Jumaat, 9 Disember 2011

SOAL KERJA NI..TERMASUK TAKDIR ALLAH...RAMAI YANG TAK HABISKAN UMUR BERSARA...KERANA DIPANGGIL ILLAHI..BUKAN SEMUA MENERIMA LEBIH2 KAUM WANITA...

Azizan pertahan Nik Aziz tanding pilihan raya | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyelar pihak tertentu yang cuba mempertikai hasrat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus bertanding pilihan raya.

Katanya, mana-mana pihak luar tidak wajar campur tangan terhadap hasrat Menteri Besar Kelantan itu, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat negeri itu untuk membuat pilihan.

"Saya sokong sepenuhnya jika beliau mahu bertanding lagi pada PRU13.

“Kepimpinan beliau masih diperlukan sama ada dalam PAS atau pun di Kelantan. Malah parti sendiri tidak pernah bangkitkan isu itu. Desakan datang daripada pihak luar," katanya dipetik Sinar Harian.

Tambahnya lagi, tiada sebab untuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz berundur ekoran beliau juga masih kuat untuk mentadbir negeri itu.

“Kalau beliau masih mampu tadbir negeri dan rakyat masih sokong beliau untuk jadi Menteri Besar, tiada salahnya untuk beliau bertanding semula pada pilihan raya akan datang.

"Malah jika beliau yakin boleh menang, tiada sebab untuk tidak jadi calon,” petik akhbar berbahasa Melayu itu lagi.

Selasa lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, berkata, tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Malah, beliau berikrar akan tetap bertanding pada PRU13 kerana mahu terus berlawan dengan Umno.

Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990. Pada PRU 2008, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Chempaka, dengan mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar, dengan majoriti 4,249 undi.


Isu kuil Seksyen 19 Shah Alam selesai | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 9 Dis: Isu kuil di Seksyen 19 di sini akhirnya dapat diselesaikan apabila Kerajaan Negeri Selangor menyediakan tapak baru di Seksyen 23 yang kini sudah 90 peratus pembinaannya.

Bercakap pada satu sidang media di pekarangan Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 19, Exco Wanita Kebudayaan, Sains dan Inovasi, Kebajikan, Rodziah Ismail memberitahu Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah mencapai satu usaha yang baik berkenaan kuil di Seksyen 19 yang mana telah menimbul banyak masalah termasuk isu 'kepala lembu'.

"Projek ini sepatutnya siap lebih awal tetapi disebabkan oleh masalah teknikal serta menunggu bantahan awam setelah pendengaran awam dilakukan, maka pembinaan telah dianjak sedikit dari perancangan awal.

"Dan hasilnya hari ini iaitu 90 peratus pembinaannya telah siap dan ia akan beroparasi sepenuhnya pada tahun hadapan setelah operasi pemindahan dari Seksyen 19 dilakukan sepenuhnya," jelasnya.

Tambah Rodziah lagi, tanah tapak kuil itu akan diwartakan sebagai tapak rumah ibadat dan ia mengikuti piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Ini usaha Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat lakukan bila pentadbiran yang sempurna serta telus menjadi pegangan, maka setiap permasalahan yang rumit dalam diselesaikan dengan lebih baik.

"Kita juga ucapkan terima kasih kepada PKNS kerana memberi kerjasama dalam usaha memindahkan kuil tersebut, malah pembinaan ini juga dilakukan oleh PKNS dan yang selebihnya akan disiapkan oleh pekerja-pekerja kuil," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga hadir memberitahu kerajaan negeri sentiasa prihatin dan kekecohan yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan oleh pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan.

"Kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian setiap apa yang berlaku dan kekecohan sebelum ini hanyalah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin mengambil kesempatan sahaja.

"Pakatan Rakyat tidak pernah menafikan hak kaum lain, cuma kadang kala bila berlaku sesuatu itu kita kena bersama kerana ianya ada jalan penyelesaian, apa yang diharapkan agar tidak akan ada pihak yang cuba mempolitikkan tentang isu kuil yang baru dibina ini.

"Dari segi parti PAS, kita tidak pernah ada musuh dengan agama lain dan apa yang dilakukan hari ini adalah PAS di dalam Pakatan Rakyat juga mempunyai suara serta hasrat yang sama seperti mana PKR mahu pun DAP, semuanya untuk kebaikkan rakyat serta semua pihak," jelasnya.

Sebelum itu, pembinaan kuil ini menelan belanja melebihi RM320 ribu yang mana kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 ribu bagi pembinaan bangunan melalui kerjasama PKNS dan menyediakan tanah.

Setiausaha Kuil, Chitra Narayanasamy pula berterima kasih kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang sentiasa perihatin dalam soal kehendak kaum India.

"Kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin jika dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini, yang mana soal kuil di Seksyen 19 sudah memakan masa yang lama untuk mencari jalan penyelesaian tetapi pemerintah Pakatan Rakyat yang hanya baru masuk empat tahun segalanya selesai.

"Tapak yang baru ini akan menyenangkan semua pihak dan kita lihat dari segi kedudukannya serta tempat letak kereta, saya pasti tiada apa yang kita perlukan lagi," beritahu beliau.


‘Saya lawan Mahathir, nak turut dia macam mana’ | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 9 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Umno bertindak secara ‘songsang' semasa memimpin orang Melayu di negara ini apabila menolak Islam dari dasar parti.

Ini, katanya menyebabkan Umno gagal memimpin orang Melayu.

Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan Islam adalah agama yang syumul dan lengkap, justeru hendaklah dijadikan dasar dalam memimpin parti oleh orang Melayu termasuk Umno.

“Orang Melayu beragama Islam, dan Islam itu sendiri agama yang syumul dan lengkap, namun tiba-tiba ditolak oleh pemimpin Umno menyebabkan orang Melayu enggan mengikutinya.

“Kini Umno melaung Melayu bersat’, tetapi bersatu untuk apa, untuk Melayu atau untuk Islam?

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Mengulas saranan Mahathir supaya beliau bersara dari politik, Mursyidul Am PAS itu berkata, beliau melawan mantan Presiden Umno itu sejak awal lagi.

“Saya melawan daripada awal sampai ke akhir, nak turut dia macam mana oleh kerana saya melawan dia.

“Siapa suruh dia berhenti, dan sewaktu dia berhenti dahulu, dia bagi tahu dia tidak boleh memimpin orang Melayu, bahkan tidak berjaya memimpin orang Melayu.

“Saya jawab sendiri, saya kata dah mu tarik ‘songsang’ orang Melayu, sedangkan orang Melayu beragama Islam dan Islam itu pula lengkap.

"Islam sempurna, tiba-tiba dia (Mahathir) tolak Islam dari dasar partinya, buat pandai-pandai dia. Mana boleh orang Melayu nak turut dia,” ujarnya.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menghadiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini menasihatkan Tuan Guru Nik Aziz supaya segera bersara daripada arena politik memandangkan Menteri Besar Kelantan itu sudah terlalu lama menyandang jawatan tersebut.

Tuan Guru Nik Aziz menegaskan hasrat untuk terus bertanding pada Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) nanti tidak berubah.

“Dah orang nak kepada saya, nak buat lagu mana, apa saya boleh buat,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Negeri Dr Mohd Fadhli Hassan ketika mengulas isu itu menegaskan Umno tidak berhak langsung mengulas isu itu.

“Bagi kita, apa saja Tuk Guru kata, bahkan selagi Tuk Guru ada, kita mahukan Tuk Guru memimpin kita.

“Ini adalah hak ahli PAS, sesungguhnya selagi mana Tuk Guru ada, kita nak Tuk Guru yang memimpin PAS,” tegasnya.

Selepas menya,paikan kuliah mingguan pagi tadi, Tuan Guru turut melancarkan risalah Suara PAS Kelantan, Purnama yang diterbitkan Lajnah Penerangan PAS Negeri.


Bersara 60 tahun: Apalah nasib bakal guru | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Kesan buruk dari langkah Kerajaan BN menaikkan umur persaraan kakitangan awam dari 58 kepada 60 tahun mulai dirasai sebahagian rakyat negara ini sekarang.

Antara golongan pertama yang menanggung kesan buruk itu termasuklah mereka yang terbabit dalam sektor pendidikan, terutama bakal-bakal guru.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berkata, langkah menaikkan umur persaraan itu pasti akan menyebabkan berlakunya pembekuan kenaikan pangkat di kalangan kakitangan kerajaan dan pengambilan kakitangan baru.

Menurutnya, perkara itu telah pun dibahaskan oleh beliau pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, tetapi telah dinafikan oleh menteri terbabit.

"Kini, ternyata apa yang saya nyatakan itu sememangnya benar dan tidak boleh dinafikan oleh pihak-pihak terbabit. Kesan buruknya antara lain turut melibatkan guru," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Risiko tersebut, menurutnya, lebih dirasai lagi oleh para guru dan bakal guru di negara ini apabila dalam masa yang sama terdapat pula pelbagai masalah dan kerenah yang melanda Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sehingga turut membabitkan sektor pendidikan negara.

Katanya, antaranya yang membabitkan isu penghinaan kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan di fakulti-fakulti pendidikan.

"Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan.

"Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa," tegasnya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah.

Kenyataan terbaru daripada Timbalan Menteri Pelajaran berkenaan 5,000 graduan sudah ditemuduga, tambahnya, juga dilihat amat mengelirukan.

"Ini menyebabkan ramai graduan ISMP yang mempertikaikan kenyataan beliau. Mereka bertanya, apa sudah jadi wahai KPM dan Timbalan Menteri? Janganlah buat kenyataan yang bertentangan dengan realiti," katanya.

Dalam masa yang sama, pelbagai pihak turut hairan apabila Kerajaan BN ingin pula membawa 13,000 guru asing untuk mengajar di negara ini.

"Ini menambahserabutkan lagi polisi KPM, apabila kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina," tegas beliau seperti yang turut dimuatkan di dalam websitenya www.nasirzakaria.com.

Ketika mereka yang teraniaya sedang bertungkus lumus berusaha mengatasi masalah yang dihadapi, Kementerian Pelajaran turut didesak menyatakan kesahihan dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan penempatan guru sehingga 7 bulan terhadap mereka yang terbabit.

"Ini kerana graduan ISMP seolah-olah dipermainkan dan diperbodohkan oleh KPM. Persoalan yang timbul ialah apakah ia berpunca daripada tiada perjawatan ataupun kerajaan tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pegawai pendidikan.

"Apa tidaknya, dari bulan ke bulan menanti hingga sekarang borang online masih belum ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum ini, jelasnya, sudah pelbagai isu yang muncul yang boleh menimbulkan kegelisahan warga pendidik yang menjadi tonggak pembangunan ilmu warga Malaysia, termasuk isu kuarters guru, isu 9 jam bekerja, isu elaun pengangkutan dan perpindahan yang belum berkesudahan dan wajib diselesaikan segera oleh Kementerian Pelajaran.

"Kepada warga guru yang telah menghabiskan empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan, seterusnya dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah, fikir-fikirkan dan buatlah pilihan tepat dalam PRU 13 nanti," katanya.

Tiada ulasan: