Jumaat, 7 September 2012

KESIAN PUN ADA...GELI PUN ADA...TAPI GELI YANG LEBIH

Rakyat biadab kerana Umno gurunya

Harakahdaily, 07 Sep 2012
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan, tindakan sesetengah pihak bertindak biadab sekarang adalah kerana diajar oleh Umno.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, Pemimpin Umno lupa, budaya ini dimulai oleh pemimpin Umno dan merekalah gurunya.

"Rosak ikan bermula di kepala, rosak rakyat kerana pemimpinnya," kata beliau.

Atas dasar itulah, katanya, tidak hairanlah ada rakyat yang pijak gambar  pemimpin di dalam himpunan Janji Demokrasi 30 Ogos 2012 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kenapa pemimpin Umno dan media Umno tanpa segan silu membelasah seolah-olah ini semua ajaran pemimpin pembangkang, soalnya.

Pada hal, katanya, tidak ada rekod pemimpin pembangkang yang berkelakuan biadab.

Katanya, rakyat masih ingat ketika penamaan calon Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sanggang pada 20  April 2000, di mana  Datuk Adnan Yaakob selaku Menteri besar Pahang menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong PAS.

"Apakah ini taraf seorang ketua Umno di negeri Pahang," katanya.

Begitu juga tindakan pemuda Umno dan puteri Umno yang tunjuk punggung dan isyarat lucah pada hari tersebut.

Ajaran biadab ini dilanjutkan lagi oleh Utusan Malaysia  dan penceramah Umno yang menunjuk gambar lucah kononnya ini adalah gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sdr Azmin Ali.

"Kenapa budaya ini tidak disekat malahan diberi galakan sehingga memalukan kita yang mempunyai anak-anak yang masih  bersekolah," soalnya.

Akhbar ini, katanya, sampai ke sekolah yang dibaca oleh pelajar-pelajar.

"Seolah-olah media Umno mendapat lesen untuk membuat sesuatu demi politik kotor mereka," katanya.

Beliau juga mempersoalkan, kenapa mereka yang pijak gambar Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang tidak diambil tindakan.

"Apakah beliau botol mineral, bukan manusia? Apakah beliau menjadi Ketua Menteri yang tidak sah?" soalnya lagi.

NGO mahasiswa gesa kolej tarik balik pecat pelajar

Salmiyah Harun, 07 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar (Dema) menyeru Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics menarik balik keputusan memberhentikan pelajarnya yang terlibat dalam insiden pada malam ambang merdeka tempoh hari.

Menurut Dema tingkah laku pelajar terbabit merupakan tindakan individu untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya malah tindakan itu bukan kes jenayah atau apa-apa kesalahan akademik.

"Walaupun tindakan ini kurang sopan, ia hanya melibatkan tatatertib inidividu dan tidak begitu serius sehingga dibuang kolej. Pihak kolej boleh tidak setuju terhadap perlakuan pelajar, tetapi tidak boleh menghalang pengajiannya. Tindakan kolej telah menafikan hak pengetahuan pelajar," katanya dalam satu kenyataan.

Malah tegas Dema insiden tersebut berlaku di luar kolej dan bukan di kawasan kolej tetapi pelajar terbabit telah dianggap bersalah dan diambil tindakan oleh pihak kolej sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Tambahnya, pengurusan kolej telah menghina mahkamah apabila mendahului mahkamah dalam membuat keputusan.

"Jadi, siapa yang melanggar undang-undang ? Kalau kes jenayah pun, biar mahkamah dan polis memutuskan kesalahannya dulu, kolej tiada kuasa menjalankan hukuman bagi kes jenayah.

"Kami juga meragui keputusan kolej tersebut di mana Pengerusinya Dr Alimuddin Mohd Dom iaitu bekas pegarah Kementerian Pendidikan . Kami berharap keputusan ini tidak dibuat oleh mereka untuk tujuan menghantui pemikiran pelajar," katanya.

Bagi Dema, selaku Pengurus Kolej mereka perlu memikirkan motif perbuatan tersebut serta memahami sebab-sebab pelajar tidak menghormati pemimpin dan bukan membuang kolej kerana cara ini tidak dapat menyelesaikan masalah.

Jika ingin melahirkan modal insan yang berilmu dan bertatasusila , pihak Kolej perlu menerima pandangan dengan sikap terbuka, kata Dema.

Pelajar terbabit adalah antara 11 individu yang dikenal pasti polis dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri dan isteri serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, pada malam 30 Ogos lepas.

Presiden akan bersama Rumah Terbuka PAS Johor

Harakahdaily, 07 Sep 2012
JOHOR BHARU: Presiden PAS dijangka akan menyertai Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Johor  pada 8 September 2012 (Sabtu) di No. 5, Jalan Pulai 20, Taman Pulai Utama, 81300 Skudai Johor (belakang Jusco Taman Universiti).

Program akan berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Selain Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden Pas), Salahudin Ayub (Naib Presiden Pas),  Dr. Boo Cheng Hau (Pengerusi DAP Johor), Datuk Dr. Chua Jung Meng (Pengerusi PKR Johor), Datuk Dr. Mahfudz Muhammad (PJ Pas Johor) dan Datuk Tamrin Ghaffar dijangka menyertainya.

Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Haji Dzulkefly Ahmad yang turut menjemput semua semua rakyat Johor menyertainya.

Ucapan pemimpin akan bermula jam 10.30 pagi dan majlis akan diserikan lagi dengan persembahan nasyid 'unpluged' dan kehadiran 44 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Ar-Rayyan dari Taman Seri Amar, Johor Bahru.

Simpati nasib peneroka FELDA

Abu Musa, Pahang,
Pengakuan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang diagihkan kepada peneroka semasa penyenaraian dulu, adalah hutang dan bukannya ‘durian runtuh’ amat dikesali.

Walaupun saya bukan peneroka tetapi abang dan kakak serta ramai saudara mara merupakan peneroka FELDA. Buat kesekian kalinya, para peneroka ditindas, ditipu dan dipermain-mainkan. Mentang-mentanglah sebahagian besar peneroka berasal daripada kehidupan yang susah dan tidak berpendidikan, maka mereka sewenang-wenangnya dipergunakan.

Ketika tahun-tahun 80-an – 90-an, saya biasa mendengar akan kedhaifan hidup para peneroka. Hasil pendapatan daripada ladang mereka dipotong oleh pihak pengurusan sehingga kadangkala bakinya tidak mampu menanggung keperluan harian. Ada yang terpaksa bekerja tambahan di kilang-kilang berhampiran demi menambah pendapatan.

Alasan kepada pemotongan berbagai-bagai, termasuklah membayar balik segala kos yang dikeluarkan oleh FELDA semasa mewujudkan kawasan atau ladang tersebut. Selepas lebih 20 tahun berhempas pulas melalui segala macam kesusahan, karenah dan perubahan landskap politik, kehidupan warga FELDA semakin baik dan mendapat perhatian. Namun, mentaliti kebanyakan warga FELDA masih dikawal oleh Umno-BN.

Namun, insiden FGVH sewajarnya membuka mata warga FELDA terutamanya generasi lama yang masih lagi berfikiran seperti katak di bawah tempurung. Ibarat ‘menang sorak kampung tergadai’, durian runtuh yang diperoleh sebenarnya hutang yang paksakan ke atas mereka oleh Umno-BN. Sementara tanah mereka kini bukan lagi milik mutlak selama 99 tahun selepas penyenaraian di bursa saham.

Apalagi yang boleh saya katakan selain bersimpati kepada mereka. Cuma, saya menyeru kepada warga mudanya yang ada kesedaran dan berpendidikan, gunakanlah segala usaha yang ada demi menyedarkan warga FELDA keseluruhannya supaya meninggalkan Umno-BN demi meyelamatkan tanah air sendiri. Hakikatnya, Umno-BN lah yang mengkhianati bangsanya sendiri.

Pijak gambar lebih bahaya dari serang pemimpin

Harakahdaily, 07 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mempertikaikan sikap pihak tertentu yang menganggap tindakan memijak gambar pemimpin lebih bahaya berbanding dengan tindakan menyerang pemimpin parti pembangkang.


(Model sambilan yang memijak gambar Najib dilayan macam penjenayah besar)

Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Dr Raja Ahmad Al Hiss dalam kenyataannya membidas kenyataan  Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh yang menafikan pasukan keselamatan pilih kasih dengan bertindak terhadap pelajar yang memijak gambar Perdana Menteri tetapi membiarkan insiden sama terhadap pemimpin pembangkang.

DPPM sebaliknya tetap menganggap pihak polis sebenarnya mengamalkan dwi standard dalam memastikan keselamatan negara.

Katanya, insiden memijak gambar sebenarnya bukan hanya berlaku ke atas PM, malah pemimpin pembangkang juga dilakukan sebelum ini.

"Malah ada gambar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dikencing suatu ketika dahulu. Apa tindakan polis ketika kejadian tersebut?" soal Raja Ahmad (gambar).

Beliau juga bertanya, jika pihak polis hanya bertindak setelah mendapat laporan orang ramai, bagaimana pula dengan siri laporan polis yang dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap penyelewengan, penipuan,  rasuah, kezaliman, serta kenyataan-kenyataan yang berunsur menghasut, memfitnah, mengugut, biadap dan lain-lain lagi yang dilakukan oleh pemimpin BN?

"Apakah pihak polis telah bertindak dengan cepat dan agresif sebagaimana mereka bertindak ke atas laporan insiden memijak gambar PM?" soalnya.

DPPM juga mempersoalkan, jika insiden pijak gambar PM dijadikan suatu kesalahan serius, bagaimana pula dengan insiden menyerang pemimpin Pakatan Rakyat di sebuah masjid di Alor Setar beberapa hari lalu?

"Apakah menyerang individu dengan niat untuk mencederakan dalam insititusi mulia seperti masjid tidak dianggap serius?" soalnya.

Beliau bertanya, adakah setangkas itu pihak polis bertindak menangkap penyerang yang bertindak menyimbah cat ke rumah pemimpin PAS seperti Mazlan Aliman, membaling Molotov Cocktail ke rumah Haji Mohamad Sabu serta cubaan membakar rumah Haji Dzulkifli Ahmad di Johor?

Jika demikian keadaannya, katanya, DPPM menyeru pimpinan Pakatan Rakyat Kedah atau orang ramai untuk membuat laporan polis insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang di Alor Setar, Kedah.

DPPM juga menyeru orang ramai untuk tampil membuat laporan terhadap insiden gambar pemimpin Pakatan Rakyat dipijak serta insiden gambar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dihina dan dikencing oleh individu tertentu, katanya.

DPPM, kata beliau, mahu rakyat menjadi saksi  dengan melihat sejauh mana telus dan tidak pilih kasihnya pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap kesemua insiden tersebut.

Pihak media pula, tambah beliau, dijadikan sandaran sejauh mana liputan adil yang diberikan terhadap insiden menghina pemimpin PR sama seperti memijak gambar PM.

Iktiraf Palestin sebagai negara di PBB - Morsi

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 07 Sep 2012
KAHERAH: Presiden Mesir, Mohamed Morsi, berkata Mesir akan menyokong sebarang inisiatif untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Mesir akan terus menyokong sebarang langkah yang diputuskan oleh pemimpin Palestin untuk mendapatkan keahlian penuh dalam PBB," ujar Morsi dalam ucapan pembukaan Liga Arab .

Cubaan terdahulu Palestin untuk memperbaiki status rasmi mereka di PBB – ‘entiti’ pemerhati PBB tanpa hak mengundi - telah gagal. Cubaan itu gagal di tengah-tengah sekatan kewangan dan lobi diplomatik dari Israel dan Amerika Syarikat.

Menteri Luar Palestin berkata mereka akan meminta supaya Palestin dinaik ke taraf negara pemerhati bukan anggota di Perhimpunan Agung PBB hujung bulan ini. Usaha itu adalah langkah peringkat pertama ke arah pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara.

Undi majoriti mudah dalam Perhimpunan Agung yang melibatkan 193 ahli sudah cukup untuk memberi status negara pemerhati bukan anggota kepada Palestin, tanpa melalui Majlis Keselamatan - di mana Amerika Syarikat, sekutu Israel, mempunyai kuasa veto.

Keahlian penuh PBB bagaimanapun, memerlukan kelulusan oleh Majlis Keselamatan -  dan Washington.

Morsi juga menyeru kepada perdamaian antara puak Palestin yang berpecah antara pergerakan Fatah yang diketuai Abbas di Ramallah dan kumpulan Hamas, yang menguasai Gaza.

Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby berkata Rabu lalu bahawa Liga Arab menyokong  usaha Abbas untuk mendapatkan status pemerhati negara bukan anggota dan menambah bahawa ia akan terus mendesak PBB untuk status keahlian penuh bagi Palestin.

Israel telah merampas bahagian timur Baitul Maqdis sebagai ibu negara mereka - satu langkah yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa - dan berkata ia akan merampas penempatan di Tebing Barat melalui mana-mana perjanjian damai. Israel secara unilateral berundur dari Gaza pada tahun 2005.

Rakyat Palestin mengatakan penempatan Israel di Tebing Barat telah memberi halangan kepada prospek perjanjian dua negara. Percanggahan pendapat mengenai isu tersebut  menyebabkan rundingan tergendala pada tahun 2010.

Israel menuduh kerajaan Abbas mengelak dari membuat rundingan yang akan melibatkan kompromi wilayah dan telah meminta Abbas untuk kembali mentadbir Gaza, wilayah yang terlepas ke tangan Hamas pada tahun 2007.

Penduduk Cina resah replika keris di tiang lampu

Khairil Abdul Rahim, 07 Sep 2012
TEMERLOH: Penduduk berbangsa Cina di Mentakab dekat sini, merasa resah dan tersinggung dengan tindakan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang meletakkan replika keris di tiang-tiang lampu sepanjang jalan utama dan kawasan perumahan di bandar ini sejak dua bulan lalu.


Bagi mereka, pihak berkuasa tempatan yang mempunyai ahli majlis daripada pelbagai kaum sepatutnya boleh menilai sama ada sesuatu yang hendak dilakukan sensitif kepada sesuatu kaum ataupun sebaliknya bagi menjayakan semangat satu Malaysia.

(Gambar: Replika keris yang digantung sepanjang jalan di Mentakab, menakutkan penduduk Cina.)

Seorang penduduk Tan Siew Leong, 35, ketika ditemui berkata benda yang tajam dalam kepercayaan orang Cina atau Feng Shui, adalah tidak baik apa lagi dihalakan tepat ke arah rumah penduduk.

“Mungkin dalam tradisi orang Melayu perkara seperti ini tidak mengapa tetapi bagi orang Cina, terutama yang sudah berusia, itu menimbulkan persepsi yang negatif, tidak baik malah sebagai ancaman.

“Malaysia ini negara pelbagai kaum sepatutnya pihak kerajaan tempatan faham budaya bangsa-bangsa yang ada di sini,” jelasnya.

Tambahnya, dalam kepercayaan orang-orang Cina benda tajam yang terarah ke diri sendiri (atau tempat kediaman) boleh menimbulkan ketakutan kerana mempunyai bisa, mencelakakan dan akan terus mempengaruhi pada kejiwaan seseorang.

Bandar Mentakab mempunyai kira-kira 70 peratus penghuni berbangsa Cina yang tinggal di taman-taman perumahan. Wakil rakyat kawasan berkenaan ialah dari MCA dan BN.

Seorang penduduk dari Taman Mentakab, Chong Ting Mei, 73, mengakui beliau bersama 40 keluarga di situ merasa amat tidak selesa apabila sesuatu benda tajam dihalakan ke rumah atau kepada mereka kerana membawa maksud tidak baik.

Menurutnya, penduduk telah membuat aduan kepada pemimpin tempatan dan MPT, malangnya masih tiada respons daripada pihak berkenaan.

“Perkara ini sangat sensitif kepada kami yang berketurunan Cina. Tujuan diletakkan replika keris pada tiang lampu jalan itu masih belum terjawab.

“Jika tidak ada sebab yang penting, kami gesa supaya replika keris itu diturunkan segera,” katanya.

Sementara itu, ketua DAP Mentakab Lai Chee Ming turut mempersoalkan tujuan MPT memasang replika keris pada lampu jalan di taman perumahan berkenaan.

Katanya, pihaknya sudah mendapatkan tandatangan penghuni Cina di bandar Mentakab untuk diserahkan kepada MPT dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan memorandum bantahan kepada MPT mewakili penduduk bagi menangani isu tersebut secepat mungkin.

“Kami juga sependapat dengan penduduk supaya MPT tukar replika keris itu dengan sesuatu yang lain dan tidak tajam jika mereka berhasrat mengekalkan hiasan pada tiang lampu berkenaan.

“Yang peliknya wakil MCA (berbangsa Cina) juga ada dalam mesyuarat majlis daerah... jadi kenapa tidak dibantah perkara yang menakutkan penduduk itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) PAS Mentakab Norazmi Abdul Majid, turut mengecam tindakan menggantung keris itu.

Katanya, ada pelbagai andaian dengan menggantung keris tidak bersarung seperti lambang Umno itu seolah-olah “mengugut” penduduk.

Tambahnya jika benar, nampaknya Umno masih tidak serik-serik dengan isu keris ini di mana BN kehilangan undi Cina pada pilihan raya umum yang lalu kerana dikaitkan Ketua Pemuda parti itu mencabut dan mencium keris dalam perhinpunan agungnya.

Dua ditahan kerana kibar bendera Sang Saka Malaya

Harakahdaily, 07 Sep 2012

(Antara yang mengibarkan Sang Saka Malaya malam 31 Ogos lepas...Gambar dari singaselatan.blogspot.com)


KUALALUMPUR: Dua orang lelaki yang didakwa mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dalam perhimpunan Janji Bersih pada malam ambang merdeka minggu lalu ditahan polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Assistan Komisioner Aziz Zakaria berkata kedua-dua suspek 24 tahun itu ditahan pada jam 2.35 petang di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Kedua-dua lelaki yang ditahan disiasat bawah Seksyen 9(1)(a) Akta Hasutan, tambah Aziz lagi.

“Kedua-dua suspek kini masih disiasat untuk tindakan susulan selepas mengibarkan bendera Sang Saka Malaya.

“Berkemungkinan akan dibebaskan malam ini dengan jaminan polis. Kedua-dua mereka hadir bersama peguam,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mengaku


Sebelum ini, satu blog http://singaselatan.blogspot.com mengaku mengibarkan Sang Saka Malaya di malam ambang Merdeka.

"Saya dan saudara Zairi shafai adalah individu yang bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dimalam sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka," tulis blog itu.

Namun, katanya, "Kami tidak mewakili mana-mana parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang, kami mewakili golongan Anak Muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab."

Mereka juga mengaku tidak berniat untuk menukar Jalur Gemilang kepada bendera itu apabila berkata, "jauh sekali bermotif untuk menukar jalur gemilang kepada sang saka Malaya, kerana sang saka Malaya yang ditukarkan kepada jalur gemilang hari ini."

Blog itu menafikan mereka ada mengedarkan satu risalah yang mendesak agar Jalur Gemilang digantikan dengan Sang Saka Malaya. (gambar)

Dalam posting terbaru itu, mereka menulis, "Kami anak muda yang bertanggungjawab mengibarkan Sang Saka Malaya agak terpinga-pinga bila dan siapa gerangan yang mengedarkan risalah ini.

"Kami tidak berniat untuk menyeru kerajaan untuk menukar Jalur Gemilang kepada sang saka Malaya.

"Tetapi kami berniat untuk menukar kerajaan kepada kerajaan yang lebih telus."

Lori BN disimbah cat?... simbah cat pun nak tiru ke?

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 07 Sep 2012
Berkatalah seorang pencacai UMNO bila bas ‘Merdeka Rakyat’ disimbah cat ketika bas tersebut menjelah Kelantan baru-baru ini.. katanya “ Ini adalah strategi untuk menagih simpati”

“Dengan menggunakan bas yang disimbah cat itu, Anwar berharap rakyat akan simpati kepadanya dan rakyat akan menuduh penyokong UMNO dan Barisan Nasional bertindak ganas, Anwar pakar dalam membuat persepsi dan spekulasi,”

“Itulah politik Anwar, beliau akan menggunakan apa sahaja untuk mendapat simpati, selain itu untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat kepada pemerintah terutama UMNO, strategi sebegini bukanlah perkara baru kepada Anwar, telah digunakan sejak beliau dipecat daripada kerajaan dan UMNO dahulu.

Pembangkang akan menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan simpati daripada rakyat ketika tarikh pilihan raya umum ke 13 semakin akhir kerana mereka beranggapan pilihan raya kali ini adalah peluang terbaik untuk mereka merampas Putrajaya kata pencacai itu lagi..

Siapa pencacai itu? Lihatlah di ( SINI )

Jika begitulah anggapan pencacai UMNO itu dan ramai lagi rasanya terhadap insiden tersebut (videonya sila lihat di SINI ) maka bolehlah kita katakan pula bahawa kejadian di bawah ialah “strategi untuk menagih simpati” rakyat oleh BN Pulau Pinang…


Laporan dari pencacai UMNO tentang insiden ini...Kenderaan Barisan Nasional Pulau Pinang telah disimbah dengan cat merah,Kejadian berlaku dihadapan Taman Manggis.Kejadian ini disedari oleh pemandu lori tersebut pada pagi ini.

Kebetulan  pagi ini Pemuda BN menjemput Lim Guan Eng untuk berdebat dihadapan Taman Manggis mengenai tanah yang yang telah dijual oleh kerajaan negeri.Akan tetapi Ketua Menteri tidak muncul sehingga waktu yang ditetapkan.

Cubaan untuk menagih simpati rakyat Pulau Pinang.
Dah Parking tu.. bayarlaa...
Ada juga pencacai yang melaporkan.. "Lori Pemuda BN Pulau Pinang menjadi mangsa pihak yang dipercayai penyokong kuat pakatan rakyat dengan membalas dendam menyimbah dengan cat merah."

Kejadian itu disedari oleh pemandu lori tersebut pagi tadi. Pemuda BN Pulau Pinang telah membuat laporan ke atas kejadian tersebut.


Tapi nampak macam meniru 'strategi menagih simpati' (pencacai UMNO kata) yang Anwar guna saja...

Macam Najib la korang ni.. semua nak tiru.. apa tak ada otak untuk diguna bagi berfikir untuk mencari idea ke?

Tiada ulasan: