Khamis, 6 September 2012

KUASA YANG ADA PADA MANUSIA@MAKHLUK SANGAT TERBATAS...HUKUM ALLAH TETAP ADA...KITA TAK BOLEH MELAWAN TAKDIR ALLAH...BILA MANUSIA MEMPERSIA-SIAKAN KUASA YANG ADA...MENYALAH GUNA KUASA YANG ADA... ALLAH TETAP AKAN MENGHUKUM...KITA TUNGGU BILA TAKDIR MEMBENARKAN...BILA HUKUMAN DAH TERTIMPA@TERJADI

Kenapa Mahathir gelabah sangat ni?

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 06 Sep 2012

Mahathir adalah antara individu yang kelihatan begitu tertekan sejak akhir-akhir ini, malah tutur katanya kadang-kadang menimbulkan persoalan, siapakah Perdana Menteri Malaysia sekarang ini..

Adakah Mahathir yang menjadi Perdana Menteri atau Najib ataupun Rosmah??

Sedangkan umum mengetahui bahawa Najib adalah Perdana Menteri Malaysia yang telah diberikan mandat untuk berkuasa memerintah negara ini oleh Pak Lah.

Apa yang jelas kelihatan sekarang ini ialah Mahathir begitu takut UMNO/BN kehilangan majoriti 2/3 pada PRU yang ke 13 ini.

Ketakutannya itu semakin terserlah kini hingga beliau terpaksa memberikan amaran kepada rakyat agar jangan berubah..

Kata Mahathir pilihan untuk "merubah pemimpin" itu juga bukanlah satu tindakan yang baik, sebaliknya mengingatkan berkemungkinan ia langkah yang amat teruk.

Tetapi beliau terlupa bahawa mengekalkan pimpinan yang semakin teruk ini adalah lebih teruk lagi..

Cuba perhatikan Pak Lah, Pak Lah yang memberikan mandat kepada Najib sebagai Perdana Menteri langsung kelihatan seperti tak kisah samada UMNO/BN kekal berkuasa atau tidak selepas PRU13 ini..

Persoalannya di sini ialah mengapa Mahathir amat tertekan dengan situasi sekarang ini.. adakah beliau khuatir anaknya tidak sempat menjadi Menteri Besar atau dia gusar banyak penyelewengannya terbongkar?


****************************************

Jika PR berkuasa, rakyat tak berpeluang pilih BN kembali, kata Dr M

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran kepada rakyat di negara ini agar tidak memilih Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya akan datang kerana mereka tidak akan berupaya untuk berubah kepada Barisan Nasional (BN) semula apabila PR telah memerintah.

Jelas mantan perdana menteri itu lagi,  pilihan untuk "merubah pemimpin" itu juga bukanlah satu tindakan yang baik, sebaliknya mengingatkan berkemungkinan ia langkah yang amat teruk.

"Ada yang kata kita tukarlah (pemimpin) ... cuba yang lain ... kita cuba lima tahun, kalau tidak baik, kita tukar.

"Sekali mereka berkuasa, mereka akan buat untuk rakyat tidak boleh bertukar lagi kepada BN," kata Dr Mahathir  ketika program sepetang bersama beliau di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya anjuran Kelab Pesara Kerajaan Lembah Pantai di sini.

Jelas beliau yang telah berkhidmat selama 22 tahun sebagai perdana menteri, usaha mengubah pemimpin negara itu juga berkemungkinan akan menghancurkan negara ini jika kita hanya memilih mereka yang hanya "ingin menjadi perdana menteri."

"Jika kita menghargai keamanan dan kemakmuran yang kita ada, kita pasti akan dapat lebih lagi daripada pembangunan," kata Dr Mahathir lagi.

The Malaysian Insider 


Rogol statutori: Sangat malang kepada wanita

Salmiyah Harun, 06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Keputusan mahkamah dalam dua kes rogol statutori baru-baru ini bukan sahaja memberi implikasi kepada agama tetapi nilai maruah yang mungkin akan diketepikan masyarakat.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Mumtaz Mohd Nawi tidak menyambut baik hukuman yang dikenakan terhadap pesalah dalam kes terbabit.

"Masyarakat akan keliru, seolah-olah kita banyak pendirian yang berubah-ubah khususnya dari sudut mencegah masyarakat daripada mengulangi perkara sama," katanya ketika dihubungi.

Malah katanya, peruntukan undang-undang harus saksama tidak kira darjat malah ia perlu menilai apakah hukuman itu boleh mencegah berulangnya perbuatan seperti itu.

"Kita mahu apa-apa yang dinikmati harus mengikut agama dan undang-undang," katanya.

Beliau melahirkan kekesalan dengan sikap kerajaan yang seolah-olah memandang mudah perkara itu dan memberi hukuman yang terlalu ringan.

"Misalnya kalau dia (pemain boling) buat baik kita boleh bagi bonus tapi kita tidak boleh maafkan kesilapan dia. Hukuman itu terlalu ringan," katanya yang juga pengamal undang-undang.

Tambahnya, apabila melibatkan perkara seksual ramai menganggap ianya adalah peribadi dan bergantung kepada kerelaan.

"Bila kerelaan dalam kes membabitkan budak bawah umur ianya tidak sah apatah lagi melibatkan soal maruah diri.  Misalnya dia rela tetapi tidak faham apa akibat daripada kerelaan itu.

"Sebab itu kita lihat negara barat penzinaan budak bawah umur satu kesalahan yang dikenakan hukuman mandatori walaupun bawah umur sebab kerelaan ini bukan kerelaan penuh kerana dia belum matang lagi," katanya.

Beliau juga kecewa, dahulu penzinaan akan dipandang satu kesalahan dosa besar sekarang ini masyarakat melihat ia seperti perkara biasa hanya disebut sebagai 'terlanjur'.

Situasi inilah katanya,  memberi implikasi besar kepada masyarakat hari ini apabila terlanjur akan anggap ia perkara enteng.

Hakikatnya, jelas Mumtaz ia membabitkan soal maruah dan jati diri, dara dan teruna akhirnya memberi kesan kepada hilangnya harga diri

Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat Pusat Aiman Athirah Al-Jundi berkata, keputusan mahkamah baru-baru ini dalam dua kes rogol statutori yang menurutnya "sangat malang kepada wanita Malaysia".

Katanya, perkembangan ini adalah suatu yang sangat malang kepada wanita Malaysia, apatah lagi di kala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sendiri diterajui oleh seorang Perdana Menteri.

"Bahkan ia jelas suatu yang sangat memalukan seluruh kaum wanita dan institusi wanita di seluruh negara," katanya.

Keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu yang membebaskan seorang juruelektrik dengan ikat jamin RM25,000 dan bon jaminan berkelakuan baik atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang disabit di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009.

Isu Perang Dectar: GMUKM diugut dan difitnah

Haziq Asyraf Dun,
BANGI: Tengah hari, hari ini (6 September) Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dimaklumkan terdapat satu kenyataan yang berbaur ugutan dilemparkan kepada Admin Page “Kami Bantah Perang Dectar UKM”. Sungguh melampau tangan-tangan yang melakukan perkara tersebut.

Ini kerana tuduhan tersebut menuduh pihak GMUKM merupakan entiti yang bernaung dibelakang Page tersebut. Tuduhan yang melulu ini sangat keji kerana diselitkan dengan beberapa gambar yang tidak senonoh, ini adalah tindakan yang sememangnya tidak bertanggungjawab dan menjatuhkan moral.

Sejujurnya, GMUKM tidak mengambil partisipasi langsung terhadap perjuangan membantah perang dectar tersebut. Harus difahami dan diteliti bahawa isu perang dectar ini timbul atas desakan pihak Exco Lajnah Siasah & Integriti Nasional Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM).

GMUKM berpandangan pihak ISIUKM komited dan berpendirian teguh melaksanakan perubahan  terhadap budaya Cheers dan ‘Perang DECTAR’ yang merendah-rendahkan intelektual Mahasiswa, merosakkan akhlak dan tingkah laku mahasiswa. Boleh rujuk artikel di sini perihal kenyataan ISIUKM yang terbaru. (link)
Seteru tetap GMUKM sentiasa memutar belitkan isu Status MPP dan hubungan baik PMUKM dan pentadbiran. (http://pm-ukm.blogspot.com/2012/09/kenyataan-1-pmukm-status-mpp-sekarang.html) yang kini hangat di peringkat Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dan pentadbiran UKM. Mereka jelas ‘gatal tangan’ menuding jari kepada pihak-pihak tertentu khususnya kepada GMUKM.

Sehubungan itu, pengerusi GMUKM, Ahmad Shukran Shaharudin menegaskan bahawa perbuatan ‘hack’ ini adalah sesuatu tindakan yang tidak bermoral. Kegiatan yang memusnahkan institusi komunikasi sosial dalam skala yang sangat besar. Hal Ini kerana, tujuan berlakunya budaya hack ini tidak lain hanyalah semata-mata memenuhi agenda pihak-pihak tertentu demi menjatuhkan pihak lawan. Tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini ibarat membaling ‘tahi’ sembunyi tangan.

Dahulu, Pengerusi Biro Informasi & Penerbitan PMUKM 2010/2011, Aida Rahayu juga mengalami pengalaman yang sama. Hampir setiap group mahasiswa yang dikawal oleh Saudari Aida Rahayu dicantas penguasaannya daripada ‘tangan-tangan nakal’ ini. Perbuatan ini jelas ingin memburukkan sesuatu imej sesebuah entiti yang memperjuangkan hak mahasiswa.

Di peringkat GMUKM tidak hairan sekiranya perbuatan ini berpunca daripada seteru tetap GMUKM. Istilah cybertrooper kini menjadi perhatian semua pihak. Malah, GMUKM mencadangkan agar admin page tersebut membuat laporan kepada pihak yang berwajib.

Tegasnya, GMUKM menyelar tindakan pihak yang jelas berniat jahat dengan menabur fitnah untuk menjatuhkan imej GMUKM. Mengaitkan GMUKM terhadap bantahan yang diwujudkan. Jika ingin berpencak, berpencaklah sepertimana panglima bukan sekadar bermain di belakang tabir seperti tikus.

Ber-GM Lebih Baik!

Expo Hijau ke Putrajaya Padang Terap berjaya

Nasir Zakaria, 06 Sep 2012
Selama empat hari empat malam berturut-turut PAS Kawasan Padang Terap menganjurkan Expo Hijau Merdeka  Menuju Putrajaya.

Semangat sambutan Idulfitri masih terasa panas, bermula 30 Ogos dan berakhir 2 September 2012 bertempat di Markas Besar Majls Tindakan DUN Pedu mendapat sambutan luarbiasa. Segenap lapisan masyarakat dilihat memberi sokongan kepada penganjuran ekspo ini.

30 Ogos- Tapak ceramah mula dibanjiri pengunjung bagi mendengar ucapan Tamrin Ghafar anak bekas Timbalan Perdana Menteri yang Timbalan Presiden Umno Tun Ghafar Baba berucap.

(Gambar: Ribuan anak muda membanjiri tapak expo)

Ucapan yang begitu baik diperkuatkan dengan kehadiran bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di Raja Malaysia Datok Fauzi Shaari.

Beliau kelihatan sangat yakin tentang penyelesaian secara Islam terhadap permasalahan yang dihadapi masyarakat Malaysia. Program ceramah diakhiri dengan bacaan doa sempena merdeka disusuli dengan tembakan bunga api sempena 31 Ogos sambutan Kemerdekaan Negara.

31 Ogos- Program muslimat mengambil tempat dengan perasmian penutup oleh YB Siti Aishah Ghazali Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah.

Malamnya Ceramah Perdana oleh Timbalan Presiden PAS Pusat. Tuan Haji Mohamad Sabu mengulas mengenai sejarah Merdeka dengan begitu mantap. Menepis segala tohmahan hanya Umno sahaja yang perjuangkan kemerdekaan dengan mengenepikan peranan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain.

Lautan manusia membanjiri dataran juga mendengar ucapan Dato Johari Abdul Ahli Parlimen Sg Petani yang menceritakan pengalaman beliau sebagai pemimpin Umno.

1 September- Hari Expresi Anak Muda mengambil tempat.Konvoi Xpresi Hijau Anak Muda Hijau Merdeka Menuju Putrajaya menggamit ratusan anak muda. Seterusnya tepat jam 3 petang, bertempat di Kompleks PAS Kawasan Padang Terap, Kg Barokhas Konvoi Terbesar Padang Terap bermula.

Pemuda Kawasan Padang Terap hanya menyasarkan penyertaan 200 biji motor. Namun, kita hanya merancang Allah yang menentukan. Hampir 700 motorsikal dianggarkan terlibat. Belum lagi termasuk kereta. Konvoi diketuai oleh 3 orang anak muda tempatan yang cukup terkenal iaitu Hairi Othman, Leman Raja Lawak dan Ketua Dewan Pemuda Pas Padang Terap yang juga Ahli Parlimen Padang Terap. Malamnya diisi dengan ceramah sulung Hairi Othman dan Leman Raja Lawak yang dihadiri oleh ribuan anak muda.

(Gambar: Sebahagian 700 peserta yang menyertai konvoi motosikal)

Walaupun selebriti seperti Leman Raja Lawak sering ditohmah dan di caci oleh Umno terutama di dalam Facebook , ianya tidak mematahkan semangat artis yang berhijrah ini untuk terus berusaha menumbangkan kezaliman. Niat yang ikhlas, nekad dan semangat artis ini terpancar pada ceramah ditempat beliau sendiri di Padang Terap sehingga menggamit hati para hadirin seterusnya menarik minat ahli Umno menyertai PAS.

Selain itu, antara yang mengkagumkan khalayak ialah ceramah yang disampaikan oleh Hairi Othman pada malam tersebut mampu membuatkan ribuan hadirin yang mendengar tidak berganjak sedikit pun walaupun ceramah beliau melangkaui masa yang biasa di tetapkan iaitu berlarutan sehingga jam 12.30 pagi. Aura yang dimiliki beliau disamping hujah-hujah yang beliau sampaikan membuatkan hadirin seolah-olah terpukau.

(Gambar: Hairie menyampaikan hadiah kepada peserta cabutan bertuah)

2 September- Malam kemuncak, kemunculan ulamak terkenal yang juga Speaker DUN Kelantan, YB Ustaz Datuk Nasarudin Daud menggegarkan ribuan pengunjung. Hujah ilmiah berselang seli dengan Hadis dan ayat al-Quran menjelaskan ucapan Dr Mahathir "Lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali" menjawab segala kekeliruan. Beliau juga menjelaskan tema Merdeka  "Janji Ditepati" dalam konteks janji BN di Kelantan yang songsang.

Pada malam itu juga menyaksikan kemasukan ahli Umno ke dalam Parti PAS iaitu saudara Mutalib Bin Leman bekas ahli Umno Cawangan Padang Kerasak Naka.

(Gambar: Mutalib menyerahkan borang menyertai PAS)

Ianya sekaligus memberi tamparan hebat kepada Umno negeri itu kerana Padang Kerasak Naka merupakan cawangan Ketua Pembangkang Kedah, Datuk Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid.

Menurut Mutalib, beliau tertarik menyertai PAS selepas mendengar hujah-hujah yang disampaikan oleh Leman Raja Lawak dan Hairi Othman di dalam ceramah mereka pada malam ketiga ekspo tersebut berlangsung.

Sebelum ini katanya, beliau belum pernah mengikuti mana-mana ceramah PAS. Beliau mewakili hampir 50 ahli baru menyerahkan borang keahlian kepada YB Ustaz Datuk Nasaruddin Daud.

Hudud: Sila rujuk penegasan Presiden PAS

Dr Khairuddin A Razali, 06 Sep 2012
Saya merujuk kepada kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertarikh 25 Ogos 2012 selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung seperti disiarkan oleh Harakhadaily:

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=12660&Itemid=56
(“PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada. Malah ujarnya, usaha itu telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan dikedua-dua negeri itu. Sebelum itu lagi katanya, mereka telah memperkenalkan draf undang-undang itu kepada NGO Islam dan bukan Islam dan pernah mengemukakan usul agar isu perlaksanaan hudud dibincangkan di parlimen.”)


Ada sebahagian kecil kalangan kepimpinan PAS akhir-akhir ini terkeliru atau dikelirukan dengan isu hudud menyebabkan mereka memberikan pandangan berbeza daripada apa yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS dan juga parti sejak awal 50-an sehingga dewasa ini meskipun di era tahaluf siyasi.


Sebahagian mereka menimbulkan persoalan mana yang perlu didahulukan sama ada hudud atau ke Putrajaya. Ada yang bimbang dengan penolakan bukan Islam terhadap PAS kerana menegaskan prinsip hudud hingga menyebabkan kekalahan pilihanraya. Ada pula yang sudah mula bercakap seperti nada Umno, iaitu hudud belum kondusif untuk dilaksanakan atau hudud belum sesuai dilaksanakan dalam keadaan gejala sosial masih kritikal.

Ini semua adalah tanda-tanda lemahnya iman dan kurang keyakinan pada apa yang dijanjikan oleh Allah kepada pejuang-pejuang Islam. Ini adalah permulaan kepada serangan pemikiran yang mula meracuni pejuang Islam.

Marilah kita memperingati peringatan Allah dalam surah al-Maidah, ayat 49-50 bermaksud:
“Dan hendaklah kamu berhukum di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan jangan kamu turuti hawa nafsu keinginan mereka. Dan berwaspadalah  terhadap mereka yang memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah. Maka sekiranya mereka berpaling maka ketahuilah bahawasanya Allah mahu menimpakan mereka dengan musibah disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya ramai daripada manusia itu benar-benar fasiq (melanggar perintah Allah). Adakah hukum Jahiliyyah yang kamu cari? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah hukumnya?"

Perlu dipertegaskan bahawa ahli dan kepimpinan PAS perlu membezakan antara dua persoalan, iaitu memperundangkan hudud dan melaksanakan hudud selepas ia diperundangkan.

Perjuangan untuk memperundangkan hudud dalam perlembagaan negeri dan negara adalah perjuangan besar PAS apabila mendapat kuasa menerusi lunas demokrasi. Agenda ini tidak perlu disembunyikan dan tidak boleh dilihat disembunyikan daripada  pengetahuan rakan-rakan Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia keseluruhannya sama ada muslim atau bukan muslim.

Persoalan berjaya atau tidak untuk PAS ke Putrajaya perlu diserahkan kepada Allah setelah mana PAS berusaha dan bekerja dengan pelbagai cara dan strategi untuk mencapai kemenangan dengan menegaskan prinsip yang diperintah oleh Allah. Namun, starategi itu bukanlah dengan tidak menegaskan prinsip untuk memperundangkan undang-undang jenayah Islam.

Adapun isu pelaksanaan  undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud, sama ada kondusif atau pun tidak, boleh dilaksanakan atau tidak kerana berlaku syubhat-syubhat, ia adalah perbincangan selepas ia diperundangkan dalam perlembagaan dan bukan sekarang masa perbincangannya.

Umno yang telah berkuasa sejak belum merdeka sehingga ke hari ini tidak menunjukkan hasratnya untuk memperundangkan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud sedangkan mereka mempunyai kuasa berdasarkan lunas demokrasi.

Umno selama berpuluh tahun mempersoalkan kesesuaian pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Umno telah tunduk dengan kehendak bukan Islam di kalangan MCA dan MIC untuk memperundangkan. Umno telah menggadai prinsip Islam.

Ada pun PAS bukan seperti Umno. PAS sentiasa tegas dengan prinsip perjuangan Islam. Berasaskan kesepakatan Pakatan Rakyat, PAS juga tegas menyatakan hasrat untuk memperundangkan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud berdasarkan lunas demokrasi sebagaimana telah dilakukan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat. Ia bermaksud PAS akan berusaha menobatkannya dalam perlembagaan Malaysia berdasarkan kuasa demokrasi yang bakal dimiliki oleh PAS selepas PRU ke-13.

Setiap parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan hasrat PAS merujuk kepada matlamat perjuangan parti masing-masing. Namun, kuasa demokrasi akan menentukan sama ada PAS berjaya ataupun tidak.

Oleh itu, rakyat Malaysa diseru untuk bersama PAS memberikan kuasa demokrasi ke arah memperundangkan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Bajet 2013: Bimbang daya tahan ekonomi negara

Syahir Sulaiman, 06 Sep 2012
Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap kedudukan penarafan kredit dan kewangan negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memastikan khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan daya saing dan daya tahan negara.


Kerisauan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, hasil daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah menjadi alasan utama laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan penarafan kredit dan kewangan Malaysia.

Laporan S&P ini dilihat senada dengan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka yang lain, antaranya agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan yang sama terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan serantau yang tidak menentu.

Pemuda PAS berpendapat, jika rakyat ditegur untuk membuang tabiat gemar berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang sama adalah lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini diberhentikan.

Tindakan berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan dilihat umpama tabiat yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan Persekutuan mencatatkan hutang kerajaan persekutuan meningkat 70%  dalam tempoh 5 tahun, daripada RM247 bilion pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 2011, berbanding pendapatan negara yang meningkat sebanyak 30% daripada RM140 bilion kepada RM183 bilion bagi tahun yang sama.

Pemuda PAS mendesak kerajaan Malaysia memberikan perhatian serius terhadap aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal selama 14 tahun berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang berbelanja melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.

Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara yang kian meruncing di paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika tidak dibendung secara drastik dan holistik.

Pemuda PAS berpendapat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian menghimpit.

Pemuda PAS menyarankan agar kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan yang baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus untuk menghentikan ketirisan wang rakyat.

Malah, Pemuda PAS sekali lagi mengulang saranan yang sama agar jawatan Menteri Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut rekod, Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan oleh Perdana Menteri sekarang.

Justeru, sebelum Bajet 2013 dibentangkan, Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat menilai kejayaan  Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, “Adakah peruntukan Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 dicapai?” dan yang lebih penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan yang sejahtera kepada anak cucu kita?” Selamatkan Malaysia!

Penulis ialah Pengarah Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Pengunjung puji kreativiti Zunar sampai mesej

Muhammad Faizal, 06 Sep 2012
SHAH ALAM: Pameran kartun yang bertempat di Galeri Shah Alam telah membuka minda pengunjung dengan apa yang berlaku di negara ini apabila pameran yang diadakan selama sembilan hari bermula 1 hingga 9 September itu sentiasa mendapat kunjungan orang ramai.

Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar mengadakan pameran solo beliau berhubung hasil kreatif melalui kartun dengan mengkritik pentadbiran kerajaan sekarang ini untuk kali ketiga setelah mengadakan dua pameran di luar negara iaitu di Bilbao, Sepanyol pada tahun 2011 dan di London pada awal tahun 2012.

Tinjauan Harakahdaily mendapati pameran tersebut tidak pernah lekang dengan pengunjung apabila setiap masa terdapat pengunjung yang hadir untuk melihat secara dekat hasil lukisan Zunar yang telah mencetuskan kontroversi di dalam negara ini sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah mengharamkan hasil lukisannya.

Ismail Baba yang juga seorang pelukis 'Native Artist', menyifatkan lukisan Zunar itu memberikan satu kenangan peristiwa yang benar-benar berlaku sebelum ini.

Menurutnya lagi, lukisan tersebut telah memberi manfaat untuk masyarakat membuka minda terhadap apa yang ingin disampaikan oleh lukisan tersebut.

"Mesej dalam kartun itu merupakan satu sindiran, kalau terlalu emosional membawa kepada perasaan tapi kalau sebagai yang bersifat sinis makna ia hanya sebagai satu pandangan baik atau buruk untuk kita fikirkan.

"Ia juga menunjukkan satu kreativiti dan ada pembaharuan yang ingin beliau sampaikan dengan apa yang berlaku, meseg yang disampaikan ini ada betulnya tetapi dalam keadaan masih lagi diselindungi dan memerlukan kita berfikir," jelasnya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, masyarakat perlu bersikap fikiran yang terbuka apabila melihat hasil lukisan tersebut. kepada individu yang memahaminya mereka boleh menerima penyampaian tersebut tetapi bagi mereka yang tidak mungkin mengatakan ia akan merosakkan minda generasi yang akan datang.

Sementara itu, Asraf Abd Wahad yang seorang peniaga berpendapat hasil yang ditunjukkan oleh pelukis tersebut adalah satu yang genius serta tepat dengan isu semasa walaupun hanya sekeping kertas sahaja.

"Sesiapa yang tengok boleh faham dengan apa yang ingin disampaikan, saya pasti pengunjung tidak memerlukan masa yang lama untuk mengetahui apa yang ingin disampaikan oleh Zunar.

"Pameran seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang, promosi juga perlu dilakukan kerana setiap masyarakat harus hadir untuk mengetahui apa yang berlaku di negara ini melalui sekeping kertas sahaja," kata beliau yang hadir bersama isterinya.

Dalam pada itu, Norizan Mahyudin turut nenyatakan ia merupakan tanda positif dalam mewujudkan reformasi negara untuk pertukaran kerajaan yang ada sekarang.

"Mesej yang ada cukup tepat yang telah disampaikan dan ini boleh memberi kesan kepada mereka yang hadir terutamanya kepada generasi yang akan datang.

"Ia juga merupakan satu penyampaian maklumat yang amat halus untuk kita sampaikan kerana kita tidak menpunyai ruang di media untuk kita terangkan kepada rakyat," jelasnya.

Kata beliau lagi, generasi yang ada sekarang akan nampak dengan jelas apa yang telah berlaku di negara ini kerana hasil lukisan tersebut disampaikan secara jelas.

"Orang ramai perlu hadir untuk lihat secara dekat apa yang ingin disampaikan oleh Zunar melalui lukisan beliau," tambahnya.

Selain lukisan-lukisan kartun beberapa buah buku-buka beliau yang telah diharamkan oleh KDN turut dipamerkan.

Pada Julai 2011, Zunar telah menerima anugerah "Courage in Editorial Cartoon" (Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial) oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washinton DC.


Tindakan kolej pecat pelajar dahului mahkamah

Anis Nazri, 06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (Cybernetics) membuang pelajarnya yang terlibat dengan perbuatan menghina pemimpin dilihat seolah-olah mendahului mahkamah.

Ia berikutan pelajar terbabit masih tidak didakwa atau dibicarakan di mahkamah bagi mensabitkan hukuman terhadapnya.

"Tindakan membuang pelajar terbabit adalah satu perbuatan yang mendahului mahkamah.

"Begitu juga dengan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menarik balik pinjaman pelajar terbabit," tegas Koordinator Aksi Mahasiswa Peduli, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham kepada Harakahdaily, hari ini.

Biarpun tidak bersetuju dengan perbuatan pelajar terbabit yang disifatkan sebagai 'budak nakal', tegas Ekhsan, perbuatan itu bermula dengan tauladan yang ditunjukkan sekumpulan veteran di hadapan kediaman seorang peguam, beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Ekhsan berkata perbuatan pelajar itu juga boleh ditafsirkan sebagai tanda tidak puas hati, muak dan jelak anak muda terhadap pemimpin negara.

Hari ini, Lembaga Disiplin dan Lembaga Akademik kolej itu memutuskan untuk membuang pelajar terbabit yang dikatakan menunjuk punggung pada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, pada malam ambang merdeka lalu.

Tiada ulasan: