KUALA LUMPUR, 3 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mendakwa desakan perwakilan Umno Kelantan, Mohd Afandi Yusoff agar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berundur membayangkan ketakutan Umno kepada Menteri Besar Kelantan itu.
Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata ianya juga menunjukkan betapa Umno gerun untuk berhadapan dengan kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz sehingga terpaksa membuat desakan tersebut.
"Kita ingin bertanya kepada perwakilan Umno Kelantan ini, atas dasar apakah Menteri Besar Kelantan diminta berundur? Jika atas faktor umur, tidakkah mereka yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan serta jauh lebih muda dari Nik Aziz lebih layak untuk berundur?
"Tidakkah Mohd Afandi membaca Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan duit kerajaan yang berlaku di bawah pentadbiran individu yang kononnya lebih muda,"soalnya.
Menurut beliau lagi, tindakan Afandi membandingkan Tuan Guru dengan Tun Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah berundur membayangkan kejahilannya terhadap sejarah Umni sendiri.
Menurutnya, kedua-dua bekas perdana menteri itu berundur bukan atas desakan pembangkang tetapi atas desakan dalaman Umno sendiri setelah mereka gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya.
"Tun Mahathir berundur setelah sokongan Melayu kepada Umno merosot dalam pilihanraya umum 1999 dan Tun Abdullah berundur setelah Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga majoriti di dalam parlimen dalam pilihanraya umum 2008.
"Adapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz, semakin disayangi dan disanjungi oleh rakyat Kelantan berbanding dengan Afandi sendiri yang pernah kalah kepada seorang calon wanita di dalam pilihanraya umum 2008 untuk kerusi parlimen Rantau Panjang," katanya.
Justeru, beliau berkata desakan Umno Kelantan tidak perlu dilayan oleh kepimpinan kerajaan negeri.
Apa yang perlu ujarnya ialah meneruskan fokus ke arah membangunkan negeri Kelantan di bawah payung syariat.
"Adapun desakan Umno Kelantan itu tidaklah ubah seperti jurulatih pasukan bola sepak sebelah lawan yang merayu-rayu agar dibuang pemain penyerang utama sebelah sini yang dibimbangi akan menjaringkan gol setelah mereka sendiri pun terkial-kial untuk mencari penjaga gol," ujarnya.
Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 4 Dis: Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam memperlihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa mengikut rentak timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa politik perkauman dan kebencian.
AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad ketika diminta mengulas keseluruhan ucapan Najib sepanjang perhimpunan itu berkata, segala tranformasi yang dicanang perdana menteri itu sebelum ini, tenggelam dalam laugan perkauman parti itu sepanjang perhimpunan tersebut.
"Akhirnya Najib kembali mengambil garis yang sama seperti Muhyiddin iaitu garis perkauman dengan memainkan 'politic of fear' seperti zaman kuno.
"(Beliau) kembali menggunakan strategi menakutkan orang Melayu dengan menjadikan DAP sebagai momokan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Menurutnya lagi, rakyat khususnya bukan Melayu tentunya kecewa dengan pendekatan Najib yang ditunjukkan dalam perhimpunan Umno itu.
Najib yang sebelum ini ujarnya berdegar-degar dengan slogan tranformasi politik, liberalisasi dan inklusif, kini musnah sekelip mata dalam perhimpunan Umno itu.
"Rakyat tertanya-tanya mana transformasi Najib yang dia mahu bawa dahulu. Beliau kini semakin tajam perkauman dan dah jadi Melayu 'totok'.
"Najib perlu tahu bukan semua Melayu boleh ditakutkan. Hanya Melayu Umno sahaja boleh ditakutkan dengan perkauman seperti itu," katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly mahu rakyat menilai sikap pemimpin Umno itu dan mahu membezakan dengan apa yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat.
"Ini berbeza dengan PAS, yang membawa mesej keadilan Islam untuk semua, membawa mesej kasih sayang antara kaum, sedangkan mereka (Umno) pula bercakap tentang perkauman dan kebencian," katanya. Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 4 Dis: Langkah Felda menerusi Felda Global Ventures Sdn Bhd untuk memasuki pasaran saham sehingga akan mengorbankan ratusan ribu ekar tanah milik oraganisasi itu, diyakini tidak akan mendatangkan pulangan besar seperti yang dijangka oleh para pemimpin Umno BN, tetapi hanya akan menempah maut.
Sebelum memulakan langkah itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan para pemimpin Umno BN sebaliknya perlu mengambil iktibar dengan nasib malang yang menimpa skim-skim amanah yang telah diperkenalkan oleh beberapa buah kerajaan negeri di negara ini.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, antara yang boleh dipelajari termasuk skim amanah saham yang diperkenalkan oleh Kerajaan Terengganu, Amanah Saham Darul Iman (Asdi), skim amanah kerajaan Johor dan beberapa skim amanah lain yang telah diperkenalkan oleh kerajaan-kerajaan negeri terbabit sebelum ini.
Menurut beliau, kesemua skim itu pada mulanya diyakini akan memberikan pulangan besar kepada para pelabur, tetapi akhirnya kesemuanya menjadi di sebaliknya sehingga para pelabur sendiri yang menanggung akibatnya.
Katanya, sekiranya skim-skim yang diperkenalkan oleh kerajaan-kerajaan negeri terbabit boleh menerima nasib malang itu, amanah saham yang melibatkan Felda Global Vantures diyakini akan menerima nasib jauh lebih malang daripada itu.
"Jika amanah itu diperkenalkan, di hadapan dan belakangnya tentunya Isa Samad, sedangkan rekod buruk Isa Samad telah terbukti sejak beliau mula menjadi Pengerusi Felda, malah sebelum itu lagi," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.
Kini, demi kepentingan peribadinya, menurut beliau, Isa sanggup menggadaikan kepentingan Felda sehingga boleh menggelapkan masa depan seluruh warga peneroka di seluruh negara dengan pelbagai tindakannya yang tidak masuk akal.
Katanya, antara langkah jelas Isa ke arah itu boleh dibuktikan dengan kesanggupannya memetrai perjanjian pajakan tanah antara Felda dan Felda Global Vantures.
"Sekiranya sistem pajakan sehingga 99 tahun itu berjaya dilaksanakan, Felda Global Vantures dengan kerjasama Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan mengatur langkah lebih jauh untuk memasuki pasaran saham dengan penyenaraian ke dalam Bursa Saham Malaysia nanti," tegasnya.
Sekiranya skim amanah saham itu mendatangkan keuntungan, tambahnya, pihak yang menikmati keuntungan itu bukannya warga peneroka, tetapi Isa dan koncu-koncunya serta kroni-kroni Umno BN.
"Itu kalau untung, tetapi kami di pihak Anak tak nampak pun saham itu akan mencatatkan keuntungan. Malah, nasibnya nanti samalah juga dengan Asdi dan amanah-amanah saham lain yang telah diperkenalkan oleh kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini," katanya.
Kalau saham yang melibatkan Felda Global Vantures itu rugi pula, tegasnya, Isa dan koncu-koncunya tidak akan menanggung sebarang kerugian, tetapi para peneroka di seluruh negara juga yang akan menanggung akibatnya kerana langkah yang dibuat itu bukannya untuk kepentingan para peneroka, tetapi untuk kepentingan mereka sendiri.
Katanya, langkah jahat Isa itu sememangnya sudah dapat dikesan sejak awal oleh para peneroka yang faham dan dapat membaca mesej yang tersirat, sehingga menyebab Ketua Peneroka Kebangsaan, Shamsuddin Othman menentangnya habis-habisan.
Shamsuddin, tambahnya, yang telah 15 tahun menjadi ketua peneroka yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda sejak 5 tahun lalu, sememangnya sudah cukup faham perkara itu dan tidak mungkin dapat ditipu oleh Isa dan koncu-koncunya.
"Anak sememangnya akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada beliau dan kepada para peneroka. Kami telah sama-sama berusaha menyedarkan para peneroka mengenai perkara itu sehingga kebanyakan peneroka telah pun memahaminya," ujarnya.
Jika sebelum ini Umno BN telah berjaya mendapat undi yang cukup banyak daripada para peneroka sehingga berjaya mencapai kemenangan dalam pilihanraya-pilihanraya lalu, tegasnya, dalam pilihanraya akan datang, para pemimpin Umno BN janganlah lagi menaruh harapan daripada undi para peneroka.
"Para peneroka di seluruh negara telah pun sedar dengan penipuan para pemimpin Umno BN terhadap mereka selama ini. Mereka telah pun bangun untuk mempertahankan hak dan maruah mereka. Tahulah nanti para pemimpin Umno BN diajar oleh para peneroka sendiri," ujar beliau.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 4 Dis: Pemimpin Pakatan Rakyat akan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu, pada majlis Rapat Umum di Shah Alam malam ini.
Akan hadir membuat penjelasan malam ini adalah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Program yang akan bermula seawal jam 7 malam itu akan berlangsung di perkarangan Stadium Melawati sehingga jam 12 malam.
Dalam Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam, Anwar antara individu yang dihentam kuat oleh pemimpin dan perwakilan Umno termasuk oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Perhimpunan Umno itu juga seolah-olah menjadikan Anwar sasaran utama 'balas dendam' parti itu sepanjang persidangan.
Najib sendiri dalam ucapan penggulungannya semalam menuduh Anwar sebagai hanya pandai 'berkokok' dan 'bohong sana sini' khususnya rancangan 16 September.
Selain menghentam peribadi Anwar, turut dikecam adalah ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP.
Selain Najib, timbalannya Tan Sri Muhyiddin juga serupa menuduh PAS sebagai diperkuda DAP dan tidak lagi memperjuangkan Islam.
Malah salah seorang perwakilan mereka juga turut mendesak Tuan Guru Nik Aziz berundur ekoran usianya yang sudah lanjut.
DAP pula dilabel sebagai parti cauvinis Cina yang sedang menggugat kuasa orang Melayu di negara ini, manakala PKR dilabel sebagai parti anak-beranak yang lemah yang hanya berjuang untuk kepentingan ketua mereka.
Segala tuduhan itu dijangka akan dijawab oleh kesemua pimpinan Pakatan Rakyat malam ini.
Sementara itu, program Rapat Umum adalah siri pimpinan Pakatan Rakyat bertemu dan memberi penjelasan kepada rakyat.
Selain di Shah Alam malam ini, ianya juga akan diadakan di Perak pada 10 Disember ini bertempat di Perkarangan Kilang Weng Lee Sawmill, Beruas dan di Pulau Pinang pada 18 Disember.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 4 Dis: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri itu bersedia memperuntukkan dana bagi membiayai kos penyiasatan oleh pakar luar negara berhubung skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Katanya, kaedah menggunakan pihak ketiga iaitu penyiasat dari luar merupakan pendekatan yang sering digunapakai oleh kebanyakan negara luar bagi menyelesaikan jenayah kolar putih atau jenayah bersifat korporat.
"Saya serahkan kepada Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution. Mereka akan membuat pembentangan kepada pihak polis dan MACC supaya menunjukkan pekara yang perlu diperhatikan oleh pihak polis."
"Ini adalah perkara baru di Malaysia tetapi perkara ini sangat dijaga di Britain dan Australia," katanya dipetik TV Selangor.
Kenyataan terbaru Khalid itu dibuat ekoran sehingga kini belum ada apa-apa tindakan oleh kerajaan persekutuan terhadap isu yang dibangkitkan oleh PKR itu.
PKR sebelum ini mendakwa sejumlah RM250 juta dana rakyat telah diberikan kepada syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki suami kepada Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk projek penternakan lembu.
Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna untuk tujuan lain sehingga projek tersebut didakwa 'kucar-kacir' seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.
PKR mendedahkan wang tersebut diguna oleh keluarga Shahrizat untuk membeli dua buah kondominium 'One Menerong' di Bangsar bernilai RM13.8 juta serta membiayai Umrah atas nama suami dan anak sebanyak RM31,580.
Selain itu, mereka juga turut mendedahkan sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri yang juga ketua wanita Umno itu.
Selain PKR, siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga mendapati berlaku salah urus dalam isu tersebur apabila dana tersebut diberikan kerajaan pada 2008 namun projeknya hanya bermula penghujung 2010.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 4 Dis: Warga pekerja adalah aset negara dan mereka juga merupakan dinamo kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Keta Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi. Justeru itu, katanya mereka bukan hamba abdi yang diperah kudrat mereka lalu ditindas dengan pelbagai akta yang tidak memihak apatah lagi memelihara kepentingan mereka. Dalam satu kenyataan, beliau berkata kerajaan tidak boleh melayan warga pekerja seperti melayan warga divisyen dua berbanding warga korporat yang juga tidak dinafi memberi sumbangan besar kepada lonjakan ekonomi negara. Menurutnya, setelah mengerah keringat yang menitis sampai ke tumit, wajarnya warga pekerja dijaga dan ditunaikan hak mereka selayaknya. “Saya pasti, mereka bukan menuntut suatu yang melebihi kewajaran dan hak yang sepatutnya mereka miliki,” katanya. Menurutnya, mereka juga bukan menuntut agar dimanjakan oleh kerajaan sebaliknya mahu hak mereka dihormati dan dihargai oleh kerajaan setelah mereka mengerahkan tulang empat kerat mereka untuk masa depan negara.
Justeru, ujarnya kerajaan mesti bersikap terbuka dan sedia mendengar setiap masaalah berbangkit daripada rakyat termasuk warga pekerja. Katanya, kedegilan kerajaan untuk tidak mendengar suara hati warga pekerja akan mengundang masalah besar kepada negara dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia juga berpotensi merencatkan kitaran sihat ekonomi negara menuju kestabilan yang didambakan.
Beliau menambah, kerajaan bertanggungjawab memberi jaminan perlindungan pekerjaan, hak kebajikan, hak berpersatuan, gaji minimum dan lain-lain tanpa sebarang diskriminasi yang membezakan antara pekerja yang berstatus tetap atau pun pekerja yang diambil secara kontrak. “Menafikan hak dan meletakkan mereka setaraf buruh asing adalah satu bentuk penindasan yang tidak sewajarnya berlaku dalam negara kita,” ujarnya lagi. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan