KUALA LUMPUR, 9 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius pendedahan pengerusi MIC bahagian Batu, Ramanathan Chinnu di akhbar The Star semalam berhubung tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyerahkan dana RM2 juta kepada penyelaras BN bagi setiap kawasan Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat. “Ini adalah satu penyelewengan yang nyata oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai menteri yang bertanggungjawab kerana dana berkenaan seharusnya diserahkan oleh pegawai kerajaan dari kementeriannya terus kepada rakyat bukan melalui penyelaras BN,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily. Katanya, Barisan Nasional telah kalah 9 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12 lepas, dan mereka sewajarnya akur dengan keputusan rakyat. Tegasnya, sesiapa pun yang memerintah di peringkat Persekutuan wajib menghormati pilihan rakyat itu. Shahrizat, ujarnya antara pemimpin BN yang kalah dalam pilihanraya lalu tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil wang rakyat untuk kegunaan BN, apalagi jika tujuannya adalah atas kepentingan politik. Sepatutnya, tambah beliau dana itu diberikan kepada ahli parlimen yang menang untuk diagihkan kepada rakyat, bukan kepada orang-orang yang sudah kalah dan ditolak rakyat. “Jika dalam Perhimpunan Agung Umno yang lepas Shahrizat mengatakan isu National Feedlot Centre (NFC) tiada kaitan dengannya, kali ini MIC Batu mengesahkan isu terbaru ini memang ada kaitan dengan beliau,” katanya. Justeru, tegasnya DPPWP mahu Shahrizat menjawab, bagaimana penyelaras BN Parlimen Batu, Yahaya Mat Ghani mendapat kuasa untuk menguruskan dana RM2 juta bagi parlimen itu. Beliau mempersoalkan adakah Yahaya kakitangan kementerian dan ke mana dana RM2 juta itu dibelanjakan. “Diharap Shahrizat boleh kemukakan segala resit dan bukti agihan yang dibuat atas nama kementeriannya atau berdepan dengan tindakan undang-undang oleh Pakatan Rakyat,” katanya.
Harakahdaily | IPOH, 9 Dis: Tindakan kerajaan Perak membenarkan sebuah syarikat asing memiliki jeti di Lumut telah diselar oleh penduduk tempatan yang mempersoalkan samada Menteri Besar mereka Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (gambar) berada di pihak mereka ataupun di pihak firma asing.
Menurut blog ‘say no to Vale International’, kerajaan Perak tidak seharusnya meletakkan jeti Lumut di bawah syarikat Brazil, Vale International yang bakal menggunakan jeti tersebut untuk menerima dan menghantar keluar jumlah hasil bijih besi yang banyak.
Menyifatkan tindakan tersebut sebagai cuai, blog tersebut mendakwa banyak perkara yang tidak diketahui impaknya sekiranya projek tersebut dilaksanakan.
“Sementara kesan terhadap alam sekitar masih menjadi persoalan, impak kerana jeti ini dipegang warga asing pula menimbul pelbagai persoalan lain. Dan berapa banyakkah spinoff downstream value (aliran tunai ke bawah) kepada rakyat Perak juga masih tidak terjawab.
"Kerajaan Perak di bawah Zambry sedang melakukan sesuatu yang tidak sihat yang tidak pernah dilaksanakan jika ia tetap membenarkan syarikat asing untuk memiliki jeti di satu lokasi yang begitu strategik seperti di Lumut,” blog tersebut memberikan amaran.
Untuk menjaga kewibawaan dan kedaulatan negara, blog tersebut mencadangkan agar jeti tersebut diletakkan di bawah kawalan kerajaan mahupun wakil tempatan.
Blog tersebut turut mendakwa fasiliti Vale di Teluk Rubiah, Lumut dijangkakan akan menguruskan 200 juta tan bijih besi setahun pada masa akan datang.
“Mengapa kerajaan Perak begitu baik kepada Vale?” soalnya, sambil bertanya apakah projek ini menguntungkan rakyat Perak atau sekadar memenuhi objektif syarikat asing yang mempunyai duit.
“Sebab kontrak untuk membina fasiliti Vale kebanyakkannya diberikan kepada warga asing, di mana hanya sebahagian kecil sahaja jatuh ke tangan syarikat Malaysia. Kontrak rekacipta jeti berjumlah RM675.8 juta telah diberikan kepada Netherlands’ Royal BAM Group,” katanya lagi.
Harakahdaily | KUANTAN, 9 Dis: Walaupun kerajaan BN terus menafikan projek Lynas di Kuantan merbahaya kepada kesihatan, namun kerabatnya, MCA turut membantah projek itu. (Gambar yang diambil dari video yang disiarkan blog pro Umno, Semaremas) Dalam satu bantahan yang dibuat terhadap Lynas, jelas Pemuda MCA Indera Mahkota turut menaikkan kain rentang mereka membantah projek itu.
Bantahan itu mendapat kejutan dari blog pro BN Umno dan mengecam tindakan MCA itu.
"Mengejutkan kerana klip video yang dimuatnaik di youtube pada 31hb Oktober 2011 jelas mempaparkan kain rentang MCA Youth Indera Mahkota dalam kempen anti Lynas yang berada dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota.
"Sewajarnya sebarang protes sedemikian disalurkan melalui saluran Barisan Nasional dan bukannya menyertai bersama dengan penganjur kempen tersebut yang jelas nyata adalah pihak Pakatan DAP PKR PAS.
"Kalau benda itu betul merbahaya kepada rakyat kita mampu memahami sentimen mereka.
"Namun pakar tempatan dan luar negara mengakui projek Lynas tidak merbahaya. Jadi apakah keperluannya turut serta dalam kempen yang tidak bermanafaat kepada rakyat dan turut menyokong fitnah kosong sahaja? Tindakan itu tidak betul. Sila perbetulkan," tulis blog Jas Salleh, Semaremas.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 9 Dis: Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat akan mengadakan ceramah perdana khas bagi menjelaskan isu terkini Felda dan Kampung Baru kepada orang ramai di Kolej Universiti Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, malam esok, 10 Disember, mulai jam 9.00 malam.
Ceramah yang akan diadakan dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Peneroka Lembah Klang (Anak) itu merupakan lanjutan kepada siri kempen Selamatkan Felda dan Kampung Baru yang dilancarkan kelmarin, 8 Disember di Felda Gugusan Jengka.
Pengerusi Anak Lembah Klang, Mohd Nasaie Ismail berkata, ceramah tersebut akan melibatkan beberapa orang tokoh dalam PAS termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.
Menurutnya, manakala tokoh-tokoh lain termasuk Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, Presiden Anak, Mazlan Aliman, bekas pegawai kanan Bank Negara, Dr Rosli Yaakub dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohd.
"Orang ramai dijemput hadir bagi mendengar penerangan dan beberapa pendedahan berkaitan isu Felda dan Kampung Baru serta menyatakan sokongan kepada gerakan selamatkan Felda dan Kampung Baru ini," katanya yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Permasalahan terkini yang berlaku dalam Felda, menurut beliau, amat perlu diketahui oleh orang ramai bagi menyedarkan pihak-pihak terbabit agar tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap organisasi tersebut.
Katanya, kecemerlangan Felda amat penting kepada seluruh warga peneroka dan bagi pembangunan ekonomi negara, tetapi tindakan Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad dan koncu-koncunya kebelakangan ini seolah-olah lebih ke arah menghancurkan organisasi itu.
"Antara tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh Isa termasuk persetujuannya untuk memetrai perjanjian pajakan tanah Felda sehingga 99 tahun dengan Felda Global Vantures Sdn Bhd yang ternyata akan menggelapkan masa depan seluruh peneroka," katanya.
Perjanjian tersebut dilakukan bagi membolehkan hasrat pihak-pihak terbabit dengan kerjasama sepenuhnya pemimpin-pemimpin Umno BN menyenaraikan Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia terlaksana.
"Segala tindakan itu diambil bagi kepentingan peribadi pihak-pihak terbabit walaupun ia akan mengorbankan masa depan warga peneroka sendiri," katanya.
Tindakan yang sama, tegas beliau, turut dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno berhubung tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur walaupun ia ditentang hebat oleh pemilik-pemilik tanah di kampung itu.
"Semua ini perlu diketahui oleh orang ramai bagi membolehkan kesemua pihak mendapat maklumat yang jelas mengenai tindak tanduk para pemimpin Umno BN selama ini.
"Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Anak tidak akan membiarkan para pemimpin Umno BN bertindak sewenang-wenangnya ke atas rakyat bagi membolehkan kesemua pihak faham mengenai kepentingan mereka menjaga dan mempertahankan hak masing-masing," tegas beliau. | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan