Khamis, 15 Disember 2011

HENDAK...KENALAH NGORAT2...BUKAN KUTUK DAN BERLAGAK SOMBONG SERTA HERO SEGALA HAL...DAN MENAFI BENDA SALAH...SUDAH TENTU MAKIN RENGGANG...

Umno jangan mimpi perpaduan Umno-PAS
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Tiga kali Muktamar PAS memutuskan dan mengulangi ketegasannya bahawa tidak akan wujud gabungan atau persefahaman atau dalam istilah apapun antara PAS dan Umno.

Bahkan Keputusan Muktamar itu disusuli kenyataan demi kenyataan dari pemimpin PAS bahawa parti itu akan terus setia dengan Pakatan Rakyat, gabungan yang telah mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12 2008 yang lalu.

Oleh itu segala kenyataan dari pemimpin Umno dan mereka yang sehaluan dengannya mengenai perlunya persefahaman atau gabungan PAS-Umno kononnya demin untuk perpadian ummah, hanyalah ‘cakap-cakap tepi jalan’ yang tidak mempunyai makna dan andaran apa-apa.

Cakap-cakap manis dibibir pemimpin Umno ini hanya untuk menimbulkan suatu tanggapan palsu bahawa kononnya Umno memang mahukan pepaduan Melayu/Islam demi untuk kepentingan politik umat Islam.

Apabila jelas PAS menolaknya berulang kali, lalu mereka membuat andaian dan ruduhan jahat bahawa PAS takut dengan kemarahan DAP, atau tunduk kepada pengaruh DAP yang tidak mahu Umno bergabung dengan PAS.

Dakwaan karut ini terus diulangi oleh pemimpin Umno di mana saja ada kesempatan, terutama menjelang PRU Ke-13 ini. Iaitu dengan maksud untuk menanamkan kebencian orang Melayu terhadap PAS dan seterusnya DAP bahawa PAS lebih bersedia menerima DAP dari Umno.

Mereka menjaja premis ini terumata di luar bandar, kerana mereka yakin dakwaan ini mudah diterima oleh orang Melayu kerana untuk puluhan tahun digambarkan oleh Umno/BN ini bahawa DAP adalah parti perkauman Cina dan berbahaya kepada orang Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Secara tidak benar mereka menggambarkan bahawa DAP adalah dominan dalam Pakatan Rakyat sementara PAS hanya mengiukut kehendak PAS. Analogi palsu ini bertahun dijaja oleh Umno/BN dan ditiupkan kembali dengan hangatnya menjelang PRU Ke-13. Ini semata-mata untuk mengekalkan kuasa Umn/BN yang bergelomang dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi.

Oleh itu penegasan berulang kali oleh pemimpin PAS bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno adalah penegasan yang sepatutnya diterima oleh orang Melayu yang sesetengahnya mungkin terpengaruh dengan propaganda Umno ini.

Oleh itu adalah wajar saya perturunkan kembali sebahagian Surat Terbukan Kepada Orang Melayu dari Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:

“Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno.

Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu lebih dulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanah air ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat.

Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar.

Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negerinegeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Umno sebenarnya yang bermasalah.

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis.

Akhirnya orang Melayu bukan saja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan Bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik.

Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad.

Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Demikianlah pandangan Dato Seri Presiden yang sangat wajar menjadi renungan mengapa PAS menolak gabungan dengan PAS dan inilah juga sebahagian hujah yang dikemukakan oleh pemimpin dan perwakilan dalam tiga Muktamar Tahunan PAS di Ipoh, Shah Alam dan Kota Bharu.

Oleh itu suara-suara yang kedengaran kembali mengenai perpaduan Umno-PAS, terutama menjelang PRU ke-13 akan datang, adalah suara yang tidak memahami hakikat sebenar jalur perjuangan PAS, atau mereka yang keliru, atau untuk kepentingan politik golongan sekular/perkauman. Pandangan ini sudah tentu bertentangan dengan Islam.


Filem macam mana yang kita mahu | Print |
A. Rahman Dashuki

“Tom kau nih layan cerita orang putih je, cite melayu tak ada ke ?”
“Cerita melayu, hahaha, sorry sikit! Cerita NOOB! Tak faham dan melalut”
“Abis tu kau tengok cerita orang putih tu tak melalut ke, bajet ‘power’ english je ko ye”
“At least cerita orang putih membuka minda, dapat lihat masa depan sikit”
“ At least ha….kuar dah orang putih ko ye, hehehe “

Apabila bercakap mengenai pasaran filem-filem tempatan yang dihasilkan, ternyata statistik menunjukkan satu peningkatan yang dahsyat dalam industri perfileman di tanah air kita kini. Tahun 2011 sahaja mencatatkan sebanyak 42 buah filem telah dihasilkan oleh krew-krew produksi tempatan. Angka ini hanya diambil bagi filem yang berdaftar di bawah FINAS , tidak termasuk filem-filem ‘independent’ yang turut mendapat sambutan hangat daripada kalangan penonton.

Daripada bilangan 42 filem ini, rata-ratanya membawa genre berbentuk seram, komedi,sejarah, aksi dan cinta. Filem-filem berunsur seram ternyata menjadi pilihan hati para pengarah filem kita untuk dijadikan bual bicara untuk masyarakat . Ternyata setakat ini filem keluaran SkopProduction ‘KL gangster’ mendapat anggaran kutipan yang paling tertinggi sepanjang tahun 2011 (11.74 Juta), menewaskan filem terbaik Festival Filem Malaysia 24 (2011) iaitu Hikayat Merong Mahawangsa.

Begitulah serda sedikit mengenai statistik yang dikeluarkan oleh pihak FINAS setakat tahun 2011. Maka konklusi dan interpritasi yang mampu kita lakukan ialah berbalik kepada 2 elemen yang paling penting iaitu Filem (mesej, jalan cerita dan watak) dan juga masyarakat (Kesan positif dan negatif)

Untung atau Merangsang Masyarakat

Zaman yang serba moden kini, semua orang mampu mengakses filem-filem yang dikeluarkan dengan pelbagai cara, secara tidak langsung hasil karya-karya ini dapat di nikmati dengan mudah dan senang.

Namun apa yang harus ditekankan, apakah impak dan kesan karya-karya tersebut kepada masyarakat dan manusia. Di sini berlaku pertembungan yang dahsyat! Antara untung sesebuah produksi filem dijadikan ‘first point of view’ atau daya merangsang masyarakat bila melihat filem tersebut.

Rata-rata filem yang dihasilkan setakat ini, memberikan sedikit kekesalan dan kesedihan kerana akhirnya, habuan dan impak kepada penonton dan masyarakat seakan-akan di anak tirikan berbanding aspek keuntungan filem tersebut. Maksud ‘dianak tirikan’ disini ialah, bagaimana pandangan seorang pengarah filem memikirkan cara yang mampu memberi kesan terbaik daripada keseluruhan hasil karya mereka ke arah memberi satu rangsangkan pemikiran yang positif kepada masayarakat berbanding keuntungan yang mereka ingin cari. Lantas memilih ganre yang klise (typical), ingin cepat siap, tiada ada kajian yang mendalam dan tersempit dalam satu aspek pandangan sahaja merupakan jalan singkat untuk mereka merealisikan impian mereka iaitu melihat filem mereka ditayangkan di pawagam.

Sebagai contoh, lihat sahaja pada tahun 2011, kebanjiran filem-filem seram telah mengaburi mata-mata pengarah untuk terus membuat filem bercorak begitu, hasil kutipan keuntungan yang tinggi yang diperolehi dariapda filem “Jangan Pandang Belakang” (2007). Lantas ramailah yang beralih ke arah filem seram kini.

Saya jamin dalam beberapa tahun lagi dalam otak para pengarah ini sudah siap bersedia untuk membuat filem ‘AKSI’ ala-ala lawan-lawan gitu berikutan filem yang bercorak seperti “KL Gangster” yang kini mendapat tempat di hati penonton. Akhirnya keadaan ini menyebabkan filem dihasilkan mengikut arus dalam masyarakat, bukan menukar arus masyarakat tersebut. Hasilnya krew-krew produksi berlawan-lawan membuat filem yang tidak kuat dan mereka hanya memikiran untung semata-mata. Ya memang betul jika dikatakan filem-filem seram turut menyelitkan nilai-nilai murni di dalam cerita tersebut, namun sejauh mana ia memberi impak kepada masyarakat, saya belum boleh jamin.

Soalan mudah, bila kamu menonton filem seram apa yang kamu dapat? Apa yang budak-budak dapat? Apa golongan orang tua dapat? Jika semua golongan ini memberi satu rangsangan yang positif dan baik barulah kita mampu katakana filem seram itu berjaya dan baik.

Salah satu kesalahan juga yang saya fikirkan pada pengarah-pengarah kita masa kini ialah meletakkan jalan cerita dahulu sebelum menilai apa yang sebenarnya keperluan dalam masyarakat. Bila para pengarah menganalisis apakah isu-isu yang bermain di dalam masyarakat yang menjadi satu keperluan untuk diubah dan dirangsanag supaya menjadi satu ‘environment’ yang positif dan mampu membentuk masyarakat.

Mesej dan Roh dan Keraguan

Medan untuk membuat sebuah filem sekarang terbuka luas, pelbagai saluran dan dana mampu diusahakan. Namun sejauh mana seseorang pengarah itu mampu membaca pemikiran masyarakat. Tidak ramai pengarah yang menghasilkan filem setelah menyantuni masyarakat. Kadang-kadang kekeliruan yang mendesak turut melanda para pengarah filem secara tidak sedar.

Bagi pengarah yang baru-baru ingin berkecimpung dalam genre filem pop-islamik,ratanya mendapat satu ‘storyline’ yang akhirnya gagal menyerlah islamiknya filem tersebut. Penangan hasil filem ‘Ayat-ayat cinta’ dan “Ketika Cinta Bertasbih’ membuat segelintir pengarah filem di Malaysia terlalu kehadapan untuk membuat filem-filem pop-islamik tanpa membuat kajian yang mendalam dan mendapat nasihat-nasihat daripada orang berkelayak dalam agama. Filem keluar yang pada asal mesejnya ingin membimbing masyarakatakhirnya mengelirukan masyarakat itu sendiri.

Saya ingin sentuh sedikit mengenai mesej dan roh. Bagi penggiat filem-filem bercorak pop-islamik, mengapa filem-filem sebegini kurang mendapat sambutan dalam masyarakat kita. Tengok sahaja filem ‘2 alam’ yang kurang mendapat sambutan. Untuk karya-karya sebegini ianya mempunyai satu lagi unsur tambahan iaitu unsur ‘roh’.

Roh Islamnya!. Dalam pembikinan filem, set krew, pengarah, pelakon semuanya perlukan satu roh yang kuat untuk membawa cerita-cerita sebegini. Islam datang dengan prinsip dan dalam filem juga begitu, mana mungkin di dalam filem seorang watak mampu menjadi ustaz, ustazah dan di luar set menjadi orang lain…Maka roh tidak sampai ke hati-hati penonton dan filem tersebut menjadi layu. Maka dengan ini saya sarankan kepada pengarah-pengarah filem yang ingin membuat filem pop-islamik maka kaji betul-betul isu yang ingin digarap dan hidupkan suasana islaminya di set pengambaran, dan sebagainya bukan semata-mata atas skrip sahaja.

Filem Luar Vs P.Ramlee

Berbalik kepada perbualan atau dialog di atas. Anda rasa, apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku? Adakah kurangnya kualiti filem-filem tempatan menyebab ada segelintir kita yang gemar melihat filem-filem hollywood yang katanya lebih menguji minda (Filem Inception), hebat grafiknya (Avatar) atau apa?

Kalau sebab itulah anda katakan filem luar lebih bagus, maka saya bawakan kisah seniman terkenal kita iaitu Tan Sri Dr P. Ramlee ini. Filem beliau yang berjodol “Pendekar Bujang Lapok” pernah dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik Festival Filem Asia ke -6, dan pelbagai anugerah antarabangsa yang dikecapi beliau. Filem-Filem beliau tidak akan jemu kalau dilihat berulang kali. Dengan hanya membawa isu kemasyarakatan ianya mampu mengesani penonton. Itu yang saya katakan menyantuni masyarakat sebelum menghasilkan jalan cerita. Filem-filem yang dihasilkan oleh P.Ramlee bukannya satu genre sahaja malahan banyak genre, ada yang komedi, ada yang seram (Sumpahan Orang Minyak) ada yang aksi, namun hasil filem-filem ini terungkai selepas beliau melihat isu apa yang hendak disampaikan setelah beliau betul-betul memahmi masyarakat dan ingin mengubah dan merangsang masyarakat ke arah nilai-nilai positif.

Produksi Filem Dan Agenda

Akhir kata, tidak ada manfaat pun jika filem-filem ini terus berlambak di pawangan namun tidak memberi kesan maksimum kepada penonton yang melihatnya. Indusrti Filem makin berkembang, minda masyarakat masih belum berkembang. Filem mampu menjadi penyembuh dan mampu juga membunuh.

Maka produksi-produksi filem perlu mengetahui apakah agenda dan matlamat yang mereka inginkan dalam membuat filem atau apa-apa hasil karya mereka. Sebaik-baik agenda itu ialah agenda yang mampu menolong masyarakat kita pada hari ini. Bawakan isu-isu yang mempunyai nilai-nilai yang mempunyai arus yang kuat untuk mengubah cara mereka berfikir, dan cara mereka hidup dalam bentuk yang mudah dan jelas untuk difahami. Akhirnya bila jelas apa yang kita ingin bawakan, secara tidak langsung kualiti dan idea yang dihasilkan akan bercambah dan terus bercambah.
------------------------------------------------------------------------------------------

( Filem KL Gangster merupakan filem paling berjaya pada tahun 2011.Merangkul pelbagai anugerah sperti Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.Namun bagaimana pula impak kepada masyarakat yang melihatnya, adakah masalah gangseterism dapat di atasi atau sekadar membuka ruang kepada anak-anak muda mengenali dunia gangster itu sendiri)

( Filem-filem dan drama-drama seram menjadi pilihan para pengarah untuk tahun 2011.Bagimanapula untuk 2012, adakah FINAS akan menghadkan filem-filem bercorak seram dengan memperbanyakkan lagi cerita berunsur sejarah dan sebagainya. Sama-sama kita saksikan )

( Filem 7 Petala Cinta daripada terbitan Metrowealth hasil daripada arahan pengarah Azhari Zain yang merupakan penulis Skrip bagi cerita Duyung. Genre filem Cinta Islamik ini bakal di tayangkan pada Mac 2012. Harap ianya bukan cerita-cerita picisan)


40 minit bersama MB Kelantan

Mohd. Rizal bin Jaafar
Mencuri peluang untuk berjabat tangan atau bertemu muka dengan YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat bukanlah sesuatu yang mudah. Kepada mereka yang tinggal di Kota Bharu dan sering ke masjid, peluang itu mungkin besar sedikit; namun buat orang seperti saya yang tinggal di Kuala Lumpur dan hanya ‘kadang-kadang’ melawat masjid...barangkali sudah hampir mustahil.

Bukannya tidak pernah mencuba. Setiap kali datang ke Kelantan, saya akan ikhtiarkan usaha untuk ke Kampung Pulau Melaka di Kota Bharu dengan harapan dapat terserempak dengan Tok Guru selepas solat. Namun nasib belum menyebelahi saya.

Dengan takdir Allah SWT, saat yang ditunggu hadir jua dengan cara yang sungguh tidak disangka-sangka. Bukan sekadar terserempak, bahkan saya dan rakan-rakan perniagaan mendapat jemputan rasmi untuk ‘bertemu dan berbincang’ dipejabatnya di Kota Darulnaim. Entah apa tarikannya yang menyebabkan Tuan Guru sudi menerima kunjungan kami, masih menjadi misteri buat saya.

Setelah membuat segala persiapan, kami berenam memulakan langkah Bismillah, dengan harapan menggunung tinggi agar cadangan kami diterima baik. Tetapi lebih penting lagi adalah impak pertemuan yang bakal menjadi peristiwa yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat kami. Bahkan kami turut berangan-angan mendapat jemputan makan tengahari bersama Tuan Guru selepas mesyuarat. Bagi kami itulah hasil mesyuarat yang paling berjaya.

Kamera SLR telah berjaya dipinjam, kot ‘patelung’, tali leher ‘Zegna’ semuanya telah siap berbungkus, isikandung persembahan juga sudah berpuluh kali ditapis dan diulang-ulang sehinggalah ke malam terakhir sebelum perjalanan musafir ini bermula.

Dalam diam rupanya ramai juga yang cuba melobi agar turut terpilih mengikuti rombongan perdagangan ini dan bertemu dengan idola mereka. Ingatkan saya seorang yang kemaruk, rupanya ramai.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baru yang kebiasaannya menyeronokkan kali ini banyak juga ranjaunya. Hendak dijadikan cerita, kami berenam bersepakat menaiki bas ekspres dengan alasan tidak mahu memandu dan mahu bersantai sahaja (ada sebab lain juga sebenarnya tetapi biarlah rahsia).

Tepat jam 10.30 pagi bas bertuah ini akhirnya mula bergerak melakar sejarah membawa harapan dan misi yang maha penting.

Bas yang sebenarnya sudah usang dan suka berkeriut ini akhirnya tiba juga di Bandaraya Kota Bharu sekitar jam tujuh malam. Kami sebenarnya sedikit kecewa dan marah kerana pemandu bas yang sudah dipesan untuk menurunkan kami di KB Mall terlupa untuk berhenti dan langsung terus ke perhentian bas terakhir (kami sebenarnya tidak tahu menahu di mana letaknya KB Mall tetapi telah dimaklumkan oleh rakan yang ia paling hampir dengan Kota Darul Naim).

Sejurus mendarat di hentian bas lama, kami disambut beberapa pemandu teksi sapu yang pekat dengan loghat Kelantannya. Pada masa yang sama, laungan azan Maghrib yang berkemungkinan datang dari Masjid Muhammadi sudah mula kedengaran.

Penat, tenggelam punca, lapar dan kotor; kami sebenarnya sudah tidak kuasa bertegang-urat dengan pakcik-pakcik pemandu teksi, lantas menerima sahaja tawaran dari pemandu yang paling lantang suaranya. Yang penting kami harus sampai di KB Mall dan berjalan kaki menuju ke Homestay yang telah ditempah sebelum senja bertukar malam.

Episod malam itu selesai setelah kami check-in di Homestay (dan terimakasih juga kepada ‘abe-abe’ pemandu teksi sapu yang baik hati). Setelah memaklumkan kedatangan kami kepada wakil Pejabat Menteri Besar Kelantan (PMBK), makan malam ala-kadar (warung nasi lemak sebelah kubur Kristian, tepi jalan bersebelahan KB Mall), mempersiapkan pakaian serta membeli sedikit keperluan di KB Mall, barulah kami dapat berehat.

Saya yang sudah terlalu kepenatan akhirnya tumbang sekitar jam dua pagi bersama benak yang sudah senak dengan pelbagai kemungkinan dan drama yang bakal terurai keesokan harinya.

10 pagi, 11 Muharram.

Kesemua enam peniaga kecil dari Kuala Lumpur ini dengan segak dan bergaya (lengkap ber-kot dan ber-talileher, harum semerbak, wajah bercukur licin tetapi meninggalkan sedikit ‘janggut’ dan ada juga yang memberanikan diri memakai kopiah putih) melangkah keluar dari bilik penginapan menuju ke pejabat Menteri Besar.

Temujanjinya jam 10.30, mentari pagi sudah terik dan kami sudah tidak sempat bersarapan. Maka dengan tergesa-gesa kami mula berjalan kaki dari simpang Wakaf Siku menuju ke Kota Darul Naim. Destinasi yang hendak dituju agak dekat, tetapi bagi kami terasa begitu jauh sekali. Mungkin kesan daripada pandangan pelik pekedai dan kenderaan yang lalu lalang terhadap gaya, rupa dan pakaian kami.

“Siapalah agaknya lelaki-lelaki mabuk yang sanggup berjalan dalam panas terik siap dengan tali leher, ‘blazer’ dan ‘briefcase’ ni?” Kami segan juga sebenarnya dan menyesal sedikit kerana tidak menyewa kereta. Tetapi perasaan itu segera dipendamkan. “Sebentar sahaja lagi, sejarah akan tercipta….”

Apabila tiba di balai keselamatan Kota Darul Naim, kami dijemput dan terus dibawa oleh pengawai khas Menteri Besar masuk ke blok utama. Luas juga kawasannya, dan apabila sudah berada di dalam, barulah terasa selesa melihat spesies ‘saudara’ yang sama ‘sejaket’, ‘setali leher’, ‘sekopiah’ dan ‘sejanggut’.

Kami dijemput ke bilik Menunggu VIP. Disana, perasaan kami bercampur-baur di antara rimaskan baju yang sudah bermandi peluh, cemas dengan kelewatan kami, lapar dek perut yang masih belum menerima juadah pagi; dan bangga kerana dilayan sebegitu penting. Paling mustahak disebalik segala ketidakselesaan ialah ‘skrip persembahan’ yang masih kukuh tersimpan didalam ingatan saya.
Kami cuba juga menunjukkan wajah yang ceria; dan bersalaman dengan sesiapa sahaja yang memandang dan menyapa. Ruang pejabat MB Kelantan tidaklah se-gah ruang pejabat mana-mana menteri di Putrajaya, tetapi masih kelihatan bersih dan tersusun.

Sepuluh minit kemudian, kami dibawa masuk ke bilik mesyuarat yang memang bersambung dengan bilik YAB Tuan Guru. Degupan jantung saya sudah semakin kencang, muka sudah semakin pucat, peluh masih tidak mahu berhenti mengalir dan tapak tangan saya yang lembap sudah hampir basah. Beberapa kakitangan PMBK mula sibuk keluar-masuk bilik mesyuarat bagi memastikan segala keperluan terisi. Komputer kami disambung ke televisyen LCD, manakal kerusi disusun mengikut protocol. Lampu dilaras agar cukup terangnya dan suhu penghawa-dingin ditokok agar cukup sejuknya. Turut disediakan untuk setiap tempat duduk ialah sekotak air mineral dan piring kecil berisi kuih lapis dan kuih akok yang dibungkus plastik. Memang serba sederhana. Ada juga beberapa ‘pemerhati bebas’ yang ingin melihat sendiri wajah-wajah yang mahu berjumpa dengan ‘bos’ mereka…agaknyalah.

Apabila telah selesai, seorang demi seorang kakitangan bertugas keluar dari bilik mesyuarat; dan orang kuat kerajaan negeri yang pertama segera masuk dan mengambil tempat duduk. Tidak perlulah disebut siapa, tetapi cukup untuk menambah suspense kepada drama yang bakal tersingkap. Pegawai kedua juga sudah masuk dan duduk. Tetapi kelibat Tuan Guru masih belum kelihatan. Saya sudah mula risau. Jika tadi saya cemas menanti kedatangan Tuan Guru, sekarang saya lebih risau jika Tuan Guru tidak dapat hadir.
“Takkan Tok Guru tak sudi bertemu dengan kami?” Wajah rakan-rakan juga sudah tidak keruan walaupun para pegawai yang hadir masih kelihatan seperti biasa. Pada waktu dan ketika itu, saya hampir pasti kesemua rakan saya sudah tidak fikirkan lagi hasil temujanji kami, kerana agenda pertemuan yang paling utama bakal berkubur sekiranya Tuan Guru tidak muncul.

Tiba-tiba pintu khas yang menyambungkan bilik mesyuarat dengan pejabat Menteri Besar berkuak dan dengan pantas kesemua pegawai kerajaan negeri yang hadir bingkas berdiri dan hampir berlari menuju ke pintu. Kami yang cemas ini terpinga-pinga dan masih melekat dibangku. Apabila pintu terbuka maka muncullah kelibat dan wajah berserban yang sudah kerap dilihat, tetapi cuma dari jauh, dari kaca televisyen, pada paparan skrin komputer dan diatas kertas. Sekarang Tuan Guru Menteri Besar Kelantan sudah ada didepan mata.

Subhanallah.

Tuan Guru orangnya kecil molek sahaja, sedikit bongkok dan langkahnya seperti tertahan-tahan. Pergerakannya perlahan dan senyap, seolah-olah mahu menyelinap masuk ke bilik mesyuarat tanpa disedari. Apabila pintu dibuka, tangannya tidak dilepaskan dari tombol pintu dan dengan perlahan beliau menutupnya kembali (tidak seperti sesetengah pegawai besar yang suka ‘menghempas’ pintu untuk menunjuk kuasa). Pada pagi tersebut beliau memakai baju Melayu berwarna jingga lengkap bersampin dan berjubah hitam diluar.

Seorang demi seorang mengambil giliran bersalaman dengan Tuan Guru. Saya sememangnya tidak mahu melepaskan peluang yang sudah begitu lama dinanti. Tetapi tatkala hampir sampai giliran saya, mulalah datang pelbagai persoalan. Salam yang bagaimana paling sesuai? Salam hujung jari? salam genggam sebelah tangan? Dua belah tangan? Salam sambil menundukkan kepala? Salam cium tangan? Salam dan peluk? Sebelum sempat saya membuat keputusan, tangan Tok Guru sudah menyapa saya, dan tanpa berfikir saya terus menyambutnya dengan salam sebelah tangan. Aduh, sepatutnya digunakan salam cium tangan sebagai tanda hormat anak murid kepada gurunya. Memang teruk saya ni.

Selepas bersalaman, kami kembali ke kerusi masing-masing, dan Tuan Guru mengambil tempat duduknya dihujung meja yang selalunya memang dikhaskan untuk pengerusi mesyuarat. Sejurus duduk, beliau memandang kami semua (dua orang pegawai masih belum tiba); memberikan salam, membaca ummul kitab dan mengetuai bacaan doa. Sebaik selesai berdoa dengan lembut beliau berkata, ”Sekarang saya persilakan tuan-tuan mulakan!”

Segalanya berlaku begitu pantas dan sekarang semua mata tertumpu kepada saya yang sedang memegang ‘laser pointer’. Pada saat dan ketika itu, semua skrip dan dialog yang telah saya hafal; kata-kata pendahuluan dan terimakasih; kata panggilan dan susun atur persembahan hilang serta-merta dari ingatan.

Saya yang sudah dianggap berpengalaman membuat persembahan tiba-tiba kelu dan panik. Tuan Guru dan pegawainya masih tidak berkelip memandang saya. Pada waktu itu segelas air setidak-tidaknya boleh juga membantu mengurangkan keketaran; tetapi air mineral diatas meja tiada sesiapa pun yang berani menyentuh, apatah lagi mahu membuka atau meminumnya. Jadi saya terpaksa juga teruskan majlis menggunakan skrip spontan dan alhamdulillah sedikit demi sedikit keyakinan diri datang kembali walaupun nafas masih sedikit mencungap dan nada suara ini sedikit sumbang.

Sambil berucap, sekali-sekala saya cuba juga menjeling ke arah Tuan Guru dan ada ketikanya saya lihat beliau memandang kearah saya begitu lama. Ada masanya Tuan Guru seperti memejamkan mata sambil menongkat dagu. Saya harap pembentangan saya tidaklah terlalu membosankan sampai Menteri Besar pun boleh terlelap.

Tiga puluh minit berlalu dan tugas saya membentangkan cadangan akhirnya tamat. Kini tibalah sesi yang paling mendebarkan iaitu sesi soal-jawab. Tuan Guru masih belum bersuara walaupun sesi soal jawab berlangsung rancak dengan soalan-soalan yang agak rumit juga. Mujur rakan-rakan dapat memberikan jawapan yang pada saya sudah cukup baik. Walaupun masih diam, riak wajah dan pandangan mata Tuan Guru menunjukkan minat yang agak positif.

Apabila sudah selesai berbincang, saya akhiri majlis dengan ucapan penutup sambil cuba menangguhkan sesi dengan harapan dapat bertemu lagi dilain temujanji. Pada ketika ini barulah Tuan Guru bersuara. Nadanya perlahan sekali, sehingga kami terpaksa mendekatkan telinga untuk mendengar amanatnya.

Isi ucapan beliau sekali dengar seperti tidak relevan dengan tema perbincangan. Tetapi oleh kerana amanat itu datang dari orang nombor satu Kelantan, tidak ada yang berani menokok tambah.

Tuan Guru mengakhiri majlis dengan membaca doa penutup beserta laungan takbir (pertama kali dalam hidup saya mesyuarat ditamatkan dengan takbir). Beliau yang nampak keletihan perlahan-lahan bangun dan seperti mahu terus menuju ke pejabatnya. Saya dan rakan-rakan saling memandang…ada tiga urusan belum selesai iaitu bersalaman, menyerahkan cenderahati dan bergambar (ini yang paling penting); tetapi Tuan Guru sudah berpusing ke pintu dan mula melangkah. Salah seorang rakan kongsi saya tiba-tiba menjerit…”Tuan Guru! Tuan Guru!...” entah berapa kali dilaungnya barulah Tuan Guru tersentak dan berpatah semula ke meja. Cenderahati diberi, dan kami akhirnya dapat bergambar bersama.

Alhamdulillah.

Kami bersalaman buat kali terakhir (sekali lagi saya terlupa untuk salam cium tangan); dan dengan sekelip mata Tuan Guru ghaib ke pejabatnya. Mesyuarat tamat sebelum tengahari dan kami berjalan pulang ke bilik penginapan berpasang-pasang; seronok dan gembira dengan apa yang telah berlaku pada pagi itu. Cuaca tengahari sememangnya panas tetapi peluh yang mencurah-curah sudah tidak dipedulikan lagi. Misi utama telah terlaksana.

Sebelum pulang ke ibukota, kami sempat singgah di Masjid Muhammadi untuk solat Maghrib (kami berjalan kaki dari Homestay dan tiba di masjid serentak dengan azan Maghrib, sama seperti malam sebelumnya). Rupa-rupanya KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-5 turut solat bersama dan yang paling menarik, baginda turut mengikuti Kuliah Maghrib yang disampaikan yang bertajuk “Pemimpin Yang Zalim”. Hai, saya tak fikir ia berani dilakukan ditempat lain. Orang Kelantan memang hebat!

Bas ekpress jam 9 malam tiba di Kuala Lumpur jam 5.30 pagi keesokannya. Dengan itu tamatlah pengembaraan enam sahabat yang kepenatan.

Pertemuan bersejarah dengan Menteri Besar Kelantan berlangsung lebih baik dari jangkaan saya. Walaupun tidak berpeluang menjamah kuih akok dan kuih lapis, atau makan tengahari bersama; Tuan Guru seolah-olah mahu mendidik dan menunjukkan tauladan yang akan kekal dalam ingatan kami. Jauh disudut hati saya faham Tuan Guru melaksanakan segala-galanya mengikut ajaran dan sunnah Rasulullah SAW.

Tidak perlu banyak bercakap tetapi lebih suka mendengar, tidak ada janji manis dan omong kosong, tidak bermewah-mewah dan berlebih-lebih, tidak membazir masa dan berucap panjang lebar dan akhir sekali; memberikan sepenuh kepercayaan kepada pembantu-pembantunya yang telah diamanahkan.

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun jahil, saya masih berpeluang bertemu sendiri dengan seorang negarawan, ilmuan dan ulama yang dihormati rakan dan musuh. Sangat jelas pada pandangan kami betapa berat tanggungan dan beban yang seolah-olah sudah tidak terpikul oleh tubuh Tuan Guru.

Saya juga bersyukur kerana negeri Kelantan masih lagi utuh sebagai serambi Mekah dan gigih membangun bersama Islam. Semoga Kelantan akan sentiasa hijau dan aman dibawah panji-panji Islam. Saya berdoa agar Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus dikurniakan kesihatan dan kebijaksanaan untuk memerintah negeri Kelantan dengan seadilnya. Semoga Malaysia turut dapat merasa tempiasnya dan sentiasa mendapat Rahmat dan belas ihsan daripada Allah Yang Maha Esa.

Allahu akbar!


Mujahid: PAS ganti Umno dan Mohamad Sabu

Mujahid Yusof Rawa
Program PAS Ganti UMNO (PGU) telahpun dilancarkan awal tahun ini. Ia merupakan satu slogan bagi meyakini orang ramai bahawa ketiadaan UMNO sebagai parti dominon bukanlah bererti orang Melayu hilang arah kerana PAS akan tampil untuk mengambil alih kepimpinan dan politik orang Melayu. Ini bersandarkan kepada realiti bahawa PAS adalah merupakan parti komponen PR yang terbesar berpandukan kepada keahlian, jentera dan pengalaman. Saya boleh bersetuju PGU dalam konteks pengambilalihan kepimpinan politik Melayu tapi awas! Kalau ganti itu membawa makna PAS akan ganti "perangai" UMNO di tampuk pemerintahan, saya akan menolak slogan PGU. Itulah yang diluahkan oleh Timbalan Presiden PAS dalam ucapannya yang disiarkan dalam MerdekaReview pada 5 Disember 2011, ditulis oleh Lim Hong Siang.

Jangan Ganti Perangai UMNO


Perangai buruk UMNO sebagai parti yang memerintah kerajaan persekutuan hari ini boleh disimpulkan dalam satu permasalahan yang dinamakan sebagai isu integriti. Persoalan ini menghantui UMNO dan mendapat persepsi yang buruk di kalangan rakyat. Apakah PAS ganti UMNO untuk rakyat nanti menyaksikan pemimpin PAS hidup mewah di luar kemampuannya? Ataukah bakal-bakal Menteri dalam kabinet Pakatan nanti khususnya PAS akan mengulangi "perangai" minta komisyen atau salahguna kuasa yang ada? Itukah maksud PGU? Persoalan ini membimbangkan Timbalan Presiden PAS itu.

Islam dan Muslimin

Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melontarkan satu ide tentang bagaimana Barat lebih dilihat Islamik dari sudut tatacara kelola kewangan negara, ketelusan dan integriti sebuah kerajaan dan hak asasi manusia. Saya teringat akan kata-kata ulamak Islam Syeikh Muhamad Abduh (1849-1905) ketika dia melawat Eropah dia mengkagumi kemajuan dan ketamadunan Eropah (Barat) yang nilainya sama dengan Islam. Dia berkata, "I went to the West and saw Islam, I got back to the East and saw Muslims but not Islam". Saya yakin Mat Sabu tidak berkata tanpa satu pengamatan dari susur galur kebangkitan Eropah dan zaman malap tamadun Islam. Apa yang malang dari kenyataan Mat Sabu ialah keadaan tidak berubah sejak ia diucapkan oleh Syeikh Muhammad Abduh kurun yang lampau.

Tunjuk contoh dulu


Saya memahami bahawa apa yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS itu didasari oleh kebimbangan melihat masa depan PAS dan Pakatan Rakyat secara umum jikalau diberi amanah untuk memerintah. Ini adalah kerana tidak ada gunanya kita melaungkan reformasi atau islah jika kita gagal membuat perubahan dan membongkah akar umbi kebusukan yang akan ditinggalkan oleh regim lama BN. Kalau kita mengulangi kebusukan BN maka reformasi kita hanya kosmetik dan hanya tukar baju tapi dalam penuh dengan panau dan kurap. Saya berpendapat bahawa kenyataan Mat Sabu mewakili ramai dari rakyat yang mahukan perubahan yang tulen dan bukan palsu.

Jalan sukar

Berkenaan dengan Arab Spring Revolution yang menumbangkan kebusukan regim diktator dunia Arab, saya berpendapat perubahan regim yang berlaku akan mengalami jalan yang sukar dan berliku. Ini adalah kerana buat sekian lama dunia Arab bukan sahaja berada di bawah pemerintahan kuku besi tetapi kedudukan sosial dan strata masyarakat serta keadaan ekonomi membentuk satu cabaran yang besar kepada order baru seperti Tunisia, Mesir, Libya dan Syria.

Pengajaran

Pengalaman kebangkitan Arab mengajar kita untuk membuat lonjakan dalam melakar perubahan regim. Saya mencadangkan bagi mengukuhkan pandangan Mat Sabu (gambar kiri), lonjakan kita mesti melibatkan program kesedaran, pemodelan negeri Pakatan sebagai contoh dan reformasi parti-parti politik yang perlu dilihat telus dalam menyusun sistem organisasi parti. Parti-parti politik kita khususnya komponen Pakatan masih tidak menunjukkan kesungguhan mereformasi partinya dulu sebelum mampu mengemukakan reformasi politik.

Mat Sabu saja yang tahu

Adapun kenyataan Mat Sabu yang mengatakan golongan kiri dan liberal Barat lebih dilihat bersungguh mengamalkan integriti, ia adalah satu cabaran besar kepada parti Islam yang seharusnya mengungguli prinsip integriti berdasarkan prinsip moral yang dilaungkan. Apakah benar kebimbangan Mat Sabu itu, adakah benar dakwaan beberapa EXCO Kelantan tidak mencerminkan kehidupan sederhana yang dilaungkan oleh PAS?

Saya tidak mempunyai jawapan, hanya Mat Sabu yang tahu apakah maksud yang tersirat daripada kenyataannya. Namun mengenali Mat Sabu, beliau adalah orang yang setia kepada parti dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan apabila memberi pandangan. Saya juga berpendapat Mat Sabu berada sebagai orang nombor dua parti Islam untuk menjalankan tugas mengocak air yang tenang supaya parti jangan berada di zon selesa.

---------------------------------

Rencana asal disiarkan dalam Merdeka Review.


Si muflis pulih selepas 5 tahun | Print |
Subky Latif
TELAH perbulan di surau tentang status orang muflis yang dikatakan akan pulih sepenuhnya sebagai orang awam biasa selepas lima menjalani kehidupan malang itu tanpa perlu melunaskan hutang atau apa-apa sebab yang menjadikannya muflis.

Banyak kekangan yang dihadapi oleh si muflis, tidak boleh berbuat itu dan ini, tidak layak menjawat itu dan ini, tidak boleh jadi calon pilihan raya, tidak boleh meninggalkan negara dan sebagainya. Malah ada masalah bagi menunaikan haji.

Apa reaksi awal orang awam tentang pelupusan si muflis tentang bebannya itu?

Ia adalah satu pengampunan dan pembebasan beramai-ramai orang-orang politik yang banyak berhutang dengan bank dan institusi kewangan kerajaan yang ada hubungan kerajaan.

Orang-orang politik yang menyokong kerajaan adalah pihak yang mudah dan banyak mendapat bantuan kewangan atas nama perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

Merekalah yang banyak tidak mampu menjelaskan pinjaman oleh berbagai sebab hingga terpaksa dimufliskan. Ramai yang muflis itu adalah orang-orang yang berpengaruh. Ada tanda-tanda si muflis ini tidak akan dapat memulihkan status itu hingga mati.

Sesudah begitu banyak wang dan khazanah digunakan oleh mereka untuk mereka, maka apakah cara untuk menjadikan mereka manusia sempurna semula? Dan banyak gunanya kepada politik jika mereka dipulihkan.

Tiada cara melepaskan penyangak itu bagitu saja, melainkan terpaksa dimulihkan. Melepaskan mereka tanpa sebarang tindakan ada menjolok mata. Bagi menunjukkan pemerintah itu adil, maka mereka dimufliskan. Untuk berapa lama? Terpulang. Untuk selama-lama atau sementara.

Sekarang mereka diberi tempoh lima tahun. Selepas itu mereka boleh dipulihkan. Maka bebaslah mereka. Terserahlah sama ada untuk taubat dan apa yang patut.

Jika mereka terus muflis duit yang mereka habiskan itu tidak mungkin dapat dijelaskan semula. Tetapi jika mereka dibebaskan, mungkin mereka boleh berbuat sesuatu.

Apa bijaksananya pengampunan itu? Terserah kepada keadaan.

Tetapi kalau sudah boleh mereka diampunkan, bagaimana dengan peminjam baru dan orang yang dibebankan dengan bantuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang hampir sejuta, melibatkan dana sekitar lima bilion, dan amat payah untuk dipungut semula.

Seruan supaya mereka secara sukarela menjelaskannya dirasakan payah. Maka macam-macam cadangan tindakan dikenakan kepada mereka.Tindakan itu rata-rata semacam dengan yang dikenakan oleh si muflis.

Telah timbul polemik tentang tindakan kepada orang yang dapat PTPTN itu, malah ramai juga mahu ia dihapus kira kerana kebanyakannya dipercayai belum punya pekerjaan tetap bagi membayar balik hutang.

Memang ada antara penerima PTPTN dari jenis orang yang muflis itu.

Jika si pemulis diberi pengampunan. Tiada lagi yang lepas lima tahun miflis jika keraaan ada skim berkesan. Yang ada ialah yang belum lima tahun muflis. Mereka menunggu genap lima tahun nescaya mereka dibebaskan.

Sementara peminjam PTPTN mungkin dikejar selepas ini. Tetapi adilkah kepada peminjan PTPTN jika mereka tidak menjelaskan hutang mereka akan dikenakan tindakan, sedang si muflis politik dibebaskan dari muflis selepas lima tahun.?

Jawabnya tidak adil. Tetapi dengan mengampunkan orang muflis, maka ia membuka jalan peminjam PTPTN tidak perlu mengambil berat untuk menjelaskan hutang.

Mereka boleh melarikan diri atau mengelak dari dihukum kerena mereka juga wajar dibebaskan selepas lima tahun tidak mejelasan hutang. Dan kalau mereka didenda kerana tidak menjelaskan hutang, maka mereka boleh jadi orang bebas semula kerana lepas lima tahun mereka akan dibebaskan.

Jika langkah membebaskan orang muflis selepas lima tahun, maka tidak wajar mereka yang tidak menjelaskan PTPTN tidak dibebaskan selepas lima tahun. Ini menyebabkan sukar bagi memengkin sukar bagi kerajaan menuntut balik pinjaman yang diberi itu.


Takziah buat keluarga Pak Majid Salleh

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 14 Dis: PAS Perak merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Abdul Majid Salleh atau lebih dikenali sebagai Pak Imam Majid Salleh diatas pemergiannya kerahmatullah awal pagi tadi.

Allahyarham, pernah aktif dalam Angkatan Pemuda Insaf dan Persatuan Kebangsaan Melayu Muda bersama tokoh-tokoh ternama seperti Dr Burhanuddin al Hilmy, Ahmad Boestamam dan seluruh pejuang kemerdekaan yang tulen yang lain dalam menentang British sehingga beliau ditahan dan dipenjarakan.

Selain itu beliau juga pernah menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng pada tahun 80an dan juga pernah bertanding dalam Pilihanraya menentang presiden MCA Tan Kon Swan pada tahun 1986 di Parlimen Gopeng.

"PAS Perak dan seluruh kawasan-kawasan kehilangan seorang pejuang yang begitu gigih dan sangat konsisten dalam memartabatkan Islam dan mengangkat martabat rakyat di bumi Malaysia.

"Pemergian Allahyarham Abdul Majid Salleh sangat dirasai oleh seluruh rakyat negeri Perak," kata Pesuruhjaya PAS Perak Ust Abu Bakar Hussain.

Pengorbanan dan semangat juang Pak Imam Majid ujarnya wajar dicontohi oleh rakyat terutamanya generasi muda.

Menurutnya, walaupun pemergian Allahyarham Abdul Majid Salleh satu kehilangan besar bagi rakyat, tetapi Allahyarham telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup diatas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah Allah SWT.

"Semoga Allah SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin," katanya.

Tiada ulasan: