KOTA BHARU, 13 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Kelantan atas perlantikan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam satu kenyataannya, Husam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, "Perkenan para kekanda ke Bawah DYMM Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Kelantan selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.
"Besar pula maknanya bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim," kata Husam dalam satu kenyataan medianya.
Husam juga melahirkan keyakinannya, Tuanku Faris Petra mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negeri ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik dan berdedikasi yang ada pada baginda.
"Selama ini, dalam tempoh yang singkat, Tuanku menjadi kebanggan rakyat Kelantan dan rasa bangga itu akan Insya Allah akan dikongsi pula oleh seluruh rakyat Malaysia," tegas Husam dalam kenyataannya. Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan juga merakamkan ‘sembah tahniah’ di atas pengisytiharan Sultan Muhammad ke V memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata pihaknya berbesar hati di atas perlantikkan itu.
“Semoga perlantikan tuanku membawa berkah dan keamanan di negeri Kelantan Tadahan Wahyu ini.
“Patik mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, merakamkan sembah tahniah kepada tuanku semoga tuanku di lindungi dunia dan akhirat,”ujarnya. Syukur atas perlantikan Agong
Husam juga mempersembahkan ucapan tahniah dan rasa syukur di atas perlantikan DYMM Al Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan DYMM Al Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang masing-masing selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang ke 14.
Selaku rakyat yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu selaku teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun, saya merasa bangga dan bertuah menyaksikan perlantikan Tuanku berdua, kata Husam.
"Selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua bagi Ke Bawah DYMM Al Sultan Kedah, sudah tentu memberikan nostalgia zaman anak-anak saya dengan ketinggian budi, hemah, bijaksana dan mesra rakyat ke Bawah Duli Tuanku sewaktu berada di atas singgahsana sebagai DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali pertama dahulu.
"Insya Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah kepada Tuanku, Malaysia akan terus bersatu maju, adil, makmur, maju dan aman damai," kata Husam.
Husam juga mengucapkan junjung kasih kepada DYMM Yang di-Pertuan Agung ke 13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin atas khidmat baginda yang cemerlang.
"Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan 'afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan," katanya dalam kenyataan itu.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.
Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.
Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.
"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.
"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima ‘hudud Pas’. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada ‘hudud PAS’, tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.
Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.
Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan “binasa diri” jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.
"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.
"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang ‘memberi khidmat’?
"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.
Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.
Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.
"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.
Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.
Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.
"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.
"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.
Kampung Baru: Tahniah YB Mumtaz Mohd Shahir Abu Hassan | Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPK Titiwangsa) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YB Senator Mumtaz Md Nawi kerana berani menyuarakan pandangan rakyat mengenai isu Kampung Baru di Dewan Negara pada 7 Disember 2011. Bagi DPPK Titiwangsa dan rakyat khususnya penduduk Kampung Baru, Keberanian YB Senator Mumtaz mengutarakan isu Kampung Baru menunjukkan keprihatinan kepemimpinan PAS dan Pakatan Rakyat terhadap isu yang amat dekat di hati rakyat itu.
Bagi mereka yang mendengar atau membaca ucapan beliau di Dewan Negara tempohari, sudah pasti merasa kagum kerana setiap bait fakta yang dikemukakan amat tepat, terperinci, mendalam serta relevan. Ucapan YB Mumtaz juga mengungkit kembali nostalgia almarhumah YB Dr Lo’Lo’ yang selama hayatnya amat gigih memperjuangkan isu ini. Keberanian dan kehebatan seorang wanita yang bangun menyatakan kebenaran memperjuangkan isu Kampung Baru tentunya amat membanggakan golongan wanita seluruh negara khususnya pemilik Kampung Baru.
Meskipun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru telah diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara, ianya menjadi saksi dan sejarah yang tertulis bahawa yang benar-benar memperjuangkan isu rakyat khususnya nasib orang Melayu di Parlimen dan Dewan Negara adalah wakil rakyat daripada PAS dan Pakatan Rakyat. Sementara wakil rakyat daripada Umno Barisan Nasional yang dianggap kononnya juara Melayu hanya menonton, bahkan menyokong usul ini diluluskan di kedua-dua dewan tersebut. DPPK Titiwangsa juga merasa kesal kerana pemimpin UMNO-BN tidak menghiraukan sedikitpun rayuan dan tuntutan daripada pemilik tanah Kampung Baru yang mahu RUU ini dibatalkan ataupun ditangguhkan dahulu sebelum perbincangan dibuat.
DPPK Titiwangsa mengharapkan, isu Kampung Baru terus menjadi agenda besar pemimpin tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat dan supaya ianya sentiasa dimainkan agar rakyat mengenali bahawa usaha mengembalikan semula hak rakyat yang telah diambil ini adalah usaha yang ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh. Akhirnya, DPPK Titiwangsa menegaskan hanya kuasa rakyat berupaya menafikan RUU Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ini dari dikuatkuasakan, iaitu dengan menumbangkan Umno-BN dalam PRU ke 13 nanti.
MOHD SHAHIR BIN ABU HASSAN Timbalan Ketua DPPK Titiwangsa
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri hari ini menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini.
Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Dzulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.
Ia merupakan cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Najib bertarikh 21 November.
Arahan bercuti dikeluarkan melalui surat yang diikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri 25 November lalu.
Difahamkan, Dzulkifli mula bercuti 25 November lalu dan telah berlepas ke London minggu lalu.
Memorandum yang diserahkan kepada wakil Felda, Muhamad Ibrahim antaranya menuntut Perdana Menteri menarik balik arahan bercuti itu dan menggugurkan Isa daripada jawatannya.
Mereka diketuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berarak kira-kira satu kilometer menuju ke bangunan Felda dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis beruniform termasuk polis cawangan khas.
Mereka melaungkan "undur Isa Samad", "hidup rakyat" sambil membawa sepanduk bertulis "kami sayang Dzul, benci Isa".
Bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan yang dilakukan terhadap Zulkifli yang dianggap sebagai seorang yang sangat amanah dan berdedikasi dalam tugasnya.
"Kami yakin tindakan ini sebenaranya penyingkiran kepada Datuk Dzul.
"Ia tidak beretika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23 kakitangan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Menurut Mazlan, Isa tidak senang dengan Dzulkifli kerana menganggap Dzulkifli menghalang usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.
"Dalam mesyuarat lembaga pengarah, Datuk Dzul pernah mempersoal di mana Felda nak cari duit untuk bayar gaji kakitangan Felda RM1.5 bilion bila FGVH melabur dalam Bursa Malaysia. Isa tidak senang kerana mengganggu usahanya untuk penyenaraian," jelas beliau.
Harakahdaily | KUALA TERENGGANU, 13 Dis: Badan Perhubungan PAS Terengganu merafat sembah dan mengucapkan selamat berangkat pulang kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin (gambar) ke Terengganu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, keberangkatan pulang Tuanku Mizan ke negeri Terengganu Darul Iman setelah selesai lima tahun bersamayan sebagai Yang Dipertuan Agung akan menyemarakkan lagi usaha untuk membangunkan Terengganu dari segi spiritual dan fizikalnya.
"Patik-patik semua terasa benar ketiadaan Tuanku sepanjang Tuanku bersemayan sebagai Yang Dipertuan Agung.
"Terbukti, Tuanku telah berjaya mencipta nama baik untuk Terengganu sepanjang Tuanku menjadi Yang Dipertuan Agung," kata Wahid dalam kenyataannya.
Tuanku Mizan selamat pulang ke Terengganu semalam selepas selesai tugasnyanya sebagai Yang Dipertuan Agung selama lima tahun.
Baginda akan pulang menjadi Sultan Terengganu selepas jawatan itu dipangku oleh anakanda baginda dengan dibantu oleh Majlis Pangkuan Raja selama lima tahun ketiadaan baginda.
Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim telah mengangkat sumpah menjadi Yang Dipertuan Agung yang baru dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke v sebagai timbalannya.
"Patik-patik semua yakin, pengalaman Tuanku sebagai Yang Dipertuan Agung akan Tuanku gunakan untuk memerintah Terengganu dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang benar-benar beriman rakyatnya," kata Wahid dalam kenyataannya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 13 Dis: Dewan Pemuda PAS Perak mendakwa terdapat usaha dari pihak tertentu yang akan cuba mencemarkan imej dan nama baik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) menjelang PRU-13 nanti. Tindakan itu, kata mereka ekoran Mohamad Nizar masih mendapat sokongan dan menjadi harapan seluruh rakyat negeri itu untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.
Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, faktor sokongan padu rakyat terhadap Nizar itu juga turut menjadi kebimbangan besar BN negeri itu terutama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
"Pada kami, sebenarnya Barisan Nasional (BN) Negeri Perak amat bimbang perkara tersebut dan cuba memastikan imej Datuk Seri Nizar diburukkan dengan pelbagai serangan.
"Kami yakin rakyat sedang menunggu untuk menyuarakan ‘undi’ mereka bagi memastikan Datuk Seri Nizar dan PR meneruskan pentadbiran bersih yang ‘terhenti’ dalam tempoh 11 bulan sahaja," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Pada masa sama jelasnya, Umno Perak kini sedang berdepan krisis dalaman apabila ramai di kalangan pemimpin Umno negeri itu kurang senang dengan Zambry dan mahu teraju kepimpinan negeri itu diganti orang lain.
Zambry juga dikatakan bukan calon pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kebanyakkan pimpinan Umno Bahagian terutamanya kurang senang dengan kepimpinan Datuk Seri Zambry berikutan ramai dikalangan mereka adalah penyokong kepada bekas Menteri Besar Perak ke-9 iaitu Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali.
"Kami mencabar BN Perak agar segera menamakan siapakah calon Menteri Besar jika BN Perak berjaya kembali mentadbir Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti," katanya.
Harakahdaily | PARIT BUNTAR, 13 Dis: Drs Khalil Idham Lim mempersoalkan mengapa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim terus membisu terhadap video yang berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud PAS' itu secara jelas mengelirukan umat Islam di Malaysia yang telah disebar luas di laman Facebook dan Youtube baru-baru ini. “Kita tidak boleh nafikan bahawa sejak akhir-akhir ini media boleh direka dalam pelbagai bentuk dan corak kerana perkembangan teknologi yang pesat, tetapi seharusnya tidak boleh sehingga menghina agama lebih-lebih lagi Islam itu sendiri. “Kita amat khuatir terhadap perkembangan sebegini memandangkan para pelakonnya terdiri dari orang Islam dan ada di antaranya berlakon yang sebagai agamawan di samping penggunaan kamera beresolusi tinggi yang sudah pastinya mahal harganya,” ujar Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu. Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, klip video itu juga mempunyai unsur yang boleh mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam. Katanya, kesucian agama Islam boleh tercemar selagi menteri yang bertanggungjawab terus membisu terhadap isu itu, seharusnya menteri terbabit memberi respons segera. Tambahnya, amat dikesali apabila ulasan dan tindakan terpilih dilakukan bila menggugat kuasa dan kedudukan BN dan Umno sedangkan sekiranya tidak merugikan, dibiarkan dan semacam digalakkan. “Rakyat juga masih ingat mengenai respons Rais Yatim terhadap video klip Undilah walaupun pada hakikatnya video tersebut amat bermanfaat untuk rakyat. “Beliau (Rais Yatim) pernah berkata bahawa klip video Undilah tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini. Rais Yatim juga, ujar beliau sepatutnya perlu sedar bahawa klip video 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud PAS' juga amat mengelirukan. Ini, katanya kerana soal amalan syariah yang termaktub dalam Al-Quran, ia tidak boleh dipaparkan melalui video melalui cara yang salah tetapi perlu merujuk dahulu dengan agamawan. “Saya memandang isu ini amat berat, Umno BN nampaknya redha dengan perkara ini. Ianya juga mededahkan sikap hipokrit yang sebenar dalam keadaan Umno meluangkan slogan kononnya membela Islam,” katanya. Terbaru, ujarnya didapati berdasarkan pendedahan seorang blogger menjelaskan bahawa admin blog Sembang Rakyat yang bertanggungjawab memuat naik video itu ke internet menunjukkan bahawa individu tersebut adalah orang Umno. Jelasnya, Umno pada hakikatnya adalah penaja perosak kemuliaan Islam dengan membiaya kerja-kerja jahat sebegitu,rakyat sudah muak dengan mereka dan perlu ditolak pada PRU13 demi agama dan kestabilan negara.
Mohd Firdaus | TAWAU, 13 Dis: Dewan Pemuda PAS Tawau dan PAS Kalabakan menyampaikan sumbangan sebagai bantuan meringankan beban keluarga mangsa tahanan ISA, khususnya menjelang sesi persekolahan 2012. Ketua Pemuda PAS Kalabakan, Usman Madeaming berkata, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan. “Mereka yang ditahan ini merupakan sahabat kita. Pengajar kuliah di masjid dan surau sekitar Tawau. “Kita terkejut dengan berita penahanan ini dan akan bersama keluarga mangsa untuk menyelami betapa perit dan pahitnya perjalanan seorang isteri yang ditinggalkan suami akibat kerakusan ISA,” katanya ketika berucap sempena penyerahan sumbangan tersebut di Pejabat PAS Tawau, kelmarin. Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, yang turut hadir menyatakan bahawa Pemuda PAS Sabah sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA. "Bukan baru sekarang, PAS menentang akta kejam ini. Tetapi dari dahulu lagi. “Umno sudah menghina rakyat Sabah dan Sarawak. Ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memansuhkan ISA ialah pada Hari Malaysia, yakni hari di mana kemasukan Sabah dan Sarawak serta Tanah Melayu lalu membentuk sebuah negara bernama Malaysia," kata beliau. Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan berkenaan ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julfikar Abd. Mijan; Setiausaha Pemuda PAS Sabah, Firdaus Fuad; ahli jawatankuasa PAS kawasan Tawau dan Kalabakan serta isteri dan ibu mangsa tahanan ISA. Muhammad Faizal | KUALA LUMPUR, 12 Dis: AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang turut hadir mengikuti sesi penggulungan hujah kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika perbicaraan itu dilakukan secara adil akan memihak kepada Anwar. Beliau yang ditemui di perkarangan lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu peguam Anwar telah memberikan bukti yang begitu banyak dan dari segi teknikal amat mustahil untuk hakim membuktikan Anwar bersalah. "Bukti-bukti begitu terperinci telah dikemukakan oleh peguam-peguam Anwar dan segala hujah pihak pendakwa sebelum ini telah dapat dipatahkan oleh barisan peguamnya. "Begitu juga berkaitan dengan DNA ataupun bukti Saiful berada di kondominium sewaktu kejadian fitnah tersebut, malah bukti-bukti yang menimbulkan kesangsian," jelasnya. Beliau begitu yakin dengan pengadilan yang adil akan mendapati begitu banyak keraguan yang telah ditimbulkan oleh pihak pembela hari ini. "Sewaktu pihak pembela mengemukakan hujah pihak pendakwa tidak sedikit pun bangun untuk mencelah atau mencabar, sudah tentu mereka akan memberikan hujan mereka esok dan mereka mengatakan hanya memerlukan masa dua jam untuk mengemukakan hujah mereka. "Dalam pada itu saya amat yakin bahawa pembelaan yang dilakukan oleh barisan peguam Anwar itu amat berkesan," katanya lagi. Sementara itu, mahkamah yang bersidang semula jam 2 petang tadi memperlihatkan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair berhujah dengan menyifatkan Saiful Bukhari adalah seorang penipu. Beliau yang memulakan hujah menyatakan banyak fakta serta kenyataan yang dinyatakan oleh Saiful bersifat luar biasa, seperti menipu apabila mendakwa pintu kondominium tempat kejadian ditutup dan dikunci dengan rapat. Menurutnya lagi, jika benar pintu tersebut dikunci rapat siapakah yang telah menghidang kopi dan karipap yang didakwa telah dimakan oleh Saiful dan Anwar selepas kejadian fitnah tersebut. Berkenaan dengan Saiful yang mendapatkan nombor telefon bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga sesuatu yang aneh di mana beliau mendapat nombor telefon tersebut dengan cara mencuri dengar perbualan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada waktu itu. Sankara berhujah, mana mungkin Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai nombor telefon Ketua Polis Negara ketika itu. Dalam pada itu, Sankara bercakap kepada media menjelaskan sesi penggulungan hujah pihak pembelaan sudah selesai dan menunggu pihak pendakwa mengemukakan hujah mereka esok. "Hari ini kita telah tamat mengemukakan hujah bagi pihak pembela dan esok pihak pendakwa akan memulakan hujah mereka sebelum Hakim menentukan tarikh keputusan. "Selesai sahaja pihak pendakwa mengemukakan hujah, pihak pembela diberi peluang untuk menjawab hujah pihak pendakwa. "Mungkin esok atau lusa mahkamah akan menentukan bila keputusan akan diputuskan dan kalau pihak pembela tidak dapat habiskan esok hujah terhadap pihak pendakwa kita akan meminta tempoh untuk satu hari lagi," jelasnya. Sementara itu, Anwar memberitahu, peguamnya telah selesai mengemukakan hujah penggulungan. "Hari ini peguam telah mengemukakan hujah penggulungan pembelaan dan kalau mengikut kepada fakta serta undang-undang maka kes ini telah habis, inilah yang kita tunggu iaitu mendengar keputusan dari hakim. "Mereka yang kecam kita tidak pernah hadir mendengar segala perbahasan di dalam mahkamah dan kalau mereka yang mengikut perbicaraan ini secara teperinci segala hujah-hujah pihak pendakwa telah dapat dipatahkan, begitu juga segala bukti-bukti yang mereka kemukakan. "Kita tunggu keputusan dan pihak pendakwa akan memulakan hujah mereka esok pada jam 1.30 petang," jelasnya.
JIKA NON MUSLIM TOLAK HUDUD..ITU BIASALAH...TAPI JIKA MUSLIM MENOLAK HUDUD ITU LUAR BIASA...HUKUMNYA ROSAKLAH IMANNYA...MAKA SIA2 IBADAHNYA... | | | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan