Khamis, 1 Ogos 2013

MUNGKIN BOLEH MEMBANTU 2

Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Mantan TPM Malaysia (Bahagian Pertama).


Solat berjemaah yang diimamkan oleh Datuk Seri Ustaz Abdul Hadi Awang.
Saat indah bersama Tun Dr M dan Tun Khalil Yaakob di Pahang.
Kalau kita hendak membuat sesuatu, adalah menjadi kenyataan yang kita perlukan kedudukan tertentu. Sekalipun kita mempunyai idea yang baik tetapi kerana kita tidak mempunyai kedudukan tertentu, sukar bagi kita untuk melaksanakan idea tersebut.” – DSAI, 1982.

_________________________________________________

DSAI sewaktu jaman mudanya.
Sewaktu memimpin ABIM: Penuh karismatik.

Anwar Ibrahim
Semenjak dari zaman belia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) -- lahir 10 Ogos 1947 -- merupakan seorang individu yang popular. Dilahirkan di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang (sesetengah sumber menyatakan beliau lahir di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan), nama ‘Anwar’ bermaksud ‘bercahaya’. Beliau mula dikenali sebagai tokoh muda yang datang daripada keluarga UMNO dan pengajiannya adalah bidang Melayu. Bapa beliau, Haji Ibrahim bin Abdul Rahman merupakan mantan Ketua UMNO Bahagian Seberang Perai, Ahli Parlimen Seberang Perai Tengah, Setiausaha Parlimen kepada Menteri Kesihatan dari 1954-1969. Manakala ibunya, Che Yan Hussein ialah mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Mertajam. Semasa kecil, DSAI sering dibawa ke majlis-majlis ceramah Wanita UMNO. Kendati pun, DSAI akhirnya muncul daripada tradisi revolusioner dan kepembangkangan Malaysia.
_________________________________________________

Kak Wan sewaktu menjadi mahasiswi.
Kak Wan disambut mesra, sewaktu mengadakan
lawatan ke sebuah hospital pada 1983.
DSAI dan Datin Seri Wan Azizah (Kak Wan) sewaktu hari persandingan mereka.


Kak Wan dan DSAI, berpakaian sedondon, dalam satu majlis yang dihadiri
sewaktu DSAI masih menjadi TPM.
DSAI dan Kak Wan, di hadapan Taj Mahal.
Perkahwinan
Pada tahun 26 Februari 1980, DSAI berkahwin dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Datuk Ismail seorang penuntut Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland yang kemudiannya bertugas di klinik mata di Hospital Universiti, Petaling Jaya. Majlis menyambut pengantin pula diadakan pada 28 Februari tahun yang sama. Mereka berdua diijabkabulkan sewaktu DSAI yang ketika itu merupakan Presiden ABIM, berusia 32 tahun. Angkatan peminangan telah dijalankan pada tahun 1979 yang diketuai oleh Ustaz Nik Mahyuddin Musa, ketika itu Ketua Pengarah Bahagian Pelajaran Agama, Kementerian Pelajaran. Rombongan ini juga disertai oleh Ustaz Ahmad Awang, Puan Zaleha Haji Ali (ipar Dr Mahathir) dan lain-lain lagi. Sebagai penggerak kepada gerakan mahasiswa dan belia, DSAI sentiasa dilihat sebagai ‘aktivis nakal’ kepada pemerintah pada waktu itu, sekaligus saat beliau menyatakan hasrat mahu menyunting Dr Wan Azizah, ada ketidaksetujuan daripada Datuk Wan Ismail Wan Mahmud (ayah Dr Wan Azizah). Namun, semuanya menjadi sangat baik selepas lahirnya cahaya mata sulung mereka, Nurul Izzah. Dilahirkan pada 1952, Dr Wan Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Konvent St. Nicholas, Alor Setar. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke Kolej Tunku Kurshiah di Seremban. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Ireland di mana beliau mendapat ijazah dalam bidang obstetrik and ginekologi dan kemudian menjadi seorang pakar oftalmologi. Beliau telah berhenti daripada kerjaya beliau dalam tahun 1993, apabila DSAI dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dr Wan Azizah mewarisi keturunan Peranakan Cina dari datuk sebelah ayahnya.

_________________________________________________

DSAI menyantuni puteranya, Ihsan.



Perkahwinannya dengan Datin Seri Azizah dikurniakan seramai 6 orang cahaya mata. Anak-anak beliau ialah: Nurul Izzah, Mohd Ihsan, Nurul Nuha, Nurul Hana, Nurul Ilham dan Nurul Iman.
_________________________________________________

Nurul Izzah, sewaktu jaman kecilnya.
Puteri Reformasi.
Antara imej yang paling popular sewaktu
PRU 2008.



Anak sulungnya, Nurul Izzah, kini merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Nurul Izzah, yang terkenal dengan gelaran Puteri Reformasi -- kerana penglibatan secara langsung dalam perjuangan membela bapanya, DSAI -- menang di dalam pilihanraya umum pada 8 Mac 2008, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Raja Ahmad Shahrir dan mereka telah dikurniakan dua orang cahayamata, Raja Nur Safiyah dan Raja Harith. Memiliki ijazah sarjana muda di dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional, beliau kemudiannya menyambung pengajian di peringkat sarjana di School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, D.C. di dalam bidang Kajian Asia Tenggara, Hubungan Antarabangsa.

_________________________________________________

DSAI sewaktu jaman MCKK. Segak.
DSAI (no.2 dari kanan) bersama sahabat MCKKnya.
Pendidikan Rendah dan Menengah
Semasa kecil, DSAI bersekolah rendah di Sekolah Melayu Sungai Bakap, Sekolah Melayu Cherok Tok Kun dan Sekolah Rendah Stowell, Bukit Mertajam. Dengan mendapat keputusan Darjah 6 yang cemerlang, beliau telah dipilih memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Tingkatan Satu pada tahun 1960. Beliau meneruskan pengajian persekolahan menengahnya di MCKK dari tahun 1960 hingga 1966. Semasa di MCKK, beliau telah melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan yang dianjurkan. Beliau telah mewakili MCKK di dalam pertandingan bahas antara sekolah-sekolah dan kerana sifatnya yang aktif, bijak dan cemerlang pemikirannya. Beliau juga aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan wakil pemidato sekolahnya. Semasa di MCKK, DSAI mengenali Tan Sri Sanusi Junid, Dato’ Kamaruddin Jaafar dan Tan Sri Yahaya Ahmad. Sewaktu bersekolah di MCKK, DSAI merupakan Setiausaha Badan Revolusi Agama semasa di Tingkatan 3, di mana Pengerusinya ialah Tan Sri Sanusi Junid yang menuntut di Tingkatan 6 Atas. 
_________________________________________________

DSAI sewaktu menuntut di UM.
DSAI di Taj Mahal, India.
Belajar di Universiti Malaya
Selepas itu, pada tahun 1967, DSAI melanjutkan pelajaran tinggi di Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu (Sastera). Menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1971 setelah lima tahun menuntut di universiti itu. Semasa menuntut di universiti, kepimpinan beliau juga terserlah di mana beliau telah mengasas dan menjadi Presiden Pesatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Presiden Kesatuan Bahasa Melayu pada tahun 1968. Dari tahun 1968 (sewaktu berusia 21-24 tahun), beliau telah menjadi Presiden PBMUM dan PKPIM, dan selepas itu menumpukan perhatiannya kepada PKPIM dari tahun 1968 hingga 1971. Pada tahun 1971, beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya. Selepas menamatkan pengajian di UM, beliau membuka sekolah swasta, Yayasan Anda Akademik di Bangunan Sri Pantai Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur (bersebelahan UM), di mana beliau menjadi pengetuanya. Yayasan ini telah melahirkan ramai pemimpin dan tokoh akademik seperti Dato’ Suhaimi Ibrahim dan Prof Datuk Dr Ridzuan Arip. Untuk rekod, sekitar 1973-1974, DSAI merupakan Tutor mata pelajaran ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pensyarah untuk subjek ini adalah Prof Syed Muhammad Naguib al-Attas. Semasa di Yayasan Anda Akademik, aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan menjadi Presidennya dari tahun 1972-1982. Antara yang mengajar di Yayasan Anda ialah DSAI sendiri, Saudara Ruslan Kassim dan Datuk Zahid Hamidi. 
_________________________________________________




DSAI, menyampaikan ucapan selaku Presiden ABIM.
DSAI sewaktu jaman ABIM. Turut kelihatan, Dato' Kamaruddin Mohd Noor (KMN).

YB Ibrahim Ali, mantan Presiden Kesatuan Siswa ITM.
Saudara Kamarazaman Yaacob, mantan Presiden PMUM.
Saudara Hishamuddin Rais, mantan Setiausaha Agung PMUM).
Almarhum SN Pak Usman Awang, sasterawan dan pejuang bersama
Pak Isham (Tukar Tiub).

Syed Hamid Ali, mantan Setiausaha Agung PSRM.
Mahasiswa Menggugat
Di Malaysia, dekad 70an menyaksikan gerakan dakwah menggantikan tempat gerakan kiri di kampus. DSAI bersama rakan-rakannya telah mengorak langkah, menghidupkan sebuah badan dakwah untuk menunggang gelombang baru ini. Inilah: Angkatan Belia Islam Belia Malaysia (ABIM).
* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah ABIM, boleh rujuk pautan ini: ABIM: Imbauan Empat Dasawarsa.
Sewaktu dekad tersebut, lahirlah tokoh pejuang mahasiswa dan rakyat seperti - sekadar menyebut beberapa nama - DSAI sendiri (Presiden ABIM), Hishamuddin Rais (Setiausaha Agung PMUM), Ibrahim Ali (Presiden KSITM), Kamarazaman Yaacob (Presiden PMUM), Adi Satria (Penolong Setiausaha Agung PMUM), Prof Syed Husin Ali (Universiti Malaya), Syed Hamid Ali (Setiausaha Agung PSRM), Prof Tengku Shamsul (Universiti Malaya), K.S.Nijar (Universiti Malaya), Lim Mah Mui (Universiti Malaya), Sabiha Abd. Samad (ITM), Ab. Rahman Rukaini (Yang Dipertua PMUKM), dan Ahmad Kamal Selamat (Yang Dipertua PMUSM).
_________________________________________________

Prof Diraja Ungku Aziz, sewaktu menjadi Naib Canselor UM.


YB Ibrahim Ali dan DSAI, sewaktu ditahan di Kamunting, Perak.
Ditahan di bawah ISA
Fahaman sosialisme begitu mendominasi pelajar pada awal dan pertengahan tahun 60an. Meskipun telah muncul aliran pelajar berfahaman Islamis, namun kumpulan itu masih dianggap lemah. Pada 13 Mei 1969, kedua aliran pelajar ini telah bergabung tenaga menyertai demonstasi 13 Mei dan sebelumnya mengadakan protes ‘anti-Tunku’ -- Tunku Abdul Rahman (Almarhum), Perdana Menteri Malaysia yang pertama. DSAI pernah berada di pentas PAS dan mengkritik Tunku Abdul Rahman (Almarhum) berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Pertubuhan, kemiskinan, ekonomi dan lain-lain. Beliau telah bangun memimpin persatuan pelajar dalam usaha mengggesa kerajaan menjaga hak dan kepentingan orang Melayu dan umat Islam apabila berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Beliau telah bertindak dan berganding bahu bersama Dr. Mahathir Mohammad (Dr M) yang 21 tahun lebih tua daripadanya, menentang Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman. DSAI menjadi sahabat Dr M setelah beliau (Dr M) dipecat dari UMNO pada 1969 kerana menulis surat terbuka mengkritik Tunku Abd Rahman. Dr M menuduh Tunku mengabaikan hak-hak orang Melayu. Berikutan pemecatannya, Dr M menjadi popular di kampus-kampus universiti dan kerap diundang untuk berucap kepada pelajar-pelajar dalam kempen menuntut Tunku meletakkan jawatan.
DSAI pernah digelar (dianggap) pemimpin pelajar yang militan, ‘anti-establishment’ dan radikal oleh sesetengah pihak. Beliau juga dikatakan mempunyai matlamat perjuangan yang jelas dan pemerhatian yang tajam terhadap isu-isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat khususnya masyarakat Melayu luar bandar. Sewaktu berusia 27 tahun, beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Penjara Kamunting selama kurang lebih 2 tahun (1974-1976) kerana demonstrasi jalanan, berhubung apa yang didakwa sebagai kemiskinan tragis di Baling, Kedah. Demonstrasi anti-kemiskinan tersebut dijalankan dalam keadaan ekonomi yang meleset dalam tahun 70an dan kejatuhan harga getah yang amat ketara ketika itu. Peristiwa Baling bermula pada 19 November, 1974, apabila lebih 1,000 petani menunjuk perasaan. Tunjuk perasaan petani itu berterusan pada 20 dan 21 November 1974. Pada 21 November, lebih 13,000 penduduk berarak ke Pekan Baling kerana penderitaan dan kesengsaraan hidup yang menghimpit mereka disebabkan harga hasil pertanian mereka jatuh dan meningkatnya harga barang keperluan harian ekoran inflasi. Apabila ternyata kerajaan tidak berbuat apa-apa dalam tempoh yang diberikan, satu tunjuk perasaan yang melibatkan 30,000 orang, telah diadakan di Baling pada 1 Disember, 1974.
Perjuangan petani-petani Baling itu telah mendapat sokongan golongan pelajar di semua universiti dan Institusi Pengajian Tinggi tempatan. Satu demonstrasi besar-besaran lebih 5,000 orang pelajar telah diadakan di Padang Kelab Selangor pada 3 Disember, 1974. Mereka membuat tuntutan, diantaranya; pertama; kerajaan hendaklah menyelesaikan masalah inflasi dengan segera; kedua; harga getah hendaklah dinaikkan keparas yang munasabah; ketiga; semua Menteri atau Menteri Besar yang rasuah hendaklah disingkir dan dihukum. Oleh kerana pemimpin ABIM dan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) pada waktu itu adalah sama (DSAI), maka Kementerian Belia dan Sukan di mana Pengarah Belianya iaitu Dato’ Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) telah mencadangkan untuk mengharamkan MBM dan menubuhkan badan induk baru untuk belia bernama Majlis Belia Kebangsaan (MBK). Rancangan ini didukung oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Harun Idris (Allahyarham) yang juga menjadi Menteri Besar Selangor dan pergerakan belia 4B yang dipimpin oleh Dato’ Haji Shuhaimi Kamaruddin, iaitu anak saudara Dato’ Harun.
Walaupun terdapat badan-badan gabungan yang menarik diri dari bergabung dengan MBM (seperti Malaysian Association of Youth Club (MAYC); Majlis Belia Hindu; Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS); Persaudaraan Belia Methodist Malaya; Pergerakan Pekerja Pemuda Kristian; ABIM; dan PKPIM), namun di akhir tahun 1970an, penyertaan dan penyatuan semula pertubuhan tersebut telah mengembalikan kekuatan dan reputasi MBM. Penting untuk dinyatakan di sini, satu rang undang-undang berkenaan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971 dibentangkan di Parlimen dan diwartakan pada 12 Mei 1975. Dengan berkuatkuasanya akta tersebut, semua pertubuhan dibubarkan dan berakhirlah satu zaman di mana gerakan pelajar merupakan satu gerakan sosial dan politik yang penting. Sebagai gantinya, kerajaan membenarkan di setiap kampus ditubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Selepas pengutkuasaan akta tersebut, persatuan mahasiswa yang dahulunya begitu dikagumi dan dihormati seolah-olah ‘lumpuh’ seketika.
_________________________________________________


Berikut adalah catatan ringkas DSAI semasa zaman belia beliau:
• 1968 (sewaktu usia 21-24 tahun): Menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM);
• 1969 (sewaktu usia 21-24 tahun): Berganding dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun), berdiri di atas pentas PAS mengkritik Tunku Abdul Rahman;
• Selepas 13 Mei, Majlis Belia Malaysia (MBM) lebih bersemangat, program-program banyak diaturkan. Walaupun sedikit sahaja rancangan yang dapat dilancarkan, namun MBM telah berjaya memperlihatkan ‘keperibadianya’ dari unsur kewujudan ‘pressure group’ bagi pihak belia. Dua puluh tahun lamannya MBM kurang disambut oleh pertubuhan belia Melayu. Tetapi, tahun 1970-1971 memperlihatkan keadaan yang berbeza. MBM sudah mula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa persidangan dan seminar kebangsaan. Untuk tahun 1970-1971 ini, Tengku Abdullah telah mendapatkan tenaga aktif yang telah dilatihnya iaitu DSAI sebagai Setiausaha Agung. MBM sudah merobahkan cara berfikir dan bertindak serta meningkatkan aktivitinya. Nada MBM juga menunjukkan satu perubahan yang ketara dalam masa 20 tahun MBM bergerak. Daripada pelbagai seminar telah dilahirkan aliran perjuangan belia masa ini, ia menjadi ‘pembicara kepada rakyat, penyambung lidah kepada pemerintah’ dan gerakan belia merupakan gerakan yang serius, bukan sekadar mengisi kekosongan waktu belia-belia dengan aktiviti-aktiviti semata-mata. Kemudian, belia-belia merupakan agen masyarakat dan ‘conscience masyarakat’. MBM pada tahun 1971-1972 sudah bertolak lebih jauh dalam mencari keadah-keadah bertindak yang baru. MBM sedang menuju ke puncak.
• 1971 (sewaktu usia 21-24 tahun): Menubuhkan ABIM dengan rakan-rakan beliau daripada MCKK;
• 1972-1973 (sewaktu usia 22-24 tahun): Menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). DSAI berjaya mengubah wajah MBM, daripada pertubuhan sukarela biasa kepada MBM yang lebih komited dengan permasalahan negara dan manusia sejagat. DSAI mahu pemimpin MBM ditegur sekiranya terdapat kesilapan. Seharusnya, terdapat sikap toleransi MBM terhadap keangkuhan dan penyelewengan pemimpin. Sekiranya teguran membina tidak dilayan, pemimpin wajib disingkirkan. DSAI meletakkan MBM sebagai golongan pendesak yang berani menegakkan kebenaran dan keadilan. Blueprint MBM berteraskan kepada hak dan keadilan berorentasikan kepada perjuangan majoriti masyarakat. DSAI memang tidak disangkal membawa perubahan besar dalam aliran MBM. Kini telah lahir kepimpinan bentuk baru dalam organisasi belia iaitu satu kepimpinan yang lebih ‘vocal’, lebih kritis dan lebih menyedari permasalahan negara dan dunia kontemporari;
• 1973: Pemimpin negara di dalam dan luar negeri mengakui ketokohan dan kebolehan DSAI. Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, Perdana Menteri Malaysia kedua telah menawarkan jawatan untuk mewakili Belia Malaysia dalam Badan Dunia ‘United Nation Coucil For Youth’ yang beribu pejabat di Bangkok. DSAI dengan hormat menolak tawaran lumayan tersebut;
• Begitu juga apabila Allahyarham Dato’ Mohd Asri Muda ketika menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar telah menawarkan jawatan di kementerian beliau untuk DSAI. Tawaran ini juga telah ditolak oleh DSAI;
• 1974 (sewaktu usia 27 tahun): Ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) di Kamunting, Perak;
• 1979: Menerima Pingat Ulama Eqbal 100 Tahun daripada Presiden Zia Ul-Haq, Presiden Pakistan;
• Menerima gelaran Datuk daripada Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di Istana Pekan, Pahang dan daripada Sultan Selangor kemudiannya.

_________________________________________________



Pemimpin Mahasiswa
Tahap pertama bermula sebagai pemimpin mahasiswa di Universiti Malaya. Sebagai presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBUM), DSAI memperjuangkan perlaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DSAI terkenal sebagai pemimpin barisan hadapan mahasiswa ketika itu; sebaris dengan nama-nama besar seperti: Ibrahim Ali (kini Datuk), Kamarazzaman Yaakob dan Hishamuddin Rais (sekadar menyebut beberapa nama). Sebagai Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), beliau mula meniupkan kesedaran Islam di kalangan generasi muda. Gerakan ini diteruskan dengan lebih meluas dengan menubuh dan memimpin selama sembilan tahun, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kemampuan DSAI sebagai seorang pemimpin yang komited dapat dilihat dari usaha beliau menubuh dan memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) sehingga menjadi sebuah pertubuhan belia yang berpengaruh dan diterima oleh masyarakat dalam usahanya mendaulatkan Islam sebagai ‘ad din - satu cari hidup’.
ABIM pada masa awal penubuhannya telah menarik minat seramai kurang lebih 40,000 orang untuk menyertainya. Keahlian ABIM ini adalah yang kedua terbanyak selepas Pemuda UMNO. ABIM di bawah kepimpinan DSAI telah muncul menjadi pertubuhan yang popular kerana sikapnya menentang ketidakadilan dalam kerajaan dan juga di luar negara. Dalam Muktamar ABIM, DSAI menyatakan bahawa, “…la (ABIM) harus bertindak sebagai penyambung risalah yang benar-benar bererti - tidak mudah diwarnai oleh suasana atau digugat dengan tekanan, tidak mungkin mengizinkannya diperalatkan oleh mana jua kepentingan non-Islam bahkan tidak boleh tampak sebagai gerakan yang boleh berjalan seiring atau co-exist dengan fahaman-fahaman rekaan manusia lainnya. ABIM juga harus lantang sebagai pembicara umat dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.”
Beliau telah menunjukkan sifat kepimpinannya dengan menyatukan beribu-ribu orang penduduk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama dengan menjadi Pengerusi bagi Jawatankuasa Penyelaras Akta Pertubuhan 1981 untuk menentang Akta Pindaan Pertubuhan 1981. Beliau telah berjaya menyatukan 48 buah pertubuhan daripada berbagai aliran dan bangsa seperti Persatuan Pertubuhan Malaysia, Pusat Profesional Malaysia, ALIRAN, Persatuan Penggna Pulau Pinang dan Majlis Peguam Malaysia. Beliau menentang rang undang-undang ini kerana ketidakadilan yang melanggar pinsip Islam dan demokrasi. Kebijaksanaan dan kekuatan dirinya telah menyebabkan pihak kerajaan terpaksa berunding dengan jawatankuasa tersebut dan mengkaji semula Akta Pertubuhan tersebut. Kepimpinan beliau yang tegas dan berani dapat dilihat apabila beliau bangkit dan membantah keras pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan dalam tahun 1980. ABIM telah mengadakan perhimpunan yang dihadiri seramai 40,000 orang untuk membantah pencerobohan dan bersetuju untuk menghantar utusan yang diketuai oleh DSAI ke kedutaan Rusia. Beliau mempunyai fikiran dan pemerhatian yang tajam dan gaya berpidato yang dikagumi ramai termasuk masyarakat antarabangsa. Meskipun tapak beliau adalah Melayu-Islam, namun sifat inklusif beliau telah kelihatan dalam kepimpinan beliau sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
_________________________________________________
Pertemuan bersejarah Almarhum Tun Razak dan  Tun Dr M di Morib.
Almarhum Tun Hussein Onn dan Tun Dr M.

Pada 16 Julai 1981, Dr Mahathir mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri Malaysia yang baru, menggantikan Tun Hussein Onn (Allahyarham).
_________________________________________________


DSAI kelihatan ceria sewaktu mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO-BN,
sambil diperhatikan oleh PM ketika itu, Tun Dr Mahathir.
Tidak menyertai PAS
DSAI pernah dikatakan akan menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS). Hal ini demikian kerana, ABIM di bawah pimpinan DSAI memberi imej berikat-rapat dengan PAS. Haji Subki Latif dalam bukunya, “Siapa Ganti Asri” menamakan DSAI sebagai sosok yang akan mengambil teraju PAS daripada Datuk Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham). Akhbar The Straits Times Singapura pada 3 September 1980 pula, pernah melaporkan ramalan yang mengatakan bahawa “…Mr. Anwar would be the logical successor as there was no PAS leader of sufficient stature to rebuild the shattered party after its dismal performance in Kelantan state.” Di samping itu, bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr. Chan Man Hen semasa persidangan wakil-wakil rakyat DAP, di mana DSAI hadir sebagai pembentang kertas kerja, Ogos 1980 juga meramalkan kemungkinan DSAI menjadi pemimpin PAS. DSAI sendiri ketika menjadi Presiden ABIM, semasa ditanya tentang sikap ABIM mengenai politik menegaskan, “…tetapi sebagai pertubuhan dakwah yang berlandaskan Islam, sudah tentulah ABIM menggalakkan ahli-ahlinya memilih corak partai yang jelas matlamat keislamannya.”
Setelah ditendang keluar oleh BN, PAS mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum (PRU) 1978. Pemimpin siasah Islam Indonesia mengirim surat kepada Dato Asri supaya menerima tokoh-tokoh ABIM. Pada tahun tersebut juga, Pak Natsir datang ke Malaysia. Beliau menilai masa itu “PAS lesu darah” perlu disuntik darah baru dan segar. Beberapa pemimpin kanan ABIM menyertai PAS menjelang pilihan raya dan bertanding atas tiket PAS. Sesetengahnya menjadi pimpinan PAS. Antaranya ialah Nakhaei Haji Ahmad (kini Dato’ Haji), Datuk Fadzil Noor (Almarhum), Ustaz Azizan Abdul Razak (kini Dato’ Seri), Ustaz Abu Bakar Chik, Haji Mohamad Sabu (Mat Sabu), Ustaz Abdul Halim Arshad, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Muhamad Daud Iraqi, Ustaz Ibrahim Libya (Allahyarham), Syed Ibrahim Abdul Rahman, dan ramai lagi. Bekas Ketua (Yang Dipertua) ABIM Terengganu, Ustaz Haji Abdul Hadi Awang (kini Datuk Seri), juga menyertai PAS dan menjadi pemimpin parti tersebut tidak berapa lama kemudian.
* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Fadzil Noor, boleh rujuk pautan ini: Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan.
* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Hadi Awang, boleh rujuk pautan ini: Ayah Chik: Presiden PAS.
Sementelahan, beberapa pemimpin Suara Al-Islam yang ditubuhkan pada tahun 1975-1976 oleh beberapa pelajar Islam Malaysia di UK, turut menyertai PAS ketika bermulanya era Al-Ustaz Yusuf Rawa (sekitar 1982-1983). Antara tokoh Suara Al-Islam ialah YB Khalid Samad dan Saudara Ishak Ali. Namun, DSAI membuat keputusan ‘decisive’ dalam tahun 1981. Desas-desus adalah beliau akan menyertai PAS. Malahan, Datuk Asri sanggup mengundurkan diri dari jawatan Yang di-Pertua (kini jawatan Presiden) PAS untuk memberi laluan kepada DSAI. Semua pimpinan ABIM dan PKPIM tahu akan khabar angin tersebut. Dan, hampir kesemua meramalkan dan tidak sedikit yang mahukan DSAI mengambil alih pucuk pimpinan PAS. Kendati pun, dalam masa PAS menunggu kemasukan Presiden ABIM, DSAI ke dalam PAS, tiba-tiba DSAI menyertai UMNO.
_________________________________________________

Tun Dr M, sewaktu awal pentadbirannya, cukup sinonim dengan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah.

Tun Dr M bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah.
DSAI mengumumkan keputusannya untuk bergerak cergas dalam politik UMNO ‘kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr Mahathir’. Disaksikan Dr M, DSAI dengan penuh sedar menyatakan kepada wartawan bahawa, “Saya memilih UMNO kerana ia memberi ruangan kepada saya untuk meneruskan perjuangan saya dan saya memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan parti yang beliau pimpin. Kami berharap akan dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat negara ini.”

_________________________________________________

Antara Strategi, Alasan dan Sebab
Antara alasan popular sewaktu kemasukan DSAI ke dalam UMNO ialah, beliau mahu “mengIslamkan UMNO dari dalam.” DSAI juga pernah menyatakan bahawa kemasukan beliau ke dalam UMNO antara lain adalah kerana persepsi beliau, bahawa terdapat persamaan antara wadah ABIM dan UMNO. Kendati pun, pemerhati politik berpandangan bahawasanya persamaan tersebut terjadi kerana DSAI sendiri ingin supaya ia menjadi sama. Hal ini dilihat sebagai satu proses nujuman kesempurnaan kendiri: di mana apabila beliau mengamati situasi itu sebagai sama, beliau bergerak dengan cara yang sama, sehingga situasi menjadi betul-betul sama. Sementelahan, ramai yang bersependapat keputusan DSAI tidak menyertai PAS bukanlah sesuatu yang pelik, kerana DSAI dianggap telah menghitung masa depan politik peribadinya sendiri. Kemunculan gelombang golongan ustaz (ulamak) untuk berkuasa, dan perletakan benteng Dewan Ulama PAS merupakan faktor-faktor yang dianggap telah difikirkan DSAI.
Ustaz Ahmad Awang, mantan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan mantan Naib Presiden PAS, dalam satu wawancara dengan Suria Janib, wartawan majalah Tamadun, pada November 1998, menyatakan bahawa Dr Ismail Raji al-Faruqi, mempunyai peranan besar dalam kemasukan DSAI ke dalam UMNO. Dr Ismail Faruqi merupakan Profesor Agama di Temple University, di mana beliau mengasaskan dan mempengerusikan program Pengajian Islam. Beliau juga merupakan pengasas International Institute of Islamic Thought. Beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden ‘Inter-Religious Peace Colloqium’, ‘The Muslim-Jewish-Christian Conference’ dan sebagai Presiden American Islamic College di Chicago, Amerika Syarikat. Ustaz Siddiq Fadzil menyatakan bahawa, peristiwa tahun 1982 tersebut menyebabkan ABIM terpaksa melalui jalan getir dan pahit, mendepani berbagai kritikan dan pukulan dari berbagai pihak. ABIM ketika itu tetap berusaha untuk terus tampil sebagai gerakan ‘non-partisan’, meskipun memang diakui jalan itu tidak mudah, dan untuk bersetuju atau tidak bersetuju sewaktu era ‘Wawasan 2020-Masyarakat Madani’--‘Dr M-DSAI.’
Namun, ABIM tetap berikhtiar membantu program yang positif untuk kemaslahatan umat, dan ini dilakukan dengan kesedaran dan keikhlasan. Kata Ustaz Siddiq Fadzil lagi, “…kita (ABIM) tidak meminta apa-apa, apa lagi ghanimah. Sebab itulah apabila kita tidak dapat apa-apa dan tidak diberi apa-apa, kita tidak marah apalagi mengamuk. Masa itu kita cuba realistik tetapi tetap dengan prinsip.” Penyertaan DSAI ke dalam UMNO juga menyebabkan pengaruh PKPIM-ABIM menjadi sedikit menurun, di mana kumpulan Republik Islam yang pro-PAS telah mengalahkan kumpulan PKPIM-ABIM dalam pemilihan tampuk kuasa PMIUM pada tahun 1983.
Akhbar The Star pada 30 Mac 1982 melaporkan sebab DSAI menyertai UMNO: ‘Encik Anwar Ibrahim said today he had chosen to go into politics because of the changes wrought by the new Goverment leadership. He said his basic reason was this trust and confidence in Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad and the changes made since he became Prime Minister. “More importantly, we share the same beliefs and ideals... These changes with which he agreed left him with “no alternative but to give him, his party and his Government my full support,” he said.’ Akhbar itu juga memetik kenyataan DSAI yang menegaskan: “I have not resigned my principles in entering politics through UMNO. I didn’t discuss any specific terms before joining...we discussed general principles. My views on the Societies Act and the ISA are still there. I have always had a good personal relationship with Datuk Seri Dr Mahathir. He has been open to harsh criticism from me even when it was crudely expressed. ABIM leaders have accepted my decision that I should become active in politics for the sake of national unity and continue my struggle for Islam.”
Pada 1 April 1982, iaitu 3 hari selepas DSAI menyertai UMNO, sebuah buku kecil bertajuk ‘Kenapa Kami Tidak Pilih Umno?’ telah diterbit dan disebarkan oleh kumpulan yang dinamakan sebagai ‘Jemaah Muslim Malaysia’. Kebanyakan ahli-ahli IRC, terutamanya mereka yang menuntut di United Kingdom, mendakwa pengkhianatan DSAI terhadap gerakan Islam di Malaysia sebagai ‘sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.’ Hal ini mengakibatkan Islamic Representative Council (IRC) yang cenderung kepada Ikhwanul Muslimin dan bergerak secara rahsia, cuba menonjolkan dirinya sebagai gerakan Islam alternatif, terutamanya di kalangan mereka yang berada di institusi pengajian tinggi. Keengganan DSAI menyertai PAS menyebabkan ada yang menuduh DSAI sebagai kecewa dan mengaku kalah sebelum berperang dengan UMNO. Tindakan DSAI ini dianggap ‘tidak syar’ie’. Namun, sewaktu dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 8 Februari 1999, DSAI mendedahkan bahawa beliau telah pun ‘mula jadi ahli UMNO tahun 1967, tetapi aktif hanya pada 1982’. Malahan, pada 14 Mei 2011, ketika berucap dalam Forum Pengkisahan Semula Angkatan Belia Islam (ABIM) di Unisel (cawangan Shah Alam), DSAI membuat pengakuan terbuka bahawa beliau tidak pernah menyesal menyertai Umno pada 1982. Menurut beliau, “Saya tidak pernah kesali dengan keputusan menyertai UMNO. Pengalaman itu juga mematangkan saya.”
_________________________________________________

Meninggalkan ABIM
Pada 3 Disember 1974, DSAI ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dipenjarakan. Dalam tempoh ini, jawatan presiden sementara dipegang oleh Timbalan Presiden, Fadzil Noor (Almarhum Dato’). DSAI sepatutnya akan memegang jawatan Presiden sehingga akhir tahun 1983. Tetapi, beliau meletakkan jawatan pada 27 Mac 1982 dan meninggalkan ABIM pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO (sewaktu berusia 35 tahun). Perletakan jawatan beliau sebagai Presiden ABIM dan seterusnya mengaktifkan diri di dalam UMNO sememangnya tidak diduga oleh pelbagai pihak sama ada rakan-rakan beliau dari dalam ABIM ataupun dari pertubuhan-pertubuhan sukarela yang lain. Tambahan pula, di dalam pertemuan dengan penyokong PAS di Kelantan beberapa minggu sebelum PRU 1982, DSAI menafikan bahawa beliau akan menyertai UMNO-BN.
Sewaktu berucap dalam satu majlis makan malam amal ABIM di Dewan Sivik MPPJ – beberapa hari sebelum beliau menyertai UMNO – DSAI menegaskan bahawa ‘ura-ura kemasukan beliau ke dalam UMNO adalah berita angin belaka.’ Malahan, pada petang 22 Mac 1982, DSAI masih mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pindaan Akta Pertubuhan di Ibu Pejabat ABIM. Selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, beliau kemudiannya dengan bertemankan seorang rakan telah pergi bertemu dengan Dr Mahathir di kediamannya. Setengah jam sebelum sidang akhbar pengumuman penyertaan DSAI ke dalam UMNO, Dr M menunjukkan beberapa telegram daripada beberapa orang tokoh UMNO tertentu yang meminta agar jangan diterima kemasukan DSAI. Malahan, Dr M amat mengambil berat kedudukan dan keadaan kempen di Permatang Pauh. Semuanya merupakan petanda awal yang cuba mematikan spekulasi bahawa pengambilan DSAI merupakan jebak Dr M bagi membunuh karier politik anak muda dari Cherok Tok Kun ini. Pertemuan tersebut dan juga beberapa pertemuan yang lain antara beliau dengan Dr M akhirnya telah meletakkan beliau di dalam suatu wadah perjuangan yang sejak sekian lama menjadi sasaran kritikan beliau (UMNO-BN).
_________________________________________________


Tun Pak Lah dan DSAI, sewaktu jaman muda mereka.
Tanggal 29 Mac 1982, DSAI mengejutkan penyokongnya, bilamana beliau mengubah haluan daripada seorang yang dilihat dan dilabel sebagai ‘anti-establishment’, menjadi anggota Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dipimpin oleh Tun Dr M, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Keluarnya Tan Sri Sanusi Junid dari ABIM dan menyertai UMNO pernah ditentang hebat oleh DSAI sendiri. Kendati pun, sewaktu mengumumkan penyertaan beliau ke dalam UMNO, DSAI yang kelihatan sangat ceria, sekadar menambah kesedihan pendokong-pendokong gerakan Islam yang sangat menyanjungi dan menghormati beliau. Keluarnya DSAI daripada ABIM dan menyertai UMNO-BN, menimbulkan kekeliruan dan suasana bingung dalam kalangan penyokong dan ahli-ahli gerakan Islam di seluruh tanah air. Ramai yang keliru, ke mana arah perjuangan dan prinsip yang perlu mereka tuju dan halakan. Terdapat 40,000 ahli ABIM ketika DSAI mengumumkan keputusannya untuk menyertai UMNO. Tindakan mengejutnya itu menyebabkan ramai pendokong gerakan Islam menangis dan kecewa. Di saat itu, ribuan mata terpaksa mengalirkan airnya. Ada yang menangis kegembiraan, ada yang menangis kerana sedih atas sikap DSAI. Mereka terpaksa berpisah dengan DSAI: mungkin buat ‘selamanya’.
_________________________________________________

DSAI bersama DS Najib dan DS Nazri Aziz, sewaktu mengetuai Pemuda UMNO.
DS Najib dan DSAI memberi penerangan kepada pucuk pimpinan  Pemuda UMNO.
Kehidupan selepas ABIM
Pada peringkat awal, kemasukan DSAI ke dalam UMNO dan seterusnya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan beberapa orang pemimpin UMNO. Mengambil DSAI bererti Dr M memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menerapkan idealismenya. Dan, tidak syak lagi, sejak kemasukan DSAI, program dan proses Islamisasi di negara ini semakin subur. Hakikat ini membangkit rasa tidak senang di kalangan tokoh-tokoh tertentu dalam UMNO. Datuk Musa Hitam menganggap DSAI berlagak lebih PAS daripada PAS. Manakala Datuk Rais merasakan DSAI hanya pandai menggunakan hadith untuk mengelabui mata ahli-ahli UMNO. Tokoh-tokoh UMNO yang lain pula mengandaikan kononnya DSAI mahu ‘mengabimkan’ UMNO dengan membawa ramai tokoh-tokoh ABIM ke dalam UMNO. Namun, umumnya, semua tahu sebenarnya tidak ramai tokoh ABIM yang menyertai UMNO jika dibandingkan dengan kemasukan ke dalam PAS.
Meskipun begitu, berkenaan pengaruh ABIM di dalam UMNO, bekas Setiausaha Sulit DSAI, Nasaruddin Abdul Jalil, menyatakan ketika menjelang pemilihan April 1987: “He (DSAI) may have only a degree in Malay studies, but he knows more about Islam than many other people. Do you know of anyone else who can face PAS men at a public forum and debate openly on religious matters? The number of ABIM members in Umno is less than one per cent, but we are a significant group because we work hard. In politics, you don’t mark your time. You must move quickly when you see an opportunity.” Sejak DSAI ‘melompat’ masuk UMNO, beberapa orang sahabatnya menuruti jejak langkah beliau seperti Dato' Haji Fuad Hassan dan Saudara Anuar Tahir. Yang paling menonjol ialah mantan Setiausaha Agung ABIM, Kamaruddin Jaafar - yang pernah menjadi setiausaha politik Almarhum Tun Ghafar Baba (ketika itu Encik) - dan mantan Naib Presiden ABIM, Kamaruddin Mohd. Noor. Walau bagaimanapun, setelah memimpin Pemuda UMNO lebih dari dua penggal dan berjaya menjadikan Pergerakan tersebut sebuah pergerakan yang disegani, akhirnya DSAI telah diterima oleh anggota-anggota Pemuda dan pemimpin-pemimpin UMNO. Beliau telah menggesa supaya Pemuda menjadi ‘Angkatan Penggerak Zaman’ dengan mengutarakan agenda membasmi rasuah dan kemiskinan serta mempunyai memberi peluang hak bersuara dan menyampaikan kritikan.

_________________________________________________

Sebagai pemimpin Pemuda UMNO, DSAI dilihat sebagai
seorang yang ikrab dengan Tun Dr M.

Detik kemenangan DSAI disambut dengan penuh meriah oleh
rakan-rakannya dalam Pemuda UMNO.
Peningkatan dan Kejatuhan mendadak di dalam UMNO
Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Dalam pemilihan partai pada 9 September 1982, DSAI menewaskan penyandang yang juga sahabat seperjuangan DSAI di dalam ABIM, Datuk Suhaimi Kamaruddin dengan 10 undi untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO. Turut bertanding ialah Hang Tuah Arshad yang hanya memperolehi 3 undi. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Pemuda UMNO, seorang yang baru lima bulan menyertai partai, diberi jawatan dan kepercayaan sedemikian besar. Tetapi, ia berlaku kepada DSAI, sekalipun kemenangan itu hanya dengan kemenangan tipis. Kebanyakan idealisme yang menjadi perjuangan DSAI di luar UMNO, baik sebagai pemimpin siswa mahupun belia, menjadi perjuangan Pemuda UMNO. Dalam ucapan dasarnya yang pertama sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada 18 Ogos 1983, DSAI mengisytiharkan bahawa Pergerakan Pemuda “bukannya mempertentangkan pendapat dengan badan induk. Penubuhan Pemuda adalah untuk membina semangat rakyat dan kesedaran kebangsaan Melayu dalam pemerintahan negera, memperjuangkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.” DSAI menegaskan bahawa “kekuatan Pemuda diukur melalui kebijaksanaan bertindak, melaksanakan dengan berkesan. Beliau menyeru agar Pemuda mengambil peluang ke atas suasana politik yang liberal dan terbuka seta kebebasan bersuara untuk meninggikan moral rakyat, menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Negara serta kehidupan rakyat, memerangi gejala rasuah, menegak keadilan sosial serta memperjuangkan isu kemiskinan.” Justeru, Pemuda UMNO di bawah DSAI tidak mengambil sikap berkonfrontasi dengan pemimpin. Bagaimanapun, DSAI menyatakan bahawa beliau tidak mahu Pemuda lari daripada tugas menegur dan mengkritik.
_________________________________________________

Ustaz Zabidi Ali.

Kemenangan pertama DSAI selaku Ahli Parlimen Permatang  Pauh.
Pada usia 35 tahun, DSAI telah dipilih sebagai calon UMNO-Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum (PRU) April 1982. Sebagai orang baru dalam politik, DSAI mengejutkan pemerhati politik apabila menewaskan calon penyandang dari PAS, Ustaz Zabidi Ali dan calon DAP, dengan majoriti 14,352 undi. Penyertaan DSAI dilihat berjaya menyekat pengaruh Almarhum Ustaz Yusuf Rawa, Mahfuz Omar, dan Mohamad Sabu di Pulau Pinang khususnya. Sebelum ini -- termasuk sewaktu Pilihan Raya Umum 1978 -- kawasan Permatang Pauh dikatakan sebagai sebuah kubu PAS.
_________________________________________________


Sebulan kemudian, Dr Mahathir, melantik beliau sebagai seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. DSAI memegang jawatan tersebut selama 14 bulan.

_________________________________________________


Pada 2 Jun 1983, DSAI dilantik menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Menteri Pertanian 14 Julai tahun berikutnya.
_________________________________________________


Pada bulan Julai 1983, DSAI mewujudkan Biro Khas Kemiskinan dan selepas itu juga Yayasan Gerakbakti Kebangsaan (YGK), Biro Politik, dan Hal Ehwal Antarabangsa, Pergerakan Pemuda UMNO.
_________________________________________________

Datuk Suhaimi Kamaruddin.
DSAI membetulkan kalungan bunga Tun Dr M.
Pada 1984, Mantan Ketua Pemuda, Datuk Suhaimi Kamaruddin, mencabar DSAI, tetapi mengalami kekalahan besar sebanyak 89 undi. DSAI dapat 226 undi, Suhaimi dapat 137. Slogan DSAI ialah ‘Pemuda Penggerak Zaman’ – satu slogan yang menjadi sebutan sehingga ke hari ini. Satu lagi kejayaan besar DSAI ialah pembentukan sebuah Jawatankuasa Tertinggi Pemuda Barisan Nasional. Buat julung kalinya, Pergerakan Pemuda partai-partai komponen BN bersatu atas nama Pemuda BN.
_________________________________________________

Pada 25 Januari 1984, Majlis Tertinggi UMNO bersetuju USNO dipecat daripada Barisan Nasional kerana menentang tindakan menjadikan Labuan sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

_________________________________________________

Kunjungan Rasmi Yasser Arafat
Pada 23 Julai 1984, Pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat (Allahyarham), tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia. Beliau disambut oleh Menteri Pertanian ketika itu, DSAI, Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithauddean dan Tan Sri Ghazali Shafie. Lawatan yang dikelolakan oleh Tan Sri Sanusi Junid ini, turut merangkumi pidato Yasser Arafat yang disampaikan di Stadium Negara (yang dihadiri oleh ribuan rakyat), pertemuan dengan Yang Di-Pertuan Agong serta lawatan rasmi ke UIAM. Lawatan ini mendapat liputan meluas seluruh dunia, memandangkan Malaysia menyatakan sokongan terbuka terhadap perjuangan rakyat palestin menentang Rejim Zionis Israel. Harus dinyatakan di sini bahawa Malaysia merupakan negara Asia pertama yang membenarkan Fatah untuk membuka pejabatnya di Kuala Lumpur, yang kemudiannya menjadi Pejabat PLO pada 1974. Pada Ogos 1982, pentadbiran Dr M memberikan pengiktirafan diplomatik penuh kepada Pejabat PLO tersebut. Pada bulan Jun 1983, Dr M telah menggelar Israel sebagai ‘negara paling tidak bermoral di dunia’ selepas Rejim Zionis-Israel menceroboh Lubnan. Pada Oktober 1983, Malaysia menganjurkan persidangan berkenaan isu Palestin dengan dana PBB serta menyuarakan sentimen dan propaganda anti-Rejim Zionis Israel.
_________________________________________________
Pada 26 September 1985, telah diadakan Majlis Perasmian Kompleks Bangunan UMNO yang dikenali sebagai Pusat Dagangan Dunia Putra, di Jalan Tun Ismail oleh Presiden UMNO, merangkap Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr M.
_________________________________________________


Pada tahun 1986, sewaktu berusia 39 tahun, DSAI yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pendidikan, berdepan dengan spekulasi bahawa DSAI bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia. Portfolio ini dianggap sebagai ‘petanda emas’ bagi seorang anggota kabinet terus berjaya dalam kerjaya politik. Hal ini demikian kerana, adalah menjadi satu fenomena biasa di Malaysia – sesiapa yang menjawat jawatan Menteri Pelajaran/Pendidikan, akan menjadi TPM. Ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan tersebut, DSAI telah mempekenalkan beberapa dasar pro-Melayu dalam kurikulum sekolah kebangsaan. Antaranya ialah menamakan semula bahasa kebangsaan daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu.
_________________________________________________


Pada 1986, DSAI dicabar oleh Syed Hamid Albar dan berjaya mempertahankan jawatannya dengan kelebihan 194 undi. DSAI dapat 303 undi dan Syed Hamid dapat 109 undi.
_________________________________________________

Kenangan jaman 2M.
Pada 29 Februari 1986, Dato’ Musa Hitam (kini Tun) menghantar surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana bertentangan pendapat dengan Dr M. Pada 29 Februari 1986, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO membincangkan perletakan jawatan Dato Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Keputusan mesyuarat bersetuju memujuk Dato’ Musa Hitam agar kekal di jawatan Timbalan Presiden UMNO.
* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Musa Hitam, boleh rujuk pautan ini: Tun Musa Hitam: Tenang Dalam Gelora.

_________________________________________________


Pada 7 Mei 1986, YAB Encik Ghafar Baba (Almarhum Tun) dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru mengantikan Dato’ Musa Hitam.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Ghafar Baba, boleh rujuk pautan ini: Tun Ghafar Baba: Dari Penjual Kayu Api ke Parlimen.
_________________________________________________

Pada 3 Ogos 1986, Pilihan Raya Umum yang ke-7 diadakan bagi peringkat kebangsaan dan negeri-negeri (Semenanjung). Barisan Nasional memenangi 148 daripada 177 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. UMNO memenangi 83 kerusi daripada 86 kerusi yang diperuntukkan.
_________________________________________________


Dalam PRU 1986, DSAI bertanding menentang Haji Mohamad Sabu di Permatang Pauh, yang dianggap oleh banyak pihak sebagai pertandingan “dua seteru politik yang sukar didamaikan” pada ketika itu. Terdahulu, pada tahun 1982, Haji Mohamad Sabu meninggalkan ABIM sebagai memprotes penyertaan DSAI ke dalam UMNO.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah ABIM, boleh rujuk pautan ini: ABIM: Imbauan Empat Dasawarsa.
_________________________________________________

25 Disember 1986: MISG dan Debat terbesar dalam sejarah Malaysia
Ketika menjadi pemimpin mahasiswa dan belia, DSAI dianggap sebagai idola bagi gerakan pelajar Malaysia, sama ada di kampus-kampus dalam mahu pun luar negara. Sama ada secara langsung atau tidak, DSAI dikira menjadi inspirational force (kuasa inspirasi) kepada kebangkitan gerakan radikal dan Islamik dalam kalangan pelajar-pelajar kampus. Di Amerika Utara (Amerika Syarikat dan Kanada), para pelajar yang bergiat aktif dalam persatuan terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan liberal-nasionalis Melayu dan golongan Islamis. Kedua-dua golongan ini menggabungkan diri masing-masing dalam dua induk afiliasi berasingan, iaitu liberal-nasionalis dalam Persatuan Mahasiswa Malaysia Amerika Utara (PEMMAU) dan Islamis dalam Malaysian Islamic Study Group (MISG). Bukan suatu yang memeranjatkan jika dikatakan bahawa MISG itu wujud hasil inspirasi DSAI. MISG yang ditubuhkan pada tahun 1976 di Peoria, Illinois adalah merupakan inisiatif aktivis-aktivis ABIM yang datang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat kerana wadah PEMMAU tidak mampu mengisi keperluan-keperluan Islam kepada pelajar-pelajar. Antara tujuan penubuhan MISG adalah bagi mengumpulkan petugas-petugas Islam dan menyalurkan mereka ke dalam ABIM di Malaysia. ABIM ketika itu merupakan pro-PAS atau lebih dikenali sebagai ‘sayap PAS’ yang bertanggungungjawab memusatkan sasaran dakwah mereka kepada golongan pelajar, ahli-ahli akademik, pegawai-pegawai kerajaan dan teknokrat.
Kendatipun, tindakan DSAI menyertai UMNO-BN menyebabkan ABIM berpecah kepada beberapa kumpulan. Di Amerika Utara, MISG yang menjadi platform gerakan pelajar Islamis telah menolak kepimpinan yang dianggap “bersimpati” dengan DSAI. Dalam Muktamar Sanawinya pada penghujung tahun 1983, Dr Muhammad Nur Manuty yang cuba mempertahankan jawatan Presiden MISG (beliau dianggap calon pro-DSAI) telah ditumbangkan oleh Rozhan Othman, seorang pensyarah UKM yang mendapat sokongan majoriti pelajar-pelajar Islamis (yang dikatakan pro-PAS). Justeru itu, kumpulan yang cenderung kepada ABIM keluar meninggalkan MISG dan menubuhkan ABIM Amerika Utara (ABIM-AU) secara rasmi. Pada tahun 1988-1990, ABIM-AU dipimpin oleh Prof Dr Sidek Baba. Kendati pun, apabila MISG mula mengamalkan ‘Polisi Non-Partisan’, ahli-ahli yang cenderung kepada fikrah perjuangan PAS telah bergerak secara berasingan dalam satu kumpulan yang tidak rasmi yang dikenali sebagai ‘Hizbullah’ dan kemudiannya ditukar nama kepada ‘Hizbi-Islami’ dan ‘MISNA’.
Di UKM, golongan pelajar Islamis yang selama ini bersatu di bawah Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA) telah berpecah dan menghasilkan Islam Penyelamat Ummah (IPU). Pada masa yang sama, beberapa orang pengikut ABIM yang tidak bersetuju dengan kemasukan DSAI ke dalam UMNO dan tidak mahu diri mereka dikaitkan dengan PAS telah menubuhkan ABIM Perlis [juga dikenali sebagai ABIM Utara atau KUSDA (kumpulan Ustaz Dahlan)]. Kemuncak kesediaan MISG untuk menerima rasionaliti tindakan DSAI menyertai UMNO ialah dengan menjemputnya ke Muktamar Sanawi ke-11 di Peoria, Illinois pada tahun 1986. Jemputan itu memberi peluang yang besar kepada DSAI, selaku Menteri Pendidikan, mempamerkan kebanggaan beliau atas “kejayaan-kejayaan” yang telah beliau capai selama kurang lebih 4 tahun berada dalam kerajaan UMNO-BN. Forum “Masa Hadapan Islam di Malaysia” pada 25 Disember 1986 telah mempertemukan DSAI dan Ustaz Hadi Awang. Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua tokoh gerakan Islam itu sejak DSAI menyertai UMNO-BN pada 29 Mac 1982. Moderator forum tersebut ialah Abdul Rahim Ghouse. Meskipun dinamakan sebagai ‘forum’, acara tersebut dianggap sebagai perdebatan terhebat antara dua tokoh gerakan Islam terulung tanahair, DSAI (yang baru menyertai UMNO-BN) dan Ustaz Hadi Awang (yang mengkafirkan UMNO-BN).
Dekad 80an merupakan tempoh di mana PAS dan UMNO saling cabar-mencabar dalam menyatakan siapa yang lebih Islamik. Dekad ini digelar sebagai era ‘kafir-mengkafir’; di mana pemimpin PAS menyelar pemimpin UMNO sebagai kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan partai bukan Islam. Turut menjadi penalis ketika itu ialah Ustaz Zaid Kamaruddin yang secara terus-terang mengaitkan perjuangan UMNO-BN dengan fahaman sekularisme dan pragmatisme. Di atas pentas forum tersebut juga, DSAI dan Ustaz Hadi berjanji, sekiranya kedudukan Melayu di Malaysia khususnya di negeri-negeri Pantai Barat terancam, maka UMNO dan PAS akan bersatu.
* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Hadi Awang, boleh rujuk pautan ini: Ayah Chik: Presiden PAS.
Sewaktu forum tersebut, kutipan Tabung Memali telah dijalankan. Forum kemuncak itu dianggap oleh banyak pihak sebagai ‘turning point’ dalam MISG. Bermula tarikh itu, kepimpinan MISG semakin berani dan secara terbuka menunjukkan kelunakan (baca: sokongan) terhadap DSAI dan UMNO-BN. Beberapa bulan selepas forum tersebut, MISG yang dipimpin oleh Abdul Rahim Ghouse telah meminda perlembagaan MISG untuk memperkenalkan ‘Polisi Non-Partisan’. Polisi ini dilihat bertujuan menghakis pengaruh PAS di dalam MISG. Terdahulu, DSAI juga pernah dijemput untuk berucap sewaktu Konvensyen MISG (1982) di Columbus, Ohio.
_________________________________________________





DSAI, bekas Presiden ABIM dan calon Presiden PAS, telah menerapkan nilai-nilai Islam dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Selain siri tazkirah dan usrah yang diadakan, ‘Jurnal Dakwah’ yang diterbitkan pada bulan Ogos 1983, juga diterbitkan, dan ia adalah merupakan satu-satunya jurnal yang diterbitkan oleh Pemuda UMNO sejak ianya ditubuhkan. Jika Tun Dr Mahathir melancarkan dasar ‘Buy British Last’, DSAI yang memimpin Pergerakan Pemuda UMNO bertindak ‘merampas’ Bangunan Carcosa Seri Negara di Bukit Carcosa. Slogan Pemuda ketika itu ialah ‘Generasi Penggerak Zaman’. DSAI telah berjaya ‘mengembalikan’ bangunan tersebut ke tangan rakyat Malaysia daripada penjajah British pada 1987. Beliau telah membangkitkan soal pemilikan Carcosa ini dengan begitu tegas dan lantang ketika itu. Perkara ini turut disentuh oleh YAM Tunku Zain Al Abidin ibni Tuanku Mukhriz di dalam ruangan kolum tetap Baginda, ‘Abiding Times’ yang disiarkan dalam Akhbar theSun. Pergerakan Pemuda diselarikan semula dengan perjuangan badan induk, dengan zaman untuk pemuda melalak mencari pengiktirafan daripada badan induknya sudah berlalu.
_________________________________________________


Pada 24 April 1987, Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO diadakan pada Perhimpunan Agung UMNO, di mana Dr M menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dengan majoriti 43 undi bagi jawatan Presiden. Tun Ghafar pula menewaskan Dato’ Musa Hitam (kini Tun) dengan majoriti 40 undi bagi jawatan Timbalan Presiden. Ku Li mempunyai banyak pengaruh dalam UMNO-BN kerana beliau menjadi Naib Presiden UMNO lebih lama daripada Dr M pada tahun 1970an. Ku Li dikatakan individu yang sepatutnya dipilih oleh Tun Hussein Onn untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. 
_________________________________________________

Ku Li dan DSAI.
DSAI dan Allahyarham Dato Harun Idris.

DS Najib dan DSAI bersama pimpinan Pemuda UMNO.
Sementelahan, dalam persidangan Pergerakan Pemuda UMNO pada 24 April 1987, DSAI menyerahkan jawatan Ketua Pemuda UMNO kepada Datuk Najib Tun Razak. Penyerahan ini berikutan DSAI bersetuju dengan ‘desakan’ agar beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Ketika inilah berlakunya Operasi Lalang. DSAI membuat keputusan mengejut untuk meninggalkan Pemuda UMNO dan bertanding kerusi Naib Presiden UMNO. Menurut beliau: “…Keputusan yang saya ambil ini (iaitu meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO) dibuat memandangkan rakan seangkatan dengan saya telahpun menganggotai badan induk UMNO dan di sini saya fikir sudah sampai masanya saya mengikuti jejak langkah mereka.” DSAI kemudiannya dipilih sebagai Naib Presiden UMNO selepas beberapa kali menolak desas-desus bahawa beliau akan merebut jawatan itu. DSAI menduduki kerusi Naib Presiden UMNO bersama Pak Lah dan Datuk Seri Wan Mokhtar Ahmad. Beberapa bulan kemudian, DSAI menolak dakwaan bahawa hubungannya dengan Tun Ghafar yang merupakan Timbalan Presiden ketika itu renggang.
_________________________________________________
Kumpulan 11
Kepimpinan UMNO (lama) asalnya berpecah kepada Team A dan Team B. Kemudian, muncul ‘Kumpulan 11.’ Kumpulan 11 adalah sekumpulan 11 orang ahli UMNO (lama) yang mencabar kemenangan Tun Dr Mahathir selepas selesai Pemilihan Presiden UMNO (lama) pada 24 April 1987. Kumpulan yang asalnya dianggotai seramai 12 orang ini – seorang menarik diri – mempunyai Penasihat Undang-Undang iaitu Hajjah Marina Yusof. Kumpulan 11 telah mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun 1987 untuk meminta supaya Perhimpunan Agung UMNO (lama) ke-38 pada 24 April 1987 diisytiharkan sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan parti. Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ku Li, boleh rujuk pautan ini: Ku Li: Putera Raja yang Terjun ke Gelanggang Siasah.

_________________________________________________

Pada 4 Februari 1988, Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Datuk Harun Hashim memutuskan bahawa UMNO ialah sebuah ‘unlawful society’ iaitu pertubuhan yang tidak sah di bawah seksyen 12, Akta Pertubuhan 1966 (Kenyataan bertulis dikeluarkan pada 13 Februari 1988). Pada 11 Jun 1988, sewaktu perjumpaan Hari Raya Aidil Fitri 1408 di Subang Jaya, Ku Li mendakwa bahawa pihak peguam UMNO (Baru) bertanggungjawab meminta supaya UMNO (lama) diisytiharkan sebagai badan yang tidak sah (dakwaan ini diulangi oleh Ku Li pada 12 Oktober 1989, sewaktu Perhimpunan Agung Partai Semangat 46). Namun, dalam buku ‘Antara Akta dan UMNO,’ Tan Sri Sanusi Junid menjelaskan bahawa peguam Kumpulan 11 lah yang menuntut supaya soal sah atau tidak sahnya UMNO dibangkitkan sewaktu kes tersebut berjalan.
_________________________________________________
Almarhum Tunku sewaktu berucap di atas pentas Semangat 46.
Tunku dan Ku Li sewaktu berkempen dan menyatakan sokongan
kepada calon Bebas Parlimen Johor Bahru, Dato Shahrir Samad.
Ku Li dan Tunku.
Ku Li dan Tun Hussein Onn.
Pada 7 Februari 1988, sewaktu sambutan Hari Lahir Tunku Abdul Rahman ke-85 di kediaman Tunku di Pulau Pinang, tercetus berita mengenai rancangan penubuhan ‘UMNO Malaysia.’ Presiden Penaja ‘UMNO Malaysia’ ialah Tunku Abdul Rahman manakala Timbalannya ialah Tun Hussein Onn. Pada 8 Februari 1988 pula, Tan Sri Sanusi Junid telah menjawab surat tunjuk sebab daripada Pendaftar Pertubuhan berkenaan kewujudan 30 cawangan yang tidak berdaftar.
________________________________________________
Tun Dr M dan Tunku.
Tun Dr M dan Tun Hussein.
Pada 8 Februari 1988, sewaktu permohonan untuk menubuhkan ‘UMNO Malaysia’ dihantar ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan oleh Tetuan Shafee & Co. (peguam kumpulan Ku Li), Dr Mahathir dan Ahli Majlis Tertingginya juga telah memasukkan permohonan pendaftaran ‘UMNO 88.’ Namun, oleh kerana Pendaftaran UMNO (lama) masih belum dibatalkan (meski telahpun diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur), Pendaftar Pertubuhan telah menolak kedua-dua permohonan ‘UMNO Malaysia’ dan ‘UMNO 88’ pada 10 Februari 1988.
________________________________________________
Pada 10 Februari 1988 juga, kepimpinan Dr Mahathir juga telah memasukkan permohonan untuk mendaftarkan ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) atau UMNO.’ Apabila pendaftaran UMNO (lama) dibatalkan pada 12 Februari 1989, barulah UMNO (Baru) didaftarkan.
________________________________________________
YB Ibrahim Ali dan Ku Li.
Ku Li berucap sewaktu perhimpunan khas yang mana
tercatat pada pada papan di belakangnya nama Semangat (UMNO) 46 Malaysia.
Ku Li yang pada asalnya menafikan pembabitan beliau dalam proses permohonan pendaftaran ‘UMNO Malaysia,’ membuat kejutan apabila membuat sidang akhbar berkenaan penolakan pendaftaran parti tersebut pada 15 Februari 1988.    
________________________________________________

DS Najib Tun Abdul Razak. 
DS Najib dan Tan Sri Zahid Hamidi.
 
Pada 16 Februari 1988, UMNO (Baru) secara rasmi diterima untuk menganggotai semula Barisan Nasional. Perkataan ‘Baru’ telah dikabur serta dihapuskan sama sekali. Pada 21 Mei 1988, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Ketua Pemuda UMNO.
________________________________________________
Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
YB Ibrahim Ali.
DS Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Allahyarham Datuk Harun Idris.
Sewaktu penamaan calon untuk PRK Parlimen Ampang.
Pada 19 Februari 1988, pihak Plaintif dalam kes UMNO gagal dalam rayuan di Mahkamah Agung mengenai keputusan Yang Arif Harun Hashim yang memutuskan UMNO sebagai tidak sah. Kemudian, pada 23 Mei 1988, Penolong Pendaftar Mahkamah Agung, Cik Soo mengarahkan supaya kes UMNO ditetapkan pada 13 Jun 1988 dengan korum 9 orang Hakim. Pada 27 Mei 1988, Hakim Besar Malaya mengarahkan bahawa kes UMNO dikeluarkan daripada senarai kes yang hendak dibicarakan. Pada tarikh yang sama, Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara (juga ketika itu disebut sebagai Lord President) menerima surat penggantungan jawatan yang berkuatkuasa mulai 26 Mei 1988. Pada 28 Mei 1988, Tetuan Rashid & Lee mengemukakan Notis Bicara untuk kes UMNO atas permintaan Ketua Pendaftar. Pada 9 Ogos 1988, Mahkamah Agung menolak rayuan kes UMNO yang didengar pada 8 Ogos 1988.
____________________________________________
Kontroversi Pemecatan Tun Salleh Abas
Kes ‘Pengharaman UMNO’ telah dibayangi oleh kontroversi pemecatan Tun Salleh Abas dan dua orang Hakim Mahkamah Agung (serta penggantungan tiga orang Hakim Mahkamah Agung yang lain). Tun Salleh telah dipecat atas beberapa alasan, antaranya, kerana membuat kenyataan mengkritik yang bias (berat sebelah) terhadap Kerajaan UMNO-BN pimpinan Dr Mahathir. Tun Salleh juga didakwa menangguhkan perbicaraan ‘sine die’ (iaitu penangguhan kes dengan tidak diberi tarikh untuk perbicaraan) kes Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas dan satu lagi kes lain. Tun Salleh didakwa tidak dapat menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna di bawah Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan. Beliau menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.
____________________________________________
YB Lim Kit Siang, Ku Li dan mendiang M.G. Pandithan.
Dr Syed Husin Ali, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor
dan Ku Li.
Ku Li dan Ustaz Nik Aziz.
DS Rais Yatim sewaktu berkempen untuk S46.
Ku Li.
Penubuhan Partai Semangat 46
Dr Mahathir menawarkan jawatan Menteri Tak Berportfolio kepada Ku Li dan Tun Musa Hitam pada 1989, tetapi kedua-duanya menolak tawaran tersebut. Pada 5 Mei 1989, Partai Semangat 46 (S46) ditubuhkan dengan Saudara Osman Akhir sebagai Presiden Penajanya. Tunku Abdul Rahman serta Tun Hussein Onn turut menyatakan sokongan kepada S46. Setelah memimpin S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat, pengaruh Ku Li telah membawa kepada tumbangnya UMNO-BN – dan kemenangan besar PAS -- di Kelantan pada PRU 1990. Kerjasama antara S46, PAS, Berjasa, Hamim, DAP dan PRM bermula sebelum dan selepas penubuhan rasmi S46 sebagai parti, melalui kempen-kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Johor Bahru (YB Shahrir Samad menang); PRK Parlimen Ampang Jaya (Dato’ Harun Idris-S46 tewas kepada YB Ong Tee Keat-BN); PRK DUN Teluk Pasu (PAS menang); PRK Parlimen Bentong (DAP kalah); dan PRK DUN Parit Raja (S46 tewas). Kerjasama PAS dan S46 juga membawa kepada tertubuhnya partai sepihan ‘ISLAH PAS (Al-Islah).’
____________________________________________

Salam. Saya merujuk kepada entri:  



Memandangkan agak sukar untuk saya mengemaskini entri yang asal (kerana terlalu panjang), saya terpaksa membahagikan entri ini kepada dua bahagian. Bahagian yang asal ini dikira sebagai bahagian pertama. Dan, entri yang ini dikira sebagai bahagian kedua: 
http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/dato-seri-anwar-ibrahim-mantan-tpm_25.html



Harap maklum. Terima kasih.

_________________________________________________ 

Rujukan dan pautan:
i. Ahmad Awang. Islam di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;
ii. Abu Bakar Hamzah. Islam dan Nasionalisme di Malaysia, 1986. Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif;
iii. Abu Bakar Hamzah. Parti Islam dengan Tahalluf Siyasinya, 1992. Kuala Lumpur: Media Cendiakawan Sdn Bhd;
iv. Abu Bakar Hamzah. Quo Vadis PAS?, 1989. Selangor: Polygraphic Press Sdn Bhd;
v. Alias Mohamed. Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991. Kuala Lumpur: Gateway Pub. House ;
vi. Aminuddin Mohd. Yusof dan Mohd Ali Kamaruddin. Kepimpinan Pemuda UMNO: Antara Personaliti dan Situasi, 1988. Bangi: Penerbitan UKM;
vii. Badlihisham Mohd Nasir, Da’wah And The Malaysian Islamic Movements, 2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;
viii. Badlihisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam Dan Cabaran Semasa, 2008. Shah Alam Karisma Publication Sdn. Bhd.;
ix. Buku-buku tulisan Ahmad Luthfi Othman “Memo Buat Bakal PM” (1993); “Anwar Lawan Ghafar” (1993); “Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?” (1998); “Anwar : Skandal Seks atau Konspirasi Poitik” (1998) dan “Anwar Boneka Barat?” (1999);
x. Chamil Wariya. Muhammad Hj. Muhd. Taib: Dari Pendidik ke Pemimpin, 1992. Kuala Lumpur: Media Indah;
xi. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit fajar Bakti Sdn Bhd.;
xii. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO, 1986. Semenyih: Marwilis Publisher;
xiii. Mohamad Fauzi Zakaria. Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia, 2007. Kuala Lumpur: Jundi Resources;
xiv. Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Pemikiran Tuan Guru, 2011. PTS Millennia Sdn Bhd.;
xv. Mohd Izani Mohd Zain. Islam Dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia, 2005. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya;
xvi. Riduan Mohammad Nor. Terbitan Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, 2007. MHI Publication;
xvii. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm, 1987. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd;
xviii. S.Husin Ali. The Malays: Their Problems and Future, 1981. Petaling Jaya: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.;
xix. S. H. Al-Attas. Anwar Ibrahim : Wira, Juara atau Penderhaka, 1999. Jaharah Enterprise;
xx. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;
xxi. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan (al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd), 2003. Jakarta: Pustaka al-Kautsar;
xxii. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?, 1986. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd;
xxiii. Syed Naquib, Al-Attas. Islam and Secularism, 1978. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia;
xxiv. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?, 1993. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
xxv. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?, 1987. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
xxvi. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam, 1999. Kuala Lumpur: Zabidi Publication;
xxvii. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir, 1994. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd;
xxviii. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?, 1990. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise;
xxix. http://abimmesir.org/2009/dari-belia-gusar-ke-dewasa-matang.html;
xxx. http://adiselmerbawiy.blogspot.com;
xxxi. http://ahmadazam.blogspot.com/;
xxxii. http://anwaribrahimblog.com/;
xxxiii. http://belia.org.my/content/view/537/43/;
xxxiv. http://drhalimahali-bloggerlist.blogspot.com;
xxxv. http://en.wikipedia.org/wiki/Anwar_Ibrahim;
xxxvi. http://ensiklopedia-bahasa-malaysia.jbdirectory.com/Pergerakan_Pemuda_UMNO;
xxxvii. http://findarticles.com/p/articles/mi_hb6479/is_2_30/ai_n28567365/pg_6/;
xxxviii. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=233226006713890&set=a.198731976829960.38831.100000794773604&type=1&ref=nf;
xxxix. http://anwaribrahim-admin.blogspot.com/2010/05/malaysians-next-premier.html;
xl. http://ms.wikipedia.org/wiki/Angkatan_Belia_Islam_Malaysia;
xli. http://pahangdaily.blogspot.com/2008/10/galeri-kenangan-zaman-kegemilangan.html;
xlii. http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/102-islamisasi-jana-perubahan-positif-presiden-abim.html;
xliii. http://idealis-mahasiswa.tripod.com/artikel-harian/nov2002/10nov01.html
xliv. http://www.anwaraidc.com/?p=10989; dan
xlv. http://www.pemudaumno.org.my/index.php.
 
KREDIT :

Tiada ulasan: