Khamis, 1 Disember 2011

JANGAN CADANG HABIS DICADANGAN SAJA...KATA TAPI TAK KOTA...JANGAN KITA KAKI TEMBERANG...ALLAH SUKA KEBENARAN..RAKYAT PUN BEGITU...TIPU TAK BERMARUAH

Ubah polis, tentera mengundi di tempat awam | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengubah tempat pengundian bagi anggota polis dan tentera ke tempat awam.

Mahfuz memperlihatkan pemindahan tempat pengundian undi awal itu sangat penting kerana ia dapat mengelak berlakunya tekanan kepada anggota tentera dan polis yang mengundi.

"Saya menggesa perubahan tempat pengundian bagi undi awal diubah dari kawasan disiplin tentera atau balai polis dilakukan di kawasan sekolah seperti apa yang dilakukan oleh pengundi awam biasa.

"Perkara ini penting kerana ia dapat mengelakkan tekanan ataupun ketakutan kepada anggota tentera serta polis yang ingin membuang undi yang merasakan ada pegawai sedang memerhati mereka membuang undi.

"Kebebasan perlu diberikan kepada para undi awal dan kita mahukan keselesaan kepada mereka untuk mereka membuang undi dan cara ini dapat menjadikan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas," jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau ketika membahas laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung syor penambahbaikan proses pilihanraya, berkata apa yang dicadangkan itu tidak satu pun dilihat mengikat kerajaan dalam perlaksanaannya.

"Cadangan yang baik telah dikemukakan oleh PSC tetapi bagaimana kita ingin memastikan SPR dan juga agensi terbabit mematuhi syor yang dicadangkan.

"Dalam pada itu apa yang saya lihat syor-syor yang dicadangkan itu tidak mengikat langsung kerajaan untuk melakukannya seperti tempoh masa perlaksanaan malah bila cadangan perlaksanaan.

"Saya melihat seolah-olah tiada kesungguhan dari kerajaan untuk melaksanakannya dan saya tidak mahu pembaziran berlaku seperti mana cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja sebelum ini, tiada perlaksanaan tetapi wang habis dibelanja dan ini satu pembaziran.

"Saya mahu pada penghujung perbahasan ini akan ada satu ikatan yang dibuat oleh Parlimen agar ia menjadi tanggungjawab kerajaan serta SPR untuk melaksanakannya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu Mahfuz juga mahu wujud ketelusan media diwujudkan dengan mewujudkan satu stesen televisyen khas untuk setiap kali pilihanraya yang dikendalikan terus oleh SPR.

"Wujud media yang telus dengan menyediakan media khas bagi membolehkan parti-parti yang bertanding dapat menyampaikan maklumat mereka kepada rakyat dan ia secara tidak langsung mewujudkan keadilan dalam media," kata beliau lagi.

Tubuh s'jaya bebas siasat pendatang jadi pengundi | Print |
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 1 Dis: Kerajaan BN didesak menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat dengan terperinci warga negara asing turut didaftarkan sebagai pemilih dalam pilihanraya di negara ini.

Tindakan tersebut dikesan dilakukan dengan terancang oleh pihak-pihak tertentu sehingga menjadikan negara ini berada dalam bahaya apabila masa depan negara berada dalam tangan warganegara asing.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut amat dikesali kerana ia jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak terbabit terhadap negara.

Menurut beliau, tindakan tersebut dilakukan oleh pihak-pihak terbabit bagi mencapai kemenangan dalam pillihanraya untuk terus kekal berkuasa demi keuntungan dalam jangka masa pendek mereka.

Katanya, sebagai warganegara, tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan, sebaliknya masing-masing mestilah berfikir dan bertindak secara rasional untuk jangka masa panjang demi keselamatan negara.

"Untuk mengatasi masalah itu, perlu ada satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat sepenuhnya tentang warganegara asing yang turut didaftarkan sebagai pemilih," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ketika berucap membahaskan usul penambahbaikan proses pilihanraya yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen (PSC), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, beliau berkata, penyata yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu perlu diterima oleh kerajaan.

Menurutnya, dalam penyata jawatankuasa itu dicadangkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya, manakala cadangan itu pula menepati salah satu dari 8 tuntutan Bersih untuk dilaksanakan oleh SPR.

"Cadangan itu jelas menafikan kenyataan SPR dan Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan penggunaan dakwat kekal sebagai kolot dan tidak sesuai dilaksanakan dalam pilihanraya," katanya yang juga Naib Prtesiden PAS.

Sejajar dengan perkembangan masa, beliau turut mendesak kerajaan menerima sistem dua parti untuk dilaksanakan di negara ini.

Beliau juga mendesak kerajaan mengamalkan kebebasan media di negara ini bagi kepentingan rakyat, setelah Kerajaan BN sekian lama membelenggu pemikiran orang ramai dengan ketidakadilannya terhadap laporan-laporan media.

"Suara generasi muda mesti didengar oleh kerajaan. Kita harap media dalam pilihanraya umum ini bebas dan tidak lagi dibelenggu dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh kerajaan," tambahnya.

PAS dan Pakatan Rakyat, tegasnya, boleh menerima kekalahan dalam pilihanraya sekiranya itulah yang dipilih oleh rakyat, dengan syarat kerajaan tidak menyekat kebebasan media dan pilihanraya dilaksanakan dengan bersih dan adil.

Beliau menyarankan kerajaan turut mencontohi sebahagian langkah yang telah dilakukan oleh kerajaan Singapura berhubung perkara itu, sehingga menjadikan pilihanraya terbaru di republik itu lebih baik berbanding sebelumnya.

M'sia jangan ikut Amerika tak iktiraf Hamas | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Tiga ahli Parlimen PAS yang menyertai konvoi delegasi Global March to Jerusalem (GMJ) minggu lalu mendesak kerajaan Malaysia meningkatkan kesedaran rakyat berhubung kezaliman Israel terhadap Palestin.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kerajaan Malaysia juga harus mengiktiraf Kerajaan Hamas di Palestin dan tidak mengikut telunjuk Amerika Syarikat (AS) yang memusuhi Hamas.

"Kami sebagai Ahli Parlimen Malaysia mendesak kerajaan mengambil berat masalah kezaliman ke atas Palestin dan penderitaan yang dihadapi rakyatnya.

"Malaysia masih lagi tak iktiraf Hamas dan masih lagi iktiraf Fatah kerana ikut telunjuk Amerika Syarikat yang kata Hamas pengganas.

"Kerajaan lain sudah sanggup iktiraf Hamas kenapa Malaysia yang selalu bercakap ingin membela Palestin masih enggan iktiraf Hamas?" kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, kerana tidak mengiktiraf Hamas itulah segala bantuan ke atas Palestin disekat oleh AS.

Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga menyampaikan harapan Kerajaan Hamas agar tekanan terhadap AS ditingkatkan agar nasib malang rakyat Paletin dapat diubah.

Beliau juga mengingatkan kerajaan Umno BN agar mengambil iktibar daripada penderitaan rakyat Palestin dan menghentikan segala pemborosan dalam perbelanjaan negara.

"Paling sedih betapa mereka hidup dalam kesempitan tapi di Malaysia, kerajaan begitu boros dari segi perbelanjaan, rasuah dan ketirisan sering berlaku.

"Sebagai contoh, untuk rawatan kumbahan mereka hanya perlu 1.5 bilion sahaja tapi kita guna 28 bilion sebagai ketirisan. Jadi jangan cakap soal nak tolong Palestin kalau tak ada keinsafan untuk ubah cara pemerintahan," katanya.

Dua lagi Ahli Parlimen yang turut serta dalam delegasi bersama 70 Ahli Parlimen dari 40 negara di Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Timur Tengah 16 November lalu itu ialah Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang) dan Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja).

Sewaktu di sana, mereka dibawa bertemu Kerajaan Hamas untuk mendapat maklumat mengenai sekatan yang dilakukan oleh Israel ke atas mereka sejak memenangi pilihan raya pada 2006.

Delegasi bertemu dengan Kementerian Kesihatan, Pertanian, Pendidikan dan Tahanan dan mendengar laporan mereka mengenai apa yang berlaku di Gaza termasuk peristiwa pengeboman 22 hari berturut-turut oleh AS.

Pengeboman itu bukan sahaja menyebabkan kematian tapi trurut memberikan kesan jangka panjang termasuk kecacatan dan pencemaran air di negara yang dihuni 1.5 juta penduduk itu.


Syor PSC perlu dilaksana pada PRU13 | Print |
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 1 Dis: PAS mahu kerajaan melaksanakan segala syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Dewan Rakyat hari ini pada PRU13 nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, adalah sia-sia jika syor tersebut dibentang kepada kerajaan sekiranya ia dibakul sampahkan.

"Paling penting kita minta usul yang dibahaskan ini diguna pakai untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kalau pilihan raya bulan depan, bulan depan lah syor ini dilaksanakan," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas 10 syor PSC yang dibentang di dewan rakyat hari ini.

Syor tersebut antara lain mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda segera peraturan pilihan raya agar dakwat kekal boleh digunakan pada PRU akan datang.

Selain itu, beberapa syor turut dikemukakan untuk menambahbaik sistem pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran alamat pusat mengundi, pembersihan daftar pemilih, pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan, ketelusan proses mengundi, proses ulang kira kertas undi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga salah seorang anggota PSC tersebut berkata, jika ia tidak dilaksana, bermakna reformasi pilihan raya yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya satu pembohongan.

"Kalau tidak dilaksana, maka kerja PSC yang dipilih oleh parlimen ini hanya sia-sia. Rakyat akan menilai ini semua.

"Kalau diluluskan tetapi tidak ada apa-apa tindakan, maknanya ini satu pembohongan kerajaan BN kepada rakyat," katanya.

Adakah dakwat kekal digunakan pada PRU13? | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan adakah kerajaan dan Suruhajaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum akan datang.

Anwar semasa membahas usul laporan dan cadangan bagi memastikan pilihanraya bebas dan adil di Parlimen hari ini juga berharap kerajaan tidak akan menggunakan alasan bagi melengah-lengah penggunaan dakwat kekal itu.

"Bila meneliti laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) saya melihat cadangan penggunaan dakwat kekal juga dicadangkan dan apa yang ini saya tekankan di sini adalah jaminan dari pihak kerajaan dan juga SPR.

"Kalau sebelum ini Peguam Negara mengatakan penggunaan dakwat bercanggah dengan perlembagaan tetapi sekarang mengatakan tidak, saya sendiri tidak pasti yang mana satu betul dan boleh diterima pakai.

"Malah kenyataan Ketua Polis Negara juga mengatakan dakwat keka boleh jadi senjata, itu kenyataan yang karut sama sekali. Jadi di mana jaminan kerajaan," jelasnya.

Tambahnya lagi, intitusi-institusi di negara ini boleh dipermainkan semata-mata untuk melihat kepada sikap dan pendirian pemimpin politik.

"Sebab itu semasa membahaskannya pada peringkat awal saya syorkan bahawa isu pilihanraya bebas dan telus ini bukan sahaja SPR atau PSC tetapi ia ada komitmen politik pimpinan negara.

"Persoalan ketetapan yang dibawa oleh parlimen meluluskan beberapa cadangan dan bagaimana kita dapat pastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik sebelum pilihanraya umum nanti.

"PSC ini bersikap tegas memberi cadangan itu dan kita mahu ketetapan dari parlimen, pengeruis dan juga kabinet adakah ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat, ini yang perlu ditekankan," sambung Anwar lagi.

Beliau juga berharap perkara ini perlu disegerakan dan Peguam Negara tidak perlu mengambil masa dua bulan untuk membuat kelulusan jika ia tidak bersangkut paut dengan soal perlembagaan.

"Walaupun tidak semua tuntutan Bersih diterima tetapi sebahagian daripadanya telah dicadangkan oleh PSC tetapi mengulangi persoalan adakah ia dapat dilaksanakan segera.

"Kalau hanya menyatakan ia akan dilaksanakan sebelum pilihanraya itu bagi saya bukan satu jaminan dan apa yang kita inginkan adalah menyatakan tarikh bila ia berkuatkuasa.

"Penetapan tarikh ini akan mempermudahkan SPR mahu pun Peguam Negara membuat penetapan tanpa perlu dua bulan untuk kelulusan," jelasnya.

Awnar menekankan penetapan tarikh penting kerana tidak mahu pada saat akhir selepas tarikh pilihanraya diumumkan pelbagai alasan diberikan mengenai penggunaan dakwat kekal tidak dapat dilaksanakan.

"Kita mahukan tarikh perlaksanaan kerana tidak mahu mendengar alasan dari pihak kerajaan dalam menafikan penggunaan dakwat kekal itu.

"Kerajaan, SPR mahupun Peguam Negara malah Parlimen perlu nyatakan pendirian segera perlaksanaannya," ucap beliau lagi.

Sebelum itu Anwar menyambut baik tentang laporan yang dikemukakan oleh PSC dan berharap usaha baik cadangan tersebut disegerakan bagi memastikan pilihanraya akan datang lebih bersikap adil dan telus.

Selain itu juga beliau berharap peruntukkan tambahan serta penambahan kakitangan diberikan kepada SPR bagi melancarkan pelaksanaan tersebut.

"Selain menunaikan perlaksanaan itu saya menyeru jika kerajaan dan juga SPR ingin bersikap demokrasi maka pada pilihanraya nanti SPR perlu menjemput badan-badan bebas dari luar negara untuk menjadi sebagai pemerhati bebas semasa berlangsungnya pilihanraya nanti.

"Kita lihat negara-negara lain sudah menjemput pemerhati bebas tetapi negara kita belum lagi melaksanakannya dan harap ia dapat dilakukan," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.


Tiada ulasan: