Penampungan 'aktiviti perlu' rakyat, masyarakat dan syarikat dalaman negara? Atau

2. Disebabkan perbelanjaan kerajaan untuk projek syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti bertanding?

Saya lebih cenderung kepada yang kedua setelah melihat rekod sebelum ini, iaitu kenaikan harga barang (akibat kenaikan cukai) sejurus selepas PRU. Ini bermaksud, kenaikan harga minyak ini adalah pembayaran semula Umno yang menang semula hasil pelaburannya menggunakan duit rakyat bagi mengekalkan kuasa.

Jika ini berlaku, maka langkah keluar dari 'krisis fiskal' melalui jalan bukan penjimatan kerajaan, perbelanjaan berhemah dan menampung 'lubang' perbendaharaan negara yang 'bocor' sebagaimana 'finding audit', tetapi mencari jalan keluar mudah dengan memangsakan rakyat melalui penarikan subsidi minyak RON95 yang membebankan setiap titik keringat rakyat, maka akan protes dengan kempen:

"HERET MOTOR"

Saya yakin ramai akan bersama dengan protes ini.

Penulis ialah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Plakad '20 sen jer, BR1M kan ado' hiasi flashmob

Harakahdaily, 04 Sep 2013


KUALA LUMPUR: Lebih 20 orang anak muda semalam berbaris di persimpangan empat Sentul berdekatan dengan stesen minyak, mengadangan flashmob ekoran kenaikan harga minyak yang diumum kerajaan kelmarin.

Flashmob anjuran Dewan Pemuda PAS Batu itu mendapat sambutan memberangsangkan walaupun berlangsung dalam suasana hujan lebat.

Pada Flashmob itu, mereka membawa beberapa placard dan kain rentang antaranya tertulis "Najib Botakkan Rakyat", "Janji Dicapati", "1Malaysia Minyak Naik", dan "20 sen jer, BR1M kan ado".

Ianya sebagai mesej langsung dan sinis memprotes terhadap tindakan kerajaan yang mengumumkan secara mengejut kenaikan harga minyak dalam suasana rakyat sudah sedia terbeban dengan kenaikan barangan keperluan lain.

Menyahut dan menyokong mesej yang dibawa oleh flasmob itu, pengguna jalan raya membunyikan hon dan ada yang lantang bersuara meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenaikan harga minyak.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, pemuda akan terus menyatakan bantahan berhubung perkara itu dari semasa ke semasa.

"Kita akan bersama-sama Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam beberapa siri program bantahan kenaikan harga barangan ini," katanya.

Nazri tolong ajar saya, kata Rafizi

Harakahdaily, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam nada menyindir meminta Datuk Seri Nazri Aziz "mengajarnya" ekoran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu menuduhnya sebagai bodoh berhubung isu kenaikan harga minyak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau sedia diajar oleh Nazri dan mempelawa menteri kabinet itu untuk sama-sama bersemuka di atas pentas debat ataupun forum.

"Saya sudi untuk berdebat atau bersemuka dengan beliau di dalam satu forum untuk belajar dari beliau apakah sebab-sebab kenapa Barisan Nasional bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak.

"Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nazri semalam yang menyifatkan cadangannya agar menteri menggunakan duit sendiri untuk mengisi minyak, sebagai cadangan bodoh.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau tidak mengambil hati terhadap kata-kata kasar yang dikeluarkan menteri itu malah sedia bersemuka untuk belajar.

Behubung cadangan yang dilontarkannya itu semalam, Rafizi menjelaskan bahawa cadangan tersebut selari dengan kenyataan yang dibuat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, yang mengaku kononnya kementerian di bawahnya sedang menjalankan program penjimatan untuk mengurangkan belanja.

Salah satu cara termudah untuk menjimatkan perbelanjaan dana awam katanya ialah dengan membatalkan keistimewaan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat yang kini dinikmati oleh menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan mereka.

"Ini akan mengajar mereka supaya lebih berhati-hati dalam merancang perjalanan dan program mereka," katanya lagi.

Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat pula ujarnya, tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri.

"Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri Besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka," katanya.

UG: Saya jawablah secara ringkas - Nasrudin

Harakahdaily, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan suka mengambil pendirian PAS yang telah dipertegaskan sejak sekian lama berhubung unity government (UG).

“Saya percaya rakan-rakan pimpinan PAS yang lain juga akan mengambil pendirian yang serupa justeru ia telah dipertegaskan secara bersama sejak sekian lama,” tulis beliau di facebooknya yang bertajuk PAS Menolak Unity Government (UG), sebagaimana di bawah.

[Sehingga pagi ini masih ramai wartawan menghubungi saya bertanya sikap saya mengenai isu Unity Government [UG], termasuklah orang perseorangan mengasak persoalan yang serupa. Saya jawablah secara ringkas...]

1. Beberapa siri mesyuarat PAS Pusat yang lalu telah menegaskan bahawa tiada lagi Unity Government [UG] antara PAS dengan UMNO. Ianya dipertegaskan oleh Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dan ianya dipersetujui oleh AJK Kerja PAS Pusat. Sememangnya PAS bertegas dalam hal ini dan ia bermula sejak awal. Malah masih segar dalam ingatan saya, selepas menerima keputusan PRU ke 12 pada tahun 2008 dan meneliti keperluan semasa pada waktu itu, Tuan Guru Abdul Hadi melalui ijtihad politiknya selaku Presiden PAS telah melontarkan idea Unity Government [UG]. Ijtihad ini dilontar 5 tahun lebih awal dari versi UG berkait dengan Datuk Seri Anwar yang sedang hangat dibincangkan pada hari ini.

2. Namun saya suka mengambil pendirian PAS yang telah dipertegaskan sejak sekian lama. Saya percaya rakan-rakan pimpinan PAS yang lain juga akan mengambil pendirian yang serupa justeru ia telah dipertegaskan secara bersama sejak sekian lama. [melalui 2 siri Muktamar PAS, satu Seminar Politik Khas dan beberapa siri mesyuarat PAS Pusat dan mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat.]

3. Mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku sebelum ini. PAS tidak perlu terseret dan tidak boleh dibiarkan sesiapa menyeretnya dalam apa jua tindakan yang melibatkan prinsip, dasar, polisi dan tindakan politik yang akan memulangkan implikasi kepada PAS.

4. Kiranya PAS mahu mengambil bahagian, maka mestilah terlebih dahulu mendapat kelulusan Majlis Syura Ulamak. Justeru itu tidak wajarlah mana-mana pimpinan PAS membuat keputusan awal bagi mengelak konflik serupa berulang kembali. Pengalaman lepas sangat berharga dan mendidik seluruh warga PAS mendepani cabaran politik semasa.

Minyak: Protes cadang lancar mogok ekonomi

Hazayani Zakaria, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sekretariat Gabungan Memprotes Harga Minyak (Protes) menyifatkan Kerajaan BN sebagai gagal menemui formula berkesan untuk mengurangkan beban hidup rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95 dan diesel.

Menyelar kenaikan sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel itu, ahli jawatankuasa Protes, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, kenaikan tersebut sangat tidak wajar kerana kos hidup rakyat yang sedia ada sudah cukup membebankan.

Tegas beliau, pemerintahan BN khususnya di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU13) hanya bersifat populis dengan mengamalkan 'rasuah dan sogokan kebendaan' untuk memastikan penerusan kuasa mereka.

"Sebab itulah munculnya bantuan 'wang mudah' dalam pelbagai bentuk program 1Malaysia seperti BR1M, KR1M, TR1M dan macam-macam lagi.

"Demikian hodoh dan membazirnya mereka berbelanja dalam meraih sokongan ketika PRU13 dan PRK N01 Kuala Besut. BN mengamalkan sikap bermanis mulut terhadap rakyat dan melakukan pelbagai 'magic bantuan' kononnya meringankan beban rakyat. Namun hakikatnya BN mengamalkan perbelanjaan boros yang mengakibatkan rapuhnya kedudukan kewangan Malaysia.

"Natijahnya kini PM mengagau mencari jalan untuk penjimatan RM1.1 billion dan seperti ikrar mereka 'rakyat didahulukan', didahulukan untuk ditekan, ditindas dan dibebankan dengan dasar pengurusan ekonomi yang sangat muflis idea dan berjiwa pemeras," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, kenaikan harga minyak ini juga merupakan akibat daripada sistem pilihan raya yang tidak bersih dan jumlah kerusi pilihan raya dimanipulasi BN melalui persempadanan kawasan pilihan raya.

"Sehingga walaupun majoriti pengundi yang sedar akan kezaliman dan kelemahan BN telah menolak mereka dalam PRU13 tetapi kerana jumlah kerusi mereka lebih maka mereka kekal memerintah negara dengan segala macam penipuan," jelasnya yang juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP).

Mogok ekonomi

Justeru tegasnya, rakyat perlu bangkit elancarkan mogok ekonomi untuk berhadapan dengan BN yang terlau kerap menipu rakyat dengan membawa dasar-dasar ekonomi yang membelenggu rakyat dengan kehidupan dikelilingi hutang piutang.

Tambah beliau, dengan pelbagai rancangan BN yang lain seperti pelaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST), TPPA dan sebagainya di samping implikasi berantai akibat kenaikan 20 sen RON95, sudah sampai masanya rakyat bersatu hati tidak kira lelaki, perempuan, tua, muda, di kota, di desa, berkerjaya, penganggur, suri rumah dan seluruhnya bangkit serentak melakukan mogok ekonomi ataupun dulunya dipanggil Hari Hartal.

Katanya, Semua pemimpin politik Pakatan Rakyat dan NGO yang bergabung dalam Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak wajar menimbangkan untuk melancarkan mogok ekonomi secara lebih serius.

"Regim pemeras mesti diajar, kepada golongan korporat dan konglomerat kuasa tidak terkecuali golongan tunduk-tunduk angguk-angguk geleng-geleng UMNO BN kita nasihatkan berhenti memeras rakyat.

"20 sen itu adalah makanan orang miskin. 20 sen itu adalah susu bayi marhaen. 20 sen itu adalah keceriaan dan kegembiraan anak-anak gelandangan. 20 sen itu adalah masa depan mereka yang hidup dalam serba serbi kesusahan.

"Jangan sama sekali pandang remeh dengan 20 sen itu kerana 20 sen itu nanti penyebab kepada terhentinya denyut nadi pembangunan negara sehari, dua hari ataupun mungkin seminggu. Barangkali pada ketika itu baru terzahir 'the power of 20 cent' kepada regim pemeras dan konglomerat kuasa," tegasnya.

Tiada ulasan: