Sabtu, 8 September 2012

YANG PATUT KITA HARAP IALAH RAHMAT ALLAH...JANGAN KITA MENGHARAP DIKALANGAN ORANG2 YANG ZALIM DAN MELAKUKAN KEMAKSIATAN SECARA TERANG-TERANGAN...JUGA ORANG2 YANG MENOLAK HUKUM2@UNDANG2 ALLAH...NANTI DIAKHIRAT KITA JUGA YANG SUSAH

Ramah Mesra Aidilfitri Merdeka PAS Batu 8 Sept

Tarmizi Mohd Jam, 08 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Bertemakan "Perpaduan Rakyat" PAS Kawasan Batu mengundang semua rakan-rakan bukan Islam dan orang ramai ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Merdeka 2012 pada Sabtu, 8 September mulai jam 8.30 malam di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.


Menurut Yang Dipertuanya, Ishak Surin (gambar) para tetamu yang akan hadir juga menampilkan masyarakat majmuk dan ikatan perpaduan rakyat yang kukuh.

"Kami jangkakan lebih 2,000 akan hadir. Sebanyak lapan khemah disediakan. Seramai 300 kanak-kanak akan diberi duit raya kali ini," ujar beliau.

Katanya, antara tetamu yang akan hadir penyanyi terkenal Dayangku Intan; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw; adik Mat Indera, Baharom Shah Indera; adik allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy, Dr Norbit Mohd Nor; Naib Presiden PRM, Koh Swee Yong;  bekas Timbalan Menteri Tanah & Koperasi Malaysia, Datuk Dr Tan Kwee Kwong; Ketua Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Phang Chaw; dan Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua;

Selain mereka, juga akan hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak yang juga Presiden Bapa, Razman Zakaria; Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah merangkap Pengerusi Juham, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi; MPT PKR, Mustafa Kamil Ayob; Adun Hulu Klang, Shaari Sungib; Exco Muslimat PAS Pusat, Cikgu Normala Sudirman dan suami; Setiausaha Agung PSM, Arul Selvam; Penyajak, Dinsman, Pyanhabib; Setiausaha GMP, Husni Abas dan ramai lagi...

Ishak berkata, pelbagai menu disediakan bagi meraikan hadirin yang telah mendokong dan menyokong perjuangan PAS Batu selama ini.

Antaranya mi kari, lemang, rendang, nasi himpit, sate, laksa, bihun goreng dan mi goreng serta pelbagai jenis kuih-muih.

Katanya, segala menu disediakan hasil gotong-royong PAS cawangan di semua peringkat di samping tajaan individu tertentu.

OKU kesal kenyataan Menteri Belia dan Sukan

Aslani M, 08 Sep 2012
KOTA BHARU: Persatuan orang kurang upaya (OKU) melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) yang cuba membezakan antara atlet normal dan OKU.

Pengerusi Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan, Mohamad Faizal Che Yusof berkata, kenyataan menteri terbabit mengguris hati OKU yang dilihat seolah-olah memandang rendah kepada sukan paralimpik.

"Perlu diingat juga standard sukan paralimpik dan sukan olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan," katanya di sini.

Menurutnya kerajaan dan menteri tentunya sedar sukan paralimpik merupakan sukan terbesar dunia yang melibatkan OKU dan kedudukannya sama tinggi dengan sukan olimpik.

Katanya, penyertaan atlet-atlet dari Malaysia tentu sekali membawa nama negara apatah lagi apabila pingat dapat dibawa pulang.

Beliau juga berkata, Akta Orang Kurang Upaya 2008 secara jelas mengiktiraf potensi dan sumbangan OKU dalam negara. Selain itu, kesamarataan kepada OKU sebagai warga negara juga diiktiraf akta  tersebut.

“Layanan yang berbeza kepada atlet-atlet paralimpik adalah jelas suatu perlanggaran kepada penguatkuasaan Akta 2008 sekaligus suatu diskriminasi terhadap OKU.

“Kata-kata menteri terbabit selain menggambarkan ketidaksediaan kerajaan mengiktiraf kedudukan sukan paralimpik di peringkat antarabangsa dilihat memperkecilkan sumbangan atlet-atlet paralimpik negara,” katanya yang juga ahli jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia.

Oleh itu menurutnya selaku wakil kepada OKU dan atlet-atlet paralimpik beliau berharap kerajaan Malaysia mengkaji sehalus-halusnya layanan yang seharusnya diberikan kepada atlet-atlet paralimpik supaya sama dengan atlet-atlet olimpik negara.

Kata beliau persoalan saiz kedua-dua sukan tersebut tidak sepatutnya timbul disebabkan atlet-atlet paralimpik dengan kecacatan mereka masih mampu bersaing di peringkat antarabangsa sehingga mampu membawa pulang pingat untuk negara.

“Kejayaan membawa pingat perak bukanlah mudah. Tentunya ia diraih setelah usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan.

“Pengiktirafan kerajaan dalam sukan kepada OKU tentunya akan membuka ruang kepada tanggapan yang lebih baik terhadap OKU oleh masyarakat,” katanya.

Sebelum ini dalam satu kenyataan media Shabry Cheek dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan memberi pencen kepada atlet paralimpik yang berjaya di temasya sukan berkenaan baru-baru ini.

‘Hati kami tidak cacat’

REMBAU: “Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama seperti insan normal lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu, saya nekad mendirikan rumah tangga walau sedar keadaan diri tidak sempurna,” kata Azman Misnur,32, yang terpaksa menggunakan kerusi roda selepas demam panas ketika berumur setahun.
Menurutnya, dia mula berkenalan dengan isteri, Azrina Zafarin, 28, juga cacat anggota kaki empat tahun lalu ketika belajar dan bekerja di bengkel Seri Sembilan, Mambau.

“Saya memberanikan diri melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Mempelai dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya Bersama Bengkel Terlindung Negeri Sembilan bertempat di Dewan Sri Rembau.

'Pijak gambar bukan standard pemikiran siswa'

  • Mohd Hisham Abdul Rafar
  • 10:58AM Sep 8 2012
Mahasiswa, kumpulan yang terpilih dan intelektual adalah permata negara yang terus digilap sinarnya oleh kerajaan dalam usaha melahirkan modal insan yang berdaya saing.

Sebagai pewaris kepimpinan negara, status mahasiswa dipandang tinggi oleh masyarakat dan kepintaran mereka sentiasa ditagih dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.

Namun, apa yang berlaku pada malam sambutan ambang kemerdekaan negara, 30 Ogos, yang memijak dan menunjukkan punggungnya ke atas gambar pemimpin negara serta mempamerkan 'bendera baharu' kononnya sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang, jelas mencalarkan imej mahasiswa dalam kalangan masyarakat.

Persoalannya, berbaloikah tindakan mahasiswa itu yang jelas hanya mengundang padah termasuk dibuang daripada pengajian selain menanggung malu buat diri dan keluarga? Apakah mesej yang cuba ditonjolkan mahasiswa terbabit?

Mengupas persoalan itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Farid Zuhri Ismail berkata tindakan jelek dan biadab itu tidak menggambarkan standard pemikiran keseluruhan mahasiswa.

"Mahasiswa adalah kumpulan yang matang dan intelektual... hanya kerana segelintir mereka ini, keseluruhan kita pun terpalit dengan kebiadaban yang mereka lakukan.

"Kami, sebagai mahasiswa sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan bukan sahaja maruah negara bahkan maruah diri sendiri dan keluarga. Keuntungan yang mereka dapat hanyalah kepuasan hati sahaja," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Farid Zuhri mungkin mewakili suara ribuan mahasiswa di negara ini yang tidak bersetuju malah membenci tindakan itu yang disifatkan biadab, kurang ajar dan memalukan.

Persoalan yang timbul juga setakat mana pengetahuan sejarah negara dihayati oleh golongan muda dan mengapa ada segelintir dalam kalangan mahasiswa yang benci kepada kerajaan sedangkan dalam masa yang sama menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan?

Mohd Farid Zuhri berkata ceteknya ilmu pengetahuan mengenai sejarah negara menyebabkan seseorang mahasiswa itu mudah menerima bulat-bulat maklumat salah dan telah diputar belit yang mereka peroleh daripada laman blog tanpa memeriksa kesahihannya.

"Tindakan mempamerkan 'bendera baharu, misalnya saya anggap sebagai jahil sejarah dan memalukan. Ini kerana mereka tidak dapat membuat pertimbangan apa yang betul dan apa yang salah. Kenapa dah 55 tahun negara merdeka, baru sekarang isu nak tukar bendera ini timbul?" katanya.

Penolong Naib Yang Dipertua (Kebajikan Dan Khidmat Masyarakat) MPP UiTM, Siti Hannariah Mansor pula berpendapat kelemahan jati diri serta kejutan budaya dengan alam universiti menyebabkan seseorang mahasiswa itu mudah terpengaruh dengan elemen-elemen tidak baik.

"Sebagai mahasiswa, kita harus tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Jangan jadi kera sumbang," katanya.

Bagi tiga sekawan yang menuntut di UiTM Perak dalam jurusan Fotografi, mereka berpendapat bahawa tindakan itu hanya akan menggadai masa depan mahasiswa sendiri serta memberi imej buruk kepada negara.

Muhammad Hafizi Razuan, 20, berkata tindakan itu jelas mempamerkan kedangkalan individu terlibat selain menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertamadun yang hanya akan mencemar nama baik institusi, mahasiswa dan keluarga.

"Saya amat tidak setuju dengan tindakan itu yang jelas amat kurang ajar dan biadab. Tindakan itu jijik kerana ada yang sanggup menunjukkan punggung di khalayak ramai demi memenuhi nafsu menghina pemimpin negara.

"Jika tidak suka pun kepada pemimpin negara, tak perlu buat macam itu... memalukan sahaja. Kita ada pilihan raya, kalau tak suka, tunggulah cukup umur dan dapat hak mengundi. Gunakanlah undi itu," kata kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata individu yang terlibat dalam kejadian itu juga tidak layak untuk memimpin negara kerana sikap buruk mereka akan menjadikan negara kacau-bilau.

"Demonstrasi ini, pada saya tak payahlah. Yang saya hairan kenapa kumpulan mahasiswa ini nak sangat terjebak dengan politik. Ijazah pun tak genggam lagi dah sibuk nak berpolitik," katanya.

Sependapat dengan Muhammad Hafizi, rakannya Mohammad Hakimi Rashid, 20, pantas mencelah dengan menyatakan tindakan demonstrasi jalanan, mencemuh dan memijak gambar pemimpin perlu dibendung dari sekarang kerana dikhuatiri akan menjadi ikutan dan budaya dalam kalangan segelintir rakyat.

"Ini dah jadi 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. Saya hairan apa lagi yang sebenarnya mereka tak puas hati. Tambah pula yang melakukannya adalah mereka yang dalam lingkungan usia saya, jadi saya juga malu dan marah," katanya yang kasihankan keluarga yang turut mendapat malu.

Persoalan juga timbul, apakah kumpulan ini sengaja mahu menonjolkan diri kononnya merekalah jaguh selain tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai saluran untuk menyatakan pandangan, cadangan dan bantahan kepada kerajaan khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Kerajaan pada masa kini melaksanakan dasar terbuka dan telus dengan Najib sendiri memiliki laman sosial Facebook, Twitter dan juga Blog 1Malaysia yang membolehkan rakyat menyuarakan apa sahaja secara terus kepada perdana menteri.

Rakan mereka Muhammad Taufeeq Salehuddin, 20, berkata tiada sebab untuk mana-mana rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan BN kerana kerajaan yang ada sekarang amat prihatin.

"Di mana lagi yang mereka kata tak adilnya? Kerajaan sudah mengambil berat kepentingan dan kebajikan semua lapisan rakyat. Bukankah kita berada di universiti juga hasil usaha kerajaan?" katanya.
Setakat ini, tujuh individu memberi keterangan kepada pihak polis berhubung tindakan membawa 'bendera baharu' Malaysia, memijak gambar pemimpin negara dan menunjuk punggung di khalayak ramai semasa sambutan ambang merdeka.

- Bernama
Kuota haji tak ikut negeri
11:03AM Sep 8 2012
Kerajaan tidak mengamalkan kuota mengikut negeri untuk menentukan jumlah jemaah haji setiap negeri menunaikan fardhu haji di tanah suci Mekah tetapi berdasarkan prinsip siapa mendaftar dulu didahulukan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, penggunaan sistem kuota mengikut negeri akan menimbulkan banyak masalah.

"Sistem yang kita gunakan ini mudah dan praktikal... siapa daftar dulu dia pergi dulu tidak kira dia berasal dari mana," katanya semasa diminta mengulas laporan akhbar di Sarawak baru-baru ini yang memetik Majlis Agama Islam Sarawak tidak berpuas hati kerana Tabung Haji mengurangkan kuota jemaah haji negeri itu.

Beliau ditemui selepas perasmian kursus Perdana Haji peringkat negeri Kedah oleh anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Wawasan di Jitra malam tadi.

Laporan beberapa akhbar Sarawak menyebut jemaah Sarawak dikurangkan daripada 1,000 orang kepada 800 dan terkini 600 orang sahaja.

Jamil Khir berkata soal kuota negeri atau kawasan seharusnya tidak timbul kerana jumlah jemaah haji setiap negeri tidak pernah dikurangkan atau diambil oleh Tabung Haji.

Katanya jika kebetulan jemaah sesuatu negeri mendaftar tahun ini berkurangan dan negeri lain lebih banyak maka nama mereka dalam senarai Tabung Haji akan naik dalam senarai teratas.

"Kita harus ingat tidak semua rakyat sesebuah negeri akan bertolak ke tanah suci dari negeri asal mereka kerana ramai yang bertolak dari Kuala Lumpur atau tempat lain di mana mereka bekerja," tambahnya.

Mengenai kuota haji tambahan yang dipohon Malaysia, beliau berkata kerajaan Arab Saudi belum memberi kata putus namun akan terus berhubung dengan pihak berkuasa negara itu untuk mendapatkan keputusan.

"Kita tidak tahu apa halangan sehingga mereka (Arab Saudi) tidak menyatakan keputusan lebih awal. Kita pula janganlah timbulkan perkara yang memberi tanda yang membimbangkan dan boleh menyebabkan kerajaan Arab Saudi tidak yakin dengan Malaysia agar permohonan kita tidak terjejas," jelasnya.

Dalam ucapannya sebelum itu beliau berkata jumlah yang mendaftar untuk menunaikan fardhu haji dengan Tabung Haji sekarang berjumlah 935,000 orang sedangkan kuota semusim hanya 28,000 orang.

"Saya rayu mereka yang telah menunaikan rukun Islam kelima ini supaya memberi peluang kepada orang lain. Pergilah buat umrah sebanyak mana pun."

Katanya penerbangan jemaah pertama ke tanah suci Mekah akan berlepas pada 17 September dan terakhir pada 19 Oktober manakala wukuf pada 25 Oktober. Penerbangan pulang terakhir pula dijangka pada 29 November.

Sementara itu, Tunku Sallehuddin dalam ucapannya mengingatkan jemaah haji Kedah supaya bersyukur dan menjaga kelakuan semasa berada di tanah suci Mekah.

"Syukurlah anda semua terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Ramai lagi yang menunggu giliran. Jadi jagalah nama Malaysia sebagai negara Islam yang jemaah hajinya dihormati kerajaan Arab Saudi.

"Tunjukkanlah komitmen untuk mendapatkan haji mabrur di samping menjaga kesihatan, sentiasa bersabar dan berdoa kepada Allah SWT," katanya.

Lebih 2,400 bakal jemaah dari hampir 2,700 jemaah negeri ini menghadiri kursus dua hari itu bermula semalam.

- Bernama
Bapa Ammar: Maafkan kesilapan anak saya
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Bapa Ammar: Maafkan kesilapan anak saya
Muhammad Ammar ditemani bapanya, A Rahman Abdullah dan ibunya,Rahilla Ahmad pada sidang media di rumah mereka di Batu Pahat semalam
BATU PAHAT – Bapa Muhammad Ammar, A Rahman Abdullah berharap tidak ada lagi spekulasi dan mengharapkan kesilapan anaknya, yang menjadi perhatian di sebalik kontroversi 30 Ogos lalu, dapat dimaafkan.

Muhammad Ammar A Rahman, 19, pelajar kolej swasta, menggemparkan seluruh negara apabila bertindak 'menayang punggung' pada gambar pemimpin utama negara di Dataran Merdeka, malam 30 Ogos lalu.

A Rahman, 53, berkata, mereka sekeluarga bersedia bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila-bila masa, cuma tidak tahu bagaimana cara dan prosedur yang perlu dilakukan.

“Di Batu Pahat ini, apa yang berlaku terhadap keluarga saya terutamanya Ammar dapat dijadikan iktibar. Rakan taulan juga sentiasa memberikan semangat kepada saya sekeluarga,” katanya.

Ibu Muhammad Ammar, Rahilla Ahmad, 53, berkata, dia mahu anaknya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku.

"Cukuplah sampai di sini sahaja. Anak saya hanya manusia biasa.

"Orang ramai tidak perlulah menyebarkan keburukan orang lain, kerana setiap manusia sudah pasti akan melakukan kesilapan," katanya pada sidang media di rumah mereka di sini, semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Ammar menyesal dengan insiden tersebuta.

“Saya menyesal," akui Muhammad Ammar.

Dia yang hanya menyepikan diri dan bertindak berkurung dalam bilik di rumahnya di Batu Pahat selepas dibebaskan pihak polis 5 September lalu, akhirnya tampil memohon maaf, semalam.

"Saya sedar apa yang saya lakukan ini satu kesilapan. Saya juga berjanji pada diri sendiri, saya tidak akan mengulanginya di masa hadapan,” katanya dengan wajah tenang di hadapan pihak media di rumahnya.

Menurutnya, dia juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya Najib atas perbuatan biadabnya dan jika diberi peluang, dia bersedia bertemu pemimpin negara itu untuk memohon maaf secara peribadi.

“Sekiranya dikenakan tindakan undang-undang, saya juga terima dengan reda," katanya.

Mengimbas kembali kejadian malam 30 Ogos lalu, Muhammad Ammar berkata, dia langsung tidak merancang ke Dataran Merdeka kerana pada asalnya bercadang untuk pulang ke kampung.

"Saya bertukar fikiran apabila menerima pelawaan rakan," katanya.

Bagaimanapun dia menafikan tindakan yang dilakukan dipengaruhi atau dibayar oleh mana-mana pihak.

"Apa yang saya lakukan adalah semata-mata kerana kesilapan diri sendiri. Saya seperti orang tidak sedar semasa melakukannya, bukan dipengaruhi atau dibayar sesiapa," jelasnya.

Muhammad Ammar dalam pertemuan dengan media semalam turut memohon agar gambarnya tidak lagi disebarkan di internet, selain merayu agar anggota keluarga, terutama ayahnya tidak diganggu dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur cemuhan.

“Saya yang bersalah, bukan ayah atau keluarga saya. Tolonglah, jangan salahkan kedua ibu bapa saya," rayu Muhammad Ammar.

Menurut bekas penuntut tahun dua program Diploma Multimedia Kreatif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics ini, ada bloggers yang menyebarkan kisah tidak benar mengenai dirinya.

"Daripada 10 bloggers yang menyiarkan kisah saya, hanya dua yang benar dan boleh dipercayai.

“Ada di antara mereka menuduh saya mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, sedangkan itu tidak benar," katanya.

Selain itu, menurut Muhammad Ammar, dia bertindak mengurung diri sebelum ini kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga berikutan ada khabar angin mengatakan dirinya diburu pihak tertentu yang tidak berpuas hati.

“Tolonglah, saya harap semuanya selesai di sini sahaja. Mohon hentikan segala fitnah terhadap diri saya terutamanya di laman-laman sosial,” katanya.

Muhammad Ammar yang bercita-cita menjadi pereka dalam bidang multimedia, merancang untuk berehat seketika selama seminggu sebelum memikirkan tentang pengajiannya.
Wanita Umno kecam poster cuba lagakan Najib dan Muhyiddin
AZIZAN INCHE HARUN
8 September 2012
Wanita Umno kecam poster cuba lagakan Najib dan Muhyiddin
Normala (duduk tengah) bersama barisan kepimpinan Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang menyatakan sokongan kepimpinan Najin Tun Razak dan Muhyiddin Yassin.
PASIR GUDANG – Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang menyifatkan pengedaran poster Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang tertera mesej agar menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sebagai cubaan melaga-lagakan pemimpin utama negara.

Ketuanya, Normala Abdul Samad berkata, tindakan berkenaan adalah satu propaganda jahat pihak tidak bertanggungjawab, yang menggunakan nama BN Johor sebagai penerbit poster berkenaan.

Menurutnya, Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang kagum dan selesa dengan gandingan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Muhyiddin.

“Kesungguhan dan kerjasama antara kedua pemimpin negara ini berjaya membentuk satu blok kekuatan yang sukar diruntuh oleh Pakatan Rakyat (PR).

“Kita percaya ini kerja pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecah-belahkan kepimpinan Umno dalam situasi menghadapi PRU13 yang semakin hampir,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Normala berkata, Wanita Umno Pasir Gudang berikrar akan menggerakkan seluruh jentera seramai 7,219 dari 92 cawangan dalam Parlimen Pasir Gudang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Menurutnya, kerjasama daripada Pemuda, Puteri dan Umno Bahagian diyakini mampu mencapai sasaran lebih 80 peratus kemenangan BN di semua Pusat Daerah Mengundi dalam Parlimen Pasir Gudang.

“Kami akan tetap berdiri teguh menyokong gandingan kepimpinan PM sebagai Presiden parti dan TPM sebagai Timbalan Presiden parti tanpa sebarang kesangsian.

“Apa sahaja propaganda dan provokasi pihak tertentu mahupun pihak tidak bertanggungjawab, tidak akan sekali-kali melemahkan jentera Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang,” katanya.
Umno: Rakyat Kelantan tidak boleh harap Pas
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Umno: Rakyat Kelantan tidak boleh harap Pas
Umno: Rakyat Kelantan tidak boleh harap Pas
KOTA BHARU- Rakyat Kelantan diminta tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi pada kepimpinan Pas kerana perjuangannya sangat berbeza dengan dasar kepimpinan yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron berkata, hal ini kerana semangat perjuangan BN sebagai sebuah parti keramat adalah berada di landasan yang betul berlandaskan agama dan antara lainnya saling menghormati tanpa mengira kaum. 
“Umno tetap dengan perjuangan meletakkan Islam sebagai agenda utama di samping tidak melupakan rakan-rakan yang lain. Pendirian kita adalah mencari persamaan dan tidak sesekali menjauhi perbezaan,” katanya sempena Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita  dan Puteri Umno Kota Bharu di sini, semalam.
Hadir sama pada persidangan tersebut, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd fatmi Che Salleh; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kota Bharu, Rosmadi Ismail; Ketua Wanita Umno Bahagian, Datin Dr Nik Azizah Nik Yahya dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian, Maznah Yaakob.
Pada persidangan tersebut juga Idris yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Nasional Berhad menyerahkan kunci kepada 32 keluarga yang layak menerima Rumah Mesra Rakyat.
Sebelum ini, dalam ucapan, Mohd Fatmi menjelaskan, perjuangan utama Umno ditubuhkan sebagai wadah bagi menyahut saranan orang Melayu untuk bersatu yang begitu ketara perbezaan dengan parti-parti pembangkang.
Katanya, budaya Umno mempunyai sikap menghormati pihak-pihak lain berbanding dengan sesetengah pemimpin dan penyokong parti pembangkang bersikap ganas dan agresif pada masa yang sama menganjurkan permusuhan sesama anggota masyarakat.
``Budaya Umno mendominasi sikap perdamaian serta mempelopori persefahaman yang menjadi asas perjuangan ke arah membina sebuah negara yang berpaksikan kepada kestabilan politik bagi mempertahankan perpaduan antara kaum bagi rakyat keseluruhannya.
``Saya berharap golongan muda mempertahankan budaya menghormati pihak lain serta menentang keganasan yang bertujuan mencetuskan huru-hara dalam masyarakat,’’ katanya.
Bekas guru: 'Tak sangka remaja itu Ammar'
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
BATU PAHAT - Tindakan Muhammad Ammar A Rahman, 19, melondehkan seluar dan menayang punggung pada gambar pemimpin negara, langsung tidak diduga bekas gurunya.
Dia yang enggan dikenali mengakui mengenali Muhammad Ammar semenjak di bangku persekolahan.
"Saya terkejut Muhammad Ammar yang pernah saya kenali melakukannya.
"Semasa di bangku sekolah dia memang nakal sedikit, tetapi tindakannya terkawal," katanya.
Bagaimanapun dia yakin tindakan Muhammad Ammar dipengaruhi rakan-rakan sebayanya.
"Biasalah budak-budak yang baru nak naik, sudah pasti ada nakalnya," katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha kantin di sekolah menengah tempat Muhammad Ammar belajar, mengakui remaja itu agak pendiam tetapi mempunyai perlakuan sukar dijangka.
Dia yang mahu dikenali sebagai Azlan berkata, Muhammad Ammar agak nakal semasa zaman persekolahannya tetapi peramah dan rajin menegurnya apabila sesekali bertemu di kantin sekolah.
“Ammar ini nakal juga, namun dia tidaklah teruk sangat... nakal-nakal budak baru naik,” katanya.
Seorang kenalan keluarga Muhammad Ammar, Hamidi Mohd Tap, 30-an berkata, dia kesal dengan perlakuan remaja itu dan menganggapnya tersalah pilih rakan.
Katanya, sepanjang mengenali Muhammad Ammar, dia boleh dikatakan baik dan pelajar yang agak pintar.
“Saya rasa mungkin setelah jauh daripada ibu bapanya, dia telah terpengaruh dengan rakan juga keadaan sekeliling.
"Bagaimanapun saya berharap dia benar-benar menyesal dan tidak mengulanginya," katanya.
Suasana pilu iringi ketibaan jenazah pelajar Malaysia

8 September 2012
Suasana pilu iringi ketibaan jenazah pelajar Malaysia
Keranda jenazah Adzreen Dimyati yang maut dalam satu kemalangan jalan raya di Russia diusung ke dalam Surau Al-Iman untuk disembahyangkan di Presint 9 di sini hari ini.- Foto Be
PUTRAJAYA - Suasana pilu menyelubungi surau Al-Iman di Presint 9 di sini sebaik ketibaan jenazah pelajar Malaysia, Adzreen Dimyati, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Russia, Ahad lepas.
Anggota keluarga dan jiran serta kenalan mangsa yang mula berkumpul sejak awal lagi di surau tersebut kelihatan sayu sebaik jenazah tiba jam 12.40 tengah malam tadi.
Jenazah sebelum itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.05 malam tadi dengan pesawat Emirates Airlines dari Dubai, bersama mayat seorang lagi pelajar Malaysia yang juga mangsa kemalangan sama, Hanisah Muhd Shah.
Jenazah Adzreen, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kemudian terus dibawa ke surau tersebut untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini.
Jenazah Hanisah, pelajar tajaan Mara, pula dibawa ke Dungun, Terengganu untuk urusan pengebumian.
Dalam kemalangan tersebut, Hanisah dan Adzreen maut manakala lima lagi pelajar cedera apabila van yang mereka naiki bertembung dengan sebuah van lain.
Kesemua mereka adalah pelajar Tahun 5 di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod dan sedang dalam perjalanan dari Moscow ke Nizhny selepas pulang bercuti di Malaysia ketika kemalangan maut itu berlaku. - Bernama
Bayangan PM tanda PRU13 Disember ini
Raziatul Hanum A Rajak
7 September 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Para penganalisis yakin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diramalkan Disember ini selepas dua kali dalam seminggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan mahu membubarkan
Parlimen.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, apa yang dilahirkan oleh Najib semalam dan minggu lalu, susulan kepada beberapa kenyataan sebelum ini, bukan satu mainan politik.

"Tarikh PRU13 paling awal Disember ini. Saya rasa beliau (Najib) sudah ada idea dan ia bukan mainan politik semata-mata," kata Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM ini kepada Sinar Harian ketika dihubungi pagi tadi.

Najib memberi bayangan terbaru mengenai tarikh PRU-13 semalam di Kelantan dan minggu lalu ketika berucap di Baling, Kedah  di mana beliau secara berseloroh berkata sudah ada semangat untuk membubarkan Parlimen.
Azizuddin berkata: "Nak umum tarikh PRU13 ini kena ambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi."

"Antaranya Bajet 2013 yang dibentangkan hujung bulan ini dan musim cuti sekolah dan dalam masa sama musim haji Oktober–November ini. Kena lepas musim haji," kata beliau.

Tambah beliau, "mungkin tarikh isytihar bubar Parlimen November dan PRU13 Disember ini."

Menurutnya, Najib mengumumkan insentif atau bantuan rakyat yang mungkin dapat dinikmati hujung tahun ini, dan oleh itu, PRU13 wajar dijadakan dalam masa terdekat.

"Kalau buat PRU13 tahun depan, rakyat lupa, orang Malaysia cepat lupa. Jadi, wajar diumumkan dalam masa terdekat dengan tempoh rakyat menikmati insentif," katanya.

Jelas beliau, "ekonomi dunia tidak menentu. Tahun depan tidak terjamin lagi ekonomi negara kita stabil. Ia akan menjejaskan dari segi sokongan Barisan Nasional (BN)."

Selain itu, Azizuddin juga mengatakan bahawa lanjutan tarikh yang terlalu lama mungkin akan menimbulkan isu-isu baru, yang menjejaskan imej kerajaan.

Katanya, BN menerima saingan hebat daripada Pakatan Rakyat, namun peluang perikatan tersebut untuk menang dalam PRU13 ini memang ada.

Bagaimanapun katanya, sama ada BN akan meraih kemenangan besar belum pasti.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia sudah membuat keputusan parti mana yang bakal dipilih.

Fokus kini adalah terhadap pengundi baru yang jumlahnya agak besar dan terdiri daripada golongan muda yang membuat keputusan pada saat-saat akhir, kata beliau lagi.

"Dengan itu pelbagai isu dimainkan seperti harga kereta dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menarik golongan pengundi baru ini," katanya lagi.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Mohd Bustamam Abd Karim pula menyatakan bayangan itu merupakan kesungguhan Najib menghadapi PRU13.

Beliau juga menyifatkan apa yang berlaku sekarang kepada negara berpihak kepada BN terutama dari segi ekonomi.

"Faktor ekonomi sangat penting. Jika kita lihat ekonomi negara Cina telah menunjukkan penurunan. Pelabur lagi percaya negara kita. Ekonomi negara kian meningkat.

"Percaturan ideologi lain seperti isu hudud dan sebagainya itu permainan dalaman sahaja," katanya.

Selain faktor ekonomi yang menjadi indikator, musim cuti sekolah, haji dan perayaan juga menjadi ukuran terhadap pemilihan tarikh pilihan raya tersebut, tambah beliau.

Berikutan tarikh akhir mandat Kerajaan Pusat yang akan berakhir penghujung April depan, beliau juga meramalkan PRU13 bakal diadakan Disember ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Mohammad Agus Yusof pula berkata, BN sudah terlepas waktu keemasan untuk meraih undi.

"Tarikh terbaik untuk BN sebelum Jun 2012. Kini, sudah terlepas. Waktu keemasan itu sudah berlalu. Sudah tidak dapat 'catch the moment'," katanya ketika dihubungi.

Penganalisis ini menyifatkan BN berdepan dengan persaingan yang sengit di mana peluang kemenangan sama rata.

"Persaingan sangat sengit jadi peluang untuk menang 50-50 kerana saya tidak lihat bahawa golongan bukan Melayu kembali kepada BN dan saya tidak lihat isu-isu yang timbul dapat tarik golongan intelektual dan golongan muda.

“Saya sendiri sedang menimbang-nimbang. Mahu memerhatikan keadaan seterusnya," katanya.

Beliau menambah, isu-isu yang timbul tidak reda-reda ini menunjukkan kesilapan dalam menguruskan media, informasi dan imej.

Menurutnya, semakin lama masa diambil maka lebih banyak peluang masyarakat menilai.

Tiada ulasan: