Selasa, 3 September 2013

WANG ZAKAT ADA ASNAF PENERIMANYA..JANGAN KITA BELANJA KEPADA YANG BUKAN TERMASUK ASNAF

Flashmob bantah naik harga minyak petang ini

Harakahdaily, 03 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan kerjasama DPP negeri akan mengadakan flashmob serentak seluruh negara bertempat di sepuluh kawasan berhampiran stesen minyak di setiap negeri pada jam 5.00 hingga 6.30 petang ini.

“Flashmob ini adalah bantahan ‘diam’ oleh rakyat marhaen yang dinafikan hak dan dibisukan suara mereka,” ujar Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, ia diadakan secara aman tanpa sebarang provokasi dan gangguan kepada keamanan dan keselesaan orang ramai.

Justeru itu, beliau mengingatkan para peserta supaya jangan mengganggu lalu lintas, jangan menghalang laluan masuk ke stesen minyak, jangan mencetus dan melayan provokasi serta jangan membawa apa-apa di tangan melainkan banner atau poster sahaja.

“Kami mengharapkan agar warga prihatin dapat keluar beramai-ramai mengikut arahan DPP negeri masing-masing untuk menghadiri lokasi yang akan ditetapkan,” ujarnya lagi.

Rupa-rupanya Najib berkecuali krisis di Mesir

Aslani M, 03 Sep 2013
KOTA BHARU: Ketika rakyat dan pelbagai NGO mengutuk keras rampasan kuasa tentera di Mesir, sebaliknya Malaysia diberitahu Datuk Shahlan Ismail mengambil sikap berkecuali.

Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri malam tadi memberitahu kerajaan Malaysia mengambil sikap berkecuali tanpa menyokong mana-mana pihak yang sedang bertelagah di Mesir.

“Berbeza dengan pendekatan yang diambil perdana menteri dalam isu di selatan Thailand, Filipina dan bantuan kemanusiaan ke Acheh kerana telah mendapat keizinan kerajaan negara terbabit.

“Namun berlainan situasi di Mesir. Penyokong Ikhwan Muslimin gopoh mahu perubahan dilakukan lebih cepat sehingga akhirnya Dr Morsi jatuh,” katanya pada program bual bicara kendalian TV al-Hijrah.

Seorang lagi panelis pada program itu, ulama muda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya, manakala Amin Idris bertindak sebagai moderator.

Sedangkan sebelum ini pelbagai pihak mendesak kerajaan Malaysia mengambil sikap lebih jelas terhadap kudeta tentera di Mesir.

Shahlan biar pun nampak kepayahan menjawab soalan moderator tiba-tiba membongkar punca sebenar sikap membisu Datuk Seri Najib Razak terhadap krisis di Mesir.

Beliau yang memberitahu baru pulang dari Mesir bersama rombongan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh tidak mahu “melukakan hati” kerajaan sementara Mesir.

Sebaliknya hujahnya seakan-akan menyalahkan Ikhwanul Muslimin kerana disifatnya gagal bertindak seperti Erdogan di Turki, lebih bersikap sederhana selepas Justice and Development Party menang.

Bagaimanapun pandangan bekas calon BN di parlimen Pokok Sena itu jauh berbeza dengan seorang sarjana warga Mesir, Dr Alaa’ Hasni apabila menjelaskan pasukan polis dan tentera di Mesir paling brutal di dunia.

Beliau mendakwa tentera Mesir mendapat bantuan sebanyak RM1.3 bilion setahun daripada Amerika Syarikat.

Memberitahu forum anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Kelantan di Balai Islam malam kelmarin katanya, kira-kira 85 peratus keluasan bumi Mesir dikuasai pasukan tentera.

Dr Alaa yang juga pensyarah di UIAM berkata, kebangkitan Arab bermula di Mesir kerana rakyat tidak tahan dengan korupsi, penyelewengan dan kezaliman dilakukan Hosni Mubarak.

“Maka bermula Januari 2011 rakyat Mesir bangkit sehingga akhirnya Mubarak dijatuhkan dan rakyat selepas itu memilih pemimpin melalui demokrasi,” katanya.

Adun Pasir Tumbuh, Abdul Rahman Yunus berkata, pendirian sebenar Malaysia terhadap konflik di Mesir terjawab sekarang.

Tindakan kudeta Mesir ancam rakyat Gaza

Harakahdaily, 03 Sep 2013

(Gambar menunjukkan operasi memusnahkan terowong di sempadan Gaza)

MESIR: Beberapa tindakan terbaru kerajaan sementara Mesir yang dipimpin tentera dilihat akan menyebabkan rakyat Gaza kembali ke zaman sengsara sebelum pemerintahan Morsi.

Dalam perkembangan terbaru, Mesir dilaporkan akan membina zon penampan di sepanjang sempadan dengan Tebing Gaza.

Zon penampan yang dicadangkan itu akan berukuran antara 25 dan 500 meter lebar dan sepanjang 10 kilometer.

Pembinaan zon penampan itu menyebabkan rakyat Gaza kehilangan tanah dan terpaksa berpindah mencari penempatan baru.

Maklumat itu menyebut, tentera Mesir sedang melaksanakan operasi memusnahkan rumah-rumah dan terowong-terowong "yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini".

Puluhan keluarga Mesir berdemonstrasi di bahagian Mesir sempadan Gaza sebagai tanda protes tentera memusnahkan rumah-rumah mereka.

Menurut mereka, pihak tentera telah memaklumkan keluarga-keluarga yang tinggal berdekatan dengan sempadan Gaza bahawa mereka akan merobohkan rumah-rumah mereka sebagai sebahagian usaha mereka untuk membangunkan zon penampan di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, rakyat Gaza terus diberi tekanan apabila tentera memusnahkan terowong-terowong bawah tanah yang digunakan rakyat negara itu untuk aktiviti harian mereka.

Ianya termasuk menutup lintasan di sempadan Rafah yang menjadi "pintu kehidupan" bagi rakyat Gaza.

Sekurang-kurangnya lima lagi terowong di kawasan Gerbang Salah Ed-Deen, timur Rafah di selatan Genting Gaza dimusnahkan.

Sebelum ini, tentera Mesir bertindak menenggelamkan laluan rahsia tersebut dan kebanyakan daripadanya telah musnah serta tidak lagi boleh digunakan.

Penduduk Gaza mula menggali terowong itu selepas pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan haram ke atas mereka pada 2007.

Sebelum laluan rahsia tersebut diwujudkan lebih 400 pesakit termasuk bayi dan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia kerana terpaksa menunggu permit untuk merentasi sempadan daripada rejim Zionis.

Analogi mudah kenaikan harga minyak

Dr Azman Ibrahim, 03 Sep 2013
Izinkan saya membuat analogi mudah

Sepasang suami isteri yang telah agak berusia serta bergelar datuk dan nenek memiliki satu kawasan kebun rambutan. Kebetulan tahun ini rambutan naik harga dan laris sekali di pasaran.

Musim cuti sekolah sebagaimana biasa pulanglah anak cucu ke rumah dan tentunya rambutan atuk dan nenek akan menjadi sasaran mereka. (Gambar hiasan)

Tahun ini disebabkan harga rambutan yang meningkat di pasaran, sebelum anak cucu balik, awal-awal lagi atuk ini telah memasang strategi.

Kebun rambutan itu dipagar. Di pintu pagar siap diletakkan tanda berapa harga sekilo rambutan mengikut harga pasaran semasa. Penimbang juga disediakan.

Sampai saja anak-anak cucu di kampung, terus mereka serbu pokok rambutan atuk. Atuk yang berfikiran kapitalis ini hanya tersenyum sambil menunggu di pintu pagar kebunnya.

“Wahai anak-anak dan cucu kesayanganku, selepas petik rambutan itu, sebelum kamu semua makan, pastikan rambutan itu ditimbang dan dibayar harganya mengikut tanda harga di pintu pagar ini,” kata atuk.

Terkejut beruklah semua anak cucu dengan karenah baru atuk mereka.
Biasanya atuk amat pemurah dan tak pernah berkira dengan cucu-cucu. Lebih teruk lagi, harga yang dipamerkan pula sama dengan harga rambutan di pasar.

“Ala atuk, tak kan dengan anak cucu pun nak berkira, mahal pulak tu harga rambutan atuk ni,” rayu seorang cucunya.

“Mahal kamu kata! Cuba kamu pergi check harga rambutan di Singapura dan di Jepun, tengok berapa harganya!” tegas saja nada suara atuk.

“Betul lah di Singapura dan Jepun harga rambutan mahal, mereka mana ada pokok…” seorang anak lelaki atuk mencelah.

“Harga rambutan atuk ini, mengikut harga semasa pasaran, bukannya atuk pandai-pandai buat naik harga sendiri. Sebelum ni sudah banyak atuk tanggung subsidi dengan bagi rambutan percuma pada kamu semua. Dari mana duit atuk nak dapat untuk beli baja, nak beli racun rumput, nak buat pagar, nak upah orang petik dan bla… bla.. bla,” atuk terus membebel.

“Betul dah tu atuk, memang rambutan dah naik harga. Tapi atuk juallah kepada orang luar mengikut harga pasaran, dengan kami anak cucu tak kan lah atuk nak berkira. Tak kan sampai atuk nak suruh kami bandingkan harga rambutan atuk dengan harga rambutan di Singapura… Lagipun kebun rambutan ini memang hak atuk. Atuk pun tak perlu tanggung bayar  subsidi harga kepada sesiapa. Pelik juga kalau kebun ini milik atuk, tapi tiba-tiba Atuk kata, atuk kena tanggung subsidi, isshh!! Kepada siapa pula subsidi ni dibayar?” jawab seorang lagi cucu atuk yang kebetulan belajar ekonomi di sebuah universiti tempatan secara panjang lebar.

“Walau apa-pun kamu cakap, atuk tetap bertegas. Harga tetap tak diturunkan. Kamu semua sepatutnya bersyukur. Masih boleh balik ke rumah atuk dengan aman, kampung kita pun masih aman. Makan pakai semua cukup. Kerja makan gaji . Semua pakai kereta besar. Tandanya kamu semua mampu. Tak kan lah nak bayar harga rambutan sikit pun sudah bising!” atuk membuat keputusan muktamad.

MB Selangor boleh tulis semula sejarah

Subky Latif, 03 Sep 2013
Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor telah mengulangi apa yang pernah disuarakan oleh Dato Kamaruddin Jaafar, Jawatan Kuasa PAS Pusat supaya sejarah negara kita ditulis semula. Khalid bagaimana pun lebih spesifik menekankan sejarah kemerdekaan negara perlus dikaji dan ditulis semula.

Suara kedua-duanya adalah betul kerana sejarah yang dibukukan sesuai dengan selera pemimpin Umno. Ada yang mengira kemerdekaan itu mulai disuarakan bersama Malayan Union dan ada pula mengira ia dimulai oleh Tunku Abdul Rahman Putra setelah menggantikan Dato Onn sebagai pemimpin Umno tahun 1951 sedang pekikan MERDEKA itu mula dilaungkan oleh Ahmad Boestamam pada penubuhan Partai Kebangsaan Melayu Malaya tahun 1946.

Reaksi saya kepada Kamaruddin Jaafar dulu ialah jangan tunggu orang  tulis  semula tetapi dialah yang mesti mula menulisnya. Demikian juga reaksi saya kepada Khalid ialah dengan menyeru supaya sejarah itu ditulis semula, tidak ada yang akan menulisnya, dan bercadang untuk menulisnya juga ia tidak akan ditulis, tetapi jika kita mula menulisnya dan menulis hari-hari, insya-Allah penulisan semula sejarah kemerdekaan itu akan disempurnakan.

Saya percaya Khalid dalam keadaan yang berupaya untuk memulakan penulisan semula itu. Dia ada Menteri Besar Selangor dan Selangor mempunyai keadudukan ekonomi dan kewangan yang kuat berupaya melancarkan gerakan penulisan semula sejarah yang dimaksudkan dan juga lain-lain sejarah.

Selangor juga mempunyi syarikat yang gagah yang berupaya mengeluarkan peruntukan bagi  mengumpulkan pakar sejarah bagi menulis sejarah yang tepat. Ahli-ahli sejarah yang berwibawa dan ada integriti tidak perlu membuat kajian semula. Sudah ada dalam pengetahuan mereka apa  sejarah yang benar  dan apa yang tidak tepat.

Yang perlu bagi mereka ialah untuk mula menulis. Jika Selangor boleh mengadakan peruntukan yang secukupnya, saya kira sebelum Khalid berundur dari MB Selangor empat lima buah buku sejarah dapat diterbitkan.

Jika Khalid sedia melambakkan duit di depan saya, seperti yang syarikatnya beri sekian juta untuk kemajuan golf atau memberi gaji beratus ribu sebulan  kepada pemimpin Syabas, dengan belanja yang tidak boros, saya percaya kita boleh keluarkan bukan saja buku sejarah kemerdekaan negara, bermacam-macam sejarah Selangor  dan raja-raja Selangor pun boleh diterbitkan.

Saya percaya Prof. Rithuan Othman, Prof. Dato Mohamad Abu Bakar, ahli sejarah Islam Kamaruzaman Yusof, Khoo Kay Kim dan lain-lain bila-bila masa bersedia memberikan masa untuk menyediakan buku masing-masing.

Dr Mazlee Malik dari UIA juga adalah seorang yang tahu sejarah. Dia pun ada hajat hendak menulis buku sejarah sebelum dia mati.

Masalahnya sekarang buku sejarah yang tidak dijadikan buku teks di sekolah tidak ada yang hendak menulisnya. Mungkin pasarannya tidak besar dan penerbit pula tidak minat jika pasarannya kecil.

Tetapi jika insentif dapat  diadakan maka akan berlumba-lumbalah orang hendak menulis apa lagi  yang ditulis itu adalah yang benar dan yang tepat.

Mungkin Khalid tidak cukup masa untuk membuat penyelidikan dan menulis setekun mungkin disebabkan tugas dan  amanah besar mentadbir Selangor dan rakyatnya yang otak masng-masing tak  sama, tetapi dengan membentuk satu badan amanah dengan dana yang secukupnya, memberi suasana yang kondusif kepada ahli-ahli sejarah untuk menulis subjek yang mereka sangat suka, kita akan dapat nanti lambakan buku sejarah  yang bernilai.

Tapi sekadar suruh Ramlah Adam tulislah semula sejarah negara, belum tentu  dia tulis. Jika dia tidak tulis, kita yang tulis.

OKU, bebaskan dari belenggu duka

Mohammad Faizal Che Yusof, 03 Sep 2013
Hanya dua hari diperlukan oleh pihak kerajaan untuk merentap hati rakyat selepas melalui sambutan kemerdekaan yang ke-56. Usah difikir tentang perasaan dan jiwa rakyat yang menanggung beban yang bakal dipikul dek kenaikan harga minyak domestik. Kerajaan ada tempoh yang cukup lunak untuk menjinakkan semula hati rakyat menjelang pembentangan belanjawan Oktober akan datang.

Dalam suasana rakyat cukup rasa terpukul meskipun trend ini telah dijangkakan apabila Barisan Nasional memenangi PRU13, saya hanya ingin menyelak ingatan sekalian sahabat pembaca kepada satu kelompok rakyat yang disebut sebagai Orang Kurang Upaya, OKU. Sempena dengan sambutan kemerdekaan ke-56 dan menjelang hari Malaysia 16 September, perlu saya membicarakan perihal OKU agar setiap kelompok masyarakat tahu peri ujian yang sedang kami tempuhi.

Doakanlah agar setiap ujian mampu kami dan ahli keluarga lalui dan doakanlah juga agar setiap usaha membangunkan potensi insan setiap OKU diberi petunjuk dan kekuatan dari Allah SWT.

Ramai rakan-rakan OKU saya menyebut bahawa perjuangan aktivis OKU dalam suasana sekarang ialah membebaskan OKU dari belenggu simpati dan model penerima bantuan. Bukan salah untuk rasa simpati dan bukan salah untuk OKU menerima bantuan. Yang perlu, selain bantuan dan rasa simpati, perlulah beriringan dengannya satu usaha utuh untuk menggilap potensi diri setiap OKU.

Itulah yang diajari oleh baginda Rasul Allah SAW dan sekalian para sahabat. Selain menghulurkan bantuan yang seadilnya, OKU perlu didorong agar nilai insaniah yang dikurniakan Ilahi mampu digilap.

Berapa ramai pada hari ini OKU yang pelbagai katagori masih gagal memperoleh pendidikan paling asas? Berapa ramai ibu bapa yang mempunyai anak OKU perlu mengorbankan kerjaya demi memastikan kebajikan anak OKU terbela bilamana tiadanya institusi yang mampu menggalas tugas? Begitu juga masih ramai OKU yang dikurniakan kebijaksanaan dan kelebihan tertentu terbiar di merata ceruk kerana tiadanya satu sistem sokongan yang membolehkan mereka terampil dengan setiap kelebihan diri.

Menjelang sambutan hari Malaysia ke 40, tidak sekali-kali saya nafi adanya usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk manfaat OKU. Namun sebagaimana yang dirasai oleh kebanyakan OKU dan ahli keluarga, apa yang disediakan untuk OKU bagai ada yang tidak kena.

Kadangkala apa yang disediakan tidak langsung bermanfaat selain hanya sebagai penyedap mata yang memandang. Paling tidak masyarakat diperlihatkan betapa OKU dan keluarga OKU cukup bahagia dengan pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang sering diwara-warakan.

Harapan saya kepada sekalian OKU dan ahli keluarga, tempuhi hidup ini dengan penuh ketabahan dan sentiasa berharap keapada Allah SWT jangan sekali-kali rasa putus asa lantas beralah dengan pelbagai kesulitan dan kesukaran.

Bagi pihak Sekretariat Prihatin OKU, Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, saya mengucapkan setinggi terima kasih atas pengharapan yang disandarkan kepada kami. Sedaya mungkin kami akan mengenengahkan setiap isu yang berkaitan dari semasa ke semasa untuk perhatian umum. Kepada mereka yang prihatin, kami mengalu-alukan sebarang sokongan untuk kami terus melangkah ke hadapan bagi membela 15 peratus populasi yang dianggarkan terdiri daripada OKU yang pelbagai katagori.

Kepada pihak kerajaan sama ada peringkat pusat mahupun negeri, libatkanlah OKU dalam setiap perencanaan agar undang-undang dan dasar yang diputuskan mampu memberi kebaikan yang dapat dirasai oleh OKU dan ahli keluarga. Jika selama ini setiap kemudahan dan dasar berkaitan OKU digubal dari kaca mata mereka yang bukan OKU, dengan adanya OKU di peringkat penggubalan dan perlaksanaan kelak, kekhilafan masa lalu dapat diminimumkan jika pun tidak dihapuskan. – 27 Syawal 1434H.

Najib umum lewat, huru hara di stesen minyak

Wan Fariz Izudin,
Kenaikan harga minyak seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang semalam memang telah dijangka oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Jangkaan ini berdasarkan pelbagai janji-janji baru seperti kenaikan jumlah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk tahun hadapan, kenaikan tahunan dua kali kakitangan awam pada tahun ini serta janji-janji yang lain.

Kenaikan-kenaikan ini sudah tentu memerlukan pengorbanan oleh rakyat secara keseluruhannya kerana kerajaan perlu meningkatkan atau paling tidak mengekalkan pendapatan tahunan agar negara dapat diurus dengan baik.

Apa yang diberikan kepada segelintir golongan perlu diganti dengan sesuatu, seperti kenaikan cukai ataupun seperti apa yang semua rakyat Malaysia hadapi kini, iaitu kenaikan petrol RON 95 serta diesel sebanyak 20 sen.

Kenaikan ini mungkin perlu untuk mengekalkan momentum serta kestabilan ekonomi negara. Mungkin ramai yang merungut dengan kenaikan ini yang sedikit membebankan, dan dalam masa yang sama memungkinkan kenaikan harga perkhidmatan serta barangan dalam masa terdekat.

Namun, ini semua adalah percaturan ekonomi yang mungkin orang seperti saya ini tidak begitu arif.

Namun apa yang dikesalkan adalah cara dan masa pengumuman tersebut dibuat yang telah sedikit sebanyak mencetuskan seolah-olah ‘panic attack’ di kalangan majoriti rakyat Malaysia.

Saya dapati di Shah Alam, kenderaan telah berpusu-pusu ke semua stesen petrol untuk mengisi petrol sejak daripada jam 7 malam berlarutan sehinggalah ke jam terakhir iaitu 11.59 minit malam.

Kesesakan berlaku di hampir semua stesen petrol di Shah Alam sehingga menyukarkan pengguna-pengguna yang memang kehabisan petrol untuk mengisi petrol mereka.

Ini kerana pengguna-pengguna lain yang masih mempunyai baki petrol melebihi separuh telah berpusu-pusu untuk mengisi petrol penuh akibat kenaikan 20 sen ini.

Saya yang mempunyai baki petrol kurang separuh kelmarin, tidak sanggup menunggu lama dalam kesesakan ini lantas kembali semula selepas jam 12 malam untuk mengisi petrol. Namun, apa yang mendukacitakan saya ialah hampir semua stesen petrol di Shah Alam telah kehabisan bekalan dan ditutup awal.

Pada pagi ini, Selasa 3hb September 2013, dengan bekalan petrol yang amat terhad untuk ke pejabat, saya telah mencuba ke stesen petrol di luar Shah Alam, namun, keadaan sama juga berlaku iaitu stesen petrol kehabisan bekalan. Mengapa ianya boleh terjadi sebegini?

Pendapat saya adalah ini semua kerana kelewatan kerajaan menyampaikan maklumat mengenai kenaikan harga petrol tersebut. Kelewatan yang mencetuskan huru hara kepada rakyat. Kelewatan ini menyebabkan kesusahan kepada orang seperti saya yang benar-benar kehabisan petrol.

Apakah kerajaan tidak sedar atau tidak peka kepada keadaan seperti ini? Adakah kerajaan atau wakil-wakil dalam kerajaan seperti para menteri tidak pernah melihat keadaan sebegini berlaku di setiap stesen petrol di seluruh negara setiap kali kenaikan petrol diumumkan?

Ini berpunca akibat kelewatan pengumuman kenaikan tersebut kepada rakyat.

Apakah sebenarnya motif kerajaan membuat pengumuman sebegini lewat? Hanya kerajaan sendiri dapat memberikan jawapan.

Namun, saranan saya demi mengelakkan perkara sama berulang ialah agar kerajaan dapat membuat pengumuman sehari atau dua hari lebih awal dan bukannya 6 jam sebelum masa kenaikan.

Ini membolehkan rakyat merancang pengisian petrol terakhir mereka sebelum kenaikan berkuat kuasa tanpa mencetuskan ‘panic attack’ atau keadaan huru hara ini.

Saya mengharapkan kerajaan yang prihatin yang mana slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ menjadi paksi perjuangan, akan terus memikirkan cara, kaedah serta masa terbaik untuk membuat pengumuman seperti ini demi kesenangan serta kemudahan rakyat jelata.

Shah Alam

Awas tipu muslihat Amerika!

Syed Abdullah Syed Osman,
Jangan terlalu awal kita bertepuk tangan apabila ratusan peluru barpandu Amerika Syarikat dan barat akan dilancarkan ke arah askar Presiden al-Assad. Hal ini kerana kita tidak tahu apa muslihat yang tersirat di sebalik 'Superman' hendak menyelamatkan rakyat Syria daripada kekejaman Presidennya itu.

Di atas kertas memang nampak cantik dan membantu tetapi sedarkah kita setiap kali Amerika Syarikat yang didalangi oleh rejim Yahudi itu melakukan sesuatu pasti akan menimpakan mala petaka kepada negara yang hendak diselamatkan itu.

Afghanistan, Iraq dan begitu juga Libya - pada mulanya rakyat negara-negara berkenaan begitu teruja dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Amerika Syarikat yang kononnya telah 'memerdekakan' mereka tetapi setelah beberapa tahun sahaja barulah rakyat negara berkenaan sedar bahawa mereka telah masuk kedalam perangkap permainan yang cukup licik dan terancang untuk memeras ugut dan menjajah secara tidak langsung negara tersebut. Pada masa yang sama negara yang telah dijajahkan itu akan dihuruharakan dengan masalah dalaman saperti perang saudara yang tidak berkesudahan itu.

Lihat semula sejarah bagaimana Amerika Syarikat memperalatkan Presiden Saddam Hussein. Iraq telah dibekalkan dengan senjata canggih termasuk senjata kimia untuk menyerang Iran dalam peperangan dari tahun 1980 hingga 1988 yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa kedua-dua belah pihak yang akhirnya peperangan itu dihentikan begitu sahaja apabila tentera Iraq gagal dalam misinya menawan Iran dibawah pimpinan Ayotollah Khomeni. Akhirnya  Saddam Hussein itu sendiri menjadi mangsa percaturan dan perancangan jahat Amerika Syarikat.

Begitu juga huru-hara yang berlaku di Mesir ketika ini yang dipercayai bahawa dalang di belakang rampasan kuasa oleh pihak tentera Mesir itu sendiri adalah Amerika Syarikat dan Israel.

Soalannya adakah benar askar Syria menggunakan senjata gas kimia keatas penduduk Syria ataupun sebaliknya tentera rejim Yahudi yang melakukannya tetapi menuduh tentera Syria pula. Walauapapun sepatutnya diserahkan kepada pihak Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat sebelum mengambil tindakan sewajarnya dan bukannya tentera Amerika yang cuba memandai-mandai menceroboh negara lain.

Q&A: Solat dua jemaah dalam satu masjid

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 03 Sep 2013
Soalan;
Di surau tempat saya ada dua kumpulan. Semasa solat subuh satu kumpulan solat berimam awal dan satu kumpulan lagi datang lewat dan semasa kumpulan pertama masih lagi solat berjemaah dalam rakaat kedua kumpulan kedua tidak ikut serta berjemaah tapi mereka solat sunat dan kemudian berjemaah bagi kumpulan mereka. Apakah hukumnya? Untuk pengetahuan ustaz kumpulan satu menunggu selama 15 minit, dan kerana  kumpulan dua ini mereka terlambat, mereka tidak sempat solat sunat sebelum Subuh. Katanya rugi tertinggal sunat tersebut. Bolehkah ustaz jelaskan apakah hukumnya?

Jawapan;

Ada beberapa kesalahan dilakukan oleh kumpulan tersebut;

1. Menyebabkan berlakunya dua jamaah dalam satu masjid secara disengajakan. Hal ini bertentangan dengan sunnah Nabi SAW (iaitu hanya satu jemaah sahaja yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW dalam masjidnya, begitu juga yang menjadi amalan para sahabat selepas baginda) di samping memecahbelahkan kaum muslimin dalam rumah Allah.

2. Melakukan solat sunat sedang solat fardhu telah didirikan; perbuatan ini bercanggah dengan arahan Nabi SAW; “Apabila telah diiqamahkan, tidak ada solat melainkan solat fardhu.” (Soheh Muslim; 710/63, dari Abu Hurairah RA).

Berkata ulama –berdalilkan hadis ini - jika kita sedang melakukan solat sunat dalam masjid, tiba-tiba terdengar laungan iqamah, hendaklah kita segera menyudahkan solat sunat kita jika kita telah berada dalam rakaat kedua. Adapun jika baru berada dalam rakaat pertama, hendaklah kita menamatkan solat sunat itu dan segera mengikuti imam mengerjakan solat fardhu, kerana jika kita meneruskan solat sunat tersebut akan menyebabkan kita akan terlepas solat berjemaah dengan imam dari awal (kerana lagi awal kita dapat mengikut imam, lagi afdhal).

3. Jika kita tiba di masjid ketika imam telah berada di hujung solat; mana yang terbaik; antara terus bertakbir dan masuk dalam jemaah sedia ada, atau kita menunggu imam memberi salam dan mengadakan jemaah yang baru bersama orang-orang lain yang baru tiba bersama kita (jika ada)? Menurut ulama; yang terbaik ialah terus bertakbir untuk masuk ke dalam jemaah sedia ada, berdalilkan sabda Nabi SAW; “Apabila kamu datang kepada solat berjemaah, janganlah datang dengan tergesa-gesa, akan tetapi berjalanlah dengan tenang. Apa-apa yang kamu sempat, sembahyanglah (bersama imam). Apa-apa yang kamu ketinggalan, sempurnakanlah (sendirian)”. Arahan Nabi SAW; “Apa-apa yang kamu sempat, sembahyanglah (bersama imam)” adalah umum, yakni merangkumi juga keadaan di atas. Maka jika kita menunggu imam sedia memberi salam untuk kita melakukan jemaah yang baru, kita telah menyalahi arahan Nabi SAW supaya mengikuti imam yang sedia ada pada rakaat yang sempat dan menyempurnakan secara sendirian bagi rakaat yang ketinggalan. (Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid, 31029).

4. Menyedari perkara di atas, tidak harus kita beralasan “rugi tertinggal sunat” untuk kita meninggalkan solat berjamaah sedia ada bagi melakukan solat sunat kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan arahan Nabi SAW. Lagipun solat sunat yang tertinggal itu boleh diqadha pada masa lain jika benar kita rasa rugi meninggalkannya.

Q&A: Zakat wang dilabur saban bulan

Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 02 Sep 2013
Soalan:

Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengira zakat pelaburan secara wang tunai yang dibuat secara bulanan, ke dalam pelaburan Unit Trust (Amanah Saham). Harga per unit untuk Unit Trust pula berubah-ubah setiap hari. Mohon pencerahan daripada ustaz. Terima kasih. Saya berikan data pelaburannya:

Tarikh Mula Labur: 1 Jan 2012
Kaedah Melabur: Bulanan
Jumlah Melabur: RM1,000 setiap bulan
Jangkamasa pelaburan: 10 tahun
Kadar keuntungan pelaburan: tidak tetap di anrara 5% – 15% setahun

Jawapan: Terima kasih kerana mengajukan persoalan dan semoga Allah SWT juga membantu saya dalam memberikan jawapan yang betul dan terbaik buat soalan ini, amin. Baiklah, apa yang saya fahami bahawa tuan telah memasukkan wang secara bulanan dengan tetap sepanjang tahun ke dalam Saham Amanah, bagi tempoh selama 10 tahun.

Sebelum itu, sepanjang tempoh 10 tahun itu, adakah tuan boleh mengeluarkan wang itu, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya atau tidak boleh sama sekali? Jika tidak boleh mengeluarkannya sehinggalah tempoh matang 10 tahun, maka sepanjang tempoh itu tiada zakat ke atasnya, kerana tuan tiada sempurna milik ke atas wang berkenaan. Tetapi jika boleh dikeluarkan tanpa perlu menunggu 10 tahun, maka tuan ada sempurna milik ke atasnya dan baharulah ia wajib ditaksirkan zakatnya.

Sekarang, kita andaikan tuan mempunyai sempurna milik ke atasnya, maka timbul pula persoalan, apakah kaedah yang mahu diaplikasikan dalam taksirannya? Zakat saham atau zakat simpanan?

Baiklah, suka saya membuat ulang kaji bahawa untuk zakat saham, di sana ada tiga jenis taksiran zakat saham sebenarnya.

Pertama, zakat saham yang dijual beli sepanjang tahun di bursa saham dan kiraannya, bagi setiap transaksi sepanjang tahun adalah disandarkan kepada mal al-mustaghallat (zakat pendapatan) dan pokok saham yang kekal (atau mungkin terkurang kerana kerugian dalam transaksi) disandarkan kepada zakat wang simpanan (dizakatkan ke atas nilai atau baki pokok terendah pada hujung tahun).

Kedua, zakat saham yang tidak diniagakan sepanjang tahun dan hanya diberikan keuntungan atau dividen atas baki unit saham yang ada pada penghujung tahun, yakni dengan adanya pertambahan nilai ke atas setiap unit saham berbanding semasa awal tahun atau semasa ia dibeli. Bagi kes zakat saham seperti ini, ia dikenakan kepada nilai keseluruhan saham dengan berdasarkan harga seunit pada hujung tahun berkenaan jika ia masih sampai kepada paras nisab.

Ketiga, zakat saham bagi modal yang dilaburkan ke dalam mana-mana syarikat perniagaan, dan kaedahnya hendaklah disandarkan sepenuhnya kepada zakat perniagaan, kerana sahamnya ketika itu adalah adalah dalam bentuk ‘share holder’ dalam sebuah syarikat perniagaan.

Saya juga cuba meneliti, dan saya dapati pelaburan tuan di atas, menyamai kaedah zakat saham yang kedua, yakni ia dilihat kepada hujung tahun ke atas jumlah keuntungan dan nilai RM keseluruhan unit saham yang dimiliki. Namun, timbul persoalan kerana tuan juga sentiasa menokok jumlah saham baru sepanjang tahun, sehinggakan di hujung tahun tuan sudah pun mempunyai nilai saham RM12,000.00. Maka, bagaimana pula dengan pertambahan saban bulan ini?

Maka, dalam kes ini keseluruhan wang yang tuan laburkan itu (RM12,000.00), ia juga hendaklah dikirakan zakat ke atasnya pada penghujung tahun berkenaan, dengan tidak hanya membataskannya kepada jumlah awal RM1,000.00 sahaja. Kenapa? Ini kerana, dalam zakat saham asasnya adalah disandarkan kepada zakat perniagaan, yang mana dalam kaedah perniagaan, modal hendaklah dicampurkan semasa pentaksiran zakatnya, walaupun penambahan modal itu hanya berlaku pada pertengahan tahun dan tidak genap setahun (cukup haul).

Di Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, mulai tahun 2010 fatwa telah memutuskan bahawa, taksiran ke atas zakat saham amanah adalah disandarkan kepada harga seunit saham dan keseluruhan pengembangannya (dividen + keuntungan + bonus dan sebagainya) yang diperoleh di hujung haul atau hujung tahun, dan baharulah dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus jika mencapai paras nisab.

Kesimpulannya, biar pun harga seunit saham amanah itu berubah setiap hari, tuan hanya perlu melihat kepada harga terakhir pada saat sampainya haul, yakni pada 1 Januari 2013 (atau boleh juga dibuat pada 31 Disember 2012). Sekiranya pada 1 Januari 2013, nilai keseluruhan saham tuan adalah RM13,800.00 (saya andaikan tuan dapat keuntungan 15 peratus dan nisab hanyalah RM13,000.00), maka itulah jumlah kasar yang perlu diambil darinya sebanyak 2.5 peratus sebagai zakat, iaitu sebanyak RM345.00 sahaja. Wallahua’lam.

Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)


http://www.hamizul.com/

Tiada ulasan: