Jumaat, 7 September 2012

BENCI MASIH OK LAGI...YANG BAHAYA APABILA BENCI DITURUTI DENGAN DOA...DOA RAKYAT YANG TERLALU BANYAK...MAKA KESANNYA MEREKA YANG BERSALAH KENA TANGGUNGLAH...

Talam vs NFC: Ukuran prestasi kerajaan yang bakal dipilih rakyat

Dr Dzulkifli Ahmad, 06 Sep 2012
1.    Sejak 3 Julai lalu, Dato' Chua Tee Yong telah melontarkan pelbagai tuduhan jahat terhadap kerajaaan negeri di bawah kepimpinan TS Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri telah menggunakan dana negeri untuk membayar pemaju Talam Corporation RM1 bilion dengan membeli hartanah Talam dengan harga yang tinggi sekaligus menyelamatkanTalam daripada kebankrapan. Mereka juga membuat tuduhan tidak berasas bahawa akibat daripada pembelian aset ini, Talam terselamat daripada digantung Bursa Malaysia.

2.    Kami telah membuktikan bahawa dakwaan tentang Talam yang mengalami permasalahan hutang dan tersenarai sebagai syarikat PN17 (bermasalah hutang), sebenarnya telah lebih awal sebelum kegiatan ‘mengutip semula hutang-debt recovery exercise’, meregulasasikan (menysusun semula) pembayaran hutang dan telah dapat mengeluarkan syarikat itu daripada tersenarai sebagai syraikat PN17 dalam Bursa Malaysia.

3.    Namun CTY dan konco-konconya dalam Umno termasuk Ir Mohd Zain yang menggelar kes ini sebagai ‘TalamGate’ dan juga kawannya Noh Omar tidak henti-henti  membuat kenyataan tentang kononnya kerajaan negeri telah melakukan satu ‘bailout’ dan ‘merompak’ duit rakyat sebanyak RM1 bilion.

4.    Langkah bijak yang dijalankan oleh MB Selangor dengan melibatkan salah sebuah lima firma audit antarabangsa terbesar yakni KPMG untuk menjalankan satu siasatan ‘due diligence’ ke atas seluruh usaha yang ‘mengutip semula hutang-debt recovery exercise’, yang disebut sebagai ‘rund-tripping dalam bahasa kewangan. Ini adalah bersesuaian dengan prinisp keterbukaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang didukungi kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat.

5.    KPMG telah didedahkan semua dokumen untuk mereka lakukan ‘due diligence’ yang menyeluruh supaya rakyat dan pembayar cukai berpuas hati dengan prestasi dan kegiatan menyelematkan dana kerajaan negeri.

6.    Semalam KPMG telah secara rasmi membuat pengisytiharan bahawa “Kerajaan Selangor telah memasuki dua perjanjian untuk melunaskan hutang Talam (Debt Settlement Agreement) bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat jumlah hutang Talam yakni balik RM392 juta, iaitu pembayaran kepada kerajaan negeri adalah dalam pelbagai bentuk (termasuk tunai, assignment hutang, aset - tanah, hartanah, saham).

7.    Kerajaan Negeri kemudian memasuki satu perjanjian Global Settlement Agreement (GSA),  yang memberikan kedudukan yang baik untuk kerajaan negeri mendapat balik hutang, seandainya Talam mengalami kebankrapan.

8.    Yang pentingnya adalah KPMG mengesahkan bahawa tiada bayaran yang dibuat kepada Talam, seperti tuduhan jahat yang dibuat oleh CTY dan kawan-kawannya. Satu ‘bailout adalah ditakrif dalam kewangan sebagai ‘bantuan kewangan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang sakit atau akan mengalami kebankrapan sepert kes Perwaja, IWK dan MAS yang diberikan suntikan berbillion RM oleh kerajaan Pusat.

9.    Yang lebih penting juga KPMG mengesahkan bahawa semua yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah dalam memenuhi kepentingan rakyat negeri Selangor secara  telus dan juga kerajaan negeri tidak mengalami apa jua kerugian seperti yang lazim dilakukan dalam amalan kewangan korporat bahawa pihak kreditor (pemberi hutang) terpaksa menanggung sedikit kerugian dengan bahasa ‘hair-cut’.

10.    Adalah amat memalukan MCA dan BN bahawa CTY masih lagi membuat insinuasi terhadap dapatan KPMG kononnya firma auditor ini tidak diberikan scope kerja yang menyeluruh dan pendedahan dokumen yang mencukupi dan cuba menyamakan keadaan ini dengan skandal Enron dan firma auditor Arthur Anderson.

11.    Kami bertiga sebagai MP Paktan Rakyat (YB Tony Pua, YB William Leong dan saya) yang dilantik sebagai jurucakap rasmi Kerajaan Negeri Selangor dalam kes Talam ini, bersedia mengundang Datuk CTY dan kawan-kawan Umnonya untuk sama ada memilih Debat atau Wacana supaya isu dakwaan jahat mereka dapat kita tangani secara terbuka dan bersemuka, seandainya mereka masih tidak faham lagi atau mahu mempertikaian kerajaan negeri.

12.    Kami juga dengan ini, mencabar dan menuntut PM Najib dan TPM Muhyiddin mededahkan dapatan kajian Pricewaterhousecooper (PwC) terhadap siasatan yang dibuat oleh firma audit antarabangsa itu ke atas Scandal RM250 juta NFC, seperti mana yang telah kerajaan negeri secara terbuka mendedahkan untuk tatapan semua rakyat dalam kes Talam Corporation.

13.    Jelas bagi rakyat kini, Siapa yang Mengota Kata atau ‘Walk The Talk’ dan siapa yang sebenarnya tidak  memenuhi slogannya sendiri ‘Janji Ditepati? Ataukah benar kata anak muda Janji DiCepati saja?

14.    Masa untuk berubah telah sampai….


Rumah 'syaitan' yang hampir roboh

Mohd Rashidi Hassan, 06 Sep 2012
Teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum masih lagi hangat dinujumkan. Selepas banyak sangkaan meleset, kali ini ramai menjangkakan PRU ke-13 akan diadakan November depan, sebaik Parlimen meluluskan Belanjawan 2013 dan sekembalinya jemaah dari Makkah.

Banyak faktor yang bakal menentukan tarikh PRU. Jika sesiapa pun pada kedudukan Perdana Menteri, beliau harus terlebih dahulu mempertimbangkan kekuatan dalaman organisasinya, sebelum mengambil kira faktor luaran.

Tidak guna hendak 'bertegang urat' dengan parti lawan jika parti sendiri penuh dengan cacamerba dan hampir karam. Inilah yang berlaku kepada Umno sebenarnya. Umno yang tidak pernah menafikan pengakuan bahawa mereka adalah 'syaitan yang dikenali'.

Rupa-rupanya serangan bertubi-tubi ke atas PAS dan Pakatan Rakyat, dilakukan secara terancang, dengan tujuan untuk menutup pekung dalaman Umno yang semakin hari semakin membarah.

Media massa yang dikuasai Umno, ligat dikerah menutup karenah dalaman Umno yang tidak pernah selesai sehingga kini. Sesiapa pun dalam Umno sekarang berasa tidak selamat. Ada banyak faktor yang boleh unjurkan, antaranya:

Pertama, selepas Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sokongan terhadap Umno masih belum pulih sehingga kini, akibat pembongkaran lebih banyak skandal membabitkan pemimpin Umno-BN.

Kedua, kecuali kroni-kroni rapat, setiap orang Menteri dan Menteri Besar, Timbalan Menteri, Exco dan Ketua Umno Bahagian tidak mendapat indikator jelas dari Najib, apakah mereka akan dicalonkan semula sebagai calon Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Ketiga, akibat daripada ketidak tentuan itu, tambahan pula Najib mempunyai 'winnable candidate' sendiri, di semua negeri dan bahagian Umno, masing-masing bergasak sesama sendiri. Rebut jadi Ketua Bahagian, rebut menjadi calon Menteri Besar, rebut jadi calon Parlimen dan Dun.

Keempat, akibat dari permasalahan ini, penganalisis menjangkakan, wujud ketegangan di antara kedua-dua pimpinan tertinggi Umno iaitu di antara Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Umumnya, perselisihan wujud kerana haluan dan pendapat berbeza di antara kedua-duanya, mengenai cara terbaik untuk menyelamatnya Umno daripada terkubur dalam PRU depan.

Dalam diam 'fan' Muhyiddin giat berkempen dalam Facebook, menyebarkan poster di Johor dan dibanyak tempat, bahawa TPM adalah calon terbaik PM bagi menggantikan Najib.

Dilaporkan, bertebaran poster misteri menyokong Muhyiddin menggantikan Najib sebagai PM sebelum PRU, di Johor dan Pulau Pinang.

Umno Johor menafikan bahawa poster itu dicetak mereka dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Imej pada poster itu, bersama dengan potret Muhyiddin dan bendera Malaysia, telah disebarkan secara meluas di Internet.

Poster itu berbunyi 'Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM sebelum PRU 13'di bahagian bawah dan 'Selamatkan Barisan Nasional' di atas. Ia juga memaparkan logo BN dan Umno, serta tulisan 'Terbitan Barisan Nasional Negeri Johor'.

Walaupun Umno Johor menafikan dan memang tidak rasional mendakwa mereka yang mencetak poster tersebut, namun ianya tidak mampu menutup pertelagahan di antara kedua-dua pemimpin mereka.

Muhyiddin mempunyai 'track-record' yang cemerlang, berjaya 'menghalau' Abdullah dari kerusi PM dan Presiden Umno, dengan sokongan kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dengan keceluparan Dr Mahathir membuat pelbagai kenyataan mendahului Najib dalam banyak perkara sebelum ini, apakah ianya bukan indikator bahawa Presiden Umno itu tidak boleh diharap untuk mengekang kemaraan Pakatan Rakyat?

Apakah dengan sebab itu kempen menjatuhkan Najib sedang giat dijalankan kumpulan pro Muhyiddin? Kita nantikan episod seterusnya, apakah rumah 'syaitan' akan roboh akibat dimakan anai-anai belaan sendiri? Sama-sama kita saksikan.

Fitnah TG Nik Aziz, pemuda PAS lapor polis

Muhammad Faeez Azahar, 06 Sep 2012

(Gambar Program Umno yang didakwa menghina TG Nik Abdul Aziz Nik Mat)

IPOH: Pemuda PAS Kawasan Tambun hari ini membuat laporan polis berhubung tersebarnya gambar di laman sosial menunjukkan satu program BN yang didakwa memaparkan penghinaan kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam gambar itu kelihatan wajah Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberi penerangan dalam majlis yang tertulis 'Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Tambun.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun dilihat seperti sedang merujuk kepada paparan slide di sudut pentas di program tersebut.

Difahamkan program tersebut berlangsung di Hotel Syuen, Ipoh pada 2 September lalu.

Dalam slide itu secara jelas tertera wajah Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dengan tajuk disebelahnya 'Extrem Islam' dan perincian seperti 'Fanatik', 'kasar dan kesat', 'mewajibkan yang tidak wajib, 'berprasangka buruk' dan 'mengkafirkan orang Islam'.

Ketua Pemuda PAS Tambun, Zairul Azrun Zainal Abidin mendakwa tuduhan yang dibuat dalam program anjuran Umno itu biadap dan sangat keterlaluan.

“Fitnah yang dilemparkan kepada Tok Guru sangat berat terutamanya menuduh Tok Guru mengkafirkan orang Islam,” katanya kepada Harakahdaily selepas membuat laporan polis di IPD Sungai Senam Ipoh, hari ini.

Zairul menegaskan, Pemuda PAS Tambun mengutuk sekeras-kerasnya fitnah yang dilemparkan oleh ahli parlimen kawasannya itu dan menyifatkan ianya satu tuduhan melampau.

“Kami berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera terhadap gambar tersebut seterusnya mengenakan tindakan kepada Menteri Kewangan itu,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairul berkata, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perak terhadap gambar tersebut.

Hadir sama ialah peguam Pemuda PAS Perak, Fitri Asmuni; Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri dan pimpinan Pemuda PAS Kawasan Tambun.

Adun Umno akui orang muda tidak sokong BN

Bashir Ishak, 06 Sep 2012
KANGAR: Wakil penyokong kerajaan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis mengakui bahawa kecenderungan sokongan golongan muda kepada parti pemerintah kini semakin menurun.

Berucap pada Sidang DUN pagi tadi, Khairi Hassan (BN-Mata Ayer) berkata, kerajaan perlu memberi penumpuan kepada masa depan orang-orang muda.

"Orang muda ni nak kena jaga mereka, kena cari peluang-peluang pekerjaan kepada golongan ini. Mereka sekarang ini dilihat sudah tidak menyokong kita," katanya ketika berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih Ke atas Titah Ucapan Tuanku Raja Perlis yang merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-12 semalam.

Dalam ucapannya juga, selaku seorang wakil rakyat Khairi juga mengakui isu-isu seperti Altantuya atau isu liwat kini sudah tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat khususnya di peringka bawahan.

"Rakyat sekarang ni mahu kerajaan lebih memberi perhatian kepada nasib mereka. Isu-isu macam ni hanya sebahagian masyarakat kelas pertengahan sahaja yang ambil tahu.

"Masyarakat bawahan pula dah meluat dengan benda-benda macam ni. Kita wakil rakyat tak kira Umno atau PAS kena ambil tanggungjawab membantu rakyat dengan sokongan daripada jabatan-jabatan kerajaan," jelasnya.

Pak Samad: Polis langsung tak tanya soal puisi

Hazayani Zakaria, 06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pihak polis langsung tidak menyoal Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berhubung puisi "Janji Demokrasi" yang dibacanya ketika perhimpunan di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Sebaliknya soalan yang ditanya berkisar tentang perhimpunan Janji Demokrasi anjuran Gabungan Janji.

Justeru beliau memilih untuk tidak menjawab soalan-soalan yang ditanya kecuali mengenai maklumat dirinya sahaja.

"Saya memilih untuk tidak menjawab semua soalan itu kecuali infomasi diri saya sahaja.

"Seingat saya, tiada langsung soalan mengenai puisi yang ditanya," kata beliau selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini.

Beliau disiasat di bawah seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pak Samad juga berkata, beliau bukan penganjur perhimpunan sebaliknya hanya diundang membaca puisi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Empower Maria Chin Abdullah yang turut dipanggil memberi keterangan mempersoal tindakan polis yang menyoal siasat orang yang hadir menyambut merdeka.

"Kami hanya menyambut merdeka, jadi polis nak dakwa atas kesalahan apa? soalnya.

Peguam, Latheefa Koya berkata, polis hanya membuang masa memanggil mereka sedangkan soalan yang ditanya sudah diketahui jawapannya.

"Tanya pasal sidang media yang Maria adakan, sedangkan berita ada, video ada, semua ada bukti. Kenapa panggil soal siasat lagi? katanya.

Turut hadir peguam Datuk S Ambiga dan ahli jawatankuasa Bersih, Hishammudin Rais.

Polis memberi notis kepada Pak Samad yang juga Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dan Maria jam 4 petang semalam meminta mereka hadir ke balai polis.

Siasatan hari ini merupakan tindakan ketiga ke atas Pak Samad selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeri.Siasatan kedua pula berhubung puisi berjudul "Unggun Bersih" yang dibacanya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada Jun 2011.

Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad sebelum ini berkata, polis akan menyiasat sama ada sasterawan itu melanggar undang-undang dengan membaca sajak dalam perhimpunan Janji Demokrasi itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Usah melatah isu Sang Saka Malaya

Ahmad Lutfi Othman, 06 Sep 2012
Sambutan kemerdekaan negara kita memang tidak sunyi daripada polemik. Sumbangan para pejuang yang berhempas-pulas menghalau penjajah dengan darah dan air mata turut menjadi pertikaian. Umno mahu membolot legasi perjuangan mulia itu; seolah-olah ia sahaja berperanan membebaskan watan tercinta.

Tahun lalu heboh kontroversi Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dilanyak Utusan Malaysia berminggu-minggu tanpa diberi peluang membela diri. Di peringkat awal, PAS nampak tersudut ke penjuru kelam, kononnya  tidak langsung menghargai pengorbanan pasukan keselamatan, sekali gus mengagungkan "wira komunis".

Bagaimanapun, tanpa dirancang, minat masyarakat untuk menelusuri jejak perjuangan membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan British meningkat dengan drastik sekali. Naluri ingin tahu fakta sebenar membuak. (Secara peribadi, saya yakin, apa jua kontroversi, jika disorot melalui tradisi keilmuan yang segar dan mantap, pastinya mendatangkan manfaat buat semua).

Satu Wacana Merdeka, yang dianjurkan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, pada 23 September 2011, di Dewan Uliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, mendapat sambutan memberangsangkan. Saya yang masih bertongkat, terpaksa hadir awal dan mendaftar sebelum jam 8 pagi, bimbang tidak mendapat tempat.

Sejarah, yang sering dianggap pengulangan cerita lama yang membosankan, tiba-tiba menggamit minat luar biasa masyarakat awam. Dari sisi lain, sekurang-kurangnya pusara anggota polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu, tidak lagi terbiar. Ramai cuba mempamerkan simpati. Dan lebih penting, sehubungan itu, nasib pesara pasukan keselamatan, menjadi perhatian istimewa pemerintah, dengan menawarkan beberapa insentif menarik.


Ya, segalanya dimulakan oleh ceramah Mat Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Rahmat terselindung -- ramai juga  (khususnya bekas polis dan tentera) mendapat manfaat atau "durian runtuh" ekoran kalimat yang dilihat kontroversi itu!

Seterusnya, soal yang berlegar sekitar pentafsiran sejarah itu, bukan sahaja disinggung tokoh akademik dan Majlis Profesor Negara, malah turut diheret ke mahkamah. Hakim diminta memutuskan isu berkaitan perdebatan proses kemerdekaan Tanah Melayu -- suatu dimensi yang sepatutnya terbuka untuk perkongsian lebih ramai khalayak.

Sememangnya proses pendakwaan kes jenayah di negara kita (bukan hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, yang digunakan sebagai senjata politik) sering menjadi alat atau perkakas siasah pemerintah apabila berdepan saingannya. (Saya terkenangkan Lim Guan Eng disumbat ke penjara selama hampir dua tahun melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dalam kes membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik, sedangkan ia lebih kepada pertarungan politik).

Terbaru, aksi beberapa anak muda yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" di Dataran Merdeka, menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos lalu,  secepat kilat dimanipulasi untuk mempamerkan "wajah hodoh" Pakatan Rakyat dan pemimpin Bersih. Rupanya kempen politik BN dalam sambutan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati belum berakhir dengan himpunan besar-besaran di Stadium Bukit Jalil ....

Meneliti laporan media  (yang sentiasa menunggu bagai singa lapar untuk menghitam-legamkan wajah pembangkang, berdepan PRU13), dua insiden berbeda pada malam himpunan Janji Demokrasi itu cuba dihubungjalinkan dan dikaitkan dengan  Pakatan Rakyat.

Selain itu, penonjolan "Sang Saka Malaya" mahu disamakan dengan peristiwa memijak (dan tunjuk punggung) ke atas gambar Perdana Menteri, Najib Razak,  dan isterinya, Rosmah Mansor, serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Yusof. Pihak polis berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan (yang mahu dimansuhkan itu), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Pastinya setiap kita tidak dapat menerima aksi melampau, mencabuli akhlak dan tidak bertamadun memijak gambar Najib itu. Walaupun ramai berkongsi tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib dalam PRU13, namun segalanya perlu dibuat melalui amalan demokrasi. Justeru, yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Sejak merdeka, pembangkang, khususnya PAS sebagai oposisi tertua, sentiasa dizalimi, dianiaya dan dinafikan hak sebagai parti berdaftar untuk bertanding di "atas padang yang sama rata".

Pemimpin dan aktivisnya bukan saja ditahan (sebahagiannya tanpa bicara), dibuang daerah, didiskriminasi serta melalui siri tribulasi dan mehnah  yang panjang, malah ada yang dibunuh, namun sistem pilihan raya yang serba tempang-kotor itu tetap dihormati. Mereka tidak pernah absen daripada menyertainya setiap kali diadakan.

Selama lebih lima dekad lalu, kesabaran dan toleransi  tinggi petugas PAS -- biarpun ditindas dan ditekan -- telah berjaya mewujudkan suasana aman-stabil yang berterusan. Ramai sarjana sejarah, termasuk di peringkat antarabangsa, menyanjung tinggi sikap berlapang dada pemimpin Parti Islam itu, sekali gus menolak pendekatan militan.

Saya sukar memahami motif Buletin Utama TV3, yang begitu kerap mengulangi rakaman aksi gambar Najib dipijak, seperti disaksikan 4 September lalu. Memanglah tujuannya untuk menanamkan rasa jelik kepada pelaku, yang mahu dikaitkan dengan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dengan ulangsiar berlebihan, ia boleh mengundang persoalan, mengapa marah sangat mereka terhadap Perdana Menteri? Rakyat kini bijak membaca dan menyelongkar apa yang tersirat, berbanding paparan tersurat.

Realitinya, tindakan pijak potret pemimpin bukan isu baru. Sepatutnya pihak polis bukan hanya bertindak segera dan pantas terhadap aksi pada sambutan ambang kemerdekaan itu, tetapi juga kepada deretan insiden yang jauh lebih tragis dan tersusun, termasuk mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan.

Dalam kenyataannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta polis mengambil tindakan serupa terhadap pelaku yang memijak posternya, Mei lalu, yang turut melakukan upacara simboik pengkebumian di hadapan rumahnya. Begitu juga dengan "tarian punggung" di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga Sreenevasan. (Lim juga dihina dengan penyerahan "kek tahi").

Ramai ingin tahu nasib laporan polis yang dibuat pemimpin Pakatan, yang diserang dan diganasi oleh samseng Umno dan Perkasa, ketika berceramah di seluruh negara, misalnya membabitkan Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Nurul Izzah.

Usah kukuhkan lagi imej buruk polis sebagai sebahagian perkakasan politik Umno yang amat memalukan itu. Seperti kata AJK PAS Pusat Pusat, Ustaz Idris Ahmad: "Semua rakyat memerhati dan berfikir, adakah pemimpin Umno yang bebal itu akan terus kebal?"

Meneliti kenyataan dua individu yang mengakui bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" dalam blog Singa Selatan, yang mendakwa tidak mewakili mana-mana parti politik, saya kira insiden itu -- seperti juga ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera -- yang kelihatan agak mengejutkan dan mempunyai elemen radikalisme, akan menimbulkan polemik berpanjangan dan tidak mustahil di hujungnya nanti merupakan "satu pencerahan yang produktif" tentang asal-usul perjuangan memerdekakan tanahair.

"Kami mewakili golongan anak muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya," tulisan itu dipetik.

Setelah menjelaskan inti perjuangan golongan kiri yang terawal memperjuangkan kemerdekaan seperti, KMM, PKMM, API, termasuk juga gerakan Islam Hizbul Muslimin, dirumuskan Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Beliau mengakui tujuannya mengibarkan bendera itu untuk memperingatkan orang ramai terhadap tokoh-tokoh pejuang seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Baqir.

Tiada mana-mana parti politik dalam Pakatan menyokong usaha mereka. Namun media Umno, seperti lazimnya, tanpa merujuk sumber sahih, cuba  mendakwa Pakatan akan menukar bendera. Anwar menekankan, "tiada niat untuk kita menukar bendera Malaysia." Ustaz Idris menjelaskan, "pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan tidak pernah ada perbincangan langsung untuk menukar bendera, cuma yang ada hanya untuk menukar kerajaan."


Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali mahu siasatan segera dibuat: "Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai rakyat Malaysia."

Polemik Sang Saka Malaya ini mengingatkan saya tentang buku Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (2004), yang menggabungkan tiga karya asal, Lambaian Dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.

Dalam bab "PKMM Menarik Diri dari Umno", Boestamam, dengan gaya ceritanya yang menarik, mengisahkan perjalanan sidang pertama Umno pada 1946, apabila wakil badan-badan gabungan diminta mengusul bendera atau lambang parti itu.

PKMM diwakili Ishak Hj Muhammad dan Boestamam sendiri. Ishak sebagai jurucakap membawa Sang Saka Merah-Putih, lambang PKMM sendiri, dan mengibarkannya dalam sidang itu, setelah mengemukakannya sebagai bendera Umno.

Keputusan pengundian menyaksikan usul PKMM itu dikalahkan hanya dengan satu usul yang mahukan lambang Umno seperti sekarang (masih Sang Saka Merah-Putih dengan tambahan lambang keris). Terdapat kira-kira 50 badan  dalam sidang itu dan setiap pertubuhan diberikan dua undi, manakala PKMM sahajalah "badan kiri".

Boestamam kemudiannya mengusulkan supaya PKMM, berdasarkan penolakan syornya tentang bendera itu, menarik diri keluar dari Umno. "Perbezaan pandangan politik antara Umno dengan PKMM," kata Boestamam, "sudah jelas jauh bertentangan. Sementara kita mahu kemerdekaan seratus peratus bagi Malaya, Umno hanya mahu kembali kepada status quo sahaja. Kerana perbezaan pandangan politik ini lambat launnya kita pasti akan berpisah juga dengannya ...."


Tanpa didorong keperluan untuk menukar bendera, saya masih tertarik dengan ulasan Hishamuddin Rais dalam Malaysian Insider: "Merah putih adalah motif Nusantara. Motif Melayu Raya, kerana itu bendera Umno, PAS, Singapura dan Indonesia semuanya menggunakan Sang Saka ... Tahun 2006, bendera Umno di nobat sebagai Sang Saka Bangsa, sila tanya pemuda Umno kerana mereka yang mencadangkan nama ini. Tanya Khairy Jamaluddin, dia senyap kerana dia tahu sejarah Sang Saka."

Bagi saya, usah melatah isu Sang Saka ini, apatah lagi mengenangkan masih banyak isu-isu kritikal yang perlu ditangani segera, misalnya kerakusan kroni Najib untuk memenuhkan tembolok dengan projek ratusan bilion, sebelum Putrajaya "dibebaskan" Pakatan dalam PRU13.

Beberapa insiden spontan, yang nampak menggemparkan (disensasikan media Umno) seperti mempamerkan Sang Saka Malaya oleh dua tiga anak muda itu tidaklah perlu dikutuk secara berlebihan. Ada baiknya juga jika kita memperuntukkan sedikit masa untuk menyelami jiwa mereka yang bergejolak itu, 'kan?

Morsi: 'Perubahan kerajaan' diperlukan Syria

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 06 Sep 2012

(Morsi  menegur Syria dalam ucapan yang disampaikan dalam sidang kemuncak Pergerakan Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement) di Tehran pada 30 Ogos.)

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohammed Morsi, dalam persidangan Liga Arab berkata bahawa ‘perubahan kerajaan’ diperlukan di Syria dan masa tidak harus dibazirkan dengan hanya "bercakap tentang reformasi".

"Masa ini telah berlalu. Kini sudah tiba masanya untuk perubahan," ujar Morsi dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden  Mesir kepada Liga Arab Rabu lalu di Kaherah.

Beliau berkata bahawa empat negara serantau - Arab Saudi, Iran, Turki dan Mesir - akan bertemu untuk membincangkan krisis Syria, yang bermula 17 bulan lalu dengan pemberontakan, tetapi akhirnya bertukar menjadi perang sivil dengan kumpulan penentang berjuang untuk menjatuhkan Bashar al -Assad dari tampuk pemerintahan.

“Empat negara yang dipanggil Mesir akan bertemu sekarang," Morsi memberitahu mesyuarat yang dihadiri Menteri Luar negara Arab, tanpa memberitahu butiran lanjut tentang pertemuan tersebut.

Komen Morsi ini adalah lanjutan daripada ucapannya pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Tehran di mana beliau berkata ia adalah satu ‘kewajipan etika’ untuk menyokong rakyat Syria menentang "rejim yang menindas" di Damsyik.

Beliau berkata Assad mesti belajar daripada "sejarah yang berlaku baru-baru ini" dan berundur sebelum terlambat, merujuk kepada nasib rejim autoritarian di Tunisia, Libya, Mesir dan Yaman yang telah ditumbangkan ketika kebangkitan Arab.

"Saya memberitahu rejim Syria bahawa 'masih ada peluang untuk menamatkan pertumpahan darah ini'," kata Morsi, sambil menambah: "Jangan mengambil langkah yang betul pada masa yang salah ... kerana itu akan menjadi satu langkah yang salah"

Morsi, yang dilantik sebagai Presiden Mesir Jun lalu selepas kebangkitan Arab menumbangkan Hosni Mubarak, menggesa diplomat Arab bertindak pantas untuk menyelesaikan konflik Syria yang telah mengorbankan 26,000 nyawa, menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (Syrian Obervatory for Human Rights).

Wartawan Al-Jazeera, Jacky Rowland, yang melaporkan dari Kaherah berkata Morsi juga mengenalpasti bahawa Iran perlu terlibat untuk menyelesaikan konflik di Syria.

"Ucapan Morsi menyentuh banyak isu yang berkaitan dengan kebangkitan Arab. Dalam hal Syria, beliau berkata perlu ada satu penyelesaian Arab untuk konflik negara tersebut," kata Rowland.

"Kita bertanggungjawab ke atas darah rakyat Syria yang mengalir siang dan malam," kata Morsi.

"Kita tidak boleh tidur sedangkan pertumpahan darah berlaku di Syria.”

"Saya menyeru anda, Menteri Luar negara Arab, untuk bekerja keras untuk mencari penyelesaian segera kepada tragedi di Syria.

"Jika kita tidak bertindak, dunia juga tidak akan bertindak dengan bersungguh-sungguh."

Talam: Keputusan S’gor baik, kata firma audit

Harakahdaily, 06 Sep 2012
SHAH ALAM: Firma audit, KPMG Transaction Restructuring Sdn Bhd (KPMG) membuat kesimpulan bahawa keputusan Kerajaan Selangor mengutip hutang bernilai RM392 juta daripada Talam Corporation (Talam) sebagai satu keputusan komersil yang baik.

“Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang,” menurut petikan laporan firma audit itu.

Semakan mereka mendapati Kerajaan Negeri Selangor mengadakan dua perjanjian penyelesaian dengan Talam bertujuan mengutip semula hutang tertunggak RM392 juta yang dihutang kepada kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya.

Penyelesaian hutang ini dilaksanakan menerusi penyelesaian aset melibatkan 9 plot tanah, dua hartanah, 60 peratus saham dalam anak syarikat Talam serta tunai. Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang.

Laporan tersebut adalah bukti terkini yang menyangkal kritikan pemimpin Umno-BN terhadap proses pengutipan Talam itu yang mereka mendakwa satu “bailout”.

Sebaliknya dalam isu ini, Talam merupakan pihak yang perlu membayar setiap sen dari hutangnya kepada kerajaan negeri tanpa sebarang pengecualian.

Hutang tersebut merupakan hutang yang gagal dikutip oleh Kerajaan Negeri ketika di bawah pentadbiran Umno-BN.

Proses ini berbeza dengan tindakan Kerajaan Pusat Umno-BN yang pernah “bailout” syarikat kroni mereka yang sakit seperti Perwaja Steel, Renong dan Time Engineering.

Sementara itu, dalam reaksinya Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar atas) berkata kesimpulan firma audit itu menunjukkan bahawa usaha Kerajaan Negeri mengutip hutang daripada Talam telah dilaksanakan dengan tertib, mengikut undang-undang, beretika serta menjaga kepentingan negeri, anak-anak syarikat dan rakyat Selangor.

"Kerajaan negeri sukacita mengumumkan bahawa laporan ini telah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor yang dijadualkan bersidang pada November ini dan kemudian akan diedarkan kepada orang awam," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin sebagai jurucakap rasmi bagi kerajaan Selangor berhubung perkara ini.

"Mereka ini berkelayakan untuk berbincang dan berdebat berhubung isu Talam dengan mana-mana individu atau organisasi yang bersesuaian," tegasnya.

Saham FGVH kritikal, apa jaminan Najib

Anis Nazri, 06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa memberi jaminan berhubung kedudukan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang kini dianggap berada dalam kritikal.

Jaminan itu perlu dilakukan kepada pemegang-pemegang saham berkenaan, khususnya para peneroka yang membeli saham tersebut dengan pinjaman bank yang tidak mereka ketahui.

Gesaan itu disuarakan Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang menyifatkan saham FGVH mula meruncing sejak tengah hari semalam.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata pihaknya akan mengutuskan surat rasmi kepada Najib bagi meminta satu jaminan segera daripada pemimpin itu ekoran kedudukan saham tersebut.

Beliau juga turut meminta perdana menteri untuk menyatakan apakah tindakan susulan yang akan diambil ekoran penurunan harga saham tersebut.

Dalam pada sama, beliau mengecam kenyataan Pengerusi FGVH, Tan Sri Isa Samad yang juga disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab apabila ditanya tentang saham FGVH yang menjunam.

"Isa mengatakan, "adatlah bermain saham, ada turun naiknya". Soalnya, sejak awal lagi kita sudah menyatakan risiko-risiko yang bakal dihadapi peneroka dan juga pemegang-pemegng saham.  Satu lagi, kenyataan itu tidak menunjukkan sikap tanggungjwab beliau dalam hal ini," tegas Mazlan ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga akan menghantar surat ke Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bagi memohon maklum balas berkaitan memorandum yang diserahkan pada Jun lalu.

Pada tengahari semalam, harga saham FGVH yang ditutup mencatat penurunan, tinggal RM4.79.  Manakala, mengikut penganalisis pasaran saham, jika saham FGVH turun ke paras RM4.70 maka pemegang saham FGVH mula menanggung kerugian.

FGVH mula disenaraikan di Bursa Malaysia pda 28 Jun 2012, biarpun mendapat tentangan hebat daripada Anak hingga satu himpunan aman diadakan bagi membantah penyenaraian tersebut.

Sejak penyenaraian, saham FGVH itu dilihat tidak stabil dengan kedudukannya yang statik, selain tidak melonjak naik seperti yang diharapkan Najib dan Isa.

Saham: Tak mahu ayam terlepas tangan bau tahi

Khairil Abdul Rahim, 06 Sep 2012
Akhirnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengakui 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang diagihkan kepada peneroka semasa penyenaraian dulu, adalah dalam bentuk hutang dan bukannya pemberian atau ‘durian runtuh’.

Pengakuan tersebut diucapkan oleh Ahmad semasa menutup Kem Anak Muda Generasi Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang baru-baru ini.

Cuma cara pengakuan beliau itu agak lunak sedikit iaitu dengan mengatakan “peneroka tidak perlu lagi membayar kepada bank mulai bulan depan apabila hutang mereka itu diambil alih Felda” setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan dana RM360.

Di bawah tajuk berita “Felda ambil alih hutang peneroka beli saham mulai 1 September” yang disiarkan sebuah akhbar, Ahmad berkata, peneroka akan membayar balik kepada Felda dalam tempoh lima tahun iaitu kira-kira RM50 sebulan.

Tambahnya, pembayaran balik kepada Felda dilakukan dengan potongan pendapatan daripada hasil tuaian ladang peneroka. Dengan lain-lain perkataan, saham FGVH yang diagihkan kepada peneroka adalah hutang yang mesti dibayar (melalui potongan) sama seperti hutang-hutang lain (baja, membesarkan rumah, tanah ladang, jalan pertanian dan lain-lain).

Jadi apa hebatnya peneroka mendapat saham jika pemberian tersebut dikira hutang? Sedangkan Timbalan Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno itu pernah berhujah di parlimen satu ketika dulu berhubung penyenaraian saham FGVH bahawa tujuannya untuk meningkatkan taraf hidup peneroka.

Setelah dihamburkan dengan pelbagai janji yang indah-indah kononnya peneroka akan melalui tranformasi besar dalam kehidupan baru mereka, kononnya peneroka akan keluar daripada tradisi berladang kepada pemain saham dunia apabila saham kedua terbesar selepas Facebook itu disenaraikan, rupa-rupanya 112,635 warga peneroka masing-masing hanya mendapat 800 unit. Itupun dikira berhutang.

Dalam berita tersebut juga, Ahmad mengaku jumlah keseluruhan pemilikan saham peneroka hanya 5%. Bakinya dijual kepada bukan peneroka dan pelabur-pelabur luar negeri. Manakala 180,000 unit saham yang dianugerahkan kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, tidak diketahui sama ada dikira hutang atau sebaliknya.

Jadi inikah  maksud Ahmad Maslan bahawa peneroka akan dapat manfaat besar daripada penyenaraian saham FGVH? Bagaimana pula nasib tanah rizab Melayu seluas 360,000 ekar yang dicagarkan selama 99 tahun?

Hutang saham: Kenapa tidak bercakap benar?

Apa yang menjadi kemusykilan banyak pihak, kerajaan dan Felda tidak berkata benar ketika mahu menyenaraikan FGVH ke Bursa Kuala Lumpur 28 Jun lalu.

“Sudah jenuh kami berkempen sebelum ini mengatakan saham 800 unit yang diberi bukan dengan percuma, tetapi amaran kami itu bukan saja dipandang sepi malah kami dicerca dan dihina kononnya kami pengkhianat Felda.

“Tetapi sekarang Ahmad Maslan sendiri sahkan bahawa saham itu bukannya durian runtuh atau percuma, tetapi hutang,” kata Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) negeri Pahang Abdul Rahim Abdul Rahman yang ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kuala Krau baru-baru ini.

Beliau merupakan salah seorang daripada 8 peneroka yang memfailkan saman terhadap Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Temerloh bulan lalu kerana ungkapan menghina ‘haram jadah’ terhadap mereka.

Sebelum penyenaraian FGVH, Pakatan Rakyat, Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dan aktivis-aktivis peneroka yang bergabung dalam Gerakan Selamatkan Felda (GSF) membuat road show di seluruh negara bagi menghalang penyenaraian FGVH. Himpunan Oren juga diadakan pada 14 Julai lalu bagi memohon Yang Dipertuan Agong masuk campur kerana penyenaraian FGVH tidak menguntungkan peneroka tetapi beberapa kerat individu tertentu.

Meskipun gagal menghalang penyenaraian FGVH, sekurang-kurangnya mereka berjaya menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada terjerumus sama dalam penyenaraian FGVH.

Usaha selamatkan Felda dicemuh pro Umno

Malangnya mereka diherdik dan dicemuh semahunya oleh kumpulan peneroka pro-Umno yang memang pengampu kerana berkepentingan lalu mereka membuat demonstrasi di sana sini serta menghalang pihak tersebut memberi penerangan kepada umum.

Laporan polis juga dibuat seluruh negara bagi menggambarkan pejuang-pejuang nasib warga Felda itu pengkhianat. Cercaan demi cercaan dihamburkan bagi melemahkan semangat mereka.

Kemuncaknya ialah apabila Najib sendiri ketika mengumumkan "durian runtuh" di Jengka 8 Mei lalu menggelarkan pejuang kebenaran warga Felda sebagai haram jadah. Sudah tentu ia amat memeranjatkan kerana ungkapan  itu paling kasar, biadab dan tidak bertamadun yang pernah diluahkan oleh seorang Perdana Menteri terhadap rakyatnya. Ungkapan menghina itu pula dibuat di hadapan lebih 40 ribu yang hadir dan liputan langsung media.

Tidak cukup begitu, ketika para peneroka tersebut mengambil wang hak mereka sendiri yang diumumkan Najib sebagai "durian runtuh", media pro-Umno terus mengaibkan mereka seolah-olah "keselak" atau kemaruk sangat dengan wang yang diagihkan Felda itu.

Najib sendiri ketika berceramah di Pekan, terus mengaibkan mereka dengan gelaran "muka tak malu".

Namun apabila sebuah akhbar harian menyiarkan kenyataan Ahmad Maslan bahawa saham sebanyak 800 unit itu sebenarnya hutang, ia mula mendedahkan apa yang sebenarnya kerana sebelum ini pihak kerajaan dan Felda tidak berkata benar atau sengaja menyembunyikannya.

Ahmad Maslan turut membenarkan, pemilikan saham peneroka seluruh negara hanya berjumlah 2.5 peratus secara keseluruhan. Jadi benarlah dakwaan dan amaran yang pernah diberi oleh PR, Anak dan GSF. Bahkan amaran risiko harga saham turun naik, memang tepat. Lihatlah saham FGVH terus merudum. Tidak sebagaimana janji pemimpin Umno bahawa jika saham Felda disenarai, peneroka-peneroka akan menjadi kaya raya, dapat durian runtuh dan akan mengalami perubahan besar dalam kehidupan selepas 50 tahun!

Akhirnya semuanya temberang. Yang betulnya hanyalah amaran PR, Anak dan GSF tadi.

“Sudahlah peneroka yang majoritinya berusia 50 tahun ke atas itu dipaksa berhutang, apa pula yang mereka tahu tentang bermain saham? Malah hutang yang dipaksa ke atas peneroka bukannya mereka yang untung tetapi dikaut oleh bank, peguam dan broker.

“Inilah yang Pakatan dan  GSF perjuangkan sekarang,” kata Abdul Rahim.

Tambahnya, jika saham terus menjunam dan peneroka tidak mampu membayar balik hutang bank apa yang akan terjadi? Oleh itu jangan diperkecilkan jika peneroka berasa bimbang dengan tergadainya tanah ladang 10 ekar dan tapak rumah mereka.

“Jadi kami dari Bangkit dan GSF bertungkus lumus menyelamatkan nasib peneroka kerana tidak mahu bak kata pepatah ayam terlepas tangan bau tahi,” katanya.

Ramai saksi kasut dibaling walau tidak dirakam

Abdul Aziz Mustafa, 06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Walaupun tiada gambar perbuatan membaling kasut dalam masjid, tetapi ramai yang menyaksikan perbuatan jahat ke atas rumah Allah itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Tidak ada gambar dan tidak ada rakaman yang disiarkan dalam Youtube tidak boleh menjadi bukti peristiwa itu tidak berlaku kerana ramai yang menyaksikan kasut dibaling ke dalam rumah Allah itu ketika serangan Perkasa ke atas masjid itu," kata beliau ketika menolak penafian Perkasa mengenai perkara itu.

Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Daerah Kota Setar, Datuk Yusoff Ismail menuntut Mahfuz berhenti mengaitkan pertubuhan itu dengan perbuatan ganas membaling kasut ke dalam Masjid Al-Hussain Seberang Pumpong di Alor Setar, Ahad lepas ketika berlakunya serangan pertubuhan itu ke atas rumah Allah itu.

Beliau menyifatkan perbuatan itu tidak berlaku dan fitnah semata-mata kerana sehingga kini, pihak-pihak tertentu tidak pernah memasukkan insiden membaling kasut berkenaan dalam blog atau Youtube.

"Dalam majlis kenduri pun tak semua peristiwa sempat dirakamkan oleh jurugambar, apa lagi dalam keadaan serba huru hara seperti yang dicetuskan oleh Perkasa dalam serangan itu.

"Banyak rakaman yang dibuat ketika serangan itu berlaku, tetapi perbuatan baling kasut itu mungkin tak sempat dirakamkan.

"Tetapi saya yakin Allah merakamkan perbuatan jahat membaling kasut ke dalam rumah-Nya dan setiap orang dalam Perkasa bolehlah menyaksikan dengan jelas rakaman peristiwa itu di Hari Akhirat kelak," kata Mahfuz menolak dakwaan Yusoff kononnya mereka difitnah.

Beliau berkata, pihaknya bukan sahaja tidak sempat merakamkan kejadian yang tidak diduga boleh dilakukan oleh penyerang-penyerang masjid itu yang mengaku beragama Islam, malah kasut yang dibaling itu pun tidak disimpan untuk membolehkan Yusoff mengenalpasti kasut siapakah itu.

"Kami ada ada adab, ada agama. Bila tengok kasut dibaling ke dalam masjid dan mencemarkan kesucian rumah Allah, kami terus membuang kasut itu ke luar," katanya.

Menurut Mahfuz, hampir kesemua pihak yang menyerang masjid tersebut berada di luar masjid dan memakai kasut atau berada berdekatan tempat meletak kasut.

"Pihak yang menyerang masjid berada di luar masjid itu dan bila imam menyuruh mereka masuk ke dalam masjid untuk bersolat atau balik kalau tak mahu solat, mereka tetap berada di luar masjid.

"Pihak yang menyerang yang pakai kasut atau berada berdekatan tempat meletak kasut dan mereka yang boleh membaling kasut ke dalam masjid. Orang yang berada dalam masjid tidak pakai kasut dan jauh dari tempat meletak kasut," katanya.

Orang yang di dalam masjid, kata Mahfuz, hendak bersolat atau buat kerja lain yang dianjurkan oleh Islam seperti mendengar tazkirah dan sebagainya.

"Orang dalam masjid mengimarahkan masjid. Mereka bukan hendak serang masjid seperti gerombolan penyerang yang apabila disuruh masuk ke dalam masjid untuk bersolat pun mereka tidak mahu," katanya.

Mengenai tindakan undang-undang yang disebut oleh Yusoff, Mahfuz berkata beliau tidak dapat menghalang keinginan tokoh Perkasa itu.

"Tetapi pihak yang menyerang masjid jangan lupa, Allah juga akan mengambil tindakan undang-undang-Nya terhadap mereka yang menyerang rumah-Nya," kata beliau.

Rakyat derma untuk lebuhraya kerana benci BN

Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir, 06 Sep 2012

(Tok Guru Nik Aziz menerima sumbangan pelajar Malaysia melalui wakil mereka)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan rakyat sanggup menderma untuk pembinaan Lebuhraya Rakyat kerana bencikan kerajaan Pusat yang berdolak dalih tentang pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang patut dilaksanakan mereka.

Menurutnya, kerana dolak-dalih yang sering dilakukan, menyebabkan rakyat mengambil kesempatan untuk bersama kerajaan negeri menjayakan pembinaan lebuhraya itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan pelajar Kelantan yang belajar di Universiti Ireland, Belfast melalui wakil mereka, Siti Sofea Idris.

Menurut Tuan Guru lagi, dolak dalih kerajaan Pusat dalam pembinaan lebuhraya itu membuatkan rakyat menjadi muak.

“Kita doakan saja semoga Allah menutup pintu hati rakyat ni supaya menolak perjuangan kebangsaan sebaliknya memilih perjuangan yang berlandaskan Islam,”ujarnya.

Sambungnya lagi, rakyat amat perlukan lebuhraya kerana itu mereka sanggup menderma semata-mata untuk laluan yang selesa.

“Jangankan ketika musim perayaan, tidak waktu perayaanpun jalan sesak sehingga menyukarkan orang ramai,”ujarnya.

Sofea anak Kelantan yang menuntut di Ireland menyerahkan sumbangan derma dari pelajar di sana untuk pembinaan lebuhraya.

Beliau ditemani ibunya Setiausaha Pejabat UPEN, Nik Norma Nik Jusoh.

Nik Norma memberitahu sumbangan RM1,500 diperolehi dari pelajar Kelantan termasuk beberapa orang pelajar luar di sana.

"Sebelum ini wakil kami telah menyerahkan sebahagiannya kepada Tuan Guru, saya menyerahkan sebahagian lagi yang dapat dapat dikumpul,”ujarnya.

Sementara itu, Block 1 Kota Darulnaim mengadakan majlis Aidilfitri tengahari semalam.

Turut memeriahkan majlis itu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri dan lain-lain pimpinan.

Pelbagai juadah dihidangkan sempena majlis itu.

Al-Jazeera digodam penyokong rejim Assad

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 06 Sep 2012

(Laman web Al Jazeera digodam oleh penggodam pro Syria)

KAHERAH: Laman web rasmi saluran TV satelit Al-Jazeera telah diserang Selasa lalu oleh kumpulan penggodam yang menyokong rejim Syria.

Kumpulan penggodam menggantikan halaman utama laman Al-Jazeera versi bahasa Arab dengan kenyataan bahawa serangan siber itu adalah tanda bantahan terhadap liputan Al-Jazeera dalam perang sivil di Syria.

"Ini adalah sebagai tindak balas kepada pendirian anda terhadap Syria (rakyat dan kerajaan) dan sebagai sokongan khas bagi keganasan militan," tulis sebuah kenyataan yang disiarkan dalam bahasa Arab, di bawah cop merah tertulis "digodam" dalam bahasa Inggeris. Latar belakang pula diambil dari laman web Al-Jazeera versi bahasa Inggeris.

Siaran TV Al-Jazeera dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris bagaimanapun tidak terjejas oleh serangan tersebut.

Dalam satu kenyataan, Al-Jazeera melaporkan bahawa beberapa pelayan luaran mereka telah terdedah. Ketika Al-Jazeera menyelesaikan gangguan tersebut , ia berkata, "sesetengah pengguna mungkin akan terus mengalami isu teknikal untuk seketika waktu lagi."

Al-Jazeera yang berpusat di Qatar telah membuat liputan meluas tentang konflik yang berlarutan selama 17-bulan di Syria. Al-Jazeera telah menjadi faktor yang berpengaruh dalam membuat liputan "Kebangkitan Arab" di seluruh rantau tersebut.

Qatar merupakan pengkritik utama rejim Syria dan penyokong utama kumpulan penentang.

Janji Demokrasi: Mat Sabu turut dipanggil polis

Hazayani Zakaria, 06 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turut dipanggil hadir ke ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Mohamad yang menerima notis panggilan ke balai polis petang semalam berkata, beliau sudah memaklumkan kepada pihak polis akan hadir untuk memberi keterangan pada Ahad ini.

"Saya tak boleh hadir hari ini kerana berada di Kedah, esok di Melaka, jadi saya akan hadir ke balai polis petang Ahad," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah turut menerima notis sama meminta beliau hadir ke IPD Dang Wangi juga berkaitan perhimpunan anjuran Gabungan Janji itu.

Turut menerima notis semalam, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang akan hadir ke Dang Wangi petang ini.

Empower dalam kenyataan berkata, Maria akan bersama-sama Pak Samad untuk melaporkan diri hari ini di IPD Dang Wangi pada pukul 3.00 petang dengan ditemani peguam.

Dalam pada itu, beberapa penyokong Pak Samad terdiri daripada golongan muda akan berkumpul di hadapan balai polis Dang Wangi bagi menunjukkan solidariti terhadap Pak Samad.

Pak Samad turut menerima tindakan sama ekoran puisi "Unggun Bersih" yang dibaca di majlis pelancaran Bersih 2.0, Jun tahun lalu.

Tiada ulasan: