Selasa, 3 September 2013

YANG ADA JANGKA PENDEK BUKAN JANGKA PANJANG

Kos bahan api perlu penyelesaian jangka panjang

Harakahdaily, 03 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri telah mengumumkan rasionalisasi subsidi untuk memastikan kedudukan kewangan negara adalah dalam keadaan baik.

Pengumuman itu dan rasionalisasi subsidi selanjutnya boleh dilihat sebagai penyelesaian kewangan untuk mengurangkan defisit negara kita.

“Akan tetapi, adakah kita benar-benar menangani implikasi-implikasi bagi rakyat dan perniagaan dalam jangka masa panjang?” tanya Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), Piarapakaran S dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Perdana Menteri telah mengumumkan rasionalisasi subsidi untuk memastikan kedudukan kewangan negara adalah dalam keadaan baik.

Pengumuman ini dan rasionalisasi subsidi selanjutnya boleh dilihat sebagai penyelesaian kewangan untuk mengurangkan defisit negara kita. Akan tetapi, adakah kita benar-benar menangani implikasi-implikasi bagi rakyat dan perniagaan dalam jangka masa panjang?

Berdasarkan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2011, permintaan tenaga akhir direkodkan sebanyak 17070 kilo tan bersamaan minyak (ktoe) bagi sektor pengangkutan.

Ini adalah 39.3% daripada jumlah permintaan tenaga akhir bagi tahun 2011. Dari tahun 2009, permintaan tenaga dalam sektor pengangkutan telah meningkat dengan kadar yang tinggi daripada sektor industri.

Ini bukanlah satu penggunaan sumber tenaga yang bijak. Negara-negara berpopulasi tinggi seperti Amerika Syarikat telah merekodkan 27.8% (2011), Jepun merekodkan 25% (2009) dan Eropah merekodkan 31.7 % (2010) dalam penggunaan tenaga bagi sektor pengangkutan.

Dalam aspek ini, peruntukan penggunaan tenaga bagi sektor pengangkutan di Malaysia adalah tidak betul dan tidak selaras dengan negara-negara maju seperti yang kita ingin capai.

Secara teknikal, dua perkara yang sebenarnya boleh mengurangkan kesan rasionalisasi subsidi dengan lebih berkesan sentiasa ditinggalkan. Penyelesaian-penyelesaian ini juga akan membantu dalam peruntukan guna sumber tenaga yang betul.

Pertama sekali, pengangkutan awam adalah cara yang paling berkesan untuk menangani kenaikan harga bahan api dan penggunaan tenaga untuk sektor pengangkutan. Pada masa ini, kita jauh dari mencapai satu sistem yang diingini.

Keduanya, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) melihat keperluan untuk Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS ) dan pelabelan kecekapan tenaga mandatori untuk kenderaan bagi kedua-dua kegunaan peribadi dan komersial.

Isu ini telah dibangkitkan oleh pihak AWER banyak kali. Malangnya, ia tidak diendahkan sehingga kini.

Kesatuan Eropah, Jepun dan Korea Selatan telah memulakan sistem ini (pelaksanaan MEPS dan pelabelan kecekapan tenaga) sekian lama untuk memastikan rakyat mereka hanya membeli kenderaan yang cekap tenaga.

Mekanisme pelabelan ini akan membolehkan rakyat Malaysia membeli kenderaan yang cekap dalam penggunaan bahan api dan membantu mereka menjadi lebih mesra alam.

Kaedah ini juga akan membantu rakyat dalam mengurangkan impak kos bahan api yang tinggi dalam jangka masa panjang. Ini juga akan membantu untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan.

Berdasarkan kajian kami, kebanyakan negara yang mempunyai MEPS atau pelabelan kecekapan tenaga akan meningkatkan keperluan pelabelan secara berkala.

Apabila ini berlaku, negara-negara seperti Malaysia akan menerima produk yang kurang cekap tenaga kerana ia tidak boleh dijual di negara mereka. Jadi, kita akan menjadi ‘tapak pelupusan’ (dumping ground) produk-produk teknologi lapuk.

Pada masa yang sama, beberapa agensi kerajaan juga begitu asyik dalam mempromosikan kenderaan hibrid dan elektrik tanpa melakukan Penilaian Kitar Hayat (LCA) yang teliti untuk mengenal pasti sama ada produk-produk yang dikatakan 'hijau' ini adalah benar-benar mesra alam dan cekap tenaga. Jika kita melaksanakan kedua-dua MEPS dan pelabelan kecekapan tenaga, persoalan ini akan dapat diselesaikan dengan mudah.

Untuk memastikan proses pelabelan seperti ini boleh dilaksanakan, Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM boleh menggunakan (adopt) mekanisme pensijilan kenderaan yang sedia ada untuk memulakan ujian.

Suruhanjaya Tenaga telah membangunkan satu sistem Penilaian Bintang untuk peralatan yang menggunakan tenaga elektrik. Sistem ini mempunyai penarafan 1 Bintang (yang terendah) sehingga penarafan tertinggi 5 bintang yang meliputi produk-produk elektrik terpilih.

Kebelakangan ini, dengan tekanan yang berterusan daripada AWER, Suruhanjaya Tenaga akhirnya telah menyediakan dokumen undang-undang untuk melaksanakan MEPS bagi produk elektrik yang terpilih.

Kerajaan Persekutuan boleh melanjutkan peranan Suruhanjaya Tenaga untuk melaksanakan pelabelan kecekapan tenaga bagi kenderaan dalam Belanjawan 2014.

Disebabkan tiada agensi yang mengawal selia penggunaan sumber tenaga dalam sektor pengangkutan, AWER menggesa kerajaan untuk memberikan bidang kuasa ini kepada Suruhanjaya Tenaga dalam Belanjawan 2014 dengan kadar segera supaya langkah-langkah meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor ini dapat dipercepatkan apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Dengan ini, ia dapat membantu mengurangkan beban kepada rakyat dan perniagaan secara berterusan.

Adakah kita bersedia untuk anjakan paradigma untuk menjadi cekap tenaga?

Perhimpunan sempena 2 bulan penggulingan Mursi

http://greenboc.blogspot.com, 03 Sep 2013

Perhimpunan Seluruh Mesir Sempena 2 Bulan Penggulingan Mursi



Perikatan Kebangsaan Bagi Menyokong Kesahtarafan (Legitimasi) telah memanggil satu perhimpunan untuk diadakan pada hari ini (Selasa) bagi memperingati penggulingan Presiden Mohamed Morsi pada 3 Julai dua bulan lalu.

Perhimpunan di seluruh negara juga telah diadakan pada hari Jumaat lepas oleh pakatan itu, dimana seorang anggota Ikhwan yang diterajui kumpulan pro- Morsi, dengan beberapa orang lain telah terlibat bertempur dengan pasukan keselamatan.

Protes dalam beberapa minggu kebelakangan ini semakin dipenuhi dengan keganasan oleh pasukan keselamatan.

Satu gelombang penangkapan tokoh-tokoh utama Ikhwan juga telah dilakukan untuk menyekat keupayaan kumpulan untuk menggerakkan rakyat, dengan sekurang-kurangnya 2,000 orang telah ditahan pada pertengahan Ogos di kem bantahan pro-Morsi di Kaherah, dimana lebih daripada 600 demonstran telah terbunuh.

Kementerian Kesihatan Mesir berkata lapan orang terbunuh dalam pertempuran hari Jumaat diantara kupulan pro-Morsi dengan pasukan keselamatan.

Perikatan Kebangsaan Bagi Menyokong Kesahtarafan menyeru umatnya dalam satu kenyataan lewat semalam untuk memberikan tekanan yang "kuat tetapi aman" dengan protes setiap hari bagi "menuntut Legitimasi dan mengutuk rampasan kuasa."

Morsi, yang berasal dari Ikhwan, telah diguling oleh tentera Mesir di tengah-tengah bantahan besar-besaran terhadap pemerintahan satu tahun beliau. Ditahan oleh tentera di satu lokasi rahsia sejak kejatuhannya Morsi kemudiannya dituduh dengan beberapa kesalahan.

Pada hari Ahad, pihak pendakwa raya telah merujuk beliau ke mahkamah diatas tuduhan menghasut pembunuhan para penunjuk perasaan, di dalam satu insiden yang berlaku pada Disember 2012. Empat belas anggota Ikhwan yang lain adalah defendan dalam kes yang sama, dan merupakan tuduhan pertama terhadap Morsi untuk pergi ke mahkamah setakat ini.

Pakatan itu tidak mengumumkan lokasi demonstrasi yang dirancang pada hari Selasa esok, yang akan diadakan di bawah panji-panji "rampasan kuasa itu adalah satu keganasan," tetapi berkata protes akan berlaku dalam semua dataran di seluruh negara, dengan sidang akhbar akan diadakan untuk mendedahkan "jenayah rampasan kuasa".


Kerajaan sementara Mesir pula telah melakukan tindakan keras ke atas Ikhwan Muslimin dan sekutu-sekutunya dengan menamakannya "kempen terhadap keganasan".

Tarik semula pengumuman naik harga minyak

Hazayani Zakaria, 03 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak membatalkan pengumuman kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 sen yang berkuatkuasa semalam.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, alasan Najib bahawa kenaikan itu penting sebagai pengukuhan ekonomi negara adalah tidak wajar memandangkan banyak cara lain yang tidak membebankan rakyat kebanyakan boleh dilakukan.

Menurutnya, kerajaan seharusnya bertindak tegas terhadap pelaku rasuah termasuk mereka yang mempunyai kedudukan dan jawatan penting dalam kerajaan, bukan menaikkan harga minyak.

DPPM menganggap rasuah menjadi punca ketirisan wang negara sehingga kerajaan tidak mampu menampung subsidi untuk rakyat.

"Dianggarkan nilai ketirisan wang negara ekoran aktiviti rasuah berjumlah berbilion ringgit. Rasuah juga menjadi punca integriti negara semakin merudum di mata rakyat bahkan di persada antarabangsa," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Menurut beliau juga, di samping menarik balik pengumuman kenaikan harga minyak, kerajaan harus membentangkan sekurang-kurangnya tiga alternatif lain untuk dipertimbangkan oleh rakyat bagi tujuan meningkatkan hasil dan seterusnya menambahkan penjimatan akaun negara.

"DPPM mendesak kerajaan menaikkan pembayaran royalti dari syarikat minyak antarabangsa seperti SHELL, Petron, BP dan lain-lain.

"Langkah ini berkesan bagi meningkatkan pendapatan negara di samping mampu menampung subsidi minyak antarabangsa mampu membayar dengan jumlah yang ditetapkan kerana keuntungan mereka setiap tahun berlipat kali ganda.

"Tindakan ini bagi mengelakkan kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak sebaliknya memikirkan alternatif menyelamatkan wang rakyat," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Justeru tegasnya, referendum rakyat adalah satu keperluan pada waktu ini kerana sikap kerajaan yang meletakkan bebanan ekonomi terus ke bahu rakyat adalah satu kesilapan selepas kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi dengan lebih baik tanpa mengambil kira aspek perancangan keutamaan perbelanjaan dan sikap boros kerajaan.

"Sesungguhnya keputusan menaikkan harga petrol dan diesel ini adalah petunjuk bahawa kerajaan sudah kebuntuan idea untuk menyelematkan ekonomi negara," katanya.

Minyak naik, penyokong Umno pun terasa perit

Faeez Azahar, 03 Sep 2013
IPOH: Pemuda PAS sudah menjangkakan akan berlakunya kenaikan harga minyak di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, perkara ini turut berlaku pada 2008 lalu iaitu beberapa bulan selepas pilihanraya yang menyaksikan BN terus mengekalkan kuasanya.

Menurutnya, tindakan ini sangat zalim kerana ianya membebankan rakyat disemua peringkat sama ada berpendapatan tinggi, rendah mahupun sederhana.

Jelas Raja, harga baru minyak ini akan disusuli dengan kenaikan secara melambung harga-harga barang khususnya keperluan harian seterusnya meningkatkan kos kehidupan warga Malaysia.

"Apa yang rakyat dapat ialah kenaikan harga minyak dan akan disusuli dengan kenaikan keseluruhan harga barang," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, rakyat wajar mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku selepas pilihanraya tahun 2008 lalu yang menyaksikan kenaikan harga minyak secara mengejut dan menyebabkan bebanan mula meningkat secara mendadak tanpa pengawalan.

Namun pemberian pelbagai gula-gula pilihan raya telah menyebabkan masyarakat terleka dan membuat keputusan yang salah pada PRU13 lalu dengan memberikan BN terus berkuasa untuk mencengkam masyarakat.

Beliau berpendapat, kenaikan harga minyak ini membuktikan kerajaan dalam keadaan terdesak untuk mencari sumber kewangan negara yang semakin menipis oleh kerana sikap boros serta ketidakcekapan kerajaan BN mengurus kewangan negara.

"Najib terpaksa dan sanggup mengambil jalan mudah serta cepat untuk mendapatkan sumber kewangan dengan menaikkan harga minyak.

"Mereka tidak prihatin dan tidak berasa bersalah dengan tindakan mereka ini yang sudah pasti membebankan rakyat," jelasnya lagi.

Ujar Raja Iskandar, BN tidak merasai akan denyutan nadi rakyat yang ketika ini mengeluh dengan suasana sosio ekonomi dan taraf hidup yang sangat membebankan sebaliknya terus menzalimi dengan menaikkan harga minyak.

"Saya yakin, semua pihak termasuklah penyokong BN merasai keperitan hidup kesan daripada tindakan menaikkan harga minyak ini.

"Tidak ada mana-mana pihak yang akan menyokong kecuali yang berkepentingan kerana ianya adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab," tegasnya lagi.

Minyak: Rakyat bersusah payah, kerajaan boros

Harakahdaily, 03 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Mesej daripada kenaikan harga minyak mudah iaitu rakyat mesti mengubah gaya hidup tetapi kerajaan boleh terus berboros.

“Ini bukan silap ibu mengandung, tapi silap memangkah undi,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mudah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata inflasi masih terkawal tetapi hakikatnya ringgit sedang jatuh merudum dan ditambah dengan konflik politik Timur Tengah yang tidak stabil.

“Apakah kerajaan BN, terutamanya Najib menjamin inflasi boleh dikekalkan pada paras yang selesa dengan keputusannya menaikkan harga minyak?” tanya beliau sebagai respons kepada kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi

Katanya, selepas PRU13 hingga kini, keadaan ekonomi negara tidak banyak berubah dan langkah meningkat ringgit masih belum kelihatan.

Oleh itu, ujar beliau kenaikan harga minyak ini sememangnya tindakan memukul diri sendiri kerana ia bakal melonjakkan inflasi tatkala ringgit semakin mengecil.

Beliau berkata, Najib harus mengingati peristiwa kenaikan minyak ke RM2.70 di zaman Tun Abdullah Badawi yang menyebabkan kos barangan dan sara hidup melonjak secara mendadak, dan sehingga kini ia kekal di paras itu, walaupun harga minyak diturunkan ke paras RM1.90.

Menurutnya lagi, meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan penyelesaian kepada kenaikan harga barangan.

Katanya, jika BR1M diberi pada kadar maksimum RM1,200 untuk setahun, sebulan baru RM100.

“Rakyat tahu betapa kecilnya RM100 hari ini lebih-lebih lagi apabila segenap harga barangan dinaikkan dengan alasan nilai import meningkat kerana ringgit mengecil dan kenaikan harga minyak,” ujarnya.

Justeru, ujar beliau PAS menyeru kerajaan BN untuk menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri petang semalam.

Katanya, rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.

“Malangnya ini bukan kesnya,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Negara perlu bersih dari parti orang mahu kaya

Abdul Aziz Mustafa, 03 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bukan Umno yang perlu dibersihkan, tetapi negara ini yang sebenarnya perlu dibersihkan dari Umno, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Malah, ketika Hari Kemerdekaan Ke-56 masih disambut, patriotisme rakyat negara ini perlu digerakkan untuk memastikan tamatnya kekuasaan parti yang diakui oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri sebagai dianggotai oleh mereka yang memasuki parti tersebut semata-mata kerana mahu menjadi kaya," katanya.

Dalam wawancara akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Dr Mahathir dipetik berkata: "Bahkan pemimpin Umno di semua peringkat dianggap menyertai Umno bukan kerana bangsa, agama dan negara tetapi ingin memperkayakan diri".

Bekas Presiden Umno itu juga menggesa supaya Umno dibersihkan menjelang pemilihan parti itu.

"Mustahil Umno yang Dr Mahathir sendiri tulis dalam blognya sebagai busuk hingga ke usus boleh dibersihkan dalam masa tidak sampai tiga bulan menjelang pemilihan parti itu yang dijangka diadakan November ini," kata Salahuddin.

Beliau berkata, apa yang lebih wajar dan munasabah untuk dilakukan ialah "rakyat mestilah menyemarakkan patriotisme mereka kepada negara ini untuk menamatkan cengkaman pemerintahan parti yang disebut sendiri oleh bekas Perdana Menteri paling lama berkuasa itu sebagai parti perasuah".

"Selagi Umno dan rasuah berkuasa, jangan mimpi untuk melihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang adil, badan-badan penguatkuasa dan jentera-jentera kerajaan yang adil, media perdana yang adil malah keadilan semakin hari semakin menjadi barang yang hilang dari rakyat negara ini," kata Salahuddin.

Tidak ada pilihan lagi bagi rakyat, kata beliau, melainkan berusaha bersungguh-sungguh dengan segala daya upaya mereka untuk "membebas dan menyelamatkan negara ini dari cengkaman parti perasuah yang busuk hingga ke usus dan dianggotai serta dikuasai oleh mereka yang menyertai parti itu semata-mata kerana mahu menjadi kaya".

Dalam wawancara dengan akhbar yang dilihat sebagai lidah rasmi Umno itu, Dr Mahathir juga menggesa supaya pemimpin baru dan muda supaya diberikan peluang kerana hanya dengan langkah tersebut parti itu akan dibersihkan.

"Hanya dengan memberi kepimpinan Umno kepada orang muda dan belum tercemar barulah pembersihan Umno boleh menjadi kenyataan dan diterima oleh masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan dengan alasan untuk menjaga keharmonian dalam parti.

Tiada ulasan: