ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36) Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam. Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim) Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar. Hikmah bulan haram Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman. Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148) Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas. Amalan sunnah Muharam Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah. Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan. ‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?” Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa. ” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa. Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9. Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.” Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim) Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam. Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim) Khairil Abdul Rahim | KUANTAN, 2 Dis: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) menggesa kerajaan ‘membuka mata’ dengan berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Concentration Plant Lynas di Mt Weld, Australia baru-baru ini kerana kedudukan kilang Lynas Advanced Materials Plant (Lynas) di Gebeng nanti dijangkakan akan membawa bahaya yang jauh lebih tinggi. Menurutnya, ini disebabkan kandungan radioaktif pada sisa pejal di Mt Weld ialah pada kadar 1.8 Bq|g sedangkan radioaktif sisa pepejal yang dijangkakan terhasil kilang itu di Gebeng ialah pada kadar 6 Bq|g. Tambahnya, kadar maksimum yang diterima antara bangsa pula ialah 1 Bq|g dengan Malaysia sendiri turut menerima pakai standard antara bangsa tersebut. “Bukan itu saja, dalam jarak 30 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak wujud penduduk di sana sedangkan dalam 30km radius di Gebeng ada terdapat 700,000 penduduk. “Sementara dalam jarak 25 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak terdapat air bawah tanah sedangkan di Gebeng, kedudukan Lynas di Gebeng terletak di atas tanah gambut yang paras airnya lebih tinggi daripada paras air biasa dan sungai Balok berkedudukan disebelah Gebeng. “Lynas Gebeng juga terletak dalam lingkungan 5 kilometer dari Laut China Selatan, bersebelahan pusat peranginan Cherating yang menjadi tumpuan destinasi pelancong sementara perairan tersebut juga merupakan sumber hasil ekonomi tempatan di mana industri perikanan juga merupakan sumber ekonomi utama,” katanya. Tambah Fuziah, sebarang kebocoran jika berlaku di Lynas akan meninggalkan impak yang bakal memusnahkan alam sekitar serta ekonomi di samping kesihatan penduduk kerana tiada industri yang bebas seratus peratus daripada kemalangan termasuk Lynas terkecuali. Katanya, selama ini Lynas berselindung di sebalik Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang seolah-olah menjadi ‘jurucakap’ mereka. “Saya tegaskan bahawa Lynas tidak wajar berada di Gebeng kerana situasi di Gebeng sekali-kali tidak akan menepati segala aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa. “Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan, Datuk Rebecca Sta Maria yang menyatakan bahawa Lynas mesti mematuhi peraturan sebelum lesen pra-operasi boleh di keluarkan keatas LAMP ketika beliau melawat kilang itu di Gebeng kelmarin. “Janganlah cuba mengulangi kesilapan di tempat lain yang hanya akan menjadikan penduduk di Gebeng dan sekitarnya menjadi mangsa,” katanya. Beliau turut kesal sebelum ini pihak kerajaan cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa sisa dari Lynas adalah selamat sehingga boleh ditabur merata-rata dan percaya maklumat tersebut merupakan input daripada Lynas semata-mata.
Muhammad Faizal | SHAH ALAM, 2 Nov: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak kerajaan menarik balik Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan pada 6 Oktober lalu di Parlimen. Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah, N.Gopal Krishnan sewaktu berucap menjelaskan akta tersebut bersifat akta 'bapa ayam' yang jelas zalim dan bersikap kuku besi. "Saya nyatakan dengan perlaksanaan akta ini kerajaan akan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan sebelum ini dan dengan perlaksanaan ini jelas menunjukkan kerajaan bersifat zalim malah umpama 'bapa ayam'. "Kita tidak mahu pekerja dinafikan hak di negara ini dan secara tidak langsung taraf pekerja warganegara kita hanya setanding dengan pekerja warga asing," jelasnya. Beliau menyatakan bantahan it akan terus dilakukan kerana hak pekerja itu perlu ada pada tahap yang sepatutnya. "Kita tidak mahu pekerja ditekan dan terus ditekan oleh pemerintah sekarang, kita akan terus mendesak serta menentang habis-habisan sehingga kerajaan menarik balik akta tersebut," sambung beliau lagi. Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani yang turut hadir berkata, selama ini menentang perlaksanaan akta tersebut di Parlimen memberitahu akta tersebut bersifat 'rejim Israel'. "Apa yang ingin saya katakan akta ini bersifat seperti 'rejim Israel' yang sikap ganas serta memijak kepala pekerja. "Secara jelas saya membantah akta tersebut dan semua pasti tidak mahu masalah menimpa anak-anak mereka yang sudah pasti mangsanya mereka. "Kita tahu akta ini sudah berulang kali ingin dibentang tetapi gagal, dan disebabkan majoriti yang besar penyokong kerajaan Barisan Nasional maka ia diluluskan pada sesi Parlimen kali ini," ucapnya. Beliau berkata akta itu akan dimansuhkan jika berlakunya perubahan politik negara pada masa akan datang. "Ini janji saya dan juga rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, jika berlakunya perubahan lanskap politik di negara ini, maka hak pekerja akan dipenuhi selain memansuhkan akta yang zalim ini. "Kita mahu meletakkan pekerja pada tempat yang sepatutnya ia berada bukannya di bawah tapak kasut kerajaan sekarang," sambungnya lagi. Mantan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud memberitahu dengan terteranya akta itu maka pada masa akan datang tidak akan ada lagi pekerja tetap dan syarikat-syarikat swasta akan menggunakan khidmat pekerja kontrak. "Akibat dan kesan kepada perlaksanaannya menyebabkan pada masa akan datang tidak akan ada lagi pekerja tetap dan semua akan menjadi pekerja kontrak. "Kita pasti ini semestinya akan berlaku kerana pihak swasta dapat menjimatkan kos operasi mereka, jadi apa hak yang kita akan dapat dan apa akan jadi kepada anak-anak kita nanti. "MTUC bersama pekerja serta Pakatan Rakyat akan terus mendesak agar akta ini ditarik balik, kita mahu kerajaan yang kejam serta menindas rakyat itu faham apa yang di alami oleh pekerja," ucapnya. Sebelum itu perhimpunan bantahan yang diadakan di Dewan MBSA Seksyen 19 Shah Alam merupakan susulan bantahan yang diadakan di seluruh negara sebelum ini. Turut hadir ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Presiden MTUC, Malaysia Mohd Khalid Atan dan juga kesatuan-kesatuan pekerja kilang di seluruh Shah Alam. Satu resolusi dan ikrar telah dibaca oleh seribu pekerja dan akan dibawa ke peringkat MTUC Malaysia bagi membincangkannya. | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan