Khamis, 15 Disember 2011

BINCANG DULU...TIADA APA2 TINDAKKAN...BIASALAH TAPI INGAT TINDAKKAN ALLAH TETAP ADA DIAKHIRAT..DISIASAT BERSAMA DENGAN KUNCU2NYA...

Panel khas SPRM bincang kes Taib Mahmud | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Panel Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan mesyuarat khas tidak lama lagi, bagi membincangkan desakan dari 13 NGO supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat tersebut dijangka akan diadakan dalam masa terdekat sebaik sahaja Pengerusi AJK Panel itu, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dimaklumkan mengenainya.

Menurutnya, permintaan agar diadakan mesyuarat tersebut akan dibuat oleh beliau sendiri kepada Radzi atas kapasitinya selaku salah seorang AJK Panel tersebut.

Katanya, tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk membincangkan tindakan sewajarnya yang patut diambil oleh panel tersebut berhubung laporan berkenaan.

"Saya akan maklumkan perkara ini kepada Datuk Radzi nanti untuk meminta beliau memanggil mesyuarat khas AJK Panel Khas SPRM, bagi meminta SPRM menerangkan kepada kami mengenai laporan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari enam negara mendesak supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan, termasuk salah guna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Antara NGO yang membuat tuntutan berkenaan adalah Dana Bruno Manser (BMF), Greenpeace dan pertubuhan pemantau hutan dunia, Fern.

Mereka telah mengemukakan surat bertarikh semalam kepada Kerajaan Malaysia supaya menangkap individu berkenaan kerana dituduh dengan pelbagai dakwaan berkaitan dengan pengagihan dana awam secara haram, salah guna jawatan awam, merampas tanah kerajaan, rasuah, eksploitasi konflik kepentingan dan sebagainya.

Surat berkenaan dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.

"Kami memohon pendakwa utama Malaysia pada kadar segera menangkap dan mendakwa Ketua Menteri Sarawak, empat anaknya, lapan adik-beradiknya dan sepupu pertamanya, Abdul Hamed Sepawi," kata NGO itu dalam surat mereka.

Selain Abdul Taib, 75, mereka yang dinamakan itu adalah anak-anaknya, Jamilah Hamidah Taib Murray, Mahmud Abu Bekir Taib, Sulaiman Abdul Rahman Taib, Hanifah Hajar Taib.

Manakala adik beradiknya pula adalah Ibrahim Mahmud, Aisah Zainab Mahmud, Zaleha Mahmud, Onn Mahmud, Mohamad Ali Mahmud, Mohd Tufail Mahmud, Amar Hajar Fredahanum Mahmud dan Raziah Mahmud.

Surat 10 muka surat itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom serta beberapa tandatangan individu dari Malaysia.

Menurut Salahuddin, kes tersebut merupakan sesuatu yang amat serius dan pihaknya amat perlu mendapatkan keterangan lanjut dari SPRM dengan segera sama ada benar telah menerima laporan tersebut atau sebaliknya.

"Sekiranya SPRM memang telah menerima laporan itu, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh SPRM bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas pihak-pihak terbabit," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.


Video hina hudud ada kaitan dengan Noh Omar? | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan klip video yang menghina hukum hudud adalah dimiliki oleh orang yang sama yang menguruskan blog Datuk Seri Noh Omar.

Penerbit video ini juga adalah orang yang sama yang menguruskan laman web Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang di samping blog Pena Noh Omar itu.

"Besar kemungkinan dia adalah orang kuat Noh Omar," kata seorang blogger yang juga menerbitkan video klip bagi mendedahkan siapa sebenarnya di belakang video klip yang menghina hukum hudud ini.

Video klip pendedahan itu diterbitkan oleh Malaysianews di laman Youtube.

Pelbagai pihak kesal dengan tindakan pihak kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap penghinaan yang dibuat oleh video klip sembang rakyat itu.

Drs Khalil Idham Lim mempersoalkan mengapa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim terus membisu terhadap video yang berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud PAS' itu secara jelas mengelirukan umat Islam di Malaysia yang telah disebar luas di laman Facebook dan Youtube baru-baru ini.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa sejak akhir-akhir ini media boleh direka dalam pelbagai bentuk dan corak kerana perkembangan teknologi yang pesat, tetapi seharusnya tidak boleh sehingga menghina agama lebih-lebih lagi Islam itu sendiri.

“Kita amat khuatir terhadap perkembangan sebegini memandangkan para pelakonnya terdiri dari orang Islam dan ada di antaranya berlakon yang sebagai agamawan di samping penggunaan kamera beresolusi tinggi yang sudah pastinya mahal harganya,” ujar Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, klip video itu juga mempunyai unsur yang boleh mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam.

Menurut Malaysianews, kaitan antara video klip sembang rakyat itu amat jelas dengan Noh Omar dan Umno Selangor.

Ia mempunyai persamaan antara satu sama lain melalui emailnya iaitu " ajaff8@gmail.com" yang ada sebagai email penerbit dan webmaster untuk kesemua laman-laman dan video klip itu.


15 mahasiswa ditahan polis | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Polis bertindak menangkap 15 orang mahasiswa yang mengadakan perhimpunan flashmob menuntut kebebasan akademik di KL Sentral dekat ibu negara petang ini.

Mereka antara kira-kira 40 orang pelajar yang hadir berkumpul kira-kira jam 4 petang tadi yang diketuai pengerusi perkumpulan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) Mohd Safwan Anang.

Difahamkan, belum beberapa minit sempat mereka berkumpul, sekumpulan anggota polis datang menghalang mereka dan mengarahkan bersurai.

Enggan berbuat demikian, polis kemudiannya bertindak menangkap 15 daripada mereka dan kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Travers di sini.

Bantahan senyap hari ini diadakan mereka bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta autonomi akademik dijamin pihak kerajaan.

Mereka membawa sepanduk dan poster yang berbunyi 'Kami bersatu untuk kebebasan akademik' dan 'Berikan autonomi keada universiti' dan juga kertas bersaiz A4 yang tertera perkataan 'bebas'.

Bagaimanapun kesemua sepanduk dan poster tersebut dirampas pihak polis ketika pergelutan kecil sewaktu menangkap mereka.

Difahamkan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan turut hadir ke balai polis bagi memberi sokongan dan menuntut kesemua yang ditangkap segera dibebaskan.

Beberapa pemimpin parti politik Pakatan Rakyat juga turut hadir bersama beberapa peguam dan masih berkumpul di perkarangan balai polis.


Kecewa dengan BN, ahli Umno Terengganu sertai PAS | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Umno di Terengganu diakui berada dalam keadaan semakin lemah sekarang oleh ahli-ahli parti itu sendiri, sehingga menyebabkan orang ramai semakin hilang keyakinan terhadap Umno BN untuk terus memerintah di negeri itu.

Realiti itu terserlah apabila ahli-ahli Umno di Terengganu kini semakin ramai yang mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, bagi bersama-sama merealisasikan harapan "PAS Ganti Umno" di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, perbezaan sikap dan tindakan para pemimpin Umno BN dan PAS dapat dinilai sendiri oleh rakyat Terengganu hasil dari pemerintahan PAS di negeri itu pada tahun 1989 lalu, walaupun hanya untuk tempoh sepenggal.

Menurutnya, sepanjang PAS memerintah, seluruh rakyat Terengganu sendiri dapat merasakan betapa mudahnya urusan antara kerajaan dan rakyat dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan pengurniaan tanah kepada rakyat.

Katanya, selain itu, rakyat Terengganu sendiri mengetahui sejak PAS memerintah tidak lagi dikenakan cukai pintu di kawasan-kawasan perbandaran, di samping tidak mengalami kesukaran dari segi karenah birokrasi.

"Sepanjang PAS memerintah, rakyat Terengganu juga tahu tidak terdapat penyelewengan dan salahguna kuasa dan rasuah di kalangan para pemimpin PAS sehingga tak ada seorang pun pemimpin PAS yang boleh diheret ke mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

9 Disember 2011 lalu, 80 orang ahli Umno dari cawangan Kampung Banggol Donas yang terletak dalam kawasan Dun Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyerahkan borang keahlian PAS kepada Salahuddin.

40 orang daripada mereka terdiri daripada bekas Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno cawangan kampung tersebut, dengan diketuai bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus, Salleh Embong, sempena Majlis Ceramah Isu-Isu Semasa di Markaz PAS yang baru ditubuhkan di kawasan itu.

Penyerahan borang keahlian PAS daripada bekas Puteri diketuai oleh bekas Ketua Puteri Umno Cawangan Kampung itu, Rosni Hassan, 37, atas kerelaan mereka sendiri tanpa paksaaan mana-mana pihak.

Bercakap kepada media pada majlis itu, Salleh dan Rosni mengakui tindakan mereka keluar Umno dan menyertai PAS berpunca dari kehilangan keyakinan mereka sendiri dengan sikap para pemimpin Umno BN di Terengganu yang kini semakin mengabaikan tanggungjawabnya kepada orang ramai, melainkan hanya kepada kroni-kroni mereka sendiri dalam parti itu.

Mereka turut mengakui tindakan mereka itu pasti memberi tamparan hebat kepada Umno Dun Teluk Pasu khususnya dan Umno Kuala Nerus serta negeri amnya, lantaran kekecewaan ahli-ahli parti itu sendiri terhadap para pemimpin mereka.

Antara contoh yang diberikan oleh kedua-dua mereka berhubung perkara itu termasuklah hal-hal yang berkaitan projek pembinaan jalan yang melibatkan tanah serta rumah penduduk di kampung tersebut yang jelas terdapat unsur salahguna kuasa.

Hadir sama pada majlis bersejarah itu, Yang Dipertua (YDP) PAS Kuala Nerus, M Sukrimun Shamsuddin; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Naib YDP Kuala Nerus, Ustaz Ismail Mamat; Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridzuan Hashim dan Setiausaha PAS Kuala Nerus, Zakaria Dagang.

Menurut Salahuddin, kemasukan 80 orang ahli Umno ke dalam PAS itu sememangnya mencipta sejarah yang amat membanggakan PAS, memandangkan sebelum ini amat jarang ahli-ahli parti itu di Terengganu menyertai PAS secara serentak sebanyak itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian yakin tindakan 80 bekas ahli Umno itu merupakan sebahagian dari lambang kebangkitan golongan muda untuk bersama-sama melakukan perubahan politik di negeri itu.

"Banyak faktor yang dilihat oleh ahli-ahli Umno sendiri dan genarasi muda sekarang yang mendorong mereka menyertai PAS. Antaranya termasuklah perpaduan utuh di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli PAS sendiri berbanding Umno BN, sehingga tidak berlaku kem-kem dalam PAS.

"Keadaan itu berbeza dengan Umno khususnya di Terengganu sehingga berlakunya kem Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Idris Jusoh ekoran perebutan jawatan dan kuasa, sehingga akhirnya rakyat sendiri yang mengakui mereka terabai," katanya.

Beliau berharap agar penyertaan 80 orang bekas ahli Umno itu ke dalam PAS akan dijadikan titik renungan oleh ahli-ahli Umno BN lain di Terengganu untuk bersama-sama berhijrah ke dalam PAS.

Tindakan itu, tegasnya, amat penting untuk membolehkan PAS merampas Terengganu dari Umno BN pada PRU Ke-13 akan datang, bagi membolehkan PAS melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik terhadap rakyat seperti yang diharapkan oleh orang ramai sendiri.


Adun PAS nafi terlibat projek Lynas | Print |
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 14 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad hari ini tampil memberi penjelasan menafikan keterlibatan beliau dalam kontrak melibatkan pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng sebagaimana disiarkan sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini.

Dalam sidang medianya di pejabat Perhubungan PAS Pahang, beliau mendakwa ia berpunca daripada kesilapan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dalam kenyataannya ketika membentangkan Bajet 2012 yang mengaitkan beliau melalui rakan kongsi telah mendapat kontrak Lynas.

Kenyataan tersebut telah dipetik dan dieksplotasi oleh akhbar harian berkenaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa, saya menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan sebarang kontrak dengan syarikat berkenaan walau setengah sen pun seperti yang dipetik akhbar berkenaan.

“Malah pada ucapan penggulungan oleh Menteri Besar, beliau telah membetulkan kenyataannya sebelum itu bukannya rakan kongsi tetapi rakan seperjuangan yang merujuk kepada ahli PAS lain yang telah menerima kontrak daripada syarikat berkenaan.

“Malangnya pembetulan tersebut tidak disiarkan oleh akhbar berkenaan membuatkan pelbagai tanggapan buruk terhadap saya,” katanya mengulas laporan yang disiar Berita Harian.

Beliau juga kesal dengan sebuah blog yang mengambil kesempatan memainkan isu berkenaan namun yang menyedihkan gambar yang disiarkan kononnya bagi mengaitkan saya dengan Lynas ialah gambar yang tidak ada kena mengena langsung kerana ia gambar sewaktu kempen pada Pilihan Raya Kecil Kerdau.

“Saya agak dukacita dengan cara akhbar harian memuatkan berita di mana banyak perkara yang saya sebagai wakil rakyat sebutkan di dalam Dewan Undangan Negeri untuk kepentingan orang ramai, telah tidak disiarkan.

“Umpamanya dalam sidang baru-baru ini saya telah menyentuh tentang kewajaran PBT membenarkan banyak program konsert di Taman Kubang Gajah sedangkan kesan kepada kerosakan akhlak muda-mudi sepatutnya juga diambil kira.

“Saya juga telah membangkitkan kerugian PBT yang membina jambatan gantung merentangi sungai di Kuala Semantan yang melibatkan kos sebanyak RM399,000. Tetapi hanya boleh dinaiki oleh dua orang dalam satu-satu masa. Ini sudah tentu membawa kepada pembaziran.

“Saya juga menawarkan pemuda-pemuda PAS untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Namun semuanya tidak diketengahkan oleh media,” katanya.

Mengenai Lynas, beliau berkata prinsipnya ialah sentiasa bersama rakyat, selagi mana rakyat tidak meyakini keselamatan mereka terjamin maka saya tetap bersama rakyat.

Sementara itu menjawap soalan pemberita beliau tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang kepada mana-mana pihak kerana menganggapnya sebagai salah faham semata-mata.


Utusan diarah bayar RM200,000 kepada Guan Eng | Print |
Harakahdaily

PULAU PINANG, 14 Dis: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Utusan memfitnah Lim Guan Eng dan diarahkan membayar RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu serta mendapati
dia tidak anti Melayu atau anti Islam tetapi itu adalah niat buruk Utusan.

Sebelum ini, Guan Eng berkata, "Jika menang, apa-apa wang yang diterima akan kami dermakan kepaada program membasmi kemiskinan.”

Lim Guan Eng pada 6 Januri lalu mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan sebuah artikelnya memfitnah DAP.

Lim memutuskan untuk menyaman Utusan setelah akhbar harian itu menyiarkan sebuah artikel pada Disember lalu yang mendakwa DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan.

Sebelum itu, Lim mengutuskan sepucuk surat tuntutan meminta Utusan menarik balik beberapa perkataan yang didakwa memfitnahnya dalam berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng'.

Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’ dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu.

Lim dalam notis tuntutanya menafikan dakwaan berkenaan dan memohon akhbar itu menyiarkan permohonan maaf dan pampasan daripada Utusan kerana memfitnahnya.

Kehadiran Lim hari itu diiringi peguam yang juga ADUN Dato Keramat, Jagdeep Singh Deo dan juga beberapa ahli exco dan ADUN yang lain.

Mengenai jumlah pampasan yang dituntut, Lim berkata beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah untuk menentukkannya.

Tiada ulasan: