Ahad, 8 September 2013

KEDEKUT MENYEBABKAN REZEKI KITA PAYAH MASUK

Khutbah kata, Dr Burhanuddin pejuang kemerdekaan

Subky Latif, 05 Sep 2013
Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor menyarankan supaya sejarah kemerdekaan dikaji dan ditulis semula.

Ramai yang berkongsi pandangan dengannya kerana selama 56 tahun kemerdekaan, sejarah itu seolah-olah hak Umno saja. Perjuangan kemerdekaan digambarkan bermula dari penolakan Malayan Union  dan dikepala oleh Tunku Abdul Rahman saja.

Kurang seminggu selepas Khalid menyuarakan pandangannya itu,  saya bagaikan terasa sejarah itu sudah mulai ditulis semula.

30 0gos hari Jumaat. Saya solat Jumaat  di Wilayah Persekutuan. Khutbah Jawi hari itu ialah tentang kemerdekaan negara.

Terkejut saya kerana khutbah yang  dibaca khatib menyebut bahawa al-Marhum Dr Burhanuddin al-Hilmy adalah  salah seorang dari pejuang utama kemerdekaan negara.

Khutbah itu adalah salah satu pandangan rasmi kerajaan. Tidak pernah sebarang kenyataan rasmi kerajaan selama 56 tahun lalu menyebut tokoh PAS itu pejuang atau pelopor kemerdekaan negara kita. Hanya Dato Kamaruddin Jaafar dan rakan-rakannya dalam PAS mengira bapa kemerdekaan sebenarnya ialah Dr Burhanuddin.

Khtubah Jumaat Jawi itu sekadar menyebut beberapa nama orang bersejarah sebagai pejuang kemerdekaan. Diakuinya antara pejuang itu ialah Mat  Kilau. Tokoh Umno disebutnya seorang saja iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan tokoh pembangkang dari PAS seorang juga iaitu Dr Burhanuddin.

Yang lain-lain tidak  disebut, memadai ia sekadar menyebut, ‘......dan lain-lain.’ Agaknya antara yang dimaksudkan ialah Pak Sako, Ibrahim Yaakub, Tun Razak dan Ahmad Boestamam.

Walaupun Malayan Union ada disentuh tetapi khutbah itu tidak menyebut nama Dato Onn Jaafar. Dia adalah orang penting yang menumbangkan Malayan Union jika Malayan Union itu hendak dimasukkan sebagai satu sejarah dalam sejarah kemerdekaan.

Kalau Umno itu dikira sebagai pelopor agen kemerdekaan, maka yang menubuhkan Umno ialah Dato Onn, tetapi namanya tidak disebut dalam khutbah Jawi itu. Yang disebut Tunku sebagai mewakili pihak Umno. Adapun Dr Burhanuddin tidak dipertikai oleh pembangkang bahawa dia memang terlibat memperjuangkan kemerdekaan lama sebelum Tunku muncul dalam politik.

Di luar masjid ramai orang yang dipercayai setuju sejarah kemerdekaan itu ditulis semula menyatakan terkejutnya nama Dr Burhanuddin disebut.

Moga-moga tiada Umno totok membantah Jawi mengedarkan khutbah yang memecahkan monopoli sejarah kemerdekaan itu adalah hak dan milik Umno saja. Moga-moga ia bukan yang pertama dan yang terakhir menyuarakan penilaian semula sejarah itu.

Tanda sejarah itu cuba dibaharui ialah apabila Yang Dipertuan Agong pada hari keputeraan baginda dua bulan lalu menganugerahkan gelaran Tan Sri kepada Ustaz Azizan Razak, menjadikan beliau orang PAS pertama dalam masa 56 tahun merdeka diberi pengiktirafan oleh kerajaan.

Tok Guru Nik Aziz 23 tahun jadi Menteri Besar  Kelantan  dan sepanjang hidupnya berdakwah, tidak terfikir sebelum ini kerajaan BN hendak merakam sejarahnya dengan memberi Tan Sri dan Tokoh Maal Hijrah kepadanya.

Bermula dengan sejarah Tan Sri Azizan itu, nampaknya sejarah sudah tidak wajar dan tidak boleh digelapkan lagi.  Mungkin menggelapkan sejarah juga satu dari kerja kongsi gelap.

Perbandingan pemurah dengan orang kedekut

Nasrudin Hassan, 05 Sep 2013

Hadis:
Daripada Abu Hurairah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar. (Riwayat: al-Bukhari)

Huraian hadis:

Memang telah dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa Allah akan sentiasa merahmati dan memberi kesenangan kepada hamba-Nya yang berhati mulia dan bersikap pemurah sesama manusia. Manakala sesiapa yang mementingkan diri sendiri (kedekut) di muka bumi ini akan mendapat kehidupan yang tidak berkat dan tidak tenteram dalam hidupnya yang semakin hari menjadikan dia bertambah tamak dan tidak takut melakukan perkara yang salah dan berdosa sehingga sanggup menipu dalam berniaga, makan riba, menerima rasuah, menindas orang lain, dengki dan khianat.

Allah menjadikan dunia ini sebagai syurga untuk mereka manakala bila di akhirat nanti neraka akan menjadi balasannya.

Sesungguhnya harta merupakan ujian Allah SWT kepada umatnya dan kemewahan semata-mata bukanlah kayu pengukur kebahagiaan.

Oleh itu tidak kira banyak atau sedikit rezeki yang kita dapati, apa yang penting adalah keberkatan dan limpahan rezeki itu adalah dengan cara yang halal dan diredhai.

Lesunya Merdeka, integriti polis dan pembunuh upahan

Ahmad Lutfi Othman, 05 Sep 2013
Tidak ramai yang terkejut -- malah mungkin kebanyakan kita tidak lagi ambil peduli -- tentang suasana sambutan kemerdekaan ke-56, khususnya apabila kempen mengibarkan Jalur Gemilang begitu lesu sekali.

Orang ramai menjalani kehidupan seperti biasa, bagai tidak terusik dengannya,  walaupun Perdana Menteri telah melancarkan kempen tersebut di Sungai Petani, Kedah pada 16 Ogos lalu. 

Seminggu menjelang 31 Ogos, sarjana politik, Dr Mohamad Agus Yusoff melalui akaun Facebook beliau, selepas menggambarkan situasi meriah menyambut merdeka di beberapa negara, berdasarkan pengalamannya sendiri, seperti Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Liechtenstein (semuanya dalam bulan Ogos), telah menyimpulkan realiti di Malaysia: "Saya dapati inilah tahun paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal."

Pada 30 Ogos, sehari sebelum tarikh keramat, aktivis sosial Hishamuddin Rais dalam kolumnya di Malaysiakini mengungkapkan dengan lebih "tragis" hal kibaran bendera itu: "Lihat di jalan raya. Buka mata dan pandang. Amati betul-betul. Di jalan raya tidak ada teksi. Tidak ada kereta persendirian. Tidak ada bas. Tidak ada van. Tidak ada bas sekolah. Tidak ada mat rempit. Tak ada kenderaan apa pun yang sedang mengkibarkan Jalur Gemilang.

"Pada tahun ini lori bawa pasir pun tidak mengibarkan bendera. Selalunya lori pasir akan memasang bendera agar dilihat patriotik. Pasang bendera untuk menghindarkan dari ‘kena pau' oleh mata-mata yang sentiasa mencari kesalahan lori pasir."

Walaupun patriotisme dan kecintaan kepada tanahair tidak boleh diukur hanya melalui kibaran bendera, namun hati kecil sebahagian kita tentu diasak persoalan (tapi saya kira lebih ramai lagi yang tidak kisah pun), mengapa keadaan suram ini berlaku?

Apakah majoriti rakyat, khususnya anak muda, sudah tidak menghargai atau jahil untuk menilai nikmat kemerdekaan, ataupun benarkah mereka sudah muak dengan kempen tersirat kerajaan yang mahu mengaitkan perjuangan membebaskan negara daripada penjajah dibolot mutlak oleh Umno?

"Umno adalah anak emas penjajah, yang melakukan perundingan dan bukannya perjuangan kemerdekaan," kata seorang aktivis mahasiswa dalam satu pertemuan di Harakah tidak lama dahulu. "Sejarah pembinaan negara wajar ditulis semula," tambahnya. "Apakah anda setuju," saya mencelah, "bahawa pemimpin Umno cukup licik memperalatkan semangat kebangkitan orang Melayu sehingga mereka dilihat sebagai pemenang?" Pintasnya cepat: "Penjajah memang mahukan Umno dan sekutunya menjadi pewaris."

Saya tidak mahu mengulangi pengkisahan semula perjuangan memerdekakan Tanah Melayu, yang bukan hanya bermula dengan penentangan Malayan Union, malah sejak awal penjajahan lebih 500 tahun lalu, dengan pembabitan kelompok lebih meluas, termasuk para ulamak dan tok-tok guru, berdasarkan konsep dan falsafah kemerdekaan yang lebih kudus. Bagi saya, semua pahlawan bangsa harus diiktirah

Cuma, ada kritikan, dan fenomena ini berlaku pada banyak negara, iaitu pejuang sebenar kemerdekaan dilihat agak naif, senang mempercayai dan mudah dieksploitasi ketika "buah mahu dipetik". (Tiba-tiba saya terkenangkan anugerah Pahlawan Umat yang dikhususkan buat Dr Burhanuddin Al-Helmi pada 2011. Apakah ahli-ahli PAS sendiri menghayati perjuangan luhur tokoh agungnya itu?)

Apa pun, sekurang-kurangnya peringatan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam perutusannya pada 30 Ogos lalu elok untuk direnung: "Merdeka memiliki makna yang lebih dalam berbanding perkataan ‘Kebebasan’. Ia bukan sekadar persoalan dibebaskan dari cengkaman penjajahan atau penindasan asing jika ia kemudian digantikan dengan penindas di tanah air sendiri yang barangkali lebih rakus dan tamak. Merdeka bermaksud bebas dari sebarang bentuk kezaliman dan penindasan dalam apa jua bentuk dan negara dipacu ke arah baru menuju keadilan, kebebasan, demokrasi dan kemuliaan insan."

Dalam perutusan sama sempena kemerdekaan, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan: "Misi yang amat berat masih terpundak di bahu kita. Memerdekakan negara dari penjajah seterusnya memerdekakan jiwa manusia dari penjajahan pemikiran. Marilah kita menyatakan ikrar kesungguhan membebaskan diri dari belenggu penjajahan minda yang masih berlangsung. Perjuangan kita belum tamat. Selagi wujud kuasa yang menafikan Islam sebagai solusi, selagi itulah penindasan tetap akan berlaku."

Saya turut tertarik dengan laporan Bernama; Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Dato' A Thaiveegan berkata, semangat patriotik bukan hanya sekadar mengibar Jalur Gemilang tetapi perlu ditunjukkan dengan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti bertentangan dengan undang-undang. Beliau yakin seseorang insan yang cintakan tanah air, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan tidak bermoral, malah akan sentiasa berbakti kepada negara.

Thaiveegan berbicara dalam konteks masyarakat India yang dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap, tetapi saya kira aktiviti tidak bermoral juga mempunyai pengertian lebih meluas, termasuk korupsi, salahguna kuasa, pecah amanah dan penipuan (demi mengekalkan kuasa pemerintahan).

Kartunis Zunar, dalam wawancara dengan portal radio internet, Durian FM, mengenai Merdeka dan Patriotisme. merumuskan bahawa "patriotisme paling tinggi adalah menentang pemerintah zalim dan rasuah." Nah, bagus sekali, kan?

Tapi, bagaimana dengan cadangan kerajaan mewujudkan undang-undang mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan, hatta swasta, mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan bulan kemerdekaan? Itulah mentaliti penguasa yang hanya tahu memaksa dan menguatkuasakan peraturan, seterusnya menghukum.


II.

Ops Cantas yang dilancarkan PDRM merupakan tindakan proaktif yang wajar dipuji, walaupun bagi sesetengah pihak, ia dianggap agak terlewat. Keselamatan rakyat dan ketenteraman awam tidak boleh dikompromi sehingga seolah-olah keamanan bergantung kepada ehsan penjenayah.

Kawasan kejiranan sudah menjadi tempat larangan, yang harus dikawal 24 jam. Dan saya dimaklumkan, masih ada kawasan penempatan tertentu, termasuk di sekitar ibu kota, yang kelihatan seperti menjadi 'sarang penjenayah' apabila pihak polis sendiri "gerun" untuk memasukinya.

"Kalau ada keperluan, bukan polis yang masuk ke kawasan tersebut disebabkan risiko keselamatan, tetapi wakil penduduknya yang dipanggil keluar untuk berjumpa polis," dakwa sumber. Saya sukar mempercayai situasi seumpama zaman darurat itu masih berlaku, apatah lagi di negeri termaju!

Saya mengharapkan ia suatu imiginasi liar dan bukannya realiti walaupun sumber itu cuba meyakinkan saya bahawa itu memang bukan ilusi.

Pasukan keselamatan kita mesti diperkasa, bukan saja daripada segi pertambahan jumlah anggota (terutama yang terlibat langsung dalam pencegahan jenayah) dan modenisasi keperluan logistiknya, tetapi juga dalam aspek integriti dan kewibawaan.

Laporan Sin Chew Daily 28 Ogos, meskipun dinafikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, cukup merisaukan. Akhbar itu melaporkan Sebilangan ahli politik ternama didakwa menaungi beberapa kongsi gelap dan beberapa orang daripadanya turut menjadi penasihat kumpulan terbabit.

"Siapa kata? Setakat ini saya tidak pernah dengar penglibatan sebarang ahli politik dalam kumpulan kongsi gelap," kata Khalid. Saya tertarik dengan istilah yang digunakannya, "tidak pernah dengar".

Isu integriti pihak polis belum berjaya ditangani dengan baik, sementalahan cadangan IPCMC yang dikemukakan suruhanjaya diraja yang dianggotai, antaranya oleh tiga bekas Ketua Hakim Negara, belum direalisasikan. Orang mudah mempercayai jika ada tuduhan rambang bahawa pasukan polis kita mudah "cair dengan rasuah" walaupun tidak disertakan bukti. Kenapa ya?

Pasukan narkotik pula dilabelkan "mudah dibeli" sehingga penyeludupan dan pengedaran dadah terus menjadi-jadi. Senjata api pula mudah bolos daripada negara jiran. Penjara bukan lagi tempat pemulihan dan bahan-bahan terlarang, seperti dadah, bebas keluar-masuk. Ya, malang sekali jika dakwaan ini benar.

Insiden  Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Dato' Shaharuddin Ibrahim, yang  mati ditembak di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi, dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, akhir April lalu, menimbulkan tanda tanya tentang keselamatan pegawai awam yang berintegriti.

Sehingga kini, penembaknya belum dapat dikenal pasti dan dibimbangi pembunuhan nekad itu ada kaitan dengan sikap Allahyarham yang tegas membanteras jenayah. Anak Shaharudin, Mohd Akhtar memberitahu media bahawa bapanya telah ditembak mati selepas menyiasat sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

Mohd Akhtar juga mendakwa bapanya telah memberi amaran kepada pegawai atasan mengenai rasuah sambil menambah Shaharuddin menerima surat pemindahan selepas tindakannya itu. Presiden Persatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad mengesahkan bahawa Shaharuddin dijadualkan akan dipindahkan sebulan sebelum beliau dibunuh.

Lebih digeruni jika satu ketika nanti, wartawan yang membongkar kes jenayah pula menjadi sasaran pembunuh upahan!

Seperti orang lain, saya amat mengharapkan, integriti pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan dapat dipulihkan segera dan usaha ke arah itu harus disokong sepenuhnya, termasuk komitmen menangani percambahan kongsi gelap.

Terimalah ‘hadiah’ atas kemenangan BN

Abd Shukur Harun, 04 Sep 2013
Kenyataan seorang menteri bahawa, “jika harga ayam naik, jangan makan ayam,” kini menjadi kata-kata popular dalam kalangan orang ramai dan menjadi analogi baru pula, “jika harga minyak naik, jangan pakai minyak.”

Kata-kata ini banyak didengar di pasar-pasar, di warung roti canai, di hentian teksi, dan di banyak tempat rakyat biasa berada.  Tetapi bukan dalam kalangan golongan ahli korporat kaya atau super kaya yang berlegar di padang golf, di lobi hotel mewah atau super mewah, di bilik mesyuarat para pembesar negara atau di bilik mesyuarat ahli korporat di kompleks mereka.

Golongan elit ini tidak tersentuh dengan harga minyak naik, justeru mereka disediakan segalanya percuma oleh syarikat mereka, sementara pembesar negara juga segalanya percuma disediakan oleh kerajaan.

Golongan elit ini kebanyakannya tidak pernah ke pasar, ke kedai barangan keperluan harian, tidak pernahpun ke stesyen minyak, jauh sekali hendak menjenguk meter harga minyak. Segalanya dilakukan oleh pemandu mereka. Keluarga mereka biasanya hanya menghantar orang gaji mereka untuk pergi ke pasar membeli barang keperluan, atau van khusus yang menghantar barang keperluan itu ke banglo mewah mereka.

Golongan super kaya ini tidak akan tersentuh dengan kehidupan rakyat biasa yang kini merasakan amat tertekan dengan kenaikan harga minyak. Kepada siapa rakyat ini hendak mengadu, melainkan derita itu ditelan sendiri.

Akibat kenaikan harga minyak ini, harga barangan yang sudah mahal akan bertambah mahal lagi. Kesan kenaikannya, maka pengusaha bas awam, bas sekolah, lori kontena dan lori biasa sudah menyatakan akan menaikan kadar sewa lori dan bas mereka kerana kenaikan harga minyak tersebut.

Hal ini bermakna seluruh sektor kehidupan akan menerima kesannya, kecualilah golongan elit yang disebutkan tadi. Maka kini bermunculanlah kata-kata sindiran dalam facebook, twitter, sms dan lain-lain, “Jangan guna minyak jika harga minyak naik.” Ini bukan kata-kata Raja Lawak, tetapi sindiran dari rakyat biasa kerana mereka merasa sangat tertekan.

Ada seorang tua pesara kerajaan yang setiap bulan menerima pencen pada suatu pagi berbual dengan seorang kenalannya di gerai nasi lemak sambil menghirup tea tarik:

“Apalah salahnya, minyak naik hanya dua puluh sen, bukan banyak. Kerajaan sudah banyak menolong rakyat, BR1M500 sudah dua kali beri, Ini nak bagi lebih lagi. Dalam pilihan raya macam-macam bantuan diberikan. Nak marah apa lagi.”

Kenalan itu yang mengambil upah sebagai tukang rumah, merenungnya dan berkata, “awak bercakap macam menteri pulak. Semuanya kerajaan elok belaka. Awak tak tahu sebenarnya macam mana kesusahan rakyat. Mengapa awak pejamkan mata dengan kesusahan rakyat, kerana awak terima pencen bulan-bulan, anak awak beri pulak duit. Tapi orang lain bagaimana?”

“Itu nasib masing-masinglah,” jawabnya dan beredar dari situ kerana nampaknya tidak sanggup lagi berhujah dengan situkang rumah itu.

Bagi golongan rakyat kelas menengah rendah kenaikan harga minyak ini akan mengakibatkan harga barangan lain akan turut ini. Bahkan, Presiden Persatuan Pengusaha Pengangkutan Perdagangan Wilayah Utara, Datuk Yusoff Ismail telah menyatakan kesannya. Menurutnya, kenaikan itu memberi impak besar kepada syarikat pengangkutan perdagangan termasuklah pengusaha bas ekspres kerana ia akan meningkatkan caj perkhidmatan pengangkutan perdagangan antara empat hingga lima peratus.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pengusahanya menaikkan tambang atau sewa perkhidmatan pengangkutan bagi mengelakkan kerugian kerana terpaksa menanggung kos kenaikan bahan api.

“Pengusaha pengangkutan perdagangan terpaksa menanggung kos kenaikan bahan api yang lebih membebankan dan ini mungkinan mereka menaikkan tambang atau kadar sewa kos perkhidmatan pengangkutan. Dijangka caj perkhidmatan pengangkutan perdagangan akan naik sebanyak 4 hingga 5 peratus," katanya Datuk Yusoff kepada media. Beliau adalah juga Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (Cake).

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, ketika mengulas berkata, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak 20 sen adalah potongan 22 peratus daripada jumlah subsidi kerajaan kepada rakyat negara ini.

Baginya, tindakan itu dengan menaikkan harga minyak itu adalah jalan pintas Datuk Seri Najib. Bagi Raizi, tindakan ini tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara yang kian parah di bawah pentadbiran Najib dan ia satu tindakan tidak adil kepada rakyat.

Menurut Rafizi, pihak yang paling tertekan dengan tindakan ini adalah rakyat yang berpendapatan rendah. Mereka yang berpendapatan kurang RM500 sebulan membelanjakan 35 peratus daripada pendapatan mereka untuk membiayai petrol dan diesel.
Katanya, keluarga yang berpendapatan RM500 - RM1,000 sebulan (27 peratus), RM1,000 - RM2,000 (25 peratus), RM2,000 - RM3,000 (22 peratus), RM3,000 - RM4,000 (20 peratus) dan mereka yang berpendapatan lebiuh RM4,000 sebulan membelanjakan 10 peratus sahaja pendapatan mereka untuk petrol dan diesel.

Sementara itu, tindakan Najib mengumumkan kenaikan harga minyak itu telah memeriahkan laman sosial diinternet. Pelbagai cara bantahan dipamerkan di laman tersebut. Malah turut dipamerkan ialah kenyataan para menteri beliau yang memberikan jawapan yang lucu setiap kali timbul masalah yang menimpa rakyat.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berpendapat, berbanding dengan bajet tahun-tahun sebelum ini yang dilihat sebagai bajet mesra rakyat, tetapi bajet 2014 yang akan dibentangkan bulan Oktober nanti sebagai tidak bersifat mesra rakyat.

“Ramai yang menduga, selepas harga minyak naik, akan menyusul pula kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu sama ada rakyat yang telah mengundi BN atau sebaliknya, terimalah ‘hadiah’ dari kerajaan BN ini walaupun ‘hadiah’ itu sangat pahit untuk ditelan rakyat.

Tiada ulasan: