Selasa, 4 September 2012

KADANG2 BALASAN TU SEGERA

Siapa cuba lagakan Muhyiddin dengan Najib ini?

Harakahdaily, 04 Sep 2012
JOHOR BHARU: Benarkah orang-orang di sekeliling Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu beliau menjadi Perdana Menteri menjelang PRU 13 ini?

(Poster yang ditemui di Johor Bahru dan dihantar kepada Harakahdaily)

Inilah yang menjadi tanda tanya apabila poster yang mengaitkan beliau dengan cita-cita itu tersebar di sekitar bandar ini.

Ia di dijumpai di banyak tempat di sekitar Johor Bharu dan ada yang tertampal di pokok-pokok di bandar ini.

Salah satu darinya diemailkan kepada Harakahdaily.

Perselisihan antara Muhyiddin dengan Datuk Seri Najib sejak akhir-akhir ini semakin ketara.

Yang terbaru, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Muhyidin memutuskan agar pihak dalam kerajaan yang mempertikaikan pindaan Akta Penerangan 114 (a) dipanggil memberikan keterangan.

Walaupun tidak menyebut nama Perdana Menteri tetapi fakta bahawa beliau turut meminta agar akta itu dikaji semula menarik perhatian banyak pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Twitter berkata beliau telah meminta Kabinet membincangkan kontroversi terhadap pindaan Akta Keterangan 1950 berikutan bantahan 'Hari Tanpa Internet' pada Selasa.

"Apa yang kita lakukan kita harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang pertama," katanya dalam satu mesej Twitter.

Malaysiakini melaporkan, sekurang-kurangnya tiga pemimpin BN dalam kerajaan dipanggil memberikan keterangan ekoran kenyataan mereka yang turut mempertikaikan akta itu.

Mereka termasuk Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Walaupun nama Najib tidak disebut, tindakan ke atas mereka secara tidak langsung mempertikaikan kenyataan Najib yang turut meminta agar ianya dikaji.

"Sekurang-kurangnya, Kabinet yang dipengerusi Muhyidin tidak bersetuju dengan pandangan Najib," kata seorang pengulas politik.

Sementara itu, seorang rakan media memberitahu, perselisihan antara Muhyidin dengan Najib sudah diketahui oleh kebanyakan wartawan termasuk di kumpulan NST.

"Ia sudah menjadi rahsia umum," kata seorang wartawan kanan kepada Harakahdaily.

Ini bukan kerja kami kata UMNO Johor

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 04 Sep 2012

Sebagaimana yang dijangkakan, UMNO Johor menafikan bahawa poster yang disebarkan di Johor dan juga di Pulau Pinang seperti di atas adalah kerja mereka...

Poster yang di sebarkan di Pulau Pinang sila lihat di ( SINI )..

Poster misteri menyokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13), telah diedarkan di Johor.

Bagaimanapun, Umno Johor menafikan bahawa poster itu dicetak oleh parti tersebut dan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Imej pada poster itu, bersama dengan potret Muhyiddin dan bendera Malaysia, telah disebarkan secara meluas di Internet.

Poster itu berbunyi 'Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM sebelum PRU 13'di bahagian bawah dan 'Selamatkan Barisan Nasional' di atas.

Ia juga memaparkan logo BN dan Umno, serta tulisan 'Terbitan Barisan Nasional Negeri Johor'.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Tan berkata, mereka mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada para pengunjung, sambil mengedarkan poster tersebut.

Tan, seorang peniaga telefon bimbit, berkata, pemuda berkenaan memakai pakaian biasa dan tidak nampak seperti ada kaitan dengan mana-mana parti politik.

Semalam, Pemuda Umno Johor membuat laporan polis berhubung penyebaran poster tersebut di Johor Baru dan Kulaijaya, dengan mendakwa ia perbuatan untuk mencetuskan perselisihan antara pemimpin negara menjelang pilihan raya umum - Malaysiakini

Kalau tak silap aku.. dulu masa nak turunkan Pak Lah cara macam inilah yang digunakan.. semasa Tun Razak nak gulingkan Tengku pun sama juga taktiknya.. tak ada taktik lain dah ke UMNO ni..

Melayu ni beli nombor ekor pakai baju parti XXXXXX

http://wasukalu.blogspot.com, 04 Sep 2012
Kalau tengok pada kulit ketiga-tiga individu dalam gambar ni memang lengkap ciri-ciri melayunya.
Tak tahulah pula kalau mereka ini orang seberang atau dari Sabah dan Sarawak.
Tapi yang pasti mereka bukan orang PAS.
Orang PAS takkan pakai baju umno bro, geli siap gatal kulit lagiiii.
Kahkahkah!

Hanya Malaysia rahsiakan tarikh piliharaya

Rossem, 04 Sep 2012
KOTA BHARU: “Tidak ada kerajaan di dunia ini yang merahsiakan tarikh pilihan raya kecuali Malaysia,” kata Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sedangkan negara lain termasuk Indonesia telah menetapkan pilihan raya (Pemilu) pada 9 April 2014 selepas mengadakan pemilihan presiden dan wakil rakyat pada  9 April 2009.

“Begitu juga pilihan raya Filipina akan diadakan pada  13 Mei 2013. Rakyat sudah tahu. Singapura juga begitu, pilihan raya republik itu akan diadakan pada 2016.

“Negara lain termasuk Iran, Qatar, bahkan negara Afrika seperti Kenya tidak merahsiakan tarikh pilihan raya,” katanya pada ceramah perdana dan solat hajat di Padang Perdana malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan YDP PAS Kota Bharu sebaliknya berkata, kerajaan Malaysia yang diterajui Umno dan BN takut hendak mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal seperti negara-negara lain.

Kata beliau keadaan itu berlaku kerana Dato’ Seri Najib Razak tidak yakin BN mampu mempertahankan kerajaan seperti yang ada sekarang.

“Kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 semakin hampir.  Putrajaya bakal beralih tangan.

“Dan apabila perubahan ditakdirkan berlaku bendera Jalur Gemilang yang ada sekarang itulah kita akan kibarkan dan bukan bendera lain.  Tidak ada Sang Sangka Merah, yang ada hanya Jalur Gemilang,” katanya.

Membanteras budaya politik ganas dan samseng

Dr Muhammad Nur Manuty, 04 Sep 2012
Sesungguhnya, KEADILAN merasa kesal atas provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan yang mendakwa pendesak Melayu Perkasa di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar pada 2 September 2012 yang lalu.
Tindakan agresif dan ganas mereka - mengugut, menjerit, memadamkan lampu, membaling kasut dan cuba melempar batu – semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sedang menyampaikan tazkirah ringkas adalah di luar batas susila bangsa Melayu dan Islam. Apatah lagi ia dilakukan dengan keizinan pihak imam dan pengurusan masjid berkenaan.

Kumpulan provokator tersebut hanyalah kelompok minoriti dan serpihan kecil. Ini terbukti apabila puluhan ribu rakyat Kedah hadir mendengar ceramah DSAI di perkarangan Stadium Darul Aman selepas peristiwa tersebut.

Adalah jelas, provokasi yang dilakukan merupakan rentetan dari siri politik ganas dan samseng yang dilakukan oleh UMNO dan para pendokongnya, sebagai manifestasi dari tekanan dan kekecewaan yang dialami apabila menyedari bahawa ia telah gagal menyekat sokongan berterusan rakyat kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU13 akan datang.

Kita sedia maklum, bahawa UMNO/BN pernah secara angkuh memandang remeh dan hina akan kebangkitan rakyat selama ini khususnya sejak 1998 lagi.  Malah UMNO/BN begitu yakin dan selesa bahawa reformasi rakyat ini, telah pun padam selepas berjaya memfitnah dan memenjarakan pemimpin reformasi ini DSAI.

Keputusan PRU 12 yang lalu, memang benar-benar mengejutkan Umno. Lantaran begitut ertekan dan terdesak, mereka hilang kerasionalan dan kematangan politik, sehinggakan pemimpin tertingginya pernah melafazkan ikrar akan mempertahankan Putrajaya ‘at all cost’.   Demi mencapai matlamat ini, Perkasa hanyalah salah satu instrumen yang digunakan.

Sesungguhnya, KEADILAN ingin menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Perkasa dan para pendokong Umno ini, adalah amat merbahaya kepada kesejahteraan dan kebebasan rakyat.  Jika tidak ditampan, gejala ini pasti akan mengancam keselamatan negara seluruhnya.  Amalan ini amat bertentangan dengan nilai dan akhlak bangsa Melayu dan Islam. Malah, ia merupakan serpihan dari budaya jahiliyah dan liar yang dilakukan oleh para penentang keadilan, kebenaran dan kebebasan sejak zaman berzaman.  Nabi Muhammad SAW  pun pernah dibaling batu dan kayu semasa menjalankan tugas dakwah dan tarbiyahnya kepada penduduk Makkah pada zaman baginda.

Hakikatnya, perbezaan pandangan dan pendirian politik adalah suatu yang fitrah. Malah perbezaan pandangan itu merupakan suatu rahmat. Inilah kenyataan yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, kita menyeru agar semua aktivis politik tanah air terutama para pendokong UMNO dan BN agar bersama meneruskan perjuangan kita membela rakyat ini secara  sihat, matang dan bertamadun.

KEADILAN berpandangan bahawa langkah terbaik dalam meleraikan kecelaruan politik semasa adalah melalui debat dan perbahasan umum yang teratur dan terancang. Justeru, cadangan diadakan perdebatan di antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib sendiri – hendaklah diteruskan. Dengan cara ini, rakyat dapat dididik dengan budaya politik beraras tinggi, intelektual dan bertamadun.  Namun demikian, kita merasa amat kecewa DS Najib sendiri secara bersungguh-sungguh ingin mengelakkan ia berlaku atas alasan yang begitu dangkal dan remeh.

KEADILAN juga menyeru agar  pihak berkuasa keselamatan negara turut memberikan sokongan dalam menjayakan hasrat murni mengukuhkan amalam budaya politik aras tinggi.  Maka itu, kita menuntut agar pihak keselamatan segera bertindak secara tegas dan drastik demi membanteras budaya politik ganas dan samseng yang sedang berleluasa.

Sesungguh,  kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu prinsip utama Rukun Negara.  Justeru, KEADILAN ingin mengulangi dengan tegas bahawa kami akan tetap mempertahankan budaya politik sihat, aman, berbudaya tinggi dan bertamaddun dalam meneruskan misi perjuangan kami mencapai agenda memartabatkan kedaulatan rakyat.    Kami juga menyeru, agar seluruh penyokong KEADILAN dan Pakatan Rakyat bersama-sama mempertahankan dasar dan amalanyang murni.

Bersamalah kita mendoakan hasrat mulia menegakkan keadilan, kebebasan dan keamanan untuk seluruh tercapai dengan izin Allah, menuruti apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW yang bersabda:  “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin”.

Penulis ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat.

Nyawa, maruah pemimpin Pakatan juga bernilai

Idris Ahmad, 04 Sep 2012
Pemimpin Umno membuat fitnah kepada Pakatan Rakyat kononnya akan menukar bendera apabila memerintah nanti.
Bulan Syawal masih ada, puasa Ramadan tidak memberi apa-apa kesan ke dalam diri mereka. Semuanya matlamat menghalalkan cara.

Walaupun pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan tidak pernah ada perbincangan langsung untuk menukar bendera, cuma yang ada hanya untuk menukar kerajaan.

Apabila dicabar di mana, minit mesyuarat mana semuanya tidak disambut sebaliknya media mereka meneruskan pesta fitnah untuk memastikan rakyat takut kepada Pakatan Rakyat.

Tahniah kepada pihak polis yang terus menubuh pasukan penyiasat untuk menyiasat isu bendera dan pijak gambar Datuk Seri Najib pada malam Himpunan Janji Demokrasi 30 Ogos 2012.

Cuma rakyat tertanya-tanya apa pula tindakan terhadap keganasan yang dilakukan oleh penyokong Umno kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Apakah nyawa dan maruah pemimpin Pakatan Rakyat tidak ada nilai? Apakah pemimpin Pakatan Rakyat tidak berhak untuk bergerak bebas di dalam negara ini? Apakah parti PAS, DAP dan PKR parti haram?

Mereka yang membuat ganggu terus bermaharajalela. Di manakah keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang?

Mana tindakan tegas terhadap keganasan demonstrasi kepala lembu di Shah Alam pada 28 Ogos 2009. Ini demonstrasi penghinaan pada agama. Nasib baik provokasi ini tidak disambut, kerana kebijaksanaan pimpinan Pakatan Rakyat mengawal keadaan.

Apa khabar mengenai  serangan kepada Haji Mohamad Sabu yang berceramah di Seremban pada 24 September 2011 sehingga ada yang cedera. Begitu juga gelagat samseng yang mengganggu ceramah Pakatan Rakyat di Lembah Pantai pada 25 Mei 2012 sehingga ada yang cedera.

Mana tindakan terhadap mereka yang menyerang Nazir Masjid al-Solihin Teras Jernang, Bangi ketika pemilihan Jawatankuasa Masjid  10 April 2012.

Begitu juga beberapa serangan terhadap YAB Lim Guan Eng di Pulau Pinang, penghinaan dengan membawa kek najis kepada Lim Guan Eng.  Apa tindakan terhadap mereka yang memijak gambar beliau? Beliau menjadi Ketua Menteri dipilih mandat oleh rakyat. Kenapa layanan begitu rupa terhadap beliau?

Bas Jelajah Merdeka anjuran PKR diserang dan disimbah cat merah di Kota Baharu pada 1 September 2012.

Terbaru peristiwa baling kasut dan mengganggu tazkirah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 2012 di  Masjid Pumpung Alor Setar. Semuanya rakyat memerhati dan berfikir, adakah pemimpin Umno kebal dan bebal.

3 juta menganggur di Perancis, tertinggi dalam 13 tahun

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 04 Sep 2012


(Dengan banyak kes pemberhentian kerja baru-baru ini dalam sektor pembuatan, pencari kerja menghadapi waktu yang sukar mencari kerja - Gallo / Getty)



PARIS: Jumlah penganggur di Perancis telah melepasi angka tiga juta untuk kali pertama sejak tahun 1999, pemimpin negara tersebut berkata.

Angka terbaru tersebut menambah tekanan baru ke atas Presiden Francois Hollande, yang kerajaan pimpinannya mendapat kritikan hebat kerana usaha yang tidak mencukupi untuk membaiki keadaan ekonomi negara selepas empat bulan berkuasa.

Kadar pengangguran di Perancis kini adalah 10 peratus.

Angka tersebut mengandungi kepentingan yang lebih simbolik daripada kepentingan ekonomi.

Berita berkenaan hal ini mendapat liputan meluas media Perancis hujung minggu lalu.

Kementerian Pekerjaan berkata nilai ambang tiga juta itu pernah dicecah pada tahun 1996 dan 1999.

Michel Sapin, Menteri Pekerjaan Perancis, mengesahkan jumlah tersebut di radio Perancis Ahad lalu dan memberi amaran bahawa jumlah tersebut mungkin akan menjadi lebih buruk.

Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault menggelarkan jumlah tersebut sebagai "sangat bahaya”.

Kerajaan mengumumkan minggu lepas bahawa jumlah pengangguran bagi bulan Julai adalah 2.9 juta, jadi nilai ambang 3 juta sudah dijangkakan akan dicapai pada bulan Ogos.


Jaminan 'berisiko'



Ketika Hollande bergelut dengan peningkatan kadar pengangguran dan kelembapan ekonomi, beliau mengambil satu langkah politik yang berisiko hujung minggu lalu dengan menawarkan talian hayat untuk menyelamatkan pemberi pinjaman gadai janji yang kecil dan bermasalah.

Kerajaan Perancis telah berjanji untuk menjamin hutang bank Credit Immobilier de France, mengakhiri pencarian pembeli bank tersebut yang tidak membuahkan hasil selepas penurunan taraf kredit yang memaksa ia untuk dibiayai.

Tidak seperti bank Perancis-Belgium, Dexia, yang juga diselamatkan dengan jaminan ekoran krisis hutang zon Euro, CIF adalah menguntungkan dan boleh dibubarkan secara beransur-ansur tanpa memerlukan suntikan wang pembayar cukai, pengurus-pengurus bank berkata sedemikian Isnin lalu.

Risiko jaminan itu, bagaimanapun, memberi gambaran kepada pengundi bahawa presiden aliran sosialis itu berlembut dengan sektor kewangan selepas beliau berjanji semasa kempen pilihan raya untuk melumpuhkan industri yang dilihat mengambil risiko dan bonus mewah secara berlebihan.

Suratkhabar harian Le Monde menyorotkan ironi tersebut dengan lukisan kartun yang menunjukkan Hollande menyelamatkan CIF yang dalam keadaan lemas sambil mulut terkumat-kamit membaca mantera kempen beliau yang berbunyi "musuh saya adalah dunia kewangan ... tetapi saya tidak suka melihat orang menderita".

Dengan pasaran gadai janji sebanyak 3.5 peratus dan aset sebanyak $41.60billion, penganalisis berkata masalah CIF mudah dibendung dan khusus kepada pergantungan bank tersebut kepada pembiayaan pasaran, dan masalah bukannya pada kualiti asetnya.

Pemain pasaran kewangan berkata kadar hasil bon Perancis tidak mungkin mendapat lebih tekanan disebabkan jaminan hutang tersebut, yang meliputi €20 billion hutang CIF.

Walau bagaimanapun, risiko sebenar terletak pada reaksi orang awam terhadap Hollande kerana kesannya ke atas pekerjaan.

"Pasaran akan bersikap lebih memahami berbanding rakyat Perancis," kata seorang peniaga bon yang membuat pengkhususan dalam institusi Perancis.

Peniaga itu bagaimanapun enggan namanya disiarkan.

2,500 orang pekerja Credit Immobilier de France dan 300 cawangannya tidak mungkin mampu untuk terus wujud kerana syarat-syarat yang dilampirkan bersama jaminan negeri yang tertakluk kepada kelulusan Kesatuan Eropah, mengikut ketua bank kesatuan SNB Regis dos Santos.

"Kami sudah melihat komen daripada orang ramai yang mengatakan bahawa kerajaan menyelamatkan bank Perancis ... walaupun kerajaan tidak membelanjakan sesen pun," dos Santos berkata. "Ini akan memberi kesan kepada pendapat umum."

Beliau mempersoalkan sama ada pengawal selia dan pihak berkuasa serantau yang bertanggungjawab menjaga CIF telah meletakkan tekanan yang cukup pada Ketua Eksekutif yang akan bersara, Claude Sadoun, untuk mengubah model perniagaan yang bergantung semata-mata kepada pembiayaan pasaran dan yang telah mendapat tamparan setiap kali pasaran kredit  mendapat masalah sejak tahun 2008.

PRU13: Awas taktik kotor ‘syaitan yang dikenali’

Abdul Aziz Mustafa, 04 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Isyarat untuk mengadakan pilihan raya November ini adalah amaran kepada seluruh rakyat supaya bersedia menghadapi taktik kotor dan keganasan "syaitan yang dikenali", kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

The Star sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan November ini.

Malaysiakini pula melaporkan, Najib berminat dengan angka 11.

Bagi Mohamad, tidak kira bila sekalipun pilihan raya diadakan, apabila Perdana Menteri memberi isyarat beliau sudah bersedia, ia sekaligus memberi isyarat kepada rakyat bahawa rancangan penipuan sudah sedia untuk dilaksanakan.

Beliau kesal kerana tindakan sedemikian menyebabkan taraf pilihan raya negara ini begitu mundur dan memalukan kerana terpaksa menghadapi pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih.

"Kita baca laporan tentang negara orang di mana perbahasan utama rakyat menjelang pilihan raya ialah mengenai rancangan dan tawaran penyelesaian pihak-pihak yang bertanding mengenai soal ekonomi, percukaian, pendidikan, dasar berkaitan imigresen, dasar luar dan dasar serantau umpamanya.

"Malangnya, isu utama yang terpaksa kita hadapi di negara kita ialah pilihan raya yang tidak adil, tidak bersih dan penuh dengan pelbagai penipuan akibat kerakusan 'syaitan yang dikenali' untuk terus berkuasa," katanya.

Frasa "syaitan yang dikenali itu" dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan, "...kamilah syaitan yang dikenali rakyat" manakala pembangkang pula disifatkannya sebagai "malaikat yang rakyat tidak kenal".

Mohamad seterusnya berkata, pilihan raya di negara ini bukan sahaja terbelenggu dengan soal menghadapi penipuan dan taktik kotor Umno BN malah memaksa rakyat bersedia menghadapi keganasan "syaitan yang dikenali" itu.

"Sepatutnya pilihan raya dijadikan pesta demokrasi oleh rakyat di mana mereka berpeluang menentukan masa hadapan negara mereka dengan ceria, bebas dan tanpa rasa takut.

"Tetapi dengan peningkatan keganasan 'syaitan yang dikenali' sehingga ke peringkat menyerang dan membaling kasut ke dalam masjid, ia memberi isyarat yang jelas bahawa mereka mahu menjadi pilihan raya sebagai medah untuk mereka melakukan keganasan.

"Rakyat bukan sahaja terpaksa bersedia menghadapi penipuan dan taktik kotor, malah terpaksa menghadapi keghairahan 'syaitan yang dikenali' untuk mengganas," kata beliau yang pernah menghadapi percubaan untuk membakar rumahnya beberapa bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PR telah bersedia sejak tahun 2011 lagi, dan kini persediaan mereka sudah mencapai 100 peratus.

"Ya, Pakatan bersetuju tanda-tanda menunjukkan pilihan raya paling awal bulan November, atau jika tidak akan diadakan tahun depan.

"Ia tidak bermakna jika BN mengadakan pilihan raya pada November, mereka akan menang besar kerana sejarah telah membuktikan sebaliknya," katanya.

Cyanide: Biru bertukar hijau di Raub

Zulkefly Mohamad Omar, 04 Sep 2012


(Lautan manusia yang menukarkan warna biru Raub kepada hijau)

Lautan manusia membanjiri Bandar Raub semalam sehingga warna  ‘biru’  kesukaan Ahli Parlimennya yang juga Menteri Pelancongan Datuk Sri Dr. Ng Yen Yen bertukar ‘hijau’.

Jelas Parlimen Raub bukannya kawasan selamat untuk Ng Yen Yen. Tempiasnya akan diterima Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mana kawasan Parlimen Bentong bersebelahan dengan Raub.

Kehadiran ribuan rakyat di Raub semalam dan di Kuantan beberapa bulan yang lalu merupakan petanda bahawa Pahang akan dikenali oleh pelancong sebagai sebuah negeri yang penuh bahan-bahan buangan yang bertoksid, beracun dan bahan sisa radio-aktif.

(Datang ke Raub dengan menaiki basikal)

Kegagalan Kerajaan negeri menjaga Tasik Chini yang terus dicemari dengan aktiviti perlombongan mengakibatkan kawasan yang di iktiraf oleh Unesco sebagai destinasi pelancongan telah menjadi kawasan paling teruk dicemari.

Peserta perhimpunan yang datang dari seluruh pelusok tanah air malah dilaporkan terdapat beberapa bas yang tiba sejak awal pagi lagi adalah dari Kedah dan Pulau Pinang membuktikan bahawa isu 3000 penduduk Bukit Koman termasuk anggota tentera yang hanya tinggal kurang dari 500 meter dari lokasi syarikat perlombongan itu bukanlah isu tempatan tetapi adalah isu di peringkat nasional.

Kesungguhan peserta perhimpunan terserlah apabila hampir 50 penunggang basikal berjaya tiba di bandar itu selepas berkayuh sejak awal pagi dari Kuala Lumpur.

Penggunaan bahan kimia Cyanide yang merupakan salah satu daripada bahan kimia yang paling merbahaya di dunia ini.

Ia akibatkan kemalangan jiwa serta kerosakan alam sekitar yang pernah berlaku kesan dari kebocoran bahan kimia itu.

Pengunaannya juga meluas sebagai senjata biologi ketika Perang Dunia I dan II.

Ia diharamkan dari diimport oleh Turki, Honduras, Republik Czech, Argentina, Jerman, Greece, Costa Rica, Peru, Filipina termasuk 2 wilayah di Amerika Syarikat (Montana, Colorado, Wisconsin).

Kesemua ini menunjukkan dengan jelas  kepimpinan Umno dan Barisan Nasional tidak sensitif akan potensi ancaman bahan kimia itu kepada penduduk setempat malah rakyat Malaysia kerana dilaporkan adanya pengunaan bahan kimia yang sama di negeri-negeri yang lain.

(Tuan Ibrahim berucap kepada peserta perhimpunan)

PAS mengambil pendekatan untuk membantah pengunaan bahan kimia ini bukanlah kerana ia digunakan di Bukit Koman Raub sahaja tetapi potensi penggunaan bahan kimia itu di seluruh negara khususnya oleh syarikat-syarikat perlombongan lain kerana tidak wujudnya panduan serta kawalan yang ketat buat masa ini.

Kenapa Industri Berat seperti ini berada terlalu dekat dengan kawasan penduduk? Dan kenapa pelan tindakan kecemasan atau ‘Emergency Response Plan (ERP)’ tidak dikuatkuasakan?

Isu penggunaan Cyanide ini bukannya isu kaum Cina yang cuba digambarkan oleh media pro BN tetapi ianya adalah isu rakyat berbilang kaum kerana melibatkan soal kesihatan dan keselamatan penduduk.

Tidak mustahil penggunan Cyanide bagi perlombongan emas dilain-lain tempat dalam Negara kita akan berlaku.

Maka kerana itu, seluruh rakyat Malaysia haruslah bersatu-padu menentang segala ancaman kesihatan, keselamatan serta kerosakan alam sekitar yang sedang berlaku di negara ini.

Rakyat tidak harus diperjudikan nasib mereka kerana ingin mengejar keuntungan ekonomi semata-mata.


(Penulis sedang memberi Ucapan kepada Peserta Himpunan Hijau Raub 2 September)


Selepas lebih 3 tahun Jawatankuasa Penduduk Bukit Koman merintih bantuan dari Ahli Parlimen mereka termasuklah Ahli Parlimen Bentong yang hanya berjiran dengan mereka iaitu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Namun masih tiada jalan keluar yang dilihat dari kemelut ini menjadi bukti jelas omongan 1Malaysia yang dilaungkan serta jajaan Program Transformasi mereka hanyalah kosmetik politik murahan untuk mengaburi mata rakyat di negara ini agar terus tertipu.

Mungkin sudah tiba masanya, Tiong Lai serta Ng Yen Yen cabut lari menyelamatkan diri sebelum ditelan gelombang kemarahan penduduk setempat di situ.


“HIJAUKAN BUMI MALAYSIA
-----------------------------------------------------------------------------------------
Zulkefly Mohamad Omar adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS dan Pengerusi NGO Green Clean World (GCW)

Tiada ulasan: