Ahad, 9 September 2012

SAKIT MEMANG DAH SAKIT...MUNGKIN DAH TENAT....TINDAKAN2 SERTA CAKAP2 MENAMBAH SAKIT...DAN MENAMBAH TENAT...SEDARLAH NI LAH HUKUM DARI ALLAH SWT ATAS DOSA2 YANG TELAH KITA BUAT...KEZALIMAN2 YANG TELAH KITA BUAT...DARI AUTA2 YANG TELAH KITA BUAT...RAKYAT DAH SANGAT2 KENAL SIKAP KITA

Nik Aziz dianugerah Tokoh Pendidik Nusantara

Salmiyah Harun|Foto Wan Zahari, 08 Sep 2012


SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dianugerahkan sebagai Tokoh Pendidikan Nusantara di Himpunan Pendidik Islam 2012 yang berlangsung di Dewan Unisel hari ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, antara tokoh agama yang cukup disegani baik peringkat negara mahupun antarabangsa.

Malah beliau di antara 50 tokoh paling berpengaruh di dunia di mana beliau menduduki tangga ke-42 dari keseluruhan senarai 500 muslim yang berpengaruh.

Ianya sebagaimana disebut dalam kajian dari Sebuah institusi penyelidikan The Royal Islamic Strategic Studies Centre dengan kerjasama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa DiRaja Aal al-bayt yang beribu pejabat di Amman Jordan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, juga disebut tokoh muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusiaan dan membawa perubahan dalam kehidupan manusia.

Sebelum mendekati dunia politik, beliau pernah menjadi seorang pendidik di Sekolah Agama Tarbiyyah Mardiah Panchor, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Kelas Dewasa Kemas dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Kelantan.

Beliau pernah melanjutkan pengajian di India, Pakistan dan Mesir dalam bidang ilmu tafsir, bahasa arab dan perundangan Islam.

Penganugerahan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor Halimah Ali yang turut disaksikan oleh Mustasyar Pendidik Datuk Abu Bakar Chik dan Presiden Pendidik Normala Sudirman.

Tuan Guru disarungkan jubah warna keemasan dan dihadiahkan sijil pengiktirafan sebagai Tokoh Pendidik Nusantara.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Muasasah Darul Ulum, Ahmad Yahya dan Timbalan Pengerusi Majlis Guru Pasti, Khairiah Muhammad menerima Anugerah Tokoh Pendidik Muda Malaysia.

Himpunan yang berlangsung setengah hari itu turut dihadiri kira-kira 1,000 guru khasnya dari Selangor.

Najib harus maafkan Sing Yee, Muhammad Ammar

Lim Kit Siang, 08 Sep 2012
Saya memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memaafkan kedua-dua anak muda yang berumur 19 tahun, Muhammad Ammar A Rahman dan Ong Sing Yee serta kedua-dua ibu bapa mereka dengan semangat berhemah dan supaya Peguam Negara menerima juga mohon maaf mereka.


Dari awal lagi, saya telah menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak memihak atau menyokong tindakan Muhammad Ammar dan Ong Sing Yee. Apa yang telah mereka lakukan adalah suatu tindakan yang dikesali dan merupakan satu kesalahan. Rakyat Malaysia berhak untuk menikmati kelakuan yang sivil dan tertib di khalayak ramai.

Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia kini rimas dengan tindakan kuku besi Barisan Nasional ‘double-standard’ dalam pengendalian isu ini.

Sebagai contoh, perlukah Ong digari seakan seorang yang merbahaya apabila beliau telah menyerah diri kepada pihak polis, yang jelas menunjukkan pengakuannya bahawa apa yang telah beliau lakukan adalah salah dan beliau bersedia menghadapi akibat tindakan beliau. Akan tetapi, adakah wajar tindakan pihak polis untuk menyifatkan beliau sebagai penjenayah yang perlu digari dan pada masa yang sama VIP BN termasuklah menteri dan bekas menteri diberi layanan ‘istimewa’ walaupun dituduh dengan dakwaan jenayah terhadap rakyat dan negera?

Tambah lagi, senarai kes di mana pemimpin Pakatan Rakyat serta pemimpin rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenivasan yang telah dimalukan dan dihina secara terbuka, akan tetapi kerajaan seakan-akan tidak berminat mengambil apa-apa tindakan terhadap penganiyaan ini – termasuklah tindakan yang menyokong lemparan fitnah ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menyeru agar tindakan keras diambil ke atas penjenayah. Beliau sudah pasti akan mendapat penghormatan masyarakat sekiranya beliau konsisten dan menerajui pendirian beliau bahawa tindakan yang sama akan diambil terhadap mana-mana pihak yang telah melanggar dasar moral dengan menghina dan memalukan Anwar, Lim Guan Eng, Nik Aziz atau Ambiga.

Pemberhentian Muhammad Ammar daripada pengajian kolejnya merupakan satu tindakan yang amat keras dan beliau mesti dibenarkan menyambung semula pengajiannya.

Saya juga terperanjat membaca laporan bahawa pihak polis telah menahan dua pemuda yang telah membentangkan bendera Sang Saka Malaya pada hari sebelum Merdeka walaupun telah menafikan apa-apa tuduhan untuk menggantikan bendera kebangsaan Jalur Gemilang tetapi sedang turut serta dalam satu memori sejarah.

Barisan Nasional kian bertindak dengan tidak bertanggungjawab dalam mengeksploitasikan kedua-dua insiden ini dan melemparkan tuduhan palsu terhadap Pakatan Rakyat bahawa PR berhasrat untuk menukar bendera kebangsaan dan untuk meminda Perlembagaan untuk memansuhkan sistem raja berperlembagaan dan menubuhkan satu negara republik.

Fitnah, tohmahan dan pembohongan seperti ini kian merebak dan menjadi penyumbang utama kepada ‘usaha’ untuk memecahbelahkan perpaduan serta pembangunan negara. Malah, puak-puak yang bertanggungjawab dan bersedia untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan yang mampu menggugat keharmonian negara, solidariti, dan perpaduan sememangnya tidak patrioritik dan bersalah di mata negara Malaysia dan rakyatnya. Persoalannya adalah, siapakah dalang di antara pemimpin Barisan Nasional yang tidak patrioritik terhadap tanahairnya?

Ibu bapa adalah pendidik pertama – Nik Aziz

Salmiyah Harun, 08 Sep 2012
SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ibu bapa merupakan pendidik yang pertama sebelum guru atau pensyarah bagi setiap umat manusia di atas muka bumi ini.

Katanya, apabila menyebut pendidik semua akan merujuk kepada guru tetapi terlupa bahawa ibu bapa adalah pendidik yang pertama.

"Ibu bapa akan menyebabkan anak-anak sama ada menjadi baik, nakal atau jahat. Ibu bapa orang pertama jadi pendidik kita," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Himpunan Pendidik Islam 2012 di sini hari ini.

Katanya, Nabi Muhammad selalu menasihati umatnya supaya mencari pasangan yang beragama kerana sudah tentu dia tahu hubungan dengan Allah, suami, mentua dan keluarga.

Justeru katanya, senarai pendidik mestilah meletakkan ibu dalam senarai pertama.

Begitulah juga, katanya dalam sesebuah negara di mana kerajaan, perdana menteri dan menteri besar adalah pendidik.

"Perdana menteri rasuah, rakyat tidak ada sebab jadi perasuah. Inilah yang mustahak. Dari ibu, cikgu, menteri besar kepada perdana menteri, adalah pendidik," katanya di hadapan kira-kira 1,000 guru.

Oleh sebab itulah, katanya, ilmu adalah tenaga gergasi yang akan membentuk jiwa manusia.

Turut menyampaikan ucapan dalam himpunan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor Halimah Ali yang turut disaksikan oleh Mustasyar Pendidik Datuk Abu Bakar Chik dan Presiden Pendidik Normala Sudirman.

Tidak lupa juga Sasterawan Negara Datuk A Samad Said atau Pak Samad turut mendeklamasikan sajak yang ditujukan khas buat warga pendidik.

Himpunan Pendidik Islam 2012 merupakan anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik kebangsaan (Pendidik) Malaysia dengan kerjasama Unisel dan MAPPIS.

Kalau Dr M sokong Najib...

Aspan Alias, 08 Sep 2012
Cebisan fakta yang saya tulis tentang UMNO sejak dua hari yang lepas, susah untuk UMNO memahaminya. Dalam UMNO hanya seorang sahaja ahli yang bekerja keras, iaitu Najib, Presidennya sekarang. Penjelajahan Najib ke seluruh negara telah membelanjakan wang rakyat ratusan juta ringgit. Di sini UMNO juga terlupa yang rakyat sedang memerhatikan tindakan pimpinan UMNO dalam usaha mendapatkan mandat dalam PRU kali ini. Akhir-akhir ini Dr Mahthir sahaja yang keluar untuk menyokong Najib habis-habisan. Seorang sahabat saya berseloroh, “sokongan Mahathir itu ada makna tu!”
Dalam dua posting saya yang terdahulu, saya telah melepaskan apa yang ada tersimpan di dalam jiwa saya dan orang-orang yang sama pemikiran seperti saya memahaminya. Seperti biasa orang-orang UMNO tidak akan faham sampai bila-bila.

Dalam keadaan yang tidak menentu UMNO sendiri tidak dapat meyakinkan partinya sendiri yang mereka akan berjaya mengekalkan kuasa di Putrajaya. Dr Mahathir kali ini bekerja keras untuk mempertahankan UMNO, parti yang beliau tubuhkan dan juga parti yang beliau sendiri mengakui sebagai sebuah pertubuhan yang telah busuk sampai ke ususnya.

Hasil dari warisan pimpinan UMNO yang begitu lemah oleh Mahathir, rakyat tidak lagi memberikan penghormatan yang tinggi kepada parti itu lagi. Di sinilah kegagalan Mahathir kerana semasa beliau berkuasa beliau tidak pernah memikirkan nasib masa depan UMNO itu sendiri. Beliau terlalu tertumpu untuk menguatkan kekuatan peribadi beliau dan mengorbankan masa depan partinya. Beliau sendiri tidak dapat menerima kenyataan yang pimpinan negara mesti dibentuk dan dibina.

Justeru apabila beliau meletakkan jawatan maka yang ada di keliling beliau hanyalah kumpulan pemimpin yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin. Terlalu ‘engrossed’ untuk memperkuatkan kekuatan peribadi beliau maka partinya secara tidak disedari telah menghadapi ‘vacuum’ kepimpinan yang serius. Maka Pak Lahlah yang beliau lantik untuk menggantikan beliau berdasarkan kepada kenyataan yang Pak Lah merupakan Naib Presiden yang tertinggi semasa itu.

Semalam Mahathir mengaku kesilapan kerana memilih Pak Lah sebagai pengganti beliau. Kalau kita hendak tuai apa yang terbit, kata-kata Mahathir kebenaran. Pak Lah kepada beliau merupakan pilihan yang salah. Mahathir sedang mengalih dan menganjakkan semua kesalahan beliau kepada Pak Lah. Mentang-mentanglah Pak Lah tidak menjawab kerana beliau tidak mahu lagi menyibuk setelah beliau bersara.

Kalau Mahathir tidak melantik Pak Lah semasa beliau bersara siapa pula yang sepatutnya mengambil alih beliau? Kalaulah beliau memilih Najib semasa itu, ramai merasakan yang keadaan sekarang akan lebih teruk dari sekarang. Jadi kenyataan Mahathir yang beliau melakukan kesalahan kerana memilih Pak Lah untuk menggantikan beliau itu amat ‘personal’ dan nampak sangat dendam kesumat beliau terhadap penggantinya itu.

Mahathir tidak menyedari selembut-lembut Pak Lah, beliau adalah seorang yang degil dan sangkaan Mahathir yang Pak Lah akan membenarkan beliau (Mahathir) masuk campur dalam pentadbirannya adalah salah. Mahathir tidak mengenali Pak Lah dengan sebenarnya. Walaupun Pak Lah itu seorang yang lembut, tetapi lembut beliau bukan untuk disudu. Kalau Pak Lah itu keras orangnya, keras beliau itu bukan untuk ditakek. Oleh kerana Pak Lah tidak membenarkan Mahathir untuk menyudu atau menakek beliau (Pak Lah), maka Mahathir kecewa dan mula membidas Pak Lah ‘without mercy’. Kalaulah Pak Lah membenarkan Mahathir masuk campur seperti Najib sekarang ini Mahathir tidak akan mengkritik Pak Lah sedemikian rupa.

Menyalahkan Pak Lah seratus peratus adalah tidak rasional untuk Mahathir melakukannya. Kecelaruan negara kita bukan dimulakan oleh Pak Lah. Ia bermula dari Mahathir lagi. Pengakuan Mahathir yang beliau selalu salah memilih penggantinya itu adalah benar. Musa adalah lantikan beliau, Ghaffar Baba pun lantikan beliau. Selepas Ghaffar, Anwar Ibrahim pula dan selepas Anwar, Pak Lah. Semua lantikan beliau akhirnya tidak bersesuaian dengan beliau (Mahathir). Kalau beliau tidak suai dengan semua pihak, maka Mahathir mesti melakukan introspeksi dirinya sendiri.

Sesungguhnya yang membuatkan beliau tidak bersesuaian dengan semua timbalan atau pengganti beliau itu sudah cukup membuktikan Mahathir memang tidak boleh bersesuaian dengan semua orang terutamanya mereka yang mempunyai pengaruh yang Mahathir takuti. Itu sahaja yang boleh membuktikan kenyataan ini.

Sekarang timbul satu persoalan lagi terhadap Mahathir. Jika semua orang yang disokongnya akhirnya terbukti yang itu merupakan kesilapan Mahathir memilihnya, apa pula alasan untuk kita yakini yang pilihan beliau untuk menyokong Najib untuk terus menjadi pemimpin nombor satu negara itu adalah tindakan yang tepat untuk beliau.

Bagi saya, jika lantikan beliau dahulu tidak seorang pun yang bersesuaian untuk negara, saya juga menjangka yang suatu hari Mahathir akan bertelagah dengan Najib. Mahathir akan bergaduh dengan Najib seperti beliau bergaduh dengan Pak Lah jika Najib tidak memberikan keistimewaan terhadap anakandanya yang bernama Mukhriz untuk menjadi pemimpin negara di masa depan.

Tindakan Mahathir semuanya bersandarkan kepada politik peribadi dan keluarga beliau. Itulah sebabnya rakyat tidak mahu memberikan sokongan kepada Mahathir kerana rakyat sudah berfikir dan mereka tidak mahu lagi dilaga-lagakan oleh Mahathir kerana Mahathir hanya bertindak untuk kepentingan beliau dan keluarga beliau sahaja.

Tindakan Mahathir dengan sukarela melakukan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan kepada penyelia kemas atau pegawai penerangan khas jabatan penerangan memang tidak ada siapa yang mengagaknya akan berlaku. Kita memilih untuk menyakinkan diri kita yang Mahathir akan menjadi seorang negarawan besar negara, tetapi tindakan beliau sekarang telah menjatuhkan martabat beliau ke tahap penolong kepada Ahmad Maslan sahaja.

Pendeknya kita memang sudah bersetuju kepada satu formula baru dalam memilih seseorang pemimpin. Formulanya senang sahaja. Formulanya ialah, kita jangan menyokong sesiapa yang disokong oleh Mahathir, kerana sesiapa yang disokong oleh Mahathir suatu hari nanti akan menjadi pemimpin yang lemah dan kurang kegunaan dan faedah untuk negara.

Seperti yang kita dengar akhir-akhir ini Mahathir sedang menyokong Najib dan kumpulannya. Apabila itu pilihan Mahathir maka benarlah tindakan ramai rakyat menolak pilihan Mahathir kerana tidak seorang pun yang disokong oleh Mahathir itu tidak menghadapi masalah. Baik Musa, Ghaffar, Anwar dan Abdullah Badawi semuanya bermasalah.

Kalau kita ikut kehendak Dr Mahathir untuk menyokong Najib, ia bermakna kita menyokong calon yang salah seperti yang terbukti dengan pewaris-pewaris kepimpinan Dr M yang lalu. Ini merupakan satu kebenaran dan Mahathir sendiri mengakuinya semalam. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Pemimpin Umno tidak kibar Jalur Gemilang

Selangorku, 08 Sep 2012

(Mohamad Sabu berceramah di Jenjarum)


SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan sambutan Kemerdekaan Ke-55 baru-baru ini sebagai sambutan yang paling hambar.

Katanya, rakyat dapat menilai kerana menjelang sambutan itu pemasangan bendera Jalur Gemilang tidak mendapat sambutan hangat.

“Ia merupakan sambutan paling teruk. Jika kita lihat, tidak banyak bendera yang dipasang di kenderaan, bangunan-bangunan dan perumahan juga kawasan sekitar.

“Jika kata Pakatan Rakyat (PR) pengkhianat negara maka Umno-BN juga pengkhianat kerana pemimpin mereka juga tidak memasang bendera,” katanya dalam ucapannya di Ceramah Perdana, Sungai Rambai baru-baru ini.

Malah, katanya, sambutan yang sepatutnya menjadi sambutan rakyat dilihat bertukar menjadi sambutan perayaan ulang tahun Umno-BN.

Beliau berkata laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya sambutan itu adalah merupakan sambutan yang luar biasa kerana kehadiran penonton mencecah 150,000 adalah ‘syok sendiri’.

“Jika sudah beri duit, sediakan bas untuk mengajak orang datang, sudah tentulah orang mahu datang, tetapi hakikatnya Najib sendiri yang tahu,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata Prof Datuk Dr Zainal Kling boleh dipersalahkan berhubung masalah itu kerana sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

“Jadi mungkin daripada kenyataan itu anak muda khususnya, kurang kesedaran mengenai kemerdekaan. Jadi tindakan perlu diambil ke atas Prof itu,” katanya.

Justeru, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin untuk mengkaji semula sejarah Malaysia disambut baik.

“Harap beliau akan melaksanakannya dengan betul bukannya hanya kerana pilihan raya sudah hampir. Laksanakannya dengan betul supaya rakyat mengetahui mengenai sejarah,” katanya.- Selangorku.

Dr. M menunggu keruntuhan Umno/BN

http://bilahrotan.blogspot.com/, 08 Sep 2012
Kata Dr. M, "Rakyat tak berpeluang memilih BN kembali, jika PR Berkuasa."

Demikianlah yang tersurat. Apakah yang tersirat? Dr. M mengugut rakyat memilih UMNO/BN lagi untuk PRU akan datang. Mengapa dia perlu mengugut? Sudah pasti dia melihat sokongan terhadap gabungan parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun itu semakin berkurangan dari hari ke hari. Apakah sandarannya? Dia pernah berkata, "Najib mewarisi sebuah kerajaan yang lemah. Apa-apa saja yang dilakukannya tidak mencukupi untuk mengembalikan kekuatan. Dia akan senantiasa dikritik." Pernyataan ini bukan sahaja menghentam Pak Lah malahan juga mengherdik Najib. Sudah terang lagi bersuluh, dia sedang gelabah sekarang ini. Kegelabahan itulah yang menyebabkan dia meracau.
Betulkah rakyat tidak berpeluang lagi memilih BN kembali jika PR berkuasa ?


Kita perlu menyelami hakikat yang sedang berlaku pada masa ini. PR menguasai Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan. Pentadbiran negeri-negeri ini menerima pujian demi pujian daripada Ketua Audit Negara. Tidak ada sesiapa pun pemimpin dari negeri-negeri ini yang dihukum kerana rasuah. Kesemuanya mampu membayar balik hutang kepada Kerajaan Persekutuan. Kesemuanya mampu menambah hasil negeri. Kesemuanya mampu menyalurkan kebajikan kepada rakyat tanpa mengira kaum, warna kulit, dan agama. Kesemuanya berusaha keras menyalurkan kekayaan negeri kepada rakyat. Perlu diingat bahawa kemampuan tersebut terhasil dalam situasi kerajaan negeri dinafikan hak mereka menurut konsep federalisme.


Lojiknya PR akan berbuat lebih baik daripada itu jika menguasai Putrajaya. Mengapa demikian? Wang negara akan menjadi lebih berganda kerana rasuah berkurangan, ketirisan dapat diminimumkan, penyalahgunaan kuasa disekat, hutang negara dikurangkan melalui perbelanjaan berhemah dan jimat cermat, serta pembanterasan penggubahan wang haram. Inilah "hantu" yang bergentayangan di negara kita ketika ini.


Pertambahan pendapat negara akan dipulangkan kepada rakyat melalui pendidikan percuma, penghapusan tol, penurunan harga minyak serta kereta, dan sebagainya. Apabila rakyat dilimpahi kebahagiaan, tidak mungkin mereka berpaling kepada UMNO/BN lagi. Inilah yang menjadi mimpi ngeri Dr. M dan UMNO/BN. Tunggulah saat mereka dikuburkan. Ketika itu, UMNO/BN akan hilang segala-galanya.

Sang Saka: Tidak wajar dakwa pengibarnya

Muhammad Faizal, 08 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya tidak mendakwa kedua-dua yang ditahan kerana mengibarkan bendera Sang Saka Malaya kerana dakwaan akan memberi imej buruk kepada negara.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin berkata, kedua-duanya masih muda dan kesalahan mereka tidaklah begitu serius untuk dibuat pendakwaan.


(Gambar pengibaran bendera Sang Saka Malaya yang disiar dalam blog Singa Selatan.)

"Memang kita tidak bersetuju dengan tindakan mereka tetapi mendakwa mereka bukan satu tindakan yang baik.

"Biarlah anak muda berekspresi, tidak perlulah kita keras sangat," kata Hanipa (gambar kanan), AJK PAS Pusat, kepada Harakahdaily.

Dua suspek yang mengibar bendera Sang Saka Malaya dalam perhimpunan Janji Bersih pada malam ambang merdeka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi tujuan memberi keterangan semalam.

Kedua-dua mereka iaitu Muhammad Nasir Abu Bakar dan Mohd Zairi Shafa'ai hadir ke IPD Dang Wangi sekitar jam 2.30 petang dengan diringi dua orang peguam.

Peguam Muhammad Afiq mohd Nasir ketika dihubungi menjelaskan kedua-dua mereka telah disiasat di bawah Seksyen 4(a) Akta Hasutan.

"Kedua-dua mereka telah hadir ke IPD hari ini bagi tujuan membantu siasatan serta memberi keterangan berhubung mengibar bendera Sang Saka.

"Mereka telah disiasat dibawah Seksyen 4(a) Akta Hasutan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, sehingga sekarang keterangan masih lagi diambil dan beliau berharap kedua-dua mereka akan dibebaskan pada malam ini.

"Kita berharap kedua-dua mereka akan dibebaskan pada malam ini dan tidak akan berlaku apa-apa penahanan.

"Namun saya tak berani nak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga segala urusan selesai," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Assistan Komisioner Aziz Zakaria turut mengesahkan kedua-dua suspek berumur 20-an itu ditahan petang ini di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Namun, salah seorang daripada mereka bagaimanapun sebelum ini menulis di blog bahawa mereka tidak berniat menggantikan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah kemerdekaan tanah air, mereka merasakan Sang Saka Malaya layar dikibarkan bersama pada sambutan itu.

Ron 97 naik untuk diturunkan dalam Belanjawan

Harakahdaily, 08 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menjangka, harga minyak Ron 97 dinaikkan 30 semalam bertujuan untuk membolehkan ianya diturunkan dalam Belanjawan hujung bulan ini.

Naib Ketua Pemuda PAS, Raja Ahmad Iskandar Al Hiss (gambar) membuat jangkaan itu dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Apa yang kami dapat lihat, Barisan Nasional (BN) akan menjadikan Perbentangan Belanjawan Negara pada hujung September ini untuk menggambarkan membela rakyat dan kemungkinan RON97 akan diturunkan harganya?" kata Raja Ahmad.

Kemungkinan ini dapat dilihat ekoran kekerapan kenaikkan harga petrol RON97 yang memberikan kesan sokongan kepada BN.

"Kami turun menjangkakan harga RON95 juga akan diturunkan oleh BN bagi mengembalikan sokongan kepada mereka menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13!" katanya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyifatkan harga minyak petrol RON97 naik 30 sen kepada RM3.00 seliter bermula awal September baru-baru ini tidak mendahulukan rakyat terutamanya dan ianya dilakukan secara tidak dihebahkan meluas melalui Menteri yang bertanggungjawab.

Ini berlainan jika pengumuman penurunan harga petrol akan dihebatkan secara meluas dan sudah tentunya Menteri yang terlibat akan membuat satu sidang media khas disifatkan hanya ‘berlakon’ sahaja.

Pada tahun ini sahaja, harga petrol RON97 telah naik 10 sen dengan harga barunya RM2.50 seliter pada awal Januari yang lalu.

Dan pada awal April yang lalu, harga seliter RON97 berharga RM2.60 setelah ianya naik 10 sen.

Ini tidak termasuk naik 10 sen selepas bulan April setelah dinaikkan dan sebelum dinaikkan pada awal September ini.

Jika dilihat pula pada tahun lepas, harga RON97 mula dinaikkan kepada RM2.15 pada 2 November, RM2.30 pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.50 pada 4 Januari tahun ini.

Tiada ulasan: