Rabu, 5 September 2012

JANGAN BODOHKAN ORANGLAH@RAKYATLAH

Himpunan Janji Bersih: Polis panggil Samad Said
Raziatul Hanum A Rajak
5 September 2012
A Samad Said
Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A Samad Said
SHAH ALAM - Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said hari ini menerima notis daripada polis agar membantu siasatan berhubung Himpunan Janji Demokrasi pada malam Ambang Merdeka, 30 Ogos lalu, yang dicemari dengan insiden memijak gambar pemimpin negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkembangan itu diperoleh menerusi laman mikro Twitter petang ini.

Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar antara lain berkata, “Pak Samad telah terima surat panggilan dari polis untuk datang ke balai polis kerana baca puisi malam ambang merdeka.”

Mesej itu mendapat respons daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menulis: “Merdeka Rakyat.”

Ahli Jawatankuasa Gabungan Janji, Hishamuddin Rais ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Sepatutnya (Pengerusi Bersama Bersih 2.0), Pak Samad perlu hadir ke IPD Dang Wangi jam 6 petang ini tetapi beliau sudah ada acara lain yang sudah dijadualkan lebih awal.

“Jadi, setelah kami (Gabungan Janji) berbincang, esok kira-kira jam 2 atau 3 petang, kami akan menghantar Pak Samad ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi," katanya.

Tambahnya, keputusan sama ada Pak Samad diiringi peguam atau tidak belum ditentukan lagi.

Menurut kenyataan Pak Samad yang dipetik dari Keadilandaily, beliau bersedia untuk hadir ke IPD Dang Wangi.

“Mereka mahu saya datang ke IPD Dang Wangi pada jam 6 petang ini, tetapi saya menolak kerana ada acara lain. Lagipun, masa itu terlalu singkat.

“Namun, saya bersetuju untuk hadir selepas anggota Gabungan Janji berunding agar masa itu dianjak kepada 3 petang esok,” katanya.

Ketua Polis ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menyiasat sama ada Sasterawan Negara telah melanggar undang-undang dengan membaca sajak dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Khamis lalu, Gabungan Janji yang mewakili 47 badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini mengadakan Himpunan Janji Demokrasi di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setelah dilarang melakukan sebarang aktiviti di lokasi awal perancangan mereka, Dataran Merdeka.

Pada malam itu, Pak Samad membaca puisi bertajuk “Janji Demokrasi” di hadapan kira-kira 10,000 penyokong.

Meskipun himpunan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, namun himpunan tersebut tetap berlangsung.
Status Nasha: Kami tentukan bukan orang lain, kata Pas
NURUL AINI MOHAMED ALI
5 September 2012
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Pas menegaskan tiada pihak atau individu yang boleh campur tangan mempengaruhi keputusan Majlis Syura melibatkan nasib bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa.

Sehubungan itu kata Pas, sebarang khabar angin berkenaan penglibatan pihak luar atau individu dari parti lain adalah fitnah.

Majlis Syura Pas akan mula bersidang 9 September ini.

Naib Presiden, Salahuddin Ayub berkata, khabar angin yang mengatakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan campur tangan dalam keputusan Majlis Syura melibatkan nasib Nasharudin merupakan fitnah yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim dalam petikan sebuah akhbar percaya Ahli Parlimen Bachok itu bakal menerima nasib serupa seperti bekas Naib Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali yang kini berjaya disingkirkan daripada terus membuat 'kacau' di dalam parti.

Menurut Salahuddin, kenyataan Zamil tidak berasas sama sekali kerana sepanjang perjuangannya lebih 30 tahun bersama Pas, sebarang keputusan Majlis Syura tidak pernah melibatkan pengaruh orang luar.

“Adalah menjadi tanggungjawab Majlis Syura bagi menentukan nasib Nasha nanti. Penglibatan atau campur tangan pihak selain dari Pas merupakan satu tuduhan yang tidak benar sama sekali,” tegas Salahuddin.

Tambah beliau, Pas meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan melibatkan Nasharudin.

“Kita tunggu saja keputusan Majlis Syura nanti. Penglibatan pihak luar berhubung keputusan Majlis Syura satu fitnah,” tegas beliau.
Insiden pijak gambar, bendera: Ada tangan ghaib, guna hak asasi

5 September 2012
Insiden pijak gambar, bendera: Ada tangan ghaib, guna hak asasi
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor

SHAH ALAM - Seperti ada tangan ghaib yang menggunakan hak asasi sebagai alasan untuk memijak gambar pemimpin negara dan mengibarkan bendera 'baharu' negara, dalam insiden menjelang sambutan ambang kemerdekaan ke-55 negara baru-baru ini.
 
Demikian pendapat yang dilontarkan oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor berhubung insiden berkenaan di mana beliau juga percaya ada dalang yang merancang perkara itu seperti beberapa dakwaan yang dibuat di luar negara kononnya Malaysia sedang dalam proses revolusi.
 
Beliau berkata individu terbabit yang disifatkan sebagai baling batu sembunyi tangan, seolah-olah mempunyai gerakan untuk 'memerdekakan' negara ke tahap kedua iaitu dengan niat seperti mahu mewujudkan negara sistem republik, menukar perlembagaan negara sedia ada dan menghapuskan sistem monarki di negara ini.
 
"Ini pandangan saya berdasarkan insiden pijak gambar pemimpin dan kibar bendera yang dipanggil Sang Saka Malaya mirip bendera dua negara yang menggunakan sistem republik.
 
"Saya terfikir mengapa ia diadakan menjelang kemerdekaan. Apa tujuan mereka dan saya fikir lebih mendalam akan ada apa lagi yang akan berlaku," katanya dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
 
Rahim berkata perkara seperti ini perlu diberikan perhatian serius kerana fahaman seperti kononnya membuat tindakan mengikut hak asasi boleh mengundang perbuatan yang lebih melampau termasuk kemungkinan bertindak memijak gambar Sultan atau Yang di-Pertuan Agong.
 
Beliau berkata adakah perbuatan ini berlaku petanda bahawa kekuatan dan semangat patriotik telah luntur selepas tiadanya undang-undang pencegahan yang dihapuskan.
 
"Masyarakat harus bijak menilai perbuatan ini, jangan lupa sejarah dan kena ambil tahu sejarah," katanya.
 
Mengulas mengenai hak asasi yang sering dilaungkan oleh sesetengah pihak dan pemimpin politik, Rahim berkata semua rakyat mempunyai hak berkenaan namun mengapa pembelaan kadang kala hanya tertumpu pada sesuatu pihak sahaja.
 
Beliau mengambil contoh, sekiranya perompak dan penjenayah ditangkap dan dikasari oleh orang awam misalnya mengapa salahkan polis konon tidak bertindak tetapi bagaimana pula dengan nasib mangsa rompakan yang tidak diperjuangkan.
 
Sehubungan itu, semua pihak perlu melihat isu ini dengan lebih serius demi kebaikan bersama terutamanya menghargai kemerdekaan negara bukan cuba kononnya untuk merdekakan negara ke tahap kedua dengan revolusi pertumpahan darah. - Bernama

Peniaga 'serang' rumah terbuka Aidilfitri DAP Pulau Pinang

5 September 2012
Abdul Malik Kassim
Seorang peniaga kecil di Padang Kota Lama (kanan) memarahi Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim kerana enggan menemui mereka bagi mengatasi masalah dihada
Abdul Malik Kassim
Beberapa peniaga kecil Padang Kota Lama dihalang semasa mereka cuba menghalang kereta Exco Kerajaan Negeri, semalam. - Foto Bernama
Abdul Malik Kassim
Seorang peniaga kecil di Padang Kota Lama (kanan) kecewa setelah gagal menemui Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Exco Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah mereka. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Seramai 20 peniaga kecil Padang Kota Lama berhimpun di hadapan pekarangan Balai Rakyat Jalan Patani di sini, yang menjadi lokasi sambutan majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran parti DAP Pulau Pinang.
Wakil peniaga M. Balakrishnan, 54, berkata, perhimpunan itu adalah sebagai tanda protes terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang didakwa gagal membela kebajikan peniaga kecil di Padang Kota Lama.
Perhimpunan itu bagaimanapun bertukar kecoh apabila exco kerajaan negeri dikatakan enggan bertemu peniaga berkenaan untuk membincangkan masalah mereka.
Tinjauan Bernama pada pukul 9.30 malam, mendapati beberapa buah kereta milik exco kerajaan negeri, mula meninggalkan lokasi walaupun majlis baru bermula pada pukul 8.30 malam.
Para peniaga terbabit kelihatan menahan dan mengetuk cermin kereta dipercayai milik exco kerajaan negeri serta menunjukkan kasut sambil melaung-laungkan kata-kata kesat.
Sepasukan anggota skim rondaan sukarela (SRS) cuba mententeramkan keadaan, namun tidak berjaya dan berikutan kejadian itu terdapat beberapa kereta yang kemek.
Difahamkan majlis rumah terbuka itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman; Exco Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri Abdul Malik Abul Kassim; dan Exco Kerja Raya, Utiliti & Pengangkutan, Lim Hock Seng.
Perhimpunan itu bersurai apabila anggota polis tiba di tempat kejadian kira-kira 40 minit selepas kekecohan berlaku. - Bernama
Bekas timbalan menteri Mahadzir Mohd Khir meninggal dunia
ARASHY MOHD AZIM
5 September 2012
Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir
Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir meninggal dunia jam 5.05 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediamannya di No. 13, Jalan 14/50, Seksyen 14, Petaling Jaya dan dijangka dikebumikan esok pagi.

Allahyarham merupakan seorang pendidik yang kemudian menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya sebelum dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dan seterusnya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.
Allahyarham yang dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945 pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani.
Mahadzir mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Micheal, Alor Star sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan University of West Michigan dan University of Chicago di Amerika Syarikat. Khidmat beliau kepada masyarakat bermula sebagai guru di salah sebuah sekolah di Baling.
Allahyarham kemudian menyertai perkhidmatan tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya umum pada 1999 iaitu di kerusi Parlimen Sungai Petani dan mengekalkannya pada pilihan raya umum berikut.
Pada 10 Disember 1999, Mahadzir telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dan kemudian sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.
Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pada jam 11 pagi.
Henti serangan ganas, PKR gesa BN
Raziatul Hanum A Rajak
5 September 2012
 Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
SHAH ALAM - Berhadapan dengan demonstrasi dan serangan terhadap PKR buat kali ketiga dalam tempoh seminggu ini, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa Barisan Nasional (BN) menghentikan taktik ganas terhadap parti itu.
Katanya, taktik ganas tidak dapat menyekat perjuangan PKR selain mengingatkan Umno BN bahawa politik yang dimainkan dalam zaman siber di mana maklumat tersebar dengan cepat.

Saifuddin akui amat kesal atas insiden yang berlaku di hadapan ibu pejabat PKR, tengah hari tadi.

"Insiden ini amat dikesali. Berlaku berturutan dalam lima hari. Serangan bertubi-tubi ke atas pemimpin dan premis PKR," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online petang tadi.

Menurutnya, kejadian-kejadian yang berlaku ini memberi tanda bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN)sangat terdesak.

"Tindakan ini beri isyarat bahawa Umno dan BN yang sangat terdesak dengan sokongan rakyat terhadap kempen-kempen yang dijalankan.

"Jadi mereka guna samseng untuk takutkan PKR," kata beliau yang memaklumkan bahawa baru saja tiba di KLIA dan dimaklumkan tentang kejadian itu.

Dihubungi sekitar jam 4 petang tadi, beliau turut mempersoalkan tentang tindakan pihak polis ke atas insiden serangan yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis. Apabila sudah ada kecederaan parah atau kematian baru nak ambil tindakan," katanya.Tambah beliau: "Ini yang kita persoalkan.
"Saifuddin belum pasti sama ada sebarang laporan polis sudah dibuat atau belum tetapi pasti akan dibuat.Sinar Harian Online cuba mendapatkan komen daripada Umno tetapi belum berhasil.
Ilmu nafi beli Nasha
NORSHAHZURA MAT ZUKI
5 September 2012
Nasharuddin Mat Isa
Fathul Bari (dua, kiri) berbincang sesuatu dengan Nasharudin (kiri) ketika kunjungan Ilmu ke kediaman Ahli Parlimen Bachok itu, baru-baru ini.
SHAH ALAM – Sekretariat Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu) nafi menawarkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa menyertai Umno ketika mengunjungi kediaman pemimpin itu, baru- baru ini.
Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, perjumpaan itu bertujuan menziarahi Ahli Parlimen Bachok itu atas nama Islam dan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim.
Beliau berkata, beberapa topik dibincangkan termasuk kedudukan Nasharuddin dalam Pas yang akan diketahui pada 9 September nanti.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bachok itu enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukannya.
“Perjumpaan itu juga membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan antara Ilmu dan Nasharuddin pada masa akan datang.
"Ilmu akan mengadakan pelbagai program antaranya ialah Jelajah Ilmu yang akan memberikan penjelasan hukum hudud kepada Islam dan bukan Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Fathul berkata, dalam pertemuan itu juga kedua-dua pihak membincangkan isu kepentingan perpaduan Islam.
“Kami menasihati di antara satu sama lain dan bermuhasabah diri. Kami mengambil keputusan untuk bersatu dan bersama-sama berbincang mengenai masa depan Islam.
"Kami juga bersatu demi perpaduan umat Islam atas nama Islam bukan atas nama dan kepentingan politik masing- masing,” katanya.
Menurutnya, beliau ikhlas bertemu Nasharuddin dan mengakui mulai rapat setelah mengenali pemimpin tersebut di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sesetengah pihak yang membuat pelbagai andaian mengenai pertemuan itu, Fathul berkata, pertemuan itu tidak bertujuan untuk menakutkan Pas atau Ilmu membeli Nasha.
“Kami datang atas nama Islam, tidak ada provokasi dan tidak pernah berbincang dan mengaibkan antara satu sama lain.
“Sebagai seorang Islam, kita tidak oleh menghalang pertemuan seorang Muslim dan Muslim yang lain kerana kita dituntut menyambung ikatan silaturahim,” katanya.
Adun Bentayan masuk wad akibat cedera ditolak
Wartawan Sinar Harian
5 September 2012
 Gwee Tong Hiang
Tong Hiang berada di wad HPSF untuk rawatan lanjut.
MUAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Gwee Tong Hiang dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kerana disyaki mengalami kecederaan di kepala selepas ditolak seseorang semasa menghadiri Jamuan Makan Malam anjuran DAP Bahagian Muar dan Bakri, kelmarin.
Tong Hiang ketika menerima lawatan wartawan di HPSF memberitahu, pada mulanya beliau ditahan dua wanita di majlis itu.
"Mereka sangka saya tidak mempunyai tiket untuk menghadiri makan malam berkenaan.
"Namun, ketika ingin memaklumkan mereka saya ada tiket, tiba-tiba seseorang menolak saya sehingga terjatuh," katanya.
Menurutnya, beliau memang tidak tahu siapa yang melakukan tindakan sedemikian, tetapi mengesyaki individu terbabit adalah ahli parti.
Beliau berkata, majlis makan malam itu turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, bagaimanapun kejadian itu berlaku sebelum ketibaan pemimpin itu.
“Walaupun rasa sakit dan pening kepala, saya tetap menunggu sehingga Guan Eng selesai berucap sebelum meninggalkan majlis untuk pulang ke rumah.
“Di rumah, saya muntah beberapa kali sehingga isteri, Gan Sey Hui terpaksa hantar saya ke hospital,” katanya.
Menurutnya, beliau diberi rawatan kecemasan dan ditahan dalam wad.
Katanya, pegawai perubatan mengesahkan beliau mengalami beberapa kecederaan di kepala dan perlu menjalani pemeriksaan imbasan otak.
Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, keadaan Tong Hiang kini stabil.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, beliau tidak mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku dan tidak dapat mengulas lanjut.
Dr M: ‘Melayu tak boleh gantung pada kata keramat Hang Tuah’
Wartawan Sinar Harian
5 September 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
SHAH ALAM - Dalam penulisan terbaru mengaitkan politik dan orang Melayu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu tidak lagi boleh bergantung pada kata-kata keramat Hang Tuah dan "kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan."
"Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya," kata beliau.
Dalam entri blog terbaru, Dr Mahathir berkata, "kata Hang Tuah 'Tak akan Melayu hilang di dunia'. Dapatkah kata-kata keramat ini menentu yang Melayu tak akan hilang di dunia?"
Dr Mahathir, yang seringkali menyentuh masa depan orang Melayu khususnya selepas Pilihan Raya Umum 2008 seterusnya menulis bahawa di Singapura kerana tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah di republik itu ialah Inggeris dan Cina manakala segala urusan rasmi dan tidak rasmi menggunakan Bahasa Ingggeris atau China, maka orang Melayu sudah pun tidak menggunakan bahasa Melayu.
"Mereka menggunakan bahasa Inggeris walaupun semasa bercakap dengan anak pinak, keluarga dan kawan-kawan Melayu.
"Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanyalah agama Islam mereka," katanya lagi.
Bekas Presiden Umno ini berkata, KeMelayuan mereka sudah tinggal separuh dan hakisan keMelayuan mereka akan berterusan boleh diramal sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.
"Di sebelah utara pula kita dapati orang keturunan Melayu yang tidak dapat bertutur kata dalam Bahasa Melayu. Mereka Islam dan bangsa rasmi mereka ialah Thai. Maka hilanglah juga Melayu di situ," katanya lagi.
Katanya, di Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku.
"Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu.
"Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya akui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum Melayu," katanya.
Sehubungan itu kata beliau, yang akan menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “rasis”.
"Oleh itu orang Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu dituduh 'rasis'," katanya lagi.

Tiada ulasan: