Ahad, 9 September 2012

TALIAN TERPUTUS OK LAGI...BAGAIMANA RAHMAT ALLAH TERPUTUS HASIL KEMUNGKARAN SERTA KEDEGILAN MENERIMA HUKUM ALLAH SWT MENJELA-JELA@BERPANJANGAN

Bas PKR diserang lagi, AMK lapor polis

Harakahdaily, 09 Sep 2012
JASIN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan membuat satu laporan polis pada hari ini berikutan insiden simbahan cat merah pada bas Jelajah Merdeka Rakyat di Jasin semalam.

Laporan polis itu akan dibuat ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Melaka jam 3 petang ini.

Dalam insiden kira-kira 3.30 petang semalam, bas yang digunakan pemimpin PKR untuk siri kedua Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah di Kampung Kelubi di sini.

Kejadian didakwa dilakukan kira-kira 30 samseng yang turut menghalang laluan bas, selain menayangkan kain rentang yang penuh dengan kata-kata penghinaan kepada pemimpin PKR.

Memetik laporan Malaysiakini, Shamsul berkata, beliau tidak menolak kemungkinan serangan tersebut didalangi Pemuda Umno.

“Kami tahu kerana ada salah seorang ahli jawatankuasa Umno Jasin berada bersama mereka,” katanya.

Ianya adalah kejadian kedua selepas bas sama diserang sekumpulan samseng ketika berada di Kelantan minggu lalu.

Dalam serangan itu, bas tersebut yang diletakkan di Pasar Khadijah juga disimbah cat merah dan cermin hadapannya retak dibaling batu.

Hina pemimpin PAS: Lagi laporan polis dibuat

Harakahdaily, 09 Sep 2012
KEMAMAN: Dewan Pemuda PAS Kemasek membuat satu laporan polis berhubung sekeping gambar yang sedang tersebar di internet,mempamerkan aksi dua orang pemuda sedang kencing di atas gambar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu kain rentang.

Laporan polis itu dibuat AJK Pemuda PAS Kemasik, Syed Khairi Amir oleh di Balai Polis Kerteh kira-kira jam 5.30 petang semalam..

"Saya dapati ada beberapa keping gambar pemimpin PR dikencing, dipijak dan dibakar.

"Kelakuan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati bagi pihak pemuda PAS Kemasek dan saya pohon siasatan segera oleh pihak polis bagi menegakkan keadilan," laporan polis itu dipetik.

Sejak insiden seorang pelajar kolej swasta diambil tindakan segera oleh polis kerana didakwa menghina gambar perdana menteri ketika kejadian 30 Ogos lalu, beberapa pihak turut meyebarkan gambar seorang individu sedang kencing di atas gambar Mursyidul Am dan Presiden PAS itu internet.

Penyiaran gambar itu disertakan bersekali dengan desakan agar pihak polis juga bertindak segera kepada si pelaku yang menghina gambar pemimpin PAS itu.

Sebelum ini juga pelbagai pihak turut mengecam tindakan yang didakwa 'double standard' pihak kerajaan yang segera menangani kes penghinaan kepada gambar pemimpin BN sedangkan penghinaan kepada gambar pemimpin Pakatan Rakyat dibiarkan.

Ada juga yang mempersoal kenapa masih tiada apa-apa tindakan kepada pihak yang bertindak samseng menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang memberi tazkirah di sebuah masjid Pumpung Kedah baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, perbuatan khianat kumpulan samseng turut berlaku kepada bas Jelajah Merdeka Rakyat PKR yang dua kali diserang dengan disimbah cat merah dan cermin bas dipecahkan.

SPR sedia tetapi suruhanjaya IC belum jalan tugas

Abdul Aziz Mustafa, 09 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mendakwa sudah sedia mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13, sedangkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah pun belum memulakan tugasnya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, suruhanjaya diraja itu ditubuhkan berikutan apa yang disebut sebagai Projek IC Mahathir atau ‘Projek-M’ yang dilaporkan telah menambah secara drastik jumlah penduduk Sabah dan membenarkan pendatang asing menjadi pengundi yang sah.

"Ia dengan sendirinya bermakna daftar pemilih masih tidak bersih dan itulah antara sebab utama rakyat Sabah menuntut suruhanjaya itu ditubuhkan," kata beliau.

Bukan itu sahaja, kata Mohamad, malah banyak lagi perkara yang dilihat sebagai terang-terang merupakan satu penyelewengan dan penipuan berlaku dalam daftar pemilih.

"Ada pendaftaran bertindih di mana seorang pengundi dengan nama dan nombor kad pengenalan yang sama menjadi pemilih di dua tempat yang berlainan," katanya.

Lebih teruk lagi, seorang wanita berbangsa India tidak dapat mendaftar sebagai pengundi kerana nombor kad pengenalannya digunakan oleh seorang lelaki berbangsa Melayu dalam daftar pemilih.

Malah, katanya lagi, orang yang telah mati pun masih ada lagi nama mereka dalam daftar pemilih.

"Bukan sedikit, tapi banyak dan timbul keraguan ada pihak lain yang mengundi bagi pihak mereka," katanya.

SPR juga, kata Mohamad, tidak memberi penjelasan yang boleh dipercayai mengenai pemindahan pengundi yang jauh lebih banyak dari yang dinyatakannya.

"Contohnya, SPR kata dia pindahkan 19,000 pengundi, sedangkan bila PKR siasat terdapat 31,294 pengundi yang dipindahkan," katanya.

Malah, ada laporan-laporan polis yang dibuat oleh pemilik-pemilik rumah yang mengadu rumah mereka dijadikan alamat oleh pengundi-pengundi yang tidak meraka kenali dalam daftar pemilih.

"SPR perlu menjelaskan semua itu dan banyak lagi perkara yang dilihat sebagai penyelewengan yang terang-terang berlaku dalam daftar pemilih.

"Pengerusi SPR jangan dengan mudah mendakwa pihaknya sudah sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 sedangkan daftar pemilih masih lagi tidak bersih," katanya.

Mohamad menegaskan, kesemua penjelasan dan dakwaaan SPR sebelum ini kononnya daftar pemilih yang ada kini sudah bersih dan masalah pada daftar itu terlalu minima ternyata menimbulkan lebih banyak lagi keraguan.

Daftar pemilih yang bersih adalah antara tuntutan utama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mendakwa pihaknya sudah sedia sepenuhnya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 dan kini hanya menanti tarikh pembubaran Parlimen.

‘Kami mintak maaf, talian terputus’ terhangat

Harakahdaily, 09 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Berita bagaimana talian terputus di sebuah rancangan TV tempatan apabila pemanggil bertanyakan mengapa tiada tindakan diambil tentang insiden kencing di gambar   Presiden dan Murshidul Am PAS ialah artikel paling popular di Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke 36.

Ia melaporkan bagaimana sikap media BN yang akan mencari helah untuk tidak membincangkan kejahatan yang dibuat ke atas pemimpin PAS.

Di tangga kedua, berita mengenai bagaimana bekas Mufti Perli Dr Asri Zainul Abidin membuat Hasan Ali terkedu menerusi rancangan Bicara menerusi Tv Hijrah yang dipaparkan blog http://pejuang-rakyat.blogspot.com .

Berita mengenai berita terhangat minggu lepas mengenai gambar pelajar tahfiz yang enggan bersalam dengan Datin Seri Rosmah Mansor di rumah terbuka Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar, di Dewan PKNS, Kelana Jaya dua minggu lalu menduduki tempat ketiga.

Berita sekumpulan samseng yang dipercayai ahli Perkasa bertindak ganas dengan menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah baru-baru ini pula menduduki tangga keempat.

Di tangga kelima, ialah berita blog http://wasukalu.blogspot.com menunjukkan seseorang Melayu memakai baju parti politik tertentu untuk membeli nombor ekor.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 2 September hingga 8 September, 2012.

1
‘Kami mintak maaf, talian terputus’
2
Hasan Ali kena belasah dengan bekas mufti
3
Budak enggan bersalam dengan Rosmah terhangat
4
Anwar, Mahfuz diserang dalam masjid
5
Melayu ni beli nombor ekor pakai baju parti XXXXXX
6
Perihal Abby Abadi dan ulama muda
7
‘Janji Ditepati’ akhirnya memakan diri
8
Foto yang diedit untuk fitnah PAS
9
Pembetulan sejarah Tok Janggut perlu! (wajib share)
10
Kg Baru: 'Sampai bila-bila ia akan kekal di rumah kami'

Amerika dan Israel bertengkar isu nuklear Iran

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 09 Sep 2012
WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hilang sabar dengan duta Amerika Syarikat bulan lepas kerana kedudukan pentadbiran Obama yang kurang jelas ke atas program nuklear Iran, ujar seorang kongres AS yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

Pengerusi House Intelligence Committee, Mike Rogers, penyokong parti Republikan, membuat komen awam pertama beliau mengenai mesyuarat di Israel hujung Ogos lalu dalam satu temu bual dengan radio WJR, yang berpusat di Michigan Selasa lalu.

Kontroversi yang berterusan berkenaan mesyuarat itu muncul ketika Presiden AS, Barack Obama menerima pencalonan partinya di Konvensyen Demokratik Kebangsaan, di mana tahap sokongan pentadbiran Obama untuk Israel menjadi satu topik kontroversi.

"Sekarang ini Israel tidak percaya pentadbiran Obama adalah serius apabila mereka membentangkan pilihan-pilihan yang ada, dan lebih penting, Iran pun tidak percayakan AS. Itulah sebabnya program (nuklear) ini terus berjalan," kata Rogers.

Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk  tidak menyerang infrastruktur nuklear Iran secara unilateral dan Amerika Syarikat secara jelas menentang idea serangan itu.

Rogers berkata, jika Amerika Syarikat tidak menunjukkan kepada Israel kedudukan yang lebih jelas ke atas program nuklear Iran, maka Israel mungkin akan melancarkan serangan.

"Jika saya pertaruhkan rumah saya hari ini, saya akan bertaruh bahawa mereka akan menyerang Iran jika tidak mengetahui kedudukan yang lebih jelas dari Amerika Syarikat," katanya.

Jurucakap kedutaan Israel di Washington bagaimanapun enggan mengulas hal tersebut. Jabatan Negara tidak mengulas berkenaan mesyuarat sulit diplomatik tetapi jurucakap Edgar Vasquez berkata, "Kami mempunyai hubungan yang sangat rapat dan komitmen yang tidak mampu digugat dengan Israel."

Pertengkaran antara Netanyahu dan Duta AS ke Israel, Daniel Shapiro mengesahkan jurang perbezaan yang mendalam tentang bagaimana cara berurusan dengan Iran, yang kedua-dua sekutu itu cuba untuk menafikannya kepada orang ramai.

Obama berikrar untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, tetapi masih yakin isu ini dapat diselesaikan dengan sekatan ekonomi dan diplomasi. Rumah Putih berkata mereka telah menjalankan sekatan minyak dan perbankan antarabangsa yang jauh lebih tegas terhadap Iran berbanding dengan pentadbiran AS sebelum ini.

Tujuan asal mesyuarat tersebut adalah untuk Netanyahu dan Shapiro  membincangkan kerjasama perisikan dan perkara-perkara lain. Tetapi ia "bertukar" menjadi pertengkaran sengit apabila Netanyahu memberitahu Shapiro kekecewaannya  tentang kedudukan pentadbiran Obama yang kurang jelas ke atas program nuklear Iran, ujar Rogers.

"Ketidakpastian tentang kedudukan Amerika Syarikat dalam isu-isu tersebut telah mencipta banyak masalah dan kebimbangan yang saya fikir tidak bagus untuk dunia dan keamanan," kata Rogers.

Dalam temu bual dengan stesen televisyen Israel Ahad lalu, Shapiro menolak dakwaan akhbar Israel berkenaan pertengkaran itu dan menggelarnya sebagai "cerita yang sangat bodoh" dan tidak mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat, di mana perbualan berlaku dengan "mesra dan profesional. "

Netanyahu tidak mengulas tentang pertengkaran itu, yang pertama kali dilaporkan oleh akhbar harian Yedioth Ahronoth.

Israel mempunyai senjata nuklear sendiri yang tidak diisytiharkan dan dipercayai mengandungi sebanyak 200 kepala peledak.

Rogers berkata garis masa Israel dan AS berbeza dalam menentukan berapa cepat Iran mampu memperoleh senjata nuklear, jika Iran memutuskan untuk bergerak ke arah itu.

Netanyahu percaya "jika mereka memutuskan untuk mencepatkan program, Iran akan mengambil masa empat hingga lapan minggu," manakala penganalisis perisikan AS pula percaya ia akan "mengambil masa yang lama sedikit daripada itu," kata Rogers. "Tetapi masalahnya tiada siapa yang benar-benar tahu."

Syria, Israel dan nuklear: Kanada tutup kedutaan di Iran

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 09 Sep 2012
OTTAWA: Kanada menutup kedutaannya di Iran dan akan mengusir keluar semua diplomat Iran yang masih berada di Kanada dalam masa lima hari, kata Menteri Luar, John Baird Jumaat lalu, sambil mengecam Tehran sebagai ancaman terbesar kepada keselamatan global.

"Hubungan diplomatik antara Kanada dan Iran telah digantung," kata Baird.

Baird menyentuh tentang program nuklear Iran, penentangan Iran kepada Israel dan bantuan ketenteraan Iran kepada Presiden Bashar al-Assad, bagi menghadapi perang saudara dengan kumpulan penentang.

"Kanada melihat kerajaan Iran sebagai ancaman paling berbahaya kepada keamanan dan keselamatan global hari ini," kata Baird dalam satu kenyataan, menuduh pengabaian terang-terangan Iran terhadap keselamatan diplomat asing seperti yang diakui dalam Konvensyen Vienna.

"Dalam keadaan ini, Kanada tidak boleh mengekalkan kehadiran diplomatik di Iran," katanya.

Ottawa telah lama mempunyai hubungan yang kurang baik dengan Iran, antaranya kerana penentangan Iran terhadap sekutu rapat Kanada, Israel.

Amerika Syarikat tidak mempunyai kedutaan yang beroperasi di Tehran sejak krisis tebusan 1979-81 apabila 52 warga Amerika telah dtahan selama 444 hari.

Kedutaan Britain di Tehran pula telah ditutup setelah diserbu oleh penunjuk perasaan November lepas.

Semasa krisis tebusan, Kedutaan Kanada di Tehran melindungi enam diplomat AS yang telah mengelakkan diri dari ditangkap, dan kemudian membantu mereka meninggalkan Iran dengan menggunakan pasport Kanada pada Januari 1980.

Kedutaan Kanada kemudiannya ditutup, dan hanya dibuka semula pada tahun 1988.

Tiada ulasan: