Ahad, 4 Disember 2011

SEBELUM PAKATAN SAPE PERINTAH...YANG KENA HIV SAPE PULAK...JANGAN2 GOLONGAN2 YANG MENOLAK HUKUM ALLAH...

Bai'ah: Daripada tiru, baik sertai PAS terus | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Tindakan Umno yang mahu kepimpinan parti itu mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj oleh ahli sendiri, membuktikan mereka mengakui cara yang digunakan PAS.

Ahli Parlimen PAS Baling, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib berkata, Umno yang sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara tersebut.

"Kalau ini (sumpah bai'ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh Umno telah diakui kebenarannya.

"Usia Umno yang sudah terlalu lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan. Hakikat sebenarnya ialah apa yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan yang dilakukan oleh PAS.

"Oleh sebab itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sewaktu perbahasan usul di Perhimpunan Agung Umno semalam, perwakilan Umno Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan diadakan sumpah bai'ah dengan merujuk kepada tindakan PAS dan dipersetujui para perwakilan yang lain.

Taib yang juga bekas imam besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah bai'ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran, bukan untuk tujuan kebatilan.

Tegasnya, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai'ah.

"Bai'ah boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran...kalau bai'ah untuk tujuan kebatilan, bai'ah itu menjadi satu kemungkaran dan tidak termasuk dalam erti kata bai'ah yang sebenar.

"Jadi kalau Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai'ah itu tidak ada gunanya Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan keadaan ini," katanya yang merupakan bekas imam Masjid Negara.

Tambahnya, tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan 'tongkat' bagi meneruskan pemerintahannya.

"Inilah salah satu bukti yang boleh dilihat oleh masyarakat...dari segi spiritnya, politik Umno sudah memang terkapai-kapai...jadi apa sahaja yang dia rasa dia boleh capai untuk jadikan tongkat nak selamatkan parti, dia akan guna.

"Takkanlah masyarakat nak terima orang yang pakai tongkat untuk memerintah?" katanya.

Sementara itu, menyentuh dakwaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau berani dan sudah empat kali bersumpah berbanding Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan bersumpah, Taib berkata, Najib masih belum keluar daripada kejahilannya.

"Kalau itu yang Najib mainkan, maksudnya dia masih belum keluar daripada kejahilan dia...walaupun nasihat dan pandangan telah diberi oleh para ulama dan mufti tapi kalau dia main lagi isu itu maksudnya dia orang yang tak sudi keluar daripada kejahilan," katanya.

Najib sebelum ini bersumpah laknat bahawa beliau tidak mengenali dan tidak terlibat dalam pembunuhan wanita Monggolia, Altantuyaa Sharibuu.


Bangkit isu HIV untuk tutup rasuah Umno | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa, tindakan perwakilan Umno yang mempolitikkan isu HIV tinggi di negeri Pakatan Rakyat hanya sekadar mahu menutup pekung rasuah kepimpinan mereka.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Professional Muda dewan itu, Dr Ghazali Hasbullah berkata, tindakan yang cuba menunjukkan hanya di negeri Pakatan Rakyat sahaja berlaku peningkatan kes HIV adalah satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab.

"Umno sudah kekeringan isu untuk dihidangkan kepada rakyat menjelang ketenatan imej rasuah pemimpin mereka.

"Isu peningkatan kes HIV di Kelantan tidak perlu dijadikan jenaka. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia," katanya.

Beliau mengulas kenyataan perwakilan Umno semasa perhimpunan agung parti itu yang menghentam kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS ekoran statistik tersebut.

Mengikut Statistik Kementerian Kesihatan, 28.8 orang daripada 100,000 rakyat Kelantan dijangkiti HIV.

Ia kemudiannya diikuti negeri Pahang dengan 24 orang, Kuala Lumpur (18) dan Johor (15.5).

"Kalau pemimpin Umno BN begitu rakus untuk mengatakan bahawa kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak melaksanakan tanggungjawabnya, bukankah semua badan pencegahan itu adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan? Polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADK), Hospital dan Jabatan Kesihatan, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pendidikan yang kesemuanya itu di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Persoalannya, apakah Umno mahu menyalahkan seluruh jentera kerajaan persekutuan itu atas peratusan kes HIV yang mereka sangka adalah akibat dari kelemahan kerajaan negeri," soalnya lagi.

Beliau juga menjelaskan, Kelantan antara negeri yang paling komited melakukan usaha pencegahan HIV sejak dipimpin Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Bukan sahaja melalui perlaksanaan undang-undang Islam yang dihalang oleh Umno, tetapi Kelantan juga katanya berusaha dengan pelbagai pendekatan lain.

"Kelantan adalah negeri pertama yang melaksanakan program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction) di bawah Kementerian Kesihatan, Kelantan antara negeri yang terawal mewajibkan saringan HIV Pra-perkahwinan (premarital HIV screening) bagi pasangan yang akan mendirikan rumahtangga.

"Kelantan memperuntukkan sebahagian dana kerajaan negeri kepada Pertubuhan Masyarakat Prihatin sebuah badan NGO yang sangat aktif menangani mangsa HIV, memberikan latihan kepada para imam di seluruh negeri Kelantan dan banyak lagi," jelasnya.


Sasterawan negara seru lakukan 'regime change' | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mahu anak muda di negara ini menolak janji 'game change' yang disebut Datuk Seri Najib ketika Perhimpunan Agung Umno lalu.

Malah menurutnya, apa yang lebih penting pada waktu ini adalah 'regime change' untuk mengubah kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang lebih baik.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menyebut perlu ada 'game change'. Tapi pada saya game change itu kecil.

“Kita mahukan perubahan rejim (regime change), bukan sekadar ‘game change’," katanya ketika mengetuai himpunan lebih 200 orang membantah Rang Undang-undang (RUU) Himpunan Aman 2011 di KLCC semalam.

Seruan itu dibuat sebagai tanda kecewa dan protes terhadap tindakan kerajaan Umno BN yang telah meluluskan RUU itu pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.

Katanya, tindakan yang cuba menghalang hak rakyat itu tidak wajar dibiarkan dan rakyat perlu membuat perubahan dengan merubah kerajaan yang ada.

“Kalau ini dibiarkan, masyarakat akan jadi masyarakat yang takut, tidak berani bagi fikiran, dan terus di bawah jajahan," katanya.

Najib dalam ucapannya di perhimpunan parti itu sebelum ini memberi peringatan kepada seluruh anggotanya agar besedia menghadapi perubahan permainan politik (game changer) jika mahu terus releven untuk PRU-13.

Peringatan itu dilihat sebagai satu kebimbangan Umno berdepan segala perubahan khususnya di kalangan anak muda yang sekarang ini boleh mendapatkan maklumat yang pelbagai.


PAS harap bicara RUU PA dipercepat | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Dis: PAS berharap perbicaraan kes saman berhubung Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin akan dimulakan secepat mungkin pada bulan ini.

Sehubungan itu, peguam PAS, Hanipa Maidin dan pembantunya kini sedang berunding dengan hakim yang akan mengendalikan kes itu bagi mendapatkan tarikh paling awal untuk melaksanakannya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, mengikut maklumat yang diterima, hakim yang akan mengendalikan kes tersebut adalah Datuk Rohana Yusof.

Menurutnya, pihaknya sememangnya berharap kes tersebut disebut secepat mungkin di mahkamah kerana rakyat sedang menanti penuh harapan.

Katanya, Perdana Menteri sememangnya sudah amat keterlaluan sehingga sanggup memperkenalkan dan membentangkan rang undang-undang itu pada persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu untuk dijadikan undang-undang di negara ini.

"Dengan perlaksanaan undang-undang itu nanti, negara kita akan menjadi lebih teruk dari Myanmar yang telah keluar dari alam kediktatorannya, tetapi diambil aih pula oleh Datuk Seri Najib," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini semalam.

Rang undang-undang tersebut, menurutnya, jelas bertujuan untuk menyekat seluruh rakyat negara ini dari mengadakan sebarang perhimpunan walaupun secara aman dan tanpa sebarang senjata dan tanpa mengira motif perhimpunan itu diadakan.

Katanya, undang-undang tersebut sememangnya tidak boleh diterima oleh PAS dan rakyat negara ini kerana ia jelas menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan pandangan.

"Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 itu juga ternyata bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya lebih diutamakan. Jadi jika ia dilaksanakan pasti akan menghakis demokrasi di tanah air kita," tegasnya.

Menyedari hakikat itulah, beliau bersama 2 lagi pemimpin PAS yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Pilihjanraya PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin (2 Disember lalu).

Saman tersebut difailkan menerusi Tetuan Hanipa Maiden & Co bagi memohon semakan kehakiman terhadap RUU Perhimpunan Aman 2011, dengan menamakan Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai responden kedua.

Tujuan permohonan semakan itu dibuat, pertamanya untuk mendapatkan deklarasi bahawa Najib dan kerajaan telah bertindak melebi kuasa mereka selaku eksekutif.

Kedua, untuk menghalang proses rang undang-undang itu daripada menjadi suatu undang-undang atau akta yang akan dilaksanakan di negara ini.

Manakala objektif ketiga adalah, jika halangan tidak dpat dilakukan, tindakan untuk meminta responden meminda mana-mana fasal dalam rang undang-undang itu agar selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.


Kit Siang: Siapa bohong, Umno atau MCA? | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi jaminan bahawa kuasa orang Melayu tidak akan tergugat jika Pakatan Rakyat menang pada PRU-13 akan datang.

Malah beliau berkata, hak orang Melayu itu akan lebih terbela di bawah Pakatan Rakyat berbanding apa yang dilakukan Umno sejak parti itu merintah negara ini beberapa dekad lalu.

"Orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa apabila PR memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, yang benar-benar akan hilang kuasa adalah Umno dan Umno-Putra.

"Malah, orang Melayu akan mendapat lebih banyak hak-hak dan kuasa apabila PR memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu beliau turut membidas tohmahan pemimpin Umno khususnya timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa DAP sebagai parti cauvinis Cina yang berhasrat menghapuskan raja berpelembagaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara Republik.

Katanya, kenyataan Muhyiddin itu bukan sahaja satu pembohongan malah keji, tidak bertanggungjawab, dan cubaan menakutkan dan menghasut rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Dari awal lagi, dalam ucapan pertama saya 40 tahun yang lalu di Parlimen pada 23 Februari 1971, saya telah isytiharkan bahawa DAP menyokong penuh sistem raja berperlembagaan dan bahawa kita "tidak pernah dan tidak mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja", tegasnya lagi.

Siapa bohong

Selain itu mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa 'PAS mengikut telunjuk DAP' yang turut disokong Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, Kit Siang berkata ianya sangat berbeza dengan pandangan MCA terhadap mereka.

"Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan sekutu beliau pula menuduh DAP dengan menyatakan 'DAP mengikut telunjuk PAS'.

"Siapa yang telah berbohong? Najib dan Muhyiddin atau Chua Soi Lek?," soalnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat bertindak sebagai 'Big Brother' malah kesemua parti memainkan peranan bersama.

"Tidak seperti BN di mana Umno adalah hegemoni dan parti-parti politik yang lain tunduk kepada agenda dan kepentingan Umno," katanya.

Tiada ulasan: