KOTA BHARU, 1 Dis: Selepas program Debat Perdana yang disiarkan TV1 berkubur, orang ramai kini tidak lagi dapat menyaksikan wacana yang mengupas pelbagai isu politik. Program yang disiarkan secara langsung itu hanya muncul seketika semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara. Ini sesuai dengan sikapnya lebih terbuka. Begitu juga program Hujjah yang diterbit TV9, berjaya menarik minat orang ramai. Namun Hujjah yang dihidupkan kembali dengan versi baru sekarang kelihatan tidak bermaya. Pentas diskusi, wacana dan debat seperti itu hanya sekali sekala diadakan di dewan tertutup dan tiada lagi siaran langsung kecuali melalui internet. Kumpulan Karangkraf dan beberapa pihak lain termasuk kerajaan Kelantan masih mempertahankan debat terbuka mengupas isu semasa yang berlaku. Ruang untuk rakyat mendapat maklumat secara telus melalui media elektronik kini semakin sempit di bawah kepimpinan negara sekarang. Kalau ada wacana sekali sekala pun di TV1 dan TV9, panelis jemputan hanya dari kelompok yang sama. Tiada lagi diskusi terbuka yang lebih matang dan mendebarkan. Maka mengambil kira kepincangan itu kerajaan Kelantan sejak tiga tahun lalu menganjur wacana perdana dengan mengupas isu kritikal membabit panelis daripada Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan NGO. Dan pada 8 Disember ini sekali lagi wacana ’panas’ akan diadakan bakal mengupas isu bertajuk ”Pilihan Raya Bersih dan Adil : Realiti Atau Ilusi?” Pengarah program Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan anggota Exco, Datuk Husam Musa dijemput sebagai ahli panel wacana berkenaan. Manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator. Program itu dijangka bermula jam 9 malam akan diadakan di Dewan Besar, Balai Islam Lundang, merupakan siri kelapan. Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, turut mendapat kerjasama Harakah, Malaysiakini dan KTV sebagai media rasmi. Selain itu Rekabentuk Grafik dan Muslim Life. Ahmad Baihaki berkata, wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui mykelantan.tv. ”Sebanyak tujuh siri wacana yang diadakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga melimpah ke luar dewan. ”Ini menggambarkan orang ramai amat mengharap program seumpama itu bagi mendengar kupasan isu semasa yang berlaku secara matang dan sihat,” ujarnya. Antara panelis dari Umno yang pernah diundang termasuk Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, Pegawai JASA, Lokman Nor Adam. Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affandi Yusof dan bekas Pengerusi Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad. Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 1 Dis: Speaker Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang bagi meminda syor yang telah dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.
Kit Siang dalam usulnya mencadangkan syor PSC itu hendaklah dipersetujui dengan pindaan dengan menambah ayat seperti berikut:
"Perlulah dilaksanakan oleh Kabinet, Suruhanjaya Pilihan Raya dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan serta-merta dan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 serta satu penyata laporan perkembangan perlaksanaan semua syor tersebut dan syor-syor penambahbaikan proses pilihan raya yang lain perlu dibentangkan ke Dewan ini pada minggu pertama tahun 2012".
Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolaknya kerana ianya di luar bidang kuasa speaker.
Menurut Pandikar, usul tersebut bertentangan dengan Perkara 31(3) dan Perkara 27 Peraturan Mesyuarat.
"Untuk ubah perlu dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat, perlu ada perbahasan dan notis dua minggu mengikut Perkara 27," katanya.
Kit Siang terdahulu mendakwa, 10 syor yang dikemukakan PSC di Dewan Rakyat hari ini 'tergantung' kerana tiada satu ikatan atau arahan agar kesemua syor tersebut dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab.
Speaker juga bersetuju dengan pandangan tersebut namun menyatakan tidak boleh bertindak apa-apa kerana diluar bidang kuasanya.
Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 1 Dis: Jawatankuasa (JK) Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan pilihan raya hari ini mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera meminda peraturan pilihan raya bagi membolehkan dakwat kekal digunakan pada PRU-13.
Bercakap sewaktu membentangkan pandangan dan syor-syor awal JK itu di parlimen pagi ini, Pengerusi PSC Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, dakwat kekal disyor untuk digunakan dan tidak perlu kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.
LJawatankuasa mengesyorkan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) dalam proses pengundian bagi pilihan raya ke-13.
"Bagi syor ini jawatankuasa mendapati bahawa pindaan hanya perlu dibuat kepada peraturan berhubung dengan pilihan raya sahaja tanpa perlu meminda perlembagaan persekutuan.
"SPR perlu menyegerakan proses pindaan peraturan-peraturan yang berkaitan untuk kuatkuasa," katanya.
Dalam pembentangan itu, beliau turut mengemukakan 10 syor penambahbaikan proses pilihan raya.
Antaranya pengundian awal hanya untuk anggota tentera dan isteri serta anggota polis, pembersihan daftar pemilih, pengundi luar kawasan tidak perlu kembali ke kawasan pendaftaran asal dan ketelusan proses undi termasuk menghapuskan nombor siri pada kertas undi.
Untuk pembersihan daftar pemilih, PSC mengesorkan supaya SPR melantik MIMOS Berhad untuk membuat verifikasi terhadap pembersihan ke atas perkara berikut:
A- Dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan sama
B- Pengundi yang telah meninggal dunia tetapi masih berada dalam daftar pemilih
C- Pengundi berumur 90 tahun ke atas
D- Pemilih bukan warga tempatan
E- Ramai pemilih dalam satu alamat
F- Pengundi hilang kelayakan.
Selain itu PSC turut mengesyorkan tempoh Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan dipanjangkan dari 7 hari kepada 14 hari.
PSC juga mahu SPR membatalkan kadar fi RM10 yang dikenakan kepada pembantah serta membatalkan had maksimum bilangan orang yang hendak dibantah. Semalam, Bernama melaporkan bahawa laporan awal Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) mengemukakan 10 cadangan bagi memastikan proses itu dilaksanakan secara bebas dan adil.
Laporan itu yang diedarkan kepada Anggota Parlimen di Dewan Rakyat pada Rabu ini dijangka dibentangkan Khamis.
Cadangan itu dikemukakan selepas jawatankuasa berkenaan mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu, serta maklum balas yang diterima daripada anggota jawatankuasa.
Sepuluh cadangan yang dikemukakan itu ialah mengenai penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13; pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.
Cadangan turut menyentuh pembersihan daftar pemilih; pameran rang daftar pemilih tambahan; ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan; dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengenai pembersihan daftar pemilih, laporan itu menjelaskan jawatankuasa berkenaan mengambil maklum usaha berterusan SPR dalam membersihkan daftar berkenaan termasuk mempamerkan nama pemilih yang rekodnya tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Bagaimanapun, jawatankuasa mengambil maklum masih terdapat keraguan tentang daftar pemilih yang bersih, khususnya di Sabah mengenai nama yang didakwa tidak layak berada dalam daftar pemilihan atau apa jua sebab.
Sehubungan itu, jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR melantik Mimos Berhad (Mimos) untuk membuat verifikasi terhadap isu seperti dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama; pengundi yang sudah meninggal dunia tetapi masih berada dalam daftar pemilih; dan pemilih bukan warga tempatan.
Isu lain yang turut dibangkitkan ialah mengenai pengundi yang berumur 90 tahun ke atas; ramai pemilih dalam satu alamat; dan pengundi hilang kelayakan.
Jawatankuasa turut mengambil maklum permintaan dan desakan pelbagai pihak ketika pendengaran awam diadakan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini, supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rakyat asing memperoleh status kewarganegaraan dan terbabit dalam proses pendaftaran pemilih khasnya di negeri itu.
Walaupun perkara ini adalah luas dan luar daripada terma rujukan jawatankuasa itu, namun dicadangkan supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.
Berhubung penambahbaikan proses pencalonan, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya proses bantahan pada hari penamaan calon dimansuhkan selain mencadangkan tempoh penarikan balik pencalonan dibatalkan.
Penubuhan jawatankuasa itu diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Okt lepas dan dianggotai sembilan Anggota Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang dan Bebas.
BN diwakili lima wakil rakyat manakala pembangkang (tiga) dan Bebas (satu).
PSC dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Jawatankuasa itu mengadakan lima mesyuarat bagi membincangkan pelbagai perkara selain mengadakan sesi pendengaran awam bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu. Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 1 Dis: “Budak tadika pun tahu jawapannya, jika Umno lawan PAS, yang menang sudah tentu antara Umno atau PAS,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka PWTC pada 29 November lalu yang menyatakan DAP ganti PAS, bukan PAS ganti Umno. “Sifir mana Timbalan Presiden Umno ini belajar. “Bagaimana Najib lawan Muhyidin yang menang ialah Chua Soi Lek. Analogi yang tidak masuk akal langsung,” ujarnya kepada Harakahdaily. Katanya, kalau itulah kenyataan yang keluar daripada seorang Menteri Pelajaran, maka amat malanglah rakyat Melaysia kerana lain yang ditanya maka lain pula yang dijawab. Tambahnya, Timbalan Presiden Umno menyebut DAP ganti PAS sebagi strategi Umno untuk menakutkan rakyat daripada memilih PAS dan meninggalkan Umno walaupun anologi beliau sebagai orang yang pening lalat. Menurutnya, rakyat Malaysia sedar Persidangan Umno pada kali ini akan menjadi pesta memaki hamun dan memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat. Ini, ujarnya adalah strategi Umno untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi teras kepimpinan negara. Katanya lagi, parahnya pentadbiran negara telah didedahkan oleh Ketua Audit Negara, sebaliknya pujian urus tadbir cemerlang diberi kepada negeri Pakatan Rakyat. “Walaupun Tan Sri Muhyiddin cuba menakutkan rakyat terutama orang melayu daripada menyokong PAS, kononnya DAP yang mengganti PAS tetapi rakyat semakin cerdik dan tahu siapa sebenarnya pengkhianat RM52 bilion saham bumiputera, RM32 juta wang PPRT, 1.3 juta hektar tanah rezab melayu digadai di bawah kepimpinan Umno. “Jika inilah yang berlaku layaklah PAS ganti Umno,” ujarnya. Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 1 Dis: Semalam rakyat Malaysia telah dimualkan dengan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mempertahankan Umno adalah satu jihad. “Tetapi persoalannya ialah adakah menyekat Kelantan dan Terenggau laksana hudud dan royalti juga adalah satu jihad?” tanya Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Nazmi Nik Din sebagai respons kepada kenyataan Muhyiddin malam semalam sewaktu merasmikan perhimpunan sayap-sayap Umno yang bertajuk ‘Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad’. Justeru, beliau meminta orang-orang Islam di Malaysia menggunakan anugerah akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT supaya berfikir semasak-masaknya sebelum ‘menelan bulat-bulat’ seruan Muhyiddin itu. “Adakah tindakan kerajaan pimpinan Umno menghalang kerajaan Kelantan perolehi hak royalti dan kerajaan Terengganu sewaktu di bawah pemerintahan PAS adalah satu jihad yang diredhai oleh Allah SWT?” soal beliau . “Adakah tindakan menghalang kerajaan Kelantan daripada melaksanakan hudud juga adalah juga suatu jihad di jalan Allah SWT?” soalnya lagi. Sehubungan itu, beliau turut meminta seluruh umat Islam di Malaysia tepuk dada tanya iman. Menurutnya, itu adalah persoalan-persoalan permulaan kepada ribuan soalan lagi tentang masa depan umat Islam yang gagal ditangani oleh kerajaan Umno BN sekarang. Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 1 Dis: Berita pada tarikh 29 November di dada sebuah akhbar tempatan bertajuk Elak Kehamilan Tidak Dirancang pada bahagian keluarga agak menyentap kalbu para siswi. "Sama ada mereka pandang ini adalah penyelesaian terbaik atau dari sudut pandang yang lain, ini akan menghancurkan martabat anak gadis remaja," ujar Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohd Yusof Hadri dalam satu kenyataan. Mengulas sedikit apa yang cuba untuk disampaikan dalam berita itu adalah kadar tinggi bagi kehamilan yang tidak terancang itu adalah bukti terdapat kekurangan maklumat dan pendidikan mengenai kesihatan seksual serta reproduktif bagi warga muda di Malaysia. Melengkapkan para remaja dengan maklumat kesihatan reproduktif seksual di samping memberi inspirasi kepada mereka untuk membuat keputusan bijak merupakan isu penting yang perlu diberi perhatian serius. Bila mana langkah penyelesaian bagi Kehamilan Tidak Dirancang sekadar memberi maklumat kesihatan reproduktif seksual ia adalah sangat tidak relevan. "Adakah jalan penyelesaian sebegini mampu untuk mengurangkan masalah sosial masyarakat? "Adakah kita yakin dengan pendekatan ini?" soalnya. Mengulas dari sudut pandang Pengerusi Serikandi Gerakan Muslimat Muda (Sigma) Gamis, Rohayu Rusli berkata, pendekatan itu hanya menyelesaikan masalah supaya tidak terhasilnya kandungan walaupun melakukan seks secara selamat. Tambahannya pula Islam ada cara yang lebih komprehensif, total dan praktikal dalam menangani punca dan simptom masalah gelojak syahwat sehingga ke arah pelakuan seks. Memetik apa yang digariskan dalam buku Tanggungjawab Pendidikan Seks Menurut Islam tulisan Dr Abdullah Naseh Ulwan adalah berkahwin pada usia muda, menundukkan pandangan dari perkara yang haram, menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsang keinginan seks dan menguatkan kesedaran agama “Inilah langkah-langkah yang holistik yang sepatutnya diambil kerana ia melibatkan penjagaan maruah dan martabat wanita, kurangnya masalah sosial, kurangnya masalah seks bebas dan masalah buang bayi,” katanya. Cara ini dapat menyelesaikan banyak masalah berbanding dengan memberi maklumat pendidikan seksual. Selayaknya penyelesaian seperti ini memang khas kepada penggiat seks dan gila seks. Adakah kita hendak melahirkan masyarakat yang gila seks? Apakah yang akan terjadi kepada institusi kemasyarakatan dan keluarga dengan penyelesaian ini? Negara tidak akan maju memiliki golongan pemuda dan pemudi yang gila seks walaupun dilakukan secara selamat. Menurut berita lagi, satu program bertemakan One Voice, Prevention is Key, untuk pelajar muda berusia antara 18 hingga 23 tahun akan diberikan akses kepada satu siri maklumat mengenai isu kesihatan seksual dan reproduktif seperti kehamilan tidak terancang, melalui dua platform - satu pertandingan reka bentuk menggunakan aplikasi Facebook dan satu lagi ialah program di kawasan kolej. Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser Malaysia, Nikhilesh Kalra berkata, para remaja di Malaysia tidak menyedari risiko seks tanpa perlindungan ''Bagi melibatkan lebih banyak remaja, Durex akan mengunjungi lima kolej bagi meneruskan komitmennya ke arah memperkasa para pelajar. Sepanjang program kolej tersebut, dinding yang dipenuhi maklumat akan didirikan dengan mempamerkan fakta-fakta Tahukah anda...?' mengenai seks dan poster-poster berkaitan dengan maklumat mengenai kesihatan seksual. Program bergerak Durex One Voice, Prevention is Key telah dianjurkan di lima kampus kolej sepanjang bulan November, iaitu Taylors Lakeside Campus, Universiti Putra Malaysia, Raffles College of Higher Education, INTI International University, Nilai dan IACT College. Menurut sisi pandang Timbalan Pengerusi Sigma, Nur Syazwani Abdul Aziz,mahasiswi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau sangat melarang program sebegini dilakukan di UPM. “Ini adalah strategi mereka untuk mengelirukan mahasiswi. Saya sangat terkilan kenapa sasaran program ini adalah kepada mahasiswi? Golongan terpelajar peringkat IPT? Adakah ini menunjukkan mahasiswi Malaysia mudah diperkuda dan dibohongi atau sebagai saranan kepada mereka buatlah seks selamat? Anda akan terjamin. Adakah golongan mahasiswi yang saya kira cukup tinggi inteleknya meletakkan maruah peribadi di tempat paling bawah. "Saya yakin mahasiswi mampu berfikir, cuma saya takut dan bimbang, apabila ada satu kelompok cuba mengelirukan masyarakat kampus, berkemungkinan generasi akan datang adalah generasi seks selamat,” ujarnya. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan