Rabu, 4 September 2013

BARANG DAH NAIK SUSAH NAK TURUN ...CONTOHNYA ROTI CANAI

Menteri dicabar buka kedai jika barang hanya naik 0.1%

Salmiyah Harun, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek membuka kedai sendiri sekiranya beliau yakin kenaikan harga barang hanya 0.1 peratus selepas kenaikan harga minyak semalam.

"Elok beliau buka kedai sendiri, kerana dia boleh tentukan harga barang naik 0.1 peratus. Kami akan pergi membeli di kedai dia," tegas Idris kepada Harakahdaily.

Malah Idris (gambar) menyangkal kenyataan menteri berkenaan dan menyifatkan ianya tidak logik dengan kenaikan harga barang hanya 0.1 peratus.

"Kalau harga barang bernilai RM1.00, takkan penjual hendak naikkan RM1.01 paling kurang mereka akan naikkan kepada RM1.10 atau RM1.20. Kenyataan menteri ini sangat tidak logik," katanya.

Beliau yang dipertanggungjawabkan menjaga Kementerian Pengguna dalam PAS, berkata, dalam kes kenaikan harga ayam baru-baru ini kerajaan masih gagal mengawal kenaikan itu akhirnya harga ayam masih mahal daripada biasa.

"Mengawal harga ayam pun kerajaan tidak berjaya, inikan pula dalam suasana harga minyak naik yang memberi kesan berantai sudah tentu sukar untuk mengawal.

"Harga ayam semasa bulan puasa lalu, dari RM6.50 naik kepada hampir RM9.00 akhirnya kerajaan menetapkan harga siling kepada RM7.50, bukankah berlaku kenaikan harga juga. Ini belum diumumkan harga minyak naik," bidas Idris.

Justeru beliau percaya kenaikan harga barang bukan 0.1 peratus sebagaimana jaminan diberikan oleh menteri sebaliknya lebih daripada itu memandangkan kos bahan api yang menjadi inputb utama kepada pengangkutan dan perkhidmatan dalam negara.

"Kerajaan ambil jalan mudah, naikkan harga minyak untuk mendapat pulangan kemudian hendak menutup mulut rakyat dengan memberi bantuan BR1M, dan saya yakin kali ini BR1M akan dinaikkan," katanya.

Semalam Datuk Hasan Malek memberi jaminan kenaikan harga barang hanya 0.1 peratus sahaja selepas harga minyak naik.

Ekoran kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen seliter,  Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) telahpun mula menggesa kos tambang dinaikkan sejajar dengan peningkatan harga minyak.

Sebuah syarikat kontena, Taipanco Sdn Bhd pula dilaporkan akan menaikkan kadar surcharge bahan api.

Harga minyak naik, hadiah BN kepada Rakyat

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 04 Sep 2013
Parti Islam SeMalaysia (PAS) melihat bahawa kenaikan harga minyak yang bermula pada hari ini 3 September 2013 adalah siri pemberian hadiah kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat kerana mengundi BN. Rakyat telah dinafikan hak demokrasi yang sebenar melalui penipuan dan penyelewengan proses pilihanraya, sehingga hak untuk beramal dan mengamalkan logik dalam demokrasi tertutup. Hasil penyelewengan inilah maka rakyat ditipu untuk menolak tawaran PR yang jauh lebih berkebajikan, termasuk menurunkan harga minyak.

Kenaikan terbaru harga minyak ini adalah sesuatu yang pelik. Ini kerana hasil penelitian PAS, tidak berlaku trend kenaikan harga minyak mentah sejak 2 tahun lalu. Malah kuota pengeluaran Pertubuhan Negera Pengeluar Minyak (OPEC) tidak menunjukkan perubahan. OPEC mengekalkan kuota pengeluaran pada 30 juta tong sehari dan trend ini kekal sejak 2 tahun lalu. Ini ditambah dengan pengeluaran Shale Oil yang semakin meningkat dari Amerika Syarikat yang kini mengeluarkan 7 juta tong sehari dari simpanan Shale Oil. Kadar pengeluaran ini dilaporkan akan terus  meningkat ke 9 juta tong sehari dalam tempoh terdekat. Sebagai pengimpot dan pengguna minyak terbesar dunia, sudah pasti ini akan menstabilkan lagi pasaran minyak dunia lantas harga minyak pasti lebih mapan. Berdasarkan fakta ini, tidak logik Malaysia menaikan harga minyak kerana tidak wujud suasana tekanan pasaran.

Sebenarnya tindakan kerajaan BN ini didorong antara lainnya  adalah untuk menampung pembelanjaan kerajaan yang semakin meruncing akibat pembaziran PRU13 dan beban hutang kerajaan yang semakin parah. Ini disahkan oleh tindakan penarafan menurun terkini Fitch Rating terhadap kadar hutang negara.

Jelaslah kerajaan BN bertindak dengan meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat di tempat yang paling bawah. Rakyat seharusnya mengambil pengajaran dari apa yang berlaku dan melihat jauh apakah nasib negara sekiranya terus berada di bawah pemerintahan korup BN. PAS akan bertindak dengan membincangkan dengan segera apakah yang boleh dilakukan dalam masa terdekat ini dalam usaha mengurangkan beban hidup rakyat yang amat terkesan dari kenaikan harga minyak ini.

Presiden PAS

Minyak naik: Rakyat terus jadi mangsa

Jofri Jaraiee, 04 Sep 2013
Setiap kali kenaikan harga minyak berlaku, sudah pasti ramai pengguna kenderaan akan berpusu-pusu membeli minyak di stesen minyak yang berdekatan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Akibat pengumuman secara mengejut dari pihak kerajaan tentang kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter pada 2 september yang lalu, ramai pengguna menjadi kelam kabut di saat akhir untuk mendapatkan bahan bakar itu.

Mereka terpaksa beratur panjang di semua stesen minyak semata-mata mahu memenuhkan tangki petrol mereka agar dapat mengurangkan sedikit pembelanjaan disebabkan harga petrol akan naik keesokkan harinya.

Ada diantara pengguna yang mengadu, mereka yang hendak membeli minyak pada waktu petang disekat kononnya minyak sudah habis. Mengapa perkara semacam ini boleh berlaku?

Sepatutnya pihak kerajaan membuat pengumuman lebih awal agar pengguna tidak menjadi kelam kabut akibat tergesa-gesa hendak membeli minyak di saat akhir.

Penduduk yang tinggal di luar bandar dan pedalaman Sarawak yang masih belum mendapat bekalan elektrik sepenuhnya juga akan menerima kesan dari kenaikan harga bahan api ini.

Di mana masih ramai pengguna di luar bandar yang menggunakan genset atau penjana yang menggunakan diesel atau petrol untuk mendapatkan bekalan elektrik sudah pasti kehidupan golongan ini akan bertambah susah disebabkan kenaikan kos minyak untuk menjana tenaga elektrik akan meningkat.

Walaupun mungkin mereka hanya boleh menggunakan RON95 yang berharga Rm1.90 untuk beberapa hari tetapi cara pihak kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak di saat akhir amat dikesali.

Kesan dari kenaikan harga diesel dan petrol RON95 ini akan menyebabkan kenaikan semua barangan keperluan harian, ini sudah pasti akan menyusul terutama di kawasan pedalaman disebabkan kos pengangkutan akan naik akibat harga diesel dan petrol naik.

Apakah hanya dengan alasan untuk menaikkan BR1M dari RM500 ke RM1,200 menyebabkan rakyat jadi mangsa, bukan semua rakyat yang berpendapatan rendah mendapat BR1M tapi hanya segelintir saja  yang menikmatinya itupun kalau dikira mereka hanya dapat RM100 sebulan kalau dibandingkan kesan harga barang keperluan naik melebihi dari pemberian BR1M.

Sepatutnya perkara ini perlu dikaji semula agar masalah kenaikan harga petrol tidak menyusahkan dan membebankan kehidupan rakyat biasa terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.  Bagi golongan kaya dan jutawan masalah ini boleh dipandang remeh sebab pendapatan mereka melebihi dari kenaikan harga petrol tersebut. Apakah jaminan pihak kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang keperluan harian disebabkan kenaikan harga minyak?

Kita mengesa agar pihak kerajaan dapat menurun semula harga petrol  ke tahap  yang minimum agar ianya tidak menyusahkan kehidupan rakyat biasa. Apa kerajaan BN lupa kepada pengundi mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman yang sudah pasti menerima akibat lebih teruk kesan dari kenaikan harga minyak ini.

Harga barang keperluan harian di luar bandar dan pedalaman Sarawak lebih tinggi dibandingkan dengan harga barangan keperluan di bandar disebabkan kos pengangkutan yang tinggi. Kerajaan yang perihatin sudah pasti akan mengutamakan kepentingan rakyat dulu dari kepentingan pihak kapitalis yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak merangkap YDP PAS Miri

Minyak naik lagi, gaji bagaimana?

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail ,
Tersentak apabila mendapat berita bahawa harga RON 95 dinaikkan 20 sen seliter. Kenaikan itu agak tinggi dan boleh membebankan rakyat yang sudah pun terbeban dengan masalah harga barang keperluan harian yang melambung tinggi sedangkan gaji dan pendapatan keluarga masih ditahap hampir-hampir termasuk didalam kategori sebagai rakyat termiskin di negara ini.

Untuk menyedapkan hati rakyat maka Pak-Pak Menteri saperti biasa akan berkatalah kononnya harga petrol lebih jauh lagi murah daripada negara jiran. Ada Menteri pula beri amaran supaya jangan naikkan harga barang-barang keperluan harian termasuk di pusat-pusat beli-belah dan ada pula mengatakan ia untuk menaikkan lagi ekonomi rakyat Malaysia.

Agak keliru juga dibuatnya, namun setahu saya memanglah harga petrolnya di negara jiran berlipat kali ganda tinggi tetapi kerajaan mereka mampu membayar gaji seimbang dengan kos sara hidup di negara berkenaan dan bukannya gaji masih ditahap lama tetapi harga barangan semakin meningkat sesuka hati itu.

Begitu juga apabila seorang Menteri dengan lantang memberikan amaran supaya jangan ambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan kerana akan mengundangkan inflasi.Dalam hal ini, untuk pengetahuan Pak Menteri berkenaan dan mereka yang bersependapat dengannya bahawa harga barang sudah pun naik melambung dan kami rakyat berpendapatan rendah ini terasa sangat akan bahangnya itu.

Tahukah anda bahawa harga barang-barang keperluan harian kita dinaikkan berperingkat-peringkat tanpa kita sedari seperti dinaikkan 5 sen atau sepuluh sen sehari atau seminggu atau pun sebulan setiap kali dinaikkan harga tanpa membuat pengumuman secara rasmi.

Diharap pihak kerajaan dan pihak swasta hendaklah mengambil contoh sebagaimana negara-negara maju. Lihat Jepun, Singapura atau Hong Kong dan bandingkan dengan kita. Walaupun kos kehidupan di sana tinggi tetapi rakyatnya masih mampu tersenyum kerana apa juga kenaikan kos dapat diseimbangkan dengan pendapatan pekerjanya. Malaysia sebagai sebuah negara yang menuju ke arah negara maju hendaklah juga ikut teori ini kalau mahu melihat kita berjaya dan tiada menghadapi masalah pada masa akan datang.

Dalam masa yang sama benteraslah rasuah habis-habisan tanpa mengira sesiapa sahaja dan apa juga kedudukan mereka. Untuk menjadi sebuah negara maju syarat utamanya benteras rasuah; kedua benteras pendatang asing secara berterusan; ketiganya benteras jenayah habis-habisan kerana jenayah juga boleh mendatangkan musibah kepada pentadbiran dan ekonomi negara dan akhir sekali benteras masalah sosial.

Keempat Kerajaan hnedaklah mengkaji semula dan memperbaiki sistem pentadbirannya agar lebih kemas dan bersistematik dan wajar menirunya daripada negara-negara yang jauh lebih maju daripada kita dan akhir sekali naikkanlah gaji pekerja mengikut keadaan kos kehidupan semasa.

Kita kaya dengan sumber alam dan jika sekiranya kita tahu untuk dimulakan dan dimana,Insya-Allah rakyat akan terbela dan kerajaan akan disanjungi rakyat nanti kerana ini satu amanah perlu ditunaikan.

PAS diberi penghormatan rasmi forum integriti IIM

Harakahdaily, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS diberi penghormatan untuk merasmikan Forum Pengukuhan Integriti Politik anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) yang dijadualkan pada 7 September ini.

Mewakili PAS untuk perasmian tersebut adalah Timbalan Presidennya Mohamad Sabu yang turut dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis itu nanti.

Program ini akan diadakan di Ruemz Hotel, Subang Jaya bermula jam 8.30 pagi sehingga 1.00 tengahari Sabtu ini.

Forum tersebut bakal dibarisi panel seperti Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sutinah Sutan, Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Polisi UiTM Prof Madya Dr Shahruddin Badaruddin, Pengarah Latihan PKR Mustafa Kamil Ayub dan Ahli Parlimen (DAP) Kepong Dr Tan Seng Giaw.

Dihubungi Harakahdaily semalam, Mohamad berkata beliau amat berbesar hati kerana PAS diberi penghormatan untuk merasmikan kursus tersebut.

“Kali ini mereka mahu PAS terlibat, saya amat gembira," katanya.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini, anda boleh mendaftarkan diri melalui pautan seperti berikut:

https://www.facebook.com/events/142006732675552/?ref=22

Kenaikan harga minyak, malangnya rakyat T’ganu

Harakahdaily, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Teori ekonomi menyebut, sebarang kenaikan harga keperluan asas seperti contohnya minyak sebanyak 10% akan mengurangkan kuasa beli pengguna sebanyak 10% juga.

"Teori ini terpakai dalam kes tidak berlaku sebarang kenaikan harga barang," kata Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim (gambar).

Beliau berkata, sekiranya berlaku kenaikan harga barangan yang biasanya menyusuli kenaikan harga minyak, maka peratusan kuasa beli pengguna akan lebih menurun lagi.

"Tak perlulah pihak KPDNKK mengulang-ulang ungkapan lapuk bahawa harga barangan tak akan dinaikkan kerana minyak adalah nadi perdagangan," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, dengan kenaikan harga minyak sebanyak 10% maka rakyat sebagai pengguna memerlukan kenaikan gaji 10% juga, barulah kuasa beli pengguna kembali ke tahap asal dalam kes tidak berlaku peningkatan harga barangan.

Jika sebaliknya, kata beliau maka peratusan kenaikan gaji yang lebih tinggi diperlukan untuk mengimbangi semula kuasa beli pengguna.

Ini, ujarnya adalah sifir mudah untuk menggambarkan senario yang sedang dihadapi oleh rakyat semenjak detik 12:01 tengah malam semalam, 3 September 2013.

Sebagaimana biasa, kata beliau hujah pelarasan subsidi untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negara akan digunakan sebagai alasan kenaikan.
Kerana alasan subsidi ini diulang-ulang siar, izinkan persoalan ini dikemukakan.

"Kerajaan kononnya telah membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk bayaran subsidi minyak. Soalannya, kepada siapakah subsidi berjumlah berbilion ini telah dibayar?" tanya beliau.

Selalunya, kata beliau jawapan yang diterima, subsidi tersebut telah dibayar kepada syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia. Tetapi sedarkah kita hakikat bahawa minyak adalah khazanah milik negara bukannya hak milik syarikat minyak.

"Kenapa kita ‘geger’ sangat kononnya berbilion wang kena bayar subsidi kepada syarikat minyak sedangkan minyak adalah hak milik kita?" soalnya lagi.

Menurutnya lagi, syarikat minyak hanyalah kompeni yang diberi lesen untuk carigali dan proses. Polisinya tetap di tangan kerajaan.

Katanya, di negara-negara yang harga minyaknya murah untuk kegunaan rakyat, sebahagiannya adalah dicarigali dan diproses oleh syarikat-syarikat minyak antarabangsa yang sama dengan syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia.

Malah, ujarnya Petronas sendiri juga turut mengusahakan carigali minyak di negara-negara lain seperti Sudan dan Iraq.

"Adakah negara-negara tersebut ini turut membayar subsidi kepada Petronas supaya rakyat mereka boleh menikmati harga minyak yang murah?" soalnya.

Beliau menambah, semua negara-negara lain yang mengeksport minyak, mereka juga mengeksport berpandukan kepada nilai harga pasaran antarabangsa yang ditentukan OPEC, tapi setiap negara pengeluar tak tertakluk kepada peraturan harga OPEC untuk kegunaan rakyat sendiri dalam negara.

Jelasnya, negara-negara seperti Brunei, Arab Saudi dan Kuwait, mereka juga menjual minyak di pasaran antarabangsa dengan harga semasa dunia, tetapi kenapa untuk kegunaan tempatan harga yang ditawarkan negara-negara jauh lebih murah.

"Kita di Terengganu ibarat Kuwait Malaysia. Malang sungguh apabila tiada sebarang keistimewaan yang mampu kita nikmati dari status ini.

"Sudahlah kita negeri adalah yang paling miskin di Semenanjung Malaysia, nak dapat harga minyak lebih murah untuk rakyat Terengganu adalah mimpi di siang hari," katanya.

Baginya, mustahil menjadi kenyataan selagi yang berkuasanya adalah Umno BN.

"Rakyat Terengganu sepatutnya merasa iri dengan pesatnya pembangunan di Ibu Kota yang sebahagiannya dibiayai dari hasil minyak yang dikorek dari perut bumi kita. Tapi kita hanya mampu menjadi penonton," katanya.

Akhirnya, ujar beliau janganlah diulang-ulang lagi bahawa harga minyak di Singapura dan Thailand adalah lebih mahal dari Malaysia kerana ia ibarat membandingkan harga rambutan di Kuala Berang dengan harga rambutan di Kota Singa itu.

"Di samping Singapura bukan negara pengeluar minyak, kajilah berapa pendapatan perkapita rakyat mereka. Hujah sebegini terlalu dangkal dan bodoh serta menggambarkan rendahnya tahap pemikiran pengucapnya," katanya.

Tiada ulasan: