Rabu, 7 Disember 2011

ADA PULAK YANG HIDUP...SEGAR BUGAR...KAYA RAYA...SENANG LENANG...BIJAK BISTARI TAPI HATI DAH LAMA MATI...NI LAGI TERUK...

NFC: Gaji suami Shahrizat RM100,000 sebulan? | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR 7 Dis: Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar National Feedlot Corporation (NFC) mendedahkan gaji bulanan yang dibayar kepada pengerusi eksekutifnya Datuk Mohamad Salleh Ismail.

Selain Mohamad Saleh yang juga suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau juga meminta gaji pengarah-pengarah yang lain didedahkan.

“AMK mencabar NFC mendedah jumlah sebenar gaji yang dibayar kepada pengerusi eksekutif dan pengarahnya.

“Rakyat berhak tahu sebab wang yang dibayar untuk mereka itu datangnya dari rakyat selaku pembayar cukai,” katanya dipetik Keadilandaily.com hari ini.

Sejak awal bulan ini, beberapa maklumat tersebar di internet mendakwa suami Shahrizat memperoleh gaji bulanan sekitar RM100,000 sebulan.

Manakala ketiga tiga anaknya iaitu Wan Shainur Izmir, 31, (Pengarah Eksekutif) Wan Shahinur Izran, 27 (Ketua pegawai eksekutif) dan Wan Izzana Fatimah, 25, (pengarah) memperoleh pendapatan RM35,000 hingga RM45,000 sebulan.

Sebelum ini Pakatan Rakyat membuat beberapa pendedahan mendakwa dana rakyat berjumlah RM250 juta yang dianugerahkan kepada NFC telah disalah gunakan.

Dana itu didakwa telah digunakan untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar berharga RM13.8 juta membeli kereta Mercedes berharga RM534,622, dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya dan digunakan untuk melancong ke luar negara.


Hudud: MCA keliru, Umno gagal main peranan | Print |
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 7 Dis: Kekeliruan di kalangan pemimpin kompenan Barisan Nasional (BN) terhadap perundangan Islam disifatkan ada hubung kait dengan Umno apabila gagal berperanan menjelaskan kedudukan sebenar.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, biar pun Umno sudah lama bersama kompenan-kompenan lain dalam BN, namun kefahaman mengenai undang-undang Islam tidak dijelaskan.

“Sekiranya peranan itu dimainkan Umno sejak dahulu kami rasa pemimpin MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti sekarang.

“Namun malangnya peranan seperti itu mungkin tidak menjadi keutamaan kepada Umno, malah dalam banyak keadaan pemimpin Umno juga tidak menerima perundangan Islam,” katanya di sini.

Baru-baru ini Chua Soi Lek ketika berucap pada forum ‘Hudud dan kesannya ke atas masyarakat non muslim’ mendakwa sistem perundangan hudud tidak adil kepada semua pihak dan boleh menakutkan pelabur.

Dr Mohamed Fadzli berkata, berlainan dengan kompenan dalam Pakatan Rakyat, biar pun baru dibentuk namun mereka cuba memahami mengenai perundangan Islam.

Oleh itu beliau mendesak Soi Lek memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyentuh sensitiviti agama Islam.

Menurutnya juga pemimpin MCA dan kompenan lain BN tentunya tidak lantang mengkritik perundangan Islam sekiranya Umno menjelaskan mengenai kelebihan hukum hudud.

“Sepatutnya Umno sama-sama mempertahankan hudud, bukan seperti apa yang berlaku sekarang membiarkan pemimpin MCA mempermain-mainkan agama Islam,” ujarnya.


'Roboh tembok penjara': Azmin dipanggil polis | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Dipercayai berkaitan dengan kenyataan "PKR akan merobohkan tembok penjara jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan", Azmin Ali telah diminta hadir memberi keterangannya kepada polis.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu dilaporkan mendapat panggilan telefon kira-kira jam 1.20 petang tadi dari seorang pegawai polis yang meminta beliau menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Difahamkan, Azmin kini dalam perjalanan ke Sarawak untuk program Ceramah Perdana yang dianjurkan bersama pimpinan Pakatan Rakyat negeri itu serta menghadiri inkuiri awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung reformasi pilihan raya.

Pegawai Khas kepada Azmin, Hilman Idham berkata pihak polis tidak memberikan sebab kenapa Ahli parlimen Gombak itu perlu hadir memberi keterangan.

Beliau juga memaklumkan, Azmin masih belum membuat sebarang keputusan dan berkemungkinan akan memanggil pihak polis tersebut mengambil keterangan di Kuala Lumpur.

Semasa berucap di Kongres Nasional PKR di Johor, 25 November lalu, Azmin dilaporkan berkata PKR akan "merobohkan tembok penjara" jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Namun pada program Rapat Rakyat di Shah Alam Ahad lalu, Azmin turut membuat penjelasan terhadap kenyataan kontroversinya itu.

Katanya, 'tembok penjara' yang dimaksudkannya dalam ucapan di Johor itu adalah 'segala halangan' yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu untuk memenjarakan Anwar yang juga ketua umum PKR.


"Kalau ikutkan, saya dah 3 kali mati" | Print |
Aziz Muda

GOMBAK, 7 Dis: Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Ismail Kamus dikatakan telah meninggal dunia, malah sehingga kini sudah tiga kali mati jika berdasarkan fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini.

Khabar angin seperti itu bertiup kencang di tengah masyarakat, malah diakui turut didengar sendiri oleh tokoh tersebut tetapi hanya disambutnya dengan senyum.

Menurut Datuk Ustaz Ismail Kamus (gambar), kali pertama khabar angin seperti itu bertiup di tengah masyarakat berlaku sekitar 12 tahun lalu, manakala yang kedua sekitar 5 tahun lalu.

Katanya, sesudah itu, beliau menyangkakan fitnah seperti itu tidak akan berlaku lagi ke atasnya, tetapi sangkaannya itu ternyata meleset apabila ia kembali berulang untuk kali ketiga terutama ketika beliau berada di Mekah untuk mengerjakan ibadat haji tahun lalu.

"Saya hairan macam mana mereka boleh sebarkan fitnah seperti itu ke atas saya, sedangkan saya sebenarnya masih hidup," katanya ketika ditemui Harakahdaily di pusat perubatannya, Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, di sini, hari ini.

Fitnah tersebut, menurut beliau, agak sukar untuk diterjemahkan mesejnya kerana ia mungkin berpunca dari keinginan pihak terbabit supaya beliau segera meninggal dunia atau sebaliknya.

"Saya sebenarnya tak pun berasa sedih dengan fitnah itu. Lagipun kalau mereka tak kata saya dah meninggal dunia pun, saya pasti akan mati juga apabila tiba masanya nanti," ujarnya.

Beliau bagaimanapun berharap agar pihak-pihak terbabit tidak lagi menyebarkan fitnah seperti itu terhadap beliau selepas ini bagi mengelakkan salah faham di dalam masyarakat, di samping mengelakkan dosa kerana menyebarkan fitnah.

Tokoh agama yang disegani itu bagaimanapun mengakui beliau kurang sihat sejak 6 bulan lalu kerana mengalami sakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.

Ekoran masalah kesihatannya itu, aktiviti beliau dalam kemasyarakatan dan agama turut terbatas sejak hampir setahun lalu, tetapi kini mulai aktif kembali setelah kesihatannya bertambah baik.

Sejajar dengan sumbangannya yang besar dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada 26 November lalu.

(gambar kanan: Beliau bersama pembantunya, Ustaz Zaki Zulkifli)

Beliau menerima wang tunai RM10,000 sumbangan Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, midal Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej menunaikan umrah yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Sebelum anugerah itu disampaikan, saya sudah dengar 'angin' mengenainya, tetapi saya memang terkejut juga dengan pemilihan ke atas saya sebagai Tokoh Maal Hijrah itu.

"Selain itu, saya juga berasa gembira, bersyukur dan terharu dengan anugerah tersebut yang jelas merupakan satu penghargaan daripada kerajaan negeri dan pihak-pihak berkenaan ke atas saya," katanya.

Ekoran kesihatannya yang kurang baik, beliau kini mengambil keputusan untuk tidak bergiat aktif dalam politik bersama-sama para pemimpin PAS, melainkan memberikan sumbangan sekadarnya untuk parti setakat yang terdaya.

"Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan yang berlaku. Bagi saya, PAS sememangnya mempunyai harapan yang cerah untuk menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

"Saya berharap agar para penyokong PAS terutama generasi muda mengambil manfaat yang sebaiknya dari perkembangan baik yang dialami oleh PAS sekarang bersama-sama para pemimpin PAS di semua peringkat, bagi membolehkan PAS mencapai kejayaan besar bukan sahaja di negeri-negeri tetapi juga di peringkat nasional," tambahnya.

Sebagai tokoh agama dan aktivis masyarakat, kini beliau banyak menghabiskan masanya dengan memberikan sumbangan kepada orang ramai di pusat perubatannya bersama para pembantunya.

"Jika ada jemputan daripada orang ramai untuk berubat di rumah mereka, khususnya bagi kes-kes kronik, saya dan rakan-rakan yang juga pembantu saya akan turut pergi ke rumah mereka bagi membantu sekadar terdaya," ujar beliau.


Ada agensi pusat pertahankan hegemoni Umno | Print |
M Faqih

KOTA BHARU, 7 Dis: Mampukah Umno mempertahankan kuasa yang ada sekarang dengan kederat tiga juta ahli. Jawapannya mungkin tidak.

Alasannya segala gerak kerja Umno untuk mempertahankan kuasa sejak merdeka sehingga sekarang bergantung sepenuhnya kepada jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Kebimbangan itulah yang dirasakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini apabila cuba membayangkan tahkala Umno hilang segala-galanya tanpa kuasa politik.

Buktinya ada di Kelantan sejak 21 tahun lalu. Umno hanya bergantung kepada agensi kerajaan pusat terutamanya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Kesedar, Kemas, Jasa, Risda, Kada dan banyak lagi.

Setiap kali menjelang pilihan raya agensi-agensi terbabit lebih awal keluar masuk kampung sebelum jentera kempen Umno tiba.

Di Kelantan situasi itu berlaku di mana-mana termasuk pada pilihan raya kecil Manek Urai dan Galas.

Ditemui banyak kes pejabat kerajaan dijadikan tempat jentera Umno beroperasi. Pada pilihan raya kecil Manek Urai ada pejabat agensi pusat dijadikan tempat membayar wang tambang kepada pengundi.

Bekas pegawai kanan kerajaan yang enggan dikenali berkata, tidak hairanlah pendaftaran pemilih baru juga dilakukan agensi-agensi kerajaan bagi pihak Umno.

Misalnya bagi suku ketiga tahun ini Kemas, Jasa dan beberapa agensi lain berjaya mendaftar ramai pengundi baru.

”Penglibatan agensi-agensi terbabit bagi mendaftar pengundi baru mungkin lebih mendapat keistimewaan berbanding pendaftaran dilakukan wakil parti politik terutamanya Pakatan Rakyat.

”Ini kerana ada kes pendaftaran dibuat melalui agen lantikan wakil Pakatan Rakyat tidak disenaraikan pada daftar pemilih tambahan sehingga terpaksa pendaftaran dilakukan beberapa kali,” katanya di sini.

Persoalan juga timbul mengapa agensi terbabit bekerja bagi pihak Umno. Jawapannya ahli dan penyokong Umno dilonggok di Kemas, Jasa dan beberapa lagi agensi, sebagai kakitangan kerajaan.

Ada juga bekas penyokong Pakatan yang melompat parti diberi jawatan di Jasa atau Kemas dan mendapat upah bulanan.

”Merekalah yang bekerja untuk mendaftar pengundi-pengundi baru. Gerak kerja mereka lebih mudah kerana atas statusnya sebagai kakitangan awam.

”Maka tidak hairalah lebih ramai pengundi muda mudah didekati mereka. Inilah sebenarnya cabaran kepada jentera Pakatan bagi mempertingkat gerak kerja mendaftar pemilih baru,” ujar bekas pegawai kerajaan terbabit.

Jelaslah Umno dan BN berselindung di sebalik agensi kerajaan pusat bagi memastikan hegemoni kuasa terus dipertahankan.

(ikuti analisis lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Tiada ulasan: