KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pihak berkuasa agama di negara ini digesa segera bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab menerbit dan menyiarkan sebuah drama pendek di Youtube yang secara terang-terangan menghina hukum Allah.
Drama pendek bertajuk 'Lagi Hudud PAS' itu didakwa telah menghina hukum hudud dengan cuba memberi gambaran hudud bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah menjadikan masalah lebih teruk.
"DPPM (Dewan Pemuda PAS Malaysia) mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut.
"Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai," kata ketua dewan itu Nasruddin Hassan kepada Harakahdaily.
Mengikut maklumat yang direkodkan, drama dengan tajuk 'Lagi Hudud PAS' itu yang berdurasi 5 minit 34 saat dimuat naik sejak 21 November lalu oleh pemilik akaun bernama kawasaki9722.
Sehingga berita ini ditulis, drama itu telah ditonton oleh 10,123 pengguna dengan catatan 94 dari mereka menekan like dan 4,395 dislike.
Menggunakan lima pelakon Islam dan tiga bukan Islam, dialog drama ini antara lain menyentuh isu HIV tertinggi di Kelantan sambil memperlekeh hudud yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri yang dipimpin PAS.
Malah mereka juga mendakwa ibu tunggal di Kelantan paling ramai dan rakyat negeri itu juga paling ramai bekerja di tempat-tempat maksiat.
Dalam dialog itu juga turut menyebut "Buat hudud pun tak jadi apa" lalu disambung seorang lagi dengan berkata "makin teruk ada la".
Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Saidin dan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang mempersenda hukum Allah SWT dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru-baru ini sedang beliau tiada autoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno sebagai salah seorang panel.
Belum pun reda dengan isu itu, umat Islam sekali lagi dicabar dengan penghinaan hukum Allah melalui drama pendek tersebut.
Apa yang dikesalkan kata Nasruddin, kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah SWT sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah SWT di atas muka bumi ini.
"Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah SWT sedang berdepan dengan satu tanggungjawab yang sangat berat.
"Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkalan jalan," katanya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 10 Dis: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) kesal dengan tindakan pentadbiran Universiti Malaya (UM) yang memberhentikan debat pelajar yang berlangsung di Fakuliti Undang-undang kampus itu malam tadi.
Menzahirkan rasa kecewa itu melalui laman twitternya, Saifuddin berkata, beliau sedang mendapatkan maklumat untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.
"Saya dukacita debat AUKU di UM malam tadi terbatal ketika ia sedang diadakan. Saya sedang menyiasatnya," tulisnya ringkas.
Dalam kejadian malam tadi, debat anjuran Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu diganggu oleh pengurusan UM dan terpaksa dibatalkan ketika sedang memasuki pusingan kedua.
Menurut Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Khairul Naim berkata, pihaknya begitu terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch”.
Debat malam tadi mempertemukan Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia.
Debat itu berkisar tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Autonomi Mahasiswa.
Menurut Khairul, beberapa pengawal keselamatan dan “special branch” telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera.
“Ketika itu juga lampu telah ditutup beberapa kali, namun pengajur masih meneruskan debat sehingga memaksa Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohd Syahid untuk keluar berunding.
“Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Datuk Rohana Yusof,” kata beliau lagi.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 10 Dis: “Kami di pihak mahasiswa ingin mempersoalkan apakah rasionalisasi bagi gangguan tersebut?” Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khairul Naim. Beliau mengulas program debat mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang diadakan malam tadi yang berkisar tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan autonomi mahasiswa berjalan lancar pada awalnya sehingga beberapa pengawal keselamatan dan special branch di bawah bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) menyerbu masuk ke dewan tempat berlangsungnya debat. Baginya, pihak Hal Ehwal Pelajar UM bertindak seolah-olah mahasiswa sedang melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan kampus sedangkan perdebatan sihat itu bersifat ilmiah. Tambahnya, tindakan itu dikira sesuatu yang tidak relevan malah bakal melahirkan lebih ramai graduan yang lemah serta menyemarakkan api ‘bebalisme’ dalam kalangan mahasiswa. Katanya, debat anjuran bersama Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu mendapat respons yang baik daripada mahasiswa sekitar Lembah Klang dengan kehadiran kira-kira 300 orang. Namun begitu, mahasiswa begitu terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik itu diganggu oleh pengawal keselamatan dan special branch ketika debat di antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab (mantan aktivis Pro-M) serta Syamsul Salleh (mantan YDP MPPUPM) sedang rancak berjalan pada pusingan kedua. Beberapa pengawal keselamatan dan special branch telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera. Ketika itu juga, lampu telah ditutup beberapa kali namun penganjur masih meneruskan debat sehingga memaksa Yang Dipertua MPMUM, Mohd Syahid untuk keluar berunding. Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada pihak HEP UM. “Mahasiswa lihat bahawa kebebasan akademik dalam negara ini masih berada di tahap paling corot. Apa yang mereka takutkan sebenarnya?” tanya Khairul. Menurutnya, mahasiswa sudah mulai bosan dengan karenah birokrasi pihak HEP yang mengekang program ilmiah yang diadakan oleh mahasiswa. “Mahasiswa bukan pelajar sekolah, lagi disekat lagi memberontak. Jadi, kami kira HEP sudah tidak relevan dan harus dimansuh. “Apakah maknanya memegang gelaran mahasiswa tetapi masih perlu mengikut telunjuk dan menjadi yes man sahaja?” tanya beliau.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 10 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menyokong gesaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya berundur kerana terpalit dengan kes rasuah yang dikaitkan dengan beliau dan keluarganya. “Bagi DPP Malaysia, elok benar jika Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur waktu ini sebelum beliau ‘dihalau’ keluar oleh partinya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor. Beliau di dalam satu kenyataan berkata, DPP Malaysia berpendapat hayat politik Shahrizat sudah tamat dengan siri pendedahan yang dilakukan yang sukar untuk dinafikan. Bahkan, ujarnya isu menteri itu kini sudah menjadi bebanan pula kepada Umno BN dan sukar untuk mereka menjawab setiap persoalan yang ditanyakan oleh rakyat. Justeru, ujarnya DPP Malaysia melihat pertarungan politik baru bagi menghadapi PRU ke-13 perlu dijalankan dalam dimensi baru. “Rakyat sekarang sudah mula menilai pemimpin atau calon yang bertanding dari mana-mana parti politik dan kriteria utama yang mereka letakkan untuk mengangkat pemimpin yang akan dinobatkan dalam PRU ke 13 nanti adalah bersih, berakhlak mulia, berjiwa rakyat, mempunyai wibawa, membela isu rakyat, serta mempunyai iltizam yang tinggi untuk membangunkan negara,” ujarnya. Beliau menambah, rakyat sudah jemu dan menolak pemimpin yang dipalitkan dengan rasuah, skandal, korup serta tidak berwibawa. Selain itu, katanya parti-parti politik perlu menjaga imej negara di pentas antarabangsa. Menurutnya lagi, rakyat negara ini tidak rela reputasi negara ini jatuh di mata masyarakat dunia angkara pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah. “Untuk membina imej yang baik ini, pemimpin di mana-mana peringkat perlu bersih malah dilihat bersih oleh rakyat. “Pemimpin tidak boleh terkait dengan apa juga skandal yang menjadi masalah kepada beliau di kemudian hari,” katanya lagi. Beliau menambah, pemimpin mesti menjadi contoh yang baik kepada masyarakat untuk diikuti agar mudah arahan mereka dipatuhi oleh rakyat. Justeru itu, ujarnya DPP Malaysia melihat saranan Mahathir perlu ditujukan juga kepada semua pemimpin parti politik tidak kira mereka dari Umno BN mahupun pembangkang. “DPP Malaysia menasihatkan mana-mana pemimpin yang pernah dikaitkan dengan apa juga kes sama ada rasuah, korupsi, penyelewengan kuasa, mengamalkan kronisme, terlibat dengan skandal seks, jenayah, dan lain-lain lagi perlu berundur dengan terhormat dengan memberikan laluan kepada pemimpin lain untuk mengemudi bahtera perjuangan parti politik masing-masing,” katanya. Katanya, lanskap politik baru Malaysia mesti dicoretkan di atas kanvas yang putih bersih diwarnai oleh pemimpin yang murni dan bersih dari sebarang skandal.
Khairil Abdul Rahim | BANDAR TUN RAZAK JENGKA, 9 Dis: Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Rosli Yaakob mengingatkan agar pihak peneroka Felda tidak ghairah apabila diumumkan agensi itu akan disenarai di bursa saham sebaliknya mengambil iktibar nasib peneroka-peneroka di Felda Sendayan dan Felda Labu di Negeri Sembilan setelah terlepas ke pihak lain.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu, sebaliknya mengingatkan bahawa tanah merupakan sumber ekonomi mereka dan tidak sepatutnya dibiarkan memasuki perniagaan berisiko yang mungkin boleh terlepas kepada orang luar.
“Lihat apa jadi dengan peneroka-peneroka Felda Labu dan Sendayan yang pada satu ketika begitu ghairah untuk menjadi jutawan lalu tanah mereka dijual, bagaimana dengan nasib mereka?
“Ada yang menjadi kuli, ada yang terpaksa jadi pemandu teksi dan sebagainya jadi biarlah pelihara tanah Felda yang selama ini menjadi tempat orang-orang melayu bergantung hidup jadi apa perlunya dicagarkan untuk bermain saham.
“Tak wajar tanah Felda menjadi pertaruhan kerana tanah adalah sumber ekonomi kalau tergadai kepada kapitalis pemain saham yang rakus, yang biasanya menguasai sehingga 30%. Berapa banyak tanah-tanah yang telah tergadai sebab sesiapa saja boleh beli, “ jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program pelancaran ‘Gerakan Selamatkan Felda’ peringkat kebangsaan di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka, malam tadi.
Turut berceramah ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Razman Zakaria.
Kira-kira 6,000 hadir mendengar program yang diadakan bagi memberi penerangan dan risiko kepada warga Felda mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke dalam Bursa Saham Malaysia sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.
Dr Rosli berkata, jangan ingat semua projek kerajaan boleh berjaya walaupun diberi jaminan. Tambahnya ini terbukti dengan projek lembu NFC yang sedang hangat dibicarakan sekarang, yang konon pada mulanya mahu jadikan Gemas sebagai ‘beef valley’ atau lembah lembu.
“Di Negeri Sembilan saja berapa banyak projek kerajaan yang gagal antaranya projek tebu di Ayer Hitam, gagal. Pada Masa (Tan Sri) Isa Samad juga ada projek yang gagal iaitu ladang babi terbesar di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan tetapi gagal membawa keuntungan bahkan hanya meninggalkan penyakit Japanese Encephalitis (JE) sahaja,” katanya.
Justeru Dr Rosli mahu semua warga Felda bersatu dengan apa cara sekalipun menghalang Felda daripada disenaraikan di bursa saham walaupun dijanjikan dengan durian runtuh.
Beliau khuatir, apa yang sedang diusahakan pihak tertentu pada masa ini hanyalah sebagai jalan untuk mengalirkan wang ke dalam poket kroni mereka sahaja.
Sementara itu Razman Zakaria yang berceramah sebelum itu, memberitahu perniagaan di bursa saham mempunyai risiko yang tinggi sehingga boleh menyebabkan tergadai.
“Jangan pelik jika mula-mula penyenaraian harga begitu tinggi tetapi akhirnya Felda bukan lagi menjadi milik rakyat tempatan kerana semua ini dengan ketiadaan pengetahuan dalam permainan saham, harga boleh dipermain sebagai mana berlaku ketika kegawatan ekonomi 1998.
“Saya bagi contoh ada saham sebuah syarikat iaitu Hwa Tai dulu di bursa saham pernah mencecah sehingga RM80 seunit tapi sekarang tak sampai RM2. Jadi itulah realiti permainan saham,” katanya.
Razman yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, tugas Felda sepatutnya menjana keseluruhan hasil nilai komoditi daripada 2 juta ekar tanah dan wang itulah sepatutnya menjadi “durian runtuh” untuk peneroka, bukannya dengan bermain saham.
“Tapi RM6 bilion wang tunai yang pernah dimiliki Felda dulu mana pergi?” soalnya.
Beliau menarik perhatian, kalau kerajaan berniaga yang terjadi ialah luputnya aset awam Bank Bumiputera dan MISC Perkapalan.
“Sebab itu, pada saya kalau Felda tidak dipertahankan daripada penyenaraian, boleh tergadai. Akhirnya jadilah seperti dalam filem Ali Baba Bujang lapok. Ibrahim Pendek lempar dadu sambil berkata mari kita tengok siapa yang kena...
“Akhirnya orang akan kata, lagi-lagi peneroka yang kena...” sambil disambut gelak ketawa. | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan